: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 18 Julai 2009

Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga



Oleh Mohd Zamri Shafie
'Kedayusan' pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.

Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan.

Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.
Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." – (Surah An-Nisa', ayat 34)

Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.
Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.

Sejarah penciptaan Adam sebagai manusia pertama yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah adalah ketentuan sudah ditetapkan. Allah sebagai Khaliq membentangkan amanah kepada manusia pertama diciptakan seterusnya generasi lelaki yang dilahirkan selepas itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya menyatakan, Islam mengajarkan umatnya khususnya lelaki menjadi manusia bertanggungjawab dengan amanah yang dibebankan ke atas dirinya. Amanah itu meliputi seluruh hidup dan orang berada di sekelilingnya.
Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada kecil atau besar. Semua tanggungjawab itu akan ditanya di akhirat kelak dan disebabkan itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah serta ikhlas.

Daripada Ibn Umar, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kegagalan dalam kepemimpinan akan mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat diciptakannya.

Kepincangan dilihat bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang di sebalik 'kedayusan' tertanam dalam dirinya.

Perbaikilah diri dan fahamilah matlamat hidup di dunia sementara ini demi perjalanan yang tidak pasti nasib sama ada beroleh keuntungan atau kerugian di akhirat sana. Manusia akan terlalai dengan dunia, rugi nasibnya di dunia, pasti di akhirat akan lebih merana.

Jadilah manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah, ayat 71)
Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga
Oleh Mohd Zamri Shafie
'Kedayusan' pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.

Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan.

Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." – (Surah An-Nisa', ayat 34)

Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.
Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.

Sejarah penciptaan Adam sebagai manusia pertama yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah adalah ketentuan sudah ditetapkan. Allah sebagai Khaliq membentangkan amanah kepada manusia pertama diciptakan seterusnya generasi lelaki yang dilahirkan selepas itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." – (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya menyatakan, Islam mengajarkan umatnya khususnya lelaki menjadi manusia bertanggungjawab dengan amanah yang dibebankan ke atas dirinya. Amanah itu meliputi seluruh hidup dan orang berada di sekelilingnya.
Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada kecil atau besar. Semua tanggungjawab itu akan ditanya di akhirat kelak dan disebabkan itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah serta ikhlas.

Daripada Ibn Umar, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kegagalan dalam kepemimpinan akan mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat diciptakannya.

Kepincangan dilihat bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang di sebalik 'kedayusan' tertanam dalam dirinya.

Perbaikilah diri dan fahamilah matlamat hidup di dunia sementara ini demi perjalanan yang tidak pasti nasib sama ada beroleh keuntungan atau kerugian di akhirat sana. Manusia akan terlalai dengan dunia, rugi nasibnya di dunia, pasti di akhirat akan lebih merana.

Jadilah manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taubah, ayat 71)
Sumber:Berita Harian


Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com
Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentukkeluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.
Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma' binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.
Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki" – (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.
Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya." – (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: "Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga."

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar."

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

Amalan berlapar dapat mengekang nafsu negatif


Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
Kanak-kanak perlu dididik dengan lapar sebagai proses lentur keinginan

KANAK-KANAK biasanya akan memberontak apabila sesuatu yang diinginkan tidak tercapai. Namun, pemberontakan si kecil itu selalunya dapat diatasi dengan senang dan mudah walaupun terpaksa mengorbankan sedikit perbelanjaan.

Tetapi apabila nafsu seorang dewasa memberontak, ia sukar untuk diatasinya, lantaran itu berlakulah pelbagai kejadian tidak sepatutnya dalam kehidupan ini. Ragut, samseng jalanan, pukul-memukul, rasuah, penipuan dan jenayah lain adalah pukulan nafsu yang tidak terkawal.

Oleh itu, selain usaha ke arah menjernihkan keadaan dengan melaksanakan pelbagai sekatan dan hukuman, pemberontakan nafsu sebenarnya boleh dikawal dengan lapar, satu formula terbaik untuk mengendurkan pemberontakan itu.
Ali bin Abi Thalib berkata: "Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, ia melompat dari sisi yang lain. Barang siapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi koramah. Tetapi barang siapa membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur di bumi azab."

Demikian juga pesanan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak seorang anak Adam penuhkan satu tempat yang lebih buruk selain daripada perutnya. Cukuplah buat anak Adam beberapa suap untuk memelihara kesihatannya. Tetapi jika perlu, maka isilah sepertiga buat makanannya, sepertiga buat minumannya dan sepertiga buat nafasnya."

Perut iaitu telaga yang tiada dasar apabila diisi dengan bermacam juadah mengikut selera dan nafsu umpama limpahan. Oleh itu tidak hairanlah jika segala penyelewengan, keruntuhan akhlak, perbalahan, maksiat serta lain-lain jenayah sering berlaku.
Sahal at-Tusturi ada berkata: "Pokok segala kebaikan yang turun dari langit ke bumi ialah lapar dan pokok setiap kejahatan antara langit dan bumi ialah kenyang."

Banyak orang dapat menahan diri daripada bermacam keinginan dan kemahuan tetapi tidak pada makanannya. Makanan sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan manusia, ia mempengaruhi perjalanan sejarah dan seluruh tamadun manusia.

Ia juga menyebabkan umat manusia mengalami pelbagai penderitaan dan kemusnahan. Justeru, telaga yang tiada dasar itu perlu dikawal dan didisiplinkan. Lukman al-Hakim berpesan: "Hai anak! Jika perut itu penuh maka tidurlah fikiran, bisulah hikmah dan semua anggota mogok dari mengerjakan kebaikan dan ibadah."

Lapar dan kenyang adalah dua keadaan saling bertentangan yang sering berlaku pada setiap manusia. Dua sifat yang tidak sekata iaitu antara hikmah dan kebodohan. Namun, lapar dan kenyang juga sebenarnya banyak diingatkan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Punca segala penyakit itu ialah kekenyangan dan punca kesihatan itu ialah menahan makanan iaitu makan sedikit dan berpantang."

Demikian juga menempuh jalan menuju kebahagiaan adalah kemantapan hati orang yang cerdik, sementara meremehkan kebahagiaan adalah kelalaian orang yang bodoh. Sahal at-Tusturi berkata: "Hikmah dan ilmu itu diletakkan di waktu lapar dan maksiat serat kebodohan itu diletakkan di kala kenyang."

Lapar amat mudah bagi orang yang biasa dengannya dan sebagai benteng memelihara daripada segala keburukan. Begitu juga dengan kenyang, payah ditinggalkan dan menjadi lorong kemusnahan serta kebinasaan. Lapar dapat melentur kegilaan nafsu sementara kenyang memburukkan keinginannya.

Imam al-Ghazali berkata: "Perut itu satu anggota yang aneh jika ia lapar, semua anggota yang lain kenyang dan tenang, tetapi apabila ia kenyang, semua anggota yang lain lapar dan terpesona kepada godaan nafsu."

Justeru, anak-anak serta masyarakat perlu dididik dengan lapar dalam proses melentur nafsunya ke arah lebih baik dan harmoni. Lapar juga menyedarkan diri akan nasib golongan tidak berkemampuan yang terpaksa berlapar kerana tiada makanan.
Sumber:Berita Harian

Jumaat, 17 Julai 2009

Rom kota mitos



Landskap purba jadi tarikan: Colosseum antara tujuh binaan dianggap ajaib di dunia menjadi ikon tersohor Rom

BERJARAK hanya kira-kira 35 kilometer, perjalanan menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo da Vinci di Fiumicini yang berusia 48 tahun ke ibu kota Rom tidak mengambil masa yang panjang.

