: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 19 September 2009

Belajar tanpa berguru, syaitanlah gurunya

Dato' Dr Haron Din


SAYA ingin bertanya mengenai perubatan alternatif, sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak. Bagaimana jika ada pengamal itu yang mendakwa, dia mendapat ilmu atau petunjuk perubatan melalui mimpi. Contohnya seperti seorang pengamal mengubati pesakit dengan menggunakan dauh sirih.

Daripada pemerhatiannya kepada struktur daun sirih selepas membaca mantera (doa), dia dapat memberitahu kepada pesakit tentang keadaan penyakitnya dari segi fizikal, spiritual atau gangguan. Mohon Dato' jelaskan.
INSAN YANG RAGU,
menerusi e-mel.
ADA dua episod daripada persoalan anda. Pertama mengenai perihal pengubat yang mendapat ilmu mengubati manusia menerusi mimpi. Kedua, menggunakan daun sirih sebagai penunjuk untuk mengubati dan mengetahui perkara ghaib, tentang penyakit zahir, batin dan sebagainya.
Perihal ilmu pengubatan melalui mimpi pernah saya jelaskan dahulu dalam ruangan ini, bahawa ilmu itu tidak sabit dari segi syarak.
Dengan lain perkataan, ilmu yang memberi kebaikan kepada manusia, dipelajari dengan cara berguru dengan cara yang betul, memakan masa yang agak lama, perlu diuji dan dipastikan dia boleh memilikinya, bukan sama sekali menerusi mimpi semalaman atau beberapa minit sahaja mimpi itu. Keadaan ini tidak mampu menjadikan seseorang itu sebagai pengubat.
Dalam tasawuf atau tarikat selalu sangat diperkatakan mengenai kaedah mempelajari sesuatu ilmu hendaklah dengan berguru dengan jelas dan nyata, dia berilmu dan beramal dengan ilmunya.
Sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya.
Oleh kerana itu ilmu melalui mimpi, amat diragui siapakah sebenarnya yang menjelma dalam mimpinya itu. Hendak dikata wali-wali Allah (yang telah kembali kepada Allah), mereka semuanya sudah berada di alam barzakh sehingga hari kiamat.
Ruh mereka tidak boleh kembali lagi ke dunia ini untuk bertemu dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk menyampai ilmu selepas mati.
Orang yang telah mati, terputus usaha kebaikan atau kejahatan. Sudah tidak boleh lagi menyampaikan ajaran atau petua-petua perubatan kepada mana-mana orang yang hidup.
Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (Surah al-Mukminun, ayat 100)
Dalam kitab tafsir yang muktabar, disebut barzakh dengan huraian bahawa selepas mati, ruh-ruh manusia ditempatkan ke alam baru. Dengan kehidupan baru itu, mereka terputus dari dunia dan tembok-tembok itu menjadi pemisah, tanpa dapat ditembusi untuk pulang ke dunia.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib (r.a) beliau pernah menyebut (mafhumnya): "Hari ini di dunia adalah untuk beramal tanpa hisab, esok sesudah mati, hanya ada hisab yang menunggu tanpa ada amal lagi."
Jika yang telah mati boleh lagi beramal dengan pulang ke dunia dan memberi petua atau pengajaran untuk perubatan, maka ia bertentangan dengan al-Quran seperti ayat yang saya nyatakan di atas.
Dengan hujah-hujah itu, tidak boleh diterima pakai, atas andaian bahawa ilmu menerusi mimpi adalah dari sumber yang sahih.
Yang berlaku hanyalah tipu daya syaitan dalam mimpi seseorang, mengajar manusia melalui mimpi yang boleh menyesatkan. Berhati-hatilah, kadang-kadang mereka ini kelihatannya seperti betul dan bersesuaian dengan kehendak syarak, tetapi yang tersiratnya adalah untuk mempengaruhi manusia yang bakal membawa ke jalan yang sesat.
Seorang sahabat Nabi s.a.w, Abu Hurairah, pernah menerima ilmu dalam jaganya daripada syaitan, apabila diceritakan ilmu itu yang zahirnya sejajar dalam syariat, iaitu dengan menyuruh Abu Hurairah membaca ayat kursyi supaya beliau melindungi harta yang dijaganya supaya tidak dicuri seseorang, maka Rasulullah s.a.w menyatakan (mafhumnya): "Itu adalah ajaran daripada syaitan, jangan peduli dengannya, lupakan ajaran itu dan ambillah ajaran daripadaku."
Seterusnya Nabi s.a.w mengajar Abu Hurairah, sama seperti yang diajar oleh syaitan tadi.
Mimpi manusia, kebanyakkan daripada perbuatan syaitan, jika ada pun daripada Allah, ianya adalah terlalu sedikit.
Ada pun mengenai pengubat memberitahu pesakit menerusi tilik menilik daun sirih, maka itu adalah pengubat tradisional Melayu, bukan pengubatan cara Islam.
Dalam Islam, tilik menilik dalam semua perkara sama ada menerusi daun sirih atau pun lain-lainnya, adalah bertentangan dengan syarak dan amat dilarang.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya): "Daripada Ummul Mukmimin Hafsah dan Aisyah r.ahnuma, bahawa pernah ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan tukang-tukang tilik. Nabi mengatakan bahawa mereka hanyalah temberang dan tidak benar satu pun. Ditanya lagi, "Tukang tilik itu mengkhabarkan kepada kami perkhabaran dalam tilik mereka, maka kami dapati ia benar." Nabi bersabda, "Yang demikian itu dikhabarkan kepada mereka oleh makhluk halus kepada yang berbaik dengan mereka, dengan mencampuradukkan di dalamnya ratusan pembohongan." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi orang yang mendakwa mengetahui yang ghaib (arraf) atau tukang tilik (kaahin), lalu mempercayai apa sahaja yang dikatakan mereka itu menerusi tilik menilik mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan Allah ke atas Nabi Muhammad (al-Quran)." (Hadis riwayat al-Hakim dan as-Sahabus Sunan)
Apa yang anda tanya mengenai pengubat tersebut, mengetahui perkara ghaib sehingga secara spesifik menerusi struktur daun sirih sehingga mengetahui jenis-jenis penyakit, sama ada fizikal atau spiritual adalah termasuk dalam perkara yang dilarang syarak.
Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).? (Surah an-Naml, ayat 65)
Firman Allah (mafhumnya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, - melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (Surah al-Jin, ayat 26-27)
Saya harap penjelasan saya menjawab persoalan anda, wallahua'lam.

Lelaki ramai masuk neraka?

Ustaz Zainudin Hashim

Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.

Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.
Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah 'Ashabun Nar' (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan 'dayus', peminum arak dan anak-anak derhaka.
Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.
Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.
Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.
Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj
Sayidina Ali k.w. berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"
Baginda s.a.w. menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."
Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).
"Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.
"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."
Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.
"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.
"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.
"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.
"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.
"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.
Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."
Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."
Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."
Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari) - lanh _

Pesan Roh


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata:
"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu:
"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:
"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan:
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:
"Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".

"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung arahanku".

"Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari kubur dan duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama.

Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.
Maka mayat itu menjawab:
"Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan berdoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur pada mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W berkata:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.

Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain lalu masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat >terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S.

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya".

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T., maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut roh orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan
3. Orang yang berpuasa di hari Arafah.

Luasnya Neraka

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami, kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH.

Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu YA ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu YA ALLAH.

Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN.....

.: Luasnya Neraka :.

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.:

"Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail:

"Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,

Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,

Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya:

"Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka nabi s.a.w. jatuh pingsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai")

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.

Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah

3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah

5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak

7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.

10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.Wallahua'lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Dari Abdullah bin 'Amr R.A,

Rasulullah S.A.W bersabda:" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..

Jumaat, 18 September 2009

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI

Oleh Mohd Yakub B Mohd Yunos

(Artikel ini diringkaskan daripada buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Sumber : http://akob73.blogspot.com/

Menghidupkan makna Aidilfitri

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

Insya-Allah, akan tibalah 1 Syawal untuk umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa dalam Ramadan. Sebagai hadiah kemenangan orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadan, Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Aidilfitri di mana Allah SWT menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Hazrat Ibnu Abbas r.a berkata bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, satu angin akan bertiup dari bawah Arasy yang dinamakan 'Muthirah'.

"Lalu bergeseranlah daun-daun pokok-pokok syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga, maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu daripada itu sebelumnya. Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudian menyeru, "Adakah sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah SWT mengahwinkannya dengan kami?"

"Kemudian mereka berkata lagi, "Wahai Ridhwan penjaga Syurga! Malam apakah ini?" Dia akan menjawab kepada mereka dengan "Labbaik!" kemudian dia berkata: "Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadan. Dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad."

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, Allah SWT akan berfirman: "Wahai Ridhwan! Bukakanlah pintu-pintu syurga dan wahai Malik tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa daripada umat Ahmad. Wahai Jibrail! Turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat-sangat degil lalu ikatlah mereka supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad kekasih-Ku."

Baginda bersabda lagi: "Allah SWT akan memerintahkan seorang penyeru pada setiap malam dari Ramadan supaya dia menyeru tiga kali, "Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Allah mengurniakannya? Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya Allah menerima taubatnya? Adakah sesiapa yang ingin memohon keampunan supaya Allah mengampuninya?
Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada si kaya yang tidak mungkin akan miskin, yang akan membayar hutangnya sepenuh-penuhnya tanpa dizalimi."

"Pada waktu berbuka puasa pada setiap hari dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan sejuta jiwa dari neraka yang kesemuanya telah ditentukan untuk memasuki neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan pada hari itu sebanyak mana yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehingga ke akhirnya.

"Apabila berlaku Lailatul Qadr, Allah SWT akan memerintahkan Jibrail a.s supaya turun bersama satu kumpulan malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Dia akan memacak bendera itu di atas Kaabah.

Jibrail a.s mempunyai seratus sayap. Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga kedua-dua sayapnya akan menutup dari timur ke barat.

Kemudian pada malam tersebut Jibrail akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, bersolah atau berzikir. Malaikat-malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar. Apabila fajar, Jibrail a.s akan menyeru segala malaikat, "Sekarang berangkatlah!"

Malaikat-malaikat itu pun akan bertanya, "Wahai Jibrail apakah yang Allah SWT telah lakukan terhadap keperluan-keperluan orang-orang beriman dari umat Muhammad SAW?. Dia akan menjawab, "Allah SWT telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia." Maka kami pun bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah?" Baginda bersabda, "Lelaki yang berterusan minum arak, dia yang mendurhakai kedua-dua ibu bapanya, dia yang memutuskan silaturrahim dan musyahin."

