: : :PELANGI MALAM: : :

Ahad, 14 Jun 2009

Kaji semula usul subjek wajib lulus


KULIM - Usul agar bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat pelbagai reaksi daripada tokoh akademik dan orang ramai.

Ada sesetengah pihak membantah cadangan ini sebab ia akan meletakkan pelajar Melayu jauh ketinggalan di belakang khususnya pelajar luar bandar kerana mereka tidak menguasai mata pelajaran ini.

Pelajar tahun akhir Politeknik Kulim, Murni Sharmiza Mustafa, 20, berkata, dengan adanya syarat seperti itu, ia akan menyukarkan pelajar Melayu lulus dalam peperiksaan SPM.

Menurutnya sebilangan pelajar Melayu tidak mampu menguasai mata pelajaran itu dengan baik.

“Saya tidak bersetuju dengan apa yang disarankan sesetengah pihak mengenai Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan SPM.

“Cukuplah dengan hanya mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja. Dengan adanya syarat tambahan ini, ia akan membuatkan pelajar Melayu lebih ketinggalan,” katanya.

Menurut pelajar Politeknik Seberang Perai, Nur Alia Abd Wahab, 20, dia berpendapat, mata pelajaran Sains dan Matematik yang diubah kepada bahasa Inggeris mendapat tentangan hebat daripada beberapa pihak yang mendakwa ia seharusnya diajar dalam bahasa Malaysia.

Katanya, kerajaan seharusnya mengkaji semula usul yang diberikan dengan teliti dan tidak menjadikan ia sebagai satu kajian.

“Kebanyakan alasan yang diberi pihak tertentu selalunya ‘kami masih dalam percubaan’. Ini bukan satu perkara yang harus dicuba kerana melibatkan jutaan pelajar.

“Saya menentang keras dengan usul yang diberikan itu. Kerajaan melaungkan untuk membantu bangsa Melayu. Sekiranya syarat demi syarat diberikan kepada mereka, ini bukan membantu tetapi kita akan lihat kemerosotan kemasukan pelajar Melayu di peringkat pusat pengajian tinggi,” katanya.

Sumber:Sinar Harian