Setiap pelajar perlu
menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Ceritakan pengalaman
anda semasa menyertai satu aktiviti tersebut.
Kegiatan kokurikulum
merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua pelajar.
Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu belajar atau
pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab, permainan,
unit beruniform, dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap sejak
tingkatan satu lagi untuk menambah pengetahuan dan pengalaman kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Semasa menyertai pasukan pengakap sekolah,
banyak pengalaman telah saya lalui.
Pasukan pengakap sekolah
sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap minggu. Biasanya,
kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal ini dikatakan
demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan aktiviti
utama dalam agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian, saya
mempelajari teknik berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam bara api,
biar sampai jadi abu. Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar,
namun saya tetap dapat menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk
mempelajari sesuatu ilmu.
Selain itu, saya dan
rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara untuk
mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan
khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan.
Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang
kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu disediakan untuk mendirikan
khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata
orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sewaktu
mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan sahaja
khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang utuh seperti
isi dengan kuku dapat dibina.
Di samping itu, saya
juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal ini
dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan
apabila pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari
Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan
ini merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara
membasuh luka, membalut luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya
kecederaan. Saya amat yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya
lebih kental dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita
hidup.
Sementara itu, saya
turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan pengakap
sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa
berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk
mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar
untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu
yang saya pelajari ini, persiapan untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan
akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbing
yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Sepanjang menyertai
pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman hidup yang berharga
sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya dapat
mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan
hanya dapat dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru
pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk menerima
hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi cabaran. Pendek
kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Kesimpulannya, pasukan
pengakap merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya sertai. Saya
yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai
keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus menyertainya untuk merasai dan
melalui sendiri pengalaman sewaktu menyertai aktiviti tersebut. Hal ini
dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai penyimpul
bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri Pelajaran untuk menjadikan
penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai kriteria penting dalam penerimaan
kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom
kita aktif dalam kegiatan kokurikulum.