: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 4 Julai 2009

Taubat nasuha bersihkan dosa, solat ditinggal wajib qada


Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
SAYA seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Sebelum menduduki SPM, saya nak selesaikan beberapa perkara kerana bimbang perbuatan saya boleh mempengaruhi keputusan saya kelak. Saya sudah lama tidak menunaikan solat wajib sejak berumur 9 tahun lagi dan sering berbohong kepada ibu bapa jika mereka bertanyakan saya sudah solat atau belum. Saya ingin kembali ke pangkal jalan tapi apakah saya perlu qada' solat wajib yang sudah lama saya tinggalkan selama ini? Masalah kedua ialah; sebelum ini saya banyak mencuri barang di kedai runcit. Apa yang harus saya lakukan bagi menebus kesilapan saya? Perlukah saya membayarnya secara senyap-senyap seperti cara saya mengambil barang mereka.

Mahu bertaubat,
TAHNIAH atas kesedaran yang timbul dalam diri. Rasulullah memberitahu kita bahawa seseorang yang bertaubat daripada dosanya seolah-olah seorang yang tidak ada dosa sama sekali (Riwayat Ibn Majah no 4391 )
Allah berfirman dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Cuma Islam meletakkan syarat yang tertentu bagi seseorang yang telah melakukan dosa bagi membaiki dirinya. Sekiranya dia benar dalam niatnya, maka di situlah ditetapkan syarat bagi memastikan ketulenan pengakuannya. al-Imam al-Ghazali pula membandingkan pelaku dosa itu diumpamakan oleh seperti orang yang sakit. Maka sudah tentulah dia perlu menjalani rawatan yang tertentu untuk menjaga dirinya agar tidak ditimpa penyakit itu lagi.

Rawatan komprehensif ini dikenali sebagai taubat nasuha yang bermula dengan penyesalan terhadap dosa, meninggalkan dosa itu dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Jika ia berkaitan dengan hak manusia maka dia hendaklah mengembalikan hak orang itu semula. Sebagai contohnya dalam kes saudari, pernah berlaku pencurian hak milik orang lain, maka saudari hendaklah mengembalikan harta miliknya sedapat mungkin.
Bagaimanapun kalangan ulama Islam, contohnya al-Samarqandi dalam tafsirnya terhadap ayat di atas menjelaskan, jika pengembalian hak kepada pemilik asal akan mengakibatkan suatu mudarat yang baru, maka dia hendaklah mendiamkan dirinya tanpa memberitahu pemilik asal. Apa yang perlu dia lakukan adalah dia hendaklah melakukan kebaikan-kebaikan seperti sedekah lalu niatkan pahalanya untuk pemilik asal. Saudari juga hendaklah memperbanyakkan solat sunat, zikrullah dan hendaklah saudari mendoakan untuknya agar mendapat keampunan Allah, keberkatan rezeki dan sebagainya.

Jadi dalam konteks pengalaman saudari saya menasihati agar saudari bertaubat kepada Allah SWT dan jangan beritahu kepada ayah ibu dosa yang lalu. Manakala dalam kes kecurian itu saya mencadangkan agar saudari mengembalikan haknya secara senyap-senyap. Tetapi jika akan membawa saudari kepada komplikasi yang tidak disangka, memadailah saudari mengikuti cadangan al-Samarqandi di atas.

Berbuat baik menerusi pelbagai jenisnya disifatkan Allah dalam ayat ke 114 surah Hud: "Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Berkaitan dengan pengabaian solat pula, saya menasihatkan saudari agar menghitung jumlah solat yang ditinggalkan. Kemudian cubalah qada sedikit demi sedikit. Contohnya saudari hendaklah sekali lagi solat selepas Zuhur. Solat Zuhur yang dikerjakan dengan niat ia adalah untuk solat Zuhur yang pernah ditinggalkan. Cubalah saudari lakukan dengan penambahan sedikit demi sedikit dan jika berpeluang bolehlah dikerjakan lebih dari itu.
Saudari harus ingat Nabi pernah bersabda yang bermaksud: Dan hutang terhadap Allah lebih perlu diutamakan berbanding dengan hutang manusia. (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mukjam al-Kabir no 12195, al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra no 8012 )

Sumber: Berita Harian

INSAN PEMAAF BEBAS SIFAT BURUK SANGKA, DENDAM


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
Kejahatan dibalas kebaikan mampu redakan api kemarahan, keharmonian dapat disemai

SIFAT pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran, ayat 134)
Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.

Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam.

Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggapnya sebagai satu rencah kehidupan.
Perlu difahami, walaupun setiap insan Muslim digalakkan menyuburkan diri dengan sifat pemaaf, namun diingatkan bahawa Allah juga menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri serta membalas kezaliman itu.

Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Sebaliknya, dituntut untuk menyemai sifat maaf dan bertolak ansur. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah as-Syuara', ayat 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah SAW.
Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya.

Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.

Saidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah.

Lalu, turunlah wahyu yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi." (Surah An-Nur, ayat 22)

Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.

Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama.

Sebaliknya jika kejahatan itu di balas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

Aisyah pernah menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Anas menceritakan: "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu." (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Ulama menyifatkan pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang sudah ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan. Pertama, memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa.

Kedua, dihukum setimpal dengan kesalahannya. Hukumannya yang lebih berat mungkin boleh diambil termasuk qisas.

Hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua umat Muslimin secara keseluruhannya.

Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membuatkan pelaku merasa malu, seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini.

Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jumaat, 3 Julai 2009

TIP DAN PANDUAN MENJAWAB SOALAN



BAHASA MELAYU KERTAS 1103/2 SPM

RUMUSAN

• Baca arahan dan garisi kata kunci/kehendak soalan.
-Fokus 1 dalam arahan soalan – pendahuluan dan isi tersurat
-Fokus 2 dalam arahan soalan – isi tersirat
• Cara menulis pendahuluan – mulakan dengan petikan menerangkan/membincangkan – idea keseluruhan daripada petikan (fokus 1 dalam arahan soalan: punca/kesan (positif atau negatif)/ langkah/ peranan/ ciri/ kekangan,
• Pelajar mengenal pasti isi tersurat berdasarkan fokus pertama arahan soalan
• Cara menulis isi tersurat:- kenal pasti isi penting (garisi) mengikut kehendak soalan (punca/ kesan/ langkah/ peranan, dsb.).
• Pelajar mesti menambah/ menggugurkan/ menggantikan perkataan atau rangkai kata tertentu dalam ayat supaya tidak dianggap menyalin ayat secara bulat-bulat.
• Pastikan pelajar mengenal pasti isi tersirat berdasarkan fokus kedua arahan soalan
• Isi tersirat tiada dalam petikan. Pelajar perlu mengenal pasti sendiri berasaskan pengetahuan sedia ada/ KBKK)
• Cara menulis kesimpulan: Kesimpulannya, (isu) mesti (cadangan)
supaya (harapan)
-Pelajar mesti mengira jumlah perkataan dan jangan melebihi 120 patah perkataan.Jumlah perkataan mesti ditulis di bawah jawapan pada sudut sebelah kanan.
-Jawapan mesti ditulis dalam empat perenggan.

PEMAHAMAN
2(a) Petikan Umum
(Soalan petikan umum berdasarkan petikan Rumusan)
-Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
-Pelajar mesti pelbagaikan kategori jawapan bagi soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK)
-Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
-Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan (…supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
-Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja dan ayat perlu lengkap.

2(b) Petikan Cerpen/Drama
-Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
-Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK).
-Pelajar mesti memberi contoh yang tepat berdasarkan petikan/ teks (Komsas).
-Semua cerpen dan drama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
-Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
-Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa
-Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema : perlu ada huraian/ contoh
-persoalan: perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan: perlu ada contoh
-latar : perlu ada contoh
-nilai : perlu ada contoh
-pengajaran : perlu ada huraian/contoh
-Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
-Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.

2(c) Petikan Prosa Klasik
-Terdapat 3 pecahan soalan iaitu 2 soalan pemahaman teks dan satu soalan KBKK
-Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
-Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan pelbagaikan kategori jawapan.
-Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
-Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
-Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
-Semua cerita klasik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
-Pelajar harus menjawab menggunakan ayat bahasa Melayu baku.

2(d) Petikan Puisi
-Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks.
-Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan pelbagaikan kategori jawapan
-Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan pemahaman Komponen Sastera (Komsas).
-Semua puisi tradisional dan puisi moden Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
-Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan
-Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
-Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema: perlu ada huraian/contoh
-persoalan: perlu ada huraian/contoh
-perwatakan: perlu ada contoh
-latar : perlu ada contoh
-nilai : perlu ada contoh
-pengajaran: perlu ada huraian/contoh
-Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
-Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.

SOALAN 3:
PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA

3 (a)Membina ayat
-Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan digunakan sebagai rujukan utama.
-P & P peringkat awal didahului dengan membincangkan maksud perkataan yang diuji.
-Tidak perlu membina ayat yang meleret atau terlalu panjang (memadai 7 – 12 perkataan sahaja).
-Melatih pelajar membina 2 ayat bagi perkataan berpasangan.
-Perbanyak latihan menggunakan perkataan yang agak sukar dan agak mengelirukan.
-Pembetulan segera (lisan / perbincangan di dalam kelas) terutama berkaitan dengan kesalahan ejaan dan struktur ayat supaya tidak berulang.
-Pendedahan perkataan-perkataan melalui pengajaran, pertandingan silang kata, carta perbendaharaan kata, dan sebagainya.
-Rencamkan latihan membina ayat di dalam kelas.
-Kenal pasti jenis penggolongan kata bagi kata dasar.
-Kenal pasti cara membina ayat dengan menggunakan kata kerja pasif (menggunakan ganti nama diri pertama atau kedua).
-Kenal pasti cara membina ayat dalam bentuk cakap ajuk/ ayat perintah (suruhan: Tolong…, Sila...,/ larangan: Jangan…)
Soalan bahagian ini merangkumi ;
- Kata dasar dan kata terbitan
- Kata banyak makna
- Kata yang hampir sama makna
- Kata nama
- Kata kerja
- Kata adjektif
- Kata ganda
- Kata tugas
- Kata terbitan/pasangan kata terbitan
- Pasangan kata homograf
- Pasangan kata dasar dan kata ganda seluruh
- Pasangan kata ganda dan kata majmuk
- Pasangan kata dasar dan kata ganda berimbuhan
- Pasangan kata ganda seluruh dan kata terbitan
- Pasangan kata dasar dan kata majmuk
- Pasangan kata homofon
- Kata pinjaman bahasa Melayu
- Kata tunggal
- Kata terbitan
- Kata majmuk

3 (b)Menggabung ayat
-Melatih pelajar menggabungkan ayat-ayat mengikut jumlah dalam arahan soalan.
-Melatih pelajar mengenal pasti kelompok idea dalam petikan.
-Mendedahkan kaedah penulisan dan contoh penggunaan kata hubung yang sesuai, penanda wacana dan tanda bacaan untuk menggabungkan ayat-ayat.
-Menggunakan sistem nombor (i., ii., iii., dsb.)
-Jangan tinggalkan isi penting.

Cakap ajuk cakap pindah
-Membimbing pelajar menggunakan pelbagai penyataan perasaan dan ragam ayat ketika menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah (contohnya; menerangkan, menjelaskan, ingin tahu).
-Guru mesti menekankan penggunaan ganti nama diri ketiga saja dalam cakap pindah
-Struktur frasa kerja pasif diri ketiga perlu difahami oleh pelajar.
-Melatih pelajar menukarkan perbualan kepada laporan.
-Menjelaskan kepada pelajar perbezaan antara cakap pindah dengan laporan.
-Memastikan pelajar menggunakan teknik dialog/ temu bual ketika menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk.
-Guru mesti menekankan penggunaan ganti nama diri pertama dan kedua sahaja dalam cakap ajuk.
-Struktur frasa kerja pasif diri pertama dan kedua perlu difahami oleh pelajar.
-Kenal pasti jumlah isi dalam petikan
-Pastikan isi ditulis mengikut urutan.
-Ayat yang ditulis mesti gramatis.

Ayat susunan biasa/ ayat songsang
• Ayat susunan biasa ialah ayat yang subjeknya didahulukan daripada predikat
• Ayat songsang ialah ayat yang predikat atau sebahagian daripada unsur predikat dikedepankan.

Ayat aktif / ayat pasif
• Ayat aktif ialah ayat yang meletakkan subjek atau pelakunya pada awal ayat.
• Penanda bagi ayat aktif ialah kata kerja yang menerima imbuhan meN...., meN....i,dan meN....kan.
• Ayat pasif ialah ayat yang objek hadir pada permulaan ayat.
• Penanda bagi ayat pasif ialah kata kerja yang menerima imbuhan di...., di...i, di...kan,ter....,ber..., dan ke...an.
• Bagi ayat pasif, Kata Ganti Nama Diri I dan II hadir di hadapan kata kerja.

3 (c) dan 3 (d) Mengesan kesalahan dalam ayat
- kesalahan ejaan dan imbuhan
- kesalahan kata, istilah, dan kesalahan tatabahasa

-Mendedahkan pelbagai kesalahan tatabahasa yang biasa dilakukan oleh pelajar dan masyarakat dalam perbualan sehari-hari.
-Pelajar mesti jelas dan faham tentang punca kesalahan ejaan atau struktur ayat yang berkenaan.
-Jika tidak, umumnya kesalahan yang sama akan berulang.
-Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan kesalahan.
-Guru dan pelajar menggunakan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan asas berhubung dengan hukum tatabahasa.
-Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan kesalahan dalam ayat.
-Pelajar mesti mempunyai nota tentang kesalahan biasa dalam tatabahasa, bahasa istana yang umum dan gelaran kebesaran / panggilan tokoh dalam masyarakat.

Memberi imbuhan
-Mengenal pasti penggolongan kata dasar.
-Mengetahui konsep awalan, akhiran dan apitan dan makna perkataan yang diimbuhkan.
-Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan .
-Mengenal pasti bilangan kata dasar yang terlibat dalam ayat.

Mengenal pasti perkataan tertinggal dalam ayat.
-Mengenal pasti golongan perkataan.
-Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan perkataan yang perlu ditambah dalam ayat.

Menulis semula ujaran yang tidak gramatis
-Kata singkatan seperti nak, ni, mau dan sebagainya mesti ditulis dalam bentuk bahasa Melayu yang lengkap.
-Kata asing seperti lu, best dan sebagainya perlu ditukar dengan perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu baku.
-Pastikan ayat yang digunakan sesuai sama ada ayat penyata biasa, ayat songsang, ayat pasif, ayat gabungan dan sebagainya mengikut struktur ujaran yang asal.

3 (e)Peribahasa
-Pelajar perlu menguasai maksud peribahasa.
-(termasuk simpulan bahasa, perbidalan, perumpamaan, pepatah,bidalan,perbilangan dan kata hikmat.)
-Pelajar perlu dilatih mengaplikasi penggunaan peribahasa dalam ayat yang gramatis.
-Pelajar perlu didedahkan peribahasa yang ada dalam buku teks.
-Pelajar perlu mempunyai nota/ latihan/ rujukan yang khusus untuk peribahasa.
-Bentuk soalan yang dikemukakan lazimnya mementingkan penggunaan/aplikasi peribahasa iaitu:
- membina ayat berdasarkan peribahasa
- menyatakan maksud peribahasa
- Menyatakan peribahasa berdasarkan maksud
- Menyatakan peribahasa berdasarkan ayat
- Menyatakan peribahasa berdasarkan petikan ( situasi )
- Menyatakan peribahasa berdasarkan petikan perbualan
- Menyatakan peribahasa yang sama maksud
- Melengkapkan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

4)NOVEL
-Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan pemahaman Komponen Sastera (Komsas).
-Novel Terminal Tiga (tingkatan empat) dan Seteguh Karang (tingkatan lima) perlu dibaca dan diulang kaji.
-Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
-Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema: perlu ada huraian/ contoh
-persoalan: perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan: perlu ada contoh
-latar: perlu ada contoh
-nilai :perlu ada contoh
-pengajaran : perlu ada huraian/ contoh

-Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat. Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.
-Pelajar mesti memberi jawapan secara perbandingan dalam soalan perbandingan antara novel. (menggunakan perkataan/ rangkai kata yang menunjukkan perbandingan - Contoh : tetapi, juga, walau bagaimanapun, manakala, sebaliknya)

-Sumber: JUJ 2008


Seindah ABC
A : Adil pada dirimu
B : Beranikan dirimu
C : Cekalkan hatimu
D : Derma selalu
E : Elakkan pertelingkahan sesama kita
F : Fikir sebelum bertindak terburu- buru.
G : Gembira selalu
H : hormat orang tua
I : Ingat akan tuhan
J : Jangan berdusta
K : Kasih akan daku
L : Lemah lembut amalan semua
M : Makan makanan seimbang
N : Nafsu jangan dituruti
O : Oh ! pamerkan kesempurnaan dirimu
P : Pentingkan kesihatanmu
Q : Qualiti dalam kerjaya dan tugasmu
R : Rajin berusaha
T : Tanamkan sifat bekerjasama
U : Utamakan alam sekitar
V : Variasikan pengalamanmu
W : Wajibkan amalan membaca
X : X-ray diri sendiri
Y : Yakin pada diri sendiri
Z : Zalim jangan sekali

Sumber: Dayakarya

SELOKA PAK KADUK


Maksud Seloka
Pak Kaduk bernasib malang kerana:
- kampungnya tergadai walaupun ayamnya menang sabung dengan ayam raja
(kerana tidak sedar akan kebodohannya menukarkan ayamnya dengan ayam raja)
-pulang dalam keadaan kebuluran (kerana nasi yang dibawa dibuang)
- tidak dapat belayar dengan betul dan sempurna/hajat ingin belayar tidak kesampaian
(sewaktu ingin belayar ke hulu sungai, keadaan air sedang surut)
(sewaktu ingin belayar ke hilir, keadaan air sedang pasang)
(ingin belayar, angin tidak bertiup)
(apabila sauh dilabuhkan, angin bertiup)
-hampir mati tidak makan
(kerana tidak pandai memasak akibat kebodohannya membunuh isteri )
-menumpang di rumah orang lain,walaupun mempunyai rumah
(terpaksa mengharapkan belas kasihan orang ramai)

Tema
Kebodohan
-ketidamampuan berfikir dengan rasional
-bertindak melakukan sesuatu tanpa berfikir
-kebodohan boleh mengakibatkan nasib malang

Persoalan
-Ketidakmampuan memanfaatkan akal fikiran
-Pembaziran akan mendatangkan masalah
-Sikap terburu akan membawa padah
-Ketidakarifan terhadap kejadian alam
-Kesan melakukan kerja yang sia-sia
-Kezaliman terhadap golongan yang lemah

Nilai
-Kebijaksanaan
-Kerasionalan
-Berhati-hati
-Berjimat-cermat
-Kasih sayang
-Kejujuran
-Keadilan

Pengajaran
-Kita perlu menggunakan akal fikiran/ berfikir secara rasional sebelum bertindak
-Kita perlu mengelakkan diri daripada bersikap zalim
-Kita hendaklah menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan
-Kita hendaklah bersederhana/ berjimat cermat dengan rezeki kurniaan Allah
-Kita hendaklah menyayangi insan yang lain
-Kita hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah Allah

KERANA MANISNYA EPAL


(Faisal Tehrani)

Sinopsis
Mazlina dan Yvonne merupaakan anak-anak angkat Buchanan sangat rajin membantunya memetik buah epal sedangkan anak-anak kandungnya sendiri tidak mempedulikan kebun epal tersebut. Buchanan sangat sayang akan kebun epal yang diwarisinya itu dan berjuang untuk menyelamatkan kebun epalnya daripada diambil oleh pemerintah. Usaha Buchanan berjaya apabila Gabenor membatalkan rancangan untuk membina lapangan terbang di atas tanah kebun epal itu kerana rasa pelbagai jenis epala di kebun itu yang manis dan bermutu tinggi.

