: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 9 Julai 2009

Tanggungjawab Besar Ilmuwan Menyampaikan Nasihat


Wan Roslili Binti Majid
Pegawai Penyelidik Kanan

23/06/2009 | Berita Harian

Nasihat dan peringatan begitu diperlukan oleh manusia kerana dengannyalah mereka akan didorong untuk sentiasa berada dalam kebaikan dan kebenaran. Dalam beberapa ayat-Nya, Allah s.w.t. menegaskan kepentingan peringatan kerana ia mendatangkan manfaat, khususnya kepada golongan yang beriman. Kepentingan nasihat juga ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith Baginda sehingga dikatakan bahawa agama Islam itu sendiri merupakan nasihat. Dengan kata-kata lain, agama terletak pada nasihat kerana nasihat (dan peringatan) mengandungi unsur ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya selain keimanan serta usaha beramal dengan kitab-Nya serta Sunnah Rasul-Nya.
Manfaat atau kebaikan besar yang terkandung dalam nasihat terserlah pada maksud perkataan itu sendiri. Dalam bahasa Arab, perkataan nasihat (kata akarnya nasaha) mengandungi maksud supaya individu yang dinasihati memperoleh keuntungan atau faedah. Selain itu, dalam perkataan tersebut (nasaha) juga terkandung kaedah penyampaian nasihat, iaitu dengan menggunakan kata-kata yang dipilih dengan teliti dan dihalusi di samping berasaskan ketulusan hati serta tidak dipengaruhi oleh maksud yang buruk.

Nasihat dan peringatan lebih-lebih lagi diperlukan oleh golongan pemimpin disebabkan beban dan amanah besar yang dipikul oleh mereka. Amat malang seandainya mereka tidak memiliki kumpulan penasihat yang sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat serta peringatan secara telus dan lebih malang lagi seandainya mereka sendiri tidak membuka sebarang ruang agar mereka dinasihati dan diberikan peringatan yang pada hakikatnya, mendatangkan keuntungan yang bukan sedikit kepada diri mereka. Pada zaman silam, golongan cendekiawan dan `ulama' sentiasa memainkan peranan yang besar dalam menasihati dan memberikan bimbingan dengan berani lagi telus kepada golongan pemerintah. Antara mereka termasuklah Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdis Salam (1181 - 1262 M.), faqih Mazhab Syafi`e yang agung dan tokoh pengislah kurun ke-13 M.

Pada suatu ketika, beliau pernah menghadiri jamuan diraja pada hari raya dan sebagai kunjungan hormat terhadap baginda sultan. Pengawal-pengawal diraja dan kumpulan tentera berdiri di bahagian hadapan manakala sultan sedang bersemayam di atas singgahsana dengan dikelilingi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang berada di tempat masing-masing, berdasarkan kemegahan istiadat Kesultanan Mesir. Putera-putera dan pembesar serta orang kenamaan mula memberikan penghormatan kepada Sultan al-Salih Najmuddin dengan mencium lantai di hadapan baginda. Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam hanya memperhatikan semua yang sedang berlaku dan kemudian berpaling menghadap sultan lalu mengatakan dengan suara yang lantang, "Wahai Ayyub, apakah yang akan menjadi asas bagi tuan untuk mempertahankan diri di hadapan Allah apabila Dia menanyakan kepada tuan, "Bukankah telah Kuberikan kerajaan Mesir kepada kamu, namun kamu masih juga membiarkan tempat manusia berfoya-foya terus wujud?" Sultan dengan pantas bertanya, "Benarkah demikan?" Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam dengan tegas menjawab, "Terdapat tempat berfoya-foya yang menjual arak dan perkara-perkara tidak berakhlak lain yang terus dilakukan sedangkan tuan terus menikmati segala bentuk limpahan nikmat daripada pemerintahan yang dimiliki." Tentera-tentera yang berada dalam majlis tersebut hanya berdiam diri sementara Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam terus mengemukakan pandangannya dengan lantang. Sultan menjawab teguran yang diberikan dengan mengatakan, "Wahai tuan faqih, bukanlah beta yang mengizinkan tempat tersebut dibuka, ia telah pun berada di situ sejak zaman pemerintahan ayahanda beta." Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam kemudian berkata pula, "Jika demikian, tuan merupakan salah seorang yang mengatakan, `Kami mendapati bahawa bapa-bapa kami sekadar menurut tradisi yang telah pun wujud sejak sekian lama.'

