: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 15 Ogos 2009

BUAT BAIK BERPADA-PADA


Karya : A. Kadir Jasin

KITA berada dalam era yang kelabu.
Tidak ada lagi warna hijau, merah dan buru.
Sudah bercampur baur.
Pudar, kelabu dan kabur.

Kita dikatakan lepas bebas.
Era globalisasi yang terbuka luas.
Tetapi mengapa kita berasa terbatas?
Terkepung, terbendung, terpintas
Takut berhujah, bimbang berbahas.

Kita agungkan globalisasi.
Kita julang tinggi meritokrasi.
Padahal kita keliru, tidak tahu.
Apa ertinya istilah-istilah itu.

[Macamlah berkhayal dengan Akademi Fantasia
Dan wayang Hindi yang berjam-jam panjangnya.]

Maka kita berbicara tentang kesamarataan.
Tidak mahu lagi kuota dan bantuan.
Lalu kita rungkaikan satu persatu.
Tali-tali yang dulu mengikat kita jitu.

Kita manterakan Malaysian Malaysia.
Kita uar-uarkan Satu Malaysia.
Kita kagumi Masyarakat Madani
Kita berjinak-jinak dengan Islam Hadhari.

Apakah kita kini cukup berani
Yakin kepada kemampuan diri
Sudah sedia untuk berdikari
Atas landasan meritokrasi
Keterbukaan dan globalisasi
Atau sebenarnya kita lupa diri
Umpama anak kecil bermain api
Terbakar hatinya yang sepi?

Adakah mampu Melayu di Ulu Benta
Bersaing dengan Cina di Bukit Damansara?
Atau Melayu di pedalaman dan hulu?
Dengan Melayu baru di Bukit Tunku?
Atau nelayan dengan anak jutawan?
Anak buruh dengan anak orang berpengaruh?

Bukan bangsa lain tidak utama
Mereka pun rakyat Malaysia juga
Tetapi realiti yang wajib diterima
Orang Melayu dan Bumiputera
Adalah majoriti rakyat Malaysia
Pinggirkan mereka, bala jawabnya.

[Hatta saya dan adik-adik saya
Kami pun tidak serata
Kalau ikut meritokrasi
Mungkin anak saya dapat biasiswa
Anak mereka gigit jari
Kerana sekolah di kota
Segala lengkap semua ada
Guru tuisyen dan segala benda.
Tetapi apa halnya
Dengan sekolah di desa?]

Kalaupun hendak bermurah hati
Wajiblah kita berhati-hati
Jangan abaikan hak majoriti
Padahnya buruk kemudian hari.

Terima kasih kawan dan taulan
Madah pujangga jadikan teladan
Buat baik perpada-pada
Buat jahat jangan sekali
Usah digadai tanah pusaka
Nanti bangsa dihina dikeji.
Sumber : Kadir Jasin

Renung sejenak


Sebagaimana Allah jadikan (Sunnatullah) kejadian dan perjalanan alam dan semua makhluk mengikut Hukum-Hukum Fizik, Kimia dan Biologi, Allah jadikan (Sunnatullah) cara ilmu diperolehi mengikut Hukum Pembelajaran.
•Hukum Pembelajaran menerangkan bagaimana kita mempelajari sesuatu:
1.Semua perbuatan sama ada baik atau buruk diperkukuhkan melalui pemberian ganjaran atau denda.
2.Pemberian ganjaran selepas sesuatu perbuatan akan meningkatkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi dari segi kekerapan dan kesungguhan. (Prinsip ini diutamakan dalam membentuk keperibadian positif)
3.Mengenakan denda selepas sesuatu perbuatan akan mengurangkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi. (Prinsip ini tidak berkesan untuk membentuk keperibadian positif jangka panjang)
4.PENGUKUHAN (reinforcement) secara berterusan akan membentuk keperibadian individu.
5.Proses membentuk peribadi adalah melalui langkah-langkah kecil yang menuju kepada matlamat akhir (tabiat baik). Ini dipanggil PROSES PEMBENTUKAN (shaping process).
6.Pencapaian pada setiap langkah kecil diperkukuhkan secara positif dalam bentuk ganjaran.
7.Proses pembentukan boleh dijadikan berkesan dengan membantu anak-anak memberi ganjaran sendiri (self-rewarding) melalui kata hati.

Matlamat: Anak memastikan bilik tidurnya sentiasa kemas dan teratur. Matlamat ini boleh dicapai melalui langkah-langkah kecil berikut untuk anak kita lakukan:
• Langkah 1: Tuala disidai dan baju untuk dibasuh dimasukkan ke dalam bakul, jangan dibiarkan pakaian bertaburan di atas lantai.
• Langkah 2: Katil dikemaskan setiap pagi dan lantai disapu
• Langkah 3: Habuk dilap dan buku-buku di atas meja disusun kemas
• Langkah 4: Bilik dihiaskan
• Langkah 5: Keseluruhan bilik sentiasa kemas dan teratur

Dipetik dari islamic-world.com

CARA MENGINGAT DENGAN BERKESAN


Langkah-langkah yang menentukan keberkesanan mengingat
1. Kuatkan keinginan untuk mengingat.
2. Dapatkan pengertian yang sebenar-benarnya dan fahamkan apa yang dibaca.
3. Belajarlah dengan kaedah-kaedah aktif termasuk memberi perhatian yang teliti, mendengar dengan teliti, berbincang membuat nota-nota ringkas dan menulis esei.
4. Fikirkan kita mencari pengesan sesuatu bentuk. Aturlah bahan-bahan yang akan dipelajari mengikut susunan yang logik dan nomborkan isi-isi penting.
5. Selalulah mengulangkaji.
6. Carilah perkataan-perkataan yang akan menjadi kunci atau rangkaikata-rangkaikata yang boleh dijadikan punca sesuatu idea.
7. Gambarkan idea-idea itu menerusi contoh-contoh, penjelasan, gambar dan gambar rajah.
8. Bagi perkara yang dihafal, tulislah di dalam buku-buku kecil (saiz poket) atau kad-kad. Bacalah nota-nota ini berulang kali.
9. Cubalah mengingati faktor-faktor yang mudah anda lupa dengan mengaitkannya pada suatu faktor yang berkaitan, seperti di mana anda membaca bahan tersebut, dengan siapa anda berbincang mengenainya dan sebagainya.
10. Pelajarilah berulang-ulang dan bersungguh-sungguh sehingga semua faktor tersebut telah anda kuasai sepenuhnya. Ujilah kemampuan anda secara berperingkat dengan mengadakan latihan-latihan mengingat semula sehari selepas itu, seminggu kemudian, dua minggu kemudian dan seterusnya.
11. Cuba gunakan apa yang telah anda pelajari untuk praktikal.

HATI SEORANG ABAH


SATU

DIA pernah marahkan abah. Kalau bukan kerana abah, pasti dia tidak akan tercampak di situ. Bergelumang dengan debu pepasir, terkejar ke sana ke mari hingga lelah mengurus diri. Memang abah punca keberadaan dia di situ. Keputusan abah ibarat batu besar menghempap diri. Dia diserang amarah tidak terluah apabila abah menyuarakan keputusan.

“Adik harus patuh kata abah. Kalau kata abah adik sanggah, abah terpaksa jadikan ia satu perintah.”

Mengapa abah begitu berkeras? Sedang pintanya tidaklah seruwet mana untuk ditunaikan. Dia hanya mahu menyusul jejak abang-abang dan kakak-kakaknya memilih haluan hidup atas tangan sendiri. Itu sahaja, takkan itu pun abah tidak mengizinkannya. Bukan tiada yang sudi membela dirinya, tetapi sikap abah yang membatu diri, memekak telinga dan menuli gegendang menghalang ibu dan adik-beradik mempertahankan pilihannya.

“Manusia dikurniakan dua telinga dan satu lidah supaya dia mendengar dua kali dan berbicara satu kali.” Dia mencenung wajah tenang abah, cuba memahami maksud kata-kata abah.

DUA

“Luqman, kamu harus cepat. Kita tidak akan dapat mengikuti kelas jika tidak segera.” Lambat baru dia menoleh Elyath yang memeluk erat bahunya. Gontai menghayun langkah, keluh terpacul daripada bibir. Mengingat dia dihalau pensyarah kelmarin, akibat terlewat tiba di dewan kuliah hatinya bertambah sakit pada abah. Dia belum mampu menyesuaikan diri di bumi itu biarpun sudah hampir sebulan dia menyandang gelar siswa Al-Azhar cawangan Kaherah.

Dia sudah letai berurusan dengan masyarakat tempatan di situ apalagi segala urusan pengajian harus diberesi sendiri. Minggu sudah dia berurusan di Madinatil Bu’uth untuk urusan menyambung visa pelajar. Seawal jam enam setengah dia menapak ke perhentian bas. Sudahlah keletaian menunggu bas yang tidak mempunyai waktu perjalanan tetap, perut bas pula sendat melebihi tin sardin hingga dia terpaksa berhimpit rapat dengan penumpang lain yang punya perangai entah apa-apa – terjerit-jerit apabila berkomunikasi antara satu sama lain. Bas juga tidak berhawa dingin, ditambah jalan raya yang senantiasa sesak, hingar-bingar dengan bunyi hon – masing-masing keras kepala mahu tiba dahulu tanpa mahu patuhi peraturan lalu lintas. Selamat tiba ke destinasi telefon bimbitnya pula kecopetan.

Hampir setiap hari dia menghubungi ibu mengadu kesulitan yang dihadapi, tidak putus juga dia memohon bantuan ibu agar memujuk abah membatalkan keputusannya. Namun setiap kali itulah abah menitip pesan, “Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan ada kalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata. Kalau adik tidak rasai kesulitan hari ini, adik tidak akan rasai kemanisan kemudian hari.”

Ah! Abah hanya tahu berfalsafah, bukannya mahu memahami masalah. Semenjak itu dia tidak lagi mahu berbicara dengan abah apabila menghubungi keluarga. Terasa marahnya pada abah kian membara.

TIGA

Ramadan yang bertandang menyingkap hikmah keputusan abah. Dia mula sedar bahawa abah tidak pernah silap dalam menentukan masa hadapannya. Orang tua biasanya menilai sesuatu berdasarkan mata dan imannya, sedang orang muda hanya menilai melalui matanya sahaja. Bukankah orang tua sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka?

