: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 27 Jun 2009

Ilmu angkat martabat manusia sebagai khalifah


Oleh Amran Zakaria
ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.
Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit.

Allah meletakkan orang beriman dan berilmu ke tahap paling tinggi, seperti ditegaskan Allah dalam firmannya bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana.” (Surah al-Zumar, ayat 9)
Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Ilmu agama atau ilmu yang ada dalam al-Quran dan sunnah akan menjadi benteng mencegah seseorang daripada melakukan perkara dilarang syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau mengejar kebendaan duniawi.

Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti kejuruteraan, kedoktoran, pertanian dan sebagainya dapat membantu kesejahteraan hidup manusia di dunia. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” (Hadis riwayat Ibn 'Adiyy, Al-Bayhaqi dan Al-Tabarani)
Kedudukan serta martabat orang berilmu diangkat dan diletakkan di tempat yang tinggi. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: “Allah mengangkat beberapa darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Di Malaysia, sumber ilmu melalui penghasilan buku sangat sedikit. Hasil kajian profil membaca Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 1996 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.

Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan perangkaan PNM itu, hanya 1,273 atau 32 peratus saja buku ilmiah dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bahan bacaan santai di samping buku teks akademik dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW mengajarkan sahabat untuk selalu berlindung daripada sifat malas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ilmu yang ada pada kita amat sedikit. Alangkah sayangnya jika ilmu yang sedikit dikurniakan Allah gagal untuk dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

Justeru, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu, bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredaan Allah semata-mata.

Satu peringatan keras daripada Rasulullah SAW, dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Niat menuntut ilmu juga penting kerana jika tujuan mendalami sesuatu bidang tidak bagi mencapai keredaan Allah, maka rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata: “Ilmu diiringi dengan perbuatan. Barang siapa berilmu maka dia harus berbuat. Ilmu memanggil perbuatan. Jika dia menjawabnya, maka ilmu tetap bersamanya, namun jika tidak maka ilmu pergi darinya.”

Seharusnya ketika ini kita sudah bersedia untuk memecahkan gumpalan pemikiran lama yang menjadikan tesis dan bahan kajian sekadar menjadi simbol kebanggaan yang langsung tidak dimanfaatkan.

Alangkah baiknya jika semua analisis dan kajian dibuat dapat diterjemahkan untuk tujuan pelaksanaan demi kepentingan dan pembangunan ummah. Tidak bolehkah kajian itu diwakafkan demi kepentingan tamadun ummah.

Memecahkan gumpalan pemikiran yang sudah berabad itu memang tidak mudah. Tetapi itulah agenda besar yang harus dilaksanakan jika ingin mengembalikan dinamik Islam ke arah berdaya saing.

Sudah lama kita dilihat lemah dan tidak berkeupayaan untuk membuktikan Islam adalah pelopor serta menjadi paksi kemajuan dunia. Ingatlah, buku adalah gudangnya ilmu dan membaca itu adalah kuncinya.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW ada memberitahu kepada Abu Dzar: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari Kitabullah lebih baik bagimu dari solat seratus rakaat. Dan, pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan, dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik dari solat seribu rakaat.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sumber: Berita Harian

Tiga amalan utama jadi bekalan manusia di akhirat


KEHIDUPAN dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaratkan perhentian seorang musafir buat seketika untuk sampai ke tempat tujuannya. Justeru, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat.

Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana juga. Oleh itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki.

Persiapan awal penting bagi setiap Muslim kerana peluang kehidupan di dunia dikurniakan Allah bagi setiap insan hanyalah sekali saja dan tiada lagi peluang kedua. Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat dalam al-Quran.
Namun, penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka sudah diberikan peringatan demi peringatan oleh nabi dan rasul, namun mereka mengingkarinya.

Firman Allah bermaksud: "Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia sudah menyesatkan aku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai." (Surah al-Furqan, ayat 27-30)

Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri Muslim bijaksana ialah Muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal salih sebelum menghadapi kematian. Orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha)." (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.

Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahupun uhkrawi kerana Islam adalah agama yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah mengangkat darjat orang berilmu berbanding dengan orang tidak berilmu.
Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang Muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal salih serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah. Baginda Rasulullah SAW pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: "Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredaan ke atas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama ke atas gugusan bintang di langit."

Amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang salih selepas ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anaknya sehingga menjadi anak yang salih dan taat kepada Allah.

Pada masa sama, anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak salih yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua.

Demikianlah beberapa amalan salih yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat.

Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan pada masa sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak supaya menjadi insan benar-benar beriman dan bertakwa.
(Khutbah Jakim online)
Sumber : Berita Harian

TIP PENGURUSAN MASA BERKESAN


Pengurusan masa merupakan suatu elemen kehidupan yang sangat penting. Kelemahan seseorang menguruskan masa dengan efektif akan menyebabkannya mudah terjebak ke kancah kegagalan dan kekecewaan. Pengurusannya yang baik pula pastinya membuahkan natijah yang berkesan di samping memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang. Bagi remaja, masa muda adalah sangat kritikal untuk disia-siakan begitu sahaja. Banyak masa diperlukan untuk mengulang kaji pelajaran, waktu bersama keluarga dan rakan-rakan, membuat pembacaan tambahan, riadah dan rehlah dan sebagainya lagi.

Salah satu ciri remaja muslim cemerlang adalah Munazzomun fi syuunihi (terurus dalam urusan hariannya). Apa yang dimaksudkan dengan terancang urusan harian adalah:

"Tersusun dalam urusannya sehingga menjadikan kehidupannya teratur dalam segala hal yang menjadi tanggungjawab dan amanahnya. Dapat menyelesaikan semua masalahnya dengan baik dengan cara yang baik.”

10 TIP PENGURUSAN MASA BERKESAN :
1. Buatlah perencanaan
Anda memerlukan perencanaan kerja harian. Kalau tidak demikian, anda akan mengalokasikan waktu menurut apa sahaja yang kebetulan tiba di meja tulis anda. Awasilah setiap hari dengan membuat jadual umum, dengan penekanan khusus pada dua atau tiga hal yang ingin anda selesaikan. Semakin banyak waktu yang kita lewatkan untuk merencanakan sesebuah projek, semakin sedikit waktu total yang diperlukan untuk menyelesaikannya.
2. Pusatkan perhatian
Golongan yang menghadapi masalah serius dalam hal pengurusan waktu biasanya mencuba melakukan banyak hal sekali gus. Jumlah waktu yang digunakan dalam suatu projek bukanlah hal yang penting. Tetapi yang lebih penting ialah menyediakan jumlah waktu yang tidak terganggu.
3. Ambillah waktu rehat
Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul. Oeh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik.
4. Jauhkan suasana berkecamuk
Sesetengah orang selalu membiarkan meja tulisnya dipenuhi kertas yang berselerak. Mereka merasa bahawa dengan cara itu persoalan yang penting akan naik sendiri ke atas timbunan kertas itu. Sebenarnya keadaan berkecamuk seperti ini mengganggu tumpuan serta meningkatkan ketegangan dan prestasi seperti orang yang tertimbus batu.
5. Jangan menjadi ‘perfectionist’
Ada perbezaan yang besar antara berusaha untuk mendapat hasil yang baik dengan bermati-matian mengejar kesempurnaan. Langkah yang pertama , dapat dicapai, memberi kepuasan dan sihat. Sementara langkah yang kedua, selalunya mustahil, mengakibatkan kekecewaan dan gangguan jiwa. Ia juga mengakibatkan pembaziran waktu yang sia-sia.
6. Jangan takut mengatakan tidak
Daripada semua teknik menghemat waktu yang pernah dikembangkan, barang kali yang paling efektif ialah selalu menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian sasaran anda.
7. Jangan menangguhkan kerja
Penangguhan kerja pada umumnya merupakan kebiasaan yang sudah berakar umbi. Sungguhpun begitu, kita mampu mengubah kebiasaan ini asalkan kita menggunakan sistem yang tepat seperti putuskan untuk berubah segera setelah anda selesai membaca artikel ini, sementara hati anda tergerak oleh motivasinya. Mengambil langkah pertama dengan segera adalah amat penting. Seterusnya jangan mencuba terlalu banyak perkara dalam waktu yang singkat. Apa yang perlu dilakukan ialah memaksa diri melakukan pekerjaan yang sudah tertunda sekarang juga.
8. Lakukanlah bedah siasat radikal
Kegiatan membuang waktu sama seperti kanser. Ia menghabiskan tenaga dan ketumbuhan semakin besar. Satu-satunya cara penyembuhan adalah pembedahan radikal. Jika anda membuang waktu dalam kegiatan yang membuatkan anda bosan, alihkan perhatian daripadanya kerana ia mensia-siakan tenaga anda. Buanglah kegiatan ini, sekali untuk selama-lamanya.
9. Delegasikan pekerjaan
Anda tidak perlu menjadi pemimpin nasional atau esekutif firma gergasi untuk mampu mendelegasikan pekerjaan. Belajarlah mendelegasikan tugas yang penuh cabaran dan memberikan imbalan, bersama dengan kuasa secukupnya untuk membuat keputusan yang perlu. Ini dapat membantu melonggarkan waktu anda.
10. Jangan ketagihan kerja
Hampir semua manusia berjaya mempunyai waktu bekerja yang panjang, tetapi mereka tidak membiarkan pekerjaan mengganggu hal-hal yang penting dalam hidup mereka, seperti bergaul dengan teman-teman dan bersama keluarga. Ini membezakan mereka daripada orang yang ketagihan kerja (workaholic) yang sama tarafnya seperti orang yang ketagihan alkohol.

Sumber : http://krimterengganu.wordpress

Ilmu kekeluargaan wajar diajar di sekolah


PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.
Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari ‘jahil ilmu’ sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.”
Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?

Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.
Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.

Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.’
Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.

Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.

Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.

Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jumaat, 26 Jun 2009

Merancak tumbesaran anak

Oleh YEO LI SHIAN
ls.yeo@kosmo.com.my

Setiap anak berhak diberi peluang berkongsi hobi atau minat yang serupa dengan ibu bapa atau orang dewasa.



MENDIDIK anak melalui teladan lebih berkesan berbanding teori semata-mata.

SETIAP pasangan yang baru menimang cahaya mata mungkin mempunyai impian ideal untuk mendidik anak. Anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang boleh 'dicorakkan' dengan pelbagai kaedah didikan berbeza.

Namun, dalam proses tumbesaran mereka, adakalanya ibu bapa terlepas pandang satu persoalan penting yang perlu dititikberatkan. Apakah sebenarnya yang membentuk memori indah zaman kanak-kanak seseorang?

Sungguhpun begitu, tiada sesiapa pun boleh memberi jawapan tepat kerana memori indah itu terlalu subjektif. Bukan sahaja persekitaran yang mempengaruhi tetapi juga apa yang 'disajikan' oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Maksudnya, setiap anak berhak diberi peluang berkongsi hobi atau minat yang serupa dengan ibu bapa atau orang dewasa yang lain. 'Peluang' inilah yang dimaksudkan sebagai sajian daripada ibu bapa masing-masing.

Seperti dalam sebuah buku tulisan Alecia T. Devantier, 101 Things Every Kid Should Do, beliau mencadangkan pelbagai perkara yang boleh dilakukan untuk merancakkan tempoh tumbesaran anak.

Sebagai seorang bekas pendidik, Alecia telah mengendalikan sejumlah bengkel dan terlibat dalam sebuah program pembangunan kokurikulum nasional. Dengan pengalaman luas dalam bidang ini, beliau percaya mendidik anak melalui tauladan lebih berkesan berbanding teori semata-mata.

Dalam buku setebal 271 muka surat ini, Alecia telah menghimpunkan satu koleksi cadangan aktiviti yang difikirkan penting dalam proses pembesaran anak. Cadangan aktiviti-aktiviti ini disyorkan untuk anak-anak yang berusia dalam lingkungan antara tiga hingga 12 tahun.

Dilengkapi dengan penerangan yang cukup terperinci untuk setiap cadangan, ibu bapa boleh juga menyesuaikan cadangan mengikut gaya hidup dan persekitaran negara yang didiami.

Setiap cadangan pula disertakan dengan beberapa contoh aktiviti praktikal yang boleh dilaksanakan oleh si anak. Cadangan pertama yang disyorkan ialah setiap anak perlu melakukan sesuatu untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik.

Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mencuba pelbagai aktiviti, misalnya menderma sebahagian daripada wang saku untuk tujuan amal atau mengutip sampah yang berselerak di taman.

Jika contoh ini kedengaran terlalu biasa untuk dipraktikkan, mungkin anda boleh mencuba cadangan ke-22 iaitu setiap anak perlu menghasilkan hadiah buatan sendiri yang istimewa. Hadiah-hadiah buatan ini pasti menjadi kenangan terbaik untuk ibu bapa sempena hari istimewa atau pun sekadar dihadiahkan kepada nenek dan datuk.

"Tiada yang lebih bermakna bagi mana-mana ibu bapa, selain menerima hadiah buatan sendiri daripada anak. Hadiah-hadiah ini semestinya sangat berharga kerana ia dibuat dengan penuh kasih sayang dan perhatian," ujar Alecia dalam buku tersebut.

Untuk pengalaman yang lebih mencabar, Alecia mensyorkan setiap anak diberi peluang mengusahakan sebuah kebun sayuran. Kanak-kanak, katanya, secara am perlu mempelajari erti kesabaran. Mereka mungkin memiliki perasaan ingin tahu yang tinggi tetapi kurang dari segi bersabar.

Biarpun begitu, Alecia sedar bukan semua anak membesar dalam persekitaran yang cukup luas untuk berkebun. Namun, ini tidak harus menjadi alasan untuk tidak memberi anak-anak pengalaman itu.

"Apa yang diperlukan, hanyalah satu pasu kecil yang diletakkan di tepi sebuah tingkap. Jika tiada pasu sekali pun, bekas serbuk kopi pun boleh mainkan peranan. Itu sahaja," jelasnya dalam buku terbitan Sourcebooks, Inc.

Selain berkebun, antara 101 cadangan aktiviti lain yang boleh membentuk kenangan kepada anak apabila besar nanti termasuklah setiap anak perlu:

*Menghasilkan piza
*Meniup buih-buih sabun
*Mempunyai seorang rakan baik
*Bermain dengan makanannya
*Dibenarkan menghias bilik mengikut tema pilihan peribadi
*Merasai misteri sesebuah magis
*Membuat kerja rumah tanpa sebarang bayaran
*Diberi peluang berlagak seperti seorang kanak-kanak

Menerusi penggunaan bahasa yang cukup ringkas dan penerangan padat, buku ini sesuai sebagai rujukan untuk golongan ibu bapa mahupun guru.

Sumber:KOSMO

Jeruk Beremi Kuala Kedah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
zainal.mohamed@kosmo.com.my

Tiga tahun mengkaji khasiat pucuk sepit atau pokok beremi, uniknya ia dipercayai boleh mengawal ketagihan merokok.

SIAPA sangka pokok yang hidup meliar di persisiran pantai dan tidak diendahkan mampu memberi pelbagai khasiat kepada manusia dengan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Lebih menarik pokok yang tumbuh meliar di dalam air dan atas tanah itu dikatakan mampu menghilangkan ketagihan merokok selain dapat menyembuhkan asma.

Portulaca atau lebih dikenali sebagai pokok beremi sebelum ini dijadikan ulam yang diyakini dapat memberi pelbagai khasiat di kalangan nenek moyang kita yang tinggal berhampiran laut.

Namun, peredaran zaman telah melenyap dan melupakan kita kepada khasiat warisan itu.

Menyedari hakikat itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Mohd. Rosli Ismail, mengambil inisiatif untuk mengkaji khasiat sebenar tumbuhan tersebut sebelum mempopularkan semula pokok beremi.

Melalui kajian yang dilakukan selama tiga tahun, akhirnya sejenis produk yang dinamakan jeruk beremi dihasil dan dipasarkan melalui agensi kerajaan dan swasta.

Penyelidikan itu juga mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Mohd. Rosli, 56, projek menghasilkan jeruk daripada pokok beremi itu juga merupakan inisiatif Persatuan Nelayan Kuala Kedah untuk menambahkan pendapatan para nelayan.

"Pokok beremi memang kaya dengan khasiat dan tanaman ini pula banyak tumbuh di sekitar kawasan pesisir pantai di sekitar Kuala Kedah.

"Dengan menggunakan kekayaan alam semula jadi yang ada produk itu boleh menjana sumber pendapatan sampingan kepada para nelayan," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, ideal menghasilkan produk berkenaan wujud sejak dia melihat orang tua di kampungnya mengutip pokok beremi atau lebih dikenali dengan nama pucuk sepit atau pokok remilang untuk dijadikan ulam-ulaman.

Beliau memberitahu, ketika itu dia masih kecil dan tidak mengetahui tentang khasiat pokok beremi.

"Saya ada juga mendengar cerita daripada mulut ke mulut tentang khasiat pokok beremi terutama keberkesanan pokok ini untuk menyembuhkan penyakit.

"Setelah itu saya berazam untuk mengkaji tumbuhan ini bagi berkongsi khasiatnya dengan masyarakat," ujarnya.

Setelah dikaji secara mendalam, beliau mendapati pokok beremi mempunyai khasiat yang baik dalam merawat penyakit pada paru-paru, asma dan menghilangkan ketagihan merokok.

Katanya, memandangkan pokok beremi mudah layu dan rosak seperti sayur-sayur yang lain, beliau memutuskan untuk mengawet tanaman itu sebelum dijual.

Tambahnya, dengan menjadikan pokok beremi sebagai jeruk beliau dapat mengekalkan nutrien sebenar pokok itu dalam jangka masa yang lebih panjang.

Beliau memberitahu, pokok beremi diawet dengan menggunakan bahan seperti cuka, garam serta gula dan melalui proses menjeruk. Ia dapat mengekalkan kerangupan, tekstur dan rasa tumbuhan ini seperti asal.

"Tumbuhan ini dibeli daripada nelayan yang mengutipnya di persisir pantai sebelum diproses oleh Persatuan Nelayan Kuala Kedah.

"Dengan cara itu nelayan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan di laut untuk menyara keluarga," ujarnya.

Jelas Mohd. Rosli, sehingga kini seramai 20 nelayan terlibat dengan proses mengutip pokok beremi dan pihaknya yakin bilangan itu akan bertambah jika produk berkenaan mendapat sambutan.

"Bagi orang ramai yang ingin mencuba jeruk beremi ini mereka boleh mendapatkannya di Persatuan Nelayan Kuala Kedah atau membelinya di cawangan HPA Sdn. Bhd. yang turut memasarkan produk ini," katanya.

Sumber:KOSMO

Pemimpin baik lahir daripada masyarakat salih


Oleh Nawawi Subandi
KESTABILAN sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) sebenarnya terbentuk bermula daripada diri setiap individu, diikuti peringkat keluarga dan seterusnya kepada masyarakat yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara.

Oleh itu, perlu untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu sebenarnya dilahirkan daripada masyarakat kebanyakan iaitu kalangan kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan keimanan dan sifat salih, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang baik daripada kelompok masyarakat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah sudah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, seperti Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang sudah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka asalnya dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan: “Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredai-Nya.”

Ar-Rabi’ bin Anas meriwayatkan hadis yang bersumber daripada Abul ‘Aliyah ketika menjelaskan firman Allah itu berkata: “Rasulullah SAW dan sahabatnya tinggal di Makkah sekitar 10 tahun. Mereka berdakwah, menyeru untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih daripada itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.
Pada awalnya mereka berasa takut, sama ada pada waktu pagi atau petang. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga pada waktu yang dikehendaki oleh Allah dan turunlah ayat berkenaan.

Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai negara Arab, sehingga mereka berasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian sesudah Rasulullah SAW wafat, mereka tetap berasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Beliau juga menjelaskan: “Adalah sahabat kerana mereka kelompok manusia yang paling mentaati perintah Allah sesudah nabi wafat, maka kejayaan yang mereka peroleh itu adalah bersesuaian dengan keikhlasan menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat.

Oleh itu, Allah memperkuatkan kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga berupaya menakluki pelbagai negeri lain dan menjadi penguasa penduduk negeri mereka takluki. Namun, ketika umat sudah mula lalai menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat”.” (Hadis Riwayat Muslim)

Terbuktilah bahawa sebuah pemerintahan baik dan pentadbiran berkesan lahir daripada masyarakat yang memiliki keimanan, sifat salih dan ketaatan kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raaf, ayat 96)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan demikian kami jadikan sebahagian orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (Surah Al-An’am, ayat 129)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud ayat itu: “Tiada orang yang zalim pun melainkan dia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan daripada kalangan orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang yang zalim lainnya. Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka diseksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan di atas kezaliman mereka.”

