: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 12 September 2009

Pemimpin unggul wajar miliki kuasa, ilmu majukan negara

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PEMIMPIN unggul memiliki kuasa dan berilmu serta bersedia menjalinkan hubungan baik dengan ulama atau ilmuwan bagi memastikan pemerintahan berkesan untuk membawa negara mencapai kecemerlangan.

Pandangan itu dikongsi ahli panel Wacana Ilmu Berita Harian iaitu bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Datuk Dr Mohammed Yusoff Hussain dan Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Zainal Kling.

Mohammed Yusoff berkata, pemimpin dan ulama seperti kaki kiri dan kaki kanan yang tahu bila hendak melangkah supaya jalannya nanti sempurna kerana jika kedua-duanya melangkah pada masa sama, akibatnya jatuhlah seluruh badan.
Beliau berkata, walaupun begitu ada masanya pemimpin perlu bertindak memimpin bagi memastikan kaki dapat dijalankan dan ada ketikanya pula ulama perlu ke depan, barulah jalan yang diatur menjadi rancak.

“Jadi bagaimana langkah kita dalam dunia sekarang. Adakah kita berjalan seiring atau kedua-dua hendak berjalan serentak. Begitu juga hubungan ulama dan umara, jika tidak ada hubungan yang betul, masyarakat akan hancur,” katanya.

Wacana Ilmu kali kedua anjuran Berita Harian Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Scomi Sdn Bhd (Scomi) diadakan di Balai Berita, Bangsar, kelmarin.
Ahli panel yang membincangkan tajuk Hubungan Ulama dan Umara: Adab dengan Pemimpin, bersetuju bukan mudah untuk melahirkan pemimpin alim (berilmu) dan ulama boleh memimpin terutama dalam perkembangan semasa kini.

Mohammed Yusoff berkata, aspek kepemimpinan sudah menjadi pertikaian bermula apabila Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan perkara itu dijelaskan dalam ayat 30, surah al-Baqarah.

Katanya, malaikat tidak bersetuju apabila Allah ingin menjadikan manusia sebagai khalifah di dunia kerana manusia hanya akan melakukan kerosakan disebabkan sifat mereka suka berbunuhan tetapi Allah berfirman sesungguhnya Dia lebih mengetahui.

Beliau berkata, ayat selepas itu perlu difahami kerana ia menjelaskan hakikat kepemimpinan yang sebenar iaitu pemimpin perlu berilmu dan caranya jelas iaitu melalui pembacaan yang akan menjurus kepada pemikiran merancang masa dengan negara serta ummah.
“Sebab itu dalam ayat dijelaskan Adam diajar nama-nama atau ilmu dan apabila Nabi Muhammad menjadi rasul, Allah menyuruh Baginda membaca. Merancang masa depan negara juga membaca, jadi pemimpin yang hendak majukan negara perlu membaca atau ada ilmu,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, kerja memerintah amat rumit dan satu tanggungjawab berat, maka Tuhan menjadikan pemerintah di kalangan nabi pada awalnya kerana nabi diutuskan serta diajarkan ilmu.

Beliau yang memetik kitab Tajus Salatin atau Mahkota Segala Raja yang mengupas kepemimpinan dan pemerintahan Melayu berkata, hanya nabi sanggup memikul tanggungjawab sebagai pemimpin kerana kenabian serta ilmu mereka.

“Ulama Melayu yang awal juga menganggap kerja pemerintahan bukan tugas senang jadi Allah utuskan nabi dengan sifat nubuwah memerintah negara. Dalam keadaan sekarang, kita ada nilai dalam ilmu pemerintahan iaitu nilai adil oleh orang yang memegang kuasa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kuasa boleh menggoda dan menguasai diri menyebabkan pemimpin menyalahgunakannya demi kepentingan diri untuk mendapat apa yang dikehendaki.

Justeru katanya, negara Iran wajar menjadi contoh kerana imam di sana mesti memiliki ilmu dan sifat ulama untuk mencapai gabungan apa yang dinamakan dalam bahasa Plato sebagai The Philosopher Kings.

“Bagi yang tidak mencapai keadaan itu, hubungan antara ulama dan umara mesti erat dan di Malaysia ia dilakukan secara formal. Contohnya, di belakang raja ada mufti sebagai penasihat paling erat kepada pemimpin,” katanya.

Zainal berkata, di negara ini sudah ada usaha menjadikan ulama sebagai pemimpin tetapi malangnya mereka digoda oleh kuasa politik hingga terlupa peranan untuk membimbing ke arah kesejahteraan.

Sebab itu katanya, hingga kini negara tidak dapat melahirkan ulama yang boleh menjadi pemimpin dan pemimpin yang mempunyai ciri ulama dalam diri mereka menyebabkan negara berdepan cabaran hebat.

“Oleh itu, hubungan antara ulama dan pemimpin memang penting bagi melengkapkan antara satu sama lain iaitu ulama nak buat sesuatu tanya pemimpin dan pemimpin nak buat sesuatu minta pendapat ulama. Jika pemerintah dan ulama masih tidak sedar lagi, negara akan runtuh,” katanya.

Sumber:Berita Harian