Anak murid Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam, al-Baji kemudiannya bertanya kepada gurunya alasan atau sebab yang mendorong beliau menegur sultan dengan lantang dalam majlis yang hebat lagi mulia seumpama itu. Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam menjelaskan bahawa beliau dapat melihat keagungan yang meliputi kehidupan sultan dan beliau bimbang seandainya kebanggaan baginda terhadap kuasa serta dirinya akan akhirnya menguasai serta membinasakan dirinya. "Tidakkah tuan berasa takut akan baginda sultan?" tanya al-Baji lagi. Beliau menjawab, "Pada hakikatnya, yang jelas hanyalah keagungan Allah s.w.t. sedangkan baginda pula begitu kerdil pada pandangan mataku." Ibn Hajar membuat catatan ringkas dalam tulisannya bahawa sultan tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali menitahkan kemudiannya supaya tempat-tempat berfoya-foya itu akhirnya dihapuskan sama sekali.

Zaman silih berganti dan pada hari ini, kita mendapati bahawa peranan dan sumbangan golongan ilmuwan serta cendekiawan tetap kekal penting dan begitu diperlukan saban ketika. Apatah lagi pada zaman kini yang memperlihat ancaman dan ujian terhadap agama Islam serta umatnya semakin besar lagi hebat. Namun, malang sekali jika golongan yang diberikan pelbagai gelaran sebagai memuliakan serta mengiktiraf kedudukan mereka, tidak mampu untuk bersuara dan bertindak. Sebaliknya hanya sekadar merelakan dan mengiyakan apa juga keputusan serta tindakan yang diambil meskipun ternyata ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah ada ketikanya hanya mendatangkan kerugian semata-mata. Betapa malangnya mereka kerana tidak berupaya memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memberikan nasihat yang betul, dan secara bijaksana, ikhlas serta berani kepada pihak yang memerlukan nasihat mereka, terutama pemerintah.

Lebih malang seandainya mereka menggunakan ilmu, gelaran dan kedudukan yang dimiliki hanya untuk kepentingan diri dan meraih segala kenikmatan duniawi. Nasihat yang sebenar diperlukan tidak diberikan dengan sebaik-baiknya, malah sebaliknya pihak yang memerlukan nasihat mereka seperti pemimpin atau pemerintah hanya dihanyutkan dengan kata-kata pujian yang tidak berasas sehingga mereka lupa akan masalah serta kesulitan sebenar yang dialami rakyat. Dasar-dasar yang tidak menguntungkan misalnya tidak sama sekali berani untuk disanggah atau dikritik kerana mereka memikirkan kesan buruk seandainya tindakan sedemikian dilakukan. Kepentingan rakyat tidak termasuk dalam perkiraan dan perhitungan sedangkan golongan yang digelar ilmuwan itu menyedari bahawa di bahu merekalah disandarkan harapan agar sentiasa menasihati pemimpin supaya mempertahankan kepentingan serta kebajikan seluruh rakyat yang dipimpin. Alangkah malangnya mereka kerana berharap pada sekumpulan insan yang dianggap mampu memimpin dan membimbing mereka kepada kebaikan serta kebenaran namun hakikatnya, tiadalah impian besar itu menjelma menjadi kenyataan malah yang diperoleh hanyalah kehampaan semata-mata. Tiada juga perubahan dan kemajuan yang dicapai namun sebaliknya mereka terus-menerus dibelenggu kejahilan dan kemerosotan. Besarlah pula kesalahan yang ditanggung oleh golongan ilmuwan tersebut kerana tidak menunaikan amanah terhadap ilmu yang dimiliki dan tidak pula menegakkan maksud agama, iaitu tidak menyampaikan nasihat yang berguna lagi bermanfaat kepada pihak yang memerlukannya. Bagaimana mungkin mereka dapat mempertahankan diri apabila kelak dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t. pada hari segala amal serta perbuatan menjadi saksi bagi mereka dan bukannya diri mereka sendiri atau juga pembela mereka semasa hidup di dunia.