Ternyata Ramadan di situ lebih meriah daripada Aidilfitri di bumi Malaysia. Dari celah fanus yang bergantungan pada setiap penjuru rumah dan bangunan-bangunan bagai terasa cahaya pembentukan syakhsiah yang mulia. Meski pernah diajar abah suatu ketika dahulu, dia kini kembali melazimi amalan menjaga solat lima waktu berjamaah, bertadarus al-Quran, berzikir – memperbanyak selawat ke atas Nabi saw, solat tarawih, berqiamullai dan muhasabah diri. Saat itu, jiwanya hidup atas kebesaran Tuhan yang selama ini dibutakan.

Pada kemerduan alunan mashaf yang dibacakan dalam sembahyang membuatkan jiwa rohaninya betul-betul mempunyai keterikatan pada Allah swt. Marahnya pada abah lebur dalam satu juz alunan Al-Baqharah. Meski kaki terasa penat, nafas terasa lelah berhimpitan, dia tegak berdiri, sedikit pun tidak berganjak meninggalkan saf. Dia jadi cermat memandu emosi agar tidak keluar dari saf akal yang dibumbu nafsu.

Pada maidah ar-rahman yang dijamah, dia temui keteguhan ukhwah, sifat meringankan beban yang susah dalam huluran sedekah.

Betapa besar limpahan nikmat dan kasih sayang Tuhan yang terkandung dalam hidup yang diberkati. Dan dia cukup tahu, ia tidak datang begitu sahaja. Perlu ada usaha dan kesungguhan mendapatkannya. Melalui hari-hari Ramadan, berembesan manik jernih dia mensyukuri hidup di lantai Kaherah.

Benar abah tidak salah, dia yang silap memahami. Pada debu pepasir yang menjerba dia menilai ketulusan keputusan abah, menyalin ketabahan tentera Islam yang menjulang panji kemenangan dalam peperangan Badar 17 Ramadan 2 Hijrah. Jumlah seteru yang jauh lebih besar bukan bermakna mereka akan tewas, sedang senjata manusia beriman adalah doa pengharapan kepada Tuhan Yang Esa. Begitu dia mencantum persamaan; kerumitan yang wujud bukan penyebab dia berputus asa. Dia mahu lahir sebagai pejuang di bumi kelahiran Musa as.

EMPAT

Dia tercegat di kaunter bagasi. Menanti ketibaan barang-barang yang di kargo sebelum berlepas kelmarin sambil rongga trakea menyedut dalam-dalam oksigen tenang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Aromanya yang jauh berbeza dengan geger kota Kaherah mengundang ketenteraman jiwa.

Kedengaran pengumuman ketibaan bagasi. Kelibat barang-barang yang berpusing memakai tanda CAI – KUL jelas di hadapan. Kira-kira 15 minit dia akan menaiki train ke balai ketibaan cukup untuk dia melangsai zikir dan doa penghujung Syaaban melangkaui angka puluhan. Sesekali korneanya menangkap isi kandungan telegram abah di tangan.

Tiba di balai ketibaan, abah sudah menanti.

“Assalamualaikum, bakal pejuang.” Abah menghulur tangan. Dia menyambut kejap membawa ke hidung. Tubuh abah dirangkul erat bersulam rasa terima kasih yang sarat.

“Bagaimana sekarang?”

“Alhamdulillah, semakin baik. Berkat kedatangan Ramadan terdahulu adik sudah boleh menyesuaikan diri. Banyak perkara yang dipelajari. Kesulitan mengajar manusia bahawa lorong seorang pejuang jalannya berliku.” Abah tersenyum. Rangkulan terlerai, rindu berpapasan pergi.

“Baguslah. Abah dengar, durian yang ditanam masak elok di padang sahara. Bau yang enak belum tentu menjamin isi dalamnya. Manalah tahu enak hanya pada baunya, tapi isinya lompang. Bagi memastikan, abah mahu belah dan rasai manis ranumnya.” Dia mencenung abah dengan cepu kepala masih terisi tanda tanya.

Kepulangan dia ke tanah air setelah hampir tiga tahun bermukim di bumi Musa atas permintaan abah. Apabila ditanya, jawapan abah tetap macam dahulu sarat dengan falsafah yang memerlukan kepada tafsiran kata-kata lain. Berpaling pada ibu, ibu segera menyatakan yang abah mahu rasai pengalaman Ramadan bersamanya.

LIMA

Petang menjelang Ramadan di kampung, abah membawa dia menjenguk madrasah. Memperkenalkan pada Imam tua di kampung. Abah bersungguh-sungguh membantu jamaah madrasah bergotong-royong membersih madrasah yang sederhana besar kawasannya.

“Sudah lama madrasah ini sunyi Haji, elok juga kalau kedatangan Ramadan kali ini diserahkan pada orang muda. Saya pun sudah terlalu tua, kalau mengajar orang-orang kampong sudah jemu. Untung ada orang muda. Orang muda ni lain Haji, kudrat kuat, akal pun cerdas. Tambahan pula mengaji di Negara Arab, banyak yang tersimpan dalam kepalanya tu.” Senyum abah melebar mendengar kata-kata Imam Sidek, sedang dia berkordial di tangkai hati masih cuba memahami falsafah abah kelmarin.

Ramadan musim itu dia diawasi abah. Waima tidak semeriah di Kaherah, Ramadan tetap indah bersama abah. Rutinnya banyak dihabiskan di madrasah. Sebelah pagi sesudah subuh, memberi kuliah. Menjelang tengah hari, dia disuruh abah membetulkan bacaan al-Quran penduduk kampung. Manakala apabila sore menjelang, dia akan mengepalai majlis tadarus al-Quran. Kala malam menjelma dia mengimami sembahyang Tarawih dalam qiraat Hafs satu juz satu malam. Usai tarawih abah merencana kelas agama untuk dia kendalikan bagi santapan penduduk.

Masanya banyak dihabiskan bersama abah. Jika dia mengendali kelas, abah akan duduk di belakang jemaah. Terkadang, iris dan korneanya menangkap senyum di bibir abah dari kejauhan.

ENAM

“Kenapa tidak kejut abah tadi?” Abah baru selesai berwuduk menyua pertanyaan kepadanya sebelum tertib mengangkat takbiratul ihram.

“Adik ingat abah tidak mahu qiamullai,” dia menjawab tenang keharuan dengan kesungguhan abah mahu merebut malam Lailatul Qadar di akhir sepuluh Ramadan.

“Adik lupa, Nabi bersabda: Siapapun mengintainya, maka hendaklah dia mengintai pada malam ke dua puluh tujuh.”

Dia mengangguk memahami maksud abah. Meniti malam-malam terakhir Ramadan adalah kesempatan emas bagi umat Muhammad saw untuk meraih keutamaan ibadah yang sangat istimewa dengan modal ketekunan maksimum. Dan keutamaan yang istimewa itu dilipat gandakan pahala ibadah seribu bulan.

Dia menyeka kolam mata dengan kura tangan apabila mendengar patah-patah bicara abah menitip doa dan munajat yang diiringi empangan jernih yang pecah. Terasa dekatnya abah dengan Allah SWT sebagaimana dia mencari diri di permulaan Ramadan di bumi Kaherah. Cukup besar harapan dia agar doa dan munajat abah dimakbulkan dengan keberkatan sepertiga malam di hujung Ramadan yang berlimpahan rahmat.

“Ramadan hanya tinggal sehari. Esok atau lusa kita akan beraya. Entah bertemu lagi dengan Ramadan atau tidak di tahun akan datang. Sayang, biarpun ramai yang mengetahui kehebatan bulan ini tetapi kesempatan Ramadan hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tujuh hari kita berpuasa sudah banyak kempen menyambut hari raya.” Kata abah kedengaran di telinganya apabila lembar mashaf ditutup. Cerlang matanya dihalakan pada abah mohon pengertian.

“Keingkaran manusia terhadap agama hari ini adalah akibat daripada keterasingan agama dalam kehidupan alamiah, sehingga manusia tidak merasakan erti agama kecuali dalam sembahyang Jumaat, ketika azan dikumandangkan dan ketika Ramadan.”

“Maafkan abah kerana pernah memaksa adik akur pada kehendak abah.”

TUJUH

“Adik, waktu berbuka hampir tiba.” Lembut suara ibu singgah di corong telinganya. Dia mengangkat wajah lalu sinar matanya mengambus dua musim Ramadan yang berlalu bersama abah dan pengalaman di lantai Kaherah.

Dia duduk membetulkan posisi tafakur memperkemas layar ingatan pada seraut wajah yang telah pergi. Moga dua musim Ramadan yang berlalu tidak sekadar mentradisikan agama. Mengakui kata-kata abah, agama bukan falsafah. Tetapi dengan merenungi falsafah akan bertambahlah iman dan agama seseorang.

Dia menghantar gugusan doa dan jambangan al-Fatihah untuk abah pada malam terakhir Ramadan. Syawal kali ini terasa pilu tanpa kehadiran abah.

SUMBER : SAMMAITUHA NAJWA
http://www.bharian.com.my

KESEDARAN POTENSI DIRI


Oleh DR. ISMAIL ZAIN
[Gelanggang Guru - Utusan Malaysia]

Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya rasa minat untuk belajar di bilik darjah. Dalam hal ini guru memainkan peranan yang penting ke arah mewujudkan satu suasana yang menyeronokkan yang dapat memberi satu impak kepada pelajar-pelajarnya dalam proses pembelajaran.

Sesungguhnya pembelajaran yang berkesan itu seharusnya mempunyai ciri-ciri di mana pelajar-pelajarnya berada dalam keadaan yang ceria serta berminat terhadap apa yang dipelajarinya serta bergerak aktif berinteraksi dengan menggabungkan aspek mental, rohani dan jasmani dalam apa jua aktiviti yang diadakan.

Tetapi walau bagaimanapun kadang kala timbul suasana bosan bukan sahaja pelajar tetapi juga di kalangan guru. Dalam keadaan tertentu guru bukan sahaja menganggapkan bahawa pelajarnya sudah tidak mampu menerima apa yang diajar malah sudah "kekeringan idea" untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Maka suasana bilik darjah menjadi tegang, tidak dinamik dan proses penerimaan ilmu kepada pelajar-pelajar bertukar menjadi keadaan yang "memaksa".

Untuk memulihkan keadaan ini guru harus berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara di antara lain menyebut proses pendidikan adalah untuk "memperkembangkan potensi individu."

Pada hakikatnya seorang insan itu apabila ianya dilahirkan ke dunia sudah dilengkapi dengan pelbagai potensi. Potensi akan menyerlah sekiranya ada usaha yang dilakukan untuk meransangkannya.
Dalam hal ini guru harus menganggapkan bahawa kedua-dua pihak iaitu dirinya sebagai seorang guru dan pelajarnya mempunyai potensi.

