: : :PELANGI MALAM: : :

Isnin, 24 Ogos 2009

Elak maki hamun

oleh ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
zaharuddin@yahoo.com

BAHAGIAN lalu, kita didedahkan supaya tidak berprasangka buruk terhadap individu yang dijangkiti penyakit, selain yakin setiap yang berlaku ada hikmah kerana semuanya ujian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Kali ini, dikupas lanjut mengenai langkah dilakukan orang ramai bagi mengurangkan risiko dijangkiti penyakit selesema babi.
SEKATNYA DARIPADA MENJADI PENYEBAR

Jika ditakdirkan kita antara mereka yang kini diuji dengan selesema babi, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam.

Justeru:
• Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain ketika bersin.
• Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun anti bakteria.
• Kurangkan berasak-asak di tempat awam kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar.

Namun, takdir Allah SWT mendahului segala-galanya. Jika sudah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti terkena, mungkin melalui virus dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu.

Semua tindakan dan usaha pencegahan adalah wajib kita lakukan menurut hukum Islam kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah diharamkan.

CADANGAN PEMULIHAN: SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh doktor adalah:
• Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak daripada biasa.
• Minum air dengan kuantiti yang banyak dan lebih banyak daripada biasa.
• Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah lima tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol, selain ‘pain killer’ seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa simptom (rujuk doktor anda terlebih dulu).
• Ambil cuti dan berehat hingga sembuh.

Ditambah pula dengan nasihat daripada ilmuan Islam:
• Yakinkan diri dengan kesembuhan. Sebutkan kata-kata yang baik untuk diri, seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya. Selain itu jangan pula mencerca dan memaki hamun ketika sakit. Hal ini disarankan melalui hadis:

“Tiada jangkitan (tanpa izin Allah SWT) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa’l.

Sahabat bertanya: “Apakah Al-Fa’l?”

Nabi menjawab: “Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh).”

Berdoa supaya beroleh kesembuhan dan doakan orang lain turut kuat serta sembuh daripada jangkitan selesema babi ini.
• Bersangka baik dengan Allah SWT dan serahkan urusan kepada-Nya iaitu jika ada ahli keluarga dijangkiti dan sukar mengelak daripada bercampur dengan mereka.

Diriwayatkan di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW meletakkan makanan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata:

“Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakal kepada Allah SWT dan berikan kepercayaan (sangka baik) kepada-Nya.” (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah. Namun menurut analisis, hadis ini dinilai lemah)
• Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit.

Firman Allah SWT: “Dan apabila kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu.

“Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang dikerjakan oleh tangan mereka sendiri tiba-tiba mereka itu berputus asa.”

Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita mampu berdepan saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah SWT.

Akhir kata, hayatilah sabda Nabi Muhammad SAW ini:

“Hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan.

“Dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin iaitu apabila ditimpa kebahagiaan dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia) dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga.” (Riwayat Muslim)

Sebarkanlah maklumat ini di merata tempat. Semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sumber:Harian Metro