: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 22 Ogos 2009

Islam Pelopor Globalisasi


SIFAT ilmu yang berkembang di Barat, umumnya, mengembangkan faham sekular yang memisahkan ilmu dengan agama dan nilainya. Apabila ilmu tidak berkembang seiring dengan nilai persepsi manusia terhadap perubahan, kemajuan dan pembangunan menjadi tidak seimbang.

Hasilnya, lahir tamadun yang berpaksikan kebendaan dan selera semasa. Ia melahirkan masyarakat yang konsumeristik, menjadikan faham kebendaan sebagai matlamat dan nafsu-nafsi sebagai keperluan hidup yang utama.

Keadaan itu juga lahir manusia Barat yang terus mencari makna diri, hidup, kebahagiaan dan kemajuan. Dalam usaha mencari, mereka terjebak dan terpaut dengan amalan hidup dan pergaulan yang lepas bebas, menjadi penagih arak dan zina yang luar biasa serta kecenderungan terpikat dengan amalan gay dan lesbian hingga wabak Aids/HIV semakin menjadi kebimbangan luar biasa mereka.

Sesetengahnya menghabiskan masa di stadium bola dan kelab malam bagi mengatasi tekanan dan konflik. Kegiatan dan kecenderungan seperti ini tidak serasi, malah bertentangan dengan budaya hidup Islam.

Globalisasi yang menerpa hidup umat Islam kini mempunyai strategi utama iaitu menukar cara berfikir, gaya hidup, pola kegiatan, corak ekonomi dan sosial serta cara makanan dan pemakanan.

Begitu juga dengan kegilaan fesyen berpakaian, berfahaman kebendaan dan nafsu nafsi sebagai lambang untuk maju, moden dan membangun. Inilah yang selalunya menjadi petanda maju oleh sesetengah negara dan umat Islam hingga menawarkan Islam yang fundamental kepada mereka. Perkara sedemikian dianggap sebagai usaha memutar jarum jam ke belakang, kembali kepada faham dogmatik, antisains dan teknologi serta akhirnya sebagai antikemajuan dan perubahan.

Lambang agama dilihat secara fobia atau takut hingga ia dipersenda dan diremehkan. Usaha seperti ini didukung oleh alat komunikasi dan telekomunikasi dan ternyata memberi kesan kepada ramai orang, khususnya generasi muda atau kanak-kanak.

Generasi inilah sebenarnya menjadi matlamat kepada proses globalisasi dan pemBaratan kerana generasi tua masih lagi mempunyai kekuatan nilai. Generasi tua hanya mampu mengeluh terhadap kerosakan akhlak generasi muda, pembabitan mereka dengan salah laku sosial, kehilangan adab dan santun. Mereka hanya mampu mengeluh apabila melihat generasi muda tidak menghormati ibu bapa dan orangg tua; hilang malu pada diri; terjebak dengan ketagihan, salah guna dadah dan mangsa Aids/HIV. Mereka menjadikan sesuatu dari Barat itu lambang kebebasan, kebangkitan baru serta moden dan maju. Hingga akhirnya ada yang berpendapat untuk maju dan moden sepenuhnya kita harus menjadi Barat sepenuhnya.

Dalam konteks berbanding, tidak semua faktor globalisasi merugikan umat Islam. Aspek kemajuan sains dan teknologi, umpamanya, adalah hal yang menarik untuk dikaji dan diterokai. Meskipun, ia terpisah dengan sistem nilai, ilmuwan Islam yang beriman dan mendalami ilmu berkaitan tamadun Islam boleh memberikan perimbangan supaya ilmu dan ketrampilan yang dipelajari dapat disesuaikan dengan keperluan membangun umat Islam yang maju.

Kalau kita teliti faktor globalisasi kini dengan faktor Rahman Alamiah yang terpancar daripada risalah Nubuwwah atau risalah kenabian pada masa lalu, ternyata proses pensejagatan telah lebih awal dimulakan oleh Islam.

Corak pensejagatan Islam atau globalisasi yang ditawarkan oleh Islam kepada Barat mempunyai isi dan corak yang berbeza. Ilmu sains, teknologi, perubatan, matematik dan sebagainya yang ditawarkan ke Barat dan ke Timur seperti India, China, Uzbekistan dan alam Melayu adalah ilmu yang berteraskan nilai.

Nilai Rabbani yang menekankan kepentingan amanah, adab, adil, telus dan tulus sentiasa menjadi pedoman ilmuwan Islam. Kesan ilmu terhadap pembentukan peribadi umat Islam amat jelas sekali iaitu adab dan akhlak menjadi matlamat dalam perjuangan hidup. Ini berbeza dengan globalisasi kini yang memaksakan orientasinya dan tidak ada jawapan tidak terhadap apa yang mereka lakukan.

Oleh itu, untuk mengembalikan konsep Rahmah Alamiah yang menjadi obor perjuangan Rasulullah saw, konsep ummatisasi atau kembali kepada konsep umat dalam erti kata sebenar adalah jawapan terbaik mengimbangi cabaran globalisasi.

Konsep khaira ummah dan ummatan wasata adalah konsep yang amat menarik untuk disuburkan secara strategik dan bijaksana. Perkara ini kerana konsep itu yang bakal mendukung proses ummatisasi.

Ummatisasi mampu menemukan potensi keilmuan dan kepakaran yang ada pada umat. Pada diri umat Islam, Allah kurniakan dengan tiga kekuatan utama:

• Dinul Islam itu sendiri adalah suatu sumber tamadun. Tamadun silam umat harus dikaji semula bukan saja pada kandungan, malah terhadap metodologinya. Harus wujud renungan kembali terhadap hakikat kini supaya kajian semula dibuat secara reflektif serta kreatif dan pada masa sama wujudkan proses integrasi atau Islamisasi terhadap bidang yang perlu.

• Allah kurniakan di perut bumi negara umat Islam dengan kekayaan sumber yang amat banyak. Kekayaan sumber minyak, gas dan uranium, contohnya, mampu menggerakkan ekonomi, pendidikan dan kaji selidik bagi membangun serta mensejahterakan umat. Sayangnya sumber itu amat terdedah kepada muslihat eksploitasi kuasa Barat.

• Allah kurniakan lebih 1.3 bilion umat Islam sebagai sumber tenaga manusia yang amat berpotensi. Sekiranya sumber tenaga ini berada dalam sistem pendidikan yang sepadu dan Islamik, bayangkan corak generasi yang bakal memimpin dan meneraju serta menguruskan sumber kurniaan Allah yang kaya itu.

Tentangan kita terhadap Barat bukan kerana ia Barat, tetapi menginsafi bahawa Barat dan Zionisme sedang berganding untuk menghancurkan jati diri umat dan agama Islam.

Menjadi tanggungjawab umat Islam memberikan perimbangan yang baik dengan mengukuhkan fahaman terhadap Islam sebagai agama tamadun dan Rahmah Alamiah dengan mendidik peribadi berakhlak tinggi. Sekali gus, harus mampu meneroka bidang sains dan teknologi sama ada menerima kaedah berbanding daripada apa yang sedang berkembang di Barat, mahupun usaha terancang untuk melakukan Islamisasi ilmu dalam aspek sains dan teknologi.

Faham saintisme Barat yang hanya mengutamakan akal dan indera semata-mata harus diperkukuhkan dengan nilai Rabbaniah. Perkara ini dilakukan sama ada terhadap epistemologi atau teori ilmu yang patut dikembangkan, mahupun nilai Rabbani yang perlu teguh diamalkan supaya ilmu alat dapat dikendalikan dengan etika dan adab yang tinggi. Inilah yang ditunggu oleh umat manusia pada hari ini, bukannya bentuk tamadun Barat yang mengambil pendekatan penjajahan, tidak mengiktiraf kelainan dan perbezaan.

Tamadun baru yang senafas dengan konsep Rahmah Alamiah ini harus mampu menawarkan umat manusia dengan dua perkara:

• Ilmu Rabbani yang amat diperlukan oleh manusia untuk mengurus diri dan peribadi. Di sini perlunya ilmu agama yang dinamik dan mempunyai mutu tamadun.

• Ilmu alat yang amat diperlukan oleh manusia bagi mengurus organisasi, institusi, sistem dan sumber.

Di sini, perlunya ilmu alat seperti sains dan teknologi.Sekiranya ilmu mengenai akidah, akhlak, syariah, tamadun dan sebagainya dikuasai dan dihayati dengan baik dan pada masa sama umat menguasai ilmu secara strategik dan bijaksana, ia bakal memberi jawapan mengenai jenis peribadi yang kita perlukan. Begitu juga dengan jenis ilmu dan ketrampilan yang patut disuburkan dan jenis perubahan, kemajuan dan pembangunan yang kita mahukan.

Tekad ini tentu menuntut jihad ilmu yang tinggi. Perubahan ke arah ini tidak memiliki jalan pintas, melainkan umat Islam di setiap peringkat harus meyakini bahawa hari depan umat manusia hanya akan kembali sejahtera, sekiranya kembali kepada Dinulfitrah iaitu Islam.

Inilah corak perubahan, kemajuan dan pembangunan yang harus diperjuangkan secara strategik dan bijaksana di tengah gelombang globalisasi yang sifatnya amat asing dengan pembangunan fitrah insan.

Falsafah di sebalik kemajuan di Barat lebih banyak menumpu terhadap penguasaan sumber benda dan memajukannya lebih banyak menghasilkan faham kebendaan yang menggunakan pendekatan 'siapa kuat dialah yang menguasai, siapa lemah dialah yang dikuasai'.

Harus ada tekad yang tinggi untuk merubah pola berfikir umat manusia ke arah menggunakan sumber untuk faedah kemanusiaan dan kesejahteraan.
Sumber: MUJAHID ISLAH

Inilah Jalan Kita


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warah matullah

Puji-pujian buat Yang Maha Pencipta,satu-satunya tempat
yg selayaknya utk kita sembah dan meletakkan harapan.Selawat dan salam buat junjungan
tercinta, Rasulullah s.a.w, para sahabat,para tabi'en dan umat islam keseluruhannya.

