: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 18 September 2009

Sahsiah mulia perkukuh jati diri generasi Muslim

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MANUSIA mempunyai dua fungsi dalam mengharungi kehidupan. Pertama sebagai hamba Allah. Keduanya sebagai Khalifah Allah. Hamba dalam makna kita mengikut segala perintah Allah. Hanya dengan ketaatan pada-Nya manusia mengawal diri daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

Sebagai khalifah, kita berperanan besar menyebarkan syiar kesyumulan Allah di muka bumi ini, di samping memakmur dan mengimarah bumi berlandaskan segala hukum hakam yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

Justeru, salah satu elemen terpenting dalam diri seseorang yang perlu dibangunkan terlebih dulu dalam usaha berjihad dan meletakkan Islam pada martabatnya yang tersendiri ialah pada ketinggian sahsiah dan budi pekerti.
Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan yang pula memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya agar tidak terbabas daripada landasannya.

Pepatah Arab ada menyatakan bahawa,` kecantikan sebenar seseorang itu bukan terletak pada rupa paras, bentuk badan dan pakaian. Tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu dan keunggulan akhlak dan sahsiah diri yang dimiliki`.

Tugas membentuk sahsiah mulia bukan mudah. Ia bermula daripada didikan awal ibu bapa terhadap anak yang dilahirkan.
Menjadi ibu bapa pada zaman kini bukan mudah, pelbagai cabaran dan dugaan perlu diharungi dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak. Peringkat paling sukar sekali ialah peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak-anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, gaya berpakaian dan sebagainya.

Inilah peringkat yang penuh dengan pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh yang tidak baik iaitu yang melekakan, menyelewengkan akidah, yang akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan berbagai jenis salah laku dan jenayah di kalangan remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat sekali, minda kita, ketahanan iman kita, jati diri kita mudah tergugat akibat dari pengaruh pemikiran yang diimport, budaya dan nilai nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya dan Islam.

Kemewahan dan kebendaan ekoran dari kekayaan yang dinikmati hasil daripada usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita .
Akhirnya ketahanan diri remaja luntur mengakibatkan sebahagian mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran, maksiat dan berbagai bagai gejala yang kita sering dengar dan baca. Patutkah kita letakkan tanggungjawab segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat kita?

Ketika-kanak kanak dulu, mereka dimanjakan, suka disayangi, suka dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Namun apabila menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka lagi berbincang atau berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.

Jika mereka pilih rakan yang mengajak kebaikan, bersyukurlah kita. Tetapi ramai lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk akan meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya alam mereka berubah kepada yang buruk.