: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 11 September 2009

Berpuasa di negara asing uji iman, duga kesabaran

Daripada Harny Abu Khair, Glasgow, United Kingdom (UK)


MENGERJAKAN ibadat puasa di negara yang majoritinya bukan Islam memang mencabar, ditambah pula Ramadan tahun ini jatuh pada penghujung musim panas yang siangnya lebih panjang dari malam. Bagi kami yang berada di Glasgow, Scotland, berpuasa 16 jam sehari tidaklah begitu terasa, tetapi bagi anak-anak yang baru belajar berpuasa, keadaan cukup mencabar.

Walaupun jauh dari tanah air, rukun Islam yang ketiga tetap dilakukan sesempurna mungkin. Program menyemarakkan lagi Ramadan dilakukan bukan saja untuk mencari keredaan Allah dan melipatgandakan pahala, malah mengeratkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin di antara satu sama lain.

Berada di tengah-tengah kelompok yang semakin tidak percaya kewujudan Tuhan, adalah satu keadaan yang mencabar dan memerlukan seseorang itu sentiasa istiqamah untuk mengamalkan perintah Allah dan Rasulnya. Umat Islam di sini harus kuat mempertahankan aqidah dan identiti dan program seperti ini dapat membantu menguatkan lagi ‘sistem pertahanan’ diri seseorang.
Komuniti Muslim Malaysia di Glasgow dibahagikan kepada tiga kawasan yang dipanggil kampung. Komuniti yang terbesar terletak di Govanhill, di seberang Sungai Clyde di selatan bandar ini. Kedua terbesar berada Charles Street dan Dennistoun di bahagian timur, manakala selebihnya berada di pusat bandar dan di bahagian barat atau West End.

Program Ihya Ramadan diadakan dijalankan secara bergilir-gilir di antara komuniti Muslim Malaysia yang berada di Glasgow. Antaranya termasuk bertadarus yang diadakan pada waktu pagi hingga tengah hari untuk mereka yang berkelapangan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk berkumpul bersama-sama, teknologi moden sosial media seperti Skype atau Paltalkscene digunakan untuk bersama-sama mengalunkan ayat suci kalam Allah.

Santapan kerohanian ini diteruskan lagi dengan program ceramah yang dilakukan pada setiap Sabtu untuk menambahkan lagi penghayatan Ramadan. Ia juga memberi kesempatan kepada masyarakat Muslim Malaysia di sini yang sibuk dengan urusan masing-masing untuk berkumpul bersama-sama pada hari minggu.
Jadual program sempena Ramadan secara bergilir-gilir ini disusun dengan baik oleh ahli jawatankuasa Komuniti Melayu Glasgow untuk memastikan bulan yang mulia ini sentiasa terisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Kemuncak program Ihya’ ini adalah Qiyamullail yang bakal diadakan pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatulqadar.

Bagi yang bujang atau tidak berkesempatan untuk berbuka puasa bersama keluarga akibat tuntutan pekerjaan, masjid di sekitar Glasgow mengadakan jamuan iftar setiap hari hasil kutipan sedekah yang diterima. Bagi pelajar University of Strathclyde, masjid Persatuan Pelajar Muslim Strathclyde University (Sumsa) menjadi tumpuan untuk iftar jika tidak berkesempatan pulang ke rumah masing-masing.

Di situlah mereka berkumpul dengan pelajar Muslim dari negara yang berbeza untuk iftar dan solat Maghrib berjemaah bersama-sama. Kurma dan susu dan kemudian nasi briyani Arab dengan kari ayam atau kambing adalah menu harian di Sumsa . Sesekali dapat juga merasa makanan dari Asia Barat lain seperti nasi daging berbungkus daun anggur, kus kus, pasta bakar atau manisan seperti baklava dan harissa.

Walaupun di sini sering dimomokkan mengenai Islamofobia, agama benar ini tetap berkembang secara progresif, walaupun sedikit perlahan. Program New To Islam yang diadakan di Sumsa ini juga menyaksikan beberapa saudara baru mengangkat syahadah setiap Rabu dan bilangan mereka, walaupun kecil, tetap konsisten. Alhamdulillah.
Ramadan di perantauan tetap meriah dengan jemputan berbuka puasa yang tidak putus-putus antara rakan di sini. Walaupun tanpa bazar Ramadan, juadah disediakan tetap pelbagai. Terasa terubat rindu kepada kampung halaman apabila dapat mencicip hidangan dari pelbagai negeri bersama-sama.

Sabtu lepas, komuniti Muslim Malaysia yang berada di Charles Street mengadakan jamuan berbuka puasa secara ‘pot luck’ dan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah. Pelbagai juadah dan lauk pauk dibawa dan dikongsi beramai-ramai. Inilah masa untuk merapatkan ukhuwah dan berkenalan dengan pelajar baru yang pertama kali berpuasa dan bakal beraya di perantauan.

Beginilah asam garam berada di perantauan. Walaupun berada di tanah yang majoriti penduduknya bukan Islam, tuntutan agama tetap wajib dilunaskan dengan sempurna. Alhamdulillah, walaupun tidak semeriah di Malaysia, roh Ramadan itu tetap dirasakan.

Perasaan rindu pada tanah air tetap menggebu apatah lagi memikirkan mungkin terpaksa berhari raya di perantauan, tetapi amanah dalam pelajaran dan pekerjaan harus dipikul hingga selesai. Kami semua akan pulang ke pangkuan keluarga di tanah air. Doakan kami di sini.

Penulis ialah pelajar di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland, UK
Sumber: Berita Harian