Tema
Kecekalan dan kesabaran dalam mempertahankan hak - Buchanan sedaya upaya menghalang British Columbia mengambil ladang epal yang merupakan harta pusaka dan kesayangan mendiang isterinya.

Persoalan
Perpaduan atau integrasi sejagat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya
Menghargai dan menyayangi warisan yang ada untuk dinikmati oleh generasi akan datang
Kerajinan akan menghasilkan kejayaan yang bukan sedikit

Watak dan Perwatakan
Buchanan
Pengusaha ladang epal di Tsolum River Fruit Trees
Berusia 81 tahun tetapi masih gagah bekerja
Mempunyai 5 orang anak dan beberapa orang cucu
Mazlina dan Yvonne anak angkatnya
Rajin bekerja
Isterinya meninggal dunia

Mazlina
Anak angkat Buchanan
Gadis Melayu
Menuntut di Universiti Richmond
Bertanggungjawab
Pencinta alam sekitar
Bersimpati

Yvonne
Anak angkat Buchanan
Berasal dari Moscow
Gemar bersolek
Bersimpati
Berani

Latar
Latar Tempat
British Columbia – Tsolum River Fruit Trees
Kebun epal Buchanan
Latar Masa
Masa kini – musim panas
Waktu pagi – tentera dan jentera datang untuk mengambil tanah pusaka Buchanan
Latar Masyarakat
Masyarakat pekebun – Buchanan mengusahakan kebun epal
Masyarakat pelbagai bangsa – Melayu dan Inggeris (Mazlina/Buchanan)
Masyarakat yang mengamalkan sikap bekerjasama – Mazlina dan Yvonne menolong Buchanan

Nilai
Keberanian – Yvonne dan Mazlina telah menghalang pasukan dari Pejabat Gabenor daripada menebang pokok-pokok epal
Kegigihan – Buchanan yang gigih berjuang mempertahankan ladang walaupun anak-anaknya tidak memberikan kerjasama
Hormat-menghormati – Buchanan,Mazlina dan Yvonne saling menghormati budaya dan cara hidup masing-masing
Kerjasama – Mazlina,Yvonne,Buchanan saling bekerjasama menghadapi masalah

Pengajaran
Kita perlu mencintai dan berusaha mengekalkan sesuatu yang dianggap warisan atau harta pusaka
Setiap orang mestilah berusaha menjalinkan persahabatan yang baik dengan semua pihak tanpa mengira batasan agama,bangsa dan budaya
Sebagai anak, kita hendaklah menyayangi ibu bapa kita dan bersedia membantu mereka.

SEBUTIR PASIR DI KAKI


Analisis Cerpen Sebutir Pasir Di Kaki
(Norhisham Mustafa)

Sinopsis
Fuad yang baru balik dari Singapura terkejut kerana geran keluarganya telah diambil oleh Datuk Sukar. Fuad merasakan tindakan Datuk Sukar itu suatu penipuan kerana memperdayakan ibunya yang buta huruf. Selepas solat Maghrib, Fuad bergegas ke rumah Datuk Sukar. Tiba di dana Fuad disambut baik oleh Datin Sipah dan kekasihnya Junainah. Jam sepuluh malam Datuk Sukar sampai di rumah. Datin Sipah terus meminta suaminya memberikan penjelaskan tentang geran tanah pusaka milik keluarga Fuad. Datuk Sukar enggan memberikan geran tanah itu dengan alasan untuk membangunkan tanah pusaka tersebut. Fuad pula tidak berganjak daripada pendiriannya tidak mahu menerima tawaran Datuk Sukar yang sebanyak 280 ribu bagi tanah yang cuma 0.8 hektar itu. Akhirnya, terjadi konflik antara Datuk Sukar dengan Fuad. Datuk Sukar memberhentikan Fuad daripada bekerja dengannya dan melarang Fuad menjalinkan hubungan dengan Junainah. Fuad tidak peduli dengan ugutan tersebut lalu berjalan pulang sambil mengenggam geran tanah pusaka milik keluarganya. Sejurus kemudian, Datuk Sukar jatuh pengsan.

Tema
Perjuangan mempertahankan hak dan maruah

Persoalan
- Sikap mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain
- Hubungan cinta antara dua darjat
- Keberanian menegakkan kebenaran

Watak dan Perwatakan
1)Fuad
-27 tahun
-Berkulit hitam manis
-Tegas/Keras hati
-Berani
-Bertanggungjawab
-Lekas marah/panas baran
2)Datuk Sukar
-50 tahun
-Bertubuh gempal
-Ayah kepada Junainah dan suami kepada Datin Sipah
-Orang kaya yang berpengaruh
-Pandai menggunakan tipu muslihat

Latar
1)Latar Tempat
-Rumah Fuad
-Rumah Datuk Sukar

2)Latar Masa
-Waktu Maghrib – Fuad bersolat Maghrib
-Kira-kira jam 11.00 malam ketika Fuad bertemu Datuk Sukar

3)Latar Masyarakat
-Golongan miskin/buta huruf yang dianiayai oleh golongan kaya
-Masyarakat yang mementingkan maruah dan tanah pusaka
-Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta kekayaan

Nilai
-Keberanian – Fuad berani dan tegas dalam tindakannya
-Bertanggungjawab – Fuad bertanggungjawab terhadap harta pusaka milik keluarganya
-Jujur dan rendah diri – sikap Datin Sipah dan Junainah ketika melayan kedatangan Fuad

Pengajaran
-Kita hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap keluarga
-Kita harus berani mempertahankan hak kita
-Kita mestilah ikhlas dalam menjalinan persahabatan

Sumber: Antalogi Kerusi.

Khamis, 2 Julai 2009

Buang yang keruh, ambil yang jernih



Sejak beberapa hari yang lalu, saya sebagai seorang guru telah menyaksikan dua orang pelajar kesayangan saya sudah tidak bertegur sapa sesama mereka. Saya tidak mengetahui apa-apa yang berlaku antara mereka berdua. Kata orang tua-tua, "pokok takkan bergoyang kalau tiada angin". Walau bagaimanapun, saya yang agak terkejut dengan keadaan ini bermonolog dalaman dan bertanya kepada beberapa orang pelajar lain untuk "merisik" maklumat. Namun begitu, saya masih belum mengetahui perkara yang sebenar.
Saya berharap mereka berdua akan berbaik-baik semula dengan mengamalkan prinsip buang yang keruh, ambil yang jernih. Setiap persahabatan yang terjalin memang murni dan indah. Memori persahabatan ini seharusnya kita kekalkan untuk mengumpul memori-memori indah dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan berasa kesal dan menyesal apabila suatu hari nanti jika tidak berpeluang bebuat begitu lagi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, kawan-kawan yang rapat dengan mereka berdua ini bolehlah meng-e-melkan punca sebenar atau berkongsi idea dengan saya cara-cara untuk menjernihkan keadaan yang saya lihat agak keruh kerana mereka langsung tidak bertegur sapa walaupun berjumpa antara satu dengan yang lain di hadapan saya.
Tuntasnya, kawan ialah lawan jika menyalahgunakan erti penghayatannya.

RAHSIA JADI AYAH BERKESAN


BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
-Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
-Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
-Anak yang tidak berbapa:
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
-Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
-Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan :

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:

i) Bapa yang komited dan bertanggungjawab
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang

ii) Kenali anak anda
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka.

iii) Istiqamah (tetap pendirian)
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

iv) Melindungi, menyara dan mendoakan
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

v) Mencintai ibu mereka
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

vi) Menjadi pendengar yang baik
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

vii) Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

Pantun Mengenang Nasib


Maksud Setiap Rangkap
•Masalah yang besar dapat diselesaikan berbeza dengan masalah hati dan perasaan; atau masalah luaran lebih mudah diselesaikan jika dibandingkan dengan kekecewaan atau sakit hati yang dialami.
•Kesenangan atau kebahagian yang diharapkan berkekalan sepanjang masa berakhir dengan kesusahan.
•Kecederaan di luar seperti luka di tangan memang dapat dilihat oleh orang lain tetapi kekecewaan atau kesedihan di dalam hati tidak diketahui sesiapa.
•Kita tidak boleh mengharapkan nasib yang baik saja sepanjang masa kerana nasib baik atau nasib buruk sudah menjadi adat dalam kehidupan dan terpaksa dihadapi oleh setiap orang.

