: : :PELANGI MALAM: : :

Khamis, 18 Jun 2009

SYAIR KELEBIHAN ILMU


Nabi Muhammad saw bersabda bahawa para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka kerana terlalu suka akan orang yang menuntut ilmu. Menurut Ibn Kathir, seorang ulamak tafsir Al-Quran dan sejarah yang terkemuka- ada seorang yang ingin mempermain-mainkan hadis ini dengan berkata "aku akan mengenakan malaikat yang meletakkan sayapnya terhadap penuntut ilmu".Dia memakai kasut yang berpaku dengan tujuan untuk memijak sayap malaikat bagi menguji hadis nabi. Akhirnya apabila sampai di rumah kakinya bengkak dan mengalami kesakitan yang amat sangat.
Sayyidina Ali r.a pernah berkata kepada Ziad al-Nakha’ie bahawa "ilmu lebih penting daripada harta, kerana ilmu dapat menjagamu,sedangkan sebaliknya kamu mengawasi hartamu”.Imu akan bertambah dengan memberi, tetapi harta akan berkurang kerana memberi. Ilmu menjadi hakim dan menghakimi sesuatu perkara tetapi harta mengikut apa-apa yang telah kita hakimi.
Mencintai ilmu merupakan tuntutan agama. Ilmu menjadikan seseorang dikenali dan dihormati. Orang yang alim sentiasa disebut oleh orang ramai walaupun mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Kitab dan penulisan mereka dijadikan sumber rujukan bagi orang-orang yang cinta akan ilmu. Kita hendaklah menjadi seseorang yang berilmu dan menyampaikan ilmunya kepada orang lain supaya ilmu itu berterusan ibarat air sungai yang sentiasa mengalir ke muara. Ilmu yang disampaikan akan mendapat ganjaran di sisi Allah swt sehinggalah terhenti ataupun hingga hari perhitungan iaitu yaumul qiamah.


MAKSUD SYAIR MENGIKUT RANGKAP

Rangkap 1
Pengarang mengatakan bahawa ilmu adalah sesuatu yang sangat berharga. Ilmu juga merupakan sinar atau penerang kehidupan yang sebenar-benarnya. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak akan hilang selama-lamanya.

Rangkap 2
Ilmu merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya. Nilainya tidak dapat disamakan dengan harga dunia dan isinya. Pengaruh ilmu juga sangat besar. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu akan berguna di mana-mana sahaja dia berada atau menjadikan orang yang berilmu itu 'berkuasa' di mana-mana sahaja dia berada.

Rangkap 3
Ilmu adalah teman sejati yang akan menjadi panduan dan teman dalam kehidupan seseorang. Ilmu juga menjadi penyuluh jalan yang benar walaupun ketika seseorang bersendirian. Malahan seseorang yang berilmu itu akan mudah dikenali (kerana perlakuan dan sikapnya) ketika dia berada di khalayak ramai. Ilmu juga menjadikan seseorang itu dipandang mulia.

Rangkap 4
Ilmu merupakan penghibur seseorang yang sedang dalam kesedihan. Ilmu juga menjelaskan sesuatu perkara yang kurang difahami. Malahan, ilmu yang dimiliki (ilmu agama) akan menjamin kesejahteraan hidup di alam kubur (selepas mati) sekiranya seseorang itu mengamalkan ilmunya di jalan yang diredai Allah.

Rangkap 5
Ilmu yang baik itu akan membuka jalan kebaikan kepada seseorang dan akan membimbing kehidupannya ke arah yang diredai Allah (syurga). Dengan ilmu , seseorang dapat memenuhi keperluannya serta menyelesaikan permasalahannya tentang apa-apa perkara pun.

Rangkap 6
Ilmu adalah sesuatu yang sangat penting dan berguna kepada semua insan. Ilmu sentiasa dicari oleh orang yang bijak pandai yang tahu akan kepentingannya. Sesungguhnya bidang ilmu itu sangat luas . Penerokaan ilmu hanya akan terhenti apabila seseorang itu meninggal dunia.

Tema
Tema syair di atas ialah kepentingan ilmu. Ilmu merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seseorang di dunia dan di akhirat. Hal ini disebabkan ilmu menjadi panduan yang amat berguna kepada setiap orang dalam menjalani kehidupan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berusaha melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
2. Kita perlu mengamalkan ilmu yang kita miliki di jalan yang benar dan diredai Allah.
3. Setiap orang perlu menghargai ilmu pengetahuan agar terpelihara daripada kejahatan.
4. Kita perlu memiliki keyakinan serta kegigihan untuk menuntut ilmu.

Sumber: cikgumie