Potensi Pelajar: Menyedari bahawa pelajar mempunyai potensi maka usaha harus dijalankan ke arah memperkembangkan potensi yang ada pada mereka. Pelbagai program, aktiviti dan strategi harus dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran untuk diberi bimbingan sehingga potensi mereka itu menyerlah ke arah mecapai hasilan pembelajaran yang dirancang.

Potensi guru: Kekeringan idea yang berlaku pada guru dapat dielakkan sekiranya guru menyedari dan menerima hakikat bahawa guru juga mempunyai potensi ke arah penyampaian ilmu dengan lebih berkesan. Potensi yang ada pada guru harus digunakan dengan sepenuhnya. Teori yang dipelajari di dalam kuliah serta ilmu yang didapati melalui kursus dalam perkhidmatan, latihan kemajuan staf, seminar dan penyelidikan harus dapat dijadikan input untuk diaplikasikan dalam situasi sebenar dalam bilik darjah dengan lebih kreatif dan inovatif.

Seiringan dengan usaha memperkembangkan potensi pelajar ini, sistem penilaian juga sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat kebangsaan haruslah bersifat anjal. Penilaian harus mempunyai elemen ke arah mencungkil aspek perkembangan potensi diri secara lebih luas, menyeluruh dan bersepadu dan bukannya terlalu rigid yang berfokus pada satu aspek kecemerlangan akademik sahaja.

Sesungguhnya negara memerlukan generasi muda yang berpotensi, kreatif , inovatif dan dinamik dalam proses pembangunan negara dalam menempuh alaf baru.

Sikap pemalu kanak-kanak normal

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Kanak-kanak pemalu sukar berenggang dengan ibu bapa.
Jika terlalu malu mereka perlu dibantu kerana masalah itu boleh ganggu pembesaran dan pembelajaran mereka

ANAK kecil yang terlalu pemalu ada kalanya merunsingkan ibu bapa. Biasanya kanak-kanak ini tidak mahu berenggang jauh dengan ibu bapa dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.

Kanak-kanak yang pemalu memang normal, malah sikap pemalu itu boleh dikesan sejak kecil. Biasanya antara 15 hingga 20 peratus kanak-kanak bersikap sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu pembesaran dan pembelajaran mereka seandainya sikap malu itu tidak terlalu ekstrem.

Jika sikap itu mengehadkan pembelajaran, peluang dan pengalaman hingga tidak mahu ke sekolah, anda perlu membantunya. Ia kerana kanak-kanak yang terlalu malu sukar mendapat kawan, tidak banyak bercakap dan tidak didengari di kalangan rakan sebaya.

Kerap kali, kanak-kanak yang pemalu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru berbanding kanak-kanak lain. Namun, sebagai ibu bapa, pastikan anda membantunya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru.

Perasaan malu adalah rasa tidak selesa dan takut dalam menghadapi situasi sosial. Selalunya, kanak-kanak begini tidak bertindak balas dengan perkara baru dalam hidup mereka misalnya makanan baru, tempat atau bertemu orang baru.

Kanak-kanak yang yakin pada dirinya dapat mengawal rasa malu.
Mereka hanya memerhati orang lain tetapi tidak mahu bercakap atau menyertai kumpulan kawan baru walaupun dijemput. Selalunya mereka lebih selesa ditemani ibu bapa walaupun pada usia pra sekolah. Malah, ada yang terpaksa ditemani ibu bapa hingga ke bilik darjah. Mereka tidak mahu kehadiran mereka disedari, tidak mahu menyertai sebarang aktiviti dan tidak mahu perhatian.

Tidak jelas mengapa sesetengah kanak-kanak bersikap pemalu dan sesetengah tidak, tetapi selalunya ia dikaitkan dengan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin pemalu atau mereka sering dibuli atau dikritik. Kadang kala sikap pemalu itu disebabkan perasaan takut pada persekitaran baru, misalnya memulakan hari pertama di sekolah atau menaiki bas sekolah buat pertama kali. Selain itu, kanak-kanak itu pemalu kerana rasa rendah diri yang keterlaluan.

Ada kalanya, anak itu malu pada situasi baru dan kawan-kawan baru tetapi perlahan-lahan boleh menyertai mereka tidak lama selepas itu. Mungkin juga mereka tidak selesa dalam kumpulan yang besar tetapi selesa apabila bersama kumpulan kecil. Dia juga boleh memulakan persahabatan dengan orang lain tetapi sedikit sukar.

Di kalangan kanak-kanak, rasa malu menjadi semakin tebal pada usia antara empat hingga lima tahun dan pada usia 12 tahun. Kadang kala kanak-kanak berasakan dia berbeza daripada orang lain (misalnya kulitnya hitam berbanding kawan-kawannya berkulit putih) menjadikannya malu atau tertekan.
Rasa malu dan tertekan itu menjadikannya takut untuk mendekati orang lain, sukar memasukkan diri dalam kumpulan itu walaupun sering memerhatikan mereka.

Sesetengah kanak-kanak lahir dengan rasa malu atau terlebih sensitif. Malah, bayi pun ada rasa malu. Mungkin anda menyedarinya, terutama apabila dia kerap menyorok mukanya bila bertemu orang lain atau malu bertemu orang lain.

Bagaimanapun, sikap pemalu itu tidak bermakna mereka tidak normal. Ia tidak menjadi sebarang masalah hinggalah ia mengganggu pelajarannya. Misalnya tidak mahu ke sekolah, malu bergaul dengan rakan sebaya dan bercakap dengan guru.

Cara membantu anak yang pemalu
• Jangan terlalu memaksa kanak-kanak untuk berdikari terlalu cepat tetapi jangan pula bersifat terlalu melindungi. Kadang kala terlalu melindungi menyebabkan anak anda kecewa, seolah-olah anda tidak percaya pada dirinya. Ia menyebabkan anak anda tidak berpeluang untuk belajar menangani rasa takut.
• Hormat sikap anak anda yang pemalu dengan mula bercakap mengenai perasaannya dan rasa takutnya. Jangan buli atau kritik kerana sikapnya itu.
• Jika bercadang mengadakan majlis hari jadinya, beritahu anak anda seawal mungkin dan apa yang akan terjadi pada hari berkenaan.
• Jangan masukkan anak anda dalam pertandingan atau suasana yang berbentuk pertandingan sebaliknya masukkannya dalam aktiviti berkumpulan seperti bermain bola sepak atau apa saja yang boleh membina rasa ‘sense of belonging’ dengan rakan sepasukan dan membina jati diri.
• Galak anak anda mencuba benda baru atau aktiviti baru, tetapi jangan paksa atau bertindak terlalu melindungi.
• Bantu anak anda membina jati dirinya. Kanak-kanak yang pemalu selalunya mempunyai jati diri negatif dan rasa terpinggir. Anda boleh membantunya membina jati diri dengan kerap memuji dirinya dan cari keistimewaannya, misalnya anak anda pandai melukis. Selain itu, beri sokongan dan pujian. Kanak-kanak yang rasa selesa dengan dirinya perlahan-lahan boleh mengendalikan rasa malu.

Sumber: BH.

Estim kendiri pengaruhi peribadi kanak-kanak


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Persepsi individu mengenai nilai diri bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga, pengalaman awal dalam kehidupan seharian

"MAMA, saya rasa akan kalah, saya tak boleh buat." Bagaimana jika itu jawapan yang diberikan anak anda yang berusia empat tahun apabila anda memintanya menyertai pertandingan sukan.

Jangan marah dan memaksa mereka. Anak anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah estim kendiri (self-esteem) yang negatif.
Estim kendiri adalah persepsi individu mengenai nilai dirinya pada pandangan orang lain sama ada keluarga atau rakan. Estim kendiri penting bagi kanak-kanak dalam proses pembentukan dirinya. Memiliki estim kendiri yang positif membantu kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang berjaya dalam hidup.

Pensyarah Psikologi dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kanak-kanak melalui tiga peringkat kehidupan iaitu zaman awal kanak-kanak (0 hingga empat tahun), zaman tengah kanak-kanak (empat hingga lapan tahun) dan zaman akhir kanak-kanak (lapan hingga 11 tahun).

“Apabila kanak-kanak semakin membesar, rasa estim kendiri itu membuatkan mereka berasa perlu untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan atau menyertai pasukan bola sepak sekolah atau apa saja perkara yang membuatkan mereka bangga,” katanya.
Bagaimanapun, pembentukan estim kendiri ini sebenarnya tidak sama bagi setiap kanak-kanak. Ia bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga dan pengalaman awalnya dalam kehidupan seharian.

Justeru, walaupun bukan semua, tidak dinafikan ada kanak-kanak yang ibu bapa bercerai atau tidak mendapat layanan dan kasih sayang yang adil daripada mereka, cenderung memiliki estim kendiri yang negatif.

Malah, estim kendiri yang negatif juga boleh terjadi jika ibu bapa terlalu meletakkan sasaran tinggi dalam keputusan akademik, menjadi mangsa buli di sekolah atau guru yang terlalu cepat melabelkannya sebagai samseng, gangster atau nakal apabila dia membuat kacau di kelas.

Dr Mariani berkata, keadaan ini lebih jelas pada kanak-kanak genius atau kanak-kanak yang dihantar ke sekolah seawal usia empat tahun.
“Kanak-kanak yang dihantar awal ke sekolah, baik dalam pembinaan estim kendiri selagi jadual pembelajarannya tidak terlalu tertumpu pada akademik. Kanak-kanak yang terikat dengan akademik sejak empat tahun akan cepat berasa jemu dan apabila masuk ke sekolah rendah mula mengganggu kawan lain kerana dia sudah tahu apa yang diajar guru.”

“Apa yang diajar sama, mereka mula jemu dan mengganggu kawan. Guru pula cepat melabelkan mereka sebagai budak nakal atau samseng. Semua ini menjejaskan estim kendiri kanak-kanak itu,” katanya.

Anak-anak dengan estim kendiri yang negatif jika tidak ditangani akan menjejaskan pembesarannya dari sudut emosi. Dia tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, misalnya merasakan dia tidak cantik berbanding kawannya selain penuh dengan tanggapan negatif terhadap diri sendiri.

“Kanak-kanak yang memiliki estim kendiri yang negatif sentiasa berfikiran negatif dan sukar menyelesaikan masalah. Dia selalu berfikir dia tidak cukup bagus, dia tidak mampu berbuat apa-apa, pasif, menyendiri dan murung.