Semakin menghampiri pusat bandar raya, imej sebenar kota Rom kian terserlah dengan kiri dan kanan jalannya dipenuhi bangunan berciri silam dan reka bentuk nostalgia.

Sebagai kota warisan daripada peradaban Eropah yang masyhur, sememangnya Rom amat kaya dengan warisan sejarah, seni dan budaya, diisi bangunan yang menampilkan ciri dan reka bentuk bernilai estetika.

Rom adalah bandar raya terkenal di dunia dan tidak dapat dinafikan, menjadi impian kebanyakan orang untuk menjejakkan kaki di kota berlandskap bangunan purba ini.

Beberapa minggu lalu atau lebih tepat lagi pada 28 Mei 2009, ibu kota ini menjadi tumpuan jutaan manusia dari seluruh dunia, khususnya peminat bola sepak apabila dipilih menjadi gelanggang pertembungan kelab bola sepak gergasi dunia.



Stadium Olimpik Rom diisi puluhan ribu peminat, manakala jutaan yang lain pula terpaku di depan televisyen menyaksikan pertembungan klasik Manchester United dan Barcelona bagi merebut trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, ikon tersohor di bandar raya ini dan juga di seluruh Itali tentunya bangunan Colosseum, lokasi mesti dilawati setiap pelancong yang berkesempatan mengunjungi Rom.

Melihat bangunan ini dari dekat, fikiran pasti mengimbau kepada personaliti dan peristiwa silam yang sinonim dengannya seperti Julius Caesar, Nero dan pahlawan berani mati, Gladiator.

Bagi zaman pertengahan, Colosseum antara tujuh binaan dianggap ajaib di dunia selain Stonehenge di Amesbury, England; Makam Kom el Shoqafa di Iskandariah, Turki; Tembok Besar dan menara tanah liat Nanjing di China; Hagia Sophia di Turki dan menara Pisa di Itali.

Kota Rom dipenuhi bangunan bersejarah yang tidak ternilai.
Dengan membayar tiket berharga 8 Euro atau kira-kira RM39, peluang meninjau apa yang ada di dalam bangunan usang namun tampak masih utuh ini pasti menimbulkan rasa kagum dan bagi sesetengah orang, mungkin juga gerun.

Di tapak lapangan atau arena yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penonton inilah pelbagai bentuk kekejaman dan keganasan pernah berlaku pada zaman pemerintahan Empayar Rom kuno suatu ketika dulu.

Antara keunikan pada bangunan empat tingkat ini ialah ia dilengkapi bilik bawah tanah serta sistem mengangkat barang yang primitif.

Roman Forum atau Forum Romanum, satu lagi warisan Empayar Rom purba yang punya nilai sejarah tersendiri. Di kalangan pencinta sejarah, lokasi ini amat wajar dikunjungi.

Daripada kesan tinggalan yang ada, pengunjung akan dapat berimaginasi mengenai sistem pemerintahan termasuk undang-undang, keagamaan, sosial dan aktiviti ekonomi yang pernah wujud pada era Republik dan Senat di bawah Empayar Rom lampau.

Daya penarik lain ialah Pantheon, sebuah gereja purba yang kelihatan masih utuh walaupun usianya hampir 1900 tahun.

Bangunan ini menampilkan ciri seni bina amat mengagumkan dengan kubahnya yang besar dan cukup unik, sekali gus pasti mengundang rasa pegun terhadap kebijaksanaan dan teknologi masyarakat tempatan pada zaman lampau.

Gereja lain yang terkenal ialah St Peter Basilica yang menjanjikan pengalaman unik kepada pengunjungnya. Gereja terbesar Katolik ini terletak dalam kedaulatan dan entiti berbeza dengan negara Itali, iaitu Vatican, negeri paling kecil di dunia.

Ia mempunyai corak hiasan yang cukup artistik lagi mengagumkan, tetapi tidak menghairankan kerana reka bentuk bangunan ini adalah hasil sentuhan seniman dan arkitek tersohor Itali, Michealangelo.

Sebelum dibenarkan masuk ke gereja ini, pengunjung dikehendaki beratur menjalani pemeriksaan sebagai langkah keselamatan.

Tempat suci penganut Roman Katolik di Kota Vatican ini menjadi destinasi yang cukup terkenal dan sentiasa menarik ramai pengunjung dari seluruh dunia.

Piazza Navona pula dataran paling terkemuka di kota Rom, terkenal dengan air pancutnya yang sentiasa menggamit pelancong untuk menikmati suasana santai sambil memenuhi kafe terbuka, restoran dan kelab hiburan di sekitarnya.

Suasana di dataran ini dimeriahkan dengan kehadiran seniman jalanan seperti pelukis, pemuzik dan pelbagai lagi.

Kota Rom juga begitu kaya dengan muzium dan galeri dengan yang paling menonjol tentunya Muzium Kebangsaan selain Palazzo Venezia, bangunan yang dibina pada pertengahan abad ke-16.

Di balkoni Palazzo Venezia inilah diktator terkemuka Itali, Benito Mussolini pernah berucap di hadapan puluhan ribu rakyatnya sewaktu Perang Dunia Kedua dan bangunan ini juga pernah dijadikan ibu pejabat kerajaan diktator itu.

Pada hari terakhir lawatan, penulis sempat berkunjung ke Trevi Fountain yang tidak kurang menarik dengan mitos tersendiri.

Mitosnya menyebut sesiapa yang mencampakkan objek berbentuk syiling ke kolam takungan di sini, dipercayai akan kembali lagi ke sini dan itu jugalah harapan penulis ketika kaki melangkah meninggalkan kota penuh bersejarah ini.

Sumber: Berita Harian

'Kota Seribu Menara'

Teks dan gambar oleh Zainal Abidin Sulaiman
bminggu@bharian.com.my



MASJID al-Marmari atau kini dikenali sebagai Masjid Muhammad Ali.
Selepas dikuasai Muslim Arab, bumi Kaherah dipenuhi masjid hingga digelar Kota Seribu Menara'

NOTA kaki tafsir al-Quran merujuk kepada Ayat 92 Surah Yunus, menceritakan bagaimana Firaun tenggelam, tetapi jasadnya diselamatkan Allah dan ditemui orang Mesir terdampar di pantai lalu diawetkan dan kelihatan utuh hingga sekarang.

Jasad Ramses II yang dikatakan sebagai Firaun itu kini dipamerkan di Muzium Cairo.

Kisah Firaun dan Nabi Musa AS juga diceritakan dalam al-Quran dan dihurai dalam buku sejarah nabi, manakala filem The Ten Commandments yang dihasilkan pada 1956 sebelum diulang tayang pada 1970-an berkisar kepada Ramses II yang dilakonkan Yul Brynner.

Keinginan penulis untuk melihat lebih dekat tinggalan sejarah Nabi Musa dan Firaun termakbul apabila dapat menyertai rombongan pakej umrah dan ziarah Kaherah yang dianjurkan Andalusia Travel & Tours, baru-baru ini.

Destinasi pertama kami, Piramid Agung Kufu di Giza, antara tujuh keajaiban tertua dunia dan terakhir masih tinggal, dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu atau nama Greeknya, Cheops yang memerintah antara 2606-2583 Sebelum Masihi (SM).



