: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 18 Jun 2009

Memahami kesan pemanasan global, perubahan iklim


Oleh Rozali Ismail
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai ‘hari untuk semua’ dan pelbagai aktiviti diadakan di serata dunia meliputi perarakan, pertunjukan, konsert hingga kepada penanaman pokok, kitar semula dan gotong-royong membersih kawasan semuanya untuk memupuk kesedaran dan fokus kepada isu alam sekitar.

Hari Alam Sekitar Sedunia juga adalah hari di mana kita semua berfikir sejenak antaranya mengenai isu kemiskinan, pertambahan penduduk, pembangunan ekonomi, pencemaran serta perancangan untuk masa depan. Semua isu ini bukan hanya berkait antara satu sama lain, tetapi juga adalah komponen utama pembentukan konsep pembangunan lestari dan mapan yang mana menjadi objektif sejagat dewasa ini.

Justeru, sambutan ini juga sebagai tanda terima kasih kita kepada anugerah alam yang memberi tempat untuk hidupan semua. Hari ini juga seharusnya memupuk kita memberi tumpuan dan tenaga secara bersama dalam memulihara alam sekitar supaya dunia ini sentiasa bersih dan hijau.

Walaupun sudah agak lama Hari Alam Sekitar Sedunia ini diraikan, iaitu sejak 1972 masih banyak perlu dilakukan. Di seluruh dunia, pelepasan karbon hasil daripada pembakaran bahan api meningkat dengan pantas dan saintis merumuskan bahawa dunia mengalami kenaikan paras air laut, kecairan glasier serta ribut, kemarau dan banjir yang ekstrem ekoran pemanasan global.

Gesaan supaya tahap pelepasan karbon global diturunkan sebanyak 50 peratus daripada paras pada 1990 menjelang 2050. Namun banyak negara percaya ianya harus dikurangkan lebih lagi, iaitu 80 peratus bagi tempoh sama untuk kestabilan tahap CO2 dalam udara bagi pengurangan pemanasan global.

Kita mungkin melakukan yang terbaik dalam memperbaiki dan memulihara alam sekitar yang rapuh ini, tetapi masih belum berjaya dalam mengekang pemusnahan alam sekitar, begitu juga mencari jalan ke arah pembangunan lestari dan mapan.
Tema ‘Dunia Memerlukan Kita - Bersatu Mengawal Perubahan Iklim’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Your Planet Needs You - Unite to Combat Climate Change’ memang bertepatan sekali, menyarankan bahawa peningkatan suhu purata dunia menyebabkan kesan ketara ke atas bekalan air, ekosistem, makanan, susur pantai dan kesihatan sejagat.

Kita seharusnya memperkuatkan komitmen untuk menangani isu alam sekitar seperti memberi kuasa kepada warga semua menjadi ejen pengawasan pembangunan, mempromosi kefahaman bahawa masyarakat memainkan peranan utama dalam pemuliharaan alam sekitar serta membentuk satu perkongsian yang memupuk ke arah pengekalan alam sekitar lestari untuk generasi akan datang.

Sesungguhnya amat susah untuk memulihara dan menilai alam sekitar tanpa mengira elemen pemusnahannya. Saban tahun, jumlah pencemaran kilang menyebabkan penurunan kualiti air. Sekurang-kurangnya 70,000 jenis bahan kimia digunakan di seluruh dunia dan di antara 200 hingga 400 jenis bahan toksik mencemari sungai dan terusan di seluruh dunia. Dianggarkan juga 1,000 jenis bahan kimia baru diperkenalkan setiap tahun! Masalah pencemaran air menjadi ketara dengan pembuangan sisa pertanian dan keadaan ini adalah antara punca pencemaran air di kebanyakan negara.

Semua sedia maklum bahawa kekurangan air bersih adalah akibat pencemaran, lebih guna dan pengurusan yang lemah, sekali gus menyebabkan pengurangan kuantiti dan kualiti air sedia ada.
Di Asia, adalah penempatan bagi lebih separuh penduduk dunia, dijangka menghadapi masalah kekurangan air bersih berikutan pembangunan bandar dan pertambahan penduduk. Catatan juga menunjukkan bahawa sumber bekalan air bersih menyusut lebih pantas daripada penambahannya. Seumpamanya penggunaan air sebanyak 3,920 meter padu air setahun memberi tekanan ketara kepada sumber air bersih.

Anggaran pertambahan penduduk seramai 500 juta orang di Asia dalam tempoh 10 tahun akan menyebabkan peningkatan kepada penggunaan air. Ditambah lagi dengan kesan perubahan iklim, pakar bersetuju bahawa pengurangan had pencapaian kepada air bersih boleh menjurus kepada kepincangan pengeluaran makanan, kehilangan nyawa, migrasi sempadan dan peningkatan ketidakstabilan ekonomi serta geopolitikal. Keadaan keselamatan di kawasan ini sudah tentu tergugat berikutan semua masalah ini.

Dari sudut teknologi, kerajaan dan industri air mempunyai peluang yang besar dalam penggunaan teknologi sedia ada serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pembangunan lestari. Pencapaian dalam bidang analisis kimia untuk perawatan air sebagai contohnya, sudah mendatangkan hasil untuk perawatan sungai dan tasik di negara maju. Penemuan teknologi baru juga berjaya menghasilkan sumber baru daripada sisa terpakai, seterusnya menyumbang kepada kitaran alam sekitar yang lestari.

Memahami semua masalah dan akibat daripada perubahan iklim mestilah dilihat secara global. Oleh itu, penyelesaian yang ada memerlukan penduduk dunia berganding bahu dalam memastikan aktiviti yang dilakukan lebih mesra alam dan mampu menyediakan persekitaran yang lestari dan mapan untuk generasi akan datang.

Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad
Sumber: Berita Harian