Bunyi letupan, tembakan lumrah di Iraq
Oleh Norsiah Kamaruddin
bminggu@bharian.com.my

Penduduk keluar beramai-ramai di bandar dengan wajah penuh gembira, seolah-olah negara mereka bukan dalam kancah peperangan
KIRA-KIRA enam tahun selepas Iraq digempur dalam operasi pencerobohan diketuai Amerika Syarikat, kesan kemusnahan akibat peperangan jelas kelihatan di negara yang menempatkan banyak tapak arkeologi terpenting di dunia itu.
Biarpun perang sudah reda, laporan berita melalui media elektronik atau cetak mahupun internet mengenai kejadian pengeboman serta kekacauan di negara berkenaan pasti mengundang cuak kepada sesiapa juga yang ingin berkunjung ke sana.
Begitulah juga perasaan penulis ketika menerima jemputan ke negara Mesopotamia itu, April lalu tetapi tetap juga menggagahkan kaki menjejak bumi Iraq berbekalkan semangat dan tawakal kepada Allah SWT.
Azam untuk mengharungi apa juga dugaan ketika di Iraq bertambah kuat tatkala memikirkan penulis mungkin wanita pertama dari Malaysia yang ke negara berkenaan selepas perang 2003.
Perasaan bimbang mengiringi langkahan kaki memulakan jejak di Baghdad sebaik pesawat mendarat jam 6 petang waktu tempatan pada 13 April, tetapi semua itu dibuang jauh daripada fikiran kerana kunjungan ini membawa imej Malaysia.

PENULIS bersama anggota pihak berkuasa Iraq di sebuah bazar di Baghdad.
Terbayang juga petikan popular `jika sudah ajal, di mana saja boleh mati’ yang digunakan setiap kali membalas teguran apabila diminta berhati-hati dalam membuat sesuatu perkara supaya tidak menjejaskan keselamatan diri.
Bimbang juga mengembara seorang diri, tetapi perasaan itu diredakan dengan kawalan keselamatan oleh 15 pegawai pihak berkuasa yang lengkap beruniform dan bersenjata yang disediakan kerajaan Iraq.
Sebenarnya, penulis berkunjung ke Baghdad untuk menyertai pameran bunga-bungaan yang pertama kali dianjurkan kerajaan negara itu selepas perang 2003. Ia turut disertai negara lain seperti Perancis, Iran, Lubnan, Syria dan United Kingdom.
Dari lapangan terbang, penulis bersama peserta lain dibawa ke Hotel Al-Mansur di tengah pusat bandar Baghdad yang difahamkan satu-satunya hotel lima bintang milik bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.
Selepas mendengar taklimat dan menikmati juadah lazat yang disediakan, penulis beredar ke bilik di tingkat tujuh yang membolehkan penghuninya melihat pemandangan sejauh 100 meter.
Sedang leka mengemas pakaian, jantung berdegup apabila terdengar bunyi tembak menembak lalu terus bertanyakan pengurusan hotel yang kemudian menasihatkan penulis supaya tidak panik kerana kejadian seperti itu perkara biasa di Baghdad.
Keesokannya, kami dibawa ke tapak pameran bunga-buangan yang mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan berkereta dari hotel untuk majlis perasmian. Setiap peserta dikhaskan sebuah kereta dan pemandu sambil diiring dua askar bersenjata, membuatkan diri terasa bagai orang penting.
Di lokasi program, kami diperuntukkan sebidang tapak untuk mempamerkan bunga-bungaan dari negara masing-masing, tetapi kecuali tiga helai Jalur Gemilang, tiada langsung bunga dari Malaysia yang dibawa penulis.
Kerisauan terubat apabila penganjur menyediakan sebuah lori dipenuhi bunga-buangan, lalu tanpa membuang masa terus penulis bergegas bercucuk tanam sambil dibantu pekerja warga tempatan.
Sepanjang tujuh hari pameran berlangsung, dapat dilihat penduduk Baghdad keluar beramai-ramai bersama rakan dan keluarga dengan wajah penuh gembira, seolah-olah negara mereka bukan dalam kancah kekacauan.
Pasukan tentera dan polis yang lengkap bersenjata ditugaskan mengawal sekitar lokasi pameran yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari sehingga tirai program berlabuh pada 21 April.
Rasa bangga tersemat di hati penulis kerana dapat mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Baghdad, malah sempat juga mempromosi Malaysia dalam sesi temuramah yang diadakan dengan media di negara itu.
Waktu terluang digunakan memenuhi undangan makan malam yang dihulurkan oleh tiga Ahli Parlimen Iraq dan Datuk Bandar Baghdad yang tidak putus-putus memuji Malaysia, selain kagum dengan keberanian penulis berkunjung ke negara mereka.
Alang-alang berada di negara orang, penulis dan rakan peserta tidak melepaskan peluang melawat beberapa destinasi menarik sekitar Baghdad sambil mata turut dijamu dengan kesan kemusnahan yang dialami kota bersejarah ini.
Diiringi anggota tentera bersenjata, kami yang dilarang berpecah daripada kumpulan demi keselamatan diri, dibawa melawat Muzium Baghdad, Zoo Baghdad, Masjid Imam Hussein dan Masjid Imam Ali serta Sungai Tigris.
Setiap kali bertembung penduduk Baghdad, terserlah budi bahasa dan keramahan mereka, namun perbualan kami terbatas kerana kebanyakannya tidak boleh berbahasa Inggeris.
Gaya hidup mereka juga moden, kecuali penduduk dari luar Baghdad seperti Najaf dan Karbala yang berbeza dari segi pemakaian dengan kaum wanitanya biasanya berjubah dan berpurdah hitam.
Bersiar-siar di kota ini turut meruntun perasaan penulis apabila melihat kesan peperangan dan kekacauan melalui bangunan serta rumah kediaman yang rosak dan musnah serta deretan kenderaan tersadai di tepi jalan.
Ada tembok konkrit mencecah ketinggian empat meter didirikan di bandar ini sebagai penghadang jika berlaku letupan bom, manakala setiap persimpangan jalan diawasi pasukan tentera, polis serta kereta kebal.
Tiba hari terakhir pameran, penulis dan peserta lain dianugerahkan sijil serta trofi disertai pesanan daripada penganjur supaya Malaysia terus menyertai program berkenaan yang dijadual diadakan setiap tahun.
Ketika pesawat meninggalkan Baghdad, penulis tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana terhindar daripada kejadian buruk sepanjang di Iraq sambil berharap dapat kembali lagi ke negara ini jika diizinkan Tuhan.
INFO
Iraq
Ibu negara: Baghdad
Populasi: 31.2 juta
Agama: 97 peratus Islam, 3 peratus Kristian dan lain-lain
Mazhab: 65 peratus Syiah, 35 peratus Ahli Sunnah Wal Jamaah