Puasa didik diri bijak urus masa

PUASA mengandungi pelbagai hikmat dan prinsip agama yang dijangka mampu memandu manusia menghadapi hari-harinya di dunia untuk mendapatkan hasil lebih lumayan pada akhirat kelak.
Permulaan puasa fardu setahun sekali pada Ramadan menandakan betapa pentingnya untuk setiap manusia menghargai nilai masa yang dianugerahkan Allah berjumlah 365 hari.
Solat melambangkan proses penyusunan jadual kerja wajib lima kali sehari, puasa pula suatu proses perjadualan perjalanan hidup manusia setahun sekali.
Allah berfirman bermaksud: “Maka sesiapa yang menyaksikan bulan itu (Ramadan), hendaklah dia berpuasa.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).
Berdasarkan perjadualan ini, setiap manusia sepatutnya mendisiplin diri dengan mengadakan kegiatan tahunan utama yang dapat memantapkan lagi visi dan misi sesuatu pengurusan.
Kewajipan berpuasa pada Ramadan juga menandakan kepentingan manusia merancang kegiatan tahunan yang tidak terlalu lewat hingga penghujung tahun.
Ramadan bulan kelima akhir mengikut kalendar hijrah. Perancangan kerja awal dapat menghindarkan kemungkinan pelbagai masalah dan kerumitan memerlukan penyelesaian jangka masa panjang.
Puasa mempunyai waktu khusus untuk melakukannya. Puasa yang dilakukan tidak pada waktunya akan terbatal. Ketepatan ini meliputi masa mengikut bulan dan hari.
Menepati janji dan masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.
Organisasi yang tidak menghargai dan menghormati ketepatan masa pasti tidak cemerlang.
Inilah pentingnya pengurusan masa kerana ia adalah aset dan bernilai dalam hidup manusia. Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian.
Kepentingan masa dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia memotong kamu.”
Puasa adalah ibadat yang difardukan oleh Allah kepada umat Islam. Ia mempunyai kesan positif dalam mewarnai nilai kemanusiaan yang lebih baik.
Kaitan ibadat puasa dengan pengurusan masa adalah sebahagian panduan penting untuk seseorang manusia membimbing organisasi dirinya dan masyarakat.
Islam sentiasa mengajak umat manusia menjadikan perkara duniawi saling berkaitan dengan ukhrawi, tidak ada pemisahan antara kedua-duanya.