Tema Dan Persoalan
•Perasaan sedih atau perasaan kecewa yang sukar diubati.
•Nasib baik tidak selalu menimpa kita kerana ia merupakan takdir tuhan.
•Perasaan kesedihan dan kekecewaan dapat menyembunyi daripada orang lain keran ia terpendam dalam hati seseorang dan sukar dilihat melalui luaran.

Bentuk
•Terdiri daripada 4 rangkap
•Bilangan baris adalah sama iaitu 4 baris serangkap
•Rima akhir ialah a,b,a,b
•Bilangan kata pada setiap baris hampir sama iaitu 4 hinggan 5 patah perkataan sebaris.
•Bilangan suku kata pada setiap baris juga hampir sama, iaitu 9 hingga 10 suku kata.

Gaya Bahasa/Unsur Keindahan
•Bahasa Kiasan
•Anafora
•Asonansi
•Aliterasi
•Puitis

Nilai/Pengajaran
•Kesabaran dan Ketabahan
•Percaya pada qadak dan qadar
•Menjaga hati dan perasaan seseorang
•Menerima takdir tuhan
•Menyembunyikan kesusuhan atau perasaan susah hati

Pantun Kiasan


Maksud Setiap Rangkap
•Sesuatu benda yang telah rosak atau buruk tidak harus dibuang begitu saja kerana kemungkinan benda itu masih bleh digunakan untuk keperluan lain.
•Orang dagang bersikap amat merendah diri sehingga mengakui kehadirannya tidak berguna atau tidak memberi faedah.
•Seseorang lelaki ingin mendapatkan seseorang gadis sebagai kekasih atau isteri tetapi gadis idamannya itu sukar diperoleh kerana terlalu banyak halangan atau darjatnya terlalu tinggi.
•Seseorang tidak harus beranggapan bahawa sesuatu yang belum pasti itu akan berjaya dimiliki kerana kemungkinan akan berlaku sesuatu peristiwa yang menyebabkan harapannya tidak kesampaian.
•Seseorang yang memiliki kekuatan atau kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang besar tentu saja tidak menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang kecil.

Persoalan
•Barang-barang yang sudah lama atau yang sudah rosak sebenarnya masih boleh digunakan untuk sesuatu tujuan lain.
•Orang dagang sentiasa bersikap merendah diri di perantauan supaya tidak dianggap berlagak pandai atau angkuh.
•Sesuatu yang berharga atau cita-cita yang tinggi memang sukar dicapai kerana banyak halangan.
•Sikap suka menganggap sesuatu yang belum pasti itu sudah menjadi hak milik kita boleh mendatangkan kekecewaan.
•Setiap orang mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, baik masalah yang kecil mahpun masalah yang besar.

Nilai dan Pengajaran
•berjimat cermat
•merendah diri
•berani
•yakin diri



PERSOALAN TENTANG KEPIMPINAN YANG BAIK.

Novel: Perlumbaan Kedua
Persoalan : Kepimpinan yang bijaksana dalam mengatur strategi.
Huraian :Tuk Kura menunjukkan kebijaksaan mengatur strategi latihan dalam kalangan anak buahnya.
Persoalan : Kepimpinan yang tegas dalam membuat keputusan.
Huraian : Sebagai pemimpin, Sang Gajah dengan tegasnya menolak bantahan Sang Arnab yang mempertikaikan kemenangan Tuk Kura dalam perlumbaan kedua.

Persoalan : Kepimpinan yang berwibawa dalam mempengaruhi orang bawahan
Huraian : Semua anak buah Tuk Kura akur dengan arahan Tuk Kura dalam memastikan
persediaan dibuat untuk menghadapi perlumbaan kedua.

Persoalan : Kepimpinan yang adil
Huraian : Sang Gajah adil dalam mentadbirkan pertandingan tanpa memihak kepada mana-mana pihak

Julia
Persoalan : Kepimpinan yang menunjukkan teladan
Huraian : Dato’ Bakar menunjukkan kepimpinan terhadap keluarganya apabila mengimami solat Subuh dan diikuti kuliah ringkas. Persoalan : Kepimpinan yang tegas dalam memimpin sesebuah organisasi
Huraian : Julia menunjukkan kepimpinan yang tegas dalam mengendalikan kes kakitangan yang berniat buruk. Dalam kes Encik Baharom, Julia sebagai pemimpin BMPRO telah mengumpul maklumat tentang BMPRO Transport dan menyiasat sendiri kebenaran dakwaan Encik Baharom.

Persoalan : Kepimpinan yang tabah dalam menguruskan organisasi
Huraian : Julia tabah menghadapi karenah yang ditimbulkan oleh Syed Mustaffa yang menuntut pemilikan Butik BMPRO.

(c) cikgumie

KEPENTINGAN BUDI BAHASA DALAM KEHIDUPAN



Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata :“Bangsa yang mulia dan terhormat bukan sahaja bangsa yang kaya intelek tetapi kayaDengan sikap berbudi bahasa”Salam perpaduan bertatahkan intan kemesraan saya ucapkan kepada Tuan PenerajuMajlis, barisan panel juri nan bijak bestari, penjaga masa yang setia dengan detikwaktunya, dan seterusnya kulasentana dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.Kulawarga dewan yang saya muliakan,Mauduk pidato yang akan saya sampaikan ialah “Kepentingan Budi Bahasa Dalam Kehidupan”. Budi bahasa didefinisikan kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia,dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi maupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segalatindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Budi bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional Negara ke arah wawasan 2020.Sejajar dengan itu, subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam telah diajar di sekoleh-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.Kulawangsa dewan penggerak wawasan,Lontaran idea pertama, nilai budi bahasa penting dalam kehidupan untuk melahirkaninsan yang berakhlak mulia.Penerapan nilai budi bahasa yang kukuh akan melahirkan ummah yang berakhlak mulia. Iman al-Ghazali mengatakan “apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini,bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai nilai-budi bahasa sejak di bangku sekolah nescaya mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Ingatlah bahawa falsafah hidup yang bertunjangkan budi bahasa pada diri akan mencerminkan susana kehidupan yang harmoni di Malaysia.Kulasentana dewan, kluster ilmuan,Lontaran idea kedua, nilai-nilai budi bahsa penting dalam kehidupan untuk membentuk masyarakat yang taat dan takwa kepada pencipta serta bepegang teguh kepada ajaran agama. Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan syumul yang sentiasa patuh kepada Tuhan dan setia kepada negara. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai berbudi bahasa yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing ke dalam jiwa anak-anak.Insan yang beragama akan menjadi insan yang bertanggungjawab, beriman, dan tahu bersyukur. Tambahan pula, nilai budi bahasa yang berpaksikan agama penting untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu agar kita tidak diibaratkan umpama kambing kecil, meretak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi.Inti hanya, nilai budi bahasa amat penting dalam kehidupan kita yang kian sarat diasak oleh pelbagai permasalahan sosial pada hari ini. Profesor DiRaja, Ungku Aziz berkata,“Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”.

Sumber: Minda bahasa.


KEMELUT SISTEM PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.

sumber:Azman Duniaku

Rabu, 1 Julai 2009

KOLEKSI SOALAN KARANGAN RESPONS TERBUKA


2004 (N):
Masyarakat Malaysia masih kurang memberikan pengiktirafan kepada golongan yang terlibat dalam bidang sastera berbanding dengan masyarakat negara maju.
Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan golongan ini.
2005 (J):
Sastera tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan cerita rakyat semakin kurang diminati.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan sastera tradisional ini.
2005 (N):
”Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” bermaksud perpaduan dapat diwujudkan melalui kerjasama anggota masyarakat.
Berdasarkan maksud peribahasa tersebut, tulis cerpen yang menggambarkan kerjasama dalam kehidupan masyarakat majmuk.
2006 (J):
Remaja kini kurang berminat untuk membaca karya yang bertemakan semangat patriotik.
Berikan saranan anda bagaimana untuk menggalakkan remaja supaya membaca karya-karya yang bertemakan semangat patriotik.
2006 (N):
Penghayatan nilai-nilai murni dalam karya sastera dapat membentuk peribadi yang baik dalam kalangan pembaca.Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.
2007 (J):
Pembacaan karya-karya sastera dapat meningkatkan penguasaan bahasa, kemahiran menghasilkan karya kreatif dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri murid.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
2007 (N):
Tulis sebuah cerpen atau skrip drama yang berakhir dengan dialog di bawah.
Adam : Aku menyesal; segala-gala yang aku lakukan selama ini
memang salah !
Haris : Syukurlah, engkau telah sedar! Masih belum terlambat
untuk engkau kembali ke pangkal jalan
2008 (J):
Peribahasa ’ Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam’ membawa maksud bahawa orang yang kurang pandai kalau rajin belajar akan berjaya juga akhirnya.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa di atas.
2008 (N):
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.
Pantun di atas menjelaskan bahawa budi bahasa penting dalam kehidupan manusia. Bincangkan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.