Kami telah berkata, "Ya Rasulullah! Siapakah itu musyahin?" Baginda SAW menjawab, "Dia adalah orang yang memutuskan perhubungan keluarga."
Apabila tiba malam Hari Raya Aidilfitri - malam itu dinamakan di sisi penduduk langit sebagai Lailatul Jaizah. Pada pagi hari raya itu, Allah SWT menghantar para malaikat ke setiap tempat. Lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka jalan dan lorong.

Mereka akan menyeru dengan suara yang didengari oleh semua apa yang diciptakan oleh Allah SWT kecuali jin dan manusia. Mereka berkata, "Wahai umat Muhammad! keluarlah kepada Tuhan yang Maha Pemurah yang mengurniakan dengan banyaknya dan memaafkan dosa-dosa besar,"

Apabila mereka tiba di tempat sembahyang raya, Allah SWT akan berkata kepada para malaikat," Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah melakukan kerjanya?" Baginda bersabda, "Para malaikat akan berkata, Wahai Tuhan kami dan Pemilik kami, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya."
Lalu Allah SWT berfirman: "Kerana itu, Aku telah menjadikan kami sebagai saksi. Wahai malaikat-Ku! Sesungguhnya Aku telah jadikan balasannya kepada mereka kerana puasa mereka di bulan Ramadan dan berdirinya mereka (beribadat kepada-Ku di dalam Tarawih) ialah keredaan-Ku dan keampunan-Ku!

Allah SWT akan berfirman lagi: "Wahai hamba-hamba-Ku! Pohonlah dari-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan kehebatan-Ku, tidaklah kamu memohon sesuatu pun dari Ku pada hari ini di dalam perhimpunan kamu ini untuk kepentingan akhiratmu kecuali Aku akan menunaikannya dan tidak juga untuk kepentingan duniamu kecuali Aku akan memandang untuk kebaikkanmu. Demi kemuliaan-Ku, Aku akan tutupkan keaiban-keaibanmu selama mana engkau mengambil berat terhadap-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan demi kehebatan-Ku, tidaklah Aku akan menghinakan kamu dan tidak juga Aku akan memalukan kamu di kalangan orang-orang yang berdosa (dan orang-orang kafir) kembalilah kamu di dalam keadaan kamu telah diampunkan. Sesungguhnya kamu telah meredakan daku dan Aku juga telah meredakan kamu. Para malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan apa yang Allah telah berikan pada umat ini apabila mereka telah selesai daripada puasa di bulan Ramadan. (Hadis riwayat Baihaqi).

Begitu besar kelebihan Ramadan hingga 1 Syawal untuk menyambut Aidilfitri dan betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas.

Dan sepatutnya umat Islam merayakannya dengan ketakwaan dan keimanan selepas berjaya keluar dari madrasah Ramadan, kerana antara hasil berpuasa yang diharapkan ialah dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Surah al-Baqarah: 183 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Justeru, cara meraikan Aidilfitri juga perlu melalui jalan orang-orang yang bertakwa sebagaimana ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Ia termasuk menyambutnya mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur-baurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.
Apatah lagi, Aidilfitri sememang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan lain, kerana ia merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.
Begitupun, sering kali keghairahan perayaan itu menjadikan kita terlupa terhadap adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
Bermula dengan malam raya yang mempunyai banyak fadilat atau kelebihan apabila dihidupkan dengan melakukan amal-amal ibadat iaitu di samping mendirikan sembahyang fardu secara berjemaah, perlu diperbanyakkan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan pelbagai amal kebajikan.

Al-Imam Al-Syafie telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban."

Namun apa yang sering berlaku dalam masyarakat kita ialah malam raya disibukkan dengan kerja-kerja menghiasi rumah, memasang langsir atau mengalih perabot semata-mata hingga keletihan lalu terlepas peluang untuk mendapat kelebihan pada malam raya.

Selain berdoa, kemeriahan Aidilfitri akan lebih dizahirkan untuk bertambah dirasai dengan laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT yang dengannya kita sentiasa mengakui akan kebesaran dan keagungan-Nya melalui pengucapan takbir.
Bahkan ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah di akhir Ramadan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.

Oleh itu, disunatkan mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Aidilfitri.

Pada pagi raya pula, disunatkan mandi Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd r.ahum bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. (Riwayat Ibnu Majah.)

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi).

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau berkata:
"Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Selain itu, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya.
Amalan ini juga sebenarnya termasuk dalam perkara yang digemari dan disyariatkan dalam Islam.

Justeru, untuk amalan ziarah menziarahi, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa menjaga adab dan tertib yang ditetapkan oleh Islam.
Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Sementara itu, dalam keghairahan menyambut hari raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan mendirikan sembahyang fardu dan yang paling afdal ialah secara berjemaah di masjid atau surau.
Selain itu, sentiasa menjaga batas-batas dalam pergaulan antara lelaki dan wanita dan kita perlu memastikan zakat fitrah sudah dibayar sebelum sembahyang raya, melayan tetamu dengan baik, berkasih sayang sesama saudara seIslam, bermaaf-maafan, menunjukkan akhlak terpuji dan mengelakkan pembaziran dalam sebarang urusan.

