: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 10 Julai 2009

Umat Islam perlu serius pastikan generasi Muslim bersih dadah

STATISTIK Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2008 merekodkan 12,352 penagih. Secara umumnya 75 peratus penagih ialah Melayu dan setiap hari kira-kira 17 penagih baru dikesan. Kini ada 29 pusat serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan. Menurut sumber agensi, antara 20 hingga 25 peratus penagih di pusat serenti berjaya dipulihkan.

Sementara yang lain gagal dipulihkan, hidup terumbang ambing, menghidap HIV dan Aids. Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terbabit dalam dadah adalah belia.

Mereka pewaris kepemimpinan keluarga, masyarakat dan negara. Sebilangan umat Islam yang hidup bergelumang dadah, HIV dan Aids akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.
Firman Allah bermaksud: "Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Rum, ayat 41)

Pembabitan umat Islam dengan dadah, HIV/Aids dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam jangka panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina dan merempat di negara sendiri.

Bagi mengelak ancaman ini, umat Islam perlu insaf dan renungi peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangan (kuasanya). Jika ia tiada mampu, hendaklah mengubahnya dengan lidah (nasihat). Jika tiada mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati (tidak meredai perbuatan itu) dan itu selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)
Umat Islam perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggerakkan ahli jawatankuasa masjid/surau, ahli jawatankuasa kemajuan kampung dan pemimpin masyarakat akar umbi turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini.

Sedarlah perbuatan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan penderitaan.

Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti memastikan diri serta keluarga melaksanakan perintah Allah dengan sempurna dan istiqamah. Beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak daripada ancaman dadah dan gejala sosial.

Semua anggota masyarakat bertanggungjawab memburu pengedar dadah. Amat menyedihkan kerana segelintir mereka yang mengaku beriman menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.
Justeru, mari kita menginsafi pembabitan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah. Antara wabak yang kini sangat mencemaskan dunia ialah selesema babi atau wabak H1N1.

Kita perlu berganding bahu memastikan kebersihan diri dan alam serta makan makanan halal dan berkhasiat.

Lakukan senaman untuk kekuatan sistem pertahanan badan, segera mendapatkan rawatan perubatan jika demam, selesema atau batuk, mendapatkan bantuan keluarga, jiran, dan rakan sekerja untuk tugas tertentu, dan menunaikan solat hajat berterusan sebagai doa dan ikhtiar menolak bala bencana serta ujian Allah yang menimpa umat Islam dan manusia sejagat.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala diperintahkan." (Surah at-Tahrim, ayat 6) - Khutbah Jakim online

Annys Sophillea



(Nisah Haji Haron)

Sinopsis
Annyss Sophillea berkenalan dengan Akmal di bumi sewaktu mencari saudara kembarnya, Eyrique Etiqaz iaitu pewaris takhta Alstonia yang hilang. Semasa Annyss bertafakur di pusara ayah dan ibunya, Strenn, sepupunya muncul dan menyatakan keinginannya untuk menjadi raja Alstonia dan mengahwini Annyss. Dengan bantuan burung Inderawasih iaitu Eustary, Annyss ke sebuah rimba. Di sana, Akmal menemuinya lalu mereka mencari Eyrique. Mereka berjaya menemukan Erique. Rupa-rupanya Eyrique disembunyikan oelh Strenn. Akmal berjaya menikam Strenn tetapi dia turut merasai kesakitan tersebut kerana peraturan di Alstonia sedemikian. Annyss dan Eyrique berusaha untuk menyelamatkannya.

Tema
Perjuangan menentang kejahatan - Annyss Sophillea dan Akmal menentang Strenn yang ingin merampas takhta kerajaan Alstonia.

Persoalan
1.Persahabatan yang murni antara penduduk dua planet yang berbeza
2.Sikap tamak akan kuasa dan sanggup melakukan kezaliman akan membawa padah
3.Persahabatan murni memerlukan pengorbanan

Watak dan Perwatakan
1.Annyss Sophillea
-Puteri dari Alstonia
-Mempunyai kuasa luar biasa
-Sepupu Strenn
-Lemah lembut
-Tegas
-Berani

2.Eyrique Etiqaz
-Saudara kembar Anyyss Sophillea
-Diculik oleh Strenn
-Mempunyai kuasa luar biasa

3.Strenn
-Sepupu Annyss
-Cuba merampas kuasa dan menduduki takhta Alstonia
-Zalim
-Tamak
-Memiliki kesaktian

4.Akmal
-Penduduk Bumi
-Sahabat baik Annyss
-Jujur
-Sanggup berkorban
-Berani
-Pintar

Latar
1.Latar Tempat
-Bumi tempat asal Akmal
-Rimba besar Alstonia
-Terowong rahsia tenpat Eryrique disembunyikan
-Pusara ayah dan ibu Annyss

2.Latar Masa
-Masa akan datang – futuristik
-10 hari di planet Bumi bersamaan 1 hari di dimensi Alstonia

3.Latar Masyarakat
-Masyarakat di Bumi
-Masyarakat di angkasaraya
-Masyarakat yang mengamalkan kesaktian
-Masyarakat mengamalkan sikap bekerjasama tanpa mengira kedudukan

Nilai
-Keberanian – Annyss sanggup pergi ke merata-rata tempat untuk mencari kembarnya Erique
-Kegigihan – Annyss gigih mencari kembarnya walaupun mengahadapi banyak rintangan
-Kerjasama – Akmal datang ke Alstonia untuk menolong Annyss
-Pengorbanan – Akmal sanggup berkorban dengan bertindak membunuh Strenn walaupun tahu akan risikonya

Pengajaran
1.Kita hendaklah berani berjuang untuk menegakkan kebenaran dan mengahpuskan kezaliman
2.Manusia digalakkan bekerjasama pada setiap masa bagi memastikan kemenangan dapat dicapai dalam setiap perjuangan
3.Kita hendaklah sentiasa bersedia memberi bantuan kepada seseorang yang berada dalam kesusahan

Khamis, 9 Julai 2009

‘Jangan Bunuh Rama-Rama’


(Noordin Hassan)

Sinopsis
Drama ini mengisahkan kehidupan dan sifat-sifat dalam diri manusia yang sentiasa bertentangan antara kebaikan dan keburukan. Manusia perlu mempunyai iman yang kuat untuk membuat pilihan antara kedua-dua sifat ini. Hal ini digambarkan melalui watak Raja yang suka memburu rama-rama untuk memenuhi keinginan permaisurinya yang mementingkan diri sendiri. Ketika mengejar rama-rama yang kecil dan cantik, Raja terjatuh ke dalam telaga air panas. Air yang mendidih itu menjadi dingin dan nyaman apabila menolong mengipaskannya. Dalam kisah Wak Keletung pula menceritakan tentang Mek Bongsu yang leka diulit kemewahan setelah berkahwin dengan saudagar Syah Alam. Akhirnya dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai khalifah dan makhluk Tuhan. Sementara itu, Bidan Tuk Mah yang asalnya bernama Emas Asa Puteri Shahrul Karimah pula meninggalkan kemewahan dan gelarannya kerana mengikut Peran yang mengajarnya tentang hakikat kehidupan dan bahawa peranan manusia dijadikan Tuhan adalah untuk memberi manfaat dan membawa erti kepada diri sendiri, sesama manusia dan kepada Tuhan yang menjadikan makhluk dan isi alam.

Pemikiran
Keagamaan yang mendalam dapat menentukan arah pilihan yang betul

Persoalan
- Perbuatan jahat yang dibalas dengan kebaikan
- Manusia adalah sama di sisi Tuhan
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Watak dan Perwatakan
Nur Atma I dan II
- Perempuan tua yang banyak pengalaman
- Kurang penglihatan/pendengaran
- Peka terhadap persekitaran

Raja/Badut
- Lingkungan 35 tahun
- Raja yang kaya-raya
- Gemar memburu rama-rama
- Penyayang
- Insaf akan kesalahan

Bidan Tuk Mah
- Dikenali sebagai Emas Asa Puteri Shahrul Karimah
- Tidak mementingkan kedudukan dan status
- Mengikuti rombongan Peran
- Mendapat ilmu membidan dan mengubat orang sakit

Wak Keletung
- Tukang cerita
- Berdakwah melalui ceritanya

Latar
Latar Tempat
- Istana – Raja/Badut dan Permaisuri
- Telaga – tempat Raja tergelincir lalu jatuh
- Hutan – Raja mencari rama-rama
- Kampung – Peran bertapak di kampung ini

Latar Masa
- Waktu Subuh – sewaktu Raja diselamatkan oleh rama-rama
- Malam – Wak Keletung menceritakan Tuk mah menonton sebuah persembahan

Latar Masyarakat
- Golongan istana yang hidup mewah
- Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta benda
- Masyarakat yang sering membantu orang lain
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Nilai
- Kasih sayang – sesama makhluk termasuk rama-rama
- Belas kasihan – Raja mempunyai sifat ihsan kepada rama-rama yang dibunuh
- Bantu membantu – rama-rama menyelamatkan Raja

Pengajaran
- Kita mestilah kasih kepada semua makhluk
- Kita hendaklah membantu orang yang berada dalam kesusahan
- Kita mestilah menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan

Peranan ummah jaga alam


Abu Bakar Bin Yang
Pegawai Penyelidik

08/04/2005 | Utusan Malaysia

MASALAH alam sekitar seperti pencemaran, penebangan hutan, pengurangan sumber bumi dan sebagainya telah lama mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada alam.

Permasalahan ini sering menjadi perbincangan hangat pada setiap lapisan masyarakat dunia. Sesungguhnya krisis ini telah menjadi begitu parah sehingga setiap kerajaan di dunia berusaha mengambil tindakan bagi menanganinya.

Dalam hal ini apakah pandangan Islam terhadap permasalahan alam sekitar?

Adakah Islam mempunyai penyelesaian terhadap kemelut yang berterusan ini atau mempunyai satu garis panduan yang boleh diikuti dalam hubungan manusia dengan alam sekitar.

Kebelakangan ini terdapat salah faham di kalangan umat Islam yang tidak mendalami ilmu dan peradaban Islam dengan beranggapan bahawa permasalahan serta isu-isu berkaitan alam sekitar adalah perkara yang tiada hubung kait dengan ajaran Islam.

Mereka beranggapan pemuliharaan alam sekitar dan hal-hal yang berkaitan dengannya tidak termasuk dalam ruang lingkup Islam.

Hakikat sebenarnya ialah segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar dan pelestariannya sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu Islam yang dasar.

Ilmu-ilmu Islam dasar tersebut ialah, kefahaman dan pendidikan alam sekitar serta kaitannya dengan ilmu Usuluddin, etika, fikh, usul fikh ( maqasid syariah) dan ilmu al-Quran dan sunah.

Ilmu usuluddin (ilmu tauhid) mempunyai hubungan yang erat dengan hal-hal yang berkaitan pemuliharaan alam sekitar serta semua elemen yang berada dalamnya, sama ada makhluk yang hidup atau mati, berakal atau sebaliknya.

Semua elemen ini merupakan petunjuk yang nyata akan wujudnya Allah Maha Pencipta.

Manusia pula memiliki peranan yang amat penting dalam memelihara dan memulihkan alam sekitar.

Peranan manusia adalah semulia-mulia tanggungjawab yang dipikul ke atas setiap orang Islam dan tanggungjawab ini boleh dibahagikan kepada tiga tujuan yang utama.

Tujuan pertama, mengabdikan diri kepada Allah, sebagai wakil (khalifah) di muka bumi dan membangunkan peradaban. Ibadah ini meliputi segala sesuatu yang diperintahkan oleh Allah baik berupa perkataan ataupun perbuatan.

Dalam konteks ini, bentuk ibadah itu mencakupi segala aspek kehidupan.

Tujuan kedua, sebagai khalifah Allah di atas muka bumi, agar ia dapat disempurnakan dengan baik.

Tujuan ketiga, untuk membangunkan peradaban di muka bumi, ia telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran bermaksud: Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya. (Hud:61).

Pengertian yang dapat difahami sebagai pemakmurnya di sini ialah manusia sebagai makhluk yang membangunkan bumi menerusi usaha-usaha seperti aktiviti pertanian, perindustrian, memperbaiki taraf hidup serta menghindarkan diri dan bumi daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya.

Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.

Sememangnya kod etika pemeliharaan dalam bahasan etika atau akhlak dianggap sebagai salah satu rukun tasawuf.

Sebagaimana definisi oleh golongan tasawuf bahawa `kejujuran berserta kebenaran, dan etika (akhlak) berserta ciptaan,' sudah pasti alam sekitar adalah sebahagian daripada ciptaan yang dinyatakan tersebut.

Allah s.w.t juga telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

``Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berbuat kebaikan.'' (Surah An Nahl:128)

Berdasarkan kepada ayat di atas maka agama adalah perintah untuk beriman dan bertakwa kepada Allah dan berbuat baik kepada sesama makhluk.

Bertakwa dan melakukan kebaikan adalah landasan utama untuk seseorang itu terus berada pada jalan atau agama Allah.

Sehubungan itu, tuntutan ini harus dilaksanakan pada setiap waktu dan keadaan serta kepada setiap makhluk yang ada di alam ini.

Dengan itu melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah.

Lanjutan itu juga terdapat pelbagai perintah Allah supaya manusia memberi perhatian dan berbuat baik kepada alam sekitar berserta dengan seluruh unsur yang dikandungnya. Iaitu berbuat baik kepada sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan tanah.

Berbeza dengan Barat yang menganggap bahawa antara punca menyebabkan berlakunya kemerosotan dan kerosakan alam sekitar ialah bertambahnya jumlah penduduk dunia dan permintaan terhadap sumber alam semakin meningkat, maka al-Quran menyatakan bahawa nikmat Allah itu tidak dapat dihitung, sumber-sumber alam itu adalah sangat banyak dan subur.

Hanya manusia yang terpedaya dengan sikap zalim dan kufurnya kepada nikmat Allah.

Kezaliman dan kekufuran terhadap nikmat Allah menyebabkan ketidakseimbangan pada alam, dan seterusnya memberikan akibat kepada kehidupan manusia.

Memahami

Sekiranya kita membuka kitab fikh, antara perbahasan pertama yang dinyatakan ialah yang berkaitan dengan Thaharah (perbahasan mengenai tatacara bersuci), yang terdapat padanya pembahagian najis, cara-cara mensucikannya serta pembahagian mengenai jenis-jenis air. Semua ini berkaitan dengan interaksi manusia dengan alam di sekitarnya.

Islam mendidik umatnya supaya memahami bahawa pemuliharaan alam sekitar tidak hanya dibahas dalam ilmu fikh sahaja, tetapi juga dalam usul fikh, terutamanya dalam tujuan-tujuan syariat (maqasid syariah).

Tujuan ditegakkan syariat itu sendiri adalah untuk menjaga agama, diri (nyawa), keturunan, akal dan harta benda.

Syariat-syariat itulah yang kemudiannya dinamakan dengan `al dharurah al khamsa' membawa erti lima kemaslahatan dasar yang menjadi asas tegaknya kehidupan manusia.

Lima perkara tersebut kemudiannya dijadikan rujukan terhadap keperluan-keperluan asas, di mana manusia tidak mampu hidup dengan sempurna tanpa lima perkara ini.

Apabila kita melihat dengan lebih mendalam kita akan dapati bahawa hal-hal yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pelestarian alam sekitar terkandung dalam kelima-lima maslahat asas di atas.

Sebagai orang Islam, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini.

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.

Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Oleh hal yang demikian manusia perlu ingat bahawa ia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan diminta pertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

Perbincangan mengenai ilmu syariat, bermula dengan ilmu usuluddin, ilmu etika (akhlak) dan usul fikh, semuanya bersumberkan kepada al-Quran yang merupakan rujukan paling utama. Ini adalah kerana segala hukum, kaedah-kaedah yang dikeluarkan, serta kesimpulan yang dibuat tidak akan diterima sekiranya tidak disandarkan kepada al-Quran dan sunah.

Sesungguhnya al-Quran juga memberikan perhatian yang sangat besar kepada alam sekitar sama ada secara langsung ataupun tidak.

* Petikan kertas kerja Abu Bakar Yang, Pegawai Penyelidik, Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berjudul `Pendidikan Alam Sekitar Di Malaysia dari Perspektif Islam' yang dibentangkan pada Seminar Islam Hadhari: Kefahaman Mengenai Pemuliharaan Alam Sekitar baru-baru ini.

Tanggungjawab Besar Ilmuwan Menyampaikan Nasihat


Wan Roslili Binti Majid
Pegawai Penyelidik Kanan

23/06/2009 | Berita Harian

Nasihat dan peringatan begitu diperlukan oleh manusia kerana dengannyalah mereka akan didorong untuk sentiasa berada dalam kebaikan dan kebenaran. Dalam beberapa ayat-Nya, Allah s.w.t. menegaskan kepentingan peringatan kerana ia mendatangkan manfaat, khususnya kepada golongan yang beriman. Kepentingan nasihat juga ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith Baginda sehingga dikatakan bahawa agama Islam itu sendiri merupakan nasihat. Dengan kata-kata lain, agama terletak pada nasihat kerana nasihat (dan peringatan) mengandungi unsur ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya selain keimanan serta usaha beramal dengan kitab-Nya serta Sunnah Rasul-Nya.
Manfaat atau kebaikan besar yang terkandung dalam nasihat terserlah pada maksud perkataan itu sendiri. Dalam bahasa Arab, perkataan nasihat (kata akarnya nasaha) mengandungi maksud supaya individu yang dinasihati memperoleh keuntungan atau faedah. Selain itu, dalam perkataan tersebut (nasaha) juga terkandung kaedah penyampaian nasihat, iaitu dengan menggunakan kata-kata yang dipilih dengan teliti dan dihalusi di samping berasaskan ketulusan hati serta tidak dipengaruhi oleh maksud yang buruk.

Nasihat dan peringatan lebih-lebih lagi diperlukan oleh golongan pemimpin disebabkan beban dan amanah besar yang dipikul oleh mereka. Amat malang seandainya mereka tidak memiliki kumpulan penasihat yang sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat serta peringatan secara telus dan lebih malang lagi seandainya mereka sendiri tidak membuka sebarang ruang agar mereka dinasihati dan diberikan peringatan yang pada hakikatnya, mendatangkan keuntungan yang bukan sedikit kepada diri mereka. Pada zaman silam, golongan cendekiawan dan `ulama' sentiasa memainkan peranan yang besar dalam menasihati dan memberikan bimbingan dengan berani lagi telus kepada golongan pemerintah. Antara mereka termasuklah Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdis Salam (1181 - 1262 M.), faqih Mazhab Syafi`e yang agung dan tokoh pengislah kurun ke-13 M.

Pada suatu ketika, beliau pernah menghadiri jamuan diraja pada hari raya dan sebagai kunjungan hormat terhadap baginda sultan. Pengawal-pengawal diraja dan kumpulan tentera berdiri di bahagian hadapan manakala sultan sedang bersemayam di atas singgahsana dengan dikelilingi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang berada di tempat masing-masing, berdasarkan kemegahan istiadat Kesultanan Mesir. Putera-putera dan pembesar serta orang kenamaan mula memberikan penghormatan kepada Sultan al-Salih Najmuddin dengan mencium lantai di hadapan baginda. Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam hanya memperhatikan semua yang sedang berlaku dan kemudian berpaling menghadap sultan lalu mengatakan dengan suara yang lantang, "Wahai Ayyub, apakah yang akan menjadi asas bagi tuan untuk mempertahankan diri di hadapan Allah apabila Dia menanyakan kepada tuan, "Bukankah telah Kuberikan kerajaan Mesir kepada kamu, namun kamu masih juga membiarkan tempat manusia berfoya-foya terus wujud?" Sultan dengan pantas bertanya, "Benarkah demikan?" Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam dengan tegas menjawab, "Terdapat tempat berfoya-foya yang menjual arak dan perkara-perkara tidak berakhlak lain yang terus dilakukan sedangkan tuan terus menikmati segala bentuk limpahan nikmat daripada pemerintahan yang dimiliki." Tentera-tentera yang berada dalam majlis tersebut hanya berdiam diri sementara Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam terus mengemukakan pandangannya dengan lantang. Sultan menjawab teguran yang diberikan dengan mengatakan, "Wahai tuan faqih, bukanlah beta yang mengizinkan tempat tersebut dibuka, ia telah pun berada di situ sejak zaman pemerintahan ayahanda beta." Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam kemudian berkata pula, "Jika demikian, tuan merupakan salah seorang yang mengatakan, `Kami mendapati bahawa bapa-bapa kami sekadar menurut tradisi yang telah pun wujud sejak sekian lama.'

Anak murid Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam, al-Baji kemudiannya bertanya kepada gurunya alasan atau sebab yang mendorong beliau menegur sultan dengan lantang dalam majlis yang hebat lagi mulia seumpama itu. Sultan al-`Ulama' al-`Izz ibn `Abdissalam menjelaskan bahawa beliau dapat melihat keagungan yang meliputi kehidupan sultan dan beliau bimbang seandainya kebanggaan baginda terhadap kuasa serta dirinya akan akhirnya menguasai serta membinasakan dirinya. "Tidakkah tuan berasa takut akan baginda sultan?" tanya al-Baji lagi. Beliau menjawab, "Pada hakikatnya, yang jelas hanyalah keagungan Allah s.w.t. sedangkan baginda pula begitu kerdil pada pandangan mataku." Ibn Hajar membuat catatan ringkas dalam tulisannya bahawa sultan tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali menitahkan kemudiannya supaya tempat-tempat berfoya-foya itu akhirnya dihapuskan sama sekali.

Zaman silih berganti dan pada hari ini, kita mendapati bahawa peranan dan sumbangan golongan ilmuwan serta cendekiawan tetap kekal penting dan begitu diperlukan saban ketika. Apatah lagi pada zaman kini yang memperlihat ancaman dan ujian terhadap agama Islam serta umatnya semakin besar lagi hebat. Namun, malang sekali jika golongan yang diberikan pelbagai gelaran sebagai memuliakan serta mengiktiraf kedudukan mereka, tidak mampu untuk bersuara dan bertindak. Sebaliknya hanya sekadar merelakan dan mengiyakan apa juga keputusan serta tindakan yang diambil meskipun ternyata ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah ada ketikanya hanya mendatangkan kerugian semata-mata. Betapa malangnya mereka kerana tidak berupaya memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memberikan nasihat yang betul, dan secara bijaksana, ikhlas serta berani kepada pihak yang memerlukan nasihat mereka, terutama pemerintah.

Lebih malang seandainya mereka menggunakan ilmu, gelaran dan kedudukan yang dimiliki hanya untuk kepentingan diri dan meraih segala kenikmatan duniawi. Nasihat yang sebenar diperlukan tidak diberikan dengan sebaik-baiknya, malah sebaliknya pihak yang memerlukan nasihat mereka seperti pemimpin atau pemerintah hanya dihanyutkan dengan kata-kata pujian yang tidak berasas sehingga mereka lupa akan masalah serta kesulitan sebenar yang dialami rakyat. Dasar-dasar yang tidak menguntungkan misalnya tidak sama sekali berani untuk disanggah atau dikritik kerana mereka memikirkan kesan buruk seandainya tindakan sedemikian dilakukan. Kepentingan rakyat tidak termasuk dalam perkiraan dan perhitungan sedangkan golongan yang digelar ilmuwan itu menyedari bahawa di bahu merekalah disandarkan harapan agar sentiasa menasihati pemimpin supaya mempertahankan kepentingan serta kebajikan seluruh rakyat yang dipimpin. Alangkah malangnya mereka kerana berharap pada sekumpulan insan yang dianggap mampu memimpin dan membimbing mereka kepada kebaikan serta kebenaran namun hakikatnya, tiadalah impian besar itu menjelma menjadi kenyataan malah yang diperoleh hanyalah kehampaan semata-mata. Tiada juga perubahan dan kemajuan yang dicapai namun sebaliknya mereka terus-menerus dibelenggu kejahilan dan kemerosotan. Besarlah pula kesalahan yang ditanggung oleh golongan ilmuwan tersebut kerana tidak menunaikan amanah terhadap ilmu yang dimiliki dan tidak pula menegakkan maksud agama, iaitu tidak menyampaikan nasihat yang berguna lagi bermanfaat kepada pihak yang memerlukannya. Bagaimana mungkin mereka dapat mempertahankan diri apabila kelak dipersoalkan di hadapan Allah s.w.t. pada hari segala amal serta perbuatan menjadi saksi bagi mereka dan bukannya diri mereka sendiri atau juga pembela mereka semasa hidup di dunia.

INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA


Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur - selepas China dan Hong Kong.* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.

Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

• Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

• Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

• Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

• Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

• Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

• Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

• Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

• Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

• Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

• Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

• Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN SESUATU KAWASAN BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN

Bentuk muka bumi:Bergunung ganang; Aktiviti mendaki gunung / tracking+cth gunung.Udara yang nyaman dengan suhu yang rendah dan tumbuhan semulajadi yang menghijau.Jeram dan air terjun untuk mandi manda + cth lokasi.Gizar / kawah gunung berapi + cth gunung berapi.Pantai yang berpasir sesuai untuk bersantai + cth lokasi.Pulau / Laut yang jernih dan mempunyai terumbu karang sesuai untuk selam skuba +cth lokasi.Kawasan paya yang kaya dengan reptilia spt buaya.Tasik buatan manusia / semula jadi sesuai untuk memancing/ berperahu+ cth tasik.Sungai yang sesuai untuk berkayak / memancing + cth sungai.
Iklim:Suhu 27 0C dan panas sepanjang tahun sesuai untuk mandi-manda +cth nama pantai.Suhu bawah 0° C pada musim dingin menyebabkan salji turun dan sesuai untuk ski.
Pemandangan yang menarik:Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan spt terdapat bunga reflesia.Pandangan batu kapur spt stalaktit dan stalakmit.Gua yang menarik + cth gua.Kesan sejarah + cth lokasi.Haiwan spt penyu bertelur +cth pantai.Zoo yang menarik minat pelajar sekolah; muzium + cth.Pusat Sains spt roket ke angkasa, astronomi + ctli lokasi.
Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi spt hotel bertaraflima bintang + cth, padang golf,pusat membeli-belah + cth; penukar wang asing.

Ketersampaian - kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya keretapi /jalan laut:, feri / lapangan terbang +cth lapangan terbang / pelabuhan.
Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.
Peranan agensi + (nama agensi + peranan).
Peranan kerajaan spt intensif cukai dari kerajaan, persidangan antarabangsa.
Kerjasama serantau spt Tahun Melawat ASEAN .
Kedudukan yang strategik / laluan perdagangan timur-barat.
Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet dari pelabur tempatan / swasta +
Kebudayaan tempatan / seni, budaya,perayaan+cth.
Harga barangan yang murah/ dikecualikan cukai menarik pelancong.
Keselamatan terjamin/ pelancong merasa selamat/keselamatan pelancong.
KEPENTINGAN PELANCONGAN
Pendapatan negara + RM?
.Memajukan bandar-bandar pelancongan spt Melaka, Kuala Kangsar.Peluang pekerjaan bagi penduduk sekitar +cth.
Pemangkin kepada pembangunan kawasan pelancongan spt infrastruktur / kemudahan asas.
Memajukan / menaikkan taraf jalan raya / keretapi / pelabuhan / lapangan terbang.
Menggalakkan industri kraftangan / desa.
Memajukan bekas lombong spt dijadikan padang golf, rekreasi +cth.Hubungan dua hala dengan negara asal pelancong.

KESAN PELANCONGAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Penebangan hutan untuk membuka kawasan pelancongan spt membina hotel, jalan raya, taman rekreasi padang golf telah mengakibatkan pelbagai.Kepupusan pokok berharga + cth pokok.Peningkatan kadar suhu kerana kurangnya proses fotosintesis yang menyebabkan bertambahnya kandungan karbon dioksida, kurangnya proses sejat peluhan; muka bumi terdedah kepada sinaran matahari.Habitat haiwan terganggu rantaian makanan haiwan terganggu -haiwan pupus + cth haiwan.Kemusnahan kawasan tadahan hujan.Tanah terdedah kepada hakisan hujan dan matahari; berlaku tanah runtuh gelangsar tanah.Bahan terhakis dialirkan ke sungai menyebabkan sungai keruh, sungai cetek, banjir kilat mudah berlaku.Sungai/pantai tercemar kerana pembuangan sampah oleh pelancong / hotel + cth sungai / pantai.Pembinaan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar dengan bahan hakisan.Kumbahan dari hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai dan laut telah mencemarkan sungai dan laut berkenaan + cth lokasi / sungai.Terumbu karang pupus kerana diambil sebagai cenderamata.Kenderaan yang membawa pelancong mengeluarkan karbon monoksida yang mencemarkan udara; menyumbang kepada kesan rumah hijau; bunyi bising.Pelancongan di kawasan gua / kawasan batu kapur telah mengganggu hidupan spt kelawar.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Membanyakkan kawasan pelancongan spt pulau-pulau yang airnya jernih dan berbatu karang + cth.Membina banyak hotel yang bertaraf lima bintang, padang golf + cth.Menambah lesen agensi pelancongan.Pemuliharaan kawasan-kawasan bEsejarah, kawasan pelancongan sedia ada+cth.Membuka kawasan hutan simpan untuk trekking + cthMembuka kawasan tasik untuk aktiviti memancing,bermain bot + cth tasik.Membina chalet yang sewanya rendah untuk menarik pelancong.Promosi oleh agensi kerajaan (agensi + usaha).Mengadakan persidangan / pameran antarabangsa + cth.Membaiki jalan raya / keretapi / lapangan terbang / pelabuhan supaya kawasan pelanconan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi spt keretapi Express Langkawi penerbangan MAS ke destinasi antarabangsa.Memberi pengurangan cukai kepada syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan baru / membina hotel kos sederhana.Mengadakan kedai bebas cukai + cth lokasi, polis pelancong untuk menjamin keselamatan pelancong.

Sumber: RAMLI BIN YAHYA.

KEINDAHAN YANG HILANG


Baca puisi di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

Keindahan Yang Hilang
I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu carik
melayang satu-satu berbaur debu
lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang di makmal
pada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan
Suara siapa parau mendera di malam lara
Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda
Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III
Bulan kini bukan menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.


(i) Apakah yang menjadi agenda manusia selaras dengan kemajuan sains dan teknologi seperti yang tergambar dalam puisi di atas? [3 markah]

Perkara yang menjadi agenda manusia selaras dengan kemajuan sains dan teknologi ialah manusia menjalankan kajian-kajian sains, mengkaji ilmu dengan menggunakan komputer bagi membolehkan manusia meneroka ke angkasa lepas termasuk planet-planet yang lain.


(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan negatif yang terjadi akibat alam sekitar tidak dipelihara dengan baik. [3 markah]

Pada pendapat saya, kesan-kesan negatif akibat alam sekitar yang tidak dipelihara ialah kepupusan flora dan fauna, menjejaskan kesihatan manusia, dan pencemaran alam berleluasa.

(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam puisi di atas. [3 markah]

Dua pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut ialah manusia hendaklah memelihara alam sekitar dengan baik. Hal ini demikian alam sekitar yang tidak dijaga menyebabkan pencemaran. Selain itu manusia janganlah terlalu ghairah dengan kemajuan sains sehingga mengabaikan alam sekitar. Hal ini demikian kerana kemajuan sains yang tidak dikawal menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawabnya terhadap alam
Sumber: BM SPM

Jenis-jenis marah


"Usrah Rasa Hati"...
.
Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang tidak sepatutnya ada pada seorang muslim mukmin. Justeru usaha untuk mengelakkan diri dari sifat marah menjadi satu kewajipan. Sifat marah yang wajib dibuang dari diri seseorang ialah sifat marah yang dilarang. Tidak semua sifat marah dilarang ada kalanya wajib kita marah dan terkadang diharuskan kita marah. Kemampuan kita mengurus kemarahan akan membawa kita kepada situasi yang tenang dan membahagiakan.
Sifat marah dari sudut hukum boleh dibahagikan kepada tiga bahagian

1. Marah yang dipuji ( al-ghadhab al-mahmudah )
Perasaan marah dituntut apabila berlakunya pencabulan dan perlanggaran terhadap larangan-larangan Allah s.w.t. Sifat ini adalah hasil dari keimanan yang kuat terhadap Allah swt kerana orang yang tidak marah terhadap pencabulan dan pelanggaran larangan Allah dianggap sebagai orang yang lemah iman.
Suatu ketika Rasulullah s.a.w melihat para sahabat bertelagah berkaitan keimanan dengan qadr lalu berubah air muka Rasulullah s.a.w kerana marah lalu berkata;
بهذا أمرتم ؟ أو لهذا خلقتم ؟ تضربون القرآن بعضه ببعض بهذا هلكت الأمم قبلكم )
Maksudnya; Inikah yang kamu disuruh? Atau untuk inikah kamu dijadikan memperdebatkan al-quran dengan al-quran, ingatlah dengan sebabini umat terdahulu dibinasakan.

Sabda Rasulullah s.a.w;
من رأى منكم منكراً فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان.

Maksudnya; Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangan (kekuasaan) sekiranya tidak mampu ubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubah dengan hati, itulah selemah-lemah iman.
Sikap untuk mengubah, menegur atau rasa tidak suka tidak akan timbul pada diri seseorang sekiranya tidak ada perasaan marah terhadap sesutau perkara. Kecantikan Islam dalam marah ialah apabila kira dapat mengurus sifat marah dengan cara hikmah dan bijaksana bukan dengan cara mengikut perasaan dan nafsu seperti memaki hamun, mencerca, memukul atau tidakan-tindakan yang negatif.

2. Marah yang dicela ( al-ghadhab al-mazmum )
Marah yang dilarang dan dicela ialah apabila marah terhadap pelaksanaan perintah Allah swt atau marah yang didorong oleh perasaan dan hawa nafsu seperti marah dan tidak suka dengan pelaksanaan hukum-hukum Allah s.w.t, marah dengan usaha dakwah, marah dengan pelaksanaan syiar Islam dan lain-lain.
Sifat marah dalam kategori ini dicela dan dilarang kerana ia adalah sifat orang-orang kafir yang sentiasa tidak suka dan tidak senang apabila orang mengamalkan dan menghayati Islam. Mereka nenunjukkan perasaan mereka dengan menunjukkan rasa marah apabila ajaran-ajaran Islam diamalkan dalam kehidupan manusia.

3. Marah yang diharuskan ( al-ghadhab al-mubah )
Marah yang diharuskan ialah marah yang tidak melanggar perintah Allah s.w.t dan tidak melampaui batasan. Sebab itulah orang yang dapat mengawal perasaan ini disukai oleh Allah s.w.t. seperti marah apabila tidak tahu perkara yang sepatutnya diketahui, marah apabila tidak melakukan pekerjaan dengan baik dan lain-lain.

Firman Allah s,w,t;
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya; Dan orang yang mengekang kemarahan dan memberi kemaafan kepada orang lain, dan Allah suka kepada orang-orang yang baik.
Kesimpulannya wajib marah apabila hak Allah dilanggar, haram marah apabila hak-hak agama dilaksanakan dan harus marah pada perkara-perkara berkaitan kehidupan dengan syarat tidak melampaui batasan dan berakhlak bertujuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.
Ibnu Hibban menyatakan manusia sentiasa bertentangan antara marah dan kelembutan, siapa yang marah dengan kelembutan tidaklah dicela selama marahnya tidak dilarang.
Manusia dari sudut kekuatan sifat marah ada tiga peringkat;

1.Pasif ; Orang yang tiada perasaan marah, hilang dari dirinya sifat marah.
2.Aggresif; Orang yang pemarah, baran, tidak mampu dikawal oleh akal dan agama, hilang kewarasan diri ketika marah.
3.Moderet; iaitu pertengahan, orang yang dapat mengawal perasaan marah menggunakan akal dan agama.
Renungan; Sekiranya kita dapat mengurus kemarahan kita, mengikut pertimbangan akal dan agama, marah tanpa menyebabkan orang lain sakit hati atau rasa dianiaya, sedia menerima kekurangan orang lain dan memaafkan kesilapan orang lain, hati kita akan tenang dan bahagia.

Sumber:Radio IKIM

Dialog cara terbaik selesai perbezaan pendapat


MENYELESAIKAN sesuatu masalah atau perbezaan pendapat di antara dua pihak yang memiliki pegangan berbeza bukan suatu perkara mudah. Ia harus dilakukan dengan teliti dan berhati-hati kerana perkara yang menjadi isu mungkin agak sensitif di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, cara terbaik adalah dialog - satu alternatif yang lebih afdal serta dapat menggantikan perdebatan sebagai medium untuk berhujah pendapat. Anjuran untuk berdialog telah dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Ada beberapa garis panduan dalam menjalankan dialog yang perlu dipatuhi supaya ia memberi manfaat dan mencapai hasil yang berfaedah.

Pertama, mereka yang menyertai dialog mestilah mengelak dari menyakiti rakan dialog, sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Segala-galanya harus dilakukan dengan bahasa yang baik dan sopan tanpa mengejek-ngejek, mencerca atau menghina antara satu sama lain.
Ini penting kerana perilaku yang ditampilkan melambangkan tahap pemikiran parti yang diwakili mereka. Jika bersikap negatif dengan mengutuk rakan dialog, sudah tentu persepsi pendengar dan pemerhati terhadap kualiti dan jati diri si pendialog akan berkurangan dan ini akan menjejaskan kredibiliti sesebuah parti itu.

Kedua, tidak bersikap defensif dalam mengutarakan pandangan. Hal ini penting kerana ia berkait rapat dengan panduan pertama. Bersikap defensif dalam berdialog akan membuka ruang kepada berlakunya perilaku negatif yang dinyatakan di atas seperti mencerca, memaki hamun dan sebagainya. Bersikap defensif dalam erti kata sentiasa berucap dalam kedudukan untuk menegaskan bahawa pihak yang diwakili lebih baik dari pihak yang satu lagi. Perbuatan ini menghalang kedua-dua pihak mencapai hasil yang diinginkan. Ia membantutkan pertukaran maklumat, menolak perkongsian pendapat serta buah fikiran yang bernas tidak akan bertukar tangan.

Ketiga, sentiasa memberi maklum balas positif. Seorang pendialog hendaklah bersedia menerima pandangan pihak lain. Idea yang dibentangkan rakan dialog haruslah diteliti tanpa terus menolak dan menidakkan kesahihan fakta yang diberikan. Ruang kebebasan dalam menyuarakan pendapat perlu diberikan kepada setiap pendialog.
Keempat, jangan menyalahguna kebebasan bersuara. Pendialog dilarang mempromosi, memujuk atau mengajak rakan dialog untuk menyertai pihak yang diwakili mereka. Jika dibenarkan, ia akan membawa kepada lahirnya sikap defensif yang menjadi ibu kepada perbuatan hina-menghina seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Kelima, kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa bekerjasama dalam mengurangkan perbezaan pendapat yang boleh mewujudkan pertelingkahan. Sebaliknya, mereka haruslah mencari perkara positif yang menjadi persamaan di antara mereka agar dapat dikongsi faedahnya bersama. Ini lebih baik daripada sentiasa mencari keburukan antara satu sama lain.

