: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 12 September 2009

Iktibar buat diri yang Alpa


Menjadi satu kelaziman apabila seseorang itu mempunyai kelebihan dari segi ilmu dan kedudukan ilmiahnya akan merasa tercabar bila disanggah pendapatnya atau apabila ada yang cuba memberikan pendapat yang berbeza lebih baik. Ilmu sebenarnya tidaklah dapat memastikan seseorang itu terus boleh menjadi seperti padi, "semakin berisi semakin tunduk". Ilmu juga tidak boleh menjamin suburnya nilai murni pada diri seseorang. Justeru Nabi Musa a.s telah diperintah oleh Allah Taala bertemu Nabi Khidir apabila Nabi Musa merasakan dirinya yang terbaik dan paling berilmu ketika itu. Setelah berada bersama-sama Nabi Khidir barulah Nabi Musa kenal diri sendiri bahawa ilmunya amat cetek jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang luas umpama air laut. Allah Taala secara tidak lansung mahu mendidik utusannya agar menjauhi sifat sombong dan ujub.
Ilmu selalu menjadikan seseorang bersifat ujub(ego), sombong dan angkuh. Orang berilmu apabila berbicara sering terdedah dengan rasa 'aku hebat'! Orang berilmu juga apabila ada yang lain memberikan pendapat akan berbisik di dalam hati 'lemahnya dia'. Ilmu juga boleh menjadikan seseorang bertindak di luar batasan akhlak islami. Cakapnya, muamalahnya, hatinya penuh dengan kekotoran mazmumah yang hanya menjadikannya tidak tinggi sepertimana yang sepatutnya ada pada orang berilmu. Sedangkan di dalam Al-Quran Allah Taala berfimran:((Allah mengangkat kedudukan orang yang berilmu dan orang yang beriman beberapa darjat kedudukan )).
Inilah akibatnya apabila orang berilmu meminggirkan aspek pembersihan hati atau tazkiyyatun nafsi. Al-Imam Al-Ghazali mengarang kitab 'Ihya ulumiddin' yang bermaksud 'Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama' bukan sekadar bermaksud mahu menghidupkan ilmu, tetapi beliau mahu mengfungsikan ilmu sebagai satu cara menghidupkan hati-hati ilmuan yang keras. Ilmuan yang cenderung mengkaji, menulis karya, bersyarah dan berdebat akan mengeraskan hatinya jika tidak diiringi amalan 'tazkiyyatun nasfi'. Sejarah telah membuktikan di mana ada golongan ilmuan yang akhirnya menjadi penentang agama kerana terlalu mengagungkan kebolehan dirinya lantas melahirkan ideologi 'Ilmaniyyah' (sekularisme).

Bagi memaknakan firman Allah Taala((Sesungguhnya orang yang takutkan Allah di kalangan hambanya ialah Ulama)),maka ilmuan semestinya tidak boleh meminggirkan aspek pembangunan jiwa. Ia boleh dilakukan melalui solat malam, zikrullah, membaca al-Quran, solat berjamaah di Masjid, bergaul dengan masyarakt awan dan berdampingan dengan orang-orang yang soleh. Semua amalan ini akan mencernakan dalam diri sifat-sifat mulia seperti tawadhuk, baik sangka, hormat menghormati dan saling berkasih sayang. Kecenderungan menjauhi orang soleh dan alim serta tidak bergaul dengan masyarakat awam akan menjadikan ilmuan terus angkuh dan tenggelam dalam ilusi ilmunya yang tidak berpijak di bumi nyata. Benarlah seperti mana sabda Nabi s.a.w:
((Sesiapa yang merendah diri akan diangkat kedudukanya oleh Allah dan sesiapa yang besar diri akan dihinakan olehNya)).
Semoga ilmuan hari ini kembali merenung diri dan bertanya dari manakah datang kebolehan ilmu yang dimiliki. Apakah sememangnya ia milik kita atau pinjaman dari Allah Taala? Cuba bayangkan, tiba-tiba nikmat akal ini dicabut olehNya...apakah yang akan berlaku?

Sumber:Zuridan Mohd Daud