"Dari barisan usrah dan dari umbi tarbiyyah muncullah sinaran fikrah
islah terus meniti masa
dari dewan selesa ke jalan yang berhaba
pejuang keadilan dan menjulang kebenaran

bersama islam membina ummah
usaha daulah dan syariah
agar hidup penuh barakah
didalam sedih dan ketawa
didalam susah dan mewah
tetap teguh iman dan taqwa"

Tentu sebilangan dari ikhwah dan akhwat sekalian familiar dengan lirik nasyeed ni.
ana ambil petikannya dari lagu Jalan Dakwah by Alarm me .tujuan ana letak petikan dr lagu tu kerana ana nk share sesuatu yang ana perolehi sewaktu ana membaca sebuah buku karya Al-akh Abu Rijal yang berjudul "Inilah Jalan Kita'.
buku ni ana selalu baca waktu ana abeh study sebelah malam.sebelum2 ana lena tu(kalau tk penat sangat) ana akan belek2 la buku ni.

walaupun kecik aje bukunya tp alhamdulillah,kebanyakkan isi2 dan huraiannya padat,ringkas dan mudah di fahami.ana harap point2 yg ana akan tulis dibawah ini dapat memberi sedikit gambaran pada ikhwah/akhwat yg membacanya..in sya Allah.
utk permulaan,ana amik quote dr penerbit buku ini:

"Oleh kerana lahirnya perselisihan faham dikalangan umat Islam dalam memilih jalan
hidup mereka menyebabkan timbulnya banyak puak dan masing-masing mempunyai jalan dan
cara sendiri,maka ada baiknya bagi kita cuba mengkaji dan meneliti dengan penuh insaf akan jalan yang diredhai Allah, diamna jalan itu hanya satu sahaja,tidak dua dan tidak tiga.jalan yang ditunjukkan oleh Allah Taala sendiri dalam kitab-Nya al-Quran al-Karim dan telah diisytiharkan oleh Rasul-Nya yang terakhir Muhammad dengan tegasnya "Inilah Jalanku".

macam yang dekat atas tu..telah dinyatakan bahawa jalan yang benar itu hanya ada satu.berhubung dengan masalah mencari cara dan jalan yang kita mahu wakafkan,pusat pembicaraan mestilah diletakkan kepada Al-Quran dan sunnah...kerana selama mana kita berpegang pada keduanya,kita tidak akan kabur dan sesat dalam perjalanan hidup kita,in sya Allah.rasulullah juga penah bersabda

"Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya:Kitaballah dan sunnah Rasul-Nya." -Hadith Riwayat Imam Malik (al Mutawatta # 899)

Akhi Abu Rijal mengajak pembaca supaya bersama-sama mengenali intisari sepotong ayat
dalam Surah Yusuf, ayat 108 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku,aku dan orang-orang yang menurutku,
menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti
yang jelas nyata.Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah(dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mepersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain"

Kesimpulan yang telah digariskan oleh penulis berkaitan dengan ayat diatas adalah seperti berikut:

1.kewajipan dakwah dilakukan secara berjemaah

ayat tadi membayangkan garis-garis kasar dan jejak langkah yang diatur dan dijalankan oleh Rasulullah s.a.w sebagai jejak langkah yang pertama dan contoh yg hidup dalam usaha menegakkan isi risalah islamiyyah yg terakhir yang terkenal dengan 'al-quran al-karim' di samping menyatakan bahawa islam tidak mengajar umatnya
menjalankan kewajipan secara peribadi atau perseorangan dan secara keciciran tanpa ada pemandu ,pengikut dan sistem.

antara rukun-rukun kasar dalam sebuah jemaah adalah:

a) pasti mempunyai Amir atau pemimpin
b) pasti ada pengikut, penyambung perjuangan dan tentera yang setia
c) pasti jelas manhaj dan cara
d) pasti mempunyai matlamat yg benar dan terang iaitu Allah
e) pasti bersihkan akidah selaku asas dalam berpijak
2. Pemimpin hendaklah tegas dan tegak

pemimpin mestilah wujud dalam sesebuah jemaah.seseorang pemimpin jemaah Islamiyyah hendaklah bersikap tegas dan terus terang dalam menentukan cara perjalanan jemaahnya seperti mana Allah mengajar Rasul-Nya supaya mengiklankan cara dan manhaj perjalanan jemaahnya dengan firman dalam surah Yusuf ayat 108.

3. Ittibak(huruf 'ain) adalah wajib

yang dimaksudkan dengan ittibak ialah mengikut sunnah dan perjalanan Rasulullah s.a.w.Baginda adalah Rasul yang terakhir yang menerima wahyu dari Allah utk dijadikan ajaran dalam hidup sebagai agama yang dikenali sebagai Islam,maka umatnya dan pendakwah2 selepasnya sama ada pemimpin ataupun pengikut,kesemuanya
adalah berkewajipan hanya ittibak dengan penuh ikhlas dan iltizam.

4.Manhaj jemaah pasti terang dan diredhai Allah

Manhaj atau kaedah yang dijalani oleh jemaah Islamiyyah pasti jelas,lurus dan diredhai Allah.Mengikut syarat ayat td secara sepintas lalu, didapati bahawa manhaj jemaah Islamiyyah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w adlah berintikan dua perkara pokok:

a) dakwah kerana Allah
b) lurus, jelas, dan yakin

5. Tugas dan lambang jemaah

kewajipan mengikut apa yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut cukup jelas yakni menyeru,mengajak dan membawa manusia kpd mentaati Allah atau dengan kata lain berusaha dengan sedaya upaya supaya ajaran Islam dapat menguasai sepenuhnya dalam mengatur hidup manusia disetiap bidang di dunia ini.

6. Matlamat hendaklah terang dengan memusatkan hanya pada Allah

tujuan bagi perjuangan hidup kita hendaklah terang yg pada umumnya adalah memusatkan hanya kepada keredhaan Allah semata-mata yakni menyeru manusia supaya menjalani kehidupan hanya kepada ajaran Allah dari sekecil-kecil lapangan seperti masuk keluar tandas hingga kepada sebesar-besar lapangan seperti kenegaraan dan pemerintahan.ini kerana,selama mana hamba Allah tidak nampak 'ghayah' atau matlamat yg pasti tujuannya ,maka selama mana itulah pula ia tetap kabur dengan cara dan jalan yang ia jalani di atasnya .

7. Asas dan akidah pasti bersih

setiap pendakwah atau pejuang pasti mempunyai akidah dan asas perjuangan yg bersih serta yakin dengan kesempurnaan Islam selaku manhaj dalam dakwah dan jihad.dari asas itulah ia bertitik tolak.cuba kita perhatikan ,bahawa betapa teguhnya keyakinan Rasulullah s.a.w dengan ke-Esaan Allah dan kesempurnaan-Nya dan kesempurnaan Islam selaku agama Allah utk mengatur di segi akidah,ibadah,pergaulan,perjuangan,pemerintahan ,perudangan, dan kenegaraan.

demikianlah serba sedikit ulasan ttg isi buku 'Inilah Jalan kita' yang dapat ana tuliskan disini.huraiannya mungkin agak ringkas memandangkan kekangan masa dan ana bukanlah pandai sangat utk mengulas dengan lebih menarik.namun,apa yang ana harapkan..ikhwah dan akhwat mendapat sesuatu dari pembacaan entry kali ini.

sebarang salah silap ana pohonkan keampunan dari Allah dan antumma/antunna.
wallahu'alam
wassalam warahmatullahi wabarakatuh

Sumber: Salwa Mohd Saleh

Mentaati ibu bapa


________________________________________
- anakku, jadilah anak yang soleh dan solehah.

Berikut antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan:

1.Ibu bapa suka jika anak berbakti kepadanya. Sahut panggilannya, penuhi suruhannya, ringankan kerjanya, membantu tanggungan sara hidupnya, jaga dia ketika sakit, hidangkan makan, bertanya khabar dan ambil tahu kehidupannya jika tinggal berjauhan dan sebagainya.

2.Ibu bapa ada hati dan perasaan. Walaupun umpamanya mereka sudah nyanyuk dan lanjut usia tapi hati mereka masih boleh merasa dan terkesan dengan kata-kata serta tindak-tanduk anak.

3.Ibu bapa pantang ditegur. Umumnya ibu bapa sentiasa rasa diri mereka lebih betul dari anak sebab mereka lebih dulu makan garam. Jadi pantang kalau anak tegur ibu bapa dalam satu-satu perkara secara semberono.

4.Ibu bapa mudah terkesan dengan pandangan mata anaknya. Kalau anak pandang dengan kasih sayang, ibu bapa akan tahu. Begitu juga jika sebaliknya.

5.Ibu bapa tidak suka digula-gulakan oleh anak. Mereka sukakan pemberian dari anak tapi hati kecil mereka menolak pemberian yang bukan dari hati atau sekadar untuk ambil hati.

6.Ibu bapa tidak suka anak campuri urusan peribadi mereka. Misalnya jika ayah seorang duda dan berhasrat kahwin lagi, dia tidak akan senang jika anak tunjuk sikap membangkang atau membuat komen yang sakitkan hati.

7.Ibu bapa suka dijadikan tempat rujuk. Kalau anak tak pernah minta pandangan, tak pernah minta restu dan doa, hati mereka boleh terguris.

8.Diam ibu bapa biasanya tanda tak setuju. Ini anak perlu faham. Kalau anak meminta persetujuan ibu bapa dalam sesuatu perkara tapi mereka diam saja, maka diam itu berkemungkinan besar tanda tidak setuju.

9.Semakin lanjut usia, ibu bapa semakin sensitif. Kalau seseorang itu ada ibu atau ayah yang sudah lanjut usia, ada baiknya dia lebih berhalus untuk jaga hati mereka. Tersilap sedikit pun boleh lukakan hati dan mengundang rajuk mereka.

10.Ibu bapa umumnya suka manjakan cucu dan tidak senang jika cucunya diapa-apakan. Jadi kalau hendak marah atau rotan anak, ia tidak boleh dibuat di depan mata nenek atau datuknya untuk jaga perasaan mereka. Jadi banyak sudut yang boleh ditengok untuk menjaga hati dan perasaan ibu bapa. Bolehlah dikatakan, menjaga hati mereka bagaikan menjaga kaca yang mudah pecah.