Siap dibina selepas 20 tahun, iaitu sekitar 2580 SM, ketinggian Piramid Kufu yang terletak di kawasan seluas 5.3 hektar ialah 146.5 meter, tetapi hakisan dan kecurian batu teratas meninggalkan ketinggiannya kini sekadar 139 meter.

Setiap sisi pada kaki piramid ini berukuran 231 meter, mengundang rasa terpegun pengunjung memikirkan bagaimana orang dulu membina struktur mengandungi kira-kira dua juta batu blok yang setiap satunya seberat satu tan.

Bayangkan ketika itu, batu terbabit dikatakan dibawa dari satu kawasan sejauh kira-kira 200 kilometer tanpa pengangkutan canggih atau jentera berat seperti kren.

Di sini, pelawat perlu berwaspada dengan peniaga jalanan, pengendali unta dan kereta kuda yang akan mengenakan bayaran tinggi seperti nasib menimpa penulis, manakala jika hendak membeli cenderamata, ada tempat lain yang lebih sesuai.


Keunikan binaan piramid di Giza menjadi tarikan kepada pembuat filem menjadikannya latar belakang atau lokasi produksi seperti filem Mummy dan terbaru, Transformers.

Seterusnya, kami melawat patung Sphinx, dalam bahasa Greek merujuk kepada singa. Patung ukiran batu utuh berbentuk separuh manusia dan separuh singa ini yang terbesar di dunia meliputi 73.5 meter panjang, 6 meter lebar dan 20 meter tinggi.

Mengikut sejarah, Mesir menjadi daerah pertama yang dikuasai kaum Muslim Arab, faktor yang menyebabkan daerah Kaherah dipenuhi masjid hingga digelar Kota Seribu Menara.

Antara tinggalan sejarah lain yang terkenal ialah kota dan kubu Salahuddin al-Ayyubi; Masjid al-Azhar serta Kompleks Masjid Sultan Hassan dan Masjid Ar-Rifa'i.

Kubu atau qal'ah Salahuddin al-Ayyubi dibina panglima perang tersohor, Salahuddin pada 1183 Masihi (M) untuk mempertahankan Kaherah daripada serangan khususnya ketika Perang Salib.

Ia turut menempatkan Masjid al-Marmari atau kini dikenali Masjid Muhammad Ali yang dipenuhi marmar dan granit, Muzium Permata (Qashrul Jawharah) mempamerkan perhiasan raja Mesir seperti singgahsana Raja Farouk dan Muzium Polis (Mathaf as-Syuthah).

Lawatan ke Kompleks Masjid Sultan Hassan memberi peluang pengunjung menikmati keindahan warisan seni bina kerajaan Mamluk. Masjid ini dibina atas arahan Sultan Hassan bin Al-Nasir Muhammad bin Qalawun pada 1356 M dan siap sepenuhnya pada 1363M.

Sultan Hassan bagaimanapun dikatakan dibunuh ketika masjid ini masih dalam pembinaan dan mayatnya tidak ditemui.

Masjid ini menjadi pusat pengajian keempat-empat mazhab dalam Islam, iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali dengan pelawat dapat melihat setiap bilik kuliah yang tercatat nama mazhab berkenaan.

Masjid Saidina Hussain pula menempatkan makam kepala cucunda Rasulullah, Saidina Hussain yang dipancung dalam pertempuran Karbala dan dibawa pulang ke Mesir, tetapi ada juga mendakwa kepala baginda dimakamkan di Syria dan ada pula di Jordan.

Tidak sah lawatan ke Kaherah jika tidak berkunjung ke Universiti Al-Azhar, sebahagian daripada Masjid Al-Azhar yang dibina pada 969 M dan menjadi institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir.

Universiti ini terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan serta pusat pengajian tinggi kedua tertua di dunia yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.

Ia yang dibina kerajaan Fatimiyyah (memerintah 909-1171 M) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahan, pada asalnya adalah Masjid al-Azhar yang satu ketika dulu menjadi pusat pelbagai aktiviti umat Islam, termasuk pendidikan.

Adat melancong, rugi kalau tidak membawa balik ole-ole sebagai kenangan atau untuk dihadiahkan kepada saudara mara serta sahabat handai. Tempat paling sesuai membeli-belah ialah Bazar Khan El-Khalili di sebelah Masjid al-Azhar.

Jika berkesempatan, jangan lepaskan peluang melawat tempat membuat minyak wangi, barang kristal dan galeri papyrus selain Sungai Nil yang menjanjikan pemandangan indah dan romantis pada waktu malam.

Dengan bayaran kira-kira AS$30 atau RM105, kita boleh makan malam di atas kapal sambil menyaksikan keindahan sekitar sungai ini dengan tenang tanpa perlu takut kepada lambungan ombak ganas.

Info
Mesir

Ibu negara: Kaherah

Penduduk: 77 juta

Penduduk Kaherah: 17 juta

Bahasa rasmi: Arab

Mata wang: Egypt Pound

KETAGIH KAFE SIBER

KEWUJUDAN kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini supaya tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun kafe siber yang beroperasi 24 jam dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
Lebih parah, ada di kalangan bawah umur itu sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menghabiskan masa di kafe siber kerana ketagih antara lain bermain permainan video dan tidak kurang pula melayari web lucah.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kafe siber di Cheras dan Wangsa Maju mendapati kanak-kanak bawah 10 tahun juga bebas keluar masuk premis kafe siber lengkap dengan pakaian sekolah tanpa sebarang sekatan dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian, kafe siber bercermin gelap menjadi tumpuan pelajar sekolah untuk mengakses kemudahan internet bagi mengelak kegiatan ponteng mereka dihidu guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Umum mengetahui sebelum ini majoriti PBT mengetatkan yarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet.

Selain itu pihak berkenaan melarang aktiviti berbentuk hiburan diadakan dan menetapkan masa beroperasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.

Peraturan lain adalah larangan merokok dalam premis dan terhadap pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis, terutama pada waktu persekolahan.

“Ibarat mencurah air ke daun keladi’ adalah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kedegilan pelajar sekolah mahupun pihak pengusaha premis yang tidak mengendahkan syarat ditetapkan PBT.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, penulis turut bertanya beberapa pengunjung kanak-kanak yang kerap mengunjungi kafe siber biarpun pada waktu persekolahan.

Seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 16, berkata dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata jimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video dalam talian di kafe siber sambil merokok.

“Saya habis hampir RM5 sehari untuk melayari internet selepas waktu persekolahan dan kadang-kadang saya akan ‘serong’ (ponteng) untuk ke mari,” katanya.

Walaupun mulanya enggan menceritakan perkara sebenar, Amran kemudian memberitahu dia bukan saja datang ke kafe siber untuk bermain permainan video, malah kerap melayari laman web lucah untuk memuat turun gambar atau video pendek.

“Saya sudah ketagih melayari laman web lucah selepas melihat pelanggan yang lebih dewasa melayarinya,” katanya.

Rakannya, Halim, 16, pula menjelaskan ibu bapa dan guru tidak menyedari perbuatannya yang kerap ke kafe siber kerana dalam seminggu, ia hanya sekali dua pada waktu persekolahan.

“Jika pulang lambat ke rumah, saya beritahu ibu bapa ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum, walhal setiap hari saya dan rakan-rakan ke kafe siber untuk bermain permainan video atau melayari laman web lucah.

“Antara permainan video paling popular ialah ‘Left or Death’, ‘Counter Strike’, ‘Super Dancer Online’, ‘Sudden Attact’, ‘Warcraft Dota’, ‘Half Life’ dan ‘Wolf Team’.

“Saya juga sering melawat laman web sosial bagi golongan dewasa popular iaitu ‘myspace.com’ dan ruang sembang ‘Kampung Chat’ dengan menyamar sebagai orang lebih berumur untuk memikat gadis,” katanya.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Haniff Anas, berpendapat polis perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“Jika tertangkap pihak sekolah akan beri amaran dan panggil pelajar untuk sesi kaunseling.

“Bagaimana pun agak sukar untuk menentukan sama ada pelajar itu ponteng atau tidak kerana mereka akan menukar pakaian sebelum masuk ke premis, tambahan pula bagi sesi persekolahan berbeza (pagi dan petang).

“Jika hendak mencari maklumat mengenai kerja sekolah, ia boleh dibuat di makmal komputer sekolah kecuali di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

KAITAN SAMPAH DENGAN CARA HIDUP

Oleh ABU BAKAR YANG
HIDUP dikelilingi oleh sampah memang tidak menyenangkan. Tetapi hakikatnya, hidup kita sering 'diwarnai' oleh beraneka jenis sampah-sarap.
Manusia membuang sampah tidak kira tempat. Natijahnya, sampah ada di mana-mana. Ia disebabkan oleh sikap sesetengah daripada kita yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat.
Munculnya sampah dalam kehidupan disebabkan adanya aktiviti atau tindakan manusia itu sendiri.
Penulis ingin mendefinisikan sampah sebagai simbol masyarakat. Sebagai simbol, ia memiliki nilai makna yang luas, baik daripada segi kebendaan mahupun sosial.
Pertama, sampah sebagai tahap kepenggunaan seseorang.
Jumlah sampah boleh dirujuk sebagai petunjuk mengenai banyaknya penggunaan seseorang. Begitu juga dengan jenis sampah. Jenis sampah memberi gambaran mengenai budaya dan pola kitaran hidup seseorang itu.
Jenis sampah di kawasan perumahan pastinya berbeza dengan sampah di kawasan industri. Begitu juga jenis sampah yang dibuang dari rumah bujang, ia berbeza daripada sampah yang dihasilkan dari rumah yang didiami oleh keluarga.
Kedua, sampah sebagai simbol gaya hidup individu atau masyarakat.
Ini lebih berkaitan dengan kesihatan, iaitu sama ada gaya hidup sihat atau sebaliknya. Rata-rata sampah dikaitkan dengan kekotoran. Sampah itu kotor, sampah boleh mendatangkan penyakit, sampah busuk, sampah menyakitkan mata dan seribu satu macam keburukan sampah.
Corak pemikiran itu akan menegaskan bahawa sampah adalah simbol kepada gaya hidup, sama ada boleh digelar seorang pengotor atau pembersih berdasarkan gaya menguruskan sampah di sekitarnya.
Di Malaysia, urusan tadbir sampah masih tidak memuaskan. Ia masih dilihat sebagai tanggungjawab kumpulan tertentu dan bukan tanggungjawab bersama seluruh ahli masyarakat berbanding sikap penduduk di negara maju.
Memang benar, ada yang kerjanya mengutip dan membersihkan sampah tetapi mereka tidak bertugas di semua kawasan.
Mereka tidak dibayar untuk mengutip sampah sehingga ke dalam rumah atau halaman rumah kita. Urusan selebihnya sebenarnya terletak di bahu kita semua.
Sekiranya kesedaran mengenai kebersihan tinggi, maka bersihlah persekitaran kita. Namun tahap kesedaran yang tinggi masih belum wujud dalam gaya hidup masyarakat Malaysia ini.
Ketiga, keberkesanan menguruskan sampah-sarap.
Di Malaysia, purata setiap penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram sampah sehari berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar.
Berdasarkan statistik itu, jumlah sampah di bandar-bandar utama di negara ini ialah sekitar 18,000 tan metrik! Ia terus meningkat saban tahun.
Mungkin tidak keterlaluan jika kita mengambil iktibar daripada peristiwa runtuhan sampah di kawasan setinggan Leuwigajah di Bandung, Indonesia pada 21 Februari 2005.
Runtuhan sampah dari tempat pembuangan sampah di kawasan itu yang menimbus kawasan setinggan tersebut telah mengorbankan lebih 100 nyawa. Ia merupakan satu tragedi.
Mungkin kejadian itu boleh memberi pengajaran kepada kita bahawa pengurusan sampah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang dengan sebelah mata. Tanpa pengurusan yang baik dan tersusun maka nyawa menjadi taruhannya.
Sementara itu, lihat sahaja kepada masalah denggi di negara ini. Sampah merupakan penyebab utama pembiakan nyamuk aedes, punca demam denggi tersebut. Aedes membiak di dalam air bertakung dan biasanya di kawasan yang banyak sampah-sarap.
Keempat, sampah sebagai cabaran keilmuan dan peluang kewangan kepada golongan yang kreatif.
Sejak kebelakangan ini, sampah telah bertukar sebagai sumber rezeki kepada golongan yang tahu memanfaatkannya. Teknologi terkini mampu menukar sampah dan najis kepada baja untuk pertanian dan penghasilan gas untuk penjanaan kuasa.
Dengan kata lain, sedikit daya pemikiran kreatif yang dibantu oleh teknologi telah memindahkan status sampah kepada bahan berfaedah untuk manusia.
Kini sudah ada pula teknologi untuk mengitar semula sampah untuk dijadikan pelbagai bahan bermutu yang dapat diguna semula.
Perkembangan sebegini memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat yang berilmu dan produktif akan menganggap sampah sebagai satu cabaran dan peluang. Bahkan kepada yang kreatif berupaya pula menjadikan sampah itu sebagai sumber ekonomi.
Ini bermakna apabila sampah ditakrifkan sebagai takdir terakhir untuk satu perjalanan penggunaan kebendaan, maka perkembangan intelektual keilmuan kita akan menjadi beku dan jumud.
Kelima, bagaimana untuk "mengupayakan" sampah menjadi sesuatu yang positif dan bukannya satu konflik.
Kita tidak mahu sebagai satu simbol masyarakat, sampah dilihat sebagai penunjuk gaya kepenggunaan yang keterlaluan selain memaparkan imej pengotor ahli masyarakat kerana ia adalah sesuatu yang tidak sihat.
Oleh itu, kita perlu berhemah dalam berbelanja dan memastikan tahap kepenggunaan kita tidak keterlaluan. Dalam hal ini, sampah juga perlu diuruskan secara berhemah. Jadikan kebersihan sebagai satu daripada keutamaan hidup kita.
Namun kesimpulan mudah terhadap gaya hidup masyarakat kita ialah kita baru sampai kepada tahap teknologi "buang" dan belum berupaya sepenuhnya untuk sampai ke tahap teknologi "mengupayakan" sampah sebagai bahan kitar semula dan menjadi komoditi.
Konflik berpanjangan antara "ya" ataupun "tidak" di kalangan ahli masyarakat terhadap teknologi pelupusan sampah adalah antara beberapa episod yang menggambarkan tahap pencapaian teknologi "buang" yang dimaksudkan.
Masyarakat kita belum sampai ke peringkat "urus tadbir" sampah secara sewajarnya.
Namun ia bukan sesuatu yang mustahil kerana jika ada kesedaran, kita semua mampu melakukannya. Kewajarannya terletak kepada kesedaran dan kerjasama menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.
Kita boleh menangani masalah sampah ini sekiranya kita mahu. Jangan hanya mengharapkan orang lain, kesedaran dan tindakan perlu bermula daripada kita sendiri. Kita mesti bijak menguruskan sampah.

PENULIS ialah Felo, Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http://www.utusan.com.my/

ETIKA BERTUTUR DALAM ISLAM

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

DALAM Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.
Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa: Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.
Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”
Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.
Mempersendakan
Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.
Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa: Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.
Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.
Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.
Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.
Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.
Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “Saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”
Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.
Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.
Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.
Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (Surah Al-Fatihah: 6-7)
Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.
Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.
Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.
Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejian itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.
Firman Allah yang bunyi: Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji. (Surah Al-Humazah:1)
Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.
Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.
Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor. (Surah An-Nahl: 25)
Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.
Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

SETIAP daripada kita ialah pemimpin, kepada umat, keluarga mahupun diri sendiri. Tugas memimpin itu merupakan amanah yang Allah kurniakan kepada kita untuk ditunaikan sebaiknya.

Tatkala tiba saat membuat keputusan, seseorang pemimpin itu harus memikirkan impak terbaik buat mereka yang dipimpin serta kemaslahatan umat. Faktor kepentingan diri hanya akan mengganggu gugat pertimbangan dalam proses membuat keputusan tersebut.

Pemimpin turut menerima keistimewaan atas posisi tersebut. Pemimpin yang baik dapat membezakan antara keistimewaan yang benar-benar berhak dimiliki ataupun tidak. Adakalanya terdapat keistimewaan yang boleh diabaikan secara baik lalu disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Seorang pemimpin yang baik akan berusaha membawa imej yang baik walau di mana sahaja. Imej tersebut tidak seharusnya ditampilkan semata-mata ketika menghadapi khalayak tetapi seharusnya menjadi pancaran akhlak diri yang luhur dan ikhlas.

Bermakna walaupun pemimpin itu tersembunyi daripada liputan insan lain, watak keperibadian diri pemimpin itu tetap teguh bersama ketakwaan diri kepada Allah yang Maha Mengetahui apa yang hamba-Nya lakukan dan fikirkan.

Menerima Pandangan Pengikut

Setiap pemimpin mempunyai pengikut, sama ada pemimpin atau pengikut masing-masing tidak dapat lari daripada kesilapan. Ada pandangan daripada pengikut yang mungkin lebih bernas justeru boleh dipertimbangkan oleh pemimpin.

Mendengar pandangan pengikut tidak akan menjatuhkan kredibiliti pemimpin malahan dapat memupuk kesepakatan antara keduanya. Soal penerimaan pendapat pula adalah perkara kedua yang akan menyusul setelah pemimpin berusaha memahami pandangan pengikut.

Sekurang-kurangnya dengan demikian pengikut mendapat peluang untuk bersuara serta menyuarakan pendapat. Pengikut juga dapat berasakan peranannya dihargai dalam menentukan hala tuju organisasi.

Dalam melaksanakan sesuatu tugas kepimpinan yang baru, bantuan nasihat daripada mereka yang kita warisi tugasan berkenaan dapat membantu kelancaran proses kepimpinan yang dilaksanakan.

Disebabkan pengalaman serta ilmu yang dimiliki, adalah baik untuk mereka dijadikan mentor kepada kita iaitu sebagai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat terutamanya tatkala melalui situasi kritikal dalam membuat sesuatu keputusan yang besar.

Memimpin Ada Had Waktunya

Setiap tugas kepimpinan ada had waktunya, sama ada hayat hidup, upaya kesihatan, ataupun termaktub dalam perundangan organisasi. Justeru setiap pemimpin harus menyedari hakikat tersebut dan menyediakan generasi pelapis untuk mewarisi kepimpinan.

Kesediaan menyerahkan tugas kepimpinan kepada yang layak apabila tiba masanya membantu melancarkan kesinambungan organisasi serta perkembangannya. Hal ini juga menggambarkan ketinggian peribadi pemimpin tersebut yang konsisten meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri.

Juga apabila kepimpinan tidak membuahkan hasil yang diharapkan, ada kalanya penstrukturan semula organisasi adalah perlu dalam mencetuskan momentum peningkatan pencapaian. Dalam situasi ini, kepimpinan tertinggi tidak terkecuali dalam perjalanan proses tersebut.

Justeru apabila tidak lagi diberikan tanggungjawab atas jawatan kepimpinan yang sama, pemimpin sebenar akan berlapang dada dengan situasi yang dihadapi. Maksud niat untuk menyumbang kepada organisasi tidak akan terhenti semata-mata tidak lagi memegang jawatan yang sama.

Sebaliknya situasi tersebut mampu membuka ruang kepadanya untuk menyumbang melalui kaedah atau wadah yang lain. Apa yang penting, sebagai pemimpin Muslim, agenda membangunkan ummah perlu diusahakan walau di mana jua ia berada.

Kesimpulan

Hidup ini bagaikan roda yang berputar, ada kalanya kita di atas, dan adakalanya kita di bawah. Ada masanya kita dipimpin, ada masanya kita memimpin. Apabila menjadi pemimpin, perlu ada kesedaran untuk mengingati saat ketika kita di bawah.

Apa jua tanggungjawab kepimpinan kita, kepimpinan diri adalah aspek penting yang mendasari kepimpinan organisasi. Justeru, pembentukan akhlak mulia serta penerapan nilai peribadi yang utuh perlu menjadi fokus dalam usaha mengasah kepimpinan untuk diri dan insan lain.

Kepentingan ummah seharusnya menjadi keutamaan dalam menjalankan misi kepimpinan hari ini. Matlamat ini mampu mendorong ke arah mewujudkan kesatuan serta perpaduan dalam umat Islam yang seterusnya menjadi tunjang dalam kepimpinan negara.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Khamis, 16 Julai 2009

Sahabat sejati beri manfaat dunia, akhirat


Oleh Masmawi Abdullah
Islam sedia panduan pilih rakan, elak mereka yang bawa kemungkaran

PERUMPAMAAN Melayu menyatakan 'sahabat baik umpama pohon rendang' membawa maksud rakan karib sanggup bersama ketika susah dan memberi bantuan tanpa mengira masa atau keadaan.

Justeru, Islam sentiasa menasihatkan umatnya berhati-hati memilih sahabat bagi mengelak berkawan dengan mereka yang membawa kemungkaran.
Firman Allah yang bermaksud: "Janganlah engkau mengikut orang yang sudah Kami lupakan hatinya untuk mengingati (berzikir) pada Kami dan ia suka mengikut hawa nafsunya." (Surah Kahf, ayat 29)

Jika kita memilih sahabat yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsunya, ia merugikan terutama apabila kita turut terpengaruh dengan sikapnya. Oleh itu, pilih sahabat yang membimbing ke arah hidup lebih baik mengikut syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang menurut agama (aturan) kekasihnya, oleh sebab itu baiklah seseorang daripada kamu semua itu meneliti orang yang dikasihinya."
Sifat perlu ada pada seseorang yang ingin kita jadikan sahabat bolehlah dicontohi daripada wasiat al-Qamah kepada anaknya.

Katanya: "Hai anakku, jika engkau perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka pilih yang mempunyai sifat jika engkau melayaninya ia suka melindungi, jika engkau bersahabat dengannya, ia akan menjadi hiasan bagi dirimu dan jika engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia suka mencukupi keperluanmu.