“Keadaan yang menjadi lebih buruk jika ibu atau bapa meletakkan label pada mereka. Misalnya, dia mengadu dia gagal peperiksaan, si ibu menambah ha, memang pun kau tu bodoh macam bapa kau,” katanya.

Dr Mariani berkata, meletakkan label kepada anak-anak menyebabkan mereka yang memiliki estim kendiri yang negatif lebih bersikap negatif.

“Kanak-kanak memang nakal dan memarahi mereka sebahagian daripada proses pendidikan. Anak yang dapat menerima kemarahan dengan baik, mungkin merajuk sikit selepas itu dia boleh berbaik semula dengan ibu bapa dan menerima kesalahannya adalah anak yang memiliki estim kendiri yang positif,” katanya.

Katanya, estim kendiri yang tinggi mempengaruhi pergaulan anak, misalnya dia aktif bersukan dan tidak takut bersaing dan penguasaan bahasanya tinggi berbanding anak yang memiliki estim kendiri yang negatif.

Pembinaan estim kendiri itu proses sepanjang hidup tetapi asas pembinaannya dibuat sejak kecil. Ia membantu kanak-kanak menguruskan isu-isu lain dalam kehidupan mereka.

Peranan ibu bapa dalam membentuk estim kendiri anak
• Kanak-kanak dapat merasakan emosi di sebalik cara ibu bapa bercakap dengan mereka dan tingkah laku ibu bapa dengan mereka. Tunjuk dan beritahu anak anda menyayangi dan ambil berat mengenai mereka.
• Memuji, memeluk mereka dan mengkritik dengan membina. Memuji juga dengan membina, misalnya, abang memang pandai tapi mama tahu kalau abang rajin baca buku abang akan jadi lagi pandai.
• Jangan membezakan kasih sayang misalnya lebih menyayangi anak lelaki dan bersikap kasar dengan anak perempuan.
• Jangan meletakkan label pada anak. Misalnya, kau ni lembap.

Ciri-ciri anak dengan estim kendiri positif
• Mudah bergaul
• Boleh mendengar pendapat orang lain
• Boleh dipertanggungjawabkan
• Tidak takut mencuba perkara baru

Ciri-ciri anak dengan estim kendiri negatif
• Kenyataan dan jangkaan negatif
• Tidak mahu mencuba benda baru
• Rasa tidak disayangi
• Menyalahkan orang lain atas kesilapannya
• Tidak yakin dengan keupayaannya sendiri
• Mudah dipengaruhi.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Insan bersikap positif anggap bencana ujian tingkat iman, takwa


Oleh Mohd Shukri Hanapi

KEHIDUPAN di dunia hanya sementara, malah dianggap permainan dan hiburan yang tidak berkekalan seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Justeru, kita jangan mudah terpedaya sehingga terus melupakan urusan akhirat.

Kesenangan hidup menyebabkan manusia lalai mengingati Allah. Oleh itu, Allah mengutuskan nabi dan rasul memberi peringatan supaya manusia berwaspada, beramal salih dan segera bertaubat.
Namun, masih ada juga manusia ingkar dan sombong dengan tidak mahu mengikut perintah Allah. Sebagai balasannya, Allah menurunkan bencana sebagai ujian dan dugaan supaya manusia segera insaf.

Allah berfirman maksudnya: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia kerana Allah hendak mereka rasai sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang dilakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Sesungguhnya musibah dan bencana terhadap manusia adalah ujian dan peringatan. Kita perlu bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah.
Anggaplah ujian itu proses memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Sebenarnya pelbagai ujian diturunkan Allah antaranya wabak Influenza A (H1N1). Penyakit ini boleh menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan Virus Influenza jenis A.

Sesuatu yang lebih penting untuk difahami umum ialah penularan penyakit berjangkit ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.

Menjaga kebersihan amat diutamakan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah, ayat 108)
Dalam menghadapi segala ujian atau bencana daripada Allah, kita perlu banyak bersabar dan memohon perlindungan Allah SWT dengan mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah ketika solat jumaat di seluruh negara. Mudah-mudahan rakyat dihindari daripada segala bencana dan wabak berbahaya.

RAHSIA DI SEBALIK SOLAT



- Ruku’ & Sujud

Seharian kita menjalankan ibadat solat 5 kali sehari semalam. Ia terbina dengan 17 rakaat iaitu 2 bagi solat Subuh, 4 untuk Zohor, Asar dan Isya’ dan 3 untuk Maghrib. Pada setiap rakaat pula kita membaca Al-Fatihah yang mengandungi 7 ayat, melakukan 1 X Ruku’ dan 2 X Sujud dengan 1 X duduk diantaranya.
Di dalam buku Metamatika Islam karangan KH. Fahmi Basya, beliau menjelaskan bahawa ketika kita telah melakukan 1 rakaat dalam solat, sesungguhnya kita sudah melakukan satu putaran yang terdiri atas satu kali ruku’ dan dua kali sujud. Saat ruku kita membentuk sudut 90° posisi berdiri tegak. Sedangkan saat sujud kita membentuk sudut 90°+45°=135° dari posisi tegak. Maka tatkata kita lengkap melakukan 1 ruku’ dan ditambah dua sujud, jumlah sudutnya adalah 90° + 135° + 135° = 360° atau satu lingkaran penuh. Umpama TITIK AWAL yang melingkar penuh lalu menemukan TITIK AKHIR dengan awalannya. PENUH bermaksud SEMPURNA.
Pada setiap rakaat, melalui lingkaran yang penuh ini rakaat itu menjadi sempurna lalu kita ulanginya lagi dan lagi mengikut perkadaran jumlah rakaat solat yang ditunaikan. Bukankah solah itu membentuk KESEMPURNAAN. Melatih energi dalaman agar terjana penuh. Umpama PUSARAN KIPAS yang lengkap putarannya. Lalu, 17 rakaat sehari semalam ini membawa kepada 17 lingkaran penuh (BULATAN 360°) atau PUSARAN LENGKAP KIPAS YANG MENJANAKAN ENERGI TUBUH. Jika dihalusi lagi, angka 1 dan 7 (pada jumlah 17 ini) akan membawa kepada angka 8 (iaitu 1+7=8) dan 8 adalah satu-satunya angka yang TIDAK PUTUS (titik awal bertemu titik akhir). Ia juga seumpama bentuk BILAH KIPAS yang digambarkan tadi.

Rasullullah sebagai UTUSAN ilmu-ilmu ALLAH. Manakala, “Dan segala sesuatu pada sisi-Nya ada ukurannya.” (Q.S. Ar-Ra’du 13 : 8 ). Menariknya untuk kita renungi lagi, sewaktu berlakunya GERHANA MATAHARI iaitu pada masa BUMI, BULAN DAN MATAHARI BERADA PADA SATU GARISAN LURUS, kita disunatkan melakukan Solat Gerhana. Aisyah r.a. berkata, “Pada masa Rasulullah saw. masih hidup pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah saw. menyuruh orang banyak solat berjamaah. Setelah mereka berkumpul, Rasulullah saw. datang lalu bertakbir dan solat dengan 4 kali ruku’ dan 4 kali sujud dalam dua rakaat.” (Sahih Muslim)
Kembali ke kajian tentang ruku dan sujud di atas tadi, perputaran dalam Solat Gerhana yang terdiri atas dua rakaat dengan 4 ruku dan 4 sujud itu dihitung sebagai berikut:
Rakaat 1 = 360º + 90º (kerana 2 x ruku’) = 0º + 90º = 90º
Rakaat 2 = 360º + 90º (kerana 2 x ruku’) = 0º + 90º = 90º
Maka, 90º +90º = 180º = iaitu SAMA DENGAN SATU GARIS LURUS. Hal ini sama duduknya dengan peristiwa gerhana iaitu posisi matahari, bumi, dan bulan membentuk satu garis lurus.

Manakala jikalau diamati pula senario Solat Jenazah yang tiada ruku’ dan sujud melalui diskusi kaedah di atas, kita akan mendapati TIADA LINGKARAN PENUH atau PUSARAN LENGKAP terbentuk. Ini adalah kerana tiada posisi ruku’ dan sujud yang dilakukan. Jika lingkaran penuh ini dikaitkan dengan penjanaan PUSARAN ENERGI HIDUP (roh), maka kaedah solat jenazah ini menggambarkan tiadanya lagi PENJANAAN ENERGI berlaku kerana hakikatnya roh si mati telahpun meninggalkan tubuhnya. Solat jenazah adalah himpunan doa-doa yang dilakukan secara berjemaah untuk dihadiahkan kepada si mati seperti bacaan doa selepas takbir ketiga iaitu:
“Ya Allah! Ampunilah dia dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia. Dan muliakanlah kedatangannya dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya) dan bersihkanlah dia dengan air salju dan embun, bersihkanlah dia dari segala dosa dan sebagaimana kain putih yang bersih dari segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya dan gantikanlah isteri yang lebih baik dari isterinya dan gantikanlah keluarga yang lebih dari keluarganya dan peliharalah (hindarkanlah) dia dari seksa kubur dan seksa neraka.”
Dan bacaan doa selepas takbir ke empat:
“Ya Allah ! Janganlah kiranya pahala tidak sampai pada kami dan janganlah Engkau memberi pada kami fitnah sepeninggalannya dan ampunilah kami dan dia dan bagi saudara -saudara kami yang telah mendahului kami dengan imam dan janganlah menjadikan gelisah (dengki) dalam hati kami pada orang-orang yang beriman, Ya Allah! Ya Tuhan kami sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

SUMBER: KAZL ENTERPRISE

Di Atas Hamparan Sejadah


Hadis :
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya." Abu Huraiarah r.a

Huraian :
Pengajaran Hadith:
i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T.

ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya.

iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T

Sumber: Dakwah2u

Menjaga perasaan


Hadis :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya." (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian :
1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.

4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.

Adab bersin

Adab bersin tambah rahmat, mampu elak penyakit
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu memakai topeng muka sambil berdoa dijauhi wabak selesema babi, semalam.
Rasulullah ajar doa untuk kesejahteraan umat bukti Islam sediakan cara hidup sempurna

DEMAM, batuk dan selesema yang menjadi mimpi ngeri kepada kita hari ini disebabkan serangan wabak selesema babi yang meragut berpuluh nyawa turut menghalang kita meneruskan rutin harian kerana bimbang dijangkiti atau menyebabkan jangkitan.

