: : :PELANGI MALAM: : :

Rabu, 26 Ogos 2009

SISTEM HIDUP ISLAM

Sistem hidup Islami bukan hanya terbatas kepada individual dan kemasyarakatan sahaja, malahan juga menafasi komuniti lingkungan hidup dengan ukuran yang semestinya. Nafas Islam mencakupi setiap segi kehidupan dan peraturan 'alami, dan mengatur keseimbangan antara zahir dan batin, individu dan masyarakat. Kebendaan tidak merosakkan gelojak nafsaniyyah, seperti yang menjadi ciri Yahudi. Dan kebendaan tidak perlu diterlantarkan demi yang batiniyyah, seperti ajaran Nasrani. Dan juga, individu tidak merosakkan kepentingan masyarakat, seperti kapitalis, sedang masyarakat juga tidak perlu menzalimi individu, sepertimana yang dapat kita lihat berlaku pada sistem komunis.

Sistem hidup Islami lahir bukan dari hasil sebuah revolusi membuta tuli, yang memperbalikkan kebenaran dan ke'adilan, sehingga masyarakatnya yang berhadap-hadapan saling berbantahan. Kehidupan Islami tidak diciptakan oleh orang perseorangan atau suatu kelompok menurut sistem kenenek-moyangan, lingkungan, keadaan sosial atau peradaban mereka, apalagi berdasarkan hawa nafsu penguasa atau kesenangan sekelompok manusia. Sistem ciptaan manusia itu keadaannya terikat dengan waktu, undang-undangnya bersifat lokal dan dorongannya bersifat nasionalistik, yang setiap waktu menuntut adanya perubahan, pembetulan dan penggantian. Nafas Islami bukan terdiri daripada semua perkara tersebut.

Sistem hidup Islami dibuat oleh ALLAH, TUHAN manusia, RAJA manusia, dan PENGUASA manusia dan 'alam semesta. DIA tidak memihak kepada bangsa tertentu. Semua mereka itu adalah hamba ALLAH yang mendapat perlakuan yang sama. ALLAH tidak menginginkan kesulitan bagi hambaNYA, juga tidak kesusahan dan kesempitan.

Firman ALLAH TA'ALA mafhumnya:

".....(dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran....."(Surah al-Baqarah : 185)

Firman ALLAH TA'ALA lagi yang mafhumnya:

".....ALLAH tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi DIA berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan ni'matNYA kepada kamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah al-Ma-idah : 6)

Demikianlah kehendak TUHAN atas penerusan kehidupan manusia di bumi ini. Ukurannya bukan diletakkan pada kerakusan manusia atas kebendaan, atau bagaimana kebendaan boleh mengatur hidup manusia dan kemudian menguasainya, melainkan ditekankan pada sistem nilai dan norma dalam ukuran iman dan 'amal soleh. Dengan iman dan 'amal soleh itu, TUHAN berkehendak supaya manusia boleh mengatur hubungannya dengan proses Cipta dan Bina ILAHI, dengan dirinya sendiri, dengan sesama manusia dan dengan 'alam lingkungannya. Tanpa dilandasi oleh iman dan 'amal soleh, manusia tidak mungkin boleh mengatur struktur kehidupan yang harmonis dan manusiawi. Tanpa iman, manusia akan menyimpang dari fitrahnya sendiri, menjadi rakus tanpa dapat dikendalikan. Manusia boleh menjadi lebih ganas dan buas daripada serigala yang paling buas. Daya rosak yang ditimbulkan oleh gelojak nafsaniyyah manusia boleh jauh lebih dahsyat dibandingkan dengan gempa bumi memuntah laharnya. Bagi kesejahteraan manusia tidak ada jalan lain, kecuali menempatkan sistem kehidupannya di bawah proses Cipta dan Bina ILAHI. Hanya jalan inilah yang boleh membawa manusia kepada kekal di dalam syurga yang dijanjikan.

Dipetik daripada buku:
TIPUDAYA ORIENTALIS, ATHEIS & MISSIONARI TERHADAP ISLAM
Oleh:
PROF. DR. YUSUF AL-QARDHAWI