: : :PELANGI MALAM: : :

Isnin, 22 Jun 2009

BAGAI MERACUN RUMAH SENDIRI


Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

PENCEMARAN udara jelas semakin teruk di seluruh dunia.

MANUSIA mempunyai kurang 10 tahun untuk bertindak. Kita mempunyai kekuatan untuk berubah, jadi apa lagi yang ditunggu?"

Itu menjadi antara ayat terakhir yang disajikan kepada penonton pada malam Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu. Ungkapan itu mengakhiri filem dokumentari bertajuk Home yang ditayangkan serentak di seluruh dunia.

"Dalam hanya 200,000 tahun manusia berkembang di bumi, kita telah berjaya memusnahkan keseimbangan bumi yang berkekalan sejak berjuta tahun lamanya.

"Kita mampu hidup dengan lebih baik jika kurang 'mengambil' dan lebih banyak 'berkongsi'," hasil kisah dokumentari yang mendedahkan bagaimana 80 peratus sumber bumi kini dibolot hanya 20 peratus penduduk dunia.

Dalam erti kata lain, penyumbang utama pencemaran dunia juga paling banyak menikmati hasil bumi. Mereka terus rakus menelan sebanyak mungkin hasil bumi, membazir dan membuang sisanya ke merata dunia, merosak dan membunuh 'rumah' dan penghuninya.

Menginsafi

Walaupun telah menonton berpuluh dokumentari, Home begitu menyentap fikiran bila ditayangkan bagaimana begitu banyak dunia berubah dalam hanya satu generasi, generasi kita.

Sebenarnya, penulis sendiri terpaksa mengakui diri telah lama mengambil mudah isu persekitaran. Pernah juga penulis diajukan soalan, 'apa kaitan persekitaran dan kesihatan?'

Ini boleh dibalas kembali dengan persoalan mudah, 'bila kali terakhir kamu memandu dengan cermin terbuka?' Bukan untuk merokok!

Rata-rata dapat dilihat bagaimana pemandu kini menutup tingkap hampir sepanjang masa ketika memandu, siang atau malam. Jika ditanyakan mengapa, jawapannya sama ada udara kotor, berdebu atau berasap, dan pastinya kerana terlalu panas.

Ini jelas terbukti dengan penggunaan lapisan pelindung berwarna (tint) pada cermin-cermin hampir semua kenderaan. Pasti menjadi satu penyeksaan jika terpaksa memandu dengan cermin terbuka dalam kawasan bandar, siang atau malam, gara-gara penyaman udara rosak. Sedarkah kita penggunaan tint dan juga menutup tingkap itu sahaja sudah menunjukkan situasi semasa alam sekitar?

Semakin ramai juga yang mengadu sakit mata, sukar bernafas dan asma (lelah). Tidak kurang pula peningkatan kes katarak dan kanser kulit dari sinaran matahari (penipisan ozon), dan sudah tentu obesiti yang didorong keengganan orang ramai bersenam dalam cuaca panas. Untuk mengelakkan diri memperakui masalah yang dihadapi, kebanyakan daripada kita menyorokkan diri di dalam bangunan mahupun kenderaan dengan penyaman udara.

Pencemaran udara dan aktiviti menggondolkan hutan telah menjadi penyumbang utama pemanasan global. Ini seterusnya membawa kepada perubahan iklim dunia yang kini dianggarkan membunuh lebih 300,000 orang di seluruh dunia setiap tahun. Menjelang 2030, angka ini akan melonjak kepada lebih 500,000 orang.

Laporan kesan perubahan iklim ke atas manusia oleh Forum Kemanusiaan Global menunjukkan 325 juta penduduk dunia kini menjadi mangsa. Jumlah itu akan berganda dalam tempoh 20 tahun, menjejaskan hampir 10 peratus populasi manusia.

Kembalinya El Nino

Semulajadi atau musibah? Fenomena kejanggalan suhu permukaan laut yang membawa bersamanya kemarau di Pasifik Barat, dan banjir di Amerika Selatan sekali lagi melanda dunia. Walaupun punca sebenar El Nino masih samar, dunia terus berdebat sama ada peningkatan kekuatan dan kejadian El Nino berkait dengan pemanasan global.

Lebih penting lagi, fenomena ini bukan sahaja akan membawa cuaca panas ke rantau Asia, malahan menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.

Ikan kehilangan sumber makanan. Ketiadaan nutrien akan menjejaskan kumpulan-kumpulan besar ikan yang menjadi sumber makanan hidupan lain dan juga rezeki nelayan. El Nino juga didakwa menjadi punca kemusnahan beberapa tamadun kuno di benua Amerika Selatan.

Jabatan Meteorologi pada 9 Jun lalu meramalkan cuaca panas dan kering El Nino mungkin berlarutan sehingga September ini, memburukkan lagi masalah jerebu yang dikuatkan lagi dengan aktiviti pembakaran terbuka.

Kualiti udara di seluruh negara juga dilaporkan semakin merosot. Dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan antara 101 hingga 200, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mula menegur tindakan pembakaran terbuka, asap hitam (kenderaan) berlebihan dan asap dari pihak industri.

