: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 5 September 2009

Tanggungjawab mendidik anak-anak


BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.

Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.

Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.

Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.

Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".

Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara