: : :PELANGI MALAM: : :

Selasa, 22 September 2009

Jaga batas syariat dalam 'rumah terbuka'


ZAHAZAN MOHAMED
________________________________________

MEGA: Hari Raya juga adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa Ramadan. Lalu kita dibolehkan bergembira menyambutnya tetapi apakah batas dalam sambutan itu?
ZAHAZAN: Allah SWT berfirman yang maksud-Nya:... Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 185-186)
Seorang pakar tafsir, al-Nasafiy menafsirkan ayat ini dengan menjelaskan bahawa doa seseorang itu sentiasa dimakbulkan apabila dia memenuhi perintah Allah dan mentaati-Nya.
Ayat ini mempunyai hubungan yang langsung dengan perintah puasa dalam bulan Ramadan menerusi ayat-ayat ke 183-186 sebelumnya.
Jadi ayat ke 187 ini mempunyai kaitan yang rapat dengan ibadah puasa. Apabila mukmin sudahpun mentaati Allah sepanjang Ramadan dengan menyempurnakan semua ibadah termasuk puasa, maka dia dengan sewajarnya dituntut untuk mengekalkan ketaatan kepada-Nya selepas Ramadan.
Memahami perkaitan antara penerimaan doa dan keseronokan dalam beribadah, mukmin mesti mengawal dirinya dari melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan sebaik sahaja selesai menamatkan ibadah puasa.
Dia hendaklah menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan ke arah memperbaiki diri.
Memang tidak dinafikan manusia suka bergembira, namun kegembiraan yang dicari hendaklah selari dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya.
Sebagai contohnya Rasulullah pernah mengiktiraf dendangan lagu Buath oleh dua orang gadis yang didengari oleh Aisyah r.ha. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Demikian juga al-Hafiz Ibn Hajar mengemukakan sebuah riwayat yang sahih bahawa para sahabat seperti Ibn Umar memakai pakaian yang cantik pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Demikian pula jamuan makan, merupakan suatu yang dituntut oleh Islam berdasarkan banyak hadis sahih. Namun demikian melaksanakan perkara-perkara ini hendaklah dengan pertimbangan-pertimbangan yang betul yang bertepatan dengan syarak.
Sekalipun muslim dibenarkan mendengar lagu-lagu patriotik yang dapat meningkatkan semangat juang, namun lagu-lagu yang memuja syahwat, berunsur syirik dan yang melalaikan dari mengingati Allah tetap diharamkan oleh Islam.
Demikian pula pakaian yang cantik dibenarkan, namun batasan aurat hendaklah dijaga agar tidak mendedahkan aurat.
Selain itu, pergaulan juga mestilah dipelihara agar tidak berlaku perbuatan-perbuatan yang haram. Nabi SAW pernah memberikan amaran menerusi sebuah hadis sahih riwayat al-Maqdisi yang bermaksud: "Jika dicucuk kepala seseorang kamu dengan besi lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya".
Bagi jamuan pula, umat Islam hendaklah menjaga dari berlakunya pembaziran kerana Allah swt mencela sikap ini. Firman-Nya dalam surah al-Israk ayat 27, maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Demikianlah antara batasan-batasan merayakan Aidilfitri yang perlu dijaga oleh seseorang muslim.
Sudah lumrah, masyarakat Malaysia mengadakan rumah terbuka. Apakah batas dan ciri-ciri rumah terbuka mengikut syariat?
ZAHAZAN: Memberi makan merupakan suatu ibadah yang tinggi nilainya dalam Islam.
Antara hadis yang menunjukkan kepada galakan memberi jamuan adalah hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi yang bermaksud: "Wahai sekelian manusia, sebarkanlah salam dan berilah makan kepada orang lain, dan jalinkanlah silaturrahim serta bangkitlah bersolat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, maka kamu akan memasuki syurga tuhanmu dalam keadaan selamat".

Namun demikian antara batasan yang perlu dijaga adalah adalah hendaklah mengelakkan pembaziran, mengawal agar tiadanya percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Jemputan yang dibuat pula janganlah menafikan hak-hak si miskin menyebabkan berlakunya layanan secara double standard yang mengutamakan sikaya semata-mata.
Nabi SAW bersabda maksudnya: Seburuk-buruk makanan yang dijamu adalah makanan yang dijemput orang-orang kaya kepadanya dan ditinggalkan orang-orang miskin. Sesiapa yang melakukan demikian, maka dia telah menderhakai Allah dan rasul-Nya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selepas sebulan menjalani tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa), apakah sepatutnya akhlak dan tingkah laku umat Islam dalam kehidupan seharian?
ZAHAZAN: Allah menggambarkan bandingan akhlak ini seumpama buah bagi sebatang pokok. Firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat ke 25, maksudnya: Pokok itu mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
Menurut Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, Allah menggambarkan akhlak yang murni hanya akan berlaku dengan sebab akidah yang teguh seperti akar bagi pokok tersebut.
Akhlak muslim tidak akan dapat dicorak tanpa akidah yang teguh kepada Allah. Justeru ahli sunnah meletakkan empat perkara yang boleh dilakukan untuk meneguhkan pokok iman itu sekali gus membentuk akhlak yang baik.
Iaitulah dengan menuntut ilmu secara istiqamah, beramal dengan ilmu yang diperolehi, mengamalkan zikrullah secara istiqamah dan banyak melakukan muhasabah dan berfikir tentang nikmat Allah SWT.
Ada juga yang berpendapat takbir hari raya di Malaysia ini lemah, tak bersemangat sebab mendayu-dayu tidak seperti di negara Arab. Soalnya, apakah falsafah di sebalik takbir itu?
ZAHAZAN: Takbir disyariatkan bagi memuji dan membesarkan Allah SWT di atas berbagai nikmat kurniaan-Nya.
Takbir yang disyariatkan selepas mengakhiri Ramadhan bertujuan memuji-Nya atas kesihatan dan kemampuan menjalankan ibadah puasa.
Demikian pula pada Aidiladha, takbir disyariatkan apabila muslim berjaya melaksanakan ibadah haji dari Arafah, Muzdalifah dan bermalam di Mina.
Takbir ini dilakukan sebagai manifestasi rasa syukur kerana mendapat nikmat kesihatan dan kesempatan menyempurnakan kewajipan.
Cuma bagi masyarakat nusantara kaedah melaungkan takbir banyak dipengaruhi oleh amalan budaya Melayu yang bersifat lemah lembut menyebabkan takbir dilakukan dengan lemah mendayu.
Menurut pengarang kitab Majmuk al-fatawa, semua ulama empat mazhab lebih cenderung mengatakan bahawa takbir raya hendaklah dilaungkan dengan nyaring dan lantang tanpa perlu dilagukan.