"Pilih sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jika ia mengetahui keburukan dirimu lalu ia suka menutupinya.

"Pilih sahabat yang jika engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jika engkau diam, ia mulai menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan menimpa dirimu, ia suka membantu dan meringankan, ia suka membantu dan meringan kamu serta menghiburmu.
"Pilihlah sahabat yang jika engkau berkata, ia sukar membenarkan ucapanmu dan bukan selalu mempercayainya saja, jika engkau mengemukakan sesuatu persoalan berat, ia suka mengusahakannya, sedang jika engkau berselisih dengannya, ia suka sekali engkau berselisih dengannya, ia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu."

Saidina Ali menyatakan: "Sahabat yang sebenar-benarnya ialah orang yang di sampingmu. Ia suka membabitkan dirinya dalam bahaya demi untuk kesejahteraanmu."

Saidina Ali membuktikan katanya dengan mengambil alih tempat tidur Rasulullah SAW ketika Baginda dan Saidina Abu Bakar merancang untuk berhijrah ke Madinah.

Walaupun Saidina Ali tahu risiko bakal dihadapinya kerana pemuda Quraisy bercadang menyerbu rumah Rasulullah SAW dan membunuh Baginda, Saidina Ali sanggup menghadapi bahaya itu semata-mata atas dasar kepentingan keselamatan sahabatnya.

Contoh persahabatan lain yang boleh diteladani ialah antara Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiyakan apa yang Rasulullah SAW katakan.

Ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanan Israk dan Mikraj kepada orang Makkah, mereka tidak mempercayai cerita Rasulullah SAW, malah menuduh Baginda pembohong. Mereka berjumpa Saidina Abu Bakar untuk bertanya jika cerita itu benar atau sebaliknya.

Apabila Saidina Abu Bakar mendengar pertanyaan mereka, dengan tenang beliau bertanya: "Apakah benar Rasulullah SAW bercerita begitu". Mereka menjawab 'ya'. Maka tanpa ragu-ragu Saidina Abu Bakar menyatakan apa yang Rasulullah SAW katakan benar.

Sepanjang perjalanan dari Makkah ke Madinah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada di depan dan di belakang Baginda SAW. Apabila Baginda bertanya hal ini, Saidina Abu Bakar menjawab:

"Aku berjalan di depanmu untuk memilih jalan yang baik selamat sementara aku berjalan di belakangmu untuk menjaga keselamatan daripada serangan musuh yang mengejarmu."

Perhatikan nasihat Abu Sulaiman mengenai pentingnya memilih sahabat seperti yang dianjurkan Islam. Katanya: "Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada dua orang ini. Pertama, orang yang dapat engkau ajar bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang yang dijadikan sahabat itu dapat menambahkan kemanfaatan dirimu untuk akhiratmu.

Jika engkau suka bersahabat dengan orang yang selain dua orang ini, maka pastilah engkau memiliki kebodohan yang luar biasa besarnya."
Sumber:Berita Harian.

MANUSIA DAN KESEJAHTERAAN


Kelelahan kita semakin parah tenatnya
berserta kekejaman mengatasi kedamaian
titik pertemuan menjadi tentangan
tak siapa mau beralah.

Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
janjikan harapan semanis janji orang bercinta
setiap penbicaraan tanpa persatuan
kejujuran mati di hati.

Hari ini tak payah parau bertanya
ketuaan dunia akan tenggelam juga
dalam kebodohan manusia
yang kian bermuka dua.

Demi kelak dewasanya anakku
kau bikinlah perhitungan sendiri
untuk menjengah neraka kecintaan manusia
mencucuri bahan api neraka.

Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMAD !
Tambah mengimbau sorotan kitab ESA !
Hanya kesejahteraan membunga api.

SALMI MANJA
Antologi Anak Laut, DBP.


BIJAK MEMILIH SAHABAT

Kejayaan seseorang pelajar itu banyak bergantung juga kepada keupayaannya untuk memilih barisan rakan yang bersesuaian dengan diri mereka terutama dalam aspek pelajaran. Bukan mudah untuk memiliki rakan yang seiringan dengan kita terutama dalam kehidupan pelajar yang penuh dengan peperiksaan ini. Namun, jika pelajar bijak, pasti rakan yang dipilih merupakan rakan yang mampu untuk membantu pelajar untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Salah satu kriteria utama untuk memilih rakan ialah mereka yang mempunyai pandangan tentang pelajaran yang serupa atau hampir serupa dengan anda. Usaha mencari pelajar yang mempunyai pandangan positif terhadap pelajaran mereka juga bukanlah sesuatu yang sukar terutama jika seseorang itu tahu perkara yang harus diberikan perhatian. Antara pengukur rakan yang positif ialah:

Semangat belajar yang tinggi. Adakah pelajar ini memaparkan semangat untuk belajar yang tinggi? Adakah dia selalu mengutamakan pelajarannya berbanding aspek yang lain.

 Komitmen. Adakah pelajar tersebut sanggup melakukan komitmen yang serupa seperti anda dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran masing-masing?

 Sikap bertanggungjawab. Adakah pelajar terbabit sanggup untuk menerima tanggung jawab dalam sesuatu tindakan atau perkara yang telah dipersetujui bersama-sama terutama dalam aspek pelajaran? Adakah pelajar itu jenis yang berani menerima tanggung jawab jika berlakunya sesuatu perkara dalam persahabatan kelak?

Kemahiran yang unik. Bagaimana dengan kemahiran pelajar itu dalam sesuatu subjek? Adakah pelajar itu merupakan pelajar terbaik sekolah atau terbaik dalam sesuatu pelajaran yang mungkin agak lemah buat anda pula?

 Konsep kejayaan dalam pelajaran. Adakah pelajar yang akan dipilih sebagai kawan itu begitu focus terhadap kejayaan yang ingin dicapainya dalam pelajaran? Adakah pelajar itu menganggap kejayaan dalam pelajaran merupakan sesuatu yang penting untuk dikecapinya?

Seronok belajar bersama-sama. Bagaimana dengan konsep seronok buat pelajar itu? Adakah pelajar itu jenis yang berasa seronok untuk didampingi ketika belajar? Jenis yang mudah berjenaka terutama ketika belajar kadangkala penting untuk memastikan suasana belajar terus dinikmati dengan baik.

Ketahanan diri yang tinggi. Usaha untuk mencapai kejayaan memerlukan masa yang lama dan sudah pasti pelbagai masalah akan wujud. Adakah pelajar terbabit mampu untuk mengharungi bersama-sama sebarang masalah yang bakal timbul sepanjang komitmen bersama untuk berjaya dalam pelajaran?

Sudah pasti tidak akan dapat manusia yang mampu menepati semua syarat-syarat di atas dengan sepenuhnya tetapi berdasarkan syarat yang diberikan di atas pelajar mempunyai satu garis panduan yang boleh digunakan untuk menilai dan membuat keputusan mereka dalam aspek pemilihan sahabat ini. Kewujudan garis panduan sebegini juga mampu mengurangkan kesilapan yang bakal dilakukan pada masa hadapan.

Namun, perkara yang menyedihkan ialah banyak pelajar masih tidak melihat aspek pemilihan rakan mereka ini sebagai sesuatu yang penting. Kegagalan untuk memilih rakan yang betul menyebabkan banyak pelajar menghabiskan masa untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam sebarang hubungan persahabatan mereka itu. Situasi ini menyebabkan pelajar gagal untuk memberikan perhatian yang sepenuhnya akan tanggung jawab mereka terhadap pelajaran. Paling mengecewakan adalah banyak masalah ini merupakan masalah yang tidak ada hubung kait dengan pelajaran tetapi lebih banyak berunsur emosi atau masalah kebudak-budakan yang mampu dielakkan jika pelajar lebih berwaspada dalam memilih sahabat mereka.

