: : :PELANGI MALAM: : :

Ahad, 19 Julai 2009

Sekilas pandang.



SEKILAS pandang, tiada ramai yang memperkatakan tentang lembah Muhassir, yang terletak di sempadan antara Muzdalifah-Mina, tidak mempunyai kesan dan bukti bahawa ia memiliki nilai sejarah apa pun. Di tempat itu tidak ada monumen atau pun tanda-tanda khusus yang bertujuan untuk mengenang sebuah peristiwa. Yang ada di lembah tadi, hanyalah sebuah papan penunjuk dengan tulisan yang menegaskan bahwa tempat itu bernama lembah Muhassir.

Bagi umat Islam, lembah tersebut menyimpan sebuah peristiwa besar dan menjadi catatan penting yang tidak pernah terhapus oleh waktu. Bahkan tidak ada tanda khusus yang terpasang di tempat itu pun, lembah Muhassir telah tersurat dalam kitab suci Al-Quran, (surat Alfiil). Di tempat itulah sekitar 1,500 tahun lalu, mukjizat Allah pernah berlaku di sana. Ketika itu, tentara dari kerajaan Abessinia (kini dikenal sebagai negara Ethiopia) dengan menggunakan gajah, mengerahkan kekuatannya untuk menyerbu Kota Makkah.

Tentera bergajah Abrahah

Pasukan dipimpin oleh lelaki keturunan bangsa Semit bernama Abrahah. Dalam sejarah bangsa Yunani kuno, nama itu lebih dikenal dengan sebutan Abrames. Dengan kekuatan sekitar 60 ribu pasukan dan 13 ekor gajah, Abrahah bersama tentaranya dari Yaman bergerak menuju Makkah. Menurut salah salah seorang sejarawan Arab, Muhammad bin Ishaq, tujuan Abrahah ke Makkah adalah menghancurkan Ka’abah dan menyebarkan agama Kristian.

Tahun Gajah merupakan tahun di mana Abrahah telah datang menyerbu kota Makkah untuk merobohkan dan menghancurkan Ka’abah Baitullah. Abrahah adalah seorang penganut agama Nasrani yang kuat berpegang dengan agamanya. Ia pernah menghantar tenteranya ke Yaman untuk menghancurkan kerajaan Dzu Nuwas yang beragama Yahudi. Perkhabaran yang didengar tentang orang-orang Nasrani di sana yang telah dipaksa meninggalkan agama Nasrani dan memeluk agama Yahudi dengan keras dan kejam telah memuncakkan kemarahan Abrahah.

Abrahah telah berjaya menghancurkan pertahanan Dzu Nuwas dan seterusnya menguasai seluruh Yaman dengan mudah. Kemudian ia segera membina sebuah gereja yang besar di ibukota Yaman, San’a. Gereja itu dinamakan al-Qalis. Tujuannya adalah untuk mengalihkan perhatian orang dari Ka’abah di Mekkah kepada kiblat baru yang dibinanya di San’a iaitu al-Qalis.

Abrahah telah menulis surat kepada raja Najasyi yang berbunyi: “Sesungguhnya aku telah membina untuk kamu sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum kamu. Aku tidak akan tenang sehinggalah orang-orang Arab datang mengerjakan Haji di sini.”

Balas dendam

Apabila orang-orang Arab memperkatakan tentang surat Abrahah kepada raja Najasyi, perkara ini menimbulkan kemarahan seorang lelaki dari kaum Kinanah lalu pergi ke gereja al-Qalis dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaumnya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Ka’abah. Abrahah sangat berang dan berhasrat untuk membalas dendam terhadap pelakunya yang disangkanya adalah salah seorang daripada mereka yang memuja-muja Ka’abah. Namun yang terjadi adalah sebaliknya, gereja yang megah dan mewah itu tidak mendapat perhatian dan kunjungan orang pun seperti yang diharapkan sama ada orang luar mahupun orang Yaman sendiri. Mereka masih tetap berkiblat ke Mekkah. Hancurlah sudah cita-cita dan angan-angan Abrahah untuk menjadikan gerejanya sebagai pesaing dan pengganti Ka’abah.