Ciri-ciri Ibu Sejati


Sifat utama yang dibekalkan oleh Allah kepada mana-mana ibu adalah sifat kasih sayang yang tinggi. Dengan kasih sayang inilah seorang ibu itu benar-benar dapat menjadi ibu. Dari sifat kasih sayang ini bercambah sifat-sifat lain yang menyerlahkan lagi sifat keibuan sejati pada dirinya.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, berikut adalah antara ciri-ciri yang selalunya ada pada ibu-ibu yang memiliki sifat keibuan sejati:

1.Kasih sayangnya menyerlah

Ibu yang sejati di dalam Islam akan memberi kasih sayang bukan saja dalam bentuk belaian dan kemanjaan tapi juga didikan. Di samping keperluan fizikal anaknya dipenuhi, keperluan rohani turut diisi. Kerana tingginya kasih sayang ibu ini, dia mengharapkan kejayaan yang berkekalan buat anaknya.

Justeru anak itu dididik dan dibentuk peribadinya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. “Anak itu milik Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah,” ujar Us. Hj. Mohd Nasib Zawawi dari firma motivasi Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

2.Prihatin dan ambil berat

Kadang-kadang anak sudah besar panjang pun, ibu masih prihatin, ambil berat dan ambil tahu tentang diri anaknya. “Ibu saya sampai sekarang, bila jumpa dia akan tanya, kamu dah solat ke belum,” kata Hj. Mohd Hanim Mohd Tahir, pakar motivasi.

3.Halus perasaan

Ibu yang sejati dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa badan’ anaknya. “Ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu,” kata Ustazah Nasiyah Hj. Abd. Razak.

4.Suka beri nasihat

Sifat seorang ibu sejati, dia suka dan sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Oleh itu dia selalu menjadi kaunselor dan tempat rujuk anak-anaknya. Dalam kitab ada dinukilkan pesanan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan.

Sifat suka memberi nasihat ini didorong oleh keinginan untuk melihat anaknya mendapat yang terbaik dalam hidupnya.

5.Sangat sabar dan berlapang dada

Dari wajahnya sudah dapat dibaca sifat sabar dan lapang dadanya. Bukan dia tidak pernah marah tapi dia pandai dan mampu mengawal perasaan. “Mak saya bila anak-anaknya datang, dia layan semuanya dengan wajah dan senyum yang manis,” cerita seorang teman mengenai ibunya yang berusia akhir 70-an.

“Tak pernah dia tunjuk rasa tak senang atau marah. Walhal bukan tidak ada antara kami yang pernah mengecilkan hatinya. Bagi saya, itulah ibu sejati.”

6. Lembut tapi tegas

Wataknya ‘adjustable’. Di mana perlu berlembut, dia akan berlembut. Di mana perlu tegas dan tidak boleh beri muka, dia akan tunjukkan ketegasan. Namun waktu tegas, sifat kelembutannya masih terjaga. Dia tegas bila melibatkan soal disiplin, peraturan atau perintah Allah, tapi wataknya yang lembut tidak pula bertukar keras dan kasar.

7.Suka meraikan

Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu yang tinggi sifat keibuannya masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Bila anak balik bercuti misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak.

Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

8.Tidak pilih kasih

Tidak ada di kalangan anak-anak yang berasa dirinya kurang disayangi. Selain terhadap anak-anak sendiri, sifat menyamaratakan kasih sayang ini dapat dilihat pada layanannya terhadap anak orang lain. “Anak orang lain macam anak dia juga,” ungkap seorang kawan ketika bercerita tentang seorang mak cik yang pernah ditemuinya.

Dengan kekuatan sifat keibuannya, seorang ibu dapat membentuk dan mencorak anak-anak di rumah, mencorak anak-anak didiknya di sekolah jika dia seorang guru, atau membentuk ‘anak-anak’ di pejabat jika dia seorang ketua pejabat.

Sahabat


"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar.. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan.. Sahabat sejati menjadi pendorong impian.. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.."

Tingkatkan Daya Ingatan

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yg pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta2, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.
Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita t ida k menjadi terlalu pelupa.

Antaranya ialah:
Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup.

Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda t ida k tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang t ida k peka dengan keadaan persekitaran. Anda t ida k dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan per eda ran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda t ida k ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan t ida k segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda t ida k hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan
Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali
Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan.

Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik

3 daie: Pengertian Ramadan

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

DARI kiri: Nabil Ahmad,Awangku Omar Asfuaddin Pengiran Hamdan dan Ustaz Azri. - Foto Sobri Sudin

Meraikan hari pertama bulan suci, Ramadan, XY - Ikon Lelaki menampilkan tiga personaliti yang memenuhi aspirasi lelaki Muslim hari ini. Ikuti pengertian bulan seribu rahmat ini dalam hidup Awangku Omar Asfauddin Pengiran Hamdan; Ustaz Nabil Ahmad dan Ustaz Mohd Azri Ahmad Kamil Al-Hafiz.

RAMADAN datang lagi dengan 1,001 rahmat dan pahala kepada umat Islam. Selain berlapar dan dahaga sepanjang hari, Nabi Muhammad SAW juga menganjurkan umatNya mengerjakan solat tarawih setiap malam.

Menurut Abu Hurairah r a, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barang siapa yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan diampuni Allah dosanya yang lalu”.

Sempena meraikan bulan mulia ini, XY - Ikon Lelaki mendekati tiga personaliti agama daripada profesion dan latar belakang berbeza. Setiap insan istimewa ini punya cerita tersendiri serta mahu berkongsi keistimewaan Ramadan dengan pembaca.

Awangku Omar Asfauddin Pengiran Hamdan; Ustaz Nabil Ahmad dan Ustaz Mohd Azri Ahmad Kamil Al-Hafiz - masing-masing contoh terbaik mewakili generasi baru pemimpin agama.

Mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 baru-baru ini. Awangku Omar Asfauddin, 31, membuktikan usia muda bukan penghalang bergelar qari negara serta mendalami ilmu al-Quran.

Sama rentaknya dengan personaliti agama Astro Oasis, Ustaz Nabil, 29, yang bertanggungjawab mengemudi program Jemputan Umrah stesen kabel itu. Bagi Ustaz Nabil, dakwah boleh dilakukan melalui pelbagai medium tanpa batasan.

Pada usia 24 tahun, Ustaz Mohd Azri pula membuka lembaran baru dalam pengurusan masjid. Pada usia semuda itu, Ustaz Mohd Azri dilantik menjadi imam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar. Nyata, pengalaman menjadi imam di Masjid Negeri Pulau Pinang pada 2003 membawa anak muda ini melalui episod baru dalam hidupnya.

Berlatarbelakangkan Masjid Putra di pusat pentadbiran negara, Putrajaya, tiga ikon agama ini berkongsi aspirasi hidup mereka serta pengertian Ramadan.

Al-Quran pegangan hidup


ILMU pembacaan al-Quran bukanlah asing dalam hidup Awangku Omar Asfauddin. Sejak usia 11 tahun lagi, beliau sudah berjinak-jinak menyertai pertandingan Tilawah al-Quran di peringkat negeri hingga muncul juara qari kanak-kanak peringkat kebangsaan.

Bakat yang dilentur sejak kecil itu dipertajamkan dengan bimbingan guru seperti Bujang Sulaiman, Johari Samad, San’ani Fauzi termasuklah bekas qari negara era 1980-an, Ustaz Ismawi Duet.

Kerja keras mendalami ilmu bacaan al-Quran membuahkan hasil apabila Awangku Omar Asfauddin terpilih mewakili negara pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51. Biarpun tewas, Awangku Omar Asfauddin tidak merasakan ia penamat dalam mendalami kitab agung itu.
“Saya melihatnya (kekalahan) dalam sudut positif. Daripada pemerhatian saya, qari dari Iraq dan Indonesia memang hebat dan mereka nampaknya memberikan yang terbaik.

“Bagi saya, kalah atau menang bukan ukuran sebaliknya daya usaha dan semangat berkongsi ilmu itu lebih penting,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam taranum dan tajwid.

Bagi qari muda ini, pentas tilawah bukanlah asing dalam hidupnya. Awangku Omar Asfauddin pernah mewakili Sarawak bagi Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

“Tidak dinafikan pertandingan tilawah peringkat kebangsaan lebih mencabar kerana kita mempunyai ramai qari dan qariah berbakat. Semua peserta ini sama hebatnya dengan peserta pertandingan peringkat antarabangsa,” kata jejaka berasal dari Bintulu, Sarawak ini.

Sisi berbeza dirinya, Awangku Omar Asfauddin bercerita skop kerjaya sebagai Pembantu Pentadbiran Baitulmal Sarawak di Bintulu. Mengakui sedikit janggal apabila ramai mengkelaskan qari sebagai ‘orang agama’, Awangku Omar Asfauddin membuktikan beliau sama seperti anak muda lain.

“Agak lucu mengenangkan detik saya mendaftar diri dalam tilawah lalu. Ini kerana penganjur keliru siapa yang bertanding. Ramai menyangka pegawai pengiring yang menjadi qari mewakili Sarawak.

“Secara peribadi, sesiapa saja layak mendalami ilmu bacaan al-Quran asalkan berminat dan mendapat bimbingan dengan mereka yang berkelayakan,” katanya.

Ditanya soal pengertian Ramadan pada dirinya, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, selain menahan lapar dan dahaga, Ramadan mendidik umatNya lebih berdisiplin serta menjadi hamba yang bertanggungjawab kepada Allah SWT.

Awangku Omar Asfauddin turut berkongsi tip mendalami ilmu al-Quran. Bagi beliau, ilmu al-Quran harus dipupuk sejak kecil dan diterapkan dalam nilai didikan ibu bapa. Ini katanya, tentu dapat mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat.

PROFIL: Awangku Omar Asfuaddin Pengiran Hamdan
Umur : 31 tahun
Tarikh lahir : 5 Jun 1978
Tempat lahir : Bintulu, Sarawak
Tinggi : 165 sentimeter (sm)
Berat : 50 kilogram (kg).

Berdakwah cara moden

BAGI penonton setia rangkaian Astro Oasis, pasti tidak janggal dengan kelibat personaliti agama ini. Ustaz Nabil yang mengemudi rancangan Jemputan Umrah di stesen kabel itu makin dikenali ramai. Mengendalikan program berbentuk agama, masih ada cabaran yang harus dipikul anak muda ini dalam menyampaikan mesej Islam pada persekitaran hari ini.

Mengulas keberkesanan dakwah melalui medium elektronik, Ustaz Nabil berkata, televisyen sebagai saluran penyampaian maklumat dianggap antara medium terbaik berinteraksi dengan penonton secara langsung.

Beliau berkata, medium televisyen yang memaparkan visual dan audio lebih berkesan dalam penyebaran mesej keagamaan.

