: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 6 Ogos 2009

Warisan Islam Asia Tengah

Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my

SEBUAH institut Islam di Tashkent mengabadikan kemasyhuran nama Imam Al-Bukhari.
Tashkent, Ashgabat yang pernah musnah akibat bencana gempa bumi gigih bina semula tamadun

KETIKA berada di tengah kesibukan Chorsu Bazaar di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, tiba-tiba seorang lelaki berumur lebih setengah abad menyapa penulis dan bertanya: "Malaysia?"

Penulis mengangguk tanda 'ya' tetapi sedikit hairan kerana bagaimana tekaannya tepat sedangkan rakyat negara itu sudah lama di bawah cengkaman Soviet Union yang membataskan hubungan dengan negara luar.

Lelaki itu terus mendekati dan memberi salam dengan menyebut 'Assalamualaikum'. Penulis segera membalas salamnya, membuatkan dia dilihat semakin berminat untuk meneruskan perbualan.

Dia kemudian mengucapkan dua kalimah syahadah sambil penulis menyebut sama apa yang diucapkannya, diikuti beberapa surah pendek yang dimulakannya dan membiarkan bacaannya disudahkan penulis.

"Amin, Alhamdulillah," kata lelaki berjanggut putih dan berjaket kulit hitam itu sambil bersalaman dengan penulis sebelum beredar dan hilang di celah kesibukan pengunjung bazar berkenaan.

Episod ringkas pertemuan dengan lelaki itu adalah antara pengalaman menarik sepanjang mengikuti lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Tashkent, Uzbekistan dan Ashgabat, Turkmenistan dari 15 hingga 22 November lalu.

Uzbekistan dan Turkmenistan, dua negara Islam di Asia Tengah ini memiliki akhiran sebutan yang sama tetapi agak berbeza dari segi keterbukaannya terhadap dunia luar.

Bagaimanapun, kehadiran syarikat petroleum Malaysia, Petronas yang meneroka kegiatan cari gali minyak dan gas di kedua-dua negara, banyak mengubah corak pembangunan di Tashkent dan Ashgabat, hasil kekayaan daripada sumber minyak.

Bercerita mengenai Chorsu Bazaar, ia menjadi tumpuan warga Tashkent untuk membeli-belah kerana ia adalah satu tempat perniagaan terbuka yang luas bagi jualan makanan, kasut, permaidani, produk kraftangan tempatan dan pakaian termasuk topi berbulu yang terkenal di kalangan warga Uzbek dinamakan 'telpak'.

aDi Tashkent, penulis juga mengambil kesempatan masa sesingkat empat jam yang terluang untuk melawat Kompleks Hazrati Imam yang dikatakan menempatkan naskhah al-Quran tertua.

Kompleks seni bina itu yang menjadi pusat pendidikan saintifik utama bagi mengkaji Islam dan falsafah kemanusiaan itu mengekalkan makam, dua masjid dan dua madrasah.

Mengambil kira fungsinya yang penting, kompleks itu dibina semula secara besar-besaran pada November 2006 dan siap hanya dalam masa empat bulan.

Reka bentuk baru yang unik bagi masjid Hazrati Iman, madrasah Baroqkhon dan pembinaan bangunan baru Jabatan Isu Agama Uzbekistan, menakjubkan.

Siapa sangka pada kurun ke-20, bandar raya ini mengalami gempa bumi yang dahsyat pada 1966. Sebuah tugu dinamakan 'Courage', yang dibina di tengah lokasi berlakunya gempa bumi, mengembalikan ingatan penduduk kepada bencana alam itu yang memusnahkan warisan berharga Tashkent.

Apa yang tinggal ketika itu hanya satu kawasan penempatan lama. Semua musnah sama sekali tetapi pemerintah segera membina semula bandar itu bagi memberi nafas baru kepada penduduk untuk hidup lebih selesa.

Lawatan ke Ashgabat pula banyak mengajar penulis mengenai sikap kerahsiaan. Apa tidaknya, pergerakan petugas media yang membuat liputan Perdana Menteri ke situ seolah-olah sengaja dibataskan.

Bayangkan anda tidak dibenarkan sewenang-wenangnya merakamkan gambar di bandar raya itu, apatah lagi menghalakan lensa kamera ke arah tentera mereka yang berkawal.

Apa pun, Ashgabat yang disebut Asgabat oleh penduduk Turkmenistan atau sebelum ini dikenali dengan nama Ashkhabad atau Poltoratsk adalah ibu negara dan bandar raya terbesar di Turkmenistan.