DIMENSI SERANTAU/ GLOBAL/ ANTARABANGSA

2004 (N):
Dunia hari ini penuh dengan persaingan. Untuk mendapatkan pekerjaan, kelulusan akademik semata-mata tidak cukup. Banyak faktor lain yang perlu dikuasai untuk membolehkan seseorang itu berjaya dalam kerjaya yang akan diceburi sesuai dengan perkembangan dunia tanpa sempadan.
Tulis sebuah rencana tentang persediaan yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar untuk menghadapi persaingan kerja pada masa akan datang.
2005 (J):
Hubungan baik antara Malaysia dengan negara-negara jiran wajar dipelihara.
Bincangkan.
2005 (N):
Pada masa ini, persengketaan dan peperangan masih berlaku di beberapa tempat. Hal ini telah menjejaskan keharmonian sosial dan perkembangan ekonomi dunia.
Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.
2006 (J):
Malaysia mementingkan kesejahteraan dan keamanan dunia sejagat. Oleh sebab itu, kita tidak menyokong sebarang bentuk keganasan dan peperangan sebagai jalan penyelesaian sesuatu masalah.
Huraikan peranan yang wajar dimainkan oleh negara kita untuk terus mengekalkan kesejahteraan dan keamanan dunia.
2006 (N):
Masalah jerebu yang berlaku dirantau ini dapat ditangani secara berkesan melalui kerjasama dengan negara-negara jiran.Bincangkan kerjasama yang dapat dilakukan oleh Malaysia dengan negara-negara jiran untuk menangani masalah tersebut.
2007 (J):
Anda mengambil bahagian dalam pertandingan bahas di peringkat daerah. Tajuk perbahasan itu ialah ’ Kemasukan Pekerja Asing Membawa Kebaikan Kepada Negara’.
Tulis hujah-hujah anda sebagai pencadang dalam pertandingan itu.
2007 (N):
Kemiskinan masih menjadi masalah utama di kebanyakan negara, walaupun terdapat banyak negara kaya di dunia.
Sarankan bentuk sumbangan yang dapat diberikan oleh negara-negara kaya untuk membantu negara-negara miskin.
2008 (J):
Rakyat Malaysia yang berada di luar negara dapat memainkan peranan untuk mempromosikan negara kita dalam pelbagai aspek pada peringkat antarabangsa.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
2008 (N):
Penyertaan setiap negara dalam pertandingan sukan pada peringkat antarabangsa dapat mengeratkan hubungan masyarakat dunia.Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

DIMENSI MASYARAKAT/ KERAJAAN/ NEGARA

2004 (N):
Anda mempunyai tokoh sanjungan kerana pencapaian cemerlang tokoh tersebut dalam bidang yang diceburinya. Tokoh sanjungan ini menjadi pendorong untuk anda mencapai kejayaan dalam kehidupan.Nyatakan tokoh sanjungan anda itu dan jelaskan sebab-sebab kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada anda untuk mencapai kecemerlangan.
2005 (J):
Anda akan menyertai pertandingan syarahan sempena Kempen Budi bahasa dan Nilai-Nilai Murni. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ” Budi Bahasa Amalan Mulia”
Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.
2005 (N):
Pencapaian beberapa jenis sukan di negara kita perlu ditingkatkan. Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan juga persatuan sukan perlu mengatur strategi bagi mengembalikan kegemilangan mutu sukan negara.
Tulis rencana tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkenaan bagi meningkatkan mutu sukan negara.
2006 (J):
Masyarakat berperanan penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara kita. Jelaskan aktiviti-aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh masyarakat untuk menjayakan hasrat tersebut.
2006 (N):
Industri pertanian memberikan sumbangan yang semakin penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.Berikan saranan anda tentang peranan pelbagai pihak dalam memajukan industri pertanian di negara kita
2007 (J):
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjayakan kempen antimerokok yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Sebagai rakyat yang prihatin, anda ingin menulis sebuah rencana dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana itu ialah ’ Kesan Buruk Tabiat Merokok Terhadap Kesihatan ’.Tulis rencana itu selengkapnya.
2007 (N):
Kerajaan telah menubuhkan banyak institusi pendidikan berasaskan kemahiran seperti Kolej Komuniti, institut Latihan Perindustrian dan Pusat Giat Mara. Antara tujuannya termasuklah untuk melatih golongan belia supaya lebih bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan.Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
2008 (J):
Anda mewakili sekolah dalam pertandingan pidato peringkat negeri. Tajuk pidato ialah ’Dadah Membawa Padah’.Tulis teks pidato itu selengkapnya.
2008 (N):
Penyakit demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes merupakan ancaman yang membimbangkan negara.Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah-langkah bagi menanganinya.

DIMENSI KELUARGA

2004 (N):
Anda akan mewakili sekolah anda dalam satu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan tersebut ialah ” Keluarga Bahagia Penjana Masyarakat Harmoni ”.Tulis syarahan itu selengkapnya.
2005 (J):
Ada pihak yang berpendapat bahawa masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja berpunca daripada kegagalan institusi keluarga.Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.
2005 (N);
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
2006 (J):
Peranan ibu bapa, sokongan ahli keluarga dan usaha diri sendiri banyak mempengaruhi kejayaan seseorang pada masa depan.
Berikan komen anda tentang pernyataan di atas.
2006 (N):
Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Sempena sambutan Hari Keluarga, anda diminta untuk menyampaikan ceramah bertajuk ”Menghargai Jasa Ibu Bapa”
Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.
2007 (J):
Keluarga anda mengadakan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan hari perayaan. Ramai saudara, rakan dan jiran mengunjungi majlis tersebut.
Jelaskan kebaikan-kebaikan mengadakan majlis rumah terbuka.
2007 (N):
Pelaksanaan waktu bekerja lima hari seminggu banyak membawa kebaikan kepada keluarga dan negara.Jelaskan kebaikan-kebaikan pelaksanaan waktu bekerja lima hari seminggu
2008 (J):
Hubungan baik antara ahli keluarga dapat menjamin kebahagiaan sesebuah keluarga.
Bincangkan.
2008 (N):
Setiap orang ingin akan kawasan petempatan yang terancang untuk tinggal bersama-sama keluarga tersayang.Jelaskan ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman anda sekeluarga.

DIMENSI DIRI/ INDIVIDU/ REMAJA

2004 (N):
Golongan remaja merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman.Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut
2005 (J):
Pelbagai cabaran perlu anda hadapi sebelum sesuatu cita-cita itu dicapai.
Jelaskan cabaran-cabaran tersebut serta langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mengatasinya.
2005 (N):
Remaja memang suka mengikut trend semasa dari segi gaya hidup dan berpakaian. Trend ini akan mempengaruhi budaya hidup masyarakat Malaysia pada masa akan datang.
Ulas pernyataan di atas
2006 (J):
Anda mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah sempena Hari Kesihatan Sedunia. Tajuk syarahan anda ialah “Amalan Gaya Hidup Sihat”.
Sediakan teks syarahan anda selengkapnya
2006 (N):
Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) penting dalam kehidupan pada masa ini.Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menguasai kemahiran ICT
2007 (J):
Setiap individu perlu mengamalkan sifat berjimat-cermat.Huraikan cara-cara anda melaksanakan amalan ini.
2007 (N):
Anda mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk syarahan anda ialah ’Rukun Negara Membentuk Rakyat Berkualiti ’
Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.
2008 (J):
Kitar semula merupakan satu daripada kaedah pengurusan bahan terbuang.
Jelaskan kebaikan-kebaikan amalan kitar semula
2008 (N):
Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan tentang Majlis Anugerah Cemerlang yang diadakan di sekolah anda.
Sediakan laporan itu selengkapnya

ANALISIS SOALAN KARANGAN UMUM - TAJUK 5 (KOMSAS)


2004 (N):
Masyarakat Malaysia masih kurang memberikan pengiktirafan kepada golongan yang terlibat dalam bidang sastera berbanding dengan masyarakat negara maju.
Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan golongan ini.
2005 (J):
Sastera tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan cerita rakyat semakin kurang diminati.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan sastera tradisional ini.
2005 (N):
”Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” bermaksud perpaduan dapat diwujudkan melalui kerjasama anggota masyarakat.
Berdasarkan maksud peribahasa tersebut, tulis cerpen yang menggambarkan kerjasama dalam kehidupan masyarakat majmuk.
2006 (J):
Remaja kini kurang berminat untuk membaca karya yang bertemakan semangat patriotik. Berikan saranan anda bagaimana untuk menggalakkan remaja supaya membaca karya-karya yang bertemakan semangat patriotik.
2006 (N):
Penghayatan nilai-nilai murni dalam karya sastera dapat membentuk peribadi yang baik dalam kalangan pembaca.Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.
2007 (J):
Pembacaan karya-karya sastera dapat meningkatkan penguasaan bahasa, kemahiran menghasilkan karya kreatif dan penerapan nilai-nilai murni dalam diri murid.Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
2007 (N):
Tulis sebuah cerpen atau skrip drama yang berakhir dengan dialog di bawah.
Adam : Aku menyesal; segala-gala yang aku lakukan selama ini
memang salah !
Haris : Syukurlah, engkau telah sedar! Masih belum terlambat
untuk engkau kembali ke pangkal jalan
2008 (J):
Peribahasa "Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam" membawa maksud bahawa orang yang kurang pandai kalau rajin belajar akan berjaya juga akhirnya.Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa di atas.
2008 (N):
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa.
Pantun di atas menjelaskan bahawa budi bahasa penting dalam kehidupan manusia. Bincangkan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat.

Sumber: Galus BM.

Ummah gagal terjemah nilai ajaran dalam kehidupan harian


Bersama YaPEIM:
UMAT Melayu/Islam seharusnya mampu 'menangkap' saat strategik dalam sejarah rantau ini dengan menjadi peserta kebangkitan Asia. Untuk itu agenda penciptaan semula budaya seperti disarankan Yoshihara Kunio adalah relevan.