“Melalui penyampaian maklumat tepat dan berkesan, saya percaya penonton memperoleh manfaat terbaik dalam mendalami ilmu keagamaan,” kata Ustaz Nabil yang juga bertugas sebagai Pegawai Bahagian Penyelarasan Program Agama di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ditanya apa hukuman yang wajar dikenakan kepada umat Islam yang tidak berpuasa, Ustaz Nabil berkata, secara logiknya umat Islam harus memiliki rasa hormat sesama insan. Umat Islam juga perlu tahu kebesaran Ramadan serta melipatgandakan amalan.

“Bagi saya, tidak cukup sekadar menghormati orang lain yang berpuasa. Golongan yang enggan berpuasa ini wajar diberi kaunseling dan ceramah untuk mendedahkan mereka kebesaran Ramadan.

“Pada masa sama, tidak wajar menangkap dan mengenakan hukuman kepada pesalah tanpa kita terlebih dulu mengesahkan status atau sebab mereka tidak berpuasa,” katanya.

Mengenai masalah samseng jalanan terutama dari kalangan remaja, Ustaz Nabil berkata, tidak wajar masyarakat menyalahkan golongan remaja semata-mata. Ini kerana baginya, masalah itu membabitkan semua pihak termasuk golongan yang mencipta perbezaan komuniti dalam kehidupan.

Ustaz Nabil berkata, senario hari ini menyaksikan golongan profesional lebih cenderung dengan gaya hidup tersendiri. Ini mengwujudkan jurang antara komuniti elit dan golongan bawahan.

“Maaf cakap, tanpa kita sedari, golongan remaja terasa bagai terpinggir daripada realiti kehidupan hari ini. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan kepada ibu bapa 100 peratus, sebaliknya pemimpin harus berganding bahu menangani masalah sosial hari ini,” katanya.

Ustaz Nabil turut berkongsi tip kekal cergas sepanjang hari di bulan Ramadan. Beliau berkata, Ramadan bukan bulan untuk merasa lesu dan letih. Katanya, ilmu sains membuktikan berpuasa mampu menjana ion elektron yang tinggi jika kita melipatgandakan solat.

Beliau berkata, melalui seminar sains solat, saintis dari Universiti Malaya (UM) membuktikan amalan solat dan tarawih mampu menambah tenaga individu selain mengelak jangkitan penyakit.

“Berpuasa sendiri sudah menjadi sahabat Nabi. Lihat saja perang Badar yang menyaksikan 313 tentera Islam mampu menewaskan orang kafir seramai 1,000 orang.

“Inilah kebesaran amalan berpuasa,” katanya.

PROFIL: Ustaz Nabil Ahmad
Umur : 29 tahun
Tarikh lahir : 23 April 1980
Tempat lahir : Kampung Behor Mali, Perlis
Tinggi : 164 sm
Berat : 70 kg.

Imam muda contoh terbaik

BUKAN calang-calang, Ustaz Mohd Azri membuktikan usia muda bukan penghalang menjadi pemimpin contoh. Bakal menginjak usia 25 tahun akhir tahun ini, Ustaz Mohd Azri mula menjadi imam sejak di bangku sekolah lagi.

Menyingkap sejarah hidupnya, imam muda ini mula mendalami ilmu agama di Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Baru selama tiga tahun. Dunia baru ini bermula sebaik Ustaz Mohd Azri meninggalkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mushoor (Lelaki) Pulau Pinang.

Di Darul Quran Jakim, Ustaz Mohd Azri memperoleh Diploma Tahfiz al-Quran Wal’Qiraat. Bergelar tahfiz pada usia muda, anak muda berjiwa tenang ini tidak menoleh ke belakang lagi. Malah, baru-baru ini, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (al-Quran) dari Universiti Malaya.

Ditanya sejarah awal bergelar imam, Ustaz Mohd Azri berkata, selain menjadi imam di sekolah, beliau mula memikul tugas imam di Masjid Negeri Pulau Pinang selama dua tahun pada 2003.

“Sebelum menjadi imam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, saya menjadi imam di Masjid Al-Ikhlasiah di Pantai Dalam selama dua tahun dari 2005.

“Bermula Julai 2007, barulah saya berkhidmat sebagai imam di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saya bertugas setiap Selasa dan Sabtu dan bertanggungjawab mengetuai solat lima waktu” katanya.

Bercerita soal cabaran bergelar imam, Ustaz Mohd Azri berkata, kebanyakan masjid termasuk di Bangsar amat mengalu-alukan pembabitan imam muda bagi mengetuai solat berjemaah.

Ustaz Mohd Azri yang memiliki kepakaran dalam amalan perubatan Islam berkata, beliau tidak terlepas daripada menjalani temu duga sebelum layak dilantik imam.

Berkongsi soal pengertian Ramadan dalam dirinya, Ustaz Mohd Azri berkata, secara umum Ramadan adalah bulan mengerjakan ibadat kepada Allah SWT. Sebagai umatnya, kita hendaklah berusaha meningkatkan amalan dan rugi andai diri tidak merebut keistimewaan bulan ini.

“Andai leka dan tidak merebut peluang baik sepanjang Ramadan ini, belum tentu kita masih hidup pada Ramadan akan datang,” katanya penuh bermakna.

Ditanya mengenai nasib umat Islam yang ditindas di luar negara, beliau berkata, umat Islam di Malaysia harus bersyukur hidup dalam aman.

“Kita tidak boleh memberi bantuan kerana faktor jauh dan keselamatan. Namun, memadai kita memberi bantuan lain termasuk berdoa supaya kembali aman.

“Masalah yang dihadapi umat Islam ditindas ini wajar dijadikan ikhtibar supaya kita bersatu dan mengekalkan keamanan negara,” katanya.

Ditanya cara terbaik melakukan hijrah dalam hidup, Ustaz Azri berkata, perubahan datang dengan kehendak Allah SWT.

“Perubahan yang datang atas kehendak Allah SWT. Ia boleh datang dalam apa cara sekali pun. Namun, terpulang kepada diri kita sama ada ingin berubah atau tidak. Adalah rugi andai hidayah yang diberi dipersia-siakan begitu saja,” katanya.

PROFIL: Ustaz Mohd Azri Ahmad Kamil Al-Hafiz
Umur : 24 tahun
Tarikh lahir : 21 Disember 1984
Tempat lahir : Taiping, Perak
Tinggi : 163 sm
Berat : 78 kg.

Sumber:Berita Harian

Fizikal: Bersenam bulan puasa boleh bakar lebihan lemak

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

IBADAT puasa bukanlah alasan berehat daripada aktiviti kecergasan yang sebelum ini menjadi rutin harian individu. Mungkin ada yang risau jika letih bersenam ketika diri menahan lapar dan dahaga, namun jika kena pada caranya, senaman yang dilakukan memberi kesan lebih baik kepada tubuh.

Jurulatih Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd. Mohamad Izham Mohlis berkata, ketika berpuasa, tenaga yang digunakan dalam aktiviti kecergasan tidak datang daripada makanan, sebaliknya dari lemak sedia ada.

"Inilah yang menjadi kelebihan bersenam ketika berpuasa. Dengan senaman ringkas saja, banyak kalori atau lemak boleh dibakar.

"Namun senaman tidak harus dilakukan berlebihan kerana dikhuatiri membuatkan badan letih melampau. Paling penting, pastikan anda bersahur dengan mengambil makanan karbohidrat secukupnya jika bercadang bersenam," katanya kepada XY - Fizikal.

Mohamad Izham berkata, waktu yang sesuai untuk bersenam adalah 30 minit hingga 40 minit sebelum masuk waktu berbuka atau selepas solat tarawih.

Bagi minggu pertama berpuasa, XY Fizikal memaparkan teknik senaman yang sesuai bagi fasa permulaan puasa. Senaman ini memerlukan anda menggunakan treadmill yang dilaraskan pada fungsi hill walk.
Langkah

1. Naik ke atas treadmill dan pilih fungsi hill walk. Tentukan kadar denyutan jantung maksimum (maximum heart rate-MHR) pada mesin berkenaan mencapai 60 peratus.

Mulakan dengan sesi pemanasan badan dengan berjalan selama dua hingga lima minit.

2. Selepas pemanasan badan, tingkatkan tahap kepayahan senaman ini dengan menentukan MHR pada kadar 70 peratus. Berjalan di atas treadmill selama 30 hingga 35 minit.
3. Akhir sekali, tentukan MHR pada kadar 60 peratus dan berjalan selama satu hingga dua minit untuk menyejukkan badan.

Sumber: Berita Harian

Manfaat Ramadan tingkat ketakwaan


Alangkah indahnya jika ummah berebut-rebut untuk meraih janji Allah

PUASA Ramadan sepatutnya dapat melahirkan insan bertakwa sejajar kefarduannya yang datang daripada Allah kepada umat-Nya terdahulu hingga sekarang bukan untuk membebankan tetapi sebagai proses pentarbiahan.

Namun, kata pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd Farid Ravi Abdullah, adalah malang bagi masyarakat Islam jika tidak memanfaatkan kedatangan Ramadan untuk meningkatkan ketakwaan mereka.

Justeru katanya, umat Islam di negara ini wajar mencontohi sikap saudara mereka di negara Arab yang meraikan kehadiran Ramadan dengan meneruskan budaya yang diamalkan sahabat daripada sunnah Rasulullah SAW.
"Selama lima tahu saya di Jordan, setiap kali tiba pengumuman tarikh mula Ramadan, masyarakat di sana akan berkumpul di masjid dan sebaik pengumuman dibuat, semua akan bersorak sambil berpelukan gembira menyambut tibanya bulan mulia itu.

"Peliknya orang kita apabila tiba Ramadan tidak pula begitu suasananya. Menyambut awal Ramadan tidak ada beza dengan hari lain. Akhirnya Ramadan berlalu begitu saja," katanya pada seminar penghayatan Ramadan bertema 'Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan'.

Seminar sehari diadakan di Auditorium As-Syafie Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Bangi, Selangor anjuran ILIM dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia.
Seminar dihadiri kira-kira 150 peserta di kalangan pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan itu dirasmikan Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya. Hadir sama, Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman.

Mohd Farid yang menyampaikan ceramah bertajuk Puasa Membentuk Insan Beriman dan Bertakwa berkata, Saidina Ali menjelaskan takwa itu mengandungi empat perkara iaitu takut kepada Allah, rasa cukup dengan yang sedikit, beramal dengan al-Quran dan bersiap sedia berjumpa Allah.

Beliau berkata, rasa takut kepada Allah akan mendorong seseorang itu melaksanakan ibadat puasa dengan ikhlas serta mengharap balasan setimpal daripada Allah sementara sifat cukup dengan yang sedikit melahirkan insan bersyukur.

Ramadan juga dinamakan bulan al-Quran kerana kitab suci Allah itu diturunkan pada 17 Ramadan dan seharusnya kitab itu ditadaruskan sepanjang bulan puasa. Persiapan bertemu Allah yang turut meningkatkan ketakwaan ada kaitan dengan pencarian malam lailatul qadar.
"Banyak yang boleh kita pelajari pada Ramadan untuk menjadikan diri insan lebih bertakwa. Bulan puasa patutnya kita lebih berjimat kerana lapar dan dahaga yang dirasai mendidik menjadi insan sentiasa bersyukur.

"Sudah berapa lama kita berpuasa dan takkan selama itu tidak pernah bertemu dengan lailatul qadar. Rasa tidak rugi ke? Oleh itu, perbanyakkan ibadat malam terutama pada 10 terakhir Ramadan supaya kita dapat bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan," katanya.

Katanya lagi, umat Islam negara ini perlu mengimarahkan sambutan Ramadan dengan menunjukkan semangat yang tinggi untuk meningkatkan amalan serta mengubah budaya menyambut kedatangan bulan puasa hanya sebagai saat melaksanakan ibadat puasa yang datang setahun sekali.

Begitu juga keghairahan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan yang menjadi sebahagian budaya pada Ramadan hingga menyebabkan berlaku pembaziran apabila terlalu mengikut nafsu.

Menurutnya, hanya Malaysia mempunyai Bazar Ramadan yang menjadi medan kepada peniaga serta pembeli untuk menjual dan membeli makanan berbuka puasa.

Budaya itu tidak menjadi kesalahan tetapi hendaklah dimanfaatkan sewajarnya supaya tidak berlaku perkara melanggar batasan agama di mana peniaga mengambil kesempatan menjual pada harga mahal dan pembeli membeli mengikut nafsu bukan keperluan.

Mohd Farid berkata, umat Islam juga perlu menghargai nikmat pemberian Allah kepada hambanya dengan memberi pelbagai nikmat pada bulan istimewa ini antaranya pahala amalan digandakan serta didatangkan satu malam menjanjikan seribu kebaikan.

Beliau berkata, alangkah indahnya jika sepanjang Ramadan ini semua masjid dan surau dipenuhi umat Islam yang berebut-rebut untuk meraih janji Allah kerana bulan puasa adalah antara ruang disediakan untuk menghapus dosa lalu.

"Jika selalunya sepuluh malam pertama masjid dan surau penuh, sepuluh malam pertengahan susut dan sepuluh malam terakhir lebih banyak tiang dari jemaah, saya harap tahun ini biarlah jemaah penuh sentiasa sepanjang Ramadan.

"Rebutlah pahala amalan fardu sebanyak 70 kali ganda dan amalan sunat mendapat pahala fardu. Ini tawaran Allah supaya umat Islam apabila berakhir Ramadan nanti seperti kain putih yang bersih. Kita tidak mahu puasa kita nanti hanya dapat lapar dan dahaga saja," katanya.

Sumber: Berita Harian

Cabaran lelaki harungi Ramadan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

BASAHKAN lidah dengan bacaan ayat suci pada Ramadan yang mulia.
Tip raikan bulan suci, penuhi tuntutan ibadat

MULAI hari ini, rutin harian umat Islam berubah. Ramadan yang penuh keberkatan menjengah lagi. Waktu inilah umat Islam, tidak kira lelaki atau wanita gigih melaksanakan tuntutan agama. Masing-masing menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari serta mengerjakan ibadat sunat seperti zikir, tadarus, tarawih dan sedekah yang menjanjikan pahala berganda.

Mungkin ada antara kita merasakan cepatnya masa berlalu. Kenangan Ramadan tahun lalu masih segar dalam ingatan, kini kita bertemu sekali dengan bulan mulia ini. Bersedia atau tidak, sebagai hambaNya, rukun Islam ketiga ini wajib dilaksanakan.
Semua tahu Ramadan ialah bulan untuk umat Islam menambahkan ketakwaan diri serta berusaha memperoleh keampunan daripada dosa lalu.

Dilihat dari aspek fizikal pula, ibadat puasa memberi kebaikan kepada tubuh badan. Sepanjang tempoh berlapar pada siang hari, organ penghadaman badan dapat berehat. Bukan itu saja, melalui ibadat puasa, badan dapat menyingkirkan lebihan toksin yang terkumpul menjadikan tubuh lebih sihat dan cergas.

Semangat ukhwah umat Islam juga terjalin erat melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan ini. Tidak dilupakan, golongan kurang bernasib baik di mana umat Islam digalak menggembirakan mereka dengan bersedekah.


Bagi mereka yang sudah lama merindui kedatangan Ramadan, pastinya saat ini hati paling gembira. Awal-awal lagi mental dan fizikal sudah dipersiapkan demi mendapat kualiti ibadat puasa yang diidamkan. Bagai sudah ditanam dalam diri mereka niat menjadikan Ramadan kali ini lebih baik.

Malangnya, bagi segelintir individu tidak terkecuali lelaki, kehadiran Ramadan tidak memberi erti besar dalam hidup mereka. Ada yang menganggap puasa sekadar puasa, sebaliknya hati lebih memikirkan soal juadah berbuka dan bazar Ramadan. Ada juga yang terlajak lebih jauh, merencana persiapan menyambut Aidilfitri. Jangan terperanjat, mungkin ada juga sering menjadikan puasa sebagai alasan bermalas-malas melakukan kerja.

Ini belum lagi disentuh soal individu yang enggan berpuasa malah tidak menghormati orang lain yang berpuasa. Perhatian masyarakat sering tertumpu kepada kes lelaki yang dicekup kerana tidak berpuasa. Apabila ditahan, macam-macam alasan terpancul dari mulut bagi menutup kesalahan mereka itu.

Hakikatnya, rugilah mereka kerana tidak mengambil peluang Ramadan untuk meningkatkan keimanan. Barangkali golongan ini tidak mempunyai pengetahuan atau sengaja tidak mahu mengambil tahu mengenai fadilat Ramadan sebaliknya tewas kepada nafsu.
Bagi menyingkap isu lelaki tidak berpuasa, puasa tidak berkualiti dan kaedah terbaik meraikan Ramadan, XY - Ikon Lelaki mendapatkan pandangan pendakwah yang juga Perunding Motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd, Ustaz Zawawi Yusoh.

Ustaz Zawawi berkata, lelaki sepatutnya menjadi imej umat Islam. Menurutnya, lelaki tidak sepatutnya menjejaskan status itu dengan perbuatan seperti tidak berpuasa, makan di khalayak ramai pada siang hari, malas bekerja atau sebagainya.

“Perbuatan tidak berpuasa ini datangnya dari keinginan yang ada dalam diri golongan ini untuk tidak berpuasa. Puasa adalah perbuatan yang harus bermula dengan keinginan. Disebabkan itulah kita disuruh bersahur. Ia ‘perjanjian’ yang memberitahu otak, mata, mulut dan anggota badan kita yang lain bahawa kita ingin berpuasa. Itulah sebabnya kalau kita tak berniat, tiadalah keinginan dan perjanjian.

“Sebab itulah, sebelum hadirnya Ramadan, kita disunatkan berpuasa bulan Rejab dan Syaaban sebagai cara mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan. Sebelum Ramadan, kita sepatutnya sudah menghidupkan suasana bulan penuh keberkatan ini.

“Antaranya dengan bercakap mengenainya dalam ceramah, mengqada ibadat yang tertinggal dan menggiatkan lagi pembelajaran ilmu fiqah. Secara tidak langsung, ia dapat menghangatkan keinginan melaksanakan ibadat puasa,” katanya.

Ustaz Zawawi menerangkan pula soal hikmah bersahur. Katanya, sahur adalah sunat dan sunnah. Sunat bermakna, jika kita melakukannya, akan beroleh pahala yang banyak manakala sunnah pula merujuk kepada perbuatan yang diamalkan Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya, amalan sahur lah yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa orang bukan Islam.

“Islam menyuruh umatnya berpuasa, bukannya berlapar. Maka kita perlulah bersahur kerana esoknya kita harus bekerja. Ini menunjukkan Islam agama penyayang. Umatnya disuruh bersahur supaya kuat dan mempunyai tenaga berpuasa.

“Jika dibandingkan cabaran puasa zaman kini dengan zaman dulu, umat Islam dulu terpaksa berperang sambil berpuasa pada Ramadan sedangkan kebanyakan kita bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak wajarlah untuk kita memberikan 1,001 alasan untuk tidak berpuasa,” katanya.

Ustaz Zawawi juga menegur golongan yang liat bersahur.

“Ada yang tidak mahu bangun sahur kerana enggan mengorbankan waktu tidur. Sebenarnya, sekali kita buat perkara baik, ia akan mendorong kita membuat lebih banyak lagi perkara baik lain.

“Dalam konteks bersahur, apabila kita bangun awal pagi untuk bersahur, diikuti solat subuh. Ramai yang tidak bangun sahur, solat subuh nya juga tidak dilaksanakan. Disebabkan itulah kita disunatkan melewatkan sahur iaitu menghampiri waktu subuh supaya kita boleh terus bersolat,” katanya.

Ustaz Zawawi berkata, waktu bersahur paling mustajab untuk berdoa kepada Allah.

“Bukan saja solat Subuh, kita juga boleh membuat solat sunat tahajud dan lain-lain. Ia ibarat suatu pakej dan pahala serta keampunan dijanjikan bagi mereka yang melakukannya. Bagi yang tidak mahu bangun sahur, maknanya mereka menolak pakej ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegur segelintir umat Islam yang cuma berpuasa tetapi mengabaikan ibadat lain.

Ustaz Zawawi berkata, ini sedikit sebanyak berpunca daripada tanggapan segelintir masyarakat kononnya Ramadan hanyalah bulan untuk berpuasa semata-mata.

“Hakikatnya, masyarakat harus melihat bulan ini sebagai Ramadan yang bukan hanya tempoh kita melakukan ibadat puasa saja tapi ia juga bulan untuk qiyam (tarawih), witir, sedekah. Di dalamnya juga ada nuzul Quran (peristiwa turunnya Al-Quran buat kali pertama) serta malam lailatul-qadar.

“Apabila pemahaman salah, maka pelaksanaannya juga tidak betul. Dalam bulan Ramadan, kita bukan hanya perlu menjaga supaya tidak batal puasa, bahkan perlu juga memastikan tidak hilang pahala puasa.

“Solat sunat dalam bulan Ramadan sebenarnya menyempurnakan lagi ibadat puasa yang kita lakukan... Supaya puasa lebih berkualiti. Cari peluang melakukan ibadat sunat. Solat tarawih misalnya, jika tidak buat 20 rakaat, boleh buat lapan rakaat,” kata beliau.

Tuntutan berpuasa, menurut Ustaz Zawawi tidak sepatutnya dijadikan alasan bersikap malas di tempat kerja. Ketika berpuasa lah, kita sepatutnya lebih kuat bekerja kerana waktu makan selalunya mengganggu kerja. Soal tidak bertenaga atau tidak larat, tidak seharusnya timbul kerana umat Islam sudah digalakkan bangun bersahur.

“Memanglah, kadang-kadang kita terasa letih tetapi rasanya, tidak ada orang yang mati sebab berpuasa. Orang yang mati sebab terlebih makan adalah. Semua ini bergantung kepada paradigma (batasan pemikiran) seseorang. Jika fikirannya mengatakan letih, letihlah jadinya.

“Pekerjaan juga suatu ibadat seperti puasa. Jangan sampai satu ibadat menghilangkan ibadat yang lain. Lebih-lebih lagi dengan keselesaan ruang pekerjaan yang dinikmati kita. Lainlah jika buruh kasar yang terpaksa melakukan kerja berat dan itu sajalah punca rezeki mereka. Golongan ini ada kelonggaran tertentu,” katanya yang turut berkongsi tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan lelaki sebagai ketua keluarga sepanjang Ramadan.

INFO: 8 tip lelaki meraikan Ramadan dan pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sepanjang bulan suci ini.
• Kaedah pertama ialah menimba ilmu. Sebelum menempuh Ramadan, belajarlah ilmu fiqah. Apabila kita berpuasa dengan ilmu dan falsafah betul, barulah dapat dirasai kelebihan Ramadan. Silapnya, apabila kita jadikan ibadat berpuasa sebagai ‘adat’ dan kerana itulah ia dilakukan atas faktor ikut-ikut saja.
• Sambutlah Ramadan dengan hati. Anggaplah Ramadan sebagai kursus rohani serta mencapai kemuncak hati apabila melaksanakan ibadat Ramadan.
• Pupuk dalam fikiran bahawa Ramadan itu akan berjaya jika kita berjaya merebut keberkatan bulan ini. Ini dinyatakan dalam tiga peringkat iaitu hari pertama hingga ke-10 yang memberikan limpahan rahmat; hari ke-11 hingga ke-20 dikurniakan keampunan manakala hari ke 21 hingga hari terakhir terhindar daripada seksaan api neraka.
• Lelaki sebagai ketua keluarga perlu melaksanakan tanggungjawab mengajak seisi keluarga berpuasa. Bagi anak-anak yang masih kecil, pujuk mereka untuk berpuasa, bukannya memaksa mereka.
• Lahirkan budaya bersedekah dalam keluarga. Memberi makan dan minum juga adalah cara untuk menyempurnakan nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga.
• Berbuka bersama-sama - ini dapat menyuburkan kasih sayang antara ahli keluarga. Sebagai bapa, bawa keluarga menunaikan solat tarawih kerana ibadat ini dapat melahirkan jiwa hamba dalam diri kita semua.
• Sepanjang bulan berkat ini, elak pembaziran terutama ketika membeli juadah berbuka. Seperti yang kita maklum, tidak elok makan berlebihan. Boleh makan dengan banyak, tapi biarlah berperingkat-peringkat.
• Apabila berbuka puasa, jamah sedikit makanan dan terus menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, bolehlah menikmati makanan yang agak berat tapi usah terlalu berlebihan hingga menghalang kita melakukan solat Tarawih. Selesai tarawih, bolehlah menikmati makanan seperlunya. Harus diingatkan, makan berlebihan juga boleh memudaratkan.

Ramadan tuntut ummah bermuhasabah, beramal

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

SETIAP Muslim perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat. sebelum ditakdirkan bertemu Allah bila-bila masa saja. - Gambar hiasan
Tingkat ibadat rebut keberkatan bulan yang mulia

KEHADIRAN Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim kerana ia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan menuntut setiap Muslim merenung dan bermuhasabah persediaan serta amalan sebelum, ketika dan selepas Ramadan.

Muhasabah penting kerana Ramadan hanya setahun sekali, tambahan pula apakah kita yakin terus bernyawa pada Ramadan akan datang. Biarlah Ramadan kali ini kita melaksanakan yang terbaik sebelum ditakdirkan bertemu Allah pada bila-bila masa saja. Muslim yang bijaksana juga memanfaatkan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa dan beribadat sunat.

Persediaan pertama yang wajib dilakukan ialah terhadap jasmani dan rohani kerana ibadat sepanjang Ramadan berkait dengan amalan zahir dan batin. Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.
Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan Mukmin bertakwa tidak melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini untuk melipatgandakan amalan termasuk puasa sunat sebagai persediaan menghadapi penghulu segala bulan, Ramadan. Rasulullah berdoa setiap datang Rejab bermaksud: "Ya Allah! Berkati kami pada Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan."

Begitulah amalan orang Mukmin bertakwa dan beristiqamah mempersiapkan diri sama ada fizikal dan rohani. Mereka membersihkan diri dan hati sebelum menyambut Ramadan yang agung agar ia bersedia menerima cahaya, rahmat dan kurnia Allah yang tidak terhingga pada bulan penuh rahmat.

Ahli hikmat berkata: "Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun segala dosa dan Syaaban untuk memperbaiki hati daripada kecacatan dan Ramadan untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar untuk mendekatkan diri kepada Allah."
Muslim juga dituntut mengulang kaji persoalan mengenai puasa seperti rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmahnya. Kesempurnaan puasa dan penerimaannya di sisi Allah bergantung pada cara pelaksanaan ibadat berdasarkan sunah atau tidak. Mengetahui cara melakukan puasa dengan betul antara ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam.
• Muslim diwajibkan mengekang diri daripada kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa kerana matlamat utama ibadah ini ialah menahan diri daripada nafsu duniawi kecil atau besar dan nikmat jasmani (makan, minum dan seks) atau penyakit rohani (mengumpat, dengki dan sombong).
• Muslim harus memperbanyakkan amalan sunat seperti solat tarawih, witir, tahajud, tadarus al-Quran dan iktikaf. Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib pada Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain.

Tawaran istimewa Allah sediakan pada Ramadan wajar menjadi perangsang Muslim merebut ganjaran yang tiada pada bulan lain.
• Ibadat puasa tidak patut menjadi penghalang melakukan kerja seharian ikhlas kerana Allah yang dianggap sebagai ibadat.
• Ibadat diberikan Allah ganjaran berganda. Mengapa perlu disia-siakan detik berharga sepanjang Ramadan dengan tidur dan bermalas. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan yang Allah janjikan sepanjang Ramadan.

Sumber:Berita Harian

Jumaat, 21 Ogos 2009

Usahakan Ramadan yang terbaik


Ahmad Mustafa Mohd. Sidin
________________________________________

MEGA: Bagaimana puasa menjadikan kita bertakwa?
MUSTAFA: Dalam surah al-Baqarah ayat 183 itu telah dijelaskan bahawa puasa itu bukan hanya diperintahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Sebaliknya, perintah berpuasa yang menjadi ibadat asas itu sudah ada kepada umat-umat nabi terdahulu.
Tujuan puasa itu adalah menjadikan kita bertakwa. Tetapi bagi mencapai tahap takwa itu Allah telah gariskan bahawa ia memerlukan kepada iman dan amal soleh.
Maknanya, apabila seseorang itu beriman pasti dia akan beramal soleh dan barulah dia akan mencapai kejayaan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (al-Baqarah: 5)
Sebab itu, dalam berpuasa misalnya, untuk menjadikan kita bertakwa, hendaklah kita mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan, menjauhi segala perkara yang bukan sahaja membatalkan puasa tetapi juga yang mengurangkan pahala berpuasa.
Jika kita mahu memartabatkan agama, kita perlu cemerlang di dunia dan akhirat. Kalau kita tidak cemerlang, Islam pun tidak hebat.
Sebabnya di dalam Islam, konsep cemerlang bagi orang beriman itu merangkumi di dunia dan akhirat. Kita tidak mahu umat Islam hanya hebat dan cemerlang di dunia sahaja.
Ada yang suka sambut Ramadan tetapi ramai juga yang 'tidak suka'. Apakah sikap yang sepatutnya bagi umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadan?
MUSTAFA: Kita yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah meyakini kepada konsep usaha dan tawakal. Maknanya, kita perlu berusaha dan berikhtiar bagi mencapai sesuatu perkara yang baik itu.
Kalau nak sihat, kita kena usaha dengan menjaga kesihatan. Kalau nak maju dalam kerjaya, kita kena usaha seperti melakukan tugas dengan efisien, menepati batas waktu yang ditetapkan dan sebagainya.
Demikian juga dengan rohani. Jika kita nak rohani atau jiwa kita itu baik, tidak boleh tidak kita mesti memulakan usaha ke arah itu. Indahnya Islam ini, Allah telah menolong kita mencapainya dengan menetapkan perintah solat dan puasa. Apa yang perlu kita buat adalah laksanakan sahaja perintah itu.
Puasa itu memang ada kesusahan dan rintangannya tetapi kejayaan bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas itu adalah dijamin oleh Allah. Bukannya manusia yang jamin.
Dari segi fizikal pun, para doktor akui bahawa puasa itu baik untuk kesihatan. Ia sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat".
Buat apa banyak duit kalau tidak sihat. Ibadat puasa ini sebenarnya memberi kekuatan bagi kecapi untuk kecapi nikmat hidup di dunia.
Ada umat Islam yang puasa tetapi masih tidak solat, tidak tutup aurat atau masih terus melakukan maksiat. Apa status puasa golongan begini?
MUSTAFA: Seperti yang disebutkan tadi, puasa itu adalah ibadat yang digandingkan di dalamnya iman dan amal soleh.
Ada juga agama lain yang puasa seperti Yahudi, India dan kristian tetapi puasa mereka tidak seperti puasa orang yang beriman. Kita bukan puasa tetapi pada masa yang sama syirik kepada Allah.
Orang beriman, sedar bahawa puasa itu adalah perintah Allah. Justeru akan dilaksanakan dengan penuh taat di samping merasai status diri sebagai hamba Allah.
Ini mungkin juga akibat kekeliruan umat Islam dari sudut status amalan antara ibadat dan adat. Apabila keliru, mungkin ada sebahagian umat Islam yang beranggapan bahawa puasa itu hanyalah adat.
Bagi mereka yang tahu bahawa puasa itu ibadat, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki prestasi. Sebabnya, Allah akan menilai puasa hamba-Nya.
Rasulullah SAW mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah bagi Allah berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya. (riwayat Bukhari)
Ada juga sebahagian kita yang tersilap dalam meletakkan aulawiyat (keutamaan). Puasa adalah fardu ain maka sudah sewajarnya ia diberi keutamaan berbanding amalan sunat yang lain.
Bagaimana mencapai tahap puasa khawasil khawas (puasa paling khas)?
MUSTAFA: Puasa itu pun ada tahap-tahapnya. Yang paling rendah ialah puasa orang awam. Puasa begini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.
Tingkatan kedua adalah puasa orang khas. Puasa di sini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.
Tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada Allah.
Inilah tingkatan puasa yang sepatutnya cuba dicapai oleh setiap Muslim.
Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah orang yang berpuasa itu bercakap dengan perkara yang keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. (riwayat Bukhari)
Kita perlu mengambil perhatian dalam hal ini supaya puasa kita benar-benar berkualiti dan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Jangan nanti kita di akhirat kelak menyesal kerana puasa kita hanya sia-sia lantaran tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Inilah amaran kepada golongan yang leka dan lalai dalam puasa mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (riwayat Bukhari)
Pada bulan puasa, ramai yang datang masjid awal pada Jumaat. Sayangnya, ada di kalangan mereka bukan beribadat tetapi memenuhi masa dengan tidur. Bagaimana seharusnya kita memanfaatkan masa yang berharga ini?
MUSTAFA: Dalam hal ini, elok kita hayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Keadaan mereka yang datang awal ke masjid tetapi tidak dimanfaatkan dengan ibadat sunat termasuk baca al-Quran bolehlah kita kategorikan sebagai golongan yang lalai.
Apabila kita menganggap bahawa kehidupan kita masih lagi panjang, kita tidak merasai perlunya menjadikan Ramadan yang kita temui itu sebagai yang terbaik.
Persoalannya, tahukah kita bila kita akan mati. Sebab itu, kita perlu ada semangat dan tanamkan azam bahawa Ramadan kali ini adalah yang terakhir. Lalu, peluang ini perlu direbut dan diisi dengan segala ibadat yang termampu.
Jika kita sampai awal di masjid, sepatutnya kita ambil kesempatan untuk solat sunat kemudian membaca al-Quran dan berzikir. Jangan pula datang awal lebih-lebih lagi di masjid yang ada penghawa dingin kemudian terus tidur.
Sepatutnya, setelah sekian lama kita berpuasa iaitu sejak akil baligh, semakin baik dan berkualiti puasa dan amalan kita di bulan Ramadan.
Malah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Siapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka, selepas kita mencapai tahap ini barulah bertepatan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah (diampunkan dosa).
Maka, ketika itu kita ibarat kain putih bersih dan perlu membuka lembaran baru hidup dengan penuh ketakwaan.
Untuk merancakkan sambutan puasa, elok juga kita budayakan amalan mengucap 'Selamat Menyambut Ramadan' kepada rakan-rakan kita. Sebabnya, Ramadan itu penuh dengan keberkatan yang perlu kita ambil peluang memanfaatkannya melalui pelbagai perlakuan ibadat yang disyariatkan. Lagipun, belum tentu kita diberi kesempatan bertemu dengannya pada tahun hadapan.

Mempersiapkan diri menghayati Ramadan

Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com

Amalan ditunjukkan ibu bapa menjadi pendakwah terdekat kepada anak
RAMADAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam bakal menjelma hujung minggu ini. Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi
tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."

Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

Menghayati Ramadan

Oleh MOHD. NORZI NASIR

umat islam dianjur membanyakkan membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.

____________________________________

RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.
Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.
Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati Rasulullah SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?
Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada Allah dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayat-Nya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Puasa 'madrasah' membentuk peribadi Muslim sejati
Matlamat puasa tidak lain adalah untuk merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.
Puasa mendidik dan membentuk muslim bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT.
Seseorang yang berpuasa yang meneladani dan memahami anjuran Rasulullah ketika mendengar kata-kata keji dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, "sesungguhnya aku berpuasa".
Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana Allah SWT. Allah menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana puasa dinisbahkan kepada-Nya dalam erti kata lain Allah SWT yang memberikan ganjaran pahalanya.
Puasa mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi Allah baginya berpuasa dari makan dan minum. (riwayat al-Imam al-Bukhari)
Hadis ini adalah peringatan kepada setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda baginda tidak ada ertinya di sisi Allah merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa yang bercampur dengan perkataan dusta.
Seorang muslim yang berpuasa sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalani ibadah puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis panduan yang di ajar oleh baginda SAW.
Memelihara ikhlas adalah dengan cara mengarahkan hati hanya kepada Allah SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredaan dari-Nya. Manakala ittiba' (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.
Bagaimana mungkin seorang muslim dapat merealisasikan ittiba' iaitu meneladani Rasulullah SAW dalam puasa, sementara dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.
Puasa bukan hanya semata-semata menahan diri dari makan dan minum. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka Allah SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat al-Bukhari)
Daripada hadis ini dapat difahami bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau perkara keji.
Menyingkap Ramadan Rasulullah SAW
Ramadan merupakan nikmat kesempatan sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya Allah SWT membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni neraka.
Pada malam terakhirnya Allah membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.
Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat Islam meneladani peribadi Rasulullah dalam menyambut Ramadan berkata, "Renungilah bagaimana Rasulullah SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran menyambut tamu agung ini".
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).
Alangkah beruntung siapa yang setia mengikuti petunjuk Nabi Muhammad dan meneladani beliau dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.
Apabila Rasulullah SAW melihat hilal (anak bulan) petanda bahawa Ramadhan telah tiba, baginda SAW berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya Allah".
Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal , "Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat besar sekiranya ada insan yang menyembahmu".
Rasulullah tatkala menjelang bulan Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al-Quran, bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat.
Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap Baginda SAW.
Memperbanyak Tilawah
Puasa dan al-Quran mempunyai kaitan yang sangat dalam. Rasulullah SAW memperbanyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan.
Rasulullah mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al-Quran. Rasulullah lebih dermawan dan pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.
Baginda SAW gemar mendengarkan al-Quran dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al-Quran.
Ibnu Mas'ud menceritakan bahawa, suatu hari Rasulullah memintaku membaca al-Quran untuk baginda, "Ibnu Mas'ud bacalah sesuatu dari al-Quran untukku", lalu aku membaca surah al-Nisa' hingga ayat 41, yang bermaksud, "Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka atas mereka itu sebagai umatmu". Aku melihat kedua mata baginda basah menitiskan air mata. (riwayat al-Bukhari).
Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Berapa kali aku harus menghatamkan al-Quran?" Rasulullah menjawab, "khatamkanlah al-Quran dalam satu bulan". Abdullah bin Amr berkata, "aku mampu lebih cepat dari itu". Jawab Rasulullah, "jika begitu lakukanlah setiap 20 hari". Tambah Abdullah bin Amr, "Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu". "Kalau begitu dalam 15 hari" lalu "10 hari". Abdullah bin Amr berkata, "aku masih lebih cepat dari itu", Rasulullah menjawab, "kalau begitu lima hari", lalu Rasulullah tidak melanjutkan lagi. (riwayat al-Tirmidzi).
Sebahagian ulama memahami tindakan Rasulullah SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada Allah dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.
Mudarasah atau tadarus antara Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak terganggu oleh pekerjaan seharian.
Di malam hari, hati seseorang juga lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.

Bina jati diri anak

Oleh ZUHAYATI YAZID

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak secara seimbang sama ada dari segi jasmani mahupun rohani.

Ini kerana anak adalah anugerah dan amanah Allah SWT yang tiada galang-gantinya kepada pasangan yang bergelar ibu dan bapa.

Sememangnya menjadi impian ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang terbilang di dunia dan juga di akhirat.

Langkah awal ke arah itu sudah pastinyalah ialah dengan mencurah perhatian dan kasih sayang tanpa berbelah-bagi.

Ketua Subunit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd. Hassan berkata, anak yang mendapat kasih sayang dan perhatian secukupnya akan membesar sebagai insan mempunyai jati diri yang teguh.

Dalam memberi kasih sayang apa yang penting ibu bapa harus bersikap adil kepada setiap anak tanpa tanpa ada perasaan beza membeza. .

Malah kata Dr. Hamizah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang antara lain berbunyi: "Berlaku adillah kamu di antara anak-anak kamu dalam memberi hadiah sebagaimana kamu suka mereka berlaku adil di antara kamu dalam kasih sayang." Hadis riwayat at-Tabrani.

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah katanya, dalam mendidik anak ibu bapa mesti menjauhi sifat yang membawa kepada wujudnya rasa berbeza dan tidak adil kepada anak -anak.

"Membeza-bezakan kasih sayang hanya akan menyebabkan anak-anak berasa kecil hati dan boleh membuahkan sifat dendam yang mendalam di kemudian hari.

''Sebaiknya dalam kehidupan seharian, penuhilah dengan suasana senda gurau dengan anak-anak bagi merapatkan hubungan baik dalam keluarga,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya dalam siri Seminar Keibubapaan anjuran LPPKN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu Dr. Hamizah juga menyarankan agar ibu bapa menggunakan kaedah piskologi dalam mendidik anak-anak terutama yang menginjak ke usia remaja.
''Seperti juga anak kecil, anak remaja turut memerlukan perhatian, masa, kasih sayang dan panduan daripada ibu bapa,'' ujarnya.

Menurutnya, pada peringkat usia tersebut anak-anak sudah mempunyai perasaan malu dan tindakan ibu bapa misalnya menggenakan hukuman rotan jika mereka melakukan kesalahan dirasakan kurang bijak.

"Sebaiknya cuba gunakan psikologi seperti berbincang dengan anak atau mendapatkan bantuan daripada kawan -kawan rapatnya .