SUMBER: NOOR AZMAN MAHAT

Rabu, 15 Julai 2009

Muliati

Kelahiranmu di dunia
membawa sejuta kegembiraan
riang tawamu menggelikan hati
namun,
luka di hatimu masih berdarah
setiap kegembiraanmu diragut
tanpa mengira siapa dirimu.

Ketabahanmu jelas terpancar
onak duri kehidupan menjadi lali padamu
kesusahan hidup menjadi teman karibmu
tetapi kecekalanmu
tetap menjadi pendorong,
itulah
Muliati.

Nukilan;
Nor Asilah Binti Abdul Razak
‘Menatap Wajahnya’.

Rotanlah jika mampu membentuk disiplin pelajar



HUKUMAN rotan akan "kembali" ke sekolah tidak lama lagi. Hukuman itu akan diperkenalkan semula untuk "menundukkan" pelajar yang tahap disiplin mereka semakin meruncing.

Ketika ini masalah perlanggaran disiplin, pergaduhan dan buli di sekolah semakin menjadi-jadi. Akhirnya hukuman tradisi yang pernah digunakan untuk mendisiplinkan pelajar sebelum era alaf baru ini terpaksa diperkenalkan semula.

Namun seperti kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi, hukuman rotan tersebut masih di peringkat cadangan.

Ia baru dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara untuk mendapat maklum balas. Hukuman itu hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara - yang akan memberi maklum balas sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu sudah cukup untuk menceritakan bagaimana meruncingnya masalah disiplin di kalangan pelajar ketika ini. Bayangkan keruntuhan disiplin pelajar terpaksa diatasi dengan hukuman yang memerlukan kelulusan Peguam Negara!

Walaupun jumlah pelajar yang menjadi "epal busuk" itu tidaklah ramai berbanding pelajar yang berdisiplin tinggi, namun kerenah yang dicetuskan oleh mereka amat menyesakkan dada.

Mungkin ramai yang terfikir, kenapa sehingga ke Peguam Negara? Jawapannya mudah. Situasi masa kini tidak sama dengan keadaan di sekolah 20 atau 30 tahun lalu. Sikap ibu bapa ketika itu dengan ibu bapa di zaman siber ini ketara berbeza.

Ramai ibu bapa di zaman ini tidak boleh menerima teguran atau laporan guru bahawa anak-anak mereka nakal. Malah ada yang sanggup menempelak malah 'menyerang' guru demi mempertahankan anak-anak yang disifatkan mereka terlalu baik.

Dan, ketika ramai ibu bapa yang menyuarakan sokongan agar pelaksanaan hukuman rotan diperkenalkan semula, tidak kurang yang membantah. Golongan itu termasuklah peguam dan aktivis hak asasi manusia.

Bagi mereka, hukuman rotan bukan jawapan untuk mengatasi masalah disiplin. Mereka mendesak guru menggunakan pendekatan menerusi kaunseling kerana hukuman rotan dianggap melanggar hak asasi pelajar.

Namun pada masa yang sama, golongan ini sebenarnya secara tidak langsung telah mengenepikan hak asasi pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan.

Jadi, demi memastikan keadilah semua pihak, kelulusan Peguam Negara diperlukan. Langkah Kementerian Pelajaran tersebut lebih kepada sikap berhati-hati.

Guru disiplin yang akan melaksanakan hukuman rotan itu nanti terpaksa mematuhi prosedur yang ditetapkan. Mereka tidak boleh merotan sewenang-wenang.

Namun walau apa sahaja bentuk hukuman, ia perlu disegerakan. Pelaksanaannya juga mesti dilakukan dengan serius.

Masalah disipilin pelajar ketika ini bukan satu perkara yang boleh dipandang sebelah mata. Bayangkan jika masalah disiplin itu tidak diatasi dan ia berlanjutan sehingga mereka dewasa. Jadi, sekiranya hukuman lebih berat termasuk rotan boleh mengatasi masalah disiplin, laksanakanlah segera.

Sumber : Akhbar Utusan Malaysia

Di Sisi Rinda



(A.Samad Said)

Sinopsis
Jumari Jipan menjaga seorang kanak-kanak kecil bernama Deliah atau lebih mesra di panggil Nen. Semua ahli keluarga Nen meninggal dunia kerana terkena bom. Nen kemudianya dibela oleh datuknya Ripin. Setelah Ripin meninggal dunia kerana terkena bom, Jumari Jipanlah yang bertanggungjawab memeliharanya. Jumari Jipan menghadiahkan Nen seekor kucing siam yang diberi nama Rinda dan dengan kucing itulah Nen berkawan. Nen seorang pengkhayal dan sering bercakap-cakap sendirian atau dengan kucingnya. Nen sering berkhayal tentang keris pusaka datuknya. Jumari Jipan menemui sebilah keris dan nen percaya itulah keris pusaka datuknya. Suatu hari, seorang askar Jepun ingin mencarikan pasangan untuk kucingnya. Dia ternampak Rinda lalu mengejarnya. Nen dan Rinda berlari ke jeti atas arahan Jumari Jipan. Tembakan askar Jepun itu terkena pada seorang kawannya. Jumari Jipan, Nen dan Rinda sampai di jeti. Jumari Jipan menyatakan keris yang ditemuinya itu telah hilang.


Tema
Penderitaan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan dalam zaman peperangan.

Persoalan
Tanggungjawab menjaga anak yang yatim piatu
Kasih sayang sesama makhluk
Persahabatan yang ikhlas
Kepercayaan kepada cerita dogeng dan mitos

Watak dan Perwatakan

Jumari Jipan (Tuk Juma)
Datuk angkat Deliah
Sahabat baik Ripin
Penyayang
Bersimpati
Bertanggungjawab

Deliah
Anak yatim piatu
Berkulit putih/rambut kerinting/kening lebat/hidung mancung sedikit
Cucu Ripin
Sangat lincah
Suka bercakap sendirian
Penyayang – Rinda(kucing Siam)

Latar

Latar Tempat
Dalam bot
Di tepi muara
Belukar senduduk
Bekas khemah tentera rejimen Melayu

Latar Masa
Zaman pendudukan Jepun
Awal subuh – serangan bom yang menyebabkan Ripin terkorban
Senja – semasa Jumari Jipan merenung ke laut dan mengimbas kenangan lalu

Latar Masyarakat
Golongan penjajah yang rakus
Masyarakat yang menjadi mangsa peperangan
Masyarakat yang sangup memikul tanggungjawab

Nilai
Kasih sayang – Tuk Juma memelihara Deliah dengan penuh kasih dan tanggungjawab
Belas kasihan – Jumari Jipan bersimpati terhadap Deliah yang yatim piatu
Keberanian – mengharungi laut yang penuh cabaran

Pengajaran
Kita mestilah bersimpati dan membantu anak yatim piatu
Kita hendaklah tabah mengahadapi dugaan hidup
Kita patutlah ikhlas dalam menjalinkan persahabatan
Kita mestilah kasih sesama makhluk

ISU DISIPLIN PELAJAR

Padah apabila gagal mengawal emosi
PERISTIWA lima pelajar perempuan yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah sekolah di Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan dijadikan contoh. Lebih mengejutkan, kejadian pergaduhan dilakukan oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dilihat bersifat agresif menyerang mangsa.

