: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 12 September 2009

Syuhada' Ramadan di bumi Palestin


Pagi itu agak kelam, embun pagi berkaca memenuhi penghuni hijauan bumi suci itu. Debu-debu denai ke rumah Allah itu pasti tidak lekang dari zikrullah, melekat pada jubah dan baju calon-calon yang dipilih Allah. Pintu Masjid pada pagi yang istimewa itu dilintasi oleh seorang-demi seorang hamba Allah yang ingin bertemu tuhannya. Yang pasti pagi itu lain dari pagi-pagi yang lain. Jemaah yang hadir di pagi hening itu juga pasti yang terbaik dikalangan yang terbaik, dipilih yang maha Esa untuk diperlihatkan satu ujian. Sebahagian dari mereka pula adalah golongan terpilih dari yang terpilih, kerana mereka bertemu Allah dan Allah memilih untuk bertemu dengan mereka.

Pagi itu, haruman kasturi syurga memenuhi segenap ruangan masjid dengan mengalirnya darah syuhada’. Pintu langit terbuka luas menyambut nyawa-nyawa suci itu untuk bertemu Rabb. Alangkah manis bertemu ilahi dalam keadaan diri sujud dan melaksanakan arahanNya. Namun, hakikatnya lebih menyayatkan, umat Islam dipagi itu dan hampir selamanya masih lena, dan masih belum dikejutkan dari tidur mereka walaupun subuh itu telah berlalu 15 tahun lepas.


Perisitwa in berlaku di bumi suci para anbiya’, Palestin. Di pagi fajar 15 Ramadan itu, 60 orang telah syahid dan hampir 300 orang tercedera angkara kerja Yahudi laknatullah. Masjid yang dimaksudkan ialah Masjid Ibrahimi yang merupakan tempat dimana Nabi Ibrahim disemadikan. Ia terletak di Bandar Hebron atau nama sebelumnya Khalil, nama bersempena gelaran Nabi Ibrahim yang membawa maksud teman setia.

Masjid Ibrahimi sering menjadi tumpuan dan kunjungan umat Islam yang berkunjung ke Palestin. Namun pada masa yang sama ia juga penting pada orang Yahudi yang mempercayai bahawa ianya adalah juga tapak makam Siti Sarah, Siti Hajar, Nabi Ya’kub dan juga Nabi Ismail sehingga mereka menggelarkannya ‘Machpelah Cave’.

Sejarah Ringkas

Penempatan disekitar Masjid tersebut bebas didiami kaum Yahudi sepanjang pemerintahan Islam. Tetapi, peristiwa penawanan Masjidil Aqsa oleh penduduk Yahudi dan Inggeris pada tahun 1929 telah menyebabkan berlaku pertempuran diantara pengganas Yahudi yang datang dari Eropah dan penduduk Arab di kawasan itu yang akhirnya menyebabkan Yahudi telah dihalau keluar dan tidak dibenarkan tinggal dikawasan itu.

Pada 1967, kesan kekalahan pihak Arab dalam perang 6 hari, tempat itu didatangi semula Yahudi dan di kepalai oleh Rabai Moshe Levinger. Setelah mendapat perkenan Zionis mereka telah membina kota dipinggir Khalil yang bernama Kirybat Arba. Dan sejak itulah Makan Nabi Ibrahim yang disebut ‘The Cave of Patriarch’ didalam Old testament, telah mudah dimasuki oleh mereka untuk melakukan ibadat. Lama kelamaan, penduduk Yahudi semakain bercambah sehinggalah kemudiannya ia dibahagi kepada 2 bahagian , iaitu satu untuk masjid dan satu untuk sinagog.

Keadaan bertambah rumit selepas perjanjian Oslo 1993, yang mana pentadbiran kota Khalil telah diserahkan sepenuhnya kepada regim Zionis.

Pembunuh

Dipagi Jumaat yang mulia pada tarikh 25 Februari 1994 bersamaan 15 Ramadan 1415 h,

seorang ekstrimis Yahudi bernama Dr. Baruch Goldstein telah melepaskan tembakan didalam masjid Ibrahimi yang telah membunuh hampir 60 orang dan mencederakan ramai lagi semasa solat Subuh. Yahudi tersebut telah mati dipukul oleh jemaah yang terselamat. Dia yang merupakan seorang doctor perubatan adalah pengikut kepada sebuah kumpulan yahudi radikal Kach.

Dia telah dianggap sebagai hero dikalangan Yahudi dan diberi gelaran ‘Baruch Gever‘yang bermaksud lelaki yang deberkati (Tuhan). Para ekstrimis Yahudi telah menobatkan beliau sebagai wali dan menjadikan kuburnya sebagai kunjungan setiap kali mereka ke Makam Nabi Ibrahim.


Pasca pembunuhan

Terlalu banyak kepelikkan yang terjadi selepas peristiwa ini. Perjanjian demi perjanjian yang termeterai menjadikan kedudukan Yahudi semakin kukuh, bukan sahaja di bumi Khalil tetapi juga di Masjid Ibrahimi. Pihak berkuasa Palestin, PA yang diketuai Yasser Arafat, telah banyak menggadaikan nasib-nasib penduduk Islam Palestin dan khazanah umat Islam. Seolah-olah yang berlaku adalah sebaliknya, atau dalam kata lain yang terbunuh adalah orang Yahudi dan yang membunuh adalah orang Islam. Begitu malang sekali umat Islam, pemimpin bukan sahaja tidak dapat mempertahankan nasib umat, malah menggadaikan pula apa yang dimiliki.

Selepas Masjid itu dikuasai regim, wajah Masjid Ibrahim telah banyak berubah rupa. Kawasan sinagog telah diperbesarkan dan kawasan solat umat Islam semakin mengecil. Dan bilangan tentera yang mengawal semakin bertambah. Itulah nasib umat Islam di bumi Palestin, sudah jatuh ditimpa tangga.

Fikirkanlah

Tujuan disingkap kembali peristiwa ini adalah untuk menjentik sensitiviti kita sebagai umat Islam. Penyembelihan umat Islam seramai 60 orang tanpa belas ihsan seharusnya menyedarkan kita akan tanggungjawab kita. Mereka sanggup mencabuli kesucian rumah Allah, menyanjung orang yang melakukan jenayah itu tanpa sedikit pun rasa simpati apatah lagi rasa hormat terhadap umat Islam Palestin.

Agaknya, persitiwa sehina mana lagi yang perlu terjadi agar dapat menyedarkan umat Islam kini? Renungkanlah sedalam mungkin, pasti ada hikmah yang cukup besar disebalik peristiwa ini. Yang pasti, mereka yang syahid bertemu Allah dipagi fajar itu telah terlepas dari amanah ini. Yakinlah, bahawa kita tidak akan terlepas dari ditanya oleh Allah, atas apa yang kita lakukan terhadap nasib malang umat Islam Palestin.

Ramadan banyak mengejutkan manusia tidur. Hati manusia bangkit, mata manusia celik dan diri manusia bingkas untuk mencari dan mengapai setiap peluang beramal. Beramalah dengan amal yang dapat dirasa sama oleh saudara kita di Palestin, infaq, doa dan kesungguhan.

Oleh: elfadil
Sumber: www.Halaqah.net