: : :PELANGI MALAM: : :

Selasa, 2 Jun 2009

Ilmu keibubapaan


- Ke arah memantapkan institusi keluarga
Utusan Malaysia
6 Februari 2003
ms 07
Keluarga
Oleh Roslah Othman
Institusi keluarga yang kukuh amat penting dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang stabil serta harmoni.
Sesuai dengan kedudukan rumah tangga sebagai institusi pendidikan pertama, ibu bapa merupakan individu yang berperanan penting dalam pembentukan peribadi anak-anak.
Ia termasuklah hubungan mesra yang ditunjukkan oleh suami isteri yang turut mempengaruhi kesempurnaan pembesaran anak-anak.
Justeru, kemuliaan institusi keluarga dan perkahwinan yang menjadi nilai masyarakat perlu dihargai dan dipertahankan.
Menurut Pengarah Bahagian Sumber Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Zahari Mat, berdasarkan laporan kes-kes keluarga di LPPKN sepanjang Januari hingga Mei tahun lalu, lebih 20 daripada 60 kes yang diadukan pada sesi kaunseling ialah kes berkaitan kerenggangan hubungan suami isteri.
``Ini termasuklah hubungan suami isteri tidak intim lagi, anak sebagai beban, hubungan seks tidak lagi menyeronokkan dan perbezaan pendapat,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga Untuk Orang Awam 2003, di ibu negara baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Khoo Swee Kheng.
Beliau berkata, institusi keluarga mengalami transisi perubahan dari segi struktur, nilai dan cara hidup berkeluarga akibat kesan kemajuan negara.
Bagaimanapun kata Zahari, ini tidak bermakna sistem nilai murni melibatkan institusi keluarga dan perkahwinan harus dikorbankan.
``Tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan jenayah turut berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga dan nilai-nilai kekeluargaan.
``Apabila sesebuah negara mencapai kemajuan, mangsa pertama ialah keluarga kerana pada kebiasaannya suami isteri bekerja dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama anak-anak,'' ujarnya.
Situasi ini menjadikan hubungan kekeluargaan kurang baik dan anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan didikan secukupnya.
Ibu bapa menurut beliau, seharusnya berusaha meluangkan sedikit masa dengan anak-anak walaupun tidak mempunyai banyak kesempatan bersama mereka.
``Dengan itu kita masih dapat menyemai budaya baik ke jiwa mereka.Anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang dan didikan secukupnya akan rosak kerana mereka tidak faham makna dan disiplin kekeluargaan.
Disiplin
``Sebab itu kita lihat banyak masalah sosial seperti ponteng, keganasan di sekolah, tidak belajar dan penyalahgunaan dadah serta jenayah berlaku dalam masyarakat hari ini,'' katanya lagi.
Zahari berkata, nilai-nilai murni dan disiplin yang dipupuk daripada institusi tersebut sekali gus dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat.
Menerangkan mengenai kursus yang bakal berlangsung, Zahari berkata, LPPKN dari semasa ke semasa sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat khususnya pelaksanaan program pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan.
Sepanjang tahun ini sebanyak 10 siri kursus pembangunan keluarga untuk orang awam akan diadakan.
Program itu menekankan aspek-aspek kesihatan keluarga, kemahiran berkomunikasi, memahami kerenah anak kecil dan remaja dan membincangkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa.
``Usaha LPPKN menganjurkan program yang dilancarkan hari ini bertujuan menggalakkan anggota masyarakat mengutamakan keluarga masing-masing,'' katanya.
Konsep keluarga yang luas melibatkan saudara-mara yang lain perlu diberi perhatian dan dihidupkan semula dalam masyarakat.
Ini kerana, menurut Zahari, ia merupakan kerangka asas sesebuah masyarakat dan mampu menjadi benteng menangkis pelbagai gejala sosial.
Sementara itu para peserta yang ditemui menyifatkan kursus yang diikuti dapat memberi pengetahuan mengenai bagaimana membina sebuah rumah tangga yang aman dan bahagia.
Bagi mereka, mengerti akan tanggungjawab masing-masing sama ada sebagai suami atau isteri akan lebih memperkukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang dibina.
Bagi Letchumi Krisna, 27, ia juga mendedahkan dirinya kepada kemahiran berkomunikasi dengan pasangan bagi mewujudkan rumah tangga yang bahagia.
``Saya menganggap ilmu yang diperoleh adalah satu kelebihan kepada kami yang bakal mendirikan rumah tangga pada 27 Februari ini,'' katanya yang turut ditemani bakal suaminya, Jayakumar Veerappan,31.
Seorang peserta, Zidaini Putra Yazit, 25, berkata, walaupun beliau tidak mempunyai perancangan untuk berumahtangga pada waktu yang terdekat ini, kursus yang diikuti dapat menambahkan pengetahuannya.
``Sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi pengetahuan dengan pasangan yang bakal berkahwin nanti,'' ujarnya.
Bagi Lai Wai Ken, 28, kursus berkenaan memberi peluang kepadanya mengetahui lebih mendalam mengenai tanggungjawabnya nanti sebagai seorang isteri apabila berumah tangga.
Lai yang turut ditemani tunangnya, Hong Peir Soon, 34, berkata, sekurang-kurangnya ilmu yang diperoleh akan dijadikan asas dalam mewujudkan rumahtangga aman dan bahagia
________________________________________

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]



<< Laman utama