Perlu ditegaskan bahawa budaya pada hakikatnya adalah nilai dihayati dan dijelmakan dalam rupa amal nyata. Dalam konteks umat Melayu, nilai dasar budayanya tidak lain, dan tidak boleh lain daripada nilai bersumberkan agama Islam.

Wacana bernada meremehkan kekuatan nilai Islam seperti sering terungkap dalam tulisan orientalis seharusnya dianggap sebagai kekarutan masa lalu. Bryan S Turner dalam sanggahannya terhadap tulisan Weber (yang meremehkan nilai Islam) menyatakan bahawa Islam banyak berkembang di kota, bersifat komersial dan penganutnya pandai tulis baca.
Makkah terletak secara strategik pada jalur perdagangan antara Laut Tengah dengan Samudera India. Kaum Quraisy, suku Rasul sendiri mencapai kedudukan politik yang penting sekali, berkat kekuatan perdagangan mereka di daerah ini.

Rasul sendiri pernah bekerja dengan kafilah yang mengangkut barang dari Bizantium ke pasar di Makkah. Al-Quran sendiri penuh dengan istilah dagang.

Pembinaan ciri keusahawanan dalam konteks umat Melayu pada hakikatnya bukanlah suatu yang sama sekali baru. Kita tidak memulakannya daripada kosong kerana budaya keusahawanan sudah pun wujud sejak awal sejarah Islam di rantau ini.
Clifford Geertz yang melakukan penelitian lapangan di Mojokuto pada 1950-an mendapati kebanyakan pedagang berjaya adalah daripada pendatang Muslim yang taat, datang dari pesisir utara Pulau Jawa, di mana terletaknya pusat perdagangan dan pendidikan Islam.

Mereka yang hemat, tidak mudah putus asa dan taat mewarnai kota dengan suasana pasar yang meriah. Dan terlepas daripada kelebihan prestij kultural para priyayi, pedagang ini adalah unsur masyarakat yang paling dinamis waktu itu.

Sebagai umat beragama Islam, daya maju umat Melayu sangat ditentukan oleh keupayaannya menterjemahkan nilai ajaran agamanya menjadi kerja dan budaya keusahawanan. Dengan kata lain, Islam harus difahami dan dihayati kembali sebagai cara hidup.

Dalam kaitan inilah pentingnya memastikan Islam sebagai kekuatan yang mampu memberi bimbingan menuju matlamat kejayaan duniawi-ukhrawi, memberikan landasan moral, motivasi kerohanian, membina optimisme, membangun harapan, menyuntik semangat dan daya juang dalam kehidupan keusahawanan.
Islam adalah agama mendorong kejayaan dan kemenangan. Panggilan 'marilah menuju kejayaan' diulang-ulang saban hari berkali-kali. Setiap orang yang peka tentunya dapat merasakan betapa kuatnya orientasi kejayaan dalam Islam.

Ciri keusahawanan harus bertitik tolak daripada pandangan sarwa Islami bagaimana Islam sebagai cara hidup. Manusia sebagai khalifah Allah di bumi harus menginsafi ketinggian martabat dirinya dan misi kehadirannya di bumi.
Sebagai khalifah di bumi, manusia harus menginsafi misi kehadirannya adalah untuk bertugas dan bekerja membangun alam. Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan hingga ke akhir hayat manusia, hingga ke akhir usia bumi ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila tiba kiamat, sedang di tangan kamu ketika itu masih ada benih yang hendak ditanam, jika masih sempat menanamnya, tanamlah."– (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Justeru, untuk membangun dan mengimarahkan alam diperlukan daya kreatif yang berterusan. Andainya hakikat itu benar-benar disedari, lalu diikuti dengan usaha memupuk dan mengembangkan daya kreativiti yang relevan dengan bidang keusahawanan. Memang usahawan selamanya dituntut untuk menjadi kreatif.

Di samping akrab dengan Allah, manusia juga harus akrab dengan alam. Melayu adalah bangsa yang cukup akrab dengan alam. Daripada hubungan dengan alam, Melayu mendapat ilham yang terungkap dalam peribahasa.

Daripada alam jugalah Melayu mendapat petunjuk berharga sehingga tahu menghargai potensi segala sesuatu untuk dikembangkan menjadi kekayaan pada masa depan. Siapa tahu yang kini hanya setitik boleh dikembangkan menjadi luas melaut, dan yang sekarang hanya sekepal boleh dibangunkan menjadi besar menggunung.

Sesungguhnya pandangan sarwa lslami dan sistem nilai memang sangat mendukung pembinaan ciri keusahawanan yang kuat. Dalam kaitan itu, seorang tokoh pemikir bidang falsafah dan kebudayaan di rantau ini, Sutan Takdir Alisjahbana menyatakan optimisnya terhadap nilai budaya Islam sebagai wahana kebangkitan umat.

Tokoh yang selama berdekad-dekad mempromosikan nilai Barat, akhirnya kecewa dengan hasil eksperimen pembaratan budaya yang hanya melahirkan bangsa yang kepalang tanggung. Di hujung usia, beliau sempat menyedari dan mengakui kekuatan nilai Islam, keagamaan, ilmu dan ekonominya.

Pemerhatian Sutan Takdir itu memang benar, hanya yang menjadi masalah adalah kegagalan umat menterjemahkan nilai terkandung dalam ajaran Islam itu menjadi ciri kehidupan harian mereka.
Sumber: Berita Harian

Ilmuwan Islam wajar melestari teknologi canggih


Oleh Abdul Razak Idris

Blog pemikir harus diwujudkan untuk berdakwah kepada ummah dalam dunia siber

BERKURUN lalu, ilmuwan Islam yang lahir selepas pemerintahan Khalifah yang empat, ketika pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiah mengangkat tamadun Islam sebagai yang terbaik di dunia hingga menjadi asas kepada perkembangan teknologi mutakhir.

Pada zaman yang dikenali zaman keagungan Khalifah Ar-Rasyidun, teknologi Islam berkembang pesat di Andalusia, Sepanyol dan kesan ciptaan itu masih boleh dilihat sehingga kini. Selain itu, tamadun Islam turut berkembang maju di Turki sehingga sebesar-besar masjid tidak memerlukan kita untuk memasang sistem audio moden bagi melaungkan azan.

Zaman siber ini, umat Islam dilihat sebagai masyarakat pengguna nombor satu. Tidak kira di Asia Barat atau Asia Tenggara, umat Islamlah yang menjadi pengguna paling setia peralatan elektronik buatan barat, timur mahupun China.

Jika ada statistik dibuat, pengguna semua produk hasil teknologi barat adalah kalangan masyarakat Islam. Soalnya tidakkah kita tidak teruja untuk menjadi perintis teknologi era baru berasaskan agama Islam yang syumul.

Jika Al-Jabir dan Al Khawarizmi masih ada, pasti mereka berasa usaha untuk ummah tidak dihargai oleh umat Islam. Amat menyedihkan kerana walaupun kita memiliki prasarana dan hasil kajian diiktiraf dunia, ia masih tidak dikomersialkan dengan alasan teknologi luar lebih murah dan menguntungkan.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menjadi gergasi teknologi dan usaha ke arah itu sudah diadakan sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kita sudah ada pusat pentadbiran yang gah di Putrajaya begitu juga bandar teknologi Cyberjaya yang sedang dimajukan sejak hampir 15 tahun lalu. Pusat teknologi itu sepatutnya digembleng menjadi pusat teknologi Islam yang menempatkan sekolah pemikir ilmuwan Islam yang mewariskan umat Islam dengan cabang dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, kejuruteraan, matematik, sains dan pembinaan.

Teknologi Islam bukan bermakna hanya orang Islam yang wajib mengamalkannya, malah penganut agama lain boleh turut mengamalkannya. Dewasa ini, teknologi komunikasi canggih seperti telefon bimbit masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk orang Islam.

Contohnya, bagaimana telefon bimbit mampu menjadi tasbih sebagai alat pengira untuk zikir di sejadah dan di mana saja. Walaupun ada teknologi yang mampu merealisasikan fungsi sedemikian, ia dianggap teknologi yang perlu dipertingkatkan dan bukan fungsi asas.

Oleh itu, pengguna Islam perlu berkempen agar alat canggih seperti telefon dilengkapkan dengan butang mengira zikir yang mampu menggalakkan pengguna Islam beribadat sepanjang masa. Contohnya, untuk mengisi masa ketika tersekat dalam kesesakan atau sedang menunggu tren.

Alat Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) menjadi sistem berguna hari ini dan sudah dikomersialkan di pasaran dunia. Sesungguhnya teknologi ketenteraan seperti internet yang dibangunkan barat semasa perang dingin antara AS dan Russia kini menjadi teknologi untuk seluruh umat manusia.

Bagi masyarakat Islam, jika menghayati ajaran Islam itu sendiri kita akan menjadi umat yang kuat kepada pemantapan pelaksanaan ilmu dan bukan sekadar menjadi pencetus idea atau peniup wisel semata-mata.

Teknologi komunikasi seperti internet perlu digunakan oleh pihak yang mempunyai kuasa mentadbir umat Islam untuk menerangkan Islam secara lebih jelas tanpa selindung lagi demi memulihkan imej Islam pasca 9 September 2001.