Al-Walid ath-Tharthusi berkata: “Sehingga sekarang masih terdengar orang berkata, amalan kamu adalah pekerja kamu. Seperti mana kamu sekarang ini; maka seperti itulah kamu akan dipimpin.”

Abdul Malik bin Marwan pernah berkata: “Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kamu mahukan dari diri kami seperti yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kamu tidak pun melaksanakan apa yang mereka (rakyat Abu Bakar dan Umar) amalkan?”

Dari sini kita dapat mengetahui dan memahami bahawa sifat salih dan adil yang terpancar pada diri pemerintah sebenarnya turut dipengaruhi sifat salih dan keadilan dalam diri masyarakatnya.

Dengan sebab itu, hendaklah kita mula membina sesebuah negara yang baik itu dengan mula mengubah diri kita terlebih dulu. Maka hendaklah kita sentiasa bermuhasabah dan berusahalah untuk memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)
Sumber: Berita Harian.

Mukmin sejati peroleh nikmat ‘kehidupan’ di alam kubur


Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid
ALAM barzakh adalah satu alam lain yang pasti akan ditempuh dan dihuni manusia selepas kehidupan dunia ini. Manusia tetap berada di alam barzakh sehinggalah kedatangan hari kiamat sebagai tanda berakhirnya dunia.

Mukmin yang baik dan beramal soleh akan berada di alam barzakh dalam keadaan aman sentosa kerana memperoleh nikmat kubur hasil amalan kebaikan mereka semasa di dunia seperti solat, puasa, zakat, haji dan sedekah.
Rasulullah SAW bersabda: “Yang akan mengikuti mayat (semasa dihantar ke tanah perkuburan) tiga perkara (iaitu): kaum keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang (kembali ke rumah) iaitu keluarga dan harta. Satu (saja) yang tinggal (yang ikut bersamanya ke alam barzakh) iaitu amalannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Merenung sabda Baginda SAW itu menjadikan kita insaf bahawa nikmat kehidupan ini terlalu mahal harganya. Manusia hanya bernilai di sisi Allah jika keseluruhan kehidupannya diisi ibadah dan amal soleh kerana hanya amal soleh bekalan terbaik menghadap Allah nanti.

Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).” (Surah al-A’raf, ayat 34)

Hakikatnya, kehidupan adalah kesempatan berbuat baik dan satu-satunya modal untuk mencapai kebahagiaan serta keselamatan sesudah mati. Jika nikmat kehidupan di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, maka rugi nanti bilamana seseorang dipertanggungjawabkan dengan apa yang diperbuat di hadapan pengadilan Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah tidak Kami panjangkan sudah umur kamu, dalam waktu di mana kamu boleh mengingat bagi mereka yang mahu ingat. Dan sudah datang kepadamu yang memberikan teguran dan perhatian.” (Surah Fatir, ayat 37)

Seseorang yang dikurniakan umur sehingga 60 tahun namun masih belum menyedari erti kehidupan, hatinya tidak tergerak melakukan ketaatan dan bertaubat kepada Allah, maka tipislah harapan untuk meraih santunan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah Allah menerima uzur terhadap seseorang yang sudah diberikan tempoh hidupnya sampai 60 tahun.”

Saidina Ali pernah mengungkapkan (bermaksud): “Dunia ialah pasar akhirat yang mana orang mukmin adalah saudagarnya, amal soleh keuntungannya, dosa kerugian, manakala panjang usia modalnya.”

Alam barzakh (kubur) adalah satu pengalaman atau persinggahan pertama yang akan dialami seseorang sesudah mati. Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Saidina Uthman bin Affan apabila berada di kawasan perkuburan, beliau menangis tersedu-sedu sehingga basah seluruh janggutnya.

Seseorang bertanya kepada beliau: “Tuan ingat neraka, tuan tidak menangis. Tetapi tuan menangis kerana melihat kubur, mengapa demikian? Saidina Uthman menjawab: Saya menangis kerana takutkan peringatan daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka jika seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudian lebih mudah lagi, dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Selagi umur kita masih ada dan Allah SWT memberi waktu hidup, bersegeralah rujuk kepada Allah SWT dan bertaubat jika terlanjur berbuat dosa, patuhi perintah, jauhi tegahan-Nya serta jadikan takwa sebaik-baik bekalan. Andainya maut datang secara mengejut, kita sudah mempunyai persiapan untuk pulang ke pangkuan Ilahi.

Rasulullah SAW bersabda: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada puteranya: “Wahai anakku, bersegeralah kamu bertaubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba, dan apabila malaikat maut datang, dia tidak memberitahumu terlebih dulu.”

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia, Serdang
Sumber: Berita Harian

USAHA-USAHA UNTUK MEMPERTAHANKAN PERMAINAN TRADISIONAL


Usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?Apakah definisi permainan tradisional? Sebenarnya menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dam menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, ada banyak tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baru kepada keseinambungan permainan warisan budaya ini.Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya keseinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisiona sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal in mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baru pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan. Peribahan 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.

Sumber:azman-duniaku.com/

PUNCA BERLAKUNYA PENDERAAN KANAK-KANAK


Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.


Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.


Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


Pihak-pihakyang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Di karang oleh Mohd Dihazra Azira

PENULISAN KARANGAN YANG BERKESAN


Untuk menulis, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu yang dapat menarik perhatian pemeriksa. Lima strategi tersebut ialah :
i. memilih soalan yang tepat
ii. mengenal pasti kata kunci soalan
iii. menyediakan rangka karangan
iv. menulis karangan
v. menyemak karangan

MEMILIH SOALAN YANG TEPAT

Para pelajar perlu membaca kesemua soalan yang dikemukakan sambil menggarisi setiap kata kunci dalam soalan. Pilih soalan yang paling sesuai dengan pengetahuan anda untuk menjawabnya.

MENGENAL PASTI KATA KUNCI SOALAN

Para pelajar perlu memahami setiap kata kunci yang terdapat dalam soalan peperiksaan. Setiap soalan peperiksaan mempunyai tiga perkara utama yang perlu dikesan oleh pelajar. Tiga perkara itu ialah TEMA (T), SKOP (S) dan FORMAT (F). Baca dan garisi ayat yang mengandungi tiga kata kunci tersebut.

Contoh soalan:

Sejak akhir-akhir ini, program televisyen realiti telah mendapat tempat dalam hati masyarakat. Program seperti ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.

Bincangkan kesan buruk program tersebut dalam kalangan masyarakat.

TEMA : persoalan yang dibincangkan – program televisyen realiti
SKOP : kehendak soalan – kesan buruk kepada masyarakat
FORMAT : jenis karangan – perbincangan/pendapat

MERANGKA PENULISAN KARANGAN

Setelah mengenalpasti tema, skop, dan format pelajar perlu mula merangka untuk menulis karangan. Sama seperti manusia, karangan juga mempunyai anatomi yang terdiri daripada kepala, tubuh, dan kaki. Setiap bahagian perlu mempunyai lima perkara yang sekata.

Perenggan pendahuluan

Bahagian kepala sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perednggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai lima perkara yang ditulis dalam satu perenggan:

i. ayat tema : merujuk kepada tema karangan
ii. isu semasa :
iii. huraian isu :
iv. pendapat :
v. pendirian penulis : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti. (Isu semasa) Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. (Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Skop soalan)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

Selangkan sebaris untuk menulis perenggan berikutnya iaitu perenggan isi.
Perenggan isi

Seterusnya ialah bahagian tubuh karangan atau juga dikenali sebagai perenggan isi karangan. Perenggan isi karangan juga mestilah dibina secara sekata bagi setiap perenggan. Penulisan isi karangan yang baik mesti mempunyai empat unsur/perkara. Unsur-unsur tertsebut terdiri daripada:

i. ayat fokus : isi utama
ii. ayat huraian : 5W1H (MASB2D)
iii. Ayat contoh : relevan dan terkini
iv. Ayat simpul : kesimpulan perenggan

Ayat fokus mestilah dimulakan dengan pernyataan isi dalam satu ayat sahaja. Gunakan ayat penyata yang jelas dan berwibawa. Ini diikuti dengan ayat huraian daripada penyataan isi. Gunakan teknik penyoalan 5W1H. Jumlah ayat huraian tidak terhad tetapi bergantung pada kemampuan pelajar. Seterusnya, pelajar perlu mengemukakan contoh atau bukti bagi menyokong huraian di atas. Contoh / bukti yang diberikan mestilah relevan dan terkini. Gunakan sumber rujukan daripada majalah atau akhbar harian. Setiap isi karangan mesti diakhiri dengan ayat kesimpulan.

Perenggan isi mesti terdiri sekurang-kurangnya lima isi yang ditulis dalam lima perenggan. Setiap perenggan mesti diselangkan dengan satu baris. Jangan dicampuradukkan beberapa isi dalam dalam satu perenggan.

Contoh:
(Ayat fokus) Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita. (Ayat huraian) Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (Ayat contoh) Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. (Ayat simpul) Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

Perenggan penutup

Akhir sekali, sesebuah karangan perlu mempunyai kaki supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. ayat kesimpulan
ii. ayat cadangan
iii. ayat harapan
iv. ayat penegasan

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincang. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(Ayat kesimpulan) Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. (Cadangan) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata unutk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton. (Harapan) Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. (Penegasan) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

MENULIS KARANGAN

i. Karangan yang ditulis mestilah mepunyai TUJUH perenggan yang terdiri
daripada Pendahuluan (1 perenggan), Isi (5 perenggan) dan Penutup (1 perenggan)
ii. Setiap perenggan terdiri daripada 12 baris yang sekata. Pastikan karangan berselang sebaris antara perenggan.
iii. Isi utama merupakan ayat pertama dalam karangan.
iv. Ayat huraian menggunakan teknik 5W1H (MASB2D)
v. Setiap isi perlu ada kesimpulan.
vi. Ungkapan menarik berupa peribahasa, cogan kata, kata-kata hikmat tokoh, pantun, dan seumpamanya mesti diselitkan dalam setiap perenggan.
vii. Gunakan kosakata yang luas seperti anjakan paradigma, kedangkalan ilmu dan seumpamanya.
viii. Susun isi mengikut kepentingan, contohnya diri – keluarga – negara –global.
ix. Setiap ayat yang ditulis mestilah mempunyai subjek dan predikat dengan jelas. Ayat mesti betul.
x. Kertas karangan mesti bersih, kemas dan mudah dibaca.
Setelah menulis karangan, pelajar perlu menyemak karangan yang telah siap. Pastikan ejaan, tanda baca, penanda wacana dan struktur ayat telah ditulis dengan betul. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan pemotongan markah.

TIP-TIP LAIN

i. Pelajar MESTI membaca akhbar setiap hari. Luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit sebelum P&P dengan membaca isu semasa.
ii. Guru menggunakan akhbar untuk membina karangan di samping sebagai bahan rujukan.
iii. Latihan menulis karangan perlu dilakukan pada setiap hari dalam tempoh yang ditetapkan.
iv. Gunakan kertas berformat kertas jawapan LPM untuk latihan (boleh difotokopi). Ini untuk membiasakan pelajar dengan kertas peperiksaan sebenar.
v. Semua pelajar menggunakan pena yang sama jenis semasa peperiksaan.
vi. Pelajar boleh menyalin karangan contoh sekurang-kurangnya seminggu sekali.
vii. Sebulan sekali perlu diadakan ujian masa menulis karangan. Patuhi masa peperiksaan sebenar.
Sumber: Blog BM

Teknik Menjawab Rumusan

• Jawab soalan ini dulu kerana inilah lubuk markah.

• Dicadangkan 10 patah kata untuk pendahuluan, 70 kata untuk isi tersurat, 25 patah kata untuk isi tersirat dan 15 patah kata untuk kesimpulan. Rancang perenggan anda dengan teliti.

• Untuk pendahuluan, sila semak kata-kata sinonim untuk faktor, kepentingan, kesan dan sebagainya. Apakah makna perkataan ini? Natijah, kekangan, kemaslahatan, manfaat, gejala, strategi, . Sila cari makna yang tepat daripada kamus dewan.

• Mulakan isi tersurat dengan (rujuk soalan, katakanlah faktor) Salah satu faktor keracunan makanan ialah (isi pertama). Selain itu, (isi ke-2), Seterusnya, (isi ketiga), Seperkara lagi, (isi ke-4), malahan (isi ke-5). Di samping itu(isi ke-6) dan juga, (isi ketujuh). Justeru bukan penanda wacana.

• Kalau isi tersurat dah tulis 6, kira jumlah kata. Kalau baru 60, boleh tambah satu isi lagi. Kalau sudah 65 ke atas, semak semula kalau-kalau ada perkataan yang tak perlu untuk dibuang dan boleh tambah satu isi lagi. Kalau tidak, ada teruskan saja ke perenggan seterusnya iaitu menuliskan isi tersirat.

• Mulakan isi tersirat dengan menuliskan kembali soalan untuk isi tersirat. contohnya usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan. Contoh: usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan ialah (isi 1) dan (isi 2). Kalau belum cukup 25 patah kata, boleh tambah isi. Selain itu, (isi 3).

• Kesimpulan hendaklah satu ayat sahaja yang terdiri daripada 2 unsur. Unsur pertama ialah cadangan anda iaitu apa/siapa yang patut melakukan sesuatu. Unsur kedua ialah mengapa cadangan itu patut dilaksanakan/kesan daripada cadangan itu. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan keracunan makanan (unsur pertama) agar keselamatan awam terjamin. (unsur kedua).

• Kira balik jumlah perkataan dan kalau sudah berpuas hati, tuliskan jumlah perkataan yang benar di bawah rumusan anda.

• Ingat, di samping itu dikira 2 perkataan. (di dan ke tidak dikira) Nama khas, walau panjang mana sekalipun dikira 1 perkataan dan kata ganda juga 1 perkataan.


Sumber: Modul Cemerlang SPM SMKGH

Khamis, 25 Jun 2009

Wahai Sayangku ...


Pergunakanlah waktu sihat ,
Sebelum sampai waktu sakit,
Pergunakanlah waktu sempat ,
Sebelum sampai waktu sempit .

