LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN

Ubay bin Ka’ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim)
Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.
Jika diberi erti penentuan bermaksud dimalam itu dimulai menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam, syirik dengan tauhid. Dan penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam (Hamka, J. 10, hlm. 8068). Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus sekian lama.
Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan (Ruh al-Maani, hlm. 191), dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.
Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama delapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.
Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isya berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isya.
Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan.