: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 20 Jun 2009

Cabaran Ayah Abad Ke-21.


Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

Tip lelaki moden pikul tanggungjawab ketua keluarga

ZAMAN sudah berubah. Cabaran lelaki bergelar ayah dalam era digital tidak sama jika dibandingkan waktu bapa membesarkan kita dulu. Biarpun tanggungjawab teras sebagai ketua dan pelindung keluarga tidak pernah berubah, faktor persekitaran yang berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kehendak diri boleh mempengaruhi lelaki dipanggil ayah, abah atau papa ini.

Perubahan persepsi dan nilai termasuk fokus keterlaluan dalam mengejar definisi kejayaan dan kesempurnaan hidup, jika tidak dikawal mampu menjadikan bapa tersasar daripada tanggungjawab utama menjadi ketua keluarga. Kehidupan yang dilihat makin kompleks ditambah pula dunia dihimpit isu keruntuhan nilai, akhlak dan beban ekonomi menjadikan tugas sebagai ayah makin mencabar pada abad ke-21.

Tentunya dalam soal ini, bapa moden perlu lebih fokus serta bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mendidik anak, lelaki zaman sekarang harus memilih kaedah terbaik melahirkan insan seimbang. Tentunya pengalaman sendiri termasuk pengajaran yang diperoleh ketika membesar wajar dijadikan panduan dalam merencana hidup si kecil.

Bapa moden juga harus bijak mengenal pasti bentuk perubahan dalam pendedahan, tuntutan, keutamaan dan keperluan si kecil yang sama sekali berbeza berbanding ketika dirinya membesar. Perkembangan teknologi, kepesatan pembangunan dan peningkatan taraf hidup memberi kesan langsung kepada persekitaran si kecil dan semua ini perlu diawasi agar tidak memberi kesan negatif dalam hidup anak.

Soal keperluan material atau wang ringgit dalam membesarkan anak juga harus ditangani secara bijak oleh lelaki moden. Kuasa RM dalam kehidupan zaman penuh mencabar ini tidak dapat disangkal. Bapa moden perlu bijak menyusun strategi ekonomi, mencari perlindungan dan kebebasan kewangan yang diperlukan setiap kali mengatur bajet untuk si kecil dan keluarga.

Direnung kembali saat bergelar papa, detik itu tentunya memberi seribu makna dalam hidup lelaki matang. Zuriat yang dilahirkan datang bersama pakej tanggungjawab yang bukan kecil.

Sebagai bapa, masa depan si kecil termasuk soal nilai, pendidikan dan tingkah laku yang hendak dipupuk semuanya terletak di bahu ayah. Inilah tanggungjawab tradisi seorang lelaki bergelar bapa yang perlu dilaksanakan dalam apa cara sekalipun dalam melengkapkan pengertian serta aprisiasi dari anugerah yang diperturunkan Allah.

Jika dilihat sekarang (mungkin sesuatu yang boleh dibanggakan), bapa moden lebih banyak menghabiskan masa bersama anak. Istilah participatory fatherhood jelas merungkai karektor bapa moden. Ketepi sifat dan bengis ayah pada zaman silam - walaupun ia sebenarnya menjadi teknik mendidik paling berkesan pada era dahulu kala, bapa moden cenderung mendekati anak sebagai rakan sendiri malah sanggup menggantikan ibu melakukan kerja-kerja rumah.

Bapa moden yang mewakili kelompok usia awal 30-an hingga 40-an sekarang dilihat terbabit secara aktif dalam soal penjagaan anak atau parenting. Mungkin ada juga segelintir lelaki masih terikat dengan identiti ayah zaman silam, lelaki hari ini lebih terbuka dan menyedari pentingnya terbabit secara langsung dalam proses membesarkan anak.

Lelaki moden mula melihat kepentingan terbabit secara aktif dalam proses penjagaan anak, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada isteri atau dalam kes lebih teruk kepada pembantu rumah. Tidak hairanlah lelaki moden hari ini cenderung mencari bahan bacaan panduan membesarkan anak selain sama memikul rutin penjagaan si kecil seperti menukar lampin, membuat susu dan memandikan anak.

Bapa moden juga aktif mengambil tahu perkembangan anak-anak baik dari aspek fizikal mahupun rohani. Jika anak bersekolah, bapa mengambil inisiatif mengambil tahu apa yang dipelajari si kecil atau bertanyakan soal siapa rakan-rakan si anak. Bapa juga mengambil berat soal pencapaian akademik anak di sekolah - amat berbeza berbanding dulu apabila ibu saja yang dilihat sering menandatangani kad kemajuan atau prestasi anak.

Tidak hairanlah, disebabkan terbatasnya peranan ayah dalam proses pembesaran anak, ada antara kita memiliki persepsi bapa sebagai individu yang sukar difahami atau distant figure. Ayah dikatakan individu yang sukar didekati, dingin dan tidak beremosi. Amat malang berlakunya situasi sebegini kerana sedar atau tidak, kesannya dirasai hinggalah si anak sudah berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.

Mungkin banyak puncanya jika disoroti mengapa ayah menjadi insan yang sukar dimengertikan atau umpama terlalu ‘jauh’ dari keluarga sendiri. Mungkin faktor bebanan kerjaya dan tumpuan terhadap usaha mencari wang demi membina keluarga ketika usia mudanya, bapa terlupa soal hubungannya dengan si anak. Selain itu, sifat seperti terlalu mengejar kesempurnaan dan enggan menerima pandangan orang lain misalnya, menambah lagi tekanan dalam hubungan.

Bagaimanapun, ayah biar apapun persepsinya, tetap ayah. Mana mungkin jasa dan pengorbanan ayah dibalas ganti dan jika ayah menjadi insan yang terlalu ‘jauh’, sebagai anak berusahalah memperbaiki hubungan. Ini kerana mungkin apa yang terpendam dalam hati masing-masing perlu dirungkai kerana bak air, kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak akan putus.

Berita baik menunggu golongan papa hari ini ialah kita masih belum terlambat untuk membuat perubahan. Andai diuji godaan zaman moden hingga bapa hilang pertimbangan, segeralah kembali ke pangkal jalan. Tidak ada manusia yang sempurna, namun jadilah bapa penyayang, prihatin dan paling penting, teman baik kepada anak sendiri.

Selamat Hari Bapa!

Tip jadi bapa hip pada abad ke-21!

1. Sayangi wanita bergelar isteri dan ibu kepada cahaya mata anda.

Cukup lojik memulakan senarai 10 tip ini dengan elemen pertama iaitu isteri anda. Jika bukan kerana isteri anda yang melalui tempoh getir sembilan bulan, anda tidak akan menjadi seorang papa. Sayangi isteri dan berikan sokongan dalam apa juga segenap aspek. Jika isteri anda hamil, prihatinlah dengan perubahan fizikal dan emosi yang dilaluinya. Peruntukkan masa privasi bersama isteri biarpun anak sudah beranak lima. Bantu isteri dalam melakukan semua tugas rumah dan menjaga anak.

2. Berbincang dengan isteri setiap masa.

Dalam mencari kerukunan rumah tangga, tidak ada pilihan melainkan anda dan isteri berbincang mengenai apa saja perkara. Jika membabitkan soal penjagaan anak, anda wajar bertanya isteri masalah yang dihadapinya. Jika isteri bekerjaya, atur jadual harian supaya keperluan anak anda dipenuhi setiap masa. Jangan jadikan bebanan kerja di pejabat sebagai alasan menyerahkan segala-galanya kepada isteri.

3. Tunjukkan kasih sayang kepada isteri dan anak.

Bapa moden harus bebas daripada stereotaip sukar didekati atau individu yang tidak beremosi. Tidak ada salahnya memberi ciuman kepada isteri dan anak setiap pagi sebaik bangun dari tidur. Kemesraan dan hubungan erat yang terjalin antara anggota keluarga akan hanya memberi satu keputusan - anda kecapi bahagia sehingga usia tua.

4. Habiskan masa bersendiri dengan anak.

Tidak salahnya anda menghabiskan masa bersendiri dengan anak - hanya anda berdua! Bawa anak melakukan aktiviti yang digemarinya atau sekadar beriadah bersama di taman tema, jogging di pagi hari atau membaca buku untuk anak anda. Dengan cara ini, anak akan lebih mengenali si kecil dan mengesan karektor atau kecenderungan anak.

5. Kongsi hobi anda bersama anak.

Dedahkan si kecil hobi atau kegiatan masa lapang anda. Tidak salah berkongsi minat seperti bermain alat muzik, bersukan, berkhemah atau bermain catur dengan si kecil. Dengan cara ini, anak anda akan lebih bersikap terbuka dan sedia berkongsi apa saja perkara bersama anda.

6. Jangan abaikan si kecil hanya kerana beliau anak perempuan.

Tidak dinafikan, ada bapa cenderung memencilkan anak hanya kerana jantinanya perempuan. Anak perempuan juga memerlukan bapa sama seperti anak lelaki. Tidak salah menghabiskan masa bersama anak perempuan termasuk mengajarnya bagaimana menggunakan peralatan pertukangan. Anak perempuan juga perlu diajar situasi berdepan dengan golongan dewasa baik lelaki atau perempuan.

7. Anggaplah anak sebagai teman sendiri.

Bagaimana mahu mendekati si kecil andai dirinya ketakutan jauh sekali meluahkan perasaan kepada anda? Bapa moden perlu menjadikan anak sebagai rakan dengan perhubungan lebih santai atau tidak terlalu menekan. Namun, jangan terlebih-lebih kerana bimbang anak tidak takutkan anda pula. Biarpun anda boleh menjadi pendengar setia, pastikan anda tegas dan anak mendengar kata.

8. Jadi idola kepada anak sendiri.

Tunjukkan contoh baik kepada anak anda. Jika anda mahu anak berdisiplin, tunjukkan perilaku sama. Ingat, anak cekap memerhati dan meniru perlakuan anda.

9. Makan bersama setiap kali berpeluang.

Bagi anda yang bekerjaya, mungkin sukar untuk pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama anak setiap malam. Namun, setiap waktu terluang terutama pada hujung minggu, pastikan anda makan bersama seisi keluarga. Ketika bersama, bermacam cerita boleh disampaikan kepada anak termasuk perkara berbangkit seperti soal kerjaya anda, persekolahan dan aktiviti mingguan.

10. Ikuti perkembangan semasa dan kecenderungan generasi muda sekarang.

Usah terbelenggu dalam dunia sendiri, bapa moden seharusnya bersifat lebih terbuka dan mengikuti perkembangan dunia terutama yang melingkari kehidupan generasi muda. Kenali apa itu i-Pod, web tv mahupun ruang sembang siber. Ini penting supaya anda dapat mengawal selain mengetahui kecenderungan atau minat anak anda.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA


KAJI PEMANDUAN WAKTU MALAM
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

CADANGAN untuk mengehadkan kelajuan maksimum bas ekspres dan bas penumpang kepada 90 kilometer sejam seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin sewajarnya dilaksanakan secepat mungkin.

Di kalangan penumpang bas sendiri, cadangan itu dilihat sekurang-kurangnya memberi jaminan terhadap soal keselamatan mereka sewaktu di jalan raya.

Ini kerana kemalangan ngeri membabitkan bas ekspres dengan jumlah kematian yang tinggi bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan di negara ini.

Kejadian terbaru berlaku di Pahang pada 19 Mei lalu apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan treler dan membunuh dua orang manakala tujuh yang lain cedera parah.

Bagaimanapun dalam mengikat kelajuan bas ekspres dan bas penumpang, kerajaan juga disaran untuk mengkaji pelbagai cadangan yang sering disuarakan setiap kali berlakunya kemalangan ngeri membabitkan pengangkutan awam itu.

Antaranya ialah kebenaran perjalanan bas ekspres pada sebelah malam yang ketika ini membabitkan hampir ke semua lokasi terutamanya ke bandar-bandar besar di seluruh negara.

Jika dilihat kepada rekod kemalangan membabitkan bas ekspres sebelum ini, kebanyakannya berlaku pada waktu awal pagi.

Puncanya di sini sangat jelas, iaitu kerana faktor pemandu yang mengantuk. Tidak sukar untuk memahami logik itu kerana lumrahnya waktu malam adalah untuk tidur.

Tetapi bagi pemandu bas ekspres, mereka dipertanggungjawabkan dengan kira-kira 40 nyawa penumpang. Tidak dinafikan pemandu bas ekspres mungkin sudah mendapat rehat yang cukup pada sebelah siangnya.

Kehadiran pemandu kedua juga sedikit sebanyak dapat mengelak risiko kemalangan disebabkan faktor mengantuk.

Tetapi kita pasti bersetuju bahawa rasa mengantuk tidak memerlukan masa yang panjang untuk mencetuskan tragedi kemalangan yang dahsyat.

Memadai hanya dalam beberapa saat sahaja untuk pemandu terlelap kerana tidak dapat menahan rasa mengantuk yang keterlaluan. Kesannya, ia mungkin akan menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Banyak kes kemalangan membabitkan pemandu yang terlelap sewaktu memandu sehingga menyebabkan bas terbabas. Akibatnya ia mungkin bertembung dengan kenderaan lain atau terjunam ke dalam gaung.

Paling malang apabila kemalangan itu meragut nyawa ramai penumpang. Bayangkan hanya kerana kealpaan beberapa saat, begitu ramai yang menjadi mangsa. Jika penumpang yang terbunuh itu merupakan satu-satunya sumber pencari rezeki kepada sesebuah keluarga, maka ramai lagi "mangsa" yang menderita.

Namun di pihak pengusaha bas ekspres, menamatkan perjalanan pada sebelah malam pastinya mendatangkan kerugian besar.

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk mereka berkompromi dengan nyawa penumpang. Kerugian yang ditanggung mereka tidak seberapa berbanding kerugian yang bakal ditanggung oleh keluarga mangsa.

Kerana itu juga kerajaan perlu meneliti banyak perkara dalam pengurusan kecekapan dan keselamatan cabang pengangkutan awam ini.

Antaranya dengan mengkaji semula skim gaji dan komisen di kalangan pemandu. Ketika ini, gaji permulaan kebanyakan pemandu bas ekspres dikatakan begitu rendah. Mereka terpaksa bekerja keras untuk mendapat komisen dan biasanya jumlah komisen itu dikira berdasarkan jumlah perjalanan atau pemanduan yang dilakukan oleh pemandu terbabit.

Keadaan itu memaksa mereka mengejar komisen daripada trip pemanduan berikutnya dalam tempoh masa yang singkat. Ia secara tidak langsung menyebabkan pemandu berada dalam situasi yang tidak selesa untuk memandu kerana dibelenggu oleh rasa letih dan mengantuk.

Risiko kemalangan pada sebelah malam juga menjadi lebih besar kerana faktor jalan yang agak berbahaya lebih-lebih lagi di kawasan yang sering berlakunya kemalangan maut.

Bagi perjalanan ke sebelah Pantai Timur yang sebahagian besarnya perlu melalui jalan persekutuan dan jalan negeri, risiko kemalangan pada waktu malam juga agak tinggi.

Keadaan jalan dan bahu jalan yang sempit, menyukarkan pemandu mengelak daripada terbabit dalam kemalangan yang serius.

Jalan raya yang sunyi pada sebelah malam kadang-kadang diambil kesempatan oleh segelintir pemandu bas ekspres untuk memecut dengan laju.

Dalam keadaan ini, sedikit kecuaian manusia serta keadaan jalan yang tidak sempurna boleh mengundang bencana.

Seperkara yang perlu diperhatikan dalam mengurus kemalangan membabitkan bas ekspres ialah sejauh mana aspek penguatkuasaan diberikan penekanan oleh pihak berkuasa.

Realitinya setiap kali membincangkan mengenai isu kemalangan jalan raya, isu ketidakcekapan, konsistensi dan keberanian pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sering menjadi persoalan.

Perkara yang sama tidak mustahil dapat diperhatikan sekiranya cadangan mengikat had laju bas ekspres kepada 90 kilometer dilaksanakan.

Satu-satunya cara untuk memastikan had laju itu dipatuhi ialah dengan melakukan pemantauan berterusan termasuk sehingga ke tahap berada dalam bas.

Sedangkan operasi seperti itu sangat jarang dilakukan atau hanya dalam tempoh tertentu sahaja.

Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa pihak berkuasa terlalu banyak pertimbangan dengan pesalah jalan raya, termasuk dengan pemandu bas.

Kerana itu juga antara pendedahan "wajib" media setiap kali berlakunya kemalangan maut membabitkan bas ialah berapa banyak saman kesalahan memandu yang dimiliki pemandunya.

Justeru, apa jaminan pemandu bas akan mematuhi had kelajuan 90 kilometer sekiranya ia menjadi undang-undang nanti?

Mungkin kerajaan boleh mewajibkan semua bas ekspres menggunakan meter automatik yang akan menghalang bas-bas berkenaan daripada memecut melebihi had yang dibenarkan itu.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 19 Jun 2009

Semangat Kejiranan Terhakis Dalam Masyarakat Kita?


Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.

Jelaskan kebaikan-kebaikan dan keburukan membaca novel.

Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian oleh semua pihak.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.

Namun, pembacaan genre sastera ini turut membawa kesan buruk iaitu mengabaikan tugas sebagai pelajar. Masa yang panjang untuk membaca novel menyebabkan pelajar akan melupakan tanggungjawabnya untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang penting itu. Masalah ini semakin kronik apabila remaja itu membaca lebih banyak novel dalam tempoh yang lama. Kesannya, pencapaian pelajar terbabit mungkin akan terus merosot terutama ketika peperiksaan utama umum diambil oleh mereka.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.

Sumber: Noor Azman Mahat

SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN


- SIKAP BERJIMAT CERMAT DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA
Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

SUMBER : LAMAN BIMBINGAN BAHASA MELAYU SPM

Khamis, 18 Jun 2009

Memahami kesan pemanasan global, perubahan iklim


Oleh Rozali Ismail
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai ‘hari untuk semua’ dan pelbagai aktiviti diadakan di serata dunia meliputi perarakan, pertunjukan, konsert hingga kepada penanaman pokok, kitar semula dan gotong-royong membersih kawasan semuanya untuk memupuk kesedaran dan fokus kepada isu alam sekitar.

Hari Alam Sekitar Sedunia juga adalah hari di mana kita semua berfikir sejenak antaranya mengenai isu kemiskinan, pertambahan penduduk, pembangunan ekonomi, pencemaran serta perancangan untuk masa depan. Semua isu ini bukan hanya berkait antara satu sama lain, tetapi juga adalah komponen utama pembentukan konsep pembangunan lestari dan mapan yang mana menjadi objektif sejagat dewasa ini.

Justeru, sambutan ini juga sebagai tanda terima kasih kita kepada anugerah alam yang memberi tempat untuk hidupan semua. Hari ini juga seharusnya memupuk kita memberi tumpuan dan tenaga secara bersama dalam memulihara alam sekitar supaya dunia ini sentiasa bersih dan hijau.

Walaupun sudah agak lama Hari Alam Sekitar Sedunia ini diraikan, iaitu sejak 1972 masih banyak perlu dilakukan. Di seluruh dunia, pelepasan karbon hasil daripada pembakaran bahan api meningkat dengan pantas dan saintis merumuskan bahawa dunia mengalami kenaikan paras air laut, kecairan glasier serta ribut, kemarau dan banjir yang ekstrem ekoran pemanasan global.

Gesaan supaya tahap pelepasan karbon global diturunkan sebanyak 50 peratus daripada paras pada 1990 menjelang 2050. Namun banyak negara percaya ianya harus dikurangkan lebih lagi, iaitu 80 peratus bagi tempoh sama untuk kestabilan tahap CO2 dalam udara bagi pengurangan pemanasan global.

Kita mungkin melakukan yang terbaik dalam memperbaiki dan memulihara alam sekitar yang rapuh ini, tetapi masih belum berjaya dalam mengekang pemusnahan alam sekitar, begitu juga mencari jalan ke arah pembangunan lestari dan mapan.
Tema ‘Dunia Memerlukan Kita - Bersatu Mengawal Perubahan Iklim’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Your Planet Needs You - Unite to Combat Climate Change’ memang bertepatan sekali, menyarankan bahawa peningkatan suhu purata dunia menyebabkan kesan ketara ke atas bekalan air, ekosistem, makanan, susur pantai dan kesihatan sejagat.

Kita seharusnya memperkuatkan komitmen untuk menangani isu alam sekitar seperti memberi kuasa kepada warga semua menjadi ejen pengawasan pembangunan, mempromosi kefahaman bahawa masyarakat memainkan peranan utama dalam pemuliharaan alam sekitar serta membentuk satu perkongsian yang memupuk ke arah pengekalan alam sekitar lestari untuk generasi akan datang.

Sesungguhnya amat susah untuk memulihara dan menilai alam sekitar tanpa mengira elemen pemusnahannya. Saban tahun, jumlah pencemaran kilang menyebabkan penurunan kualiti air. Sekurang-kurangnya 70,000 jenis bahan kimia digunakan di seluruh dunia dan di antara 200 hingga 400 jenis bahan toksik mencemari sungai dan terusan di seluruh dunia. Dianggarkan juga 1,000 jenis bahan kimia baru diperkenalkan setiap tahun! Masalah pencemaran air menjadi ketara dengan pembuangan sisa pertanian dan keadaan ini adalah antara punca pencemaran air di kebanyakan negara.

Semua sedia maklum bahawa kekurangan air bersih adalah akibat pencemaran, lebih guna dan pengurusan yang lemah, sekali gus menyebabkan pengurangan kuantiti dan kualiti air sedia ada.
Di Asia, adalah penempatan bagi lebih separuh penduduk dunia, dijangka menghadapi masalah kekurangan air bersih berikutan pembangunan bandar dan pertambahan penduduk. Catatan juga menunjukkan bahawa sumber bekalan air bersih menyusut lebih pantas daripada penambahannya. Seumpamanya penggunaan air sebanyak 3,920 meter padu air setahun memberi tekanan ketara kepada sumber air bersih.

Anggaran pertambahan penduduk seramai 500 juta orang di Asia dalam tempoh 10 tahun akan menyebabkan peningkatan kepada penggunaan air. Ditambah lagi dengan kesan perubahan iklim, pakar bersetuju bahawa pengurangan had pencapaian kepada air bersih boleh menjurus kepada kepincangan pengeluaran makanan, kehilangan nyawa, migrasi sempadan dan peningkatan ketidakstabilan ekonomi serta geopolitikal. Keadaan keselamatan di kawasan ini sudah tentu tergugat berikutan semua masalah ini.

Dari sudut teknologi, kerajaan dan industri air mempunyai peluang yang besar dalam penggunaan teknologi sedia ada serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pembangunan lestari. Pencapaian dalam bidang analisis kimia untuk perawatan air sebagai contohnya, sudah mendatangkan hasil untuk perawatan sungai dan tasik di negara maju. Penemuan teknologi baru juga berjaya menghasilkan sumber baru daripada sisa terpakai, seterusnya menyumbang kepada kitaran alam sekitar yang lestari.

Memahami semua masalah dan akibat daripada perubahan iklim mestilah dilihat secara global. Oleh itu, penyelesaian yang ada memerlukan penduduk dunia berganding bahu dalam memastikan aktiviti yang dilakukan lebih mesra alam dan mampu menyediakan persekitaran yang lestari dan mapan untuk generasi akan datang.

Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad
Sumber: Berita Harian

Individu berakhlak baik disayangi semua makhluk


NABI SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya. Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; selepas itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia. Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang itu dibenci dan dipulaukan di bumi." (Hadis riwayat Abu Huraira)

Umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk, dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan.

Orang yang mempunyai sifat dan amalan baik sesungguhnya amat dikasihi Allah. Dia juga disayangi sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.

Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai sewajarnya supaya kesan kebaikan dan kejahatan dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya pada hari akhirat.

Selaku manusia biasa, adalah tidak layak untuk menilai buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah saja berhak berbuat demikian.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kekayaan tak bawa bersama kebahagiaan

Oleh Nawawi Subandi


KEBAHAGIAAN keluarga dapat diraih dan dinikmati dengan berpegang teguh prinsip agama. - Gambar hiasan

Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa bersyukur

APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun.

Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?

Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?

Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.

Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.

Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan.

Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan.

Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.

Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.

Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik. Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.

Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

Sumber: Berita Harian

SYAIR KELEBIHAN ILMU


Nabi Muhammad saw bersabda bahawa para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka kerana terlalu suka akan orang yang menuntut ilmu. Menurut Ibn Kathir, seorang ulamak tafsir Al-Quran dan sejarah yang terkemuka- ada seorang yang ingin mempermain-mainkan hadis ini dengan berkata "aku akan mengenakan malaikat yang meletakkan sayapnya terhadap penuntut ilmu".Dia memakai kasut yang berpaku dengan tujuan untuk memijak sayap malaikat bagi menguji hadis nabi. Akhirnya apabila sampai di rumah kakinya bengkak dan mengalami kesakitan yang amat sangat.
Sayyidina Ali r.a pernah berkata kepada Ziad al-Nakha’ie bahawa "ilmu lebih penting daripada harta, kerana ilmu dapat menjagamu,sedangkan sebaliknya kamu mengawasi hartamu”.Imu akan bertambah dengan memberi, tetapi harta akan berkurang kerana memberi. Ilmu menjadi hakim dan menghakimi sesuatu perkara tetapi harta mengikut apa-apa yang telah kita hakimi.
Mencintai ilmu merupakan tuntutan agama. Ilmu menjadikan seseorang dikenali dan dihormati. Orang yang alim sentiasa disebut oleh orang ramai walaupun mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Kitab dan penulisan mereka dijadikan sumber rujukan bagi orang-orang yang cinta akan ilmu. Kita hendaklah menjadi seseorang yang berilmu dan menyampaikan ilmunya kepada orang lain supaya ilmu itu berterusan ibarat air sungai yang sentiasa mengalir ke muara. Ilmu yang disampaikan akan mendapat ganjaran di sisi Allah swt sehinggalah terhenti ataupun hingga hari perhitungan iaitu yaumul qiamah.


MAKSUD SYAIR MENGIKUT RANGKAP

Rangkap 1
Pengarang mengatakan bahawa ilmu adalah sesuatu yang sangat berharga. Ilmu juga merupakan sinar atau penerang kehidupan yang sebenar-benarnya. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak akan hilang selama-lamanya.

Rangkap 2
Ilmu merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya. Nilainya tidak dapat disamakan dengan harga dunia dan isinya. Pengaruh ilmu juga sangat besar. Ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu akan berguna di mana-mana sahaja dia berada atau menjadikan orang yang berilmu itu 'berkuasa' di mana-mana sahaja dia berada.

Rangkap 3
Ilmu adalah teman sejati yang akan menjadi panduan dan teman dalam kehidupan seseorang. Ilmu juga menjadi penyuluh jalan yang benar walaupun ketika seseorang bersendirian. Malahan seseorang yang berilmu itu akan mudah dikenali (kerana perlakuan dan sikapnya) ketika dia berada di khalayak ramai. Ilmu juga menjadikan seseorang itu dipandang mulia.

Rangkap 4
Ilmu merupakan penghibur seseorang yang sedang dalam kesedihan. Ilmu juga menjelaskan sesuatu perkara yang kurang difahami. Malahan, ilmu yang dimiliki (ilmu agama) akan menjamin kesejahteraan hidup di alam kubur (selepas mati) sekiranya seseorang itu mengamalkan ilmunya di jalan yang diredai Allah.

Rangkap 5
Ilmu yang baik itu akan membuka jalan kebaikan kepada seseorang dan akan membimbing kehidupannya ke arah yang diredai Allah (syurga). Dengan ilmu , seseorang dapat memenuhi keperluannya serta menyelesaikan permasalahannya tentang apa-apa perkara pun.

Rangkap 6
Ilmu adalah sesuatu yang sangat penting dan berguna kepada semua insan. Ilmu sentiasa dicari oleh orang yang bijak pandai yang tahu akan kepentingannya. Sesungguhnya bidang ilmu itu sangat luas . Penerokaan ilmu hanya akan terhenti apabila seseorang itu meninggal dunia.

Tema
Tema syair di atas ialah kepentingan ilmu. Ilmu merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seseorang di dunia dan di akhirat. Hal ini disebabkan ilmu menjadi panduan yang amat berguna kepada setiap orang dalam menjalani kehidupan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berusaha melengkapkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
2. Kita perlu mengamalkan ilmu yang kita miliki di jalan yang benar dan diredai Allah.
3. Setiap orang perlu menghargai ilmu pengetahuan agar terpelihara daripada kejahatan.
4. Kita perlu memiliki keyakinan serta kegigihan untuk menuntut ilmu.

Sumber: cikgumie

SYAIR JONG PECAH


Maksud

1. Syair yang dicipta oleh penulis terkenal, Adibah Amin ini membawa maksud tersirat meminta melakukan muhasabah diri tentang kepentingan perpaduan.
2. Terdapat sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bijak dan pahlawan yang gagah perkasa. Kehidupan mereka bersatu padu dan aman damai. Walaupun negara tersebut telah beberapa kali diserang musuh tetapi oleh sebab rakyatnya bersatu padu, negara tersebut terus kekal dan masih teguh,3. Walaupun begitu, rakyat sesama sendiri bertelagah, Hal ini berlaku demikian kerana kealpaan masing-masing memainkan peranan . Natijahnya,kedaulatan negara turut tergugat. Penjajahan kembali berlaku menyebabkan kestabilan ekonomi terjejas dan politik tergugat.
4. Rakyat berasa dukacita dan hidup sengsara. Penjajahan tersebut selama 400 tahun, ditambah pula 46 tahun lagi. Budaya dan ilmu serta warisan bangsa tercemar, musnah dan terhapus. Harga diri turut jatuh. 5. Namun, selepas itu muncul beberapa orang pemimpin dan pejuang bangsa menzahirkan semangat patriotik mereka. Ada yang terkorban, tetapi semakin lama jasa mereka terus dilupakan begitu sahaja. Suatu ketika rakyat kembali bersatu padu dalam semua aspek, berani menentang semua ancaman dan dugaan demi mendaulatkan semula negara tercinta.
6. Selepas 33 tahun negara merdeka, nama negara dan bangsa terkenal seluruh dunia serta telah banyak hasrat atau rancangan kerajaan telah terlaksana.
7. Rakyat perlu mengelakkan pertelagahan sesama sendiri kerana perkara ini akan membawa kerugian. Akan ada pihak ketiga mengambil kesempatan dan mengaut untung. Kesannya , hal itu akan menjadi ‘titik hitam’ dalam sejarah negara.
8. Penyair seterusnya berdoa kepada Allah Yang Maha Pengasih agar bangsanya diteguhkan iman, seterusnya agar memperoleh panduan ke arah hidup bersatu dan aman sejahtera selama-lamanya. Seturusnya penyair menyeru bahawa sekiranya sesuatu bangsa itu bersatu padu, pasti negara akan kukuh.

Tema
Kepentingan perpaduan.

Persoalan
-Kekukuhan negara dalam segenap bidang melalui perpaduan•
-Perselisihan sesama sendiri akan menguntungkan pihak lain.

Nilai
1. Kerjasama-bersama-sama berusaha untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman musuh
2. Hemah tinggi-mengenang jasa para pahlawan yang menuntut kemerdekaan negara.
3. Keberanian-sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Pengajaran
1. Kita hendaklah bersatu-padu dalam semua hal - akan terbentuk sebuah negara teguh dan maju.
2. Kita hendaklah berhemah tinggi dan mengenang jasa- walaupun seseorang tokoh ini telah meninggal dunia, jasa dan bakti yang pernah dicurahkan perlu dikenang dan dihargai sampai bila-bila.
3. Kita hendaklah berani dan memiliki semangat cinta akan negara - mempertahankan kadualatannya.

Rabu, 17 Jun 2009

Al-Zahrawi


ABU AL-Qasim Al-Zahrawi yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masehi adalah seorang lagi saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas dalam bidang perubatan.

Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi bukan sekadar terhad dalam satu bidang sahaja iaitu surgeri yang menjadi keistimewaannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain.

Antaranya ialah pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan .

Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau telah dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu iaitu King Al-Hakam II.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 dikenali kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan terutamanya dalam bidang surgeri.

Seperkara lagi yang menyebabkan beliau terkenal ialah kerana ensiklopedia perubatan beliau yang di kenali Al-Tasrif.

Ensiklopedia ini mengandungi 30 volum pelbagai aspek sains perubatan.

Bagaimanapun daripada ensiklopedia ini, aspek yang paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buah buku mengenai surgeri.

Buku mengenai surgeri ini menerangkan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.

Antaranya termasuklah pengkauteran/lecuhan (cauterization), mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas binatang dan juga pembedahan mata, telinga dan kerongkong.

Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga amputasi (mengudungkan).

Ensiklopedia Al-Tasrif ini diterjemahkan pertama kalinya ke bahasa Latin oleh Gherard dan kemudiannya diikuti oleh beberapa orang editor lain di Eropah.

Buku ini mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dibangunkan oleh beliau sendiri.

Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.

Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang surgeri salah sama sekali.

Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan.

Tiga alat yang terkenal ciptaannya ialah:

alat pemeriksaan luar telinga

alat pemeriksaan luar theurethra

alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong.

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan di lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.

Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya.

Beliau juga menerangkan secara terperinci aplikasi beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).

Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.

Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian.

Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.

Dalam bidang perubatan beliau adalah orang pertama yang menerangkan secara terperinci mengenai penyakit pelik - hemofilia.

Melihat sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan terutamanya bidang surgeri serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.

Malah menurut penulis Sejarah Perubatan Arab - Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan ini sebenarnya melebih apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal Galen dalam kurikulum perubatan Eropah.

Laman web rujukan:
www.muslimheritage.com

Andai Cinta Hendak Diberi


“Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjiNya pasti” Itulah sedikit dari lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang…
1. Kuat agamanya.
Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaQwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.
2. Baik akhlaknya.
Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.
3. Tegas mempertahankan maruah.
Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.
4. Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.
5. Tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.
6. Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.
7. Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.
8. Rakan pergaulannya.
Rakan-rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.
9. Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk parents dan ahli familynya. Jika parentsnya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab
10. Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka.Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.
Berbahagialah kamu jika dicintai calon yang demikian sifat nya…”

PENGHORMATAN PADA DIRI SENDIRI - FAKTOR KE ARAH KEJAYAAN


PENGGAL persekolahan masih berjalan dan seperti biasa pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada akhir tahun ini akan berusaha memantapkan diri dan semangat mereka dalam menghadapi peperiksaan
Terdapat sebilangan pelajar-pelajar berasa begitu gembira kerana pada hujung tahun ini mereka akan menamatkan pengajian mereka dan seterusnya akan melangkah ke tahap yang lain pula. Manakala tidak kurang pula yang tidak begitu yakin pada diri mereka sama ada mereka dapat menghadapi segala cabaran dengan jayanya.
Ivan Burnell, (1995) seorang ahli korporat dan pakar motivasi barat dalam penulisannya bertajuk "The Power of Positive Doing", mengatakan bahawa satu cara untuk memberi keyakinan pada diri sendiri ialah dengan menghormati diri kita serta menganggap bahawa diri kita adalah penting.
Oleh itu kita harus mengurus diri kita sendiri dengan sebaik mungkin bukan hanya pada aspek fizikal sahaja tetapi juga pada aspek mental dan emosi.
Seterusnya kita harus bertanya pada diri kita sendiri SIAPA kah diri kita ini? Di sini saya ingin mengupasnya pada setiap huruf yang terbentuknya perkataan SIAPA:-
S - membawa pengertian "saya". Dalam semua urusan kita harus berbangga dengan diri kita. Allah telah berfirman dalam suruh Al-Baqarah yang bermaksud …. Kamu dilahirkan sebagai umat yang terbaik….
Berpandukan maksud ayat ini maka kita harus berbangga pada diri sendiri serta bersyukur kerana kita telah dilahirkan dan dapat menaikmati kehidupan di dunia ini serta berjaya mengharungi zaman-zaman yang lampau hinggalah ke hari ini. Oleh kerana manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik, maka wajarlah kita menghormati diri kita sendiri dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memberi faedah kepada diri serta kelauarga kita.
I – membawa pengertian "insan". Saya adalah seorang insan dan bukannya robot atau komputer yang perlu di arah untuk melakukan sesuatu tindakan. Sebagai seorang insan kita dilengkapi dengan pancaindera yang berfungsi mengikut keperluan-keperluan tertentu.
A – membawa pengertian "amalan". Sebagai seorang insan yang hidup di dunia ini, kita seharusnya mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari. Sesuatu ilmu itu akan pudar sekiranya ianya tidak diamalkan.
Setiap pagi atau petang kita akan mengamalkan latihan menyegarkan badan supaya ianya sihat dan terjauh daripada penyakit. Oleh itu amalan adalah asas kepada tindakan manusia dan ianya adalah merupakan sebagai "pasport" ke arah kejayaan. Tidak ada kejayaan tanpa amalan.
P – membawa pengertian "peribadi". Setiap manusia mempunyai peribadi. Jika kita seorang pelajar setiap tingkah laku kita haruslah bercirikan seorang pelajar sama ada di sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja. Peribadi yang mulia dapat mengelakkan daripada tercetusnya masalah-masalah yang boleh menganggu ketenteraman fikiran. Fikiran yang tenteram membolehkan kita belajar serta menjalani kehidupan yang lebih sempurna
A – membawa pengertian "adil". Kita sering kali menyalahkan kepada orang lain dengan mengatakan mereka tidak adil pada diri kita. Tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri apakah kita telah berlaku adil pada diri sendiri?
Kita dikurniakan oleh Allah lengkap dengan anggota tubuh badan. Sejauhmanakan kita telah menggunakan segala angota kita dalam melaksanakan seala tindakan dan tugas kita setiap hari? Ramai di antara kita yang mempunyai "penyakit" tidak yakin pada diri kita sendiri. Kita seolah-olah menolak hakikat bahawa diri kita yang dicipta oleh Allah mempunyai pelbagai potensi sama seperti orang lain.
Dalam hadith nabi ada menyebut……..tidak ada suatu kurnia yang diberikan oleh Allah kepada manusia lebih utama dari keselamatan, kecuali keyakinan (diri) sahaja…..Hadith ini memperingatkan kepada kita bahawa keyakinan diri adalah merupakan faktor yang penting ke arah menggerakkan diri kita ke arah yang lebih dinamik serta berwawasan.
Menyedari bahawa diri kita adalah seorang insan yang perlu mengamalkan segala ilmu yang kita dipelajari serta mempunyai peribadi maka kita seharusnya berlaku adil pada diri sendiri.
Oleh itu bagi para pelajar mulai sekarang berilah keyakinan yang sepenuhnya kepada diri kita sendiri. Anggaplah segala anggota yang ada pada tubuh badan kita ini adalah sesuatu yang istimewa serta di antara yang terbaik.
Jangan biarkan perasaan dan emosi kita mengongkong serta menjadi penghalang ke arah tindakan dan hasrat kita yang murni itu. Anggapkan bahawa apa sahaja yang dapat dilakukan oleh orang lain, kita juga dapat melakukannya.
Kebolehan seseorang itu bukannya terletak pada bangsa, agama ataupun saiz badannya tetapi kebolehan seseorang itu diukur dari segi tindakan dan hasilannya. Tindakan adalah hasil daripada semangat yang kental serta dari jiwa yang cekal.
Hormatilah diri sendiri serta hadapilah segala cabaran pada setiap hari dengan penuh keyakinan. Kejayaan sentiasa bersama kita!

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN
[Selamat Pagi Cikgu: Utusan Malaysia)

KEKUATAN & KELEMAHAN MANUSIA


"Dua sifat semula jadi manusia yang ada pada setiap individu ialah kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan ini mempengaruhi kehidupan manusia melalui tiga aspek iaitu aspek mental (fikiran), fizikal (anggota) dan spiritual (semangat)."

Kerapkali kekuatan seseorang itu dikaitkan dengan saiz dan bentuk tubuh badannya. Dari penilaian di atas maka satu tanggapan akan dibuat bahawa seseorang yang berbadan besar dan tegap mempunyai keistimewaan yang lebih jika dibandingkan dengan diri sendiri.

Ada pula yang melihat kekuatan seseorang individu dari segi bangsa dan warna kulit. Sesuatu bangsa itu dianggap mempunyai keistimewaan yang tertentu berbanding dengan bangsa yang lain. Apabila kita melihat seorang yang berketurunan dari negeri barat, kita beranggapan ianya lebih istimewa dari kita.

Sebenarnya tangapan kita adalah salah. Kekuatan dan kelemahan diri bukannya terletak pada aspek fizikal sahaja tetapi terletak pada mental dan spiritual.

Dalam hal ini Rasulallah S.A.W bersabda… "Tidak dihitung kaya dan kuat dan yang banyak harta, tetapi kekayaan dan kekuatan itu ialah yang kaya jiwanya….." .

Banyak pepatah, bidalan dan cerita rakyat yang dianggap dongeng itu mempunyai nilai moral yang tinggi. Sejauhmanakah cerita arnab dan kura-kura yang boleh dikatakan telah dibaca oleh setiap individu sejak kecil lagi, begitu juga dengan perumpamaan seperti "Kecil jangan disangkakan anak, besar jangan disangkakan bapak", dan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit", dapat dijadikan satu ikhtibar untuk dicontohi sewaktu kita membuat muhasabah diri terutamanya dalam tugas kita seharian.

Implikasi cerita dan pepatah melayu itu dapatlah dijadikan satu refleksi terhadap kehidupan kita seharian bahawa:
• Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemah. Kita harus menerima hakikat bahawa setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kedua-duanya wujud dalam setiap diri manusia tidak mengira bangsa serta asal keturunannya.
• Kekuatan dan kelemahan bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga mental dan spiritual. Kekuatan fizikal adalah lahir dari kekuatan mental dan spiritual (rohani, kejiwaan, keimanan). Seseorang tidak akan dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan baik sekiranya fikiran dan jiwa tidak digabung dan dimantapkan. Kata-kata seperti "berkerja dengan sepenuh jiwa dan raga" membuktikan kepentingan kekuatan spiritual dalam kehiduapan manusia.
• Jangan persia-siakan kekuatan yang ada pada diri . Kekuatan merupakan keistimewaan, kebolehan atau potensi yang ada pada diri kita. Ianya haruslah dicungkil serta digunakan ke arah yang boleh membawa kebaikan kepada diri, keluarga, bangsa, agama, masyarakat dan juga negara.
• Jangan biarkan kelemahan membawa kekecewaan pada diri. Apa yang harus dilakukan ialah setiap kelemahan haruslah dijadikan sebagai satu panduan ke arah memperbaikinya. Dalam proses memperbaiki kita tidak boleh lepas dari cabaran sebelum menemui kejayaan. Kebanyakan kejayaan yang kita tempuhi adalah hasil daripada kelemahan yang telah kita lalui dan diperbaiki. Kejayaan akan tercapai melalui perancangan yang rapi yang harus dilaksanakan. Kejayaan tidak boleh dicapai dengan sekelip mata tanpa adanya perancangan. Tidak siapa pun yang "merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal merancang."
Dari huraian di atas maka kita haruslah membuat satu tanggapan bahawa setiap kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri kita ini haruslah dilihat secara positif. Kekuatan dan kelemahan adalah merupakan sumber kemantapan ke arah kecemerlangan diri.

Kekuatan fizikal sahaja tidak menjamin membawa kejayaan bagi seseorang individu. Dua aspek lagi iaitu mental dan spiritual harus digabungkan ke arah mewujudkan insan yang seimbang.

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN
[Jendela Minda, Titian Mesra: Berita Perak]

KESEDARAN POTENSI DIRI


DI antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya rasa minat untuk belajar di bilik darjah. Dalam hal ini guru memainkan peranan yang penting ke arah mewujudkan satu suasana yang menyeronokkan yang dapat memberi satu impak kepada pelajar-pelajarnya dalam proses pembelajaran.

Sesungguhnya pembelajaran yang berkesan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri di mana pelajar-pelajarnya berada dalam keadaan yang ceria serta berminat terhadap apa yang dipelajarinya serta bergerak aktif berinteraksi dengan menggabungkan aspek mental, rohani dan jasmani dalam apa jua aktiviti yang diadakan.

Tetapi walau bagaimanapun kadang kala timbul suasana bosan bukan sahaja pelajar tetapi juga di kalangan guru. Dalam keadaan tertentu guru bukan sahaja menganggapkan bahawa pelajarnya sudah tidak mampu menerima apa yang diajar malah sudah "kekeringan idea" untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Maka suasana bilik darjah menjadi tegang, tidak dinamik dan proses penerimaan ilmu kepada pelajar-pelajar bertukar menjadi keadaan yang "memaksa".

Untuk memulihkan keadaan ini guru harus berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara di antara lain menyebut proses pendidikan adalah untuk "memperkembangkan potensi individu."

Pada hakikatnya seorang insan itu apabila ianya dilahirkan ke dunia sudah dilengkapi dengan pelbagai potensi. Potensi akan menyerlah sekiranya ada usaha yang dilakukan untuk meransangkannya.

Dalam hal ini guru harus menganggapkan bahawa kedua-dua pihak iaitu dirinya sebagai seorang guru dan pelajarnya mempunyai potensi.

Potensi Pelajar: Menyedari bahawa pelajar mempunyai potensi maka usaha harus dijalankan ke arah memperkembangkan potensi yang ada pada mereka. Pelbagai program, aktiviti dan strategi harus dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran untuk diberi bimbingan sehingga potensi mereka itu menyerlah ke arah mecapai hasilan pembelajaran yang dirancang.

Potensi guru: Kekeringan idea yang berlaku pada guru dapat dielakkan sekiranya guru menyedari dan menerima hakikat bahawa guru juga mempunyai potensi ke arah penyampaian ilmu dengan lebih berkesan. Potensi yang ada pada guru harus digunakan dengan sepenuhnya. Teori yang dipelajari di dalam kuliah serta ilmu yang didapati melalui kursus dalam perkhidmatan, latihan kemajuan staf, seminar dan penyelidikan harus dapat dijadikan input untuk diaplikasikan dalam situasi sebenar dalam bilik darjah dengan lebih kreatif dan inovatif.

Seiringan dengan usaha memperkembangkan potensi pelajar ini, sistem penilaian juga sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat kebangsaan haruslah bersifat anjal. Penilaian harus mempunyai elemen ke arah mencungkil aspek perkembangan potensi diri secara lebih luas, menyeluruh dan bersepadu dan bukannya terlalu rigid yang berfokus pada satu aspek kecemerlangan akademik sahaja.
Sesungguhnya negara memerlukan generasi muda yang berpotensi, kreatif , inovatif dan dinamik dalam proses pembangunan negara dalam menempuh alaf baru.

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN
[Gelanggang Guru - Utusan Malaysia]

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA


KE ARAH PEMBESTARIAN DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

“PENDIDIKAN bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat di dalam sistem penyampaian ilmu.
Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjanakan idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.
Tahun 2000 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dengan adanya penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.
Dalam hal ini profesion perguruan di alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara.

Anjakan Paradigam
Sehubungan dengan hasrat ini konsep sekolah bestari telah diperkenalkan dan guru-guru pula haruslah memberi satu respons yang positif ke arah mengimplementasikannya. Dalam situasi ini guru-guru harus membuat sedikit anjakan paradigma terhadap pemikiran serta tanggapan yang akan melibatkan penyusunan strategi pengajaran begitu juga dalam amalan di bilik darjah:

“Kita perlu berkisar dan berganjak daripada norma dan kebiasaan dalam melaksanakan
tugas-tugas kita yang lazim, rutin dan “reasonable” kepada yang lain:
yang inovatif dan imaginatif; yang bersifat non-linear,
dan lateral yang menggunakan budaya “reflective rationality”
dan yang “unreasonable”

(Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin)

Dari petikan di atas membawa implikasi bahawa guru tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi sekarang. Guru harus meneroka dengan lebih giat lagi serta sanggup menerima segala cabaran dalam arena mencari dan menyampai ilmu. Guru seharunya lebih bersifat responsif, proaktif serta dapat membuat penyesuaian terhadap apa sahaja perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan akhibat daripada perkembangan teknologi dan perledakan maklumat.

Perkembangan Teknologi Dalam Pendidikan
Pembelajaran berkesan adalah pembelajaran yang menyeronokkan (Dick & Reiser, 1989). Keseronokan belajar adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua golongan guru terhadap pelajar-pelajarnya. Keseronokan membawa implikasi pelajar tertarik dan berminat hendak belajar, manakala guru pula mempunyai strategi yang boleh mendorong pelajar-pelajarnya memberi tumpuan serta mengambil bahagian yang menyeluruh dalam proses pengajaran pembelajaran.

Situasi ini dapat diwujudkan sekiranya guru dapat menyampaikan pengajaranya dengan bantuan bahan atau media. Perkembangan teknologi telah dapat mempelbagaikan perkakasan dan perisian dalam sistem penyampaian. Bermula dengan interaksi secara lisan, manusia mula berkomunikasi dengan mencatat di atas bahan yang bermula dengan daun hinggalah berlakunya perkembangan teknologi kertas dan percetakan. Seterusnya teknologi fotografi telah berkembang yang menyebabkan terdapatnya gambar-gambar yang dapat digunakan sebagai satu rujukan disusuli pula dengan media elektronik seperti radio, TV, filem, video, VCD, DVD dan perkembangan terakhir dengan ada teknologi maklumat seperti telesidang dan komputer terutamanya dalam bidang multimedia.

Walaupun perkembangan seumpama ini banyak memberi sumbangan terhadap dunia hiburan tetapi tidak dapat disangkal dalam pendidikan perkembangan ini dapat memberi kesan yang positif dalam proses pembelajaran. Sebagai seorang guru perkembangan yang begitu mencabar ini harus dianggap sebagai satu peluang ke arah mempelbagaikan strategi dan mempermantapkan sistem penyampaian ke arah yang lebih berkesan, dinamik, menyeronokan dan menghiburkan.

Sekolah Bestari
Pengenalan kepada Sekolah Bestari adalah merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial dan budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan dapat menggabung serta memberi penekanan terhadap:
• Pembelajaran berbudaya fikir
• Pemusatan kepada pelajar
• Penggunaan pelbagai media secara bijak
• Strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai
• Pengurusan persekolahan yang efektif
Usaha ini adalah ke arah mewujudkan suasana pembelajaran dan persekolahan yang lebih bermakna dan berkesan di mana guru-guru bukan lagi pendeta di atas pentas (sage by the stage) tetapi sebagai pembimbing di sisi (guide by the side) untuk menyampaikan pengajaran secara lebih berkesan .

“…… delivers education in a dramatically better way to significantly enhance the achievement
of the goals of the National Philosophy of Education, utilizing technology as the enabler,
and supported by appropriate people, skills, policies and processes. It uses information to select and
implement effective tools and practices accompanied by necessary organizational support and
continous professional development”
(Smart School task Force, May 1997)

Keberkesanan pendidikan ini dapat dilihat melalui peranan guru dan pelajar dalam proses pembelajaran melalui kurikulum yang lebih mantap dab bersepadu. Pengajaran guru yang bersifat ‘pembimbingan di sisi” harus mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

• Berfokuskan pelbagai domain untuk membolehkan pelajar berkembang secara menyeluruh dan seimbang.
• Mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan penggunaan bahasa yang tepat merentasi kurikulum
• Pencapaian pembelajaran (intended learning outcomes) dinyatakan secara eksplisit bagi membolehkan pelajar memperolehi akses kepada pembelajaran berkualiti dan pembelajaran berlaku secara “self-paced” merentasi tahun dan tingkatan
• Mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap sejajar dengan era maklumat.

Dalam hal ini guru haruslah berusaha untuk menggunakan pelbagai pendekatan seperti:
• Pendekatan berfokuskan pelajar
• Pendekatan berfokuskan pembelajaran
• Pendekatan berpusatkan pemikiran
• Pendekatan berorientasikan proses
Ke arah mengoptimumkan potensi pelajar dalam proses mencari ilmu yang lebih bersifat:
• Pembelajaran terarah kendiri (self-directed)
• Bergerak pada kemampuan kendiri (self-paced)
• Pemerolehan resos secara akses kendiri (self-accessed)
Dalam hal ini amalan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seharusnyalah tidak lagi tertumpu hanya dengan membekal maklumat dan memberi jawapan berdasarkan soalan serta menggunakan bahan yang terhad sahaja. Apa yang harus dilakukan ialah membekal tugasan yang lebih mencabar terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam sesutau pakej pembelajaran yang memerlukan analisis dan penyiasatan secara kolaboratif dan koperatif dalam menyelesaikannya, mengemukan soalan-soalan yang berkehendak lebih banyak berfikir dan menjanakan minda serta menggunakan banyak bahan dari sumber-sumber yang mudah didapati hasil dari perkembangan teknologi ke arah memenuhi dan mencapai hasilan pembelajaran.

Rumusan
Pendidikan di alaf baru hasil daripada perledakan dan perkembangan teknologi maklumat mempunyai cabaran yang harus ditangani dengan bijak. Guru di bilik darjah harus memahami fenomena perubahan ini dan berusaha menggabungkan pelbagai ilmu, kemahiran dan kreativiti ke arah melahirkan satu corak penyampaian yang berkesan dan bermakna.

Sumber: DR. ISMAIL ZAIN

Selasa, 16 Jun 2009

TEMA KARANGAN BERDASARKAN UNIT BUKU TEKS TINGKATAN 5


UNIT 1 : RUMAH TERBUKA RAKYAT MALAYSIA
Rumah Terbuka Aidilfitri
Rumah Terbuka Malaysia
Kemanusiaan Sejagat

UNIT 2 : PENDIDIKAN ALAF INI
E-Pendidikan
Pendidikan Maya
Kepentingan Ilmu Dalam Era Globalisasi

UNIT 3 : PENGANGKUTAN ALAF INI
Tren ERL
Kejayaan Negara dalam Perindustrian Tren Laju
Harapan Masa Depan

UNIT 4 : BANDAR PINTAR MALAYSIA
Bandar dalam Taman
Putrajaya Mercu Tanda Kemajuan Negara
Perpaduan Menjamin Keamanan

UNIT 5 : ALAM PEKERJAAN
Kerjaya Masa Depan
Kejayaan dalam kerjaya
Impian, Usaha dan Kejayaan

UNIT 6 : PENDIDIKAN INDUSTRI
Pendidikan Industri di IPT
Pendidikan Industri Teras Pembangunan Negara
Cabaran Pendidikan Industri

UNIT 7 : BIOLEMBANGAN
Kejayaan Melalui Pertanian
Bioteknologi dalam Pertanian
Perkembangan Pertanian

UNIT 8 : PELABURAN
Pelaburan Mengubah Masa Depan
Pelaburan Menerusi Saham Amanah
Pelaburan Dalam Sektor Hartanah

UNIT 9 : TELEPERUBATAN
Kesihatan Sepanjang Hayat
Amalan Pemakanan Seimbang
Cegah Sebelum Parah

UNIT 10 : SUKAN SEANTERO DUNIA
Malaysia Jaguh Sukan SEA
Sukan Mengharumkan Nama Negara
Malaysia Penganjur Sukan Antarabangsa

UNIT 11 : KOMUNIKASI GLOBAL
Mykad Ciptaan Kita
Internet dan Dunia Tanpa Sempadan
Seni Sastera Khazanah Bangsa

UNIT 12 : PELESTARIAN BUDAYA WARISAN
Memelihara Budaya Bangsa
Anugerah Seni Negara
Adat Perkahwinan Masyarakat Malaysia
________________________________________
Sumber: http://galusbm1

TEMA KARANGAN BERDASARKAN UNIT BUKU TEKS TINGKATAN 4

Unit 1 : SENARIO MASYARAKAT KITA
Masyarakat Malaysia Alaf Baru
Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat
Unit 2 : AMBANG REMAJA
Remaja dan Cabaran
Remaja dan Keluarga
Disiplin Remaja dan Kokurikulum

Unit 3 : DUNIA SEMAKIN CANGGIH
Kad Elektronik
Budaya Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi
E-mel dan anda

Unit 4 : KERANAMU Malaysia
Patriotisme
Malaysia Alaf Baru
Pengorbananku

Unit 5 : MELESTARIKAN ALAM SEKITAR
Pendidikan Alam Sekitar
Kualiti Udara
Pencemaran Sungai Kita

Unit 6 : RIADAH
Hobi, Sukan dan Rekreasi
Cabaran di Puncak Kinabalu
Hobi dan Cabarannya

Unit 7 : GENERASI KITA
Wawasan Generasi Kita
Patriotisme Generasi Muda
Generasi Pelapis

Unit 8 : GAYA HIDUP SIHAT
Amalan Gaya Hidup Sihat
Remaja dan Kesihatan
Obesiti dan Pencegahannya

Unit 9 : KERJAYA
Minggu Kerjaya
Cita-cita dan Kerjaya
Surat Permohonan

Unit 10 : WARISAN BANGSA
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Warisan Seni Bina MelayuTradisional
Pemuliharaan Warisan Sejarah

Unit 11 : INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA
Kebudayaan dan Pelancongan
Malaysia dan Destinasi Pelancongan
Warna-warna Malaysia

________________________________________
Sumber: http://galusbm1.blogspot.com

CADANGAN PERUNTUKAN MASA UNTUK MENJAWAB BAHASA MELAYU 2

KERTAS 2 150 minit (2 jam 30 minit)

Soalan 1 : Rumusan teks 30 minit
Soalan 2 : Pemahaman 60 minit
Soalan 3 : Pengetahuan dan kemahiran tatabahasa 30 minit
Soalan 4 : Pemahaman novel 20 minit
Menyemak Jawapan 10 minit

Soalan 1 : Rumusan teks [30 markah] 30 minit

Membaca dan menganalisis soalan 3 minit
Membina pendahuluan 3 minit
Mengenal pasti /menanda isi tersurat 5 minit
Membina isi tersirat 5 minit
Membina kesimpulan 2 minit
Menulis rumusan 10 minit
Menyunting rumusan 2 minit

Soalan 2 : Pemahaman [35 markah] 60 minit

(i) Pemahaman Teks 2 markah 2a. 9 markah
(ii) Pemahaman Teks 3 markah 15 minit
(iii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 4 markah

(i) Pemahaman Teks 3 markah
2b. 9 markah (ii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 3 markah 15 minit (iii) Komsas 3 markah

(i) Pemahaman Teks 2 markah
2c. 8 markah (ii) Pemahaman Teks 2 markah 15 minit (iii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 4 markah

(i) Pemahaman Teks 3 markah
2d. 9 markah (ii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 3 markah 15 minit (iii) Komsas 3 markah

Soalan 3 : Tatabahasa [30 markah] 30 minit

3a. Morfologi 6 markah 6 minit
3b. Sintaksis 6 markah 6 minit
3c. Ejaan dan imbuhan 6 markah 6 minit
3d. Kata, istilah dan kesalahan tatabahasa 6 markah 6 minit
3e. Peribahasa 6 markah 6 minit

Soalan 4 : Genre Novel [15 markah] 20 minit

4a. Komsas/ KBKK 7 markah 10 minit
4b. Komsas/ KBKK 8 markah 10 minit

Sumber: BM SPM

Isnin, 15 Jun 2009

Bantu anak bertutur


BACAKAN buku cerita kepada anak agar mereka cepat bertutur.
________________________________________

WALAUPUN telah memasuki umur dua tahun, namun anak anda masih tidak boleh bertutur dengan jelas.
Perkara tersebut, boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Ada sesetengah ibu bapa pula sering membandingkan kebolehan anak sendiri dengan anak orang lain.
Sedangkan, pada hakikatnya, kanak-kanak membesar melalui fasa yang berbeza di antara kanak-kanak seusia dengannya.
Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka lembap jika si anak lebih lambat memperoleh kemahiran bertutur, membaca, bergaul dan berdikari berbanding dengan kanak-kanak lain.
Ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak berasa bimbang tentang prestasi intelek anak-anak mereka walaupun si anak memang lembap jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Kadangkala, persekitaran dan cara ibu bapa yang tidak menggalakkan perkembangan anak boleh menjadi punca sesetengah kanak-kanak lembap dari segi pencapaian bahasa, kemahiran sosial dan kebolehannya melakukan aktiviti.
Justeru, anda boleh mencuba beberapa tip yang boleh membantu anak-anak bertutur dengan cepat:
* Ibu bapa perlu selalu berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak dari dalam perut atau ketika usia mereka masih bayi lagi.
* Apabila bercakap dengan mereka, gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak-anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan ayat lain supaya anak mendapat peluang untuk memberi tindak balas.
* Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat.
* Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak.
* Sediakan bahan permainan yang boleh dan mampu membantu mereka membina kecerdasan otak.
* Dedahkan anak-anak dengan interaksi sosial. Ini kerana dengan cara ini, ia dapat memberi peluang kepada anak-anak untuk mendengar perbualan.
* Banyakkan aktiviti seharian. Ini kerana ia dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa, antaranya mengemukakan soalan atau arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan bercakap dengannya.
* Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta mendengar dan cuba memahami apa yang disampaikan si anak. Jika apa yang diucapkannya tidak jelas, bantu mereka menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebut oleh anak.
* Amalkan bercerita kepada anak-anak sebelum mereka tidur.
* Bagi yang beragama Islam, berikan anak anda minum air zam-zam atau air daripada bacaan surah Yasin.