Zakat fitrah suci diri, bantu fakir miskin

APA dimaksudkan dengan zakat fitrah, kepada siapa diwajibkan dan tujuannya?

al-Faqir,

Kuala Lumpur.


ustaz Zamanuddin Jusoh

JAWAPAN: Zakat fitrah adalah zakat diri ke atas semua kaum Muslimin tanpa mengira kedudukan atau status mereka. Hadis riwayat Ibnu Umar telah berkata: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dengan kadar satu sha (2.4 kilogram ) makanan ruji iaitu tamar atau jagung atas semua orang Muslimin, hamba sahaya, orang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan dewasa. Beliau memerintahkan supaya diberikan kepada fakir miskin sebelum keluar melakukan solat Aidilfitri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuannya untuk menggembirakan fakir miskin pada hari raya serta menampung kekurangan ibadah puasa yang kita lakukan.
Hadis daripada Ibnu Umar berkata: “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih daripada perbuatan sia-sia bagi yang berpuasa, bersetubuh dan memberi makan pada fakir miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, ia diterima dan jika selepasnya ia sedekah. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Sahih mengikut Al-Hakim)

Ketetapan waktu mengeluarkan zakat fitrah mengikut mazhab Syafie seperti berikut:

l Waktu wajib: Bermula dari terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.

l Waktu sunat: Pada hari raya selepas solat Subuh iaitu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.
l Waktu harus: Sebaik saja masuknya Ramadan sehingga hari raya. Jadi sepanjang Ramadan adalah diharuskan.

l Waktu makruh: Selepas solat hari raya sebelum waktu Maghrib.

l Waktu haram: Sengaja melambatkan pembayaran sehingga masuk waktu Maghrib pada hari raya kecuali atas sebab yang dibenarkan seperti menunggu fakir miskin yang belum tiba.

Kadar zakat mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat masing-masing dengan mengikut keperluan penduduk setempat.

Akhir Ramadan sebagai pengukur jati diri

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

RAMADAN merupakan bulan yang mulia dan umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa atau kerohanian. Suasana bulan Ramadan yang begitu meriah disambut oleh umat Islam dengan pelbagai program ibadah dan kegiatan kebajikan.
Sembahyang tarawih yang diamalkan setiap malam di surau dan masjid sepatutnya dijadikan simbol perpaduan umat Islam tanpa mengira perbezaan pemahaman politik. Alangkah indahnya konsep berjemaah di masjid-masjid itu dijadikan asas persaudaraan dalam Islam.

Sejauh manakah umat Islam dapat menghayati konsep perpaduan melalui ibadah sembahyang tarawih itu hanya dapat dinilai sendiri oleh setiap individu Islam.
Ramadan dikenali sebagai bulan pengampunan. Dosa-dosa umat Islam terampun jika mereka sentiasa menunaikan sembahyang tarawih dan membersihkan diri dalam bulan ini.
Melakukan ibadah puasa secara ikhlas dan mengikuti peraturannya secara sempurna sudah cukup untuk individu Islam mendapat pengampunan daripada Allah. Dosa-dosa seperti manakah yang diampuni oleh Allah?

Dosa-dosa peribadi berkaitan dengan dosa terhadap Allah seperti tidak menunaikan sembahyang kerana jahil atau kurang keimanan mungkin mudah diampuni oleh Allah.
Dosa-dosa berkaitan dengan manusia seperti memfitnah, menyakiti, mencuri, tidak membayar hutang atau menyalahgunakan kuasa, membohongi rakyat dan memakan wang derma atau zakat yang diperuntukkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim tidak akan diampuni oleh Allah selama mana individu tersebut tidak menyerahkan kembali hak-hak rakyat dan orang miskin.

Puasa boleh memberi keinsafan kepada individu Islam bagaimana tersiksanya apabila lapar dan dahaga. Kesan daripada mengamalkan puasa boleh menjadikan umat Islam berfikir betapa kejamnya orang yang mengambil hak orang miskin demi memperkayakan dirinya. Adakah perasaan begini tersemat dalam hati setiap individu Islam?
Apabila suasana begini berlaku maka timbul persoalan sejauh manakah keimanan dan penghayatan umat Islam terhadap ibadah dan penyerahan diri kepada Allah?
Puasa adalah salah satu cara yang paling baik untuk memulihkan jiwa yang kosong, sifat tamak, rakus dan angkuh.

Puasa sepatutnya dijadikan sebagai pengukur hawa nafsu. Jika puasa itu dihayati sepenuhnya maka sikap tamak dan rakus dapat dikurangkan kerana perut yang lapar dan jiwa yang diserahkan kepada Allah.

Perasaan lapar dan dahaga membangkitkan semangat untuk menderma dan prihatin terhadap golongan miskin. Orang yang memiliki hati yang lembut dan diiringi dengan pengalaman lapar dan dahaga mampu mengawal diri.

Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang serta Pendidik manusia. Allah amat memahami sifat dan tingkah laku manusia sering dihasut oleh hawa nafsu. Oleh itu Dia memberi pertunjuk kepada manusia dan melatih mereka bagaimana cara untuk mengawal hawa nafsu.

Puasa merupakan cara melatih manusia supaya menundukkan hawa nafsu, menanamkan sifat simpati dan belas kasihan serta amanah dalam hidup.
Ramadan dipilih sebagai bulan untuk mendidik dan melatih umat Islam mengembalikan fitrah ciptaan manusia iaitu satu makhluk yang begitu akur kepada perintah Allah dan dihormati oleh makhluk Allah yang lain.