Islam adalah cara hidup dan mementingkan perdamaian sesama seagama dan penganut agama berlainan. Islam hari ini dilihat sebagai alat untuk menjustifikasikan sesuatu perkara dengan dalil serta hujah politik yang asyik meletakkan kesalahan pada bahu orang lain tanpa mencermin diri sendiri.

Hanya dengan pendedahan di internet anak muda akan tahu yang mana intan dan kaca. Blog pemikir Islam harus diwujudkan segera dan kita perlu menjadi perintis usaha ini. Beribadat dan berdakwah di masjid sudah biasa, apa salahnya berdakwah kepada anak muda di dunia siber pula.

Walaupun angkasawan pertama negara kita sudah ke angkasa lepas, kita sebenarnya masih ketinggalan jauh dari segi prasarana seperti yang ada di Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) dan di Baikonur, Kazakhstan, yang menjadi tempat pelepasan angkasawan pertama Yuri Gagarin.

Satelit terbaru negara, RazakSat yang bakal ke angkasa tidak lama lagi ini selepas ditangguhkan akibat masalah teknikal juga boleh dibanggakan kerana teknologinya dibangunkan oleh syarikat ATSB di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang memiliki jurutera di kalangan umat Islam.

Ini amat membanggakan sebagai pencapaian teknologi negara Islam yang wajar dicatatkan dalam sejarah negara. Apatah lagi RazakSat bukan sekadar satelit biasa, ia adalah satelit dengan teknologi alat pengesan jauh sama seperti TiungSat-1 yang dilancarkan pada 26 September 2000.

Teknologi Islam perlu dilestarikan kerana zaman ini anak muda mudah leka dengan dunia teknologi tanpa ada inisiatif untuk mendekatkan diri dengan sumber Islam. Kita sedar teknologi canggih hari ini sudah diasaskan oleh orang Islam suatu ketika dulu dan kita jarang insaf dengan keadaan itu.

Malang sebenarnya kerana pakar dan profesional lebih berminat berpolitik tanpa mengambil inisiatif membudayakan teknologi Islam. Umat Islam dikatakan sebagai buih-buih di lautan pada akhir zaman kerana jumlah kita hampir separuh penduduk dunia.

Tetapi, mengapa masih lagi menjadi pengguna teknologi bukan Islam dan kurang memperkasakan teknologi Islam yang canggih. Mungkin kerana sesama umat Islam agak berat bekerjasama dan itulah sebabnya.

Sumber: Berita Harian

Selasa, 30 Jun 2009

ASAL USUL RAJA KECIL


Laksamana telah menyorokkan Encik Pung semasa dia hendak bersalin. Encik Pung meminta Laksamana melarikan anaknya setelah dia bersalin. Laksamana meminta Raja Negara Selat menyerahkan anak Encik Pung kepada Temenggung Muar untuk dipelihara. Raja Negara pun pergi ke Johor menyerahkan anak Marhum Mangkat Dijulang itu kepada Temenggung Muar, lalu selepas itu, Temenggung membawa anak raja itu berjumpa dengan Laksamana.
Di Johor, setiap hari anak raja bermain-main di makam ayahandanya di Kota Tinggi. Ramai kanak-kanak mengikut perbuatannya tetapi mereka muntah darah apabila makan rumput disebabkan tiada daulat seperti anak raja itu. . Peristiwa yang berlaku telah tersebar dan sampai ke telinga Yang DiPertuan Muda lalu diperintahkan orang untuk mencari anak raja itu. Laksamana berpakat dengan Raja Negara untuk melarikan anak raja itu ke tempat lain. Laksamana meminta sahabatnya, Nakhoda Malim, orang Minangkabau memeliharanya, lalu dibawa ke Jambi, Anak itu telah dinamakan Tuan Bujang.
Tuan Bujang kemudiannya di bawa ke Pagaruyung lalu menghadap Yamtuan Sakti. Yamtuan Sakti dapat mengecam Tuan Bujang dan berasa gembira apabila mengatahui bahawa Tuan Bujang adalah cucunya. Begitu juga dengan Tuan Puteri Jilan yang dapat mengenali Tuan Bujang melalui pandangan matanya dengan mengatakan Tuan Bujanglah anak raja yang akan membalas kematian bapanya. Tuan Bujang pun tinggal di Pagaruyung dan sehari asyik bermain di singgahsana. Apabila dayang-dayang melarang, Puteri Jilan menjelaskan bahawa Tuan Bujang memang waris takhta dan tidak akan terkena sumpahan atau tulah memandangkan dia anak adiknya di Johor. Apabila berumur 13 tahun, Tuan Bujang pergi merantau ke Batanghari untuk menuntut ilmu hinggalah ke Palembang. Di sana Tuan Bujang ingin memperhambakan diri dan taat setia kepada Sultan Lema Abang. Sultan mengambil keputusan untuk memelihara Tuan Bujang namun semenjak Tuan Bujang bekerja sebagai pembawa tepak, badan sultan asyik sakit-sakit sahaja. Hal ini berlaku demikian disebabkan tulah Tuan Bujang.
Petikan ini secara keseluruhan memaparkan usaha-usaha memelihara keselamatan keturunan Marhum Mangkat Dijulang iaitu Tuan Bujang. Kesetiaan para pegawal istana temasuk saudara-mara terhadap Marhum Mangkat Dijulang jelas dapat kita lihat. Walaupun semua pihak yang berkaitan cuba merahsiakan kewujudan Tuan Bujang namun ciri-ciri keturunan raja tetap terserlah dan diketahui orang juga.

Sumber: cikgu mie

PENANDA WACANA


Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah, dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, ia akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Contoh penanda wacana seperti berikut:

1. Tambahan : dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping
2. Urutan : pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya
3. Penyataan semula: iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan
4. Contoh: contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai
5. Rumusan: rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata
6. Tempat: berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan
7. Waktu : apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya
8. Sebab dan kesan: oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi,
dengan itu
9. Bandingan: seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan
10. Pertentangan : tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan
11.Pengesahan: sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya

Sumber: Cikgu Abd Razak Bin Hassan

SEBAB-SEBAB WATAK ANTAGONIS MENGALAMI KEGAGALAN


Soalan
Dalam kebanyakan novel, watak antagonis (penentang) sering mengalami kegagalan. Berdasarkan novel yang anda pelajari, jelaskan punca-punca watak antagonis sering mengalami kegagalan?

Novel:
Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj Yusuf
Pernyataan: Watak antagonis tidak jujur .
Contoh: Arnab mengupah ular tedung untuk meninjau atau mengintip tindakan Tuk Kura dalam menghadapi perlumbaan sedangkan Tuk Kura gigih berlatih menghadapi perlumbaan.
Pernyataan: Watak antagonis tidak bijak melihat tindakan pihak lawan.
Contoh: Arnab tidak dapat mengagak sebab-sebab sebenar Tuk Kura memilih tempat pertandingan sedemikian rupa ( lereng bukit). Pernyataan: Watak antagonis terlalu angkuh sehingga tindakannya merugikan diri sendiri.
Contoh: Akibat terlalu angkuh, Arnab Putih mengemukakan syarat-syarat pertandingan yang merugikan diri sendiri.
Pernyataan: Watak antagonis tidak mempunyai keperibadian yang tinggi dan tabah
Contoh: Kewibawaan dan kehebatan Tuk Kura tidak dapat ditandingi oleh Sang Arnab yang ternyata tidak memiliki ciri-ciri tersebut..
Pernyataan: Watak protagonis jauh lebih bijak dan berpengalaman.
Contoh: Tuk Kura jauh lebih berpengalaman daripada Sang Arnab. Pengalamannya ini dapat membantunya mengalahkan pihak lawan. Sang Arnab masih belum berpengalaman atau mentah dalam kerenah hidup

Julia karya Abu Hassan Morad
Pernyataan: Watak antagonis tidak mempunyai pendirian yang kukuh
Contoh: Rashid tidak dapat menyaingi kekukuhan pendirian Julia yang tegas, tabah dan bervisi.
Pernyataan: Watak antagonis tidak mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi pihak lawan
Contoh: Rashid tidak berjaya mempengaruhi Julia untuk menerimanya kembali dan Julia juga membuat aduan kepada pihak polis tentang ugutan Rashid. Pernyataan: Watak antagonis mempunyai keperibadian yang lemah.
Contoh: Rashid tidak mempunyai peribadi yang baik, suka berpeleseran, menghabiskan masa dengan sia-sia dan terlibat dengan dadah.
Pernyataan: Watak protagonis mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan sokongan pelbagai pihak.
Contoh: Julia mempunyai kekuatan hasil keyakinan diri dan bantuan pelbagai pihak sedangkan watak antagonis selalu tidak mempunyai kekuatan bertindak dan tidak bijak merancang . Rashid tidak pandai merancang masa depan dan lebih gemar berfoya-foya.
Pernyataan: Watak protagonis mempunyai matlamat yang jelas.
Contoh: Julia tidak mudah tunduk kepada pujukan dan ugutan Rashid kerana dia mempunyai matlamat yang jelas untuk berjaya tidak seperti Rashid.

Sumber: Cikgumie,MRSM.