Keenam, sentiasa bersikap ikhlas. Pendialog wajib berkata perkara benar bersaksikan Tuhan, tanpa berselindung dengan mengutarakan hujah berlandaskan fakta palsu.

Kesimpulannya, dialog adalah medium paling sesuai berbincang mengenai pelbagai perkara kerana selain menyelesaikan masalah, ia membolehkan kita berkongsi pendapat dan bertukar-tukar fikiran serta mencapai hasil sepakat yang diingini semua pihak.

ZAHID ZAMRI,
Pelajar Tahun Akhir,
Sains Politik dan
Ilmu Wahyu, UIAM Gombak.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Hanya sifat tawaduk mampu kikis sombong, takbur



Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


Umat Islam dituntut tingkat ketakwaan, semangat silaturahim sesama manusia

SESIAPA saja yang jujur kepada petunjuk agama dan reda dengan panduan kehidupan sebagai seorang Muslim pasti tidak sanggup bersikap takbur serta membesarkan diri hanya supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Akhlak mulia bukan dinilai dengan wang ringgit dan harta berbukit tetapi sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa apabila bermuamalat dengan Allah serta manusia seluruhnya.

Tidak dinafikan, hari ini pangkat dan rupa menjadi taruhan walaupun bukan dalam segenap bidang, tetapi ilmu dan takwa jugalah yang berpanjangan dan kekal bertahan. Walau tidak dapat dinilai dengan mata kasar, penangan ilmu dan manfaatnya kepada orang lain tinggi nilainya, sehingga mampu mencelikkan hati yang buta dengan kejahilan serta kesesatan.

Justeru, takbur dengan habuan dunia yang sekelumit cuma berbanding ganjaran kekal di akhirat kelak bagaikan perbandingan antara air dan api, yang terlalu jauh bezanya.

Kecantikan, harta benda, nasab dan kedudukan tinggi ketika di dunia yang menjadikan seseorang itu takbur dan berbangga dengan harapan dipuja serta dipuji oleh orang lain akan menghalang pelakunya merasai kenikmatan hidup di akhirat yang kekal abadi.

Sebaliknya, jika kelebihan direzekikan Allah dimanfaatkan untuk orang lain serta menjadikannya insaf seterusnya menghambakan dirinya kepada pemiliknya yang asal, habuan diterima adalah bonus yang mempunyai kiraan di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa." (Surah al-Qasas, ayat 83)

Peringatan Allah itu mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik buat orang sombong dan takbur di akhirat kelak, melainkan hamba-Nya yang bertakwa saja. Orang sombong tidak disukai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW juga kita akan cepat menyedari Baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh.

Bahkan sifat pemaaf Baginda SAW sepatutnya menjadi perangsang untuk membina silaturahim dengan sesiapa saja walaupun dengan orang yang sudah menzalimi kita jika ia kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apa yang ditonjolkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan umat Islam seluruhnya melalui sirah dan kisah sahabat yang disampaikan kepada kita hingga kini adalah demi menjaga umat Baginda supaya tidak menghuni neraka.

Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku khabarkan kepadamu sikap penghuni neraka, orang yang berperangai kasar, mendabik dada saat berjalan lantaran sombong." (Muttafaq 'alaih)

Orang yang takbur bukan saja menolak kebenaran kerana dunia tetapi juga meremehkan orang lain untuk meninggikan dirinya dan inilah yang dikatakan mendabik dada saat berjalan lantaran sombong.

Hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan. Maka seorang lelaki bertanya: Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok. Nabi menjawab: Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."

Seperti orang yang sombong menghina orang lain di dunia begitulah juga di akhirat kelak apabila mereka turut mendapat kehinaan Allah seperti yang dijanjikan. Allah tidak akan memandang mereka, berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehinaan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Perkasa adalah kain sarung-Ku dan sombong ialah pakaian-Ku, barang siapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyeksanya."

Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah berselirat dalam diri. Kerana itulah orang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendah-rendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sikap takbur dan riak.

Hubungan baik sesama manusia juga bertitik tolak daripada hubungan baik dengan Allah. Justeru, orang yang tinggi sifat kehambaannya akan merendah hati apabila bermuamalah sesama makhluk.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."

Sesiapa yang membuka lebaran sirah Rasulullah SAW pasti akan mengetahui keperibadian Baginda yang agung yang menjadi teladan kepada seluruh umat manusia apabila berurusan dengan Tuhan dan manusia.

Usahkan sombong dengan yang Maha Pencipta, Rasulullah SAW juga tidak sombong dengan isteri-isteri, sahabat, pemimpin pada masa Baginda bergelar ketua negara, rakyat jelata, hatta fakir miskin pun Baginda hormati.

Inilah akhlak yang Baginda pertahankan sesuai dengan pesanan Allah yang dirakamkan dalam wahyu Ilahi kepada Baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lainnya."

Sumber: Berita Harian

Rabu, 8 Julai 2009

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012


PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Muhyiddin berkata laporan "Trends in Mathematics and Science Study 2007" turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," katanya.

Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T).

Sumber :http://www.bernama.com/

HIBURAN DALAM ISLAM


Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
c) Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus .

Garis Panduan Hiburan Yang diharuskan Dalam Islam:

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerak-geri liar.
ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

Sumber : http://www.islam.gov.my/

Budaya lepak di kafe siber galak pelajar ponteng sekolah


SELAIN ponteng sekolah, banyak lagi kesan sampingan berpunca budaya melepak di kafe siber, kata Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan mengenai kegiatan negatif pelajar yang gemar melepak di kafe siber, antaranya merokok, berjudi, memeras ugut, melayari laman web lucah dan hisap dadah.

“Demikian juga pinjam-meminjam wang yang ada kala berlaku pergaduhan kerana masalah mendapatkan belanja untuk berseronok di premis itu.
“Namun apabila pelajar terbabit ditangkap, polis dan sekolah tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka masih di bawah umur.

“Polis tidak akan menggari kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar sekolah, manakala bidang kuasa pihak sekolah hanya sehingga pintu pagar sekolah, akhirnya mereka diserahkan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raja Mazlan berkata, kebanyakan laporan diterima berlaku di kawasan pinggiran bandar, pekan kecil dan luar bandar yang mana majoriti pelajar tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.
Dalam hal ini, beliau menjelaskan pihak sekolah akan membantu pelajar bermasalah dengan memberi bimbingan kaunseling dan bertanya punca utama mengapa mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Menengah Dato Harun, Tanjong Karang, Ruslan Bustani, juga menyatakan antara faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana ke kafe siber.

Sambil menjelaskan ada pelajarnya lebih rela menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber berbanding sekolah, beliau berkata;

“Kebanyakan kes membabitkan pelajar dari kelas belakang di mana sebahagian besar mereka bermasalah akademik sejak sekolah rendah lagi, selain buta huruf.
“Mungkin disebabkan tekanan belajar, mereka mengambil jalan mudah dengan ponteng dan menghabiskan masa di tujuh kafe siber berhampiran sekolah ini.

“Selain itu, mereka juga didapati melepak di tempat lain, termasuk tidur di bawah jambatan dan tidak kurang pula melakukan hubungan seks di ladang kelapa sawit sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.”

Katanya, surat amaran kes ponteng dikeluarkan pihak sekolah ada yang sehingga 80 hari setahun, kebanyakannya tidak sampai ke tangan ibu bapa.