Kemudian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pula melaporkan bekalan air di enam empangan sedia ada telah mengalami penyusutan 10 peratus akibat kemarau. Jika berlaku penyusutan mendadak, Syabas terpaksa mengawal atau mengurangkan pelepasan bekalan air kepada pengguna, menyebabkan gangguan bekalan air.

Berbekalkan pengalaman menghadapi El Nino dan krisis air di Lembah Klang antara Oktober 1997 hingga awal 1998, kita sepatutnya lebih bersedia. Pengguna perlu berjimat-cermat menggunakan air di samping mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan pemanasan iklim.

Kekurangan bekalan air bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan badan (strok haba, batu karang), malahan penjagaan kebersihan diri, premis dan makanan juga pasti sukar dilakukan dengan baik. Penyimpanan air di rumah secara tidak teratur pula boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kuman seperti kolera, demam kepialu dan hepatitis A.

Tidak cukup dengan El Nino, pencemaran sungai dan sumber air dengan sampah, bahan kimia dan sisa toksik memburukkan lagi masalah bekalan air. Ikan pasti mati dan tentu sukar untuk bercucuk tanam atau menternak tanpa air bersih. Ini seterusnya akan membawa kita kepada masalah bekalan air dan makanan yang tidak mencukupi, atau tercemar dengan racun dan bahan kimia.

Pulau terpencil

Bumi bagaikan pulau! Benar, jika dilihat bagaimana kita tiada kemampuan untuk berpindah ke mana-mana planet lain di alam semesta. Sejarah pulau Easter di Lautan Pasifik menjadi petunjuk apa akan berlaku jika tiada tindakan tegas diambil terhadap masalah persekitaran.

Sebahagian besar penduduknya mati kebuluran. Penduduk pulau Easter yang menebang kesemua pokok balak mereka akhirnya tiada hutan dan juga bahan untuk membina perahu nelayan, mahupun perahu untuk berpindah ke tempat lain. Mereka kemudian bertindak membunuh populasi burung laut sebagai makanan. Selepas tiada lagi burung untuk santapan, semakin ramai yang menemui ajal.

Dengan tidak mengambil iktibar tindakan menggondol hutan, puak Rapa Nui di pulau Easter gagal memelihara sumber makanan terakhir mereka, telur dan daging burung. Dengan kematian 97 peratus populasi penduduk, puak Rapa Nui yang tinggal kini hilang budaya, identiti dan juga tanah mereka, yang akhirnya dirampas penjajah.

Mungkinkah terlambat untuk kita menginsafi kejahilan diri sebelum bumi yang diwariskan kepada anak cucu cuma mencerut nyawa mereka? Generasi kini masih mampu meneruskan hidup, tetapi bagaimana dengan pewaris kita?

Bertindak tegas

Pada 31 Mac lalu, kebanyakan negara di seluruh dunia bersatu meringankan beban kesakitan Bumi dengan bergelap selama satu jam. Malaysia juga turut serta, tetapi dalam jumlah yang jauh berbeza. Bekalan elektrik yang masih banyak menggunakan minyak dan arang menjadi antara penyumbang utama pencemaran udara.

Kempen mengurang atau menghentikan penggunaan beg plastik yang baru bermula pula dilihat gagal mencapai momentum yang diharapkan. Pemimpin dunia berterusan membincangkan masalah persekitaran tatkala masa untuk bertindak semakin suntuk. Dikekang usaha melengah pihak pencemar utama, tiada tindakan drastik dan berkesan dapat diambil.

Namun, penemuan kaedah mengitar semula sampah menjadi minyak dan arang minggu lalu menunjukkan masih ada caranya. Cara untuk generasi ini menebus tindakan memusnah keseimbangan alam, seterusnya menjamin warisan dunia untuk anak dan cucu mereka.

Sudah sampai masanya mengitar semula menjadi kewajipan, dan mungkin juga diwajibkan, supaya dapat mengurangkan beban tuntutan bekalan yang sentiasa meningkat. Bukannya satu atau dua, tetapi beratus mahupun beribu jenis bahan yang boleh dikitar semula. Ini secara tidak langsung juga dapat menyelesaikan masalah longgokan sampah dan pencemaran.

Selain itu, lebih banyak usaha dan peruntukan perlu ditumpukan ke arah tenaga alternatif. Tenaga angin, ombak, geotermal dan tentunya tenaga solar menjadi pilihan tenaga paling bersih dan selamat, di samping mampu menampung keperluan tenaga domestik.

Sebarang perubahan pada persekitaran akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi. Jangan diambil mudah kemusnahan dan gangguan keseimbangan alam sekitar kerana ia bukan hanya akan mengancam hidup, malahan mampu meragut nyawa anda!

Dokumentari Home menunjukkan sudut tercantik dan juga terburuk bumi. Luangkan sedikit masa mengamati apa yang ingin diketengahkan dan mungkin anda akan sedar hanya kita dapat menentukan rupa bumi yang diwariskan kepada generasi akan datang. Dokumentari ini boleh diperolehi melalui laman web www.youtube.com/homeproject atau melalui DVD.

Sumber : http://www.utusan.com.my/