Benar hanya Allah SWT yang menentukan sesuatu berlaku, tetapi makhluk wajib berikhtiar menjauhi kebinasaan sama ada di dunia atau akhirat.

Justeru, dalam keadaan genting seperti hari ini, umat Islam perlu lebih tekun bertahajud dan berdoa (al-ma'thurat khususnya) seperti dilakukan Rasulullah SAW dan mengetahui cara hidup Islam sebenar, termasuk ketika menghidapi penyakit berbahaya.

Antara tanda awal selesema babi ialah demam diikuti selesema, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Kebiasaan orang yang menghidap selesema akan bersin dan berasa tidak selesa. Memang ia agak menyukarkan, tetapi ajaran Islam menganjurkan umatnya supaya beradab ketika bersin seperti menutup mulut dan menahan suara supaya tidak terlalu kuat yang sedikit sebanyak mengurangkan penularan wabak penyakit.

Allah SWT menyukai bersin kerana orang bersin akan memuji-Nya. Dengan pujian itu, saudara atau sesiapa yang mendengar lafaz 'Alhamdulillah' yang diucapkan akan mendoakan kita dirahmati Allah kembali.
Bayangkan jika hanya seorang bersin dan ungkapan 'Alhamdulillah' didengari ramai orang, tentulah semua yang mendengarnya mendoakannya kembali dengan lafaz "Yarhamukallah'.

Berapa ramai yang mendoakan orang bersin dirahmati Allah? Dengan wabak yang menular, kita wajar saling mengingatkan mengenai penyakit itu, di samping mengambil langkah pencegahan agresif.

Kita juga perlu kembali kepada cara dan panduan dianjurkan agama dan tahu ungkapan yang disebut sesudah bersin adalah hikmah yang sungguh bermakna dan tidak menyamai ungkapan lain.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari maksudnya: "Jika seorang antara kamu bersin, hendaknya ia mengatakan Alhamdulillah (segala puji hanya bagi Allah). Kemudian saudaranya atau temannya mengucapkan Yarhamukallah (mudah-mudahan Allah merahmatimu).
"Jika dia mengucapkan Yarhamukallah, maka ia mengucapkan Yahdikumullah wa yushlih balakum (mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk-Nya kepadamu dan memperbaiki keadaanmu."

Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyintai bersin dan membenci menguap. Jika ada antara kamu bersin dan memuji Allah Azzawajalla, wajib bagi setiap Muslim yang mendengarnya untuk mengucapkan Yarhamukallah.

"Menguap berasal daripada syaitan. Jika ada antara kamu yang menguap, ia perlu menahan sekuat tenaga kerana jika menguap, maka syaitan akan mentertawakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Memang tiada sesiapa pun yang memuji Allah selepas menguap, malah kadangkala terlupa untuk menutup mulut, tetapi hakikat bahawa Allah menyukai bersin kerana ia akan memuji Allah, jika tidak ia tiada bezanya dengan menguap.

Bahkan orang yang mendengar sesiapa yang bersin dan tidak mengucapkan 'Alhamdulillah' tidak perlu mendoakannya atau mengucapkan 'Yarhamukallah'.

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal sedemikian dalam sabda Baginda mafhumnya: "Jika seorang antara kalian bersin kemudian memuji Allah (hamdalah), maka doakanlah ia. Jika dia tidak memuji Allah maka jangan kalian mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Pernah berlaku satu keadaan di mana terdapat dua orang lelaki yang bersin di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda mendoakan salah seorang lelaki berkenaan. Kemudian orang yang tidak didoakan oleh Rasulullah itu bertanya kenapa Rasulullah tidak berbuat demikian kepadanya (iaitu berdoa), lalu Rasulullah menjawab: "Yang ini memuji Allah tetapi engkau tidak memuji Allah."

Selain memuji Allah SWT, perbuatan saling berdoa yang kita lakukan menunjukkan hubungan persaudaraan yang teguh dan manis, kasih sayang yang kuat dan utuh antara saudara seagama.

Begitulah cara hidup Islam, apa saja yang dilakukan terangkum dalam peraturan sempurna demi mendapat rahmat Allah yang turut merangkumi kesihatan yang sejahtera.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan

Malaysia dan Pertubuhan Antarabangsa


Pengenalan
Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Atas cadangan Tunku Abdul Rahman, gagasan Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963. Untuk membolehkan nama Malaysia dikenali oleh seluruh dunia, Malaysia telah menyertai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Komanwel dan sebagainya. Melalui pertubuhan ini, nama Malaysia telah disebar ke seluruh dunia. Dalam pertubuhan ini juga, Malaysia telah memperolehi banyak bantuan sama ada dari segi politik ataupun ekonomi. Semuanya ini banyak membantu Malaysia dalam pembangunan negara.

Komanwel
Pertubuhan Komanwel merupakan sebuah pertubuhan negara-negara bekas tanah jajahan British yang telahpun mencapai kemerdekaan. Pertubuhan ini ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1931 oleh Parlimen British berasaskan idea Lord Rosebury, Menteri Luar Britain. Pertubuhan ini diketuai oleh Ratu England, Queen of Elizabeth II.Negara kita telah menyertai pertubuhan ini pada tahun 1957 selepas mencapai kemerdekaan. Pada hari ini, Pertubuhan Komanwel mempunyai 49 anggota negara. Hanya 4 negara sahaja yang keluar dari Komanwel sehingga hari ini iaitu Ireland, Afrika Selatan, Pakistan dan Fiji. Negara kita mendapat banyak faedah daripada Komanwel seperti:
1.Bidang pertahanan
Melalui Perjanjian Pertahanan Britain Tanah Melayu 1957, negara kita telah mendapat bantuan pertahanan dari Britain. Britain telah menempatkan angkatan tenteranya di negara kita untuk membantu negara kita dalam usaha membanteras ancaman komunis. Semasa Konfrontasi Indonesia, negara kita telah mendapat bantuan tentera dari New Zealand, Australia dan sebagainya.

2.Bidang perdagangan
Sebagai salah satu ahli dalam pertubuhan Komanwel, barang eksport negara kita telah dikenakan kadar cukai yang rendah di Britain. Sebagai balasan, negara kita telah memberi keutamaan kepada kegiatan perdagangan di antara Britain dengan negara kita.

3.Rancangan Colombo
Rancangan Colombo ditubuhkan pada tahun 1950 dengan tujuan memberi bantuan teknik oleh negara-negara Komanwel yang maju kepada negara-negara Komanwel yang membangun dan mundur. Menerusi rancangan ini, negara kita telah memperolehi faedah seperti:
a.Australia, New Zealand, Britain dan Canada telah memberi biasiswa kepada pelajar kita yang menuntut di institusi pengajian tinggi di sana.
b.Negara penderma telah memberi bantuan kewangan kepada negara kita untuk menubuhkan pusat-pusat latihan teknik.
c.Britain menghantar pakar-pakar insurans dan cukai untuk menolong negara kita dalam memajukan ekonomi negara.
d.Canada membekalkan peralatan untuk membantu negara kita memajukan industri perikanan.
e.Bantuan dari New Zealand dalam bentuk wang untuk membuka tanah baru.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

PBB ditubuhkan pada 24 Oktober 1945, beribu pejabat di New York. Trygve Lie menjadi Setiausaha Agung yang pertama. PBB ditubuhkan atas usaha Presiden Woodraw Wilson (Amerika Syarikat) dan Perdana Menteri Winston Churchill (Britain). Kini PBB mempunyai 166 buah anggota negara. Pada 17 September 1957, negara kita menjadi ahli PBB. Dari PBB, negara kita telah memperolehi pelbagai faedah, iaitu:
1.Dari UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization)
a.Pakar pendidikan telah dihantar ke Malaysia untuk membantu negara kita dalam rancangan pelajaran.
b.Pengawal penyelidikan sains dihantar untuk membantu negara kita dalam penyelidikan sains.
c.Bantuan telah diberi dalam penubuhan maktab teknik di Ipoh.

2.Dari WHO (World Health Organization)
Nasihat telah diberi kepada negara kita untuk membantu negara kita dalam mencegah penyakit malaria, batuk kering, untut, demam kepialu dan sebagainya.

3.Dari FAO (Food and Agricultural Organization)
Bantuan dalam bentuk kewangan dan kepakaran telah diberi untuk membantu negara kita meningkatkan pengeluaran makanan.

4.Dari ILO (International Labour Organization)
a.Pakar telah dihantar untuk membantu negara kita meningkatkan taraf perusahaan negara kita.
b.KWSP telah ditubuhkan untuk melindungi kaum pekerja atas saranan ILO
5.Dari WB (World Bank)
a.Memberi bantuan kewangan kepada negara kita dalam melaksanakan projek-projek pembangunan negara.
b.Pakar ekonomi dihantar ke negara kita untuk membantu negara kita menyelesaikan masalah ekonomi.

oleh SP Star

Faktor Kemunculan Imperialisme di Rantau Asia


Pengenalan
Imperialisme bermaksud kegiatan sesebuah negara untuk meluaskan wilayahnya dengan menguasai dan menjajah negara lain dari segi ekonomi, politik dan sosial. Zaman ini bermula hasil daripada usaha penjelajahan dan penerokaan kawasan baru di dunia pada kurun ke-15 dan ke-16 oleh kuasa Barat seperti Portugis dan Sepanyol. Mereka telah menemui jalan laut ke Timur. Apabila mereka sampai ke Timur, mereka mendapati kawasan ini kaya dengan pelbagai benda yang dikehendaki lalu bercita-cita untuk menguasainya. Selain untuk memperolehi benda yang dikehendaki, mereka juga mempunyai tujuan yang khas untuk menjajah negara Asia.

Faktor-faktor
1.Bahan mentah
Faktor utama yang membawa kepada kemunculan kuasa imperialis di Asia ialah bahan mentah. Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah telah membawa kepada perkembangan teknologi. Perkembangan teknologi ini menyebabkan beberapa jenis bahan mentah yang tidak pernah dikehendaki pada masa dahulu diperlukan pada masa kini. Sebagai contoh: pengenalan proses mengetin mewujudkan permintaan yang tinggi bagi bijih timah. Keadaan ini menyebabkan pengeluar bijih timah tidak berupaya menampung permintaan yang dikehendaki, lalu mereka pun pergi ke kawasan lain untuk memperolehi sumber baru. Selain itu, mereka juga memerlukan getah asli untuk menyalut dawai elektrik, membuat tayar dan sebagainya. Kelapa sawit dan kelapa pula diperlukan untuk membuat sabun, lilin, mentega, minyak sayur dan sebagainya. Ciptaan kenderaan bermotor yang memerlukan petroleum juga menyebabkan kuasa Barat berusaha memperolehi sumber ini dari kuasa lain. Memandangkan rantau Asia yang mempunyai pelbagai bahan mentah seperti petroleum dan bijih timah dan iklim di kawasan sesuai bagi penanaman getah, kelapa sawit dan sebagainya, lalu mereka datang ke kawasan Asia dan berusaha untuk menguasai negara Asia.

2.Pasaran
Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah menyebabkan barang-barang dapat dikeluarkan secara besar-besaran. Pengeluaran secara besar-besaran memerlukan pasaran yang besar supaya barang-barang tersebut dapat dijual. Akibatnya, mereka telah datang ke Asia dan mereka mendapati kawasan ini mempunyai potensi yang tinggi bagi memasarkan barang keluaran mereka. Dengan itu, mereka pun bertindak untuk menjajah negara tersebut.

3.Kemajuan dalam pengangkutan dan perhubungan
Perkembangan perhubungan laut terutamanya penciptaan kapal berkuasa wap telah mendorong dan mempercepatkan imperialisme di rantau Asia. Penciptaan kapal berkuasa wap telah menjadikan perjalanan laut di antara Barat dan Asia lebih cepat dan selamat. Selain itu, kapal berkuasa wap juga dapat membawa muatan yang banyak. Keadaan ini telah mendorong kuasa Barat menguasai ekonomi Asia. Seterusnya, pembukaan Terusan Suez turut menambahkan lagi minat kuasa Barat untuk menjajah negara Asia. Ciptaan telegraf turut menyebabkan imperialis di rantau Asia. Kuasa Barat semakin berminat untuk menjajah Asia yang jauh dari negara asal mereka. Walaupun jauh, tetapi tidak menjadi masalah untuk berhubung kerana adanya telegraf.

4.Politik
Kuasa-kuasa Eropah ingin membentuk empayar yang lebih luas untuk memperbaiki imej mereka sebagai kuasa besar dunia. British sebagai pelopor Revolusi Perindustrian ingin memeproleh tanah jajahan yang lebih luas kerana ini bukan sahaja menunjukkan ia sebagai kuasa yang besar, malah ia juga dapat menjamin kepentingan ekonomi mereka. Begitu juga bagi Sepanyol, Belanda, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat. Dengan itu, mereka telah berlumba-lumba ke rantau Asia yang begitu luas yang masih terdapat negara yang belum dijajah oleh mana-mana kuasa dan dengan menguasai negara itu, maka mereka akan memperolehi bahan mentah dan pasaran di samping memperluaskan wilayahnya.

5.Tanggungjawab orang putih
Orang putih yakin bahawa kebudayaan dan peradaban mereka lebih tinggi daripada bangsa lain. Keyakinan ini digunakan oleh mereka untuk menjajah seluruh dunia. Orang Eropah terutamanya Inggeris dan Amerika menganggap mereka bertanggungjawab untuk mengubah kebudayaan dunia kepada sistem kebudayaan Barat yang lebih baik. Mereka mengistilahkan tugas mereka sebagai “White Man Burden”. Orang Perancis pula menggunakan dasar “tugas menyebarkan tamadun” kerana menganggap penduduk yang bukan Eropah adalah mundur.

6.Agama
Agama juga menjadi salah satu faktor bagi kuasa Barat untuk menjajah negara Asia. Mereka menyebarkan agama Kristian di kalangan penduduk pribumi di luar Eropah. Mereka menganggap tugas ini sebagai satu misi suci. Untuk menyenangkan proses penyebaran agama Kristian, mereka telah menjajahi negara-negara yang menjadi sasaran.

oleh SP Star

Puisi 'Membaca Sejarah'


bertahun sudah kita berkelana
terseok-seok menyeret hati yang takjub
dan sesekali tercenung
tatkala kembali mengenang
nama demi nama para sahabat serta tetangga
yang pernah kita sapa dengan bahasa akrab
tetapi kini telah berubah menjadi samar
di sebalik ribuan topeng atau genangan air mata

kita tak tahu
apakah takdir mesti dipersalahkan
dengan ribuan kata-kata kesal
bila manusia mudah menjadi mabuk
kerana janji atau umpan puja
sedangkan bersilih tahun dentum dan raung halilintar
tetap tak akan mengubah segala yang sudah ditulis
dengan dakwat yang teramat hitam
serta tidak akan dapat dipadam
dan bibir kita semakin menjadi bosan
mengucapkan kata demi kata
untuk membujuk segala rawan atau hiba
yang telah menjadi sia-sia

betapa meski dengan hati takjub dan sesekali tercenung
kita semakin menjadi dewasa oleh muslihat manusia
di saujana ini tanah bernama dunia
dan dengan hati yang tidak pernah sudi berdendam
tubuh kita yang semakin renta di henyak waktu serta
kejadian
terus terseok-seok sendirian melangkah
membaca huruf demi huruf
di lembarmu, aduhai sejarah

kerana kau tidak pernah alpa mencatatkan.

Kuantan, 8 Mac 2002
Hasil nukilan Marsli N.O

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Dasar Luar Negara


Pengenalan

Semua negara di dunia bergantung di antara satu sama lain. Setiap negara tidak boleh bersendirian dan terpaksa mengadakan hubungan dengan negara-negara lain sama ada dalam bidang sosial, ekonomi atau politik. Hubungan ini ditentukan oleh dasar luar sesebuah negara. Dasar luar negara boleh diertikan sebagai garis panduan bagi segala tindakan yang diambil oleh negara ini apabila ia berhubungan dengan negara lain. Dasar luar negara ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, sebagai contoh faktor sejarah, faktor politik, faktor ekonomi dan sebagainya.

Faktor-faktor

1.Persekitaran geostrategik
Negara kita terletak di tempat yang paling strategik di dunia. Kedudukannya ini di pertengahan laluan perdagangan antara Timur Jauh dengan Timur Tengah membolehkannya mengawal laluan perdagangan ini. Keadaan ini menyebabkan negara kita mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali. Negara kita juga sentiasa berusaha memastikan kawasan ini terhindar daripada tekanan kuasa luar dan menjadikan kawasan ini satu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali.

2.Struktur ekonomi negara
Negara kita kaya dengan bahan mentah seperti petroleum, getah, bijih timah, kelapa sawit dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan negara kita memerlukan ramai rakan perdagangan untuk memasarkan barangan dan hasil negara kita. Maka kita haruslah mengkaji aspek dasar luar negara yang diamalkan tidak membawa keburukan kepada rakan perdagangan yang sedia ada, di sebaliknya dapat menarik ramai lagi rakan perdagangan.

3.Struktur politik negara
Negara kita merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mementingkan demokrasi, kebebasan dan kemakmuran rakyat. Maka kita akan berhubung dengan negara yang juga memperjuangkan prinsip yang sama.

4.Demografik
Negara kita negara yang terdiri dari pelbagai kaum dan oleh yang demikian negara kita mengamalkan dasar luar yang mementingkan prinsip-prinsip perpaduan antara manusia dan juga prinsip-prinsip penghormatan hak asasi manusia. Bukti negara kita mengamalkan dasar ini ialah negara kita telah menentang dasar apartheid di Afrika Selatan yang mengancam hak asasi manusia dan bertentangan dengan amalan perpaduan yang wujud di negara kita.

5.Keselamatan negara
Dasar luar negara kita juga dipengaruhi oleh faktor keselamatan negara. Sebagai contoh, keganasan komunis di negara kita menyebabkan negara kita tidak berhubung dengan negara komunis. Pergolakan politik di Indo-China menyebabkan negara kita menentang Vietnam yang menyerang Kampuchea dan kuasa-kuasa luar yang cuba menggugat kestabilan politik di Asia Tenggara.

6.Keadaan politik serantau
Keadaan politik dan keselamatan serantau juga mempengaruhi dasar luar negara kita. Dasar luar negara kita bertujuan mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau jelas dilihat apabila negara kita memainkan peranan yang aktif dalam segala perbincangan mengenai Kampuchea. Negara kita telah cuba menyelesaikan konflik di negara tersebut agar keamanan dan kestabilan politik wujud di negara itu.

7.Institusi antarabangsa
Institusi antarabangsa yang dimaksudkan adalah seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). PBB merupakan satu pertubuhan yang selalu cuba menegakkan keamanan dan kemakmuran dunia. PBB juga berusaha melindungi hak manusia. Maka, apabila negara kita menyertai pertubuhan ini, negara kita akan dipengaruhi oleh prinsip-prinsip ini dan menyelaraskan dasar luar negara kita supaya selaras dengan prinsip-prinsip pertubuhan tersebut. Selain PBB, negara kita juga menjadi ahli Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Komanwel dan sebagainya.

8.Hubungan diplomatik
Pada awalnya, nama negara kita tidak dikenali oleh negara yang lain di dunia ini. Untuk membolehkan negara kita dikenali oleh seluruh dunia, maka negara kita telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara yang lain. Oleh sebab hubungan diplomatik yang dijalinkan membolehkan kita memperolehi kepentingan dari segi politik, ekonomi dan sosial dari negara tersebut, maka polisi yang diamalkan oleh negara kita akan digubal supaya sesuai dengan keadaan tersebut.

9.Undang-undang antarabangsa
Dasar luar negara kita dipengaruhi oleh sistem perundangan antarabangsa. Negara kita menghormati prinsip-prinsip yang digariskan dalam Piagam PBB dan juga undang-undang yang ditetapkan oleh badan-badan antarabangsa. Badan-badan antarabangsa telah menetapkan pelbagai peraturan yang menggariskan etika tindak-tanduk semua negara terutamanya peraturan atas perundangan tentang diplomasi, menghormati keutuhan negara lain, komunikasi dan juga mekanisme untuk menyelesaikan sesuatu pertelingkahan. Maka, dasar luar negara kita juga terikut-ikut dengan undang-undang yang ditetapkan.

oleh SP Star

PERISTIWA PENTING DI ANTARA 2 HIJRAH


Pengenalan
Dalam sejarah perkembangan awal Islam terdapat 2 peristiwa penting iaitu Hijrah ke Habsyah dan Hijrah ke Madinah. Namun dalam 2 peristiwa ini, Nabi Muhammad hanya melibatkan diri dalam hijrah ke Madinah. Kerana itu jugalah peristiwa Hijrah tersebut digelarkan Hijratul-Rasul dan disambut oleh umat Islam pada setiap tahun sehingga kini. Dalam perjanjian Hijrah ke Habsyah, hanya sebahagian daripada pengikut Nabi yang terlibat. Hijrah ke Habsyah lebih bersifat sementara dan bertujuan mencari perlindungan. Kebanyakan daripada mereka kembali ke Arab apabila mendengar berita pengislaman Saidina Umat al-Khattab. Ada yang kembali semula selepas mendengar berita Hijrah ke Madinah.

Peristiwa Penting
Bantuan Perlindungan di Habsyah
Pada tahun ke-5 kerasulan, sebahagian daripada umat Islam telah berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan di sana. Nabi Muhammad sendiri menyarankan agar berhijrah ke Habsyah kerana ia dianggap sebagai Bumi Kebenaran dan penganiayaan tidak berlaku di sana. Terdapat 2 rombongan umat Islam berhijrah ke sana. Rombongan ini telah mendapat perlindungan di Habsyah walaupun Maharaja Najashy menganut agama Nasrani. Kejadian ini telah memberikan perangsang dan menguatkan azam Nabi Muhammad untuk terus berjuang menyebarkan Islam.

Pemulauan Islam (Moqato'ah)
Orang musyirikin telah melakukan pemulauan ke atas Nabi, orang Islam dan Bani Hasyim sebagai salah satu cara untuk menyekat perkembangan Islam. Pada mulanya, pemulauan ini hendak dilakukan selama 10 ahun tetapi setelah 3 tahun berlangsung, ia telah ditamatkan. Pemulauan ini telah menyebabkan umat Islam menghadapi penderitaan yang teruk. Pada tahun akhir pemulauan, 2 orang penyokong kuat Nabi iaitu Siti Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia. Walaupun orang Islam menghadapi penderitaan tetapi peristiwa ini tetap memberi kesan positif terhadap perkembangan Islam. Penderitaan yang dialami telah melahirkan rasa simpati masyarakat umum terhadap Nabi sehingga ada antara mereka yang mendesak orang musyirikin untuk menamatkan pemulauan itu. Peristiwa ini tidak melemahkan semangat perjuangan orang Islam, malah orang-orang kaya di antara mereka telah mengorbankan kekayaan mereka bagi membantu saudara lain. Hal ini menyebabkan hubungan antara mereka bertambah rapat. Kegagalan orang musyirikin meneruskan rancangan ini telah menjatuhkan imej mereka pada pandangan kabilah-kabilah lain.

Pengislaman Umar
Umar Bin al-Khattab adalah antara sahabat Nabi yang agak lewat menerima Islam. Ketika orang Islam berhijrah ke Habsyah mereka menerima berita bahawa beliau telah memeluk Islam. Sebelum menerima Islam, Umar ialah seorang penentang kuat Nabi tetapi selepas menerima Islam, beliau menjadi sahabat Nabi yang kuat. Pengislaman beliau sangat besar ertinya terhadap perkembangan Islam. Nabi sendiri pernah berdoa supaya Allah membuka hati Umar untuk menerima Islam. Sebelum Islam, Umar mempunyai penyokong yang ramai. Dengan islamnya Umar, kedudukan Islam menjadi kuat dan orang Islam berani melakukan ibadat secara terbuka. Pengislaman Umar juga merupakan satu tamparan yang hebat kepada musyirikin Mekah kerana sebelum ini Umar bersungguh-sungguh menunjukkan penentangannya terhadap Islam.

Pengislaman Hamzah
Hamzah ialah seorang pemuda gagah Quraisy. Beliau ialah bapa saudara Nabi. Beliau tidak menyahut seruan Islam tetapi tidak terlibat dalam gerakan menentang Islam. Pengislamannya mungkin berlaku secara spontan. Hal ini kerana pada suatu hari semasa beliau balik dari berburu, beliau terlihat orang yang sedang menghina Nabi. Sebagai tokoh Bani Hasyim, beliau memarahi orang itu dan menyatakan pengislamannya. Beliau merupakan panglima Quraisy yang ulung dan disegani. Pengislamannya memantapkan lagi perjuangan Islam.

Peristiwa Israk dan Mikraj
Peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Israk ialah perjalanan pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa ini, Nabi telah diperlihatkan dengan pelbagai tanda kekuasaan Allah. Peristiwa ini menjadi ujian kepada orang Islam. Bagi yang beriman, iman mereka semakin mantap tetapi bagi yang kurang beriman, maka menjauhkan diri kerana menganggap Nabi mereka cerita. Peristiwa inilah ibadat sembahyang mula diwajibkan. Peristiwa ini memberi keterangan kepada Nabi walaupun orang musyirikin semakin kuat menentang.

Dakwah di Taif
Selepas tamatnya pemulauan, Nabi dengan ditemani oleh Zaid Bin Harithah telah pergi ke Taif untuk berdakwah kepada Bani Thaqif. Pemergian Nabi disebabkan beliau kecewa dengan sikap penduduk Mekah di samping Abu Talib dan Khadijah. Di Taif, sekali lagi Nabi dikecewakan. Mereka bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah yang disampaikan, malah telah mengupah kanak-kanak melontar Nabi dengan batu sehingga Nabi cedera. Ternyata dakwah di Taif gagal kerana Bani Thaqif mempunyai hubungan rapat dengan puak Quraisy. Sungguhpun Nabi kecewa, tetapi semangat untuk terus berdakwah tetap kukuh. Dari segi jangka panjang, dakwah ke Taif tidak gagal kerana sekurang-kurangnya Nabi telah berjaya mengislamkan seorang penganut Kristian, iaitu Addas. Peristiwa ini telah membuka jalan kepada pengislaman penduduk Taif pada 9 Hijrah. Kegagalan dakwah di Taif juga dianggap sebagai Muqaddinah (permulaan) kepada peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa ini menggembirakan Nabi dan menambahkan keyakinan untuk terus berdakwah.

Bai'at Aqabah
Apabila Nabi sedar penduduk Mekah tidak mahu menerima Islam, Nabi mengalihkan perhatian kepada orang luar Mekah. Pada tahun ke-11 selepas kerasulan Nabi, 6 orang penduduk Yathrib telah datang menemui Nabi dan menyatakan keislaman mereka. Pada tahun berikutnya, 12 orang lagi datang dan mengadakan ikrar yang dikenali sebagai Bai'at Aqabah I. Apabila mereka pulang ke Madinah, Nabi menghantar Mus'ab Bin Umair untuk menjadi guru dan imam mereka. Pada musim Haji tahun berikutnya, seramai 73 orang lagi mengadakan ikrar Aqabah II. Dengan adanya ikrar ini, bilangan penganut Islam telah bertambah bilangannya. Secara tidak langsung, tenaga pendakwah bertambah. Penduduk Yathrib berjanji akan menyebarkan Islam di sana. Ikrar ini dianggap sebagai Muqaddinah kepada peristiwa Hijrah yang berlaku pada 622 Masihi.

Rumusan
Jangkamasa di antara Hijrah ke Habsyah dengan Hijrah ke Madinah mengandungi banyak peristiwa penting yang memantapkan lagi perjuangan Nabi Muhammad. Setiap peristiwa yang berlaku sama ada yang mendatangkan kesedihan atau kegembiraan kepada baginda ternyata mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Sebagai seorang pejuang yang memandang jauh ke hadapan, baginda menggunakan setiap pengajaran daripada kegagalan atau kegembiraan daripada setiap kejayaan untuk mengatur langkah yang lebih padu dan teratur.

Memori Nagasaki dan Hiroshima


Datuk Bandar Nagasaki menyeru kepada pengharaman senjata nuklear, dalam satu upacara bagi menandakan ulang tahun ke-64 serangan Amerika Syarikat yang memusnahkan bandar raya Jepun tersebut serta membunuh 74,000 penduduknya.

Dalam ucapan yang diberikan sejurus selepas 11:02 pagi iaitu masa yang sama bom plutonium AS membinasakan Nagasaki pada 9 Ogos 1945, Datuk Bandar Tomihisa Taue berkata, terdapat sedikit perkembangan mengenai penghapusan senjata nuklear tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

Dia memetik ucapan Presiden Barack Obama pada April lalu, yang menyeru dunia membasmi senjata atom tetapi turut menyebut tentang ujian nuklear yang dilakukan oleh Korea Utara, Mei lalu.

"Sebagai umat manusia, kita ada dua jalan di hadapan kita.

"Satu jalan bakal membawa kita ke arah dunia tanpa senjata nuklear, manakala satu lagi menjurus kepada kehancuran, bakal menyebabkan kita menderita lagi sebagaimana kemusnahan yang dialami Nagasaki dan Hiroshima 64 tahun lalu," katanya.

Kerajaan Jepun mengenal pasti jumlah keseluruhan kira-kira 150,000 mangsa daripada serangan atom Nagasaki, termasuk mereka yang mati beberapa tahun kemudian ekoran cedera dan sakit terkena radiasi atom.

Nagasaki diserang tiga hari selepas sebutir bom atom dijatuhkan di Hiroshima yang mengorbankan 140,000 orang.

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.
Hadirin bertakafur seketika tepat pada masa kejadian 64 tahun terdahulu, manakala loceng besar di Taman Keamanan bandar itu dibunyikan beberapa kali.

Sebaik sahaja Taue menghabiskan ucapannya, sekumpulan burung merpati dilepaskan di taman yang menempatkan ratusan origami burung jenjang berwarna-warni yang digantung oleh penduduk tempatan.

Sekitar 5,800 orang termasuk para pembesar dan wakil daripada 29 negara menghadiri upacara tersebut.

Taue telah menjemput ketua-ketua negara yang memiliki senjata nuklear, termasuk Obama dan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev untuk ke Nagasaki. - AP

Sumber: Utusan Online

HIJRAH


Pengenalan
Hijrah dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi sejarah, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini telah menjadi satu titik peralihan dalam hidup Nabi dan juga perkembangan agama Islam. Penghijrahan ini dilakukan secara diam-diam bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Mekah. Mereka berpindah dalam kumpulan yang kecil. Nabi sendiri hanya ditemani oleh Abu Bakar sebelum bertolak ke Madinah. Mereka bersembunyi di Gua Thur untuk beberapa hari.

Faktor Berlakunya Hijrah
Bai'at Aqabah
Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui Bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.

Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.

Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.

Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.

Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.

Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi
Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

Kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.

Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

Wahyu
Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.

Kepentingan Hijrah
Perubahan Pusat Gerakan Islam
Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah.

Penyebaran Islam Semakin Meluas
Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.

Perubahan Kedudukan Nabi
Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.

Pertambahan Umat Islam
Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari 2 golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.

Penubuhan Negara Islam
Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.

Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah
Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.

Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar
Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Permulaan Kalendar Hijrah
Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.

Perubahan Dasar Politik
Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.

Rumusan
Hijratul-Rasul adalah suatu peristiwa yang mempunyai signifikasi yang sangat besar dalam sejarah perjuangan Islam. Ia jelas telah membawa banyak perubahan dalam corak perkembangan Islam. Ia merupakan titik peralihan yang amat penting bagi Nabi Muhammad sendiri dan perkambangan Islam di seluruh dunia. Penghijrahannya ini membawa kepada kemenangan umat Islam dalam hampir setiap bidang seperti ekonomi, sosial dan politik.

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT


1. Boleh bina ayat tunggal.
2. Boleh bina ayat majmuk.
3. Boleh bina ayat aktif.
4. Boleh bina ayat pasif.
5. Boleh bina ayat cakap ajuk tetapi perlu mematuhi peraturan
tanda baca (tanda petik).

Pelajar dilarang :
1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud.

Contoh soalan dan jawapan:
(i) Suka duka.
Ketika bertugas di kawasan pedalaman itu, saya terpaksa menempuh pelbagai suka duka sebelum saya berjaya membawa kejayaan untuk sekolah dan penduduk di kawasan itu. ( Ayat Majmuk )

(ii) Baik buruk.
Kejadian kesan buruk yang tidak disedari atau tidak dilaporkan akan hanya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang baik buruk sesuatu ubat itu. ( Ayat Majmuk )

(iii) Penat lelah
Segala penat lelah beliau terbayar apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu. ( Ayat Majmuk )

(iv) Melayari laman web
Pelajar-pelajar digalakkan supaya melayari laman web Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). ( Ayat Majmuk )

(v) Pembangunan mesra alam
Kerajaan akan memastikan bahawa setiap pemaju perumahan mestilah mengutamakan pembangunan mesra alam untuk mengelakkan pencemaran dan kejadian tanah runtuh yang semakin berleluasa.
( Ayat Majmuk )

(vi) Semangat setia kawan
Walaupun kita terpaksa bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan itu, semangat setia kawan dan persahabatan perlulah dipelihara.
( Ayat Majmuk )

KESAN AYAT TIDAK GRAMATIS
Soalan 2 (a), 2(b), 2(c) dan 2(d).
Kesilapan calon ketika menjawab soalan pemahaman.
1. Beri jawapan dalam bentuk nota.
2. Ayat tidak lengkap kerana tiada subjek.

Sebab-sebab berlakunya kesilapan :
1. Pelajar degil dan cuai walaupun telah diberi ingatan.
2. Tidak belajar merancang masa untuk menjawab soalan.
3. Terikut-ikut dengan gaya penulisan SMS/singkatan ejaan

Kesan kesilapan:
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.
Jawaban contoh :
-Pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an.
-Melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas
-Pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

Isi betul - 3
Ayat tidak gramatis
Markah : 2
Pelajar hilang 1 markah.
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.
Jawaban contoh :
- Persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan
tugas sebagai angkasawan.
- Cari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini.
- Persediaan mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Isi betul : 4 ( 2 isi dan 2 huraian )
Ayat tidak gramatis
Markah : 3
Pelajar hilang 1 markah.
Andaian :
Pelajar yang sama biasanya akan mengulangi setiap jawapan dengan cara memberi isi berbentuk nota ringkas. Pelajar mungkin akan kehilangan antara 6 hingga 8 markah untuk soalan 2(a) hingga 2(d) jika diandaikan pelajar ini dapat memberi isi dan huraian yang tepat tetapi ayat tidak gramatis.
Maka :
1. Jawab dalam bentuk ayat yang gramatis.
2. Ayat gramatis mempunyai subjek.
3. Gandingkan predikat soalan dengan isi jawaban lengkap.
4. Ayat gramatis boleh terdiri daripada ayat tunggal atau ayat
majmuk.

MALANG TIDAK BERBAU


- LANGKAH-LANGKAH MENGATASINYA
Dalam kesibukan negara mencapai taraf negara maju kelas pertama dalam era pembangunan dan pembinaan negara, jaringan lebuh raya dan lingkaran jalan raya di nusa tercinta ini sentiasa dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Malaysia dikatakan memiliki kualiti jalan raya yang paling baik di rantau ini sebaliknya mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi. Mengikut statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), dalam tahun 2007 sahaja, lebih daripada 300 ribu kemalangan telah dicatatkan. Malang tidak berbau, tetapi bau malang boleh dielakkan. Jika dipandang enteng, nyawa modal insan negara bagai telur di hujung tanduk. Oleh itu, langkah-langkah drastik dan proaktif mestilah diambil oleh pihak berwajib untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang banyak meragut nyawa.

Kerajaan mestilah membuat anjakan paradigma dalam sistem pelaksanaan undang-undang keselamatan di jalan raya. Penguatkuasaan undang-undang seyogianya diiringi ketegasan melaksanakannya. Pihak berkuasa seperti polis trafik tidak boleh bertolak ansur waima berkompromi dalam menegakkan undang-undang. Penggubalan akta keselamatan mestilah diubahsuai mengikut keperluan semasa. Denda dalam lingkungan RM150 hingga RM300 tidak pernah meninggalkan bekas, terutamanya kepada golongan yang bermaharajalela di jalan raya. Oleh hal yang demikian, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jikalau pihak kerajaan menaikkan kadar denda dan saman, langkah ini dapat memberi pedoman kepada pengguna jalan raya agar lebih bermoral dan beretika semasa memandu.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri umpamanya mestilah diberi kuasa dan mandat untuk melaksanakan tugas. Sesiapa yang terlibat dalam tragedi kemalangan di jalan raya mestilah ditarik lesen pemanduannya. Sementara itu, sistem merit yang dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mestilah dipautkan dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar kedua-dua agensi kerajaan ini berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan hukuman terhadap pesalah laku lalu lintas yang membelakangkan nyawa insan lain. Pihak kerajaan sewajarnya memegang prinsip genggam bara api, biar jadi arang dalam usaha menjadikan laluan trafik di Malaysia bebas daripada kemalangan. Dengan langkah ini, imej negara di persada dunia dapat dipertingkatkan demi kemajuan pelbagai bidang yang diharap-harapkan.

Jika dikaji dari sudut pemilikan lesen memandu, rakyat Malaysia amat bertuah kerana sistem yang diguna pakai di sini masih longgar dan mudah. Sejak beberapa dasawarsa, proses pemilikan lesen memandu amat mudah dan longgar. Kelonggaran undang-undang yang dicemari gejala rasuah menyebabkan banyak nyawa insan tidak berdosa melayang dan sekali gus meranapkan harapan ibu bapa mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. pihak berkenaan diharapkan dapat membuat pengubahsuaian terhadap silibus ujian pemanduan. Dengan pendekatan yang positif ini, rakyat yang berjaya memiliki lesen memandu setelah melalui proses kompleks dan sukar pasti lebih menghargai lesen yang berjaya dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, sudah sampai masanya pihak PJP mengambil langkah proaktif untuk sama-sama menjadikan pemandu Malaysia lebih berkualiti.

Sebagai penutup wacana, kita harus sedar bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli seperti di pasar raya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara mestilah dilakukan dengan baik. Rakyat haruslah sedar akan prinsip biar lambat, asalkan selamat. Pemandu dan pengguna jalan raya sama-sama mendapat manfaat jika semua pihak bersepakat dalam ciri-ciri keselamatan di jalan raya. Rakyat merupakan penggerak kemajuan negara. Tanpa kemajuan, kita tidak dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Keselamatan anda di jalan raya ialah tanggungjawab semua pihak. Hal ini demikian kerana pandu cermat, jiwa selamat. Keselamatan di jalan raya dapat memastikan kita selamat berada di bumi bertuah ini untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna demi keluarga, bangsa, dan negara.

SUMBER : LAMAN BIMBINGAN BAHASA MELAYU

Teknik Menjawab Rumusan


• Jawab soalan ini dulu kerana inilah lubuk markah.

• Dicadangkan 10 patah kata untuk pendahuluan, 70 kata untuk isi tersurat, 25 patah kata untuk isi tersirat dan 15 patah kata untuk kesimpulan. Rancang perenggan anda dengan teliti.

• Untuk pendahuluan, sila semak kata-kata sinonim untuk faktor, kepentingan, kesan dan sebagainya. Apakah makna perkataan ini? Natijah, kekangan, kemaslahatan, manfaat, gejala, strategi, . Sila cari makna yang tepat daripada kamus dewan.

• Mulakan isi tersurat dengan (rujuk soalan, katakanlah faktor) Salah satu faktor keracunan makanan ialah (isi pertama). Selain itu, (isi ke-2), Seterusnya, (isi ketiga), Seperkara lagi, (isi ke-4), malahan (isi ke-5). Di samping itu(isi ke-6) dan juga, (isi ketujuh). Justeru bukan penanda wacana.

• Kalau isi tersurat dah tulis 6, kira jumlah kata. Kalau baru 60, boleh tambah satu isi lagi. Kalau sudah 65 ke atas, semak semula kalau-kalau ada perkataan yang tak perlu untuk dibuang dan boleh tambah satu isi lagi. Kalau tidak, ada teruskan saja ke perenggan seterusnya iaitu menuliskan isi tersirat.

• Mulakan isi tersirat dengan menuliskan kembali soalan untuk isi tersirat. contohnya usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan. Contoh: usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan ialah (isi 1) dan (isi 2). Kalau belum cukup 25 patah kata, boleh tambah isi. Selain itu, (isi 3).

• Kesimpulan hendaklah satu ayat sahaja yang terdiri daripada 2 unsur. Unsur pertama ialah cadangan anda iaitu apa/siapa yang patut melakukan sesuatu. Unsur kedua ialah mengapa cadangan itu patut dilaksanakan/kesan daripada cadangan itu. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan keracunan makanan (unsur pertama) agar keselamatan awam terjamin. (unsur kedua).

• Kira balik jumlah perkataan dan kalau sudah berpuas hati, tuliskan jumlah perkataan yang benar di bawah rumusan anda.

• Ingat, di samping itu dikira 2 perkataan. (di dan ke tidak dikira) Nama khas, walau panjang mana sekalipun dikira 1 perkataan dan kata ganda juga 1 perkataan.

Sumber: Modul Cemerlang SPM SMKGH