: : :PELANGI MALAM: : :

Selasa, 22 September 2009

Semarakkan budaya kunjung-mengunjungi pada Syawal


MUSIM perayaan kembali lagi. Syawal disambut dengan penuh gembira walaupun dalam serba sederhana sejak kelmarin.
Suatu keunikan dalam masyarakat majmuk kita ialah amalan rumah terbuka dan budaya
kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan yang berlainan agama dan keturunan.Ia seperti menjadi tradisi dan agenda tetap untuk setiap perayaan yang kita rai selama ini.

Budaya warisan turun temurun yang menjadi kebanggaan kita sekian lama ini seharusnya tidak dipinggirkan.
Ia mampu menjadi platform atau jambatan untuk merapat dan menghubungkan tali persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum negara kita.
Sejak dahulu, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya dengan penuh berhemah untuk mengukuhkan kontrak sosial yang telah terbentuk yang sekali gus mengharmonikan perpaduan kaum.

Namun keadaan semasa menunjukkan seolah-olah jambatan ini mula mengalami sedikit keretakan angkara golongan tertentu.
Mereka itu cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan soal agama dan hak sesuatu kaum dengan melampaui kontrak sosial yang telah dimeterai.
Golongan ini jelas mempunyai agenda tersendiri dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai cita-cita dan hasrat mereka. Perasaan tamak dan ingin berkuasa mula mengaburi mata dan minda golongan ini.

Perpaduan kaum yang kita banggakan selama ini sudah mula menghadapi saat genting dengan pelbagai ujian getir.
Akibatnya pelbagai peristiwa yang boleh menggoncang jambatan perpaduan ini mula mewarnai dada-dada akhbar baik dalam mahupun luar negara.

Dalam keadaan baru selesai menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 dan penubuhan Malaysia yang ke-46, kita sewajarnya semakin kuat dan teguh daripada segi perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Elemen-elemen itu perlu dijadikan aset untuk mempersiapkan diri bagi menyahut misi Satu Malaysia dan Wawasan 2020.

Malangnya sehingga sekarang kita nampak jalan penyelesaian untuk menutup segala retakan di jambatan perpaduan tersebut ada ketikanya agak goyah. Ini kerana masih terdapat individu atau golongan yang bergiat aktif dan bersungguh-sungguh untuk merobek perpaduan yang sedia terbentuk ini.

Justeru kehadiran Syawal perlu dilihat sebagai detik dan waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk kita jernihkan semula keadaan yang dilihat semakin keruh di samping memperkukuhkan semula jambatan perpaduan tersebut.

Budaya kunjung mengunjung yang biasa kita amalkan dalam musim perayaan perlu disemarakkan lagi pada musim Aidilfitri ini dalam keadaan yang harmoni agar hubungan antara kaum dapat dipereratkan semula.

Inilah antara peluang yang ada yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya agar kita dapat lupakan segala sengketa dan perselisihan faham di samping menyuburkan kembali budaya saling bermaaf-maafan sesama kita.

Mungkin juga ini merupakan antara benteng utama untuk kita menangkis segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar kita kekal aman dan damai sepanjang masa.
Ayuh warga Malaysia marilah kita buktikan bahawa kita masih kuat, perpaduan di kalangan kita masih kukuh, teguh dan harmoni. Sama-samalah kita menjaga dan mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sejak sekian lama.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor