: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 17 Julai 2009

'Kota Seribu Menara'

Teks dan gambar oleh Zainal Abidin Sulaiman
bminggu@bharian.com.my



MASJID al-Marmari atau kini dikenali sebagai Masjid Muhammad Ali.
Selepas dikuasai Muslim Arab, bumi Kaherah dipenuhi masjid hingga digelar Kota Seribu Menara'

NOTA kaki tafsir al-Quran merujuk kepada Ayat 92 Surah Yunus, menceritakan bagaimana Firaun tenggelam, tetapi jasadnya diselamatkan Allah dan ditemui orang Mesir terdampar di pantai lalu diawetkan dan kelihatan utuh hingga sekarang.

Jasad Ramses II yang dikatakan sebagai Firaun itu kini dipamerkan di Muzium Cairo.

Kisah Firaun dan Nabi Musa AS juga diceritakan dalam al-Quran dan dihurai dalam buku sejarah nabi, manakala filem The Ten Commandments yang dihasilkan pada 1956 sebelum diulang tayang pada 1970-an berkisar kepada Ramses II yang dilakonkan Yul Brynner.

Keinginan penulis untuk melihat lebih dekat tinggalan sejarah Nabi Musa dan Firaun termakbul apabila dapat menyertai rombongan pakej umrah dan ziarah Kaherah yang dianjurkan Andalusia Travel & Tours, baru-baru ini.

Destinasi pertama kami, Piramid Agung Kufu di Giza, antara tujuh keajaiban tertua dunia dan terakhir masih tinggal, dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu atau nama Greeknya, Cheops yang memerintah antara 2606-2583 Sebelum Masihi (SM).



Siap dibina selepas 20 tahun, iaitu sekitar 2580 SM, ketinggian Piramid Kufu yang terletak di kawasan seluas 5.3 hektar ialah 146.5 meter, tetapi hakisan dan kecurian batu teratas meninggalkan ketinggiannya kini sekadar 139 meter.

Setiap sisi pada kaki piramid ini berukuran 231 meter, mengundang rasa terpegun pengunjung memikirkan bagaimana orang dulu membina struktur mengandungi kira-kira dua juta batu blok yang setiap satunya seberat satu tan.

Bayangkan ketika itu, batu terbabit dikatakan dibawa dari satu kawasan sejauh kira-kira 200 kilometer tanpa pengangkutan canggih atau jentera berat seperti kren.

Di sini, pelawat perlu berwaspada dengan peniaga jalanan, pengendali unta dan kereta kuda yang akan mengenakan bayaran tinggi seperti nasib menimpa penulis, manakala jika hendak membeli cenderamata, ada tempat lain yang lebih sesuai.


Keunikan binaan piramid di Giza menjadi tarikan kepada pembuat filem menjadikannya latar belakang atau lokasi produksi seperti filem Mummy dan terbaru, Transformers.

Seterusnya, kami melawat patung Sphinx, dalam bahasa Greek merujuk kepada singa. Patung ukiran batu utuh berbentuk separuh manusia dan separuh singa ini yang terbesar di dunia meliputi 73.5 meter panjang, 6 meter lebar dan 20 meter tinggi.

Mengikut sejarah, Mesir menjadi daerah pertama yang dikuasai kaum Muslim Arab, faktor yang menyebabkan daerah Kaherah dipenuhi masjid hingga digelar Kota Seribu Menara.

Antara tinggalan sejarah lain yang terkenal ialah kota dan kubu Salahuddin al-Ayyubi; Masjid al-Azhar serta Kompleks Masjid Sultan Hassan dan Masjid Ar-Rifa'i.

Kubu atau qal'ah Salahuddin al-Ayyubi dibina panglima perang tersohor, Salahuddin pada 1183 Masihi (M) untuk mempertahankan Kaherah daripada serangan khususnya ketika Perang Salib.

Ia turut menempatkan Masjid al-Marmari atau kini dikenali Masjid Muhammad Ali yang dipenuhi marmar dan granit, Muzium Permata (Qashrul Jawharah) mempamerkan perhiasan raja Mesir seperti singgahsana Raja Farouk dan Muzium Polis (Mathaf as-Syuthah).

Lawatan ke Kompleks Masjid Sultan Hassan memberi peluang pengunjung menikmati keindahan warisan seni bina kerajaan Mamluk. Masjid ini dibina atas arahan Sultan Hassan bin Al-Nasir Muhammad bin Qalawun pada 1356 M dan siap sepenuhnya pada 1363M.

Sultan Hassan bagaimanapun dikatakan dibunuh ketika masjid ini masih dalam pembinaan dan mayatnya tidak ditemui.

Masjid ini menjadi pusat pengajian keempat-empat mazhab dalam Islam, iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali dengan pelawat dapat melihat setiap bilik kuliah yang tercatat nama mazhab berkenaan.

Masjid Saidina Hussain pula menempatkan makam kepala cucunda Rasulullah, Saidina Hussain yang dipancung dalam pertempuran Karbala dan dibawa pulang ke Mesir, tetapi ada juga mendakwa kepala baginda dimakamkan di Syria dan ada pula di Jordan.

Tidak sah lawatan ke Kaherah jika tidak berkunjung ke Universiti Al-Azhar, sebahagian daripada Masjid Al-Azhar yang dibina pada 969 M dan menjadi institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir.

Universiti ini terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan serta pusat pengajian tinggi kedua tertua di dunia yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.

Ia yang dibina kerajaan Fatimiyyah (memerintah 909-1171 M) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahan, pada asalnya adalah Masjid al-Azhar yang satu ketika dulu menjadi pusat pelbagai aktiviti umat Islam, termasuk pendidikan.

Adat melancong, rugi kalau tidak membawa balik ole-ole sebagai kenangan atau untuk dihadiahkan kepada saudara mara serta sahabat handai. Tempat paling sesuai membeli-belah ialah Bazar Khan El-Khalili di sebelah Masjid al-Azhar.

Jika berkesempatan, jangan lepaskan peluang melawat tempat membuat minyak wangi, barang kristal dan galeri papyrus selain Sungai Nil yang menjanjikan pemandangan indah dan romantis pada waktu malam.

Dengan bayaran kira-kira AS$30 atau RM105, kita boleh makan malam di atas kapal sambil menyaksikan keindahan sekitar sungai ini dengan tenang tanpa perlu takut kepada lambungan ombak ganas.

Info
Mesir

Ibu negara: Kaherah

Penduduk: 77 juta

Penduduk Kaherah: 17 juta

Bahasa rasmi: Arab

Mata wang: Egypt Pound