“Kami terpaksa menelefon sendiri untuk berjumpa ibu bapa sebelum mendenda pelajar. Begitu pun ada juga ibu bapa yang memenangkan anak mereka, namun selepas melihat surat pengakuan ditandatangani pelajar terbabit, mereka akur,” katanya.

Bagi mengurangkan gejala tidak sihat berpunca melepak di kafe siber, beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya akan sering membuat perjumpaan bukan sekadar membincangkan akademik, malah mengatasi masalah disiplin pelajar.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

KEBAIKAN SAMBUTAN PERAYAAN BERSAMA-SAMA


Negara kita masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Batu Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali dann banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini.Perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta ini.
Kesan yang paling ketara ialah perayaan ini telah meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk yang berbilang kaum ini. Semua pihak memahami dan terlibat dalam perayaan yang disambut oleh kaum lain. Lawatan ke rumah terbuka yang diamalkan telah mengeratkan hubungan antara kaum. Jadi, kekerapan interaksi ini menyebabkan perpaduan yang utuh di negara ini yang menjadi sanjungan masyarakat luar.
Selain itu, golongan remaja mampu memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun, apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan. Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang. Semuanya disebabkan wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini.
Dengan adanya sambutan perayaan di negara ini, pandangan masyarakat terutama orang luar turut berubah. Negara akan dilihat sebagai mempunyai keunikan perayaan yang tidak mampu dilihat di negara lain. Kepelbagaian perayaan ini memberi satu bentuk unik dalam pandangan orang asing terhadap negara ini. Lantaran itu kehadiran pelancong asing turut bertambah kerana mereka ingin dan berpeluang melihat pelbagai perayaan dalam sebuah negara daripada pergi ke beberapa negara untuk melihat pelbagai perayaan. Malaysia satu negara tetapi banyak perayaan.
Malahan, kepelbagaian perayaan ini menyebabkan ekonomi negara terus berkembang. Keadaan ini wujud kerana pelbagai pesta pembelian akan dijalankan untuk setiap perayaan yang disambut oleh masyarakat di sini. Kekerapan masyarakat negara untuk berbelanja setiap kali perayaan amatlah tinggi dan memberi ruang kepada ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan. Sudah pasti situasi ini menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Kesimpulannya, perayaan yang ada di negara kita bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu diccapai sudah pasti kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambang erti benua Asia sebenar ('Truly Asia')kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.

sumber:http://azman-duniaku.blogspot.com/

PPSMI dimansuh?


Oleh Syuhada Choo Abdullah, Faiza Zainudin dan Junita Mat Rashid
bhnews@bharian.com.my

Tingkat pengajaran bahasa Melayu, tanpa ketepi bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan beberapa pihak, terutama pejuang bahasa dijangka berakhir berikutan keputusan kerajaan memansuhkan dasar itu.

Sebagai ganti, kerajaan akan mengumumkan strategi yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan pengajaran bahasa Melayu dan pada masa sama tidak mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah.

Menurut sumber, dasar baru itu dijangka bermula pada 2012 dan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini untuk kelulusan.
Antara langkah yang dijangka diumumkan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah menambah bilangan guru dan waktu pelajaran bahasa itu di sekolah, memperkenalkan subjek baru serta merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid luar bandar dan dalam bandar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika diminta mengulas perkara itu, berkata beliau akan mengumumkan keputusan muktamad kerajaan selepas membentangkannya kepada Kabinet tetapi enggan menyatakan butirannya.

Beliau yang juga juga Menteri Pelajaran, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian teliti termasuk perbincangan dengan pelbagai badan atau pertubuhan berkaitan pendidikan.
"Tunggulah esok (hari ini). Saya sudah mengemukakan memorandum kepada Kabinet mengenai kedudukan PPSMI dan apa yang telah dilaksanakan dan bagaimana kedudukan penguasaan bahasa Inggeris serta subjek Sains dan Matematik sejak kita melaksanakan dasar itu," katanya selepas melancarkan Projek Gerak Bakti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, dekat Muar, semalam.

Beliau berkata, kementerian sudah membuat banyak kajian dan menemui pelbagai hasil termasuk prospek masa depan PPSMI sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

"Antara yang diteliti dan menjadi perkara pokok ialah bagaimana kita meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau juga berkata, keputusan mengenai kedudukan PPSMI tidak dibuat secara terburu-buru dan bukan kerana desakan serta tekanan mana-mana pihak, sebaliknya ia berdasarkan kepentingan pelajar dan keutamaan untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara.
Ditanya sama ada keputusan itu adalah yang terakhir dan tiada lagi kajian selepas ini, Muhyiddin berkata pihaknya sudah menerima pandangan mengenai PPSMI sejak bertahun-tahun lalu dan sepatutnya sudah ada keputusan muktamad dicapai.

Beliau turut mengakui mengadakan perbincangan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan kedudukan PBSMI dan membentangkannya kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mendapatkan input daripada pimpinan parti.

Katanya, wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) juga akan menyuarakan pendapat pada mesyuarat Kabinet.

Sumber:Berita Harian

Isnin, 6 Julai 2009

KELEBIHAN BULAN REJAB


Rejab, ketibaannya menandakan Ramadan begitu hampir...

Sesungguhnya Allah Taala dengan sifat-Nya Yang Maha Bijaksana telah memilih waktu-waktu tertentu dengan kelebihan-kelebihannya. Kelebihan waktu-waktu tertentu adalah merupakan sebagai satu cara memberikan motivasi kepada manusia meningkatkan usaha dan amal supaya memperolehi ganjaran berlipatkali ganda. Berkenaan dengan bulan-bulan dalam Islam, Allah Taala memilih bulan Rejab sebagai salah satu dari empat bulan yang diharamkan berperang padanya kerana ia mempunyai kelebihan yang tertentu.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah : Ayat 36 ; maksudnya: ((Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah, di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Di dalam ayat di atas bulan-bulan haram tersebut tidak dinyatakan secara terperinci. Namun Rasulullah s.a.w telah menjelaskannya di dalam hadis berikut yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a bahawa Nabi s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari Haji Wida (Haji terakhir baginda) dan baginda bersabda dalam khutbahnya: Sesungguhnya zaman akan kembali berpusing seperti hari diciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang. Tiga bulan berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab pula terletak antara Jamadi dan Syaaban. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Faris di dalam kitabnya ‘Mu’ jam Maqayis al-Lughah, sebab dinamakan bulan ini dengan Rejab adalah kerana orang Arab membesarkan dan memuliakan bulan ini. Rejab itu sendiri maksudnya ialah kebesaran dan keagungan. Sebagai meneruskan tradisi ini Islampun memuliakan bulan ini.

Imam al-Baihaqi rh berkata: Orang-Orang Arab Jahiliah asalnya mengagungkan bulan-bulan haram terutamanya bulan Rejab kerana pada bulan itu mereka tidak berperang. Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah dan kehormatan bulan-bulan haram(dengan berperang) )). Surah al-Maidah : Ayat 2. Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang kemuliaan bulan-bulan haram yang termasuk di dalamnya bulan Rejab. Justeru peperangan dan pertumpahan darah adalah dilarang pada bulan-bulan tersebut.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
(( Ditanya kepadamu tentang berperang pada bulan-bulan haram, katakanlah berperang pada waktu itu adalah (dosa) besar...)). Surah Al-Baqarah: Ayat 217. Para Ulama berpandukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda telah memerangi penduduk Taif yang kufur pada bulan Zul Kaedah iaitu salah satu daripada bulan-bulan haram. Namun ada pandangan yang menyatakan bahawa tidak boleh memulakan peperangan pada bulan haram tetapi sekiranya ia bermula sebelum bulan-bulan tersebut tetapi berlanjutan hingga ke bulan-bulan haram maka ia diharuskan. Kerana peperangan yang berlaku di Taif adalah dimulai dengan peperangan di Hunain yang berlaku pada bulan Syawal. Manakala sekiranya Negara umat Islam diserang maka peperangan adalah harus demi mempertahankan tanahair meskipun ia berlaku di bulan-bulan haram.