Pergunakanlah waktu remaja ,
Sebelum sampai waktu tua ,
Pergunakanlah waktu bekerja ,
Sebelum sampai waktu bersara .

Pergunakanlah waktu lapang ,
Sebelum sampai waktu sibuk ,
Pergunakanlah waktu sekarang ,
Sebelum sampai waktu esok .

Pergunakanlah waktu berbuah ,
Sebelum sampai waktu melawas ,
Pergunakanlah waktu mewah ,
Sebelum sampai waktu tewas .

Pergunakanlah waktu jaga ,
Sebelum sampai waktu tidur ,
Pergunakanlah waktu muda ,
Sebelum sampai waktu uzur .

Pergunakanlah waktu siang ,
Sebelum sampai waktu senja ,
Pergunakanlah waktu bujang ,
Sebelum kamu berumahtangga .

Pergunakanlah waktu berada ,
Sebelum sampai waktu susah ,
Pergunakanlah waktu tiba ,
Sebelum sampai waktu berpisah .

Pergunakanlah waktu redup ,
Sebelum sampai matahari ,
Pergunakanlah masa hidup ,
Sebelum sampai waktu mati .

ASPEK SOALAN PEMAHAMAN (Soalan 2a-2d)


•Soalan-soalan pemahaman terbahagi kepada 3 aspek berikut :-
Aspek Pemahaman Berdasarkan Konteks @ Petikan (PBP)
Aspek Pemahaman Kemahiran Berfikir (PKB)
Aspek Pemahaman Komsas (PKOM)

• Soalan Pemahaman Berdasarkan Konteks@Petikan (PBP) menguji pemahaman pelajar terhadap isi kandungan petikan serta menilai kemampuan calon mencari maklumat yang dikehendaki daripada petikan. Jawapan bagi soalan ini terdapat dalam petikan. Soalan PBP terdapat pada Soalan 2ai, 2aii, 2bi, 2ci, 2cii dan 2di
• Soalan Pemahaman Kemahiran Berfikir (PKB) menilai daya penaakulan pelajar memberi pendapat atau idea tentang perkara yang dibincangkan dalam petikan dalam ruang yang lebih luas. Jawapan bagi soalan ini tiada dalam petikan. Petikan yang diberi berfungsi sebagai pencetus idea untuk pelajar berfikir dengan lebih kritis dan kreatif. Soalan PKB terdapat pada Soalan 2aiii, 2bii, 2ciii dan 2dii.
Soalan Pemahaman Komsas (PKOM) memerlukan pelajar memahami dan menguasai aspek-aspek kajian sastera seperti tema, persoalan , pengajaran, latar dan nilai. Jawapan diberikan berdasarkan soalan tentang aspek kajian sastera tertentu yang terdapat dalam petikan dan keseluruhan teks petikan tersebut diambil. Soalan PKOM terdapat pada Soalan 2biii dan 2diii.

