: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 18 September 2009

Derhaka jika tidak taat perintah suami


SAYA mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu. Setiap tahun apabila menjelang Aidilfitri, kami suami isteri akan berselisih pendapat mengenai tempat untuk kami berhari raya. Akhirnya kami mengambil keputusan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing untuk menyambut lembaran.

Saya di selatan dan suami di utara. Hanya beberapa kali kami bersama menyambutnya. Apakah saya berdosa dan apakah perkara yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan perkara ini berulang.

Wanita Musykil,
JB.

Anda sudah menderhaka kepada suami walau dengan apa alasan sekalipun. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Wanita yang meninggalkan tempat tidur bersama suami dilaknat sekalian malaikat sehingga dia kembali (Riwayat Bukhari).
Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita dengan kelebihan diberikan oleh Allah SWT” (Annisa: 34)

Sabda SAW: “Mana-mana wanita yang tidur dalam keadaan diredai suaminya maka ia berhak mendapat syurga”. (Riwayat Tarmizi,Ibn Majah)

Kita masih ingat kisah, seorang wanita yang ditinggalkan suaminya kerana musafir mendapat berita ibunya sakit teruk tetapi tidak berani keluar rumah kerana suami berpesan: “Jangan engkau ke mana-mana sehingga aku pulang.” Apabila persoalan ini sampai kepada Nabi SAW. Jawab Baginda: “Taatlah kepada suamimu.”

Kemudian sampai berita kematian ibunya. Berlaku perkara sama di mana jawab Nabi SAW: “Taatlah kepada suamimu”. Pulanglah suaminya dengan perasaan terkejut lalu berjumpa Nabi SAW untuk mengadu hal. Sabda Rasul SAW: “Ibunya dimasukkan ke syurga sebagai balasan ke taatnya (isteri) padamu.”
Ingatlah bahawa syurga bagi wanita selepas kahwin ialah suaminya. Kembalilah kepada Allah dengan memohon ampun dan maaf padanya sebelum terlambat.