: : :PELANGI MALAM: : :

Selasa, 23 Jun 2009

Sentuhan luahan kasih sayang


Oleh NOOR HASLIZA NUSI


Bayi yang kerap mendapat sentuhan ibunya, lebih mahir berinteraksi berbanding bayi yang kurang mendapat belaian.
APABILA bayi menatap mata anda, suatu mesej berbaur kasih sayang akan mengalir daripada bayi kepada anda.

BENAR apa yang diungkap, sentuhan seorang ibu banyak mempengaruhi perkembangan seseorang bayi. Perubahan ini boleh dilihat sewaktu bayi mula berkomunikasi dan bersosial dengan orang di sekeliling melalui senyuman, lirik mata, gerakan tangan, tindak balas mahu dipeluk dan gelak ketawa.
"Sentuhan memberi perlindungan dan menjadi pengikat kasih sayang antara seorang bayi dengan ibunya.
"Ini adalah waktu terbaik bagi seorang ibu untuk menyentuh dan membelai bayinya memandangkan ketika itu jugalah mereka mula belajar mengenali ibunya," ujar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Anna Padmavathy Soosai pada majlis pelancaran Johnson's BabyMost Loving Moments, di Delicious @ Dua Residency, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, sentuhan manja seorang ibu merupakan pengikat kasih sayang dalam perkembangan sosial seorang bayi.
Salah satu cara paling berkesan bagi seorang ibu dan bayinya meluahkan kasih sayang adalah menerusi sentuhan. Sentuhan berlaku sama ada pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin. Sentuhan juga menghasilkan perasaan yang lebih mendalam buat si manja kepada ibu mereka.
"Adalah satu kerugian sekiranya si ibu menyerahkan sentuhan itu kepada pembantu rumah. Anda akan kehilangan peluang berkasih sayang dengan bayi anda," jelasnya
Menurut Anna, kebanyakan ibu kini sibuk dengan tugasan seharian sehingga tiada masa merangsang kasih sayang melalui sentuhan dan belaian jari-jemari.
"Walau sibuk sekali pun, seorang ibu seharusnya membina rangsangan dan perkembangan si bayi menerusi komunikasi, sentuhan, belaian dan urutan.


"Salah satu perkara yang sering dilakukan oleh ibu bapa yang baru memperoleh anak ialah membeli pelbagai jenis permainan berwarna-warni. Sebenarnya ia tidak perlu terutama bayi yang berumur kurang empat bulan. Ini kerana, bayi hanya boleh melihat pelbagai warna selepas mereka berumur empat bulan.
"Bagi si bayi, sentuhan ibu memberi makna yang mendalam pada mindanya. Melalui wajah riang ibu, mereka juga dapat mewarnai kehidupan," kata Anna bahawa seorang ibu perlu meluangkan masa bersama anaknya selepas beberapa bulan mereka dilahirkan.
Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu. Ia boleh dilihat mengikut peringkat umur.
"Pada umur sebulan, bayi mula tersenyum, dua bulan kemudian mereka mula bersuara, usia empat bulan mereka cuba mencapai ibunya, menatap mata si ibu lebih lama dan gelak ketawa," tambahnya.
Kenali empat tanda jalinan kasih sayang iaitu:
Bayi lebih kerap tersenyum
Menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua.
Ketika bayi sedang membesar, dia akan mengukir senyuman setiap kali anda berada di sampingnya atau ketika dia menjangka kehadiran anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dan bersedia mempelajari tentang dunia di sekelilingnya.
Bayi cuba mencapai ibunya
Apabila bayi cuba mencapai si ibu, bayi mahu memberitahu bahawa ibu supaya memeluk, membelai dan merapatinya. Ia juga membawa maksud bayi gembira dengan kehadiran ibunya.
Tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar pergerakannya dan akan membuat pergerakan yang bermakna.
Bayi bergelak ketawa
Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya. Ini merupakan satu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.
Apabila bayi gelak, ia menunjukkan salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda dan ingin memberitahu anda betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.



Dengan berbunyi-bunyi manja sewaktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali si ibu dan sedang berhubung dengan anda.
Bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balas kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.
Bayi menatap mata
Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, satu mesej berbaur kasih sayang sedang mengalir antara bayi kepada anda.
Ia merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat dikenal pasti. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.
Bagi si manja, melihat wajah ibu mampu menenangkan dirinya. Adakalanya si manja seolah-olah sedang menenung anda. Mengapa? Bayi sedang cuba mengingat wajah anda dan mengenal pasti sebuah kasih sayang dan keselesaan.
Sumber : hasliza.nusi@kosmo.com.my