: : :PELANGI MALAM: : :

Rabu, 26 Ogos 2009

Bila Umat Tidak Bertaqwa


Bila umat tidak bertaqwa, mereka lupakan Tuhan. Mereka
menganggap Tuhan tidak ada peranan dalam hidup mereka.
Dalam masalah hidup mereka, mereka tidak rujuk kepada
Tuhan.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Setelah aku wafat, setelah
lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan
itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang
makan dengan rakus.”
Ada Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah
sehingga musuh begitu kuat?”
Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai
tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh.
Mereka ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi macam
buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu
mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”
Sahabat bertanya pula, “Apakah itu Al Wahan?”
Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati.”

Oleh kerana umat Islam cinta dunia maka Allah hukum
sedikit demi sedikit. Allah tarik rasa cinta pada Allah. Apabila
sudah tidak cinta pada Allah, maka terhakislah cinta terhadap
yang lain. Hilang cinta sesama umat Islam. Hilang cinta sesama
keluarga. Hilang cinta antara suami isteri. Hilang cinta antara
ayah, ibu dan anak. Kerana cinta itu semua berpunca dari
cintakan Allah. Cintakan Allah-lah yang menghidupkan cinta-cinta
seperti itu. Bila cinta kepada Allah berpindah kepada cinta
dunia, maka cinta-cinta seperti itu akan hilang. Oleh itu, hilanglah
perpaduan dan kasih sayang.

Umat Islam takut mati. Takut mati ini ialah takut mati kerana
Allah. Umat Islam masih berani mati kerana dunia, kerana
perempuan, kerana glamour, kerana nama atau kerana negara.
Maka Allah cabut rasa takut dengan Allah dari hati-hati umat
Islam dan Allah ganti dengan bermacam-macam rasa takut yang
lain. Takut tidak makan, takut miskin, takut hilang kerja, takut
hilang jawatan, takut isteri, takut tidak ada masa depan dan
sebagainya.

Akibatnya umat Islam hilang wibawa, hilang kekuatan, berpecah-
belah dan lemah. Umat Islam mundur di mana-mana,
kalah dan terhina di mana-mana. Masalah inilah yang
memeningkan para ulama dan pemimpin. Masing-masing tidak
tahu kenapa umat Islam lemah dan terhina dan tidak tahu
bagaimana untuk menjadikan umat Islam ini kuat. Oleh itu
mereka hanya mencuba dan mengagak-agak. Buat cara trial and
error. Walhal semuanya telah diterangkan dengan jelas melalui
Hadis Rasulullah SAW.

Semua orang menganggap bahkan mereka yakin bahawa
dunia ini dan manusia ini tidak akan selamat dan tidak akan
bahagia kalau duit tidak cukup atau ilmu tidak tinggi atau
jawatan tidak ada atau pangkat tidak tinggi atau pembangunan
dan kemodenan tidak tercapai. Tegasnya kalau kita tidak tiru
apa yang dibuat oleh Barat atau kita tidak jadi macam Barat,
kita tidak akan selamat dan kita tidak akan bahagia. Maka
berlumba-lumbalah kita mengejar Barat. Seluruh jentera kemodenan
dan pembangunan dikerahkan ke arah tujuan itu.
Semua menjadi yakin kalau kita jadi Barat, akan bahagialah dan
akan senanglah hidup kita.

Hingga hari ini, sedikit sebanyak kita sudah membangun
seperti yang kita kehendaki. Negara kita sudah agak cantik,
berkat meniru pembangunan Yahudi dan Nasrani. Ekonomi kita
pun seakan-akan sudah pulih, walau belum ada seorang pun
umat Islam yang telah berjaya membangunkan supermarket
atau megamarket di mana-mana shopping centre di negara kita.
Walaupun masih banyak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi
jalan, ianya tidak kekal dan pendek umur. Walaupun ikan-ikan
tangkapan orang Melayu banyak, ia masih menjadi sumber
kekayaan orang tengah dan kaum kapitalis yang terus-menerus
menghisap darah para nelayan. Dari segi ilmu, bolehlah dibanggakan
memandangkan jumlah universiti yang kian bertambah
dan orang Melayu yang berdegree bertambah ramai. Namun
para ilmuan itu tetap tidak boleh hidup kalau tidak diberi gaji.
Yang tidak diberi kerja jadi bebanan pula pada negara. Mereka
tetap tidak mampu berdikari untuk membina perusahaan,
pembangunan dan perindustrian sendiri yang bebas dari makan
gaji. Di samping itu, akhlak para lulusan tinggi tetap tidak jauh
bezanya dengan akhlak orang yang berkelulusan rendah. Sikap
mereka sama sahaja bahkan ada yang lebih teruk lagi. Soalnya,
hingga di tahap ini, adakah kita sudah mendapat masyarakat
bahagia yang hidup penuh aman damai seperti yang kita
idamkan?

Memandangkan pada gejala dan penyakit masyarakat yang
bertimpa-timpa dan kian kronik dan masalah yang tidak habis-habis,
tentu kita belum boleh mengatakan masyarakat kita
sudah bahagia. Memang mungkin ada individu-individu atau
keluarga-keluarga yang bahagia, tetapi ini bukan majoriti. Ini
tidak boleh mencorak masyarakat. Secara umumnya orang-orang
yang ada kuasa tidak bahagia kerana dilanda penyakit gila
kuasa. Orang kaya pula tidak bahagia kerana penyakit gila dunia.
Orang miskin tidak bahagia kerana sering rindu pada kekayaan
dan harta. Ulama-ulama tidak bahagia kerana takut periuk nasi
terancam. Ibu bapa hilang bahagia kerana anak derhaka. Guru
tidak bahagia dengan perangai anak muridnya. Pemudi-pemudi
tidak bahagia kerana sering diganggu dan takut jadi andartu.
Pemuda hilang bahagia kerana susah hendak kahwin dan bermacam-
macam lagi penyakit yang sedang meragut kebahagiaan
hidup semua golongan dalam masyarakat kita.

Dalam keadaan ini apakah peranan pembangunan, kemodenan,
ekonomi, jawatan dan ilmu yang tinggi yang diagung-agungkan
tadi? Mampukah ia menyelesaikan segala masalah
ini? Lihat di Barat! Kemodenan hidup telah menghantar manusia
ke kancah kehidupan yang derita, sengsara dan bergelora.
Keinsanan dan kemanusiaan rosak. Manusia sudah hilang
moral, keperibadian dan tatasusila. Kasih sayang tidak ada dan
jenayah berleluasa. Sebagai contoh, sudah ramai orang Barat
yang lebih rela hidup berdua dengan anjing atau bertemankan
kucing atau itik atau ayam daripada hidup dengan manusia lain.
Kebahagiaan dengan sesama manusia sudah tidak ada. Kalau
begitu, apalah erti segala pembangunan dan kemodenan yang
dikejar itu?