: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 10 Julai 2009

Umat Islam perlu serius pastikan generasi Muslim bersih dadah

STATISTIK Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 merekodkan 12,352 penagih. Secara umumnya 75 peratus penagih ialah Melayu dan setiap hari kira-kira 17 penagih baru dikesan. Kini ada 29 pusat serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan. Menurut sumber agensi, antara 20 hingga 25 peratus penagih di pusat serenti berjaya dipulihkan.

Sementara yang lain gagal dipulihkan, hidup terumbang ambing, menghidap HIV dan Aids. Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terbabit dalam dadah adalah belia.

Mereka pewaris kepemimpinan keluarga, masyarakat dan negara. Sebilangan umat Islam yang hidup bergelumang dadah, HIV dan Aids akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.
Firman Allah bermaksud: "Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Rum, ayat 41)

Pembabitan umat Islam dengan dadah, HIV/Aids dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam jangka panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina dan merempat di negara sendiri.

Bagi mengelak ancaman ini, umat Islam perlu insaf dan renungi peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangan (kuasanya). Jika ia tiada mampu, hendaklah mengubahnya dengan lidah (nasihat). Jika tiada mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati (tidak meredai perbuatan itu) dan itu selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Umat Islam perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggerakkan ahli jawatankuasa masjid/surau, ahli jawatankuasa kemajuan kampung dan pemimpin masyarakat akar umbi turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini.

Sedarlah perbuatan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan penderitaan.

Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti memastikan diri serta keluarga melaksanakan perintah Allah dengan sempurna dan istiqamah. Beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak daripada ancaman dadah dan gejala sosial.

Semua anggota masyarakat bertanggungjawab memburu pengedar dadah. Amat menyedihkan kerana segelintir mereka yang mengaku beriman menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.
Justeru, mari kita menginsafi pembabitan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah. Antara wabak yang kini sangat mencemaskan dunia ialah selesema babi atau wabak H1N1.

Kita perlu berganding bahu memastikan kebersihan diri dan alam serta makan makanan halal dan berkhasiat.

Lakukan senaman untuk kekuatan sistem pertahanan badan, segera mendapatkan rawatan perubatan jika demam, selesema atau batuk, mendapatkan bantuan keluarga, jiran, dan rakan sekerja untuk tugas tertentu, dan menunaikan solat hajat berterusan sebagai doa dan ikhtiar menolak bala bencana serta ujian Allah yang menimpa umat Islam dan manusia sejagat.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala diperintahkan." (Surah at-Tahrim, ayat 6) - Khutbah Jakim online