: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 2 Julai 2009

Buang yang keruh, ambil yang jernih



Sejak beberapa hari yang lalu, saya sebagai seorang guru telah menyaksikan dua orang pelajar kesayangan saya sudah tidak bertegur sapa sesama mereka. Saya tidak mengetahui apa-apa yang berlaku antara mereka berdua. Kata orang tua-tua, "pokok takkan bergoyang kalau tiada angin". Walau bagaimanapun, saya yang agak terkejut dengan keadaan ini bermonolog dalaman dan bertanya kepada beberapa orang pelajar lain untuk "merisik" maklumat. Namun begitu, saya masih belum mengetahui perkara yang sebenar.
Saya berharap mereka berdua akan berbaik-baik semula dengan mengamalkan prinsip buang yang keruh, ambil yang jernih. Setiap persahabatan yang terjalin memang murni dan indah. Memori persahabatan ini seharusnya kita kekalkan untuk mengumpul memori-memori indah dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan berasa kesal dan menyesal apabila suatu hari nanti jika tidak berpeluang bebuat begitu lagi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, kawan-kawan yang rapat dengan mereka berdua ini bolehlah meng-e-melkan punca sebenar atau berkongsi idea dengan saya cara-cara untuk menjernihkan keadaan yang saya lihat agak keruh kerana mereka langsung tidak bertegur sapa walaupun berjumpa antara satu dengan yang lain di hadapan saya.
Tuntasnya, kawan ialah lawan jika menyalahgunakan erti penghayatannya.