‘Almughammas’

Oleh sebab itu, hatinya membuak-buak memutuskan untuk menghancurkan Ka’abah. Ia hendak merobohkannya sehingga menjadi tanah rata. Abrahah pun berangkatlah dengan bala tentera bergajahnya menuju ke kota Mekkah. Abrahah lengkap berpakaian kebesaran dengan disertai oleh seorang yang bernama Abu Rughal yang menjadi penasihat dan penunjuk jalan. Sepanjang perjalanan dari San’a ke Mekkah, tiap suku bangsa Arab yang dilalui bala tenteranya akan dipaksa mengaku taat setia dan tunduk kepada kerajaannya. Semasa tiba di suatu tempat bernama ‘Almughammas’ yang terletak di persimpangan jalan antara Tha’if dan Mekkah, Abrahah memerintahkan tenteranya merampas harta-harta dan barang-barang milik penduduk Tuhamah dari suku kaum Quraisy. Antara barang yang dirampas adalah 200 ekor unta milik Abdul Muthalib bin Hasyim, datuk Nabi Muhammad S.A.W yang ketika itu merupakan seorang pemuka dan pemimpin kaumnya dan jabatannya yang bertindak membahagi-bahagikan air zam-zam kepada jemaah pengunjung Ka’abah.

Perundingan

Semasa para pemuka suku Quraisy dan suku-suku Arab lainnya sedang berbincang tentang tindakan yang harus diambil oleh mereka terhadap ancaman dan serangan Abrahah dan bala tenteranya, tiba-tiba datang seorang utusan Abrahah mengajak para pemuka itu untuk berunding dengan Abrahah di tempat perkhemahannya di luar Kota Mekkah. Dengan dipimpin oleh Abdul Muthalib bertemulah wakil penduduk kota Mekkah dengan Abrahah yang menyambutnya dengan hormat dan ramah tamah. Abdul Muthalib, pemimpin yang tampan dan berwibawa penampilannya itu telah diberi penghormatan untuk duduk bersebelahan dengan Abrahah.

Maka bermulalah perbualan mereka. Berkata Abrahah kepada mereka: “Kami datang ke mari tidak bermaksud memerangi kamu, tetapi tujuan kedatangan kami ialah hendak merobohkan Ka’abah, sebagai pembalasan terhadap perbuatan menghina dan kurang ajar yang telah dilakukan oleh salah seorang pemujanya yang telah menodai gereja yang kami bangunkan di San’a dengan membuang kotoran di atas lantainya. Maka jika kamu tidak menghalang kami melaksanakan maksud dan tujuan kami itu, kami sekali-kali tidak akan mengganggu kamu dan tidak setitis pun darah akan mengalir”.

Abdul Muthalib menjawab bagi pihak perwakilan: “Kami pun tidak bermaksud berperang atau mengadakan perlawanan terhadap pasukanmu, kerana memang kami tidak bersiap untuk itu dan kami pun sedar bahwa kami tidak akan berdaya menghadapi pasukan dan bala tenteramu yang besar dan lengkap itu”. Abrahah membalas: “Baiklah, jika memang demikian sikap dan pendirianmu menyambut kedatanganku kemari, maka adakah hal-hal lain yang kamu ingin ajukan kepadaku?”

Abdul Muthalib lantas menjawab: “Kami hanya mengharap engkau dapat mengembalikan harta milik dan ternak kami yang telah dirampas oleh askarmu. “Wahai bapa suku Quraisy, Abrahah berkata: “Sesungguhnya begitu aku melihat parasmu begitu pula aku menaruh rasa simpati dan hormat kepada dirimu. Akan tetapi setelah mendengar tuntutanmu dan permintaan yang engkau ajukan kepadaku ini, hilanglah seketika rasa hormat dan simpatiku kepadamu. Sungguh sangat menghairankan sikapmu ini. Aku mengira pada mulanya bahwa engkau akan membincangkan nasib Ka’abah, rumah suci pujaanmu dan pujaan nenek moyangmu, yang aku datang untuk merobohkannya dan bukan nasib 200 ekor unta yang telah dirampas oleh askarku. Ternyata dari sikapmu ini bahawa engkau menganggap remeh soal Ka’abah, rumah suci yang dipuja oleh bangsamu sejak Nabi Ibrahim hingga kini, dan kerananya engkau bersikap acuh tak acuh menghadapi nasibnya. Bagimu rupanya soal dua ratus ekor unta yang dirampas oleh askarku lebih utama dan lebih penting untuk diselamatkan berbanding Ka’abah yang sebentar lagi akan aku hancurkan. Sungguh aku merasa kecewa melihat pendirianmu yang aneh ini.”

