: : :PELANGI MALAM: : :

Ahad, 19 Julai 2009

Pendekatan, strategi terbaik diutamakan demi kecemerlangan pendidikan


PUTRAJAYA: Kerajaan kini memberi keutamaan untuk meningkatkan pendekatan dan strategi yang terbaik demi kecemerlangan pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya dasar, strategi dan amalan yang dilaksanakan perlu sentiasa dikaji kesesuaian dan keberkesanannya serta diberi nilai tambah dari semasa ke semasa dan ini termasuk melakukan penambahbaikan dari segi aspek pedagogi dan kurikulum pendidikan.

"Kurikulum kita perlu dipastikan sentiasa dikemaskini dan relevan dengan matlamat yang hendak dicapai iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti," katanya ketika berucap di majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Pelajaran, di sini, hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini termasuk kurikulum Bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan Bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula 2012.

"Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar perlu dipastikan dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik setelah melalui sistem pendidikan kebangsaan.

"Sehubungan itu, sistem pendidikan kita perlu menawarkan kaedah yang terbaik untuk mencapai matlamat ini," katanya.
Muhyiddin juga berkata sebagai pengurus pendidikan negara, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi yang sesuai dengan keperluan semasa.

"Dengan perubahan pesat yang berlaku dalam bidang pendidikan di peringkat global, kita tidak boleh berpuashati dengan pendekatan dan strategi yang sedia ada.

"Kita perlu sentiasa meneliti dan menambah baik perancangan dasar dan strategi pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan di negara kita sentiasa berada di tahap yang terbaik," katanya.

Katanya dalam usaha menambahbaik kurikulum pendidikan negara, Kementerian Pelajaran sentiasa mengalu-alukan pendangan daripada pakar pendidikan dan kumpulan profesional, baik dari dalam atau luar negara.
Muhyiddin berkata antara nilai yang paling penting perlu ada di kalangan warga Kementerian Pelajaran ialah komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang dirangka untuk kebaikan rakyat.

"Sebagai penjawat awam, adalah menjadi tanggungjawab warga Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan segala dasar yang diputuskan oleh kerajaan dengan sepenuh hati.

"Setiap dasar yang diputuskan telah pun melalui proses pertimbangan yang rapi dan mengambil kira kepentingan majoriti rakyat. Kejayaan dasar dan manfaatnya kepada rakyat akan hanya dapat direalisasikan sekiranya penjawat awam melaksanakan dasar dengan penuh komitmen," katanya. - Bernama