: : :PELANGI MALAM: : :

Rabu, 17 Jun 2009

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA


KE ARAH PEMBESTARIAN DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

“PENDIDIKAN bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat di dalam sistem penyampaian ilmu.
Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjanakan idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.
Tahun 2000 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dengan adanya penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.
Dalam hal ini profesion perguruan di alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara.

Anjakan Paradigam
Sehubungan dengan hasrat ini konsep sekolah bestari telah diperkenalkan dan guru-guru pula haruslah memberi satu respons yang positif ke arah mengimplementasikannya. Dalam situasi ini guru-guru harus membuat sedikit anjakan paradigma terhadap pemikiran serta tanggapan yang akan melibatkan penyusunan strategi pengajaran begitu juga dalam amalan di bilik darjah:

“Kita perlu berkisar dan berganjak daripada norma dan kebiasaan dalam melaksanakan
tugas-tugas kita yang lazim, rutin dan “reasonable” kepada yang lain:
yang inovatif dan imaginatif; yang bersifat non-linear,
dan lateral yang menggunakan budaya “reflective rationality”
dan yang “unreasonable”

(Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin)

Dari petikan di atas membawa implikasi bahawa guru tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi sekarang. Guru harus meneroka dengan lebih giat lagi serta sanggup menerima segala cabaran dalam arena mencari dan menyampai ilmu. Guru seharunya lebih bersifat responsif, proaktif serta dapat membuat penyesuaian terhadap apa sahaja perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan akhibat daripada perkembangan teknologi dan perledakan maklumat.

Perkembangan Teknologi Dalam Pendidikan
Pembelajaran berkesan adalah pembelajaran yang menyeronokkan (Dick & Reiser, 1989). Keseronokan belajar adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua golongan guru terhadap pelajar-pelajarnya. Keseronokan membawa implikasi pelajar tertarik dan berminat hendak belajar, manakala guru pula mempunyai strategi yang boleh mendorong pelajar-pelajarnya memberi tumpuan serta mengambil bahagian yang menyeluruh dalam proses pengajaran pembelajaran.

Situasi ini dapat diwujudkan sekiranya guru dapat menyampaikan pengajaranya dengan bantuan bahan atau media. Perkembangan teknologi telah dapat mempelbagaikan perkakasan dan perisian dalam sistem penyampaian. Bermula dengan interaksi secara lisan, manusia mula berkomunikasi dengan mencatat di atas bahan yang bermula dengan daun hinggalah berlakunya perkembangan teknologi kertas dan percetakan. Seterusnya teknologi fotografi telah berkembang yang menyebabkan terdapatnya gambar-gambar yang dapat digunakan sebagai satu rujukan disusuli pula dengan media elektronik seperti radio, TV, filem, video, VCD, DVD dan perkembangan terakhir dengan ada teknologi maklumat seperti telesidang dan komputer terutamanya dalam bidang multimedia.

Walaupun perkembangan seumpama ini banyak memberi sumbangan terhadap dunia hiburan tetapi tidak dapat disangkal dalam pendidikan perkembangan ini dapat memberi kesan yang positif dalam proses pembelajaran. Sebagai seorang guru perkembangan yang begitu mencabar ini harus dianggap sebagai satu peluang ke arah mempelbagaikan strategi dan mempermantapkan sistem penyampaian ke arah yang lebih berkesan, dinamik, menyeronokan dan menghiburkan.

Sekolah Bestari
Pengenalan kepada Sekolah Bestari adalah merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial dan budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan dapat menggabung serta memberi penekanan terhadap:
• Pembelajaran berbudaya fikir
• Pemusatan kepada pelajar
• Penggunaan pelbagai media secara bijak
• Strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai
• Pengurusan persekolahan yang efektif
Usaha ini adalah ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan persekolahan yang lebih bermakna dan berkesan di mana guru-guru bukan lagi pendeta di atas pentas (sage by the stage) tetapi sebagai pembimbing di sisi (guide by the side) untuk menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan .

“…… delivers education in a dramatically better way to significantly enhance the achievement
of the goals of the National Philosophy of Education, utilizing technology as the enabler,
and supported by appropriate people, skills, policies and processes. It uses information to select and
implement effective tools and practices accompanied by necessary organizational support and
continous professional development”
(Smart School task Force, May 1997)

Keberkesanan pendidikan ini dapat dilihat melalui peranan guru dan pelajar dalam proses pembelajaran melalui kurikulum yang lebih mantap dab bersepadu. Pengajaran guru yang bersifat ‘pembimbingan di sisi” harus mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

• Berfokuskan pelbagai domain untuk membolehkan pelajar berkembang secara menyeluruh dan seimbang.
• Mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan penggunaan bahasa yang tepat merentasi kurikulum
• Pencapaian pembelajaran (intended learning outcomes) dinyatakan secara eksplisit bagi membolehkan pelajar memperolehi akses kepada pembelajaran berkualiti dan pembelajaran berlaku secara “self-paced” merentasi tahun dan tingkatan
• Mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap sejajar dengan era maklumat.

Dalam hal ini guru haruslah berusaha untuk menggunakan pelbagai pendekatan seperti:
• Pendekatan berfokuskan pelajar
• Pendekatan berfokuskan pembelajaran
• Pendekatan berpusatkan pemikiran
• Pendekatan berorientasikan proses
Ke arah mengoptimumkan potensi pelajar dalam proses mencari ilmu yang lebih bersifat:
• Pembelajaran terarah kendiri (self-directed)
• Bergerak pada kemampuan kendiri (self-paced)
• Pemerolehan resos secara akses kendiri (self-accessed)
Dalam hal ini amalan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seharusnyalah tidak lagi tertumpu hanya dengan membekal maklumat dan memberi jawapan berdasarkan soalan serta menggunakan bahan yang terhad sahaja. Apa yang harus dilakukan ialah membekal tugasan yang lebih mencabar terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam sesutau pakej pembelajaran yang memerlukan analisis dan penyiasatan secara kolaboratif dan koperatif dalam menyelesaikannya, mengemukan soalan-soalan yang berkehendak lebih banyak berfikir dan menjanakan minda serta menggunakan banyak bahan dari sumber-sumber yang mudah didapati hasil dari perkembangan teknologi ke arah memenuhi dan mencapai hasilan pembelajaran.

Rumusan
Pendidikan di alaf baru hasil daripada perledakan dan perkembangan teknologi maklumat mempunyai cabaran yang harus ditangani dengan bijak. Guru di bilik darjah harus memahami fenomena perubahan ini dan berusaha menggabungkan pelbagai ilmu, kemahiran dan kreativiti ke arah melahirkan satu corak penyampaian yang berkesan dan bermakna.

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN