: : :PELANGI MALAM: : :

Ahad, 14 Jun 2009

Gadis Gelanggang Futsal



Nur Shakila berdiri di depan gelanggang D' Futsal Centre.
Gadis 23 tahun miliki kompleks futsal Bumiputera terbesar

USIANYA baru mencecah 23 tahun, namun gadis manis dari utara semenanjung, Nur Shakila Ramli, sudah mengabadikan dirinya dalam dunia sukan popular tanah air, futsal kerana percaya sukan itu semakin mendapat tempat di hati generasi muda.

Jangan tersalah sangka, anak sulung daripada empat beradik ini bukannya pemain futsal, sebaliknya beliau adalah orang penting di belakang tabir di sebalik pembangunan sukan berkenaan iaitu memiliki dan menguruskan gelanggang futsal.

Kini, gelanggang D’ Futsal Centre yang terletak di Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis diiktiraf sebagai kompleks futsal terbesar milik Bumiputera di Malaysia kerana memiliki tujuh gelanggang termasuk satu yang bersaiz antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa).

Ditanya adakah beliau juga seorang pemain futsal atau pernah beraksi, jawapannya cukup ringkas, langsung tidak pernah beraksi tetapi cukup seronok melihat aksi pemain futsal, memerlukan kepantasan membuat keputusan secara tepat kerana itulah yang akan menentukan nasib pasukan mereka.

Pendekatan sama juga boleh digunakan dalam pengurusan gelanggang futsal iaitu bijak membuat keputusan dalam soal pelaburan, pemasaran bagi memastikan perniagaan berkembang dan gelanggang sentiasa dikunjungi pelanggan.

Nur Shakila menunjukkan Anugerah Belia peringkat negeri Perlis.
Menyingkap sejarah ringkas gadis utara ini, beliau mula membabitkan diri dalam kerjaya itu sejak tiga tahun lalu dan mengakui ayahnya, Ramli Jusoh, 54, adalah pemegang watak utama dalam merangka kejayaan hidupnya.

“Pada awalnya, saya memang langsung tak berminat dalam sukan futsal, tetapi bila sudah membabitkan diri secara serius baru saya tahu ia memang menyeronokkan. Bak kata orang tak kenal maka tak cinta. Sekarang saya sudah jatuh cinta pada dunia futsal.

“Boleh jumpa ramai pelanggan, pelbagai latar belakang, ada yang muda, ada yang tua. Mereka memang menyeronokkan dan daripada situlah saya menimba pengalaman. Semua ini membantu mematangkan saya,” katanya.

Walaupun memiliki sijil dalam bidang kemahiran elektrik yang diperoleh ketika menuntut di sebuah kolej di Kangar, Perlis kerjayanya tidak menghalang untuk mengembangkan minat dalam bidang yang dipelajarinya.

Nur shakila bersama bapanya, Ramli Jusoh.
Bahkan, kemahiran itu juga sebenarnya membantu meringankan tugasan Shakila kerana pengurusan gelanggang futsal juga berkait rapat dengan soal penggunaan dan pemasangan elektrik.

Maka tidak hairanlah, beliau meneruskan minatnya dalam kejuruteraan elektrik dengan mengikuti kursus sebagai kontraktor. Sebagai permulaan, anak gadis pasangan Ramli dan Zaiton Bakar, 44, ini sudah memiliki lesen kontraktor kelas F.

“Ini permulaan dan persediaan menghadapi cabaran lebih besar. Saya cukup beruntung berada di kedudukan sekarang kerana boleh jumpa macam-macam pelanggan. Kita boleh berkongsi pandangan, pendapat misalnya pegawai bank, mereka boleh bagi idea soal pengurusan kewangan.

“Sebagai perancangan jangka panjang, kami merancang untuk menaikkan taraf kompleks futsal ini setaraf standard antarabangsa, Insya-Allah dalam jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Pendekatan menarik pelanggan yang digunakannya bijak. Umpama menarik minat wanita membeli barang perhiasan, pakaian atau barang kemas iaitu dengan memberikan mereka potongan harga istimewa dan pada masa sama pelanggan tetap akan menerima sagu hati.

Ketika ini, pelanggan tetap bulanan atau pelanggan yang sudah memiliki 10 keping tiket tempahan layak menerima sewa gelanggang percuma selama sejak dan dibenarkan memilih hari dan waktu bila mereka mahu memasuki gelanggang.

“Ada juga diskaun RM10 kepada pelanggan tetap, kadang kala kami berikan hadiah kemeja T kepada mereka. Saya mahu pelanggan berasakan mereka sebenarnya cukup dihargai, dihormati kerana tanpa pelanggan, perniagaan tidak akan berjaya.

“Sebab itu, saya cukup percaya kepada istilah, pelanggan selalunya betul. Kami kena dengar rungutan, masalah mereka dan apa yang diperlukan kerana mereka yang ingin beraksi di gelanggang,” katanya.

Pembinaan kompleks gelanggang itu juga memberikan limpahan kepada penduduk setempat kerana di sekeliling kawasan itu dibina beberapa kedai makan, kedai runcit sebagai industri sokongan. Bahkan lapan pekerja yang D’Futsal juga adalah penduduk setempat.





Profil: Nur Shakila Ramli
Umur: 23 tahun

Ayah: Ramli Jusoh, 54
Ibu: Zaiton Bakar, 44
Adik beradik 1) Nur Shamila, 18, 2) Ahmad Rusydi, 16 3) Nur Syamimi, 13, 4) Aiman Aminuddin, 8.

Pendidikan:
• SK Kampung Salang, Kangar, Perlis (1990-1996)
• SMK Syed Hassan, Kangar, Perlis (1997-2002)
• Kolej Komuniti Arau, Perlis (2004-2006) (Sijil Teknologi Elektrik)

emel: shakilaz_dfutsal@yahoo.com.my

Gelanggang: D’Futsal Centre, Jalan Anak Bukit, Kangar, Perlis.

Anugerah:
• Anugerah Belia Berjaya peringkat Perlis (finalis 2008).
• Pemenang Anugerah Belia Berjaya Perlis 2009 dan layak ke peringkat kebangsaan kategori keusahawan.

Sumber:Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my