Cikgu Mie,MRSM

ISU PENDATANG ASING



ANJAKAN EKONOMI BURUH ASING
Oleh DR. ASAN ALI GOLAM HASSAN
KEHADIRAN pekerja asing diakui dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja. Malah ia turut membantu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi.
Kemasukan buruh asing ketara sejak akhir 1980-an. Pada awalnya, kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar di sektor formal tetapi kemudian ramai yang beralih menjadi pengusaha.
Promosi Malaysia sebagai negara yang mempunyai kadar upah rendah, mungkin tidak lagi sesuai. Upah pekerja Malaysia tidak lagi rendah secara relatif. Yang rendah ialah upah pekerja asing yang bekerja di Malaysia.
Malaysia wajar dipromosikan sebagai sebuah negara yang sedang beralih kepada aktiviti intensif teknologi dan nilai tambah lebih tinggi, dengan pengambilan buruh asing dilaksanakan secara bijaksana dan terpilih.
Pada tahun lalu, penduduk Malaysia berjumlah sekitar 27,728,700 orang. Kaum Bumiputera meliputi 61.8 peratus, Cina 22.9 peratus, India dan lain-lain 8.1 peratus. Penduduk bukan warganegara pula berjumlah 7.1 peratus.
Peratusan bukan warganegara paling tinggi ialah di Sabah. Bagi setiap 100 penduduk di negeri itu, 25 daripadanya bukan warganegara.
Bagaimanapun daripada segi agihan tenaga buruh mengikut kaum, peratus tenaga buruh bukan warganegara sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah kaum India dan lain-lain di negara ini.
Daripada sejumlah 10,889,500 tenaga buruh di Malaysia pada tahun lalu, 57.3 peratus terdiri daripada Bumiputera; kaum Cina pula 24.8 peratus sementara India dan lain-lain sebanyak 8.2 peratus. Buruh di kalangan bukan warganegara pula berjumlah 9.7 peratus.
Bilangan bukan warganegara - dalam umur bekerja - meningkat dengan mendadak daripada 215,200 pada 1982 kepada 1,240,200 pada 2005. Tenaga buruh bukan warganegara pula meningkat daripada 138,500 kepada 1.03 juta.
Dalam tempoh 20 tahun iaitu antara 1985-2005, jumlah buruh bukan warganegara meningkat sebanyak 367 peratus. Daripada sejumlah 1,240,200 pada 2005, sebanyak 1,015,300 bekerja sementara, baki seramai 14,200 tidak bekerja (menganggur) dan 201,700 di luar tenaga buruh.
Trend kadar pengangguran buruh asing semakin berkurangan dan kadar penyertaan tenaga buruh semakin meningkat.
Pekerja bukan warganegara paling ramai ialah dari Indonesia. Statistik pada 2005 menunjukkan 67.4 peratus berasal dari Indonesia, 9.9 peratus (Filipina), 3.2 peratus (Bangladesh) dan bakinya dari negara-negara lain.
Tiga industri utama yang dimonopoli oleh bukan warganegara ialah industri pertanian termasuk perhutanan dan perikanan - sebanyak 33 peratus, sementara industri pembinaan dan pembantu rumah pula sekitar 14 peratus.
Pekerja tempatan pula masih melebihi pekerja asing dalam industri pembuatan iaitu sebanyak 19.1 peratus. Bagaimanapun, industri pembuatan merupakan industri kedua paling ramai pekerja asing iaitu 17 peratus, hanya kurang dua peratus daripada pekerja tempatan.
Tiga jenis pekerjaan industri utama yang dimonopoli oleh bukan warganegara ialah pekerja asas sebanyak 31 peratus, pekerja mahir pertanian dan perikanan (28 peratus) dan operator loji dan mesin serta pemasangan (13 peratus).
Bagi jenis pekerjaan pula, pekerja pertukangan dan yang berkaitan dengannya meliputi 11 peratus, sama dengan warganegara. Data-data ini diperoleh dari Penyiasatan Tenaga Buruh, Profil Bukan Warganegara 2007 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada 2007, sebanyak 87.7 peratus daripada bukan warganegara terlibat sebagai pekerja, 9.7 peratus lagi bekerja sendiri, 1.9 peratus pekerja keluarga tanpa gaji dan bakinya sebanyak 0.7 peratus terdiri daripada kumpulan majikan.
Dijangka sebahagian daripada bukan warganegara yang 'bekerja sendiri' ini terdiri daripada imigran asing yang telah lama menetap di sini dan mereka yang menjadi 'pekerja keluarga tanpa gaji' pula sebahagiannya ialah anak-anak atau saudara-mara kepada pekerja yang 'bekerja sendiri.'
Kemasukan besar-besaran buruh asing bermula sekitar 1987. Kemasukan itu berkait rapat dengan peluang pekerja di sektor pertanian dan pembinaan (kini pembuatan). Bagaimanapun, semasa krisis ekonomi 1997 (dan juga krisis 2008) sebahagian mereka pulang ke negara asal.
Sebahagian besar yang pulang ialah mereka yang telah diberhentikan kerja dan tiada peluang untuk bekerja dalam mana-mana sektor.
Mereka tiada peluang kerana sama ada masih baru di Malaysia, tiada kenalan dengan pekerja asing yang telah lama di sini atau tiada kenalan rapat dengan rakyat tempatan. Ringkasnya, semakin lama mereka di Malaysia, semakin rendah kemungkinan untuk mereka pulang ke negara asal jika berlaku krisis ekonomi.
Bagi imigran yang telah lama di sini, krisis ekonomi merupakan petunjuk aras untuk berubah kepada pekerjaan yang lebih baik demi survival.
Memang berlaku anjakan pekerjaan asing akibat krisis ekonomi ini. Ramai buruh kasar yang datang ke sini pada lewat 1980-an, kini menjadi seorang pengusaha melalui usahasama dengan rakyat tempatan dan kemudian menubuhkan syarikatnya sendiri.
Ia sebahagian daripada proses bagaimana pekerja migran cuba menyesuaikan diri berikutan perubahan di luar kawalan mereka iaitu krisis ekonomi.
Mereka juga sentiasa mengambil peluang meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup termasuk melibatkan diri dalam aktiviti tidak formal yang tidak sah daripada segi peraturan.
Syarikat mungkin didaftarkan (atau dimiliki) oleh pengusaha tempatan tetapi aktiviti syarikat oleh pengusaha asing yang pekerja mereka juga sebahagian besarnya ialah pekerja asing.
Sub-sub kontraktor pengusaha asing ini (yang tidak berdaftar) akan bersaing dengan pengusaha-pengusaha kecil (terutamanya pengusaha Bumiputera) untuk mendapatkan projek. Akibatnya, kerja-kerja untuk sub kontrak ini akan diberi kepada pengusaha asing, yang secara relatifnya menawarkan harga lebih murah.
Secara khusus, penglibatan pengusaha asing boleh melambatkan usaha meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam aktiviti perniagaan melalui dua cara.
Pertama, peluang perniagaan kepada sub-sub kontraktor Bumiputera akan berkurangan kerana tidak mampu bersaing dari segi kos dan pulangan.
Kedua, mewujudkan budaya perniagaan 'Ali-Baba' baru daripada 'Melayu-bukan Melayu' kepada 'Melayu-Bukan Warga.'
Kebanyakan pengusaha asing, sama ada melalui syarikat mereka sendiri - rasmi atau tidak rasmi - atau dengan kerjasama dengan pengusaha tempatan, akan menggunakan pekerja dari negara asal mereka.
Selain menutup peluang pekerja tempatan, kemasukan buruh asing yang rata-ratanya bukan pekerja mahir, akan memperlahankan upah dalam sektor berkaitan.
Bagi sesetengah sektor, pergantungan berlebihan kepada buruh asing menyebabkan faktor upah pekerja tidak mahir menjadi tegar (tepu) atau mungkin berkurangan.
Besar kemungkinan upah pekerja tidak mahir di kalangan penduduk tempatan meningkat pada kadar yang jauh lebih rendah daripada kadar peningkatan pendapatan per kapita negara. Keadaan ini akan meluaskan jurang perbezaan pendapatan dalam ekonomi.
Secara khusus, kemasukan pekerja asing boleh melambatkan usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat juga melalui dua cara.
Pertama, kemasukan itu akan menambah bilangan pekerja baru yang muda dan tidak mahir, dan seterusnya membawa perubahan dalam struktur umur tenaga buruh. Perubahan itu boleh meningkatkan ketidaksamaan pendapatan walaupun tidak terdapat perubahan dalam struktur upah dan pendapatan.
Kedua, kemasukan secara beramai-ramai itu akan merendahkan secara relatif upah pekerja tidak mahir sementara upah pekerja mahir dan pulangan pemilik modal terus meningkat. Akibatnya, jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat akan melebar.
Anjakan jenis pekerjaan daripada buruh ke pengusaha kini berbentuk petty traders dan dalam sektor tidak formal.
Fenomena petty traders ini wujud di Chow Kit, Petaling Street di Kuala Lumpur sementara di Klang pula kewujudan Little India. Selain itu, pekan sempadan seperti Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis pula dikuasai oleh pengusaha dari Thailand.
Kini pengusaha asing juga terlibat sebagai orang tengah dalam sektor-sektor formal sama ada melalui status mereka sebagai 'pegawai dagang' atau melalui usaha sama dengan pengusaha tempatan.
Kesimpulannya, walaupun kehadiran pekerja-pengusaha ini dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja dan membantu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi ia tetap menimbulkan masalah.
Antaranya, kewujudan pekerja-pengusaha asing ini ia boleh mengehadkan pencapaian dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan.
Ia juga mengehadkan usaha untuk beralih kepada aktiviti ekonomi berintensifkan teknologi dan nilai ditambah lebih tinggi.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Sumber : http://www.utusan.com.my/

MENULIS KARANGAN APLIKASI KOMSAS


Saya akan memperjelaskan kepada anda kreativiti menulis karangan yang diaplikasikan melalui Komponen Kesusasteraan (KOMSAS). Lazimnya soalan peperiksaan Bahasa Melayu SPM meminta calon:

• Mengulas novel yang pernah dibaca
• Mengulas drama/teater yang pernah ditonton
• Menulis cerpen/drama berdasarkan petikan pendahuluan penutup
• Menulis cerpen berdasarkan peribahasa dan tema

Sebenarnya semua soalan ini adalah cukup mudah kerana anda semua telah biasa melihat membaca dan menganalisis cerpen mahupun novel yang telah anda pelajari. Anda pastinya telah didedahkan kepada aspek kajian kesusasteraan semenjak anda berada dalam tingkatan satu lagi.

Tambahan pula, anda telah mengikuti Program Nilam di peringkat sekolah anda. Bermakna dalam pengetahuan dan ingatan anda telah tersimpan beberapa buah novel yang dikarang oleh barisan penulis popular mahupun pengarang karya-karya besar.

Begitu juga, berdasarkan pengalaman anda yang telah menyaksikan sebuah pementasan teater mahupun drama secara langsung, contohnya pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan berbagai pementasan yang lain.