PENDIDIKAN MORAL PELAJAR TERPINGGIR


DATA Kementerian Pelajaran serta statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah salah laku melibatkan remaja masih bersekolah semakin meningkat. Makin membimbangkan bila data-data tersebut menunjukkan pelajar sekolah bukan sahaja sekadar terlibat di dalam kelakuan tidak sopan, melanggar peraturan sekolah seperti bising dalam kelas, datang lewat ke sekolah, ponteng tetapi juga menjangkau kepada perlakuan jenayah seperti gengsterisme, melakukan gangguan seksual, merogol malah hingga kepada membunuh.
Kajian gengsterisme di sekolah menengah harian yang dilakukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan mengenal pasti 459 daripada 1,560 buah sekolah terdedah dengan budaya gengsterisme.
Data Kementerian Pelajaran tahun 2008 menunjukkan 21,060 pelajar dikesan ponteng sekolah, manakala 24,840 pelajar terlibat pada tahun sebelumnya. Selain ponteng, salah laku pelajar kurang sopan seperti merokok, tidak hormat guru dan pengawas serta berbahasa kesat adalah kesalahan paling banyak berlaku di sekolah membabitkan 23,220 kes pada tahun 2007 dan 19,980 kes pada 2006.
Akibat meningkatnya gejala sosial yang semakin serius, maka cadangan mengembalikan semula hukuman rotan sekarang berada di atas meja Peguam Negara. Nampaknya institusi pendidikan seperti sekolah seakan sudah hilang upaya untuk menguruskan masalah gejala sosial melalui pendidikan moral dan agama Islam dan akhirnya bersetuju untuk kembali kepada cara lama menangani masalah remaja. Malah institusi kaunseling secara jujurnya juga seperti tidak terdaya menyelesaikan kerenah isu juvenil ini.
Kesalahan remaja sememangnya masalah pendidikan dan sekolah tidak dapat tidak mesti bertanggungjawab membanterasnya tetapi mengambil langkah menggunakan rotan sama sekali tidak akan menghilangkan masalah sosial. Kajian oleh pakar pendidikan pembelajaran sepakat bersetuju bahawa sistem hukuman rotan bukanlah satu kaedah yang paling baik dan berkesan, malah pelajar yang telah melalui kaedah hukuman rotan ada antaranya yang terus menerus melakukan kesalahan yang lebih besar daripada kesalahan di mana mereka pernah dikenakan hukuman rotan. Kajian di negara ini juga telah banyak dilakukan berkaitan masalah disiplin di kalangan remaja.
Kementerian Pelajaran telah mencuba pelbagai kaedah untuk menangani masalah disiplin daripada kempen hinggalah bekerjasama dengan pihak polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
Malangnya, impak kepada masalah disiplin sifar nampaknya masih jauh daripada yang diharapkan. Hukuman merotan bukan sahaja ditentang oleh golongan peguam tetapi juga di kalangan pendidik yang mementingkan konsep pendidikan yang murni dan bermaruah.
Kita mungkin berkata merotan akan mendidik pelajar ini supaya tidak akan lagi melakukan perbuatan salah mulai esoknya di sekolah. Maka kita cuba menyatakan jika semua sekolah menjalankan hukuman merotan maka dalam satu jangka nanti akan sangat kurang atau tiada lagi masalah sosial di sekolah kerana pelajar akan takut dikenakan hukuman merotan. Apakah kita percaya ini semua akan berlaku?
Difikirkan semasak-masaknya pelajar yang melakukan masalah disiplin ini sebenarnya adalah mangsa keadaan, sesuatu yang bukan di bawah kawalan mereka. Baik ibu bapa, masyarakat, sekolah, media serta rakan sebaya, semuanya memberikan sumbangan yang kuat ke arah perlakuan dan tingkah laku negatif pelajar. Tetapi bila hukuman hendak dijatuhkan, pelajar ini sahaja yang dipersalahkan, mana ibu bapa, rakan taulan, guru, media yang sentiasa memaparkan adegan ganas dan seks ketika hukuman dilaksanakan.
Banyak faktor lain yang juga mendorong kepada berlakunya masalah ini. Keluarga yang bercerai berai, tuntutan keperluan hidup yang semakin mendesak juga menjadi faktor kepada gejala ini. Malah ada juga menghadapi tekanan membina semula lingkungan rakan sebaya yang kadang kala tersalah pilih kerana tiada bantuan daripada ibu bapa. Tidak cukup dengan itu, anak- anak yang tidak ada potensi akademik tetapi ada potensi sukan, seni dan potensi lain 'digagalkan' oleh sistem pendirian negara kita.
Hanya yang mendapat 5A UPSR, 8A PMR atau 11 A SPM, para pelajar ini diangkat dan dijulang. Yang lain menjadi seperti orang asing kepada pihak guru dan sekolah. Berapa ramai ibu bapa yang memeluk anak-anak yang mendapat 1A UPSR berbanding yang meleter dan merendah-rendahkan kebolehan anak-anak mereka?
Punca
Masalah disiplin dan krisis moral tentulah berpunca sebahagian besarnya dari amalan pembelajaran pembangunan nilai yang gagal di sekolah. Paling asas ialah kegagalan pendidikan agama serta moral yang dilaksanakan di sekolah. Guru-guru agama dan mata pelajaran moral harapnya jangan marah dengan penulis, tetapi cubalah kita fikirkan bersama, bila semakin ramai orang Muslim-Melayu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengamalkan pun ajaran yang diwajibkan.
Saya masih ingat seorang kawan sekolah dahulu yang dirotan di dewan perhimpunan mingguan sekolah sehingga kini masih terus menyumpah pihak sekolah. Kesalahannya kerana ditangkap merokok di belakang tandas sekolah. Selepas dirotan guru disiplin memberi amaran supaya beliau berhenti merokok. Tetapi sehingga kini rakan penulis itu masih merokok, tak berniat pun untuk berhenti.
Kita kena membezakan antara hukuman merotan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Konsep merotan yang dilaksanakan oleh ibu kesannya adalah berbeza pada pelajar, tidak sama dengan pihak sekolah. Elemen keterikatan 'pertalian darah antara anak dengan ibu dan ayah' membenarkan anak-anak memahami jika ibu bapa melakukan hukuman tersebut, tetapi jika hukuman tersebut dilakukan oleh pihak sekolah, kadang- kadang hukuman tersebut dilihat sebagaimana menghina, menjatuhkan maruah pelajar dan ramai ibu bapa juga tidak suka anak mereka dirotan. Jangan tanya pendapat awam kerana bukan anak mereka yang dirotan. Mereka semestinya bersetuju dengan hukuman merotan pada anak orang lain.
Satu masa dulu, data menunjukkan lingkungan umur yang paling tinggi melakukan masalah sosial ialah kalangan remaja lelaki antara 15-18 tahun. Namun trend ini dilihat mulai membimbangkan apabila kumpulan pelaku masalah sosial kini semakin rendah tahap umur sehingga ada yang berumur kurang dari 10 tahun terutama berkaitan kes curi, ponteng, merokok dan mencabul pelajar perempuan. Malah remaja wanita juga semakin ramai yang terlibat sebagai pelaku masalah sosial. Menguruskan pelajar perlukan kesabaran para guru, ketelitian dalam berinteraksi dengan kanak-kanak serta secara nasihat berdikit-dikit tetapi konsisten sangat berkesan. Paling penting bermula sejak awal umur kanak-kanak.
Kalaulah merotan terbukti boleh menyelesaikan masalah disiplin, dunia telah lama aman dan sejahtera. Perlakuan jenayah dan gejala sosial menuntut perhatian yang lebih tinggi daripada sekadar mengkaji baik buruknya merotan pelajar. Kanak-kanak pada peringkat muda pada asasnya memerlukan kasih sayang, luangkan masa serta perhatian para ibu bapa dan guru- guru.
Kasih sayang pada pelajar perlu ditunjukkan dengan mendengar dan menyokong bukannya dengan meleter, mengungkit atau merotan pelajar. Para pelajar jika sudah biasa dirotan akan juga menganggap bentuk didikan 'ganas' adalah yang terbaik dan akan melakukannya apabila mereka pula mempunyai anak-anak satu hari nanti. Mereka juga akan percaya apabila wujudnya konflik dengan rakan sebaya di sekolah cara bergaduh dan memukul jugalah yang seharusnya digunakan.
Tindakan yang seringkali dicadangkan oleh pakar pendidikan ialah kecilkan saiz pelajar di dalam bilik darjah supaya perhatian kepada pembangunan sahsiah pelajar akan menjadi lebih baik, tingkatkan kualiti pengurusan pelajar di kalangan guru supaya mereka memahami dengan tepat secara teori dan amalan, atau 'know what' dan 'know how' berkaitan pembangunan pelajar di bawah tanggungjawab mereka, sediakan sistem sokongan kewangan dan khidmat nasihat untuk pelajar, outreach programme di mana kumpulan guru melawat ke rumah pelajar yang menunjuk tanda- tanda masalah di peringkat awal supaya perbincangan dengan ibu bapa dapat dilakukan lebih awal.
Pada masa yang sama guru juga akan dapat membuat penilaian berkaitan keluarga pelajar tersebut. Apalah gunanya di dalam sebuah sekolah jika dengan hanya beberapa orang pelajar mencapai kecemerlangan akademik tetapi pada yang sama ramai pula yang terlibat dengan masalah disiplin di sekolah yang sama.
Biarlah kalau Peguam Negara masih ingin meluluskan undang-undang hukuman merotan ini, biarlah kalau ada sekolah masih juga ingin meneruskan hukuman ini tetapi percayalah masih ramai ibu bapa di luar sana termasuk penulis sendiri sangat percaya bahawa jika anak-anak ini dirotan kerana kesalahan mereka maka kitalah yang sebenarnya gagal mendidik moral kepada mereka.
Anuar Ahmad ialah pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/