Hawa nafsu jika tidak dikawal boleh menyebabkan manusia menjadi buta terhadap kebenaran dan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka tidak pernah merasai puas hati dengan apa yang dimiliki.
Sifat ini boleh mendorong seseorang itu mengemis atau mengambil harta orang lain. Ini merupakan satu sifat yang amat tercela dan dimurkai oleh Allah.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam berkaitan dengan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang meminta dari harta orang lain untuk menambah kekayaannya sesungguhnya dia meminta bara api neraka! Sama saja dosanya meminta banyak atau sedikit."

Berdasarkan kepada peringatan Rasulullah SAW maka umat Islam jauhilah daripada sifat-sifat keji tersebut. Puasa adalah sebaik-baik cara untuk melatih diri menjadi umat Islam yang gigih dan amanah.

Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Manusia dituntut tunai aku janji terhadap Illahi

FITRAH seperti diisyaratkan hadis sahih bermaksud suci bersih manakala al-Quran pula menetapkan fitrah sebagai satu agama lurus. Kedua-dua pengertian ini saling melengkapi antara satu sama lain iaitu kehidupan manusia akan kekal suci selagi berpedomankan Islam yang lurus.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain, berkata kembali kepada fitrah yang dikaitkan dengan Aidilfitri bermaksud pulang ke pangkuan Allah.

Katanya, keistimewaan Ramadan yang menjengah setahun sekali diharapkan mampu menjadi medan menyucikan dosa serta noda seterusnya mengembalikan mereka yang melaksanakan ibadat itu dengan sempurna kepada keadaan lebih baik.

Hasliza Hassan
“Hakikatnya ada hati yang syahdu pada hari raya kerana Aidilfitri bukan sekadar gembira dengan pakaian baru, makanan enak atau berkumpul dengan saudara baru. Aidilfitri adalah hari manusia pulang ke pangkuan Allah.

“Seperti persiapan kita untuk balik kampung berhari raya, begitu jugalah sepatutnya bekalan kembali ke pangkuan Allah. Maknanya bekalan kita perlu lengkap, puasa yang sempurna dan amalan sunat yang banyak sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Beliau yang menyampaikan ceramah kepada jemaah surau The News Straits Press Sdn Bhd (NSTP) di Balai Berita di ibu negara berkata, ciri kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada akidah yang benar menurut prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ciri lain ialah kembali mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap aktiviti hidup seperti terkandung dalam doa , “Sesungguhnya solatku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekalian alam.
“Sepatutnya aku janji ini terus segar dan mekar dalam jambangan hati kita sentiasa. Walau saat berganti minit, berganti jam berganti hari, bulan dan tahun, kita kerja dengan Allah dan terikat pada syariat. Dia akan membayar segala gaji, bonus dan dividen kita walau sebesar zarah,” katanya.

Katanya, fitrah kejadian manusia juga menuntut mereka terus menjaga suruhan serta menjauhi larangan Allah dengan mengekalkan prestasi takwa pada bulan lain.

Zamihan berkata, manusia yang bersih dan terpuji mampu mencapai kejayaan sebenar selagi mereka mengikut fitrah sebaliknya kegagalan memenuhi keperluan kemanusiaan membawa kehancuran.

Oleh itu katanya, umat Islam perlu memperbanyakkan bersyukur kepada Allah pada malam menanti kedatangan satu Syawal, meneruskan sujud sebagai tanda pengabdian berterusan untuk mengembalikan diri kepada Allah.
Berdoa juga amalan digalakkan pada malam menjelang Aidilfitri kerana menurut Imam al-Syafi’ie, doa di malam raya dimakbulkan Allah jika dilakukan dengan hati ikhlas mengakui kebesaran-Nya selain jangan dilupa zakat fitrah.

“Pada waktu itu kita digalakkan memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil sebagai bukti kita merindukan Allah. Selalunya malam raya kita sibuk kemas rumah, masak lemang, masak rendang hingga lupa untuk memuji Allah.

“Esok harinya marilah beramai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan digalakkan juga bersedekah di jalan Allah. Aidilfitri juga membuka ruang untuk kita saling bermaafan kerana itu yang disukai Allah selain menghidupkan amalan ziarah menziarahi,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan Syawal kali ini mengembalikan umat Islam ke pangkuan Allah dengan bekalan yang dikumpul sepanjang Ramadan sebagai persiapan untuk meneruskan perjalanan pulang ke akhirat nanti.

Sahsiah mulia perkukuh jati diri generasi Muslim

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MANUSIA mempunyai dua fungsi dalam mengharungi kehidupan. Pertama sebagai hamba Allah. Keduanya sebagai Khalifah Allah. Hamba dalam makna kita mengikut segala perintah Allah. Hanya dengan ketaatan pada-Nya manusia mengawal diri daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

Sebagai khalifah, kita berperanan besar menyebarkan syiar kesyumulan Allah di muka bumi ini, di samping memakmur dan mengimarah bumi berlandaskan segala hukum hakam yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

Justeru, salah satu elemen terpenting dalam diri seseorang yang perlu dibangunkan terlebih dulu dalam usaha berjihad dan meletakkan Islam pada martabatnya yang tersendiri ialah pada ketinggian sahsiah dan budi pekerti.
Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan yang pula memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya agar tidak terbabas daripada landasannya.