Manakala, filem-filem berkualiti arahan penggiat seni tanah air dan luar negara turut anda saksikan melalui tayangan pawagam mahupun di kaca televisyen. Jelas sekali bahawa “pembelajaran secara tidak langsung” telah anda lalui melalui media kesusasteraan.

Saya kemukakan panduan menulis karangan jika soalan tersebut meminta anda mengulas cerpen, novel, drama, dan filem yang pernah anda tonton. Teliti panduan berikut:

ULASAN KOMPONEN KESUSASTERAAN

-JUDUL KARYA
-PENGARANG/PENGARAH DAN TERBITAN
-TEMA
-PERSOALAN
-LATAR WATAK DAN PERWATAKAN
-TEKNIK PLOT
-GAYA BAHASA
-NILAI-NILAI MURNI
-PENGAJARAN

Berdasarkan analisis di atas, anda boleh memilih kekuatan aspek yang ada terdapat dalam karya yang diulas. Anda perlu ingat, bahawa anda perlu mengulas secara intelektual dan mendalam untuk menggambarkan bahawa anda “faham” apa yang anda tulis.

Anda juga harus menggunakan serba sedikit istilah-istilah kesusasteraan yang dipelajari seperti mesej, kata-kata puitis, plot cerita, klimaks, teknik monolog, watak protagonist dan berbagai-bagai lagi kosa kata untuk membuktikan adanya sentuhan komponen kesusasteraan pada kerja anda.

Sekiranya anda diminta untuk menghasilkan cerpen dan drama berdasarkan petikan mahupun tema, saya ingin mencadangkan beberapa perkara berikut sebagai panduan untuk anda menulis sebuah karangan yang mantap. Teliti panduan berikut:

TEKNIK MENULIS CERPEN DAN DRAMA

-JUDUL/KARYA
-TEMA
-KRONOLOGI PENCERITAAN
-TEKNIK PLOT
-PENGEMBANGAN WATAK
-GAYA BAHASA
-LATAR
-PENGAJARAN

Untuk memperhalus penulisan anda, setiap aspek komponen kesusasteraan harus diaplikasikan. Terutamanya dalam teknik plot, seharusnya karya anda ada pengembangan penceritaan dan disulami dengan kepelbagaian teknik dialog, monolog, imbas kembali serta teknik suspens.

Variasi inilah yang akan menunjukkan anda menghayati kerja anda tersebut. Maka penggunaan teknik menulis cerpen ini dapat mengelakkan anda daripada menulis seperti menulis sebuah catatan perjalanan. Ramai pelajar cuba menghasilkan cerpen ketika menjawab soalan peperiksaan, tetapi kualiti penghasilan mereka tidak mencapai piawaian sebuah cerpen yang sebenarnya.

Kesimpulannya, saya telah menunjukkan serba sedikit panduan menulis karangan aplikasi KOMSAS . Kebebasan mencanai idea dalam mengulas dan menulis karya merupakan peluang terbaik buat anda yang menghargai kesenian dan kebudayaan. Luahan suara hati anda dan pandangan anda perlulah disampaikan dengan penuh keikhlasan dan kewibawaan.

Selamat mencuba.
SUMBER: LAMAN BIMBINGAN BAHASA MELAYU SPM

Rabu, 24 Jun 2009

PERISTIWA YANG MEMPERLIHATKAN KEGIGIHAN WATAK UTAMA



Rujukan adalah berdasarkan novel yang digunakan di negeri Pulau Pinang, Perak & Kedah
NOVEL: Perlumbaan Kedua
WATAK UTAMA: Tuk Kura
Watak Tuk Kura merupakan watak penting dalam novel Perlumbaan Kedua. Pengarang telah melukiskan watak ini sebagai watak yang mempunyai nilai kegigihan. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan kegigihan watak Tuk Kura dalam novel ini. Berikut adalah antara peristiwa tersebut.
Tuk Kura begitu gigih mempertahankan maruah kaumnya.
Hal ini dapat dilihat apabila Tuk Kura dicabar untuk diadakan perlumbaan kali kedua dengan Sang Arnab. Tuk Kura telah bersetuju untuk mengadakan perlumbaan tersebut demi menegakkan maruah bangsanya dan membuktikan bahawa kemenangan nenek-moyangnya dalam perlumbaan yang pertama bukanlah disebabkan oleh nasib justeru gigih mengadakan latihan untuk memenangi perlumbaan kali kedua.
Tuk kura juga begitu gigih dalam membuktikan kesungguhannya untuk menyertai perlumbaan itu. Peristiwa yang menggambarkan sifatnya ini adalah ketika Tuk Kura sanggup bersusah payah pergi ke tempat perbincangan dan penetapan syarat-syarat perlumbaan walaupun perjalanan itu adalah sukar baginya dan kaumnya.
Tuk Kura dengan gigih telah mengatur pelbagai strategi .
Tuk Kura telah berusaha melatih sepuluh ekor kura-kura dengan intensif bagi membolehkan mereka benar-benar bersedia untuk memenangi pertandingan itu.
Tuk Kura juga begitu gigih menangkis cemuhan dan tohmahan anak-anak buahnya.
Anak-anak buahnya tidak berpuas hati dengan cara Tuk Kura melatih anak-anak mereka.Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa Tuk Kura dibelasah oleh kaumnya yang tidak puas hati dengan latihan agresif yang terpaksa dilalui oleh anak-anak mereka. Namun, Tuk Kura menerima perbuatan anak-anak buahnya itu tanpa sebarang tindak-balas.
Tuk Kura juga begitu gigih meneliti tempat pertandingan .
Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa Tuk Kura menolak pelawaan Sang Gajah untuk membantu Tuk Kura dan anak-anak buahnya menuruni bukit setelah perbincangan tentang syarat-syarat pertandingan itu tamat. Tuk Kura sanggup bersusah-payah menuruni bukit itu kerana Tuk Kura sendiri mahu meneliti tempat pertandingan itu .

Sumber: cikgumiemrsm

Isu Pengangguran


Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.

Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang mendorong isu ini berlaku

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.

Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sumber : Blog Cikgu Azman

EMPAT KUNCI KEBAHAGIAAN



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa!”
(Ibnu Hibban)
Huraian
1. Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam. Kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
a) Wanita yang solehah iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah keluarga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
d) Kenderaan yang selesa kerana kenderaan yang selesa dapat memberikan kemudahan dalam segala urusan.
2. Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
3. Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

GURINDAM MEMPERKASA BAHASA


Bahasa ditutur semua peringkat
tandanya padu ikatan muafakat.
Bahasa diungkap seluhur hati
cerminan peribadi menyerlah pekerti.
Bahasa diucap sopan berhemah
di sungai ukhuwah mengalir hikmah.
Bahasa dipelihara cemar dihalang
prihatin warga mengusir walang.
Bahasa diangkat tempatnya di atas
gelora menguji ditentang pantas.
Bahasa dinobat seteguh martabat
gusar ibunda pastikan terubat.
Bahasa didaulat berkembang mantap
sederap perjuangan bermatlamat tetap.
Bahasa diperkasa rakyat dan penguasa
tegak pada mercu peradaban bangsa.

NAZIM MOHD SUBARI
Endau, Johor.
Sumber : http://penyair.com/