: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 20 Ogos 2009

Persiapan mental, fizikal rebut keberkatan Ramadan


Oleh Azrul Affandi Sobry

RAMADAN yang bakal tiba hujung minggu ini mula dirasai dengan pusat agama termasuk masjid menganjurkan ceramah untuk menyedarkan ummah perlunya penghayatan rohaniah bagi mengisi bulan mulia itu dengan amal ibadat. Terbaru, Masjid Negara dengan kerjasama Dewan Pemuda Masjid menganjurkan Ceramah Perdana 15 Ogos lalu dengan mengundang pendakwah terkenal, Syaikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makkiy bagi membincangkan topik 'Persiapan Mukmin Menyambut Ramadan'.

Program itu turut dihadiri wakil Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno serta Pengarah Eksekutif Dewan Pemuda masjid, Ustaz Taqiuddin Abdullah serta hampir 700 umat Islam dari Lembah Klang bertujuan memperingatkan umat Islam mengenai persiapan menghadapi tarbiyah rabbaniah sepanjang bulan ibadah ini.

Beliau menyentuh bagaimana pentingnya umat Islam menjadikan Ramadan titik tolak menjadi Muslim sejati dan taat mengerjakan perintah Allah SWT.

Untuk menjadikan bulan keberkatan lebih bermakna, segala hikmah daripada Ramadan harus dihayati sepenuhnya.

Walaupun syaitan yang sentiasa menghasut manusia membuat kejahatan dibelenggu sepanjang Ramadan, syaitan di kalangan manusia sentiasa berusaha memesongkan akidah umat. Dalam al-Quran tidak menyebut Muharam tetapi kita membuat sambutan meriah Maal Hijrah. Al-Quran juga tidak menyebut Rabiulawal, tetapi umat Islam menyambut Maulidur Rasul penuh kehebatan.

Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran Ramadan yang menunjukkan ia amat istimewa kepada umat Islam kerana malam dan siangnya menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadan bulan mulia yang sewajarnya ditunggu dengan penuh kegembiraan. Mulai sekarang kita perlu membuat persediaan mental dan rohani untuk menghadapi Ramadan yang secara intensif melatih umat mendekati Allah dan membentuk akhlak mulia.