: : :PELANGI MALAM: : :

Rabu, 17 Jun 2009

KESEDARAN POTENSI DIRI


DI antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya rasa minat untuk belajar di bilik darjah. Dalam hal ini guru memainkan peranan yang penting ke arah mewujudkan satu suasana yang menyeronokkan yang dapat memberi satu impak kepada pelajar-pelajarnya dalam proses pembelajaran.

Sesungguhnya pembelajaran yang berkesan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri di mana pelajar-pelajarnya berada dalam keadaan yang ceria serta berminat terhadap apa yang dipelajarinya serta bergerak aktif berinteraksi dengan menggabungkan aspek mental, rohani dan jasmani dalam apa jua aktiviti yang diadakan.

Tetapi walau bagaimanapun kadang kala timbul suasana bosan bukan sahaja pelajar tetapi juga di kalangan guru. Dalam keadaan tertentu guru bukan sahaja menganggapkan bahawa pelajarnya sudah tidak mampu menerima apa yang diajar malah sudah "kekeringan idea" untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Maka suasana bilik darjah menjadi tegang, tidak dinamik dan proses penerimaan ilmu kepada pelajar-pelajar bertukar menjadi keadaan yang "memaksa".

Untuk memulihkan keadaan ini guru harus berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara di antara lain menyebut proses pendidikan adalah untuk "memperkembangkan potensi individu."

Pada hakikatnya seorang insan itu apabila ianya dilahirkan ke dunia sudah dilengkapi dengan pelbagai potensi. Potensi akan menyerlah sekiranya ada usaha yang dilakukan untuk meransangkannya.

Dalam hal ini guru harus menganggapkan bahawa kedua-dua pihak iaitu dirinya sebagai seorang guru dan pelajarnya mempunyai potensi.

Potensi Pelajar: Menyedari bahawa pelajar mempunyai potensi maka usaha harus dijalankan ke arah memperkembangkan potensi yang ada pada mereka. Pelbagai program, aktiviti dan strategi harus dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran untuk diberi bimbingan sehingga potensi mereka itu menyerlah ke arah mecapai hasilan pembelajaran yang dirancang.

Potensi guru: Kekeringan idea yang berlaku pada guru dapat dielakkan sekiranya guru menyedari dan menerima hakikat bahawa guru juga mempunyai potensi ke arah penyampaian ilmu dengan lebih berkesan. Potensi yang ada pada guru harus digunakan dengan sepenuhnya. Teori yang dipelajari di dalam kuliah serta ilmu yang didapati melalui kursus dalam perkhidmatan, latihan kemajuan staf, seminar dan penyelidikan harus dapat dijadikan input untuk diaplikasikan dalam situasi sebenar dalam bilik darjah dengan lebih kreatif dan inovatif.

Seiringan dengan usaha memperkembangkan potensi pelajar ini, sistem penilaian juga sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat kebangsaan haruslah bersifat anjal. Penilaian harus mempunyai elemen ke arah mencungkil aspek perkembangan potensi diri secara lebih luas, menyeluruh dan bersepadu dan bukannya terlalu rigid yang berfokus pada satu aspek kecemerlangan akademik sahaja.
Sesungguhnya negara memerlukan generasi muda yang berpotensi, kreatif , inovatif dan dinamik dalam proses pembangunan negara dalam menempuh alaf baru.

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN
[Gelanggang Guru - Utusan Malaysia]