Pepatah Arab ada menyatakan bahawa,` kecantikan sebenar seseorang itu bukan terletak pada rupa paras, bentuk badan dan pakaian. Tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu dan keunggulan akhlak dan sahsiah diri yang dimiliki`.

Tugas membentuk sahsiah mulia bukan mudah. Ia bermula daripada didikan awal ibu bapa terhadap anak yang dilahirkan.
Menjadi ibu bapa pada zaman kini bukan mudah, pelbagai cabaran dan dugaan perlu diharungi dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak. Peringkat paling sukar sekali ialah peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak-anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, gaya berpakaian dan sebagainya.

Inilah peringkat yang penuh dengan pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh yang tidak baik iaitu yang melekakan, menyelewengkan akidah, yang akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan berbagai jenis salah laku dan jenayah di kalangan remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat sekali, minda kita, ketahanan iman kita, jati diri kita mudah tergugat akibat dari pengaruh pemikiran yang diimport, budaya dan nilai nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya dan Islam.

Kemewahan dan kebendaan ekoran dari kekayaan yang dinikmati hasil daripada usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita .
Akhirnya ketahanan diri remaja luntur mengakibatkan sebahagian mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran, maksiat dan berbagai bagai gejala yang kita sering dengar dan baca. Patutkah kita letakkan tanggungjawab segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat kita?

Ketika-kanak kanak dulu, mereka dimanjakan, suka disayangi, suka dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Namun apabila menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka lagi berbincang atau berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.

Jika mereka pilih rakan yang mengajak kebaikan, bersyukurlah kita. Tetapi ramai lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk akan meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya alam mereka berubah kepada yang buruk.

Derhaka jika tidak taat perintah suami


SAYA mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu. Setiap tahun apabila menjelang Aidilfitri, kami suami isteri akan berselisih pendapat mengenai tempat untuk kami berhari raya. Akhirnya kami mengambil keputusan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing untuk menyambut lembaran.

Saya di selatan dan suami di utara. Hanya beberapa kali kami bersama menyambutnya. Apakah saya berdosa dan apakah perkara yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan perkara ini berulang.

Wanita Musykil,
JB.

Anda sudah menderhaka kepada suami walau dengan apa alasan sekalipun. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Wanita yang meninggalkan tempat tidur bersama suami dilaknat sekalian malaikat sehingga dia kembali (Riwayat Bukhari).
Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita dengan kelebihan diberikan oleh Allah SWT” (Annisa: 34)

Sabda SAW: “Mana-mana wanita yang tidur dalam keadaan diredai suaminya maka ia berhak mendapat syurga”. (Riwayat Tarmizi,Ibn Majah)

Kita masih ingat kisah, seorang wanita yang ditinggalkan suaminya kerana musafir mendapat berita ibunya sakit teruk tetapi tidak berani keluar rumah kerana suami berpesan: “Jangan engkau ke mana-mana sehingga aku pulang.” Apabila persoalan ini sampai kepada Nabi SAW. Jawab Baginda: “Taatlah kepada suamimu.”

Kemudian sampai berita kematian ibunya. Berlaku perkara sama di mana jawab Nabi SAW: “Taatlah kepada suamimu”. Pulanglah suaminya dengan perasaan terkejut lalu berjumpa Nabi SAW untuk mengadu hal. Sabda Rasul SAW: “Ibunya dimasukkan ke syurga sebagai balasan ke taatnya (isteri) padamu.”
Ingatlah bahawa syurga bagi wanita selepas kahwin ialah suaminya. Kembalilah kepada Allah dengan memohon ampun dan maaf padanya sebelum terlambat.

Perhalusi semula usaha perpaduan orang Islam

Oleh ASRI SALLEH

BULAN Ramadan melatih umat Islam supaya menahan diri daripada segala lapar dahaga, kata dan sangka nista. Apabila dikira berjaya, maka ia dirai bila bulan Syawal menjelang tiba. Bulan mulia ini adalah bulan merayakan kemenangan menentang nafsu dan hasutan ajaran syaitan.

Di Malaysia, sebelum Ramadan tiba, orang Islam hangat berbicara tentang cadangan "perpaduan". Namun sepanjang Ramadan, idea ini bagaikan menyepi. Mungkin golongan penyokong dan penentang cadangan tersebut sedang bermuhasabah diri.
Tetapi masa bermuhasabah sudah tamat. Syawal adalah masa untuk melaksanakan apa yang telah dimuhasabahkan sebulan lamanya. Sempena kemuliaan bulan mulia ini, sebagai tanda kemenangan, cadangan perpaduan tersebut wajar diperhalusi semula.

Percayalah, idea itu sendiri adalah satu bentuk kemenangan. Sekurang-kurangnya ia mesti diberi peluang digerakkan.
Ketika era Perang Salib, Richard "The Lion Heart" pernah berpesan kepada pewaris dan penasihat beliau supaya menjauhi konfrontasi secara langsung dengan orang Islam.
Daripada aspek fizikal dan kelengkapan tentera, angkatan Muslimin adalah sangat kuat. Hanya ada satu cara mengalahkan mereka; kuasai jiwa dan galakkan perpecahan di kalangan mereka. Baru senanglah umat Islam itu diperangi.