Sejak zaman Revolusi Russia sehingga 1927, bandar raya itu dinamakan sebagai Poltoratsk sebelum nama Ashgabat dikembalikan pada 1927 apabila Parti Komunis menguasai Turkmenistan.

Ashgabat adalah sebuah bandar raya yang dianggap baru hendak membangun, membesar daripada sebuah perkampungan dengan nama sama wujud pada 1818.

Bandar raya itu terus menyaksikan pembangunan pesat walaupun musnah teruk akibat gempa bumi dahsyat pada 6 Oktober 1948. Dengan ukuran gempa 7.3 pada skala Richter, ia dipercayai membunuh antara 110,000 hingga 176,000 orang iaitu dua pertiga daripada jumlah penduduknya walaupun Soviet Union mengumumkan hanya 14,000 terkorban.

Tidak hairanlah negara itu kini mula membina semula warisan ketamadunannya apabila banyak bangunan baru rancak dibina di satu pinggir Ashgabat, umpama Putrajaya di Malaysia.

Bagaimana ke Tashkent?
• Anda boleh menaiki penerbangan terus penerbangan terus Kuala Lumpur-Tashkent oleh Uzbekistan Airways yang diadakan dua kali seminggu.

Bagaimana ke Ashgabat?
• Anda boleh menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Ashgabat tetapi perlu melakukan beberapa transit sama ada menerusi Dubai, Istanbul atau Moscow.

Fakta

Uzbekistan
• Ibu negara - Tashkent.
• Mencapai kemerdekaan pada 1991.
• Berkeluasan 448,900 km persegi.
• Ia memanjang sejauh 1,425 km dari Barat ke Timur dan 930 km dari Utara ke Selatan.
• Negara ke-56 terbesar dunia selepas Sweden.
• Negara terbesar di Asia Tengah.
• Berkongsi sempadan dengan empat negara lain iaitu Afghanistan, Iran dan Kazakhstan.
• Panjang keseluruhan sempadan ialah 6,221km.
• Mengikut rekod purba, Tashkent dikenali dengan pelbagai nama seperti Yuni, Chach dan Shash.
• Tashkent menjadi pilihan ramai kerana ia terselamat daripada pelbagai dugaan seperti peperangan, bencana alam dan penjajahan.
• Lokasi geografi menguntungkan dan iklim yang baik menjadikan Tashkent sebagai satu pusat pertemuan utama laluan yang dinamakan 'Great Silk Road'.
• Pada pertengahan kurun ke-19, Tashkent hanya dihuni tidak sampai 100,000 penduduk tetapi menjelang abad ke-21, populasi penduduknya bertambah sehingga lebih 2.5 juta orang.
• Tashkent kaya dengan monumen arkeologi.
• Sepuluh tahun lalu, Tashkent hanya memiliki 39 monumen arkeologi tetapi ketika ini ia meningkat kepada 240 buah
• Samarkand menyimpan banyak peninggalan sejarah keagungan Islam antara 1,200 tahun dan 1,300 tahun lalu.
• Antaranya keagungan sejarah Islam di Uzbekistan ialah makam Imam al-Bukhari, seni bina dan reka bentuk bangunan yang unik, selain tokoh terkenal pada zaman lampau, termasuk Ibnu Sina, At-Tarmizi dan Imam al-Bukhari

Turkmenistan
• Ibu negara - Ashgabat
• Didiami penduduk asal Turkmenistan dengan etnik Russia, Armenia dan Azerbaijan sebagai golongan minoriti.
• Hanya berada 250 km dari Mashhad iaitu bandar kedua terbesar di Iran.
• Letaknya di antara padang pasir Kara Kum dan banjaran pergunungan Kopet Dag.
• Sebelum 1991, bandar raya itu dieja Ashkhabad dalam bahasa Inggeris, perkataan yang diterjemah daripada bahasa Russia. Ia juga dieja Ashkhabat dan Ashgabad.
• Nama itu dipercayai diambil daripada bahasa Parsi iaitu Ashk-abad yang bermakna `bandar raya Arsaces'.
• Satu lagi versi mengatakan nama itu diambil daripada bahasa Arab iaitu perkataan 'eshg' yang bermakna cinta dan abad, bermakna `tempat yang bertamadun' atau bandar raya yang mana jika diterjemah menjadi 'bandar raya cinta'.
• Negara ke-52 terbesar dunia, yang kecil sedikit berbanding Sepanyol tetapi lebih besar dari California.