Sumber:KOSMO

Sirah Rasulullah sebagai panduan hidup umat


Oleh Mohamad Sofee Razak
Sejarah Nabi Muhammad mesti dihayati bagi memandu ummah ke jalan diredai

MEMPELAJARI dan mempraktikkan sirah atau perjalanan hidup Rasulullah SAW adalah suatu kemestian kepada semua umat Islam terutama pendakwah dan pejuang Islam. Reformis dan pelopor gerakan Islam teragung, Hasan al-Banna dalam bukunya Risalah At-Taalim menegaskan akan keperluan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai landasan hidup dan panduan bagi setiap individu Muslim yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada.

Menurut Ibnu Mandzur dalam kitab 'Lisanul Arab' menyatakan, As-Sirah menurut bahasa bermakna kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku. Menurut istilah umum pula, bermaksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang.
Pun begitu, ulama sepakat apa yang dimaksudkan dengan as-Sirah an-Nabawiyah bererti rakaman sejarah hidup Rasulullah SAW yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah daripada disiplin ilmu yang tersendiri.

Dr Said Ramadhan al-Buti menegaskan dalam buku sirahnya bahawa objektif memahami sirah ialah supaya memperoleh gambaran sebenar mengenai hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW sesudah ia difahami secara konseptual sebagai prinsip, kaedah dan hukum.
Antara buku sirah terkenal dan berpengaruh seperti kitab Sirah Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi dan banyak lagi.

Kajian dan penulisan ilmiah lain yang ditulis dalam bahasa Inggeris berkenaan sirah menurut perspektif Barat cukup banyak sekali seperti The Living Thoughts of the Prophet Muhammad oleh Maulana Muhammad Ali (1992); Muhammad the Prophet oleh Sirdar Ikbal Ali Shah (1992); Muhammad: Messenger of Allah oleh Syaikh Abdal Qadir AS-Sufi Al-Murabit (1992); Muhammad The Best of Humanity oleh F M Nadeem Bari; The Life of Muhammad oleh Muhammad Husein Haykal (1993); The Life of the Prophet oleh Abu Muhammad Abdal Malik Hisham (1990); Who Was Mohammed oleh Safdar Hosain (1979); Muhammad His Life Based On The Earliest Source oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajuddin) dan Muhammad: His Life and Mission.

Sehubungan itu, sirah juga adalah mekanisme terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW yang sangat efektif kerana sirah Rasulullah adalah terjemahan hidup al-Quran lengkap dan agung serta terpelihara daripada penyimpangan serta penyelewengan.

Ulama sepanjang sejarah mempertahankan keaslian sirah dengan mempertahankan urutan sanad secara ketat. Oleh itu, tidak ada satu pun biografi kehidupan seseorang di dunia ini selengkap biografi Rasulullah SAW.
Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya Berdakwah Kepada Allah berkata, mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah SAW dan sejarah Islam adalah untuk dijadikan bekalan hidup serta segala segala apa yang ingin dilakukan.

Di dalamnya ada pelbagai bentuk penyelesaian masalah, krisis dan situasi genting yang mampu membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

Bagi Dr Mustafa as-Syibaie pula, sirah ada pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian sirah juga menjadi kemestian kepada golongan ulama sebagai persediaan memandu kehidupan di samping merealisasikan proses transformasi pemikiran dalam masyarakat.

Tambahan pula keistimewaan sirah Rasulullah SAW yang sahih dan tiada sebarang keraguan ini, tidak ada dalam mana-mana sirah rasul Allah terdahulu. Perjalanan hidup Rasulullah SAW sangat telus, tidak ada rahsia dan fakta disembunyikan.

Dari sejak masuk kamar mandi, cara tidur, cara masuk dan keluar rumah, cara bergaul dengan kalangan isteri, hingga keperibadian sebagai seorang ayah, teman, jeneral perang, ahli ekonomi dan jurutera sosial, pemimpin negara boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian bersandarkan kepada model ditunjukkan sepanjang hayat Baginda.

Nabi Muhammad SAW adalah simbol manusia agung yang menerima segala pengiktirafan, penghormatan dan sanjungan terhadap apa dilakukan Baginda kepada tamadun manusia.

Hakikat ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." – (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." – (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Biarpun begitu, tanpa memahami kepentingan mempelajari sirah akan melahirkan generasi muda yang lebih mengenali sejarah dan latar belakang serta menggilai artis daripada menghayati sirah Rasulullah, keluarga dan sahabat Baginda.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan anjakan paradigma untuk meletakkan Rasulullah SAW sebagai manusia teragung dalam hidup setiap saat dan ketika. Berpandukan aspirasi sirah Rasulullah, umat Islam hendaklah menjadikan Baginda sebagai idola dan ikon.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia." - (Surah al-Qalam, ayat 4)
Sumber: Berita Harian

NILAI BERTIMBANG RASA DALAM NOVEL


Soalan
Salah satu nilai yang dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel ialah nilai bertimbang rasa.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan amalan nilai bertimbang rasa.

Novel: Perlumbaan Kedua

Peristiwa : Bertimbang rasa menawarkan bantuan.
Huraian : Sang Gajah yang kasihan melihat Tuk Kura lambat bergerak kerana usianya lanjut menawarkan bantuan kepada Tuk Kura untuk menjinjiingnya ke puncak bukit semasa meninjau kawasan perlumbaan kedua.

Peristiwa : Bertimbang rasa dengan memberi cadangan.
Huraian : Tuk Kura dan anak-anak buahnya dalam perjalanan menuju ke padang rumput . Dalam perjalanan itu, Sang Gajah mencadangkan Tuk Kura dan anak-anak buahnya berhenti rehat kerana simpati melihat kesusahan dan keletihan Tuk Kura dan anak-anak buahnya. 25

Peristiwa : Bertimbang rasa dengan menawarkan bantuan menyampaikan pesanan.
Huraian : Sang Murai terserempak dengan Tuk Kura yang dalam perjalanan untuk menghimpunkan suku-sakatnya lalu Sang Murai menawarkan bantuan menyampaikan pesanan kerana Sang Murai berasa simpati terhadap Tuk Kura sedangkan Sang Murai boleh terbang lebih cepat dan dapat menyampaikan pesanan Tuk Kura dengan segera.

Peristiwa : Bertimbang rasa dengan memberi pandangan
Huraian : Sang Murai bertemu dengan Sang Kancil yang mencari Tuk Kura untuk menyampaikan cabaran Sang Arnab Putih.Sang Murai sangat kasihan melihat Sang Kancil yang keletihan dalam usahanya menjejak Tuk Kura lalu mencadangkan Sang Kancil mencari Tuk Kura di kawasan paya.

Novel: Julia

Peristiwa : Bertimbang rasa semasa bertengkar / berbalah.
Huraian : Pertengkaran Julia dengan Encik Baharom berlaku di pejabat BMPRO Holding . Julia masih bertimbang rasa terhadap kekasaran yang ditunjukkan oleh Encik Baharom berkenaan dengan cadangan penjualan BMPRO Transport. Julia menerima permohonan maaf Encik Baharom dan tidak mengambil tindakan memecatnya.

Peristiwa : Bertimbang rasa terhadap hak anak tiri .
Huraian : Ummi Sarah ke rumah Julia untuk menceritakan keadaan sebenar kedudukan dirinya.Ummi Sarah bertimbang rasa kerana tidak memberi tekanan kepada Julia dalam soal tuntutan butik BMPRO. Sebaliknya Ummi Sarah mengatakan tindakan adiknya Syed Mustafa tidak pernah dibincangkan dengannya.

Peristiwa : Bertimbang rasa terhadap keadaan anak.
Huraian : Datin Maznah berkunjung ke Perth untuk menghantar Julia menyambung pengajiannya di sana. Datin Maznah menangguhkan pendaftaran Julia di Hidayah Islamic College kerana memahami bahawa Julia masih belum bersedia. Datin Maznah bertimbang rasa kerana Julia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran negara asing.

Peristiwa : Bertimbang rasa isteri terhadap hak suami
Huraian : Datin Maznah bertimbang rasa kerana membenarkan suaminya Dato’ Bakar berkahwin dengan Ummi Sarah. Apabila hal itu dibangkitkan oleh Pak Cik Khairil, Datin Maznah mengingatkannya bahawa itu hak Dato’ Bakar dan dia sendiri berbaik-baik dengan madunya.

JAWAPAN UNTUK SETIAP SOALAN NOVEL (4a & 4b) PERLU ADA 2 ASPEK:
1. Pernyataan
2. Huraian
Huraian yang terus diberi tanpa menyatakan pernyataan tidak akan mendapat sebarang markah walaupun jawapannya betul. Pernyataan dan huraian juga perlu dipisahkan
( tidak digabung)

Sumber: cikgumie