: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 12 September 2009

Silaturahim Ramadan di bumi Sudan

Daripada Lisna Yakong di Khartoum, Sudan
SAMBUTAN Ramadan di rantau orang, tentu berbeza dengan suasana di negara sendiri, namun ia tidak menghalang kita melakukan ibadat berkenaan, sesuai dengan keadaan setempat. Begitu juga dengan warga Malaysia yang berada di Khartoum, Sudan yang kebanyakannya ialah kakitangan Petronas yang bertugas sini.

Sebagai isteri kepada kakitangan Petronas, ini kali keempat kami berpuasa di Sudan. Lazimnya, kami bersahur jam 4 pagi dan berbuka jam 7.20 petang. Suhu di Sudan yang kadang-kadang mencecah 50 darjah Celsius tidak menjadi kekangan kami daripada meneruskan ibadat yang menjanjikan banyak pahala ini.

Suasana malam diserikan dengan solat sunat Tarawih disusuli tazkirah. Kami amat berbesar hati kerana rakyat tempatan sudi hadir dan bersolat Tarawih dan Witir bersama-sama kami. Selesai solat, kami disajikan dengan juadah moreh yang disediakan pelajar Malaysia di sini. Sementara, juadah untuk berbuka puasa akan disediakan oleh Petronita Sudan mengikut jumlah derma yang disedekahkan oleh sesetengah individu.
Tadarus al-Quran bagi lelaki diadakan selepas solat Tarawih dan Witir. Manakala, muslimat lebih selesa mengadakan tadarus ini pada waktu pagi antara jam 9 hingga 11 pagi. Kebiasaannya, seorang ustazah diberi mandat membetulkan bacaan kami.

Qiyamullail tetap menjadi amalan pada setiap malam Jumaat. Program ini akan disusuli kuliah Subuh. Pada setiap Khamis bermula 9.30 pagi, Halaqah diadakan khusus untuk muslimat, selain belajar agama dan hal berkaitan wanita Islam. Pada masa inilah juga kami dapat berkumpul dan mengukuhkan lagi silaturahim.

Bagi memenuhi masa kanak-kanak pada Ramadan, program Ramadan And Me (My Ramadan Guide) diadakan. Program dalam bentuk kelas intensif untuk kanak-kanak mengenali dengan lebih mendalam mengenai ibadat puasa. Kanak-kanak didedahkan dengan topik asas berpuasa.
Selain itu, pada setiap hari Sabtu, sepanjang Ramadan, bubur lambuk disediakan. Bubur lambuk ini dihidangkan sebaik saja selesai Tarawih dan witir. Bagi pekerja Petronas yang bekerja di kawasan telaga minyak di pedalaman (selatan Sudan), Petronita Sudan mengambil inisiatif menghantar pelbagai jenis kuih raya kepada mereka.

Ini dibuat atas kerjasama warga Petronita yang turut memberi sumbangan bahan mentah. Dengan ini, mereka yang bertugas di kawasan pedalaman ini dapat merasai suasana hari raya juga. Saya amat bertuah kerana dapat menyumbangkan tenaga dengan membantu menyediakan kuih raya berkenaan.

Setiap kali muncul bulan puasa, bazar Ramadan menjadi aktiviti wajib. Kemeriahan dapat dirasai ketika ini, rakyat Malaysia di sini memang ternanti-nanti bazar Ramadan kerana ketika inilah, kami akan dapat merasa makanan tradisional Malaysia seperti laksam, nasi kerabu, laksa, pelbagai jenis kuih, dan banyak lagi. Dapatlah kami melepaskan rindu.

Penduduk tempatan di sini akan menghabiskan masa di masjid pada 10 malam terakhir. Kita akan dapat melihat mereka seperti berkampung di masjid itu. Mereka makan dan tidur di masjid. Ada yang sanggup mengambil cuti daripada tugasan seharian untuk beribadat pada 10 malam terakhir itu. Mereka menganggap 10 malam terakhir Ramadan waktu yang amat diberkati dan penuh dengan pahala, kemungkinan juga mendapat Lailatul Qadar.
Kita dapat lihat kebanyakan masjid dipenuhi sehingga ke jalan raya. Tetapi itu semua tidak menjadi masalah bagi mereka, apa yang penting ialah mereka melakukan ibadat sebanyak mungkin pada 10 malam terakhir itu. Memang sangat berbeza dengan kita di Malaysia, semakin dekat hari raya, semakin kurang saf di masjid, dan semakin lengang suasana masjid.

Rakyat Malaysia di tempat ini juga akan mengadakan Iftar Perdana. Kebiasaannya, kami akan menjemput kanak-kanak tempatan daripada rumah kebajikan, anak-anak yatim dan anak kurang upaya untuk memeriahkan majlis itu. Sesungguhnya melihat mereka ini, menimbulkan keinsafan dalam diri kami dengan sentiasa memanjatkan syukur kepada Ilahi atas kurniaan-Nya. Kegembiraan yang dialami kanak-kanak ini menimbulkan ketenangan kepada diri kami. Semoga program ini akan sentiasa diadakan.

Sungguhpun melakukan ibadah puasa di tempat sendiri memang lebih menggembirakan berbanding di tempat orang, pengalaman yang diraih sememangnya harus kita hargai kerana ia mengajar kita menjadi lebih dewasa dan lebih matang. Salam Ramadan Al-Mubarak.

Penulis mengikut suami bertugas di Petronas, Khartoum, Sudan.
Sumber: Berita Harian