Nasihat Richard kekal tersemat menjadi panduan Raja dan Ratu British apabila mereka bangkit menguasai sepertiga dunia sepanjang kurun ke-16 hingga kurun ke-20.
Antara hasilnya, dominasi Kerajaan Uthmaniyyah di Semenanjung Arab akhirnya hancur tumbang apabila British mengutus Lawrence "The Arabia" ke tanah Arab. Beliau meracun, menghasut dan mengajar orang Arab tentang ideologi nasionalisme ekstrem agar mereka bangkit menentang pemerintahan Islam Turki dan menubuhkan negara masing-masing.

Sejak itulah, negara-negara seperti Mesir, Arab Saudi dan lain-lain negara Teluk muncul bagai cendawan berperang menuntut pemisahan berdarah daripada Ankara.
Lawrence berjaya mencapai misinya. Ironinya, orang Arab itu sendiri akhirnya dijajah oleh British dan menjadi hamba penjajah kafir kulit putih ini beratus tahun lamanya.
Termasuklah orang Melayu di Tanah Melayu.

Justeru, apakah mungkin model pemecahan orang Islam ini turut diguna pakai British di Tanah Melayu? Apakah idea penubuhan pelbagai parti politik Melayu/Islam di Tanah Melayu didalangi British supaya mereka berpecah? Supaya negara ini bakal hancur dan membolehkan mereka kembali memperhambakan penduduk di Tanah Melayu?

Benarkah, pada hari ini, 15 juta orang Melayu mudah lupa? Apakah orang Arab juga mudah lupa? Apakah 800 juta orang India dan 1.2 bilion orang China juga mudah lupa? Kesemuanya pernah dijajah British yang sebelum itu datang bertamu membawa barang dagangan.

Memang kesemua kaum dan bangsa ini mudah lupa. Kalau tidak masakan Hamas dan Fatah tetap berpecah sehingga tergadai Palestin. Kalau tidak masakan beberapa negara Arab dan Afrika Utara, dengan syarat mereka bermusuh antara satu sama lain, masih terus bergantung hidup kepada "candu" wang dan bantuan kuasa-kuasa besar.
Kalau tidak masakan orang Melayu suka menentang idea supaya mereka berpadu dan bersatu.

Idea perpaduan di Malaysia adalah sesuatu yang pada asasnya mulia. Ia menganjurkan supaya orang Melayu/Islam/Bumiputera berpadu dan bersatu mencari jalan merealisasikan amanah Tuhan melalui jalan politik di negara ini.
Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Jika alasan perbezaan dasar menjadi alasan - sehingga dilaporkan boleh membawa kepada pertembungan syurga dan neraka - kenapa pula ikatan kerjasama boleh dibentuk dengan pertubuhan yang secara jelasnya mahu ke neraka?

Jika benci menjadi orang suruhan, mengapa tidak berani mengadakan perhimpunan aman menentang judi dan arak terbuka? Jika mahu melaksanakan perintah Tuhan sepenuhnya, mengapa pula tidak berani bersuara apabila terang-terangan dicap sebagai ekstremis dan pelampau agama?

Perundingan dalam apa jua bentuk perkara memerlukan watak, seni dan kemahiran yang secukupnya. Rendahkan hati, tetapkan niat dan bukakan minda seluas-luasnya.
Sebab itu, walaupun pernah tampak berpatah arang, kini Proton dan Mitsubishi masih mahu berunding tentang kerjasama strategik perniagaan. Model rundingan orang bisnes ini boleh sahaja dijadikan panduan. Justeru, rundingan politik juga boleh mengambil bentuk kerjasama strategik yang sama.

Pertama sekali, fikirkan tentang Tuhan. Selepas itu pertimbangkan tentang masa depan. Kemudian bayangkan hasilnya. Akhir sekali, selami tentang tanggungjawab manusia sesama manusia di Malaysia ini.

Jika benar mahu memperbaiki atap rumah pelanggan yang bocor, masuklah ke dalam terlebih dahulu. Ucapkan salam, mohon izin masuk dan kemudian lihat, pertimbang dan nilaikan kos pembaikannya. Tulis dan serahkan sebut harga dan berjanjilah untuk mengotakannya apabila segalanya dipersetujui.

Jika sebaliknya, berfikirlah sekali lagi. Apakah mungkin sebut harga itu boleh direndah sedikit atau ditambah nilainya? Berinovasilah supaya yang dikejar tidak terlepas dan yang dikendong tidak berciciran.
Sesungguhnya banyak ayat dalam al-Quran menyatakan - dalam tiap-tiap sesuatu itu, ada petanda bagi orang-orang yang mahu berfikir dan belajar. Justeru, jika usaha ke arah penambahbaikan sistem pentadbiran, pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan negara yang mahu segera dilaksanakan dan dipercepatkan, masuklah ke "dalam" dan lihat apa yang boleh dilakukan.

Jika segalanya dilakukan bertertib dan beradat, sekalipun apa yang dihajati tidak dapat ditunai, sekurang-kurangnya kita berlalu pergi tanpa rasa dengki, benci dendam dan iri hati.

Sungguhkah Ramadan itu benar-benar telah terkesan hingga ke sanubari?
Musuh Islam datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Surah Al-Baqarah, ayat 120 ada menyatakan tentang tekad Yahudi dan Nasrani yang sekali-kali tidak akan reda dengan Rasulullah. Baginda turut pernah berpesan, seperti yang diberitahu oleh Abu Sa'id Al-Khudri r.a. bahawa satu hari nanti orang Islam akan mengikut golongan Nasrani, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hatta hingga ke lubang biawak (Hadis riwayat Muslim).