"Kehidupan zaman remaja ibarat waktu emas yang sangat berharga. Ia juga merupakan zaman peralihan antara kanak-kanak kepada lebih dewasa.

''Pada peringkat usia ini mereka biasanya mahukan kebebasan dan tidak suka dikawal. Di sinilah peranan ibu bapa untuk mengawal tingkah laku anak-anak dan pada masa sama memberi sedikit kebebasan agar anak-anak tidak berasa diri mereka dikongkong sehingga menimbulkan perasaan ingin memberontak.

"Usia remaja merupakan tempoh yang kritikal kerana mereka lazimnya cenderung bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir panjang.

''Mereka seperti layang-layang yang mana talinya perlu sentiasa dijaga agar tidak terputus dan hilang kawalan.

"Pada peringakat ini juga kebanyakan remaja akan dilanda konflik dalaman. Pelbagai persoalan hidup dan perubahan fizikal serta mental akan wujud pada diri mereka.

''Kadang kala timbul krisis identiti diri, perasaan tertekan, mudah kecewa dan tidak dapat mengawal kemarahan. Pada masa sama timbul desakan-desakan dalam diri untuk mencuba sesuatu yang baru,'' katanya yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kauseling.

Beliau menambah, pelbagai konflik tersebut jika tidak ditangani dengan bijak melalui tunjuk ajar dan bimbingan ibu bapa dikhuatiri akan menjadi punca anak-anak remaja
terjebak dalam pelbagai gejala sosial.

Tambahnya, dalam berdepan dengan situasi tersebut ibu bapa seharusnya berbincang dan berkongsi secara terbuka dengan anak-anak.

''Ini termasuklah dalam isu berkaitan pendidikan seks. Hal ini penting bagi memberi gambaran sebenar kepada anak, malah jika diberi keterangan secara terbuka ia akan memberi kefahaman meluas kepada anak-anak.

''Kita perlu sedar bagaimana kita boleh mengatur langkah untuk menjana jati diri remaja agar apabila dewasa kita boleh memungut hasilnya sebagai anak yang bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat.

Asal Kejadian Manusia

“APAKAH Engkau akan menjadikan manusia yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di dalamnya, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan menyucikan Engkau,” demikian pertanyaan malaikat kepada Allah kerana terkejut dengan pengisytiharan-Nya yang mahu menciptakan Adam dan keturunannya sebagai khalifah di bumi.

Namun, selepas itu malaikat akur keputusan itu.

Kemudian Adam diciptakan, iaitu daripada tanah kering yang berasal daripada lumpur hitam. Daripada tanah, Allah menjadikan Adam berperingkat, kemudian meniupkan roh ke tubuhnya.

Akhirnya sempurnalah kejadian Adam sebagai manusia, merangkumi otak, darah dan daging, bebas bergerak dan bertindak mengikut kehendak dan akal fikiran.

Apabila penciptaan Adam sempurna, Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan menghormatinya.

Perkara ini dapat dilihat melalui ayat 28 hingga 29 surah Yusuf, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering, daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Apabila Aku menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku, tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.”

Selepas itu Allah mengajarkan kepada Adam segala nama, yang menjadi asas ilmu pengetahuan sebagai bekalan hidup di bumi. Apabila Adam mendapat ilmu, Allah memperlihatkannya kepada malaikat, dia memiliki darjat yang tinggi dari segi ilmu berbanding malaikat.

Lalu malaikat berkata: “Sungguh kami menyucikan Engkau wahai Tuhan kami, kerana kami tidak mengetahui melainkan yang telah Engkau ajarkan kepada kami dan Engkau Maha Mengetahui segalanya, Maha Bijaksana dalam segala urusan yang Engkau ciptakan.”

Perkara ini dapat dilihat melalui surah al-Baqarah, ayat 31 hingga 33. Semua malaikat akur dengan perintah Allah dan sujud kepada Adam. Bagaimanapun, iblis dengan angkuh dan sombong enggan berbuat demikian.

Iblis memberikan jawapan kepada Allah kononnya dia lebih mulia daripada Adam. Menurut iblis, dia diciptakan daripada api, manakala Adam daripada tanah. Justeru, iblis menyangka dirinya lebih bermaruah dan mempunyai kedudukan tinggi daripada Adam. Melihat gelagat iblis yang bongkak itu, Allah melaknat iblis dan mengusirkannya dari syurga untuk selama-lamanya.

Hukuman itu menyebabkan iblis berdendam dengan Adam, lalu ia menyatakan permohonan kepada Allah supaya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat. Iblis juga bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam dari jalan yang benar, dengan mendatangi mereka (manusia) dari setiap penjuru untuk mengawasi kelemahan dan kecuaian mereka, sehingga mengheret ke lembah kesesatan dan derhaka kepada Allah.

Permohonan itu dikabulkan, namun Allah turut mengutuk iblis, melalui firmanNya: “Keluarlah kamu dari syurga ini dengan keadaan yang hina, kamu tidak akan mendapat rahmat-Ku dan Aku bersumpah akan memenuhi jahanam dengan kamu sekalian dan orang yang mengikutimu.”

Selepas iblis diusir dari syurga, Adam tinggal keseorangan dan pada satu ketika dia terlena. Ketika itu, Jibril mencabut tulang rusuknya di sebelah kiri, dibentukkannya menjadi daging dan tulang, seterusnya terciptalah Hawa, sebagai isteri. Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Nisa, ayat 1.

Adam dan Hawa tinggal di syurga dengan segala kenikmatan. Namun, Allah melarang mereka dari mendekati sejenis pokok sekali gus menegah memakan buahnya. Mereka diberi amaran, jika melanggar larangan itu, mereka termasuk golongan yang zalim dan akan mendapat balasan daripada Allah.

Bagaimanapun, larangan itu tidak dipatuhi. Kemudian, semua pakaian dan perhiasan di syurga yang dipakai mereka terlepas, dengan tiada satu pun tertinggal, melainkan mahkota.

Sambil menangis, Adam menoleh kepada Hawa, lalu berkata: “Persiapkanlah dirimu untuk keluar dari sisi Allah. Inilah permulaan munculnya maksiat.”

Hawa menjawab: “Wahai Adam! Aku tidak pernah menyangka ada makhluk berani bersumpah palsu kepada Allah.”

Di syurga Adam sentiasa berlari kerana malu kepada Allah, sehingga Adam mengira azab Allah dipercepatkan, lalu dia menundukkan kepala dan berkata: “Ampun! Ampun.”

Lalu Allah berfirman: “Wahai Adam, adakah kamu melarikan diri dari-Ku?” Adam menjawab: “Tidak, tetapi aku malu kepada Engkau wahai Tuhan!”

Kemudian Allah mewahyukan kepada dua malaikat, supaya mengeluarkan Adam dan Hawa dari sisi-Nya, kerana telah menderhakai-Nya. Tanpa berlengah, Jibril melepaskan mahkota di kepala Adam, manakala Mikail mencabut mahkota di keningnya.

Selepas diturunkan dari tempat suci ke tempat yang penuh kelaparan, Adam menangisi kesalahannya selama seratus tahun. Dia sentiasa menundukkan kepala di atas kedua-dua lututnya, sehingga titisan air matanya membasahi bumi, menumbuhkan rumput dan pokok.

Wahab bin Munabbih menceritakan, Nabi Adam berada dalam kemurkaan Allah selama tujuh hari. Pada hari ketujuh Allah memanggilnya, kemudian memberikan wahyu kepadanya: “Wahai Adam, kesedihan apakah yang Aku lihat menimpamu hari ini? Bencana apakah menimpamu sehingga menyebabkanmu hanyut?“

Adam berkata: “Sungguh besar musibah, wahai Tuhan. Aku diliputi kesalahanku sendiri dan aku keluar dari kerajaan Tuhanku, sehingga aku berada di tempat kehinaan, sebelumnya aku berada dalam kemuliaan.

“Aku berada di tempat celaka, sebelumnya aku dalam kebahagiaan. Aku berada di tempat sukar, sebelumnya aku dalam kemewahan. Aku di tempat bencana, sebelumnya aku dalam keselamatan.

“Aku sekarang berada di tempat yang akn musnah setelah berada dalam ketenangan. Aku sekarang berada di tempat yang hancur setelah berada di tempat kekal abadi dan aku sekarang berada di tempat yang penuh penipuan setelah berada dalam keamanan. Tuhanku, tentu saja aku menangisi kesalahanku? Bagaimana mungkin aku tidak meratapi diriku sendiri?” Allah berfirman kepada Adam: “Bukankah Aku telah memilihmu untuk diri-Ku? Aku telah menghalalkan rumah-Ku untuk dirimu, Aku memilihmu atas semua makhluk-Ku, Aku mengkhususkan keramat-Ku terhadap dirimu, Aku mencurahkan kecintaan-Ku terhadap dirimu, Aku memberi peringatan kepadamu akan kemurkaan-Ku?

Bukankah Aku menciptakanmu sendiri, Aku telah meniupkan nyawa ke dalam tubuhmu, Aku memerintahkan malaikat supaya sujud dan bukankah Aku menjadikanmu sebagai pendamping-Ku di syurga-Ku.

Kamu menggunakan keramat-Ku sekehendakmu sendiri, sehingga kamu telah menderhakai perintah-Ku, kamu telah melupakan janji-Ku dan mensia-siakan wasiat-Ku? Bagaimana sekarang kamu akan memungkiri seksaan-Ku?

Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, seandainya bumi ini penuh dengan orang seperti kamu, di mana (mereka) sentiasa bertasbih malam dan siang tiada hentinya. Kemudian mereka menderhakai Aku. Aku akan memberikan tempat kepada mereka seperti tempat orang yang derhaka.

Sesungguhnya Aku mengasihani kelemahanmu, mengangkatmu dari kejatuhan, menerima taubatmu, mendengar permohonanmu yang tulus dan Aku mengampuni dosamu.”

Lalu disuruh-Nya Adam berkata: “Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah dengan segala puji-Mu, aku telah menganiaya diriku sendiri dan aku melakukan kejahatan, terimalah taubatku. Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.”

Kemudian Allah mengirimkan kepada Adam sebuah khemah dan diletakkannya di tempat berdirinya Kaabah (sebelum Kaabah itu sendiri diciptakan). Di sanalah Adam tinggal dan seterusnya mengembangkan keturunannya.
Sumber: Bicara Addin