: : :PELANGI MALAM: : :

Isnin, 20 Julai 2009

Tekanan, cabaran rakan sebaya dorong kegiatan tidak bermoral



KEBANYAKAN kes membabitkan remaja terjerumus ke dalam kegiatan tidak bermoral yang dirujuk kepada kaunselor didapati berpunca daripada tekanan dan dorongan serta cabaran rakan sebaya.

Rakan sebaya mempunyai pengaruh besar dalam jiwa remaja dan mereka menjadikannya tempat rujukan tanpa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling, nasihat mahupun bimbingan.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata siasatan mendapati, pelajar bermasalah enggan bertemu kaunselor dan mereka lebih mudah berjumpa rakan yang juga mempunyai masalah sama.
Kesilapan itu kata beliau, menyebabkan remaja tadi tidak mendapat bimbingan terbaik, sebaliknya menjerumuskan diri dalam masalah yang mampu membinasakan antaranya, ponteng sekolah, lari dari rumah, merokok, penyalahgunaan dadah dan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Katanya, kesan berkenaan ketara selepas data menunjukkan kes jenayah dilakukan kanak-kanak meningkat iaitu 6,763 pada 2007 berbanding 5,955 tahun sebelumnya.

Kes paling banyak membabitkan remaja adalah vandalisme iaitu 3,454 kes pada 2006 dan 3,593 (2007).
Berdasarkan perlakuan itu, Mohamed Fadzil berkata, remaja mempamerkan tingkah laku memberontak dan mereka melakukan sesuatu yang dapat dilihat kesannya oleh orang lain. Sasaran mereka ialah dengan merosakkan harta benda awam atau persendirian.

Mengikut prosedur, katanya, jika guru mendapati ada pelajar berhadapan masalah dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan dalam kelas, mereka akan dirujuk kepada kaunselor untuk tindakan lanjut.

Sesi kaunseling, bimbingan dan nasihat awal kata Mohamed Fadzil, penting bagi memastikan pelajar dibimbing ke landasan betul supaya tidak terpesong, sekali gus melakukan gejala tidak sihat hingga boleh menjejaskan tumpuan dan prestasinya.

“Kegiatan samseng jalan raya juga dilihat faktor pengaruh rakan sebaya di kalangan pelajar di mana kes dicatatkan meningkat. Pada 2007 sebanyak 834 kes dilaporkan, berbanding 515 kes (2006). Peningkatan sebanyak 319 kes atau 62 peratus pada 2007 berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan itu mencerminkan keadaan remaja itu sendiri yang gagal mendapat bimbingan serta nasihat wajar daripada kaunselor.

“Enggan berjumpa kaunselor menyebabkan mereka hanyut dan terbabit dengan kegiatan tidak berfaedah yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohamed Fadzil berkata, jika sebelum ini umum mengaitkan pelajar bermasalah datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan bandar mahupun pinggir bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebelakangan ini banyak juga kes pelajar bermasalah datang daripada keluarga mewah dengan pendapatan lebih RM20,000 sebulan.

“Pada 2007 sebanyak 16 kes pelajar bermasalah datang daripada keluarga kategori berkenaan dan siasatan awal mendapati kemewahan tanpa batas menyebabkan mereka mudah terjerumus dengan aktiviti negatif.

“Kurangnya perhatian dan penyeliaan ibu bapa dilihat sebagai punca utama, selain pengaruh rakan sebaya yang mengadakan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak dan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sumber: Berita Harian