Hanya kerana mereka pandai satu dua patah al-Quran, tidak bererti mereka ikhlas. Tidak bermakna mereka mahu berjuang demi Islam. Tidak semesti mereka sanggup mati demi Allah.

Terkadang terfikir, apakah umat Islam ini telah dijangkiti penyakit "wahan"? iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kerana takutkan kuasa hilang, maka dianjurkan idea perpaduan. Kerana terlupa ia dicipta dari Tuhan demi Tuhan, maka ditentang idea perpaduan. Kosong.

Namun, harus kita akur bahawa sesungguhnya hanya Yang Maha Pencipta itu yang benar-benar tahu. Harus kita akur bahawa sedalam-dalam lautan, dalam lagi hati manusia.
Waima apa tentangan, sedarlah wahai umat Islam. Bangkitlah. Cubalah untuk duduk berunding terlebih dahulu. Tak usah terus bercakap kasar. Senyum dan lihat jauh ke sudut hati. Mulakan langkah dan bicara dengan nama Tuhanmu. Bukankah kita ini dicipta oleh-Nya demi Dia jua?

PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Terengganu, Kampus Dungun

Kisah Berkat Disebalik Membaca Basmallah

Ditulis oleh Ustaz Azhar Idrus

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Nabi saw Menangis Di Mahsyar

Ditulis oleh Mahbubah

Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas ra, bapa saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud:
“Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur (bumi) pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul.” Ibnu Abbas ra berkata: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad SAW. Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.”
Jibril as akan menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?”
Bumi akan berkata: “Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu dimana kubur Muhammad SAW.”

Rasulullah SAW bersabda: “Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur.”
Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!”
Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda SAW telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW. Baginda SAW melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan. Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.
Jibril as berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala di tempat yang luas.”
Baginda SAW bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”
Jibril as menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala.”
Baginda SAW bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!”
Jibril as berkata: “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.”
Jibril as berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?”
Jibril as berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?”
Baginda SAW bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.”
Jibril as berkata kepada baginda SAW: “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”
Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya?”
Buraq berkata: “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
Baginda SAW bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.
Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah Taala berfirman: “Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita.”
Malaikat Israfil as menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman:
“Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!”
Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat.
Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.”
Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril as berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.”
Apabila nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!” Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.”
Jibril as berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”
Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril as berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.”
Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?”
Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!”
Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka. Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!”
Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru: “Di mana Jibril?”
Jibril as berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Muhammad SAW?”
Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”
Allah Taala berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.”
Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala.”
Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.”
Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman: “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!”
Hamba-hamba Allah Taala terdiam. Allah Taala berfirman: “Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”
Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.”
Malik bertanya: “Apakah hari ini?”
Jibril menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.”
Malik berkata: “Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?”
Jibril menjawab: “Ya!”
Malik bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?”
Jibril berkata: “Di hadapan Allah Taala!”
Malik bertanya lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?”
Jibril berkata: “Aku tidak tahu!”
Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis).
Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.

Amalan di 10 Terakhir Bulan Ramadhan.


Di 10 malam terakhir dibulan Ramadhan merupakan kemuncak kepada amalan-amalan yang dilakukan dibulan Ramadhan. Sayugianya jangan dibiarkan malam-malam ramadhan berlulu pergi tanpa mendapat keampunan dan pelepasan dari azab neraka.

Sifat Rasulullah saw apabila berada di 10 yang akhir bulan Ramadhan.

عن عائشة قالت كان رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) إذا دخلت العشر الأواخر من رمضان أيقظ أهله وأحي الليل وشد المئزر
Maksudnya; Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah saw membangunkan ahli keluarganya, menghidupkan malam dan mengikat kainnya (iaitu mengasingkan diri dari isterinya )

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُوقِظُ أَهْلَهُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ ، وَيُشَمِّرُ فِيهِنَّ.
Maksudnya; Nabi akan membangunkan ahli keluarganya pada 10 terakhir bulan Ramadhan dan bersungguh-sungguh padanya.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ اجْتِهَادًا ، لاَ يَجْتَهِدُه فِي غَيْرِهِ

Maksudnya; Rasulullah saw bersungguh-sungguh dalam beribadat pada 10 terakhir bulan Ramadhan, kesungguhan yang tidak pada waktu yang lain.

Mengapa kesungguhan itu melebihi dari kesungguhan di sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan? Kerana anugerah Allah yang sangat besar iaitu malam lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Firman Allah swt:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ .

Maksudnya; Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Sabda Nabi saw;

عَنْ عَائِشَةَ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ عَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ

Maksudnya; Carilah malam lailatul qadar pada hari-hari yang ganjil di sepuluh terkakhir bulan ramadhan.

Amalan di 10 terakhir Ramadhan ialah dengan menghidupkan malan ( qiamullail ) dengan melakukan amalan berikut

1.Beriktikaf di masjid.
2.Berzikir
3.Bertasbih
4.Bertahmid
5.Istighfar
6.Membaca al-Quran.
7.Sembahyang sunat khususnya solat Tarawih dan solat Tahajjud dan solat-solat sunat yang lain.