Sombong

Abdul Mutthalib menjawab: “Dua ratus ekor unta itu adalah milik peribadiku dan sudah sepatutnya jika aku berusaha ingin menyelamatkannya, sedang rumah suci Ka’abah ada pemiliknya sendiri dan Dialah yang Maha Kuasa akan melindunginya”. “Ka’abahmu tidak akan terlindung dan terlepas dari seranganku,” menurut kata Abrahah dengan sombongnya. “Terserahlah kepadamu dan kepada Tuhan Pemiliknya yang akan melindunginya,” jawab Abdul Mutthalib dengan sikap dinginnya.

Kemudian Abrahah telah memerintahkan kepada orang-orangnya agar harta milik termasuk dua ratus ekor unta milik Abdul Mutthalib yang telah dirampas itu dikembalikan kepada para pemiliknya. Seruan dan arahan Abrahah itu disambut oleh mereka (Abdul Mutthalib dan rakan-rakan) dengan usul agar Abrahah membatalkan rancangannya untuk menghancurkan Ka’abah dengan tukaran nilai sepertiga dari harta penduduk Mekkah diserah kepadanya. Namun, usul itu telah ditolak mentah-mentah oleh Abrahah. Maka para anggota perwakilan tersebut telah kembali ke rumah masing-masing di Mekkah dengan rasa kecewa dan cemas menanti apa akan terjadi seterusnya nanti.

Cari perlindungan

Menyedari kenyataan bahawa hati Abrahah tidak dapat lagi dilembutkan agar tidak meneruskan niat jahatnya, maka Abdul Mutthalib telah berseru kepada para penduduk kota Mekkah terutama mereka yang tinggal di sekitar Ka’abah, agar menjauhkan diri dan mencari perlindungan di atas bukit-bukit di sekitar kota Mekkah. Setelah daerah sekitar Ka’abah menjadi kosong kerana ditinggalkan oleh penduduknya yang beramai-ramai menuju ke tempat aman, maka Abdul Mutthalib bersama pemuka Quraisy telah pergi menghadap Ka’abah lantas berdoa kepada Allah agar melindunginya dari kemusnahan dan kehancuran.

Apabila menjelang pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Mekah dimana gajahnya bernama Mahmud. Setelah mereka mengarahkan gajah menuju ke Mekah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib. Beliau berdiri di sebelah gajah tersebut kemudian memegang telinganya lalu berkata: Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah. Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah tersebut terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian.

Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut. Setelah itu mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Masyrik (Timur), lalu gajah tersebut berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju ke arah Mekah tetapi gajah tersebut terus duduk. Lalu Allah mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda atau kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi rebah bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. Abrahah terkena lontaran batu tersebut di badannya, mereka membawanya dalam keadaan jari-jarinya terputus tetapi apabila tiba di San’a, Abrahah meninggal dunia di sana.

Sementara itu, para penduduk Mekkah yang berlindung di atas bukit-bukit dengan cemas menanti gemburan Abrahah ke atas Ka’abah seperti yang digemparkan. Mereka kemudiannya merasa lega apabila mendengar bahawa dengan tiba-tiba, Abrahah telah meninggalkan tempat perkhemahannya menuju ke San’a bersama sisa pasukannya yang tidak sempat melancarkan serangan (yang diperintahkan Abrahah). Demikian ini adalah kerana telah datang kepada mereka serangan mendadak dari sepasukan burung yang berterbangan melempari mereka dengan batu-batu dari tanah yang terbakar panas.

Pasukan burung yang dikirim oleh Allah S.W.T. dengan batu-batu yang terbakar itu menjadikan tubuh-tubuh musuh hancur seketika dan jatuh berselerak di atas tanah. Sehinggalah sisa anggota tenteranya yang tinggal menjadi bilangan yang kecil. Mereka itu pulang bersama Abrahah dengan luka-luka parah akibat jatuhnya batu-batu tersebut ke atas kepala dan tubuh mereka.

Mu’jizat

Peristiwa tentera bergajah adalah suatu mu’jizat dari Allah mendahului kelahiran Nabi Junjungan Besar, Muhammad S.A.W., Rasul penutup dan sebagai isyarat pertama bagi perlindungan Allah terhadap agama terakhir yang akan dibawa oleh Rasul terakhirnya itu.

Cerita tentang peristiwa bergajah ini ada disebut di dalam Al-Quran dalam surah Al-Fil ayat 1- 5 yang sebagaimana maksudanya seperti berikut:
“Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah (1), Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’abah) itu sia-sia (2), Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung-burung yang berbondong-bondong (3), yang melempari mereka dengan batu (berasal dari tanah yang terbakar (4), lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat) (5).”

Sumber: Berita Harian