: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 17 September 2009

Imarah: Masjid Asy-Syakirin KLCC meriah sepanjang Ramadan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PEMANDANGAN dari luar Masjid Asy-Syakirin KLCC yang dalam proses pengubahsuaian.
1,000 jemaah hadir qiamullail 10 malam terakhir

SEPERTI kebiasaan, 10 malam terakhir Ramadan di Masjid Asy-Syakirin KLCC diimarahkan dengan program qiamullail bermula jam 3.30 pagi diikuti majlis bersahur sebagai menggalakkan umat Islam terus meningkatkan amalan sepanjang bulan mulia ini.

Ketua Imam/Ketua Pentadbiran Masjid Asy-Syakirin, Mohd Abd Nasir Abdullah, berkata aktiviti yang dilakukan setiap tahun itu bagi memberi ruang kepada mereka yang ingin menambahkan amalan pada malam Ramadan.

Katanya, sambutan daripada jemaah juga menggalakkan kerana tahun lalu, ada malam di mana jemaah yang mengikuti aktiviti qiamullail diadakan di Masjid Asy-Syakirin mencapai hingga 1,000 orang.

"Selain matlamat mencari malam lailatulqadr, aktiviti qiamullail juga menyahut saranan Rasulullah SAW dalam hadisnya supaya memperbanyakkan amalan sepanjang malam Ramadan terutama pada sepuluh malam terakhir.

"Kita gembira kerana mendapat sokongan Petronas bagi menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini termasuk berbuka puasa sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang ke Masjid Asy-Syakirin," katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti penghayatan Ramadan dianjurkan pengurusan masjid antaranya kuliah Zuhur, Sembang sembang Ramadan setiap Jumaat, kuliah berbuka dan solat Tarawih serta tadarus untuk muslimah dan jemaah lain bermula jam 5.30 petang setiap hari.

Mengenai keistimewaan masjid berkenaan yang turut mendapat perhatian penduduk dari Cheras, Serdang dan Kuala Selangor untuk menunaikan solat sunat Tarawih, Mohd Abd Nasir berkata, tarikan mungkin kerana imam yang dijemput pihak pengurusan.

Antaranya ialah johan program realiti Akademi al-Quran musim pertama, Abdullah Fahmi dan naib johan, Amir Rahman Abas serta imam lain yang mempunyai kemahiran membaca al-Quran secara bertaranum.

Masjid Asy-Syakirin yang mendapat jolokan Permata Taman KLCC sering menjadi tumpuan warga kota untuk menunaikan solat kerana kedudukannya di kelilingi bangunan pejabat serta pusat beli-belah Suria KLCC.
Lokasinya yang strategik menjadikan masjid itu mudah dikunjungi sesiapa saja termasuk pelancong yang melawat Menara Berkembar yang menjadi salah satu tarikan pelancongan.

Mendapat sentuhan KLCC Architects, masjid Asy-Syakirin menjadi lambang kehebatan seni bina Islam pada alaf baru ini khususnya di ibu negara. Kehalusan seni bina Uzbekistan dengan jelas dapat dilihat menerusi keseluruhan rekaan dalaman masjid ini dan permukaan dalam kubahnya.

Bahagian luar kubahnya diperbuat daripada aluminium dan dua lapisan kaca berkilau mampu memberikan silauan memukau pada waktu siang dan malam.

Bagi menampung jumlah jemaah semakin hari semakin bertambah termasuk yang datang dari luar Lembah Klang, Petronas melakukan pengubahsuaian dan penambahan Masjid Asy-Syakirin untuk keselesaan jemaah menunaikan ibadat.

Mohd Abd Nasir berkata, kerja pengubahsuaian dan penambahan yang bermula awal tahun ini dijangka siap sepenuhnya akhir November.

nanti setelah kerja akhir termasuk membaiki kubah disempurnakan.

Katanya, pembesaran kawasan ruang solat yang siap seminggu sebelum Ramadan mampu memuatkan 11,000 jemaah pada satu masa berbanding sebelum ini hanya boleh menampung 6,000 jemaah.

"Selalunya untuk solat Jumaat, jemaah yang datang ke masjid ini boleh mencapai hingga 8,000 orang dan kini dengan ruang yang lebih luas, dapatlah jemaah melaksanakan solat dengan lebih selesa," katanya.

Beliau berkata, kos pengubahsuaian dan penambahan Masjid Asy-Syakirin ditanggung sepenuhnya oleh Petronas dengan kebenaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah dan Pejabat Mufti.