Menurut amalan Arab Jahiliah pada bulan Rejab mereka melakukan sembelihan untuk dihadiahkan kepada berhala-berhala. Apabila Islam datang amalan tersebut dimansuhkan. Ini berdasarkan pendapat ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun menurut mazhab Syafie berdasarkan pendapat Ibnu Sirin menyatakan amalan tersebut tidak dimansuhkan dan boleh dilakukan sembelihan pada bulan Rejab tetapi hendaklah kerana Allah Taala dan bukan kerana selain dariNya. Ibnu Hajar berkata pendapat ini disokong oleh apa yang diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki yang berkata: Dahulu kami melakukan ‘Atirah (sembelihan) pada zaman Jahiliah (yakni pada bulan Rejab), apakah arahanmu (pendapatmu)? Jawab baginda s.a.w: “Sembelihlah pada mana-mana bulan sahaja! Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Menyentuh tentang amalan berpuasa secara khusus sempena tibanya bulan Rejab, pada hakikatnya jika diteliti secara mendalam tiada satupun hadis sohih yang boleh dijadikan sandaran mengenai puasa bulan Rejab. Justeru itu, berpuasa pada bulan Rejab adalah disunatkan sepertimana pada bulan-bulan yang lain iaitu tiada niat yang khusus. Apa yang seeloknya dilakukan ialah berpuasa sunat sepertimana berpuasa pada hari Isnin dan hari Khamis. Ini telah ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqallani yang berpendapat bahawa tiada sebarang hadis sohih yang menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab secara khusus.

Tetapi tidaklah menjadi kesalahan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan rejab seperti bulan-bulan yang lain. Apa yang menjadi kesalahan ialah melakukan amalan-amalan tertentu pada bulan ini secara khusus seperti solat sunat Rejab, menziarahi kubur sempena Rejab dan mengadakan perayaan khusus kerana ketibaan bulan Rejab. Kecenderungan mengadakan perayaan berbentuk hiburan seperti Nasyid, jamuan makan besar-besaran dan kenduri kendara dibimbangi akan melalaikan umat Islam dengan perkara-perkara berbentuk membuang masa dan wang ringgit sedangkan ia seharusnya disalurkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah dan kesedaran Islam.

Namun demikian mengadakan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti ceramah agama, forum dan dakwah berkaitan dengan kisah dan persitiwa yang berlaku di bulan ini adalah digalakkan selagimana ia membawa kemaslahatan bagi ummat Islam dan bertujuan mencetuskan kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab terhadap Islam.

Bagi muslim yang sensitif dengan perjalanan masa, sudah pastinya ketibaan bulan baru akan mengingatkannya bahawa usianya semakin bertambah dan destinasi akhirnya hayatnya semakin hampir. Oleh itu ketibaan bulan baru pastinya disambut dengan terus meningkatkan ilmu dan amalan agar hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam dan esok akan bertambah baik dari hari ini.

Rejab juga menandakan bahawa hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi untuk menempuh bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan. Justeru bagi setiap muslim adalah wajar mula melatih diri berpuasa sunat sebagai persiapan untuk berpuasa sebulan di dalam bulan Ramadan yang bakal tiba.

Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/

RAHSIA KISMIS


Masih ingatkah anda dengan pesan orang tua-tua atau ibu tentang makanan yang harus diambil jika ingin pintar dalam pelajaran? Tentulah kismis. Menjelang peperiksaan inilah satu-satunya diet yang kerap diberikan ibu.

Adakah dakwaan kismis dan kaitan ketajaman minda benar atau ia sekadar mitos? Ini kerana jarang sekali ibu bapa atau orang tua dapat memberikan penjelasan lanjut kenapa kismis baik untuk minda.

Malah keduanya, adakah kebaikan kismis hanya sekadar menyumbang kepada manfaat minda semata-mata?

Kismis atau dipanggil raisin dalam bahasa Inggeris atau zabib dalam bahasa Arab, disabdakan Rasulullah SAW, "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih."
Apakah sebenarnya rahsia kismis sehingga mendapat tempat sejak ratusan tahun dulu?
Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat.

Akibat proses penyahidratan saiz kismis menjadi lebih kecil iaitu hanya separuh duit syiling lima sen. Dalam satu penulisan dalam majalah Today Dietitian mengungkapkan kismis sebagai gula-gula asli dan semula jadi.

Kenapa begitu? "Ia adalah salah salah satu daripada buah kering yang paling kaya dengan nutrisi di dunia. Kismis bebas kolesterol, rendah sodium dan bebas lemak. Ia menawarkan nutrisi yang diperlukan tubuh termasuk vitamin, mineral, zat besi, serat dan kalsium," nukil artikel itu.

Jika begitu, tidakkah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa adalah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas. Ia mudah diproses untuk menjadi tenaga.

Walaupun kering, kismis juga dikategorikan sebagai salah satu buah-buahan yang kaya dengan antioksida selain prun dan aprikot. Oleh itu, kismis turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Snek ini menawarkan pelbagai khasiat lain termasuklah sumber tenaga, tulang yang sihat bagi wanita, kesihatan gigi dan memperbaiki daya penglihatan.

Kepelbagaian manfaat itu sebenarnya bukanlah hanya untuk kanak-kanak, malah orang dewasa.

Menajamkan minda. Gula ringkas dalam kismis telah dikenal pasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Antioksida. Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit.

Gigi sihat. Jangan membiarkan kemanisan dan rasa melekit kismis menipu anda. Kismis tidak menyebabkan kaviti dan penyakit gusi, bahkan mempromosi gigi yang sihat kerana mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.

Sumber : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/

Dengki, dendam senjata syaitan rosakkan ummah


Oleh Amran Zakaria
Sikap kasar, keras kepala serta berhati batu penghalang utama perasaan saling bermaafan

AL-IMAM Al-Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama.

Orang berhati bersih akan turut menjaga mulut, lidah serta perlakuannya supaya tidak melampaui batas dibenarkan agama. Hati yang sihat dan bersih mengikut tapisan agama akan menampilkan akhlak terpuji sementara hati yang kotor melahirkan keperibadian buruk dan merosakkan.

Dalam satu pengajian di masjid, Rasulullah SAW ada mengkhabarkan kehadiran seorang calon penghuni syurga di tengah mereka. Orang itu tidak dikenali oleh sahabat, bahkan namanya tidak popular sebagai seorang tokoh ibadat.
Sahabat berasa cemburu dengan keistimewaan yang ada pada diri orang itu selepas Rasulullah SAW mengesahkan dirinya sebagai calon penghuni syurga. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Amr, bertekad memantau dari dekat orang berkenaan untuk mengetahui apa keistimewaannya.

Abdullah lalu meminta izin untuk bertamu di rumah orang itu selama tiga hari. Ketika menjadi tetamu, Abdullah melihat secara langsung bentuk amalan tuan rumah, gerak gerinya, tutur katanya dan cara ibadahnya.

Hampir-hampir beliau tidak tidur kerana ditakuti jika ada amalan tuan rumah yang tidak dapat disaksikannya. Namun, Abdullah tidak mendapati apa-apa amalan yang istimewa berbanding sahabat lain. Amalannya biasa-biasa saja seperti diajarkan Rasulullah SAW.
Sebelum pulang, Abdullah pun bertanya secara terus akan amalan istimewa tuan rumah untuk dilakukannya. Jawabnya: "Tidak ada, selain yang engkau sudah lihat. Aku belum pernah melakukan kepalsuan terhadap siapa pun daripada kalangan umat Islam. Dan aku tidak pernah hasad (iri hati) kepada seseorang yang dianugerahi (nikmat) oleh Allah. Abdullah berkata: Itulah (sebenarnya) yang dapat meningkatkan darjatmu."

Jelas perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam.

Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita. Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." – (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)
Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." – (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa.

Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu.

Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." –(Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." – (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasulnya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Sumber: Berita Harian