: : :PELANGI MALAM: : :

Isnin, 24 Ogos 2009

Cabar kemampuan akal

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PERISTIWA Israk Mikraj adalah perjalanan mukjizat yang mencabar kemampuan akal manusia, tetapi menjadi kewajipan umat Islam untuk mempercayainya dengan keyakinan sepenuh hati.

Pegawai Bimbingan Haji dan Umrah Rayha Travel, Mohd Nizam Kamaruzaman, berkata ia adalah peristiwa sangat luar biasa yang tidak boleh dinilai dengan akal manusia kerana perjalanan itu dilakukan oleh Allah.

Menurutnya, Israk Mikraj bukanlah peristiwa yang dilakukan Rasulullah sendiri, tetapi Allah yang melakukan perjalanan terbabit.

"Dalam sesetengah ayat mengenai peristiwa lain Allah tidak memulakan dengan lafaz pujian yang mulia.

"Tetapi dalam peristiwa Israk Mikraj, Allah memulakan ayat mengenainya dengan lafaz pujian yang bermaksud Maha Suci Allah, iaitu pada ayat pertama surah al-Israk," katanya, dalam satu ceramah sempena peristiwa itu di surau The New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mohd Nizam berkata, sekiranya manusia hanya bergantung dengan kemampuan akal memang sukar untuk menilai peristiwa luar biasa itu, tetapi berbekalkan al-Quran umat Islam dapat memikirkan mengenainya.

Beliau membandingkan seekor semut yang berada di dalam saku baju seseorang, mengikut ke mana saja orang itu bergerak dan dalam tempoh beberapa jam kemudian, kembali semula ke rumah.

"Sudah tentu semut yang lain sukar mempercayai cerita semut yang berada di dalam saku baju itu, kerana ia di luar kemampuan pemikiran semut," katanya.

Beliau berkata, semua kejadian yang berlaku dalam Israk dan Mikraj bertujuan memberikan pengajaran kepada umat manusia.

"Dalam peristiwa itu Nabi s.a.w dibelah dada, tetapi tidak dibelah dengan pisau, malah waktunya sangat singkat.

"Orang Islam (umumnya) hanya mendengar dan mengetahuinya, kemudian habis begitu saja, tetapi orang bukan Islam mengkaji kejadian ini dan dari itu mereka mencipta pembedahan tanpa pisau juga iaitu dengan laser," katanya.

Peristiwa itu juga katanya, bertujuan memberikan amaran kepada manusia supaya tidak melakukan kejahatan seperti menabur fitnah, iaitu kesalahan yang besar dosanya daripada membunuh.

"Orang yang membuat fitnah balasannya teruk, seperti diperlihatkan dalam peristiwa Israk Mikraj, kulitnya dibakar sehingga hangus dan tinggal tulang berganti pula kulit baru untuk dibakar lagi," katanya.

Bagi umat Islam, katanya, perkara yang terpenting dalam peristiwa itu ialah mengenai kepentingan solat.

"Solat agak berbeza dengan ibadat lain, kerana perintah untuk melaksanakannya diterima sendiri Rasulullah secara langsung," katanya, sambil menjelaskan kelebihan solat mengajar manusia sifat rendah diri, ikhlas dan memberikan ketenangan.

Sumber: Harian Metro