: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 13 Jun 2009

Ulul Albab: Pintu taubat lebih berharga daripada emas


Oleh Abdurrahman Haqqi
Umat Islam tidak boleh mudah putus asa beristighfar mohon ampun jika ingkar larangan

KETIKA pengikut Nabi Isa as, al-Hawariyyun memohon kepada Baginda supaya Allah berkenan menurunkan kepada mereka hidangan dari langit, maka Allah menerima doa Nabi Isa dengan firman-Nya bermaksud: "Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang kepada kamu, kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk." (Surah al-Maidah: 115).

Maksud ayat di atas dan tiga ayat sebelumnya ialah ada keinginan, permohonan dan jawapannya. Tetapi jawapan itu bersyarat yakni "kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk."
Perkara ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang diriwayatkan bahawa orang musyrik Makkah meminta kepada Baginda supaya Allah menjadikan Bukit Safa emas.

Jika berlaku, mereka mempercayai Baginda dan memeluk Islam. Baginda terlalu gembira dengan permohonan dan niat orang musyrik itu sehingga bersabda: "Benarkah demikian?" yang dijawab oleh mereka: "Benar!"

Apabila Baginda bersiap untuk berdoa agar Bukit Safa menjadi emas oleh Allah, tiba-tiba Malaikat Jibril AS turun menghampiri Baginda seraya berbisik: "Mahukah tuan Bukit Safa itu dijadikan emas tetapi sesudah itu mereka kufur dan ingkar seperti al-Hawariyyun, kemudian mereka diseksa dengan azab sengsara yang tidak pernah Allah seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk atau tuan lebih memilih untuk diberikan pintu keampunan dan taubat?
Mendengar bisikan Jibril itu, Baginda mengurungkan niatnya untuk berdoa dan membiarkan musyrik seperti sedia ada.

Baginda memilih pintu keampunan dan tauba kerana berasa kasihan jika berlaku ke atas mereka seperti nasib segelintir al-Hawariyyun yang diubah menjadi babi dan kera di dunia kerana mengingkari janji mereka dan di akhirat kelak azab sengsara yang maha pedih sedang menunggu. Kisah ini diceritakan Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya ketika membahas ayat Surah al-Maidah ini.

Baginda memilih pintu keampunan dan taubat yang lebih fleksibel daripada bukit emas yang kaku dan statik. Baginda lebih mengutamakan kebanyakan umat daripada segelintir umat yang hanya menginginkan bukit emas.

Sifat ini memang sudah direkodkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman." (Surah al-Taubah: 128)
Pilihan Baginda Rasulullah SAW didasarkan salah satu sifat Allah SWT iaitu al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat.

Satu ayat dalam al-Quran yang membuat hati kita terharu dan syukur serta gembira apabila membacanya, bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar: 53).

Dalam ayat ini Allah menyapa orang yang melampaui batas dengan kata-kata: "Ya 'ibadi' (wahai hamba-Ku). Tujuannya ialah menyatukan hati hamba-Nya dan menyentuh perasaan mereka agar mendengarkan ayat berkenaan dengan baik.

Allah mengkhususkan panggilan-Nya itu untuk orang yang melampaui batas kerana mereka manusia paling banyak melakukan dosa dan kesalahan. Maka, bagaimana pula panggilan terhadap orang selain mereka yang juga sering melakukan kesalahan dan dosa?

Dalam ayat itu, Allah juga melarang hamba-Nya berputus asa memohon keampunan. Allah mengkhabarkan Dia akan mengampuni semua dosa siapa saja yang bertaubat kepada-Nya sama ada dosa yang dikerjakan secara sembunyi atau dengan terang-terangan.

Allah menyifatkan diri-Nya dengan dhamir mu'akkad (kata ganti untuk penegasan) dan 'al' (lam takrif) yang menunjukkan kesempurnaan sifat ketika Dia berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Dalam ayat lain disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentu mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nisa: 64).

Panduan al-Quran ini ditegaskan kembali oleh hadis bermaksud: "Allah SWT berfirman, "Wahai anak Adam, sepanjang kalian mahu memohon dan mengharapkan (keampunan-Ku), tentu akan Aku ampunkan semua dosa kalian dan Aku tidak peduli (meskipun dosa kalian banyak). Wahai anak Adam, sekali pun dosa kalian setinggi langit, kemudian kalian memohon keampunan-Ku, tentu akan Aku ampuni dosa kalian dan tidak Aku pedulikan (meskipun dosa yang kalian kerjakan itu dosa besar). Wahai anak Adam, jika kalian datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, kemudian kalian mati dengan tidak menyekutukan-Ku dengan apapun, Aku akan memberikan keampunan sepenuh isi bumi kepada kalian." (Hadis riwayat al-Tirmidzi.

Seberapa pun besar dosa seseorang Allah menjanjikan keampunan jika mahu beristighfar. Keampunan Allah menyebabkan terhapusnya dosa yang menyebabkan terhindar daripada azab di dunia dan akhirat.

Siapa yang mahu beristighfar ketika melakukan perbuatan dosa maka dosanya terhapus meskipun puluhan kali dia lakukan tiap harinya. Dia terbebas daripada sifat orang yang terus menerus dalam dosa.

Ini menunjukkan betapa besar dan luasnya rahmat Allah kepada hamba-Nya. Celakalah seorang hamba yang mengetahui luasnya rahmat Allah, namun dia tidak berusaha untuk meraihnya sehingga terhalang daripada rahmat-Nya.

Semoga istighfar menjadi amalan rutin seperti dilakukan Nabi kita. Baginda dalam sehari lebih 70 kali beristighfar. Dalam hadis lain diriwayatkan maksudnya: "Iblis berkata kepada Tuhannya, "Dengan keagungan dan kebesaran-Mu, aku tidak akan berhenti menyesatkan anak Adam selama mereka masih bernyawa."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan berhenti mengampuni mereka selama mereka beristighfar". (Hadis riwayat Ahmad)

Kita sudah melihat pada awal tulisan ini bagaimana Rasulullah memilih pintu keampunan dan taubat daripada Bukit Safa yang dijadikan emas. Itulah sifat Baginda yang lebih mengdepankan berita positif yang membangun ketenteraman umat daripada berita negatif yang merugikan mereka. Wallahu alam.
Sumber: Berita Harian