Akibat tindakan mereka yang tidak dapat mengawal emosi, dua daripada lima pelajar perempuan tersebut dibuang sekolah. Dua lagi pelajar dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu manakala seorang lagi digantung persekolahan tiga hari.

Peluang untuk meneruskan persekolahan masih terbuka untuk dua pelajar yang dibuang sekolah. Sekiranya mereka masih mahu meneruskan persekolahan, mereka perlu mengemukakan rayuan untuk tindakan lanjut. Dilaporkan juga, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 506 akta sama kerana terdapat unsur ugutan dalam kejadian itu.

Perasaan cemburu dikatakan antara penyebab kepada pergaduhan. Kedua-dua mangsa dikatakan cerdik, cantik dan disukai guru sekolah. Ini menyebabkan tiga pelajar senior merancang pergaduhan antara kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu.

Tindakan lebih berani dilakukan apabila aksi kejadian melibatkan empat daripada lima pelajar itu yang berpakaian seragam sekolah turut tersebar di laman perkongsian video, YouTube.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka memang wajar untuk menjadi tauladan kepada pelajar-pelajar lain supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, rata-rata pelajar yang terlibat dalam gejala negatif seperti pergaduhan dan buli tidak sedar bahawa ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

Kenyataan beliau perlu diberi perhatian serius kerana masa hadapan pelajar banyak bergantung kepada keupayaan untuk mengawal emosi dan tidak bertindak secara agresif.

Banyak kajian menunjukkan bahawa tindakan seperti buli bermula dengan hanya perbuatan suka-suka dan berseronok. Apa yang sering berlaku ialah peristiwa yang pada mulanya menyeronokkan membawa padah yang buruk kepada mangsa dan pelaku.

Adalah satu yang amat menyedihkan apabila pelajar yang masih lagi berada pada peringkat remaja dan umur yang masih muda terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka disabitkan dengan perlakuan jenayah dan terpaksa melupakan kehidupan sebagai seorang pelajar. Ini tentunya akan memberi kesan buruk kepada diri dan keluarga mereka.

Remaja yang berada di luar alam persekolahan dilihat lebih terdedah kepada masalah sosial dan jenayah. Begitu juga, adalah lebih sukar untuk remaja yang tidak mendapat pendidikan yang baik untuk mempunyai masa hadapan yang cerah.

Seperti mana kenyataan Alimuddin, pelajar perlu berfikir panjang untuk tidak melakukan perkara-perkara yang akan menjejaskan masa hadapan mereka. Secara psikologinya, pada peringkat perkembangan diri, remaja banyak menghadapi konflik. Ini termasuk konflik perhubungan dengan rakan-rakan.

Perasaan cemburu atas kelebihan yang ada pada orang juga wujud. Jika konflik diri ini tidak diurus dengan baik, ia akan membawa banyak kesan negatif. Bertindak balas secara agresif atas ketidakupayaan mengawal emosi seperti membuli ternyata bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli.

Pelajar sekolah yang berada pada tahap remaja memerlukan bimbingan dalam kehidupan mereka. Jika mereka menghadapi konflik diri, mereka boleh mendapatkan bantuan seperti kaunseling, berbincang dengan rakan-rakan dan guru atau mencari hobi yang diminati.

Ibu bapa pula memainkan peranan yang sangat penting memantau perkembangan anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

DR. SAPORA SIPON

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

BUAT BAIK BERPADA-PADA


Karya : A. Kadir Jasin

KITA berada dalam era yang kelabu.
Tidak ada lagi warna hijau, merah dan buru.
Sudah bercampur baur.
Pudar, kelabu dan kabur.

Kita dikatakan lepas bebas.
Era globalisasi yang terbuka luas.
Tetapi mengapa kita berasa terbatas?
Terkepung, terbendung, terpintas
Takut berhujah, bimbang berbahas.

Kita agungkan globalisasi.
Kita julang tinggi meritokrasi.
Padahal kita keliru, tidak tahu.
Apa ertinya istilah-istilah itu.

[Macamlah berkhayal dengan Akademi Fantasia
Dan wayang Hindi yang berjam-jam panjangnya.]

Maka kita berbicara tentang kesamarataan.
Tidak mahu lagi kuota dan bantuan.
Lalu kita rungkaikan satu persatu.
Tali-tali yang dulu mengikat kita jitu.

Kita manterakan Malaysian Malaysia.
Kita uar-uarkan Satu Malaysia.
Kita kagumi Masyarakat Madani
Kita berjinak-jinak dengan Islam Hadhari.

Apakah kita kini cukup berani
Yakin kepada kemampuan diri
Sudah sedia untuk berdikari
Atas landasan meritokrasi
Keterbukaan dan globalisasi
Atau sebenarnya kita lupa diri
Umpama anak kecil bermain api
Terbakar hatinya yang sepi?

Adakah mampu Melayu di Ulu Benta
Bersaing dengan Cina di Bukit Damansara?
Atau Melayu di pedalaman dan hulu?
Dengan Melayu baru di Bukit Tunku?
Atau nelayan dengan anak jutawan?
Anak buruh dengan anak orang berpengaruh?

Bukan bangsa lain tidak utama
Mereka pun rakyat Malaysia juga
Tetapi realiti yang wajib diterima
Orang Melayu dan Bumiputera
Adalah majoriti rakyat Malaysia
Pinggirkan mereka, bala jawabnya.

[Hatta saya dan adik-adik saya
Kami pun tidak serata
Kalau ikut meritokrasi
Mungkin anak saya dapat biasiswa
Anak mereka gigit jari
Kerana sekolah di kota
Segala lengkap semua ada
Guru tuisyen dan segala benda.
Tetapi apa halnya
Dengan sekolah di desa?]

Kalaupun hendak bermurah hati
Wajiblah kita berhati-hati
Jangan abaikan hak majoriti
Padahnya buruk kemudian hari.

Terima kasih kawan dan taulan
Madah pujangga jadikan teladan
Buat baik perpada-pada
Buat jahat jangan sekali
Usah digadai tanah pusaka
Nanti bangsa dihina dikeji.

Sumber : Blog : kadirjasin

Selasa, 14 Julai 2009

Penggunaan bahasa keluarga memudahkan pelajar berfikir


Pengajaran subjek Sains, Matematik dalam bahasa ibunda bantu memahami konsep, prosedur pengajian
Oleh Norliza Abdullah
rencanabh@bharian.com.my
LANGKAH kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan adil kepada sebahagian besar murid terutama yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris.

Ia memberi peluang saksama kepada mereka terutama yang tinggal di luar bandar dan penempatan Orang Asli menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa yang mudah difahami.

Menggunakan bahasa yang mudah difahami penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa yang mudah difahami.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata dalam konteks pendidikan di Malaysia, bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa pengantar untuk kedua-dua mata pelajaran ini.

Katanya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diguna pakai sejak 2003, jelas menidakkan hak murid terutama yang tidak menguasai bahasa Inggeris dalam menguasai ilmu berasaskan teknologi moden itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Buktinya, pelaksanaan itu menjejaskan prestasi pelajar terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat.
Berdasarkan kajian 59 negara, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2004 dan 519 bagi 1999 iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.

Berbanding kajian TIMSS pada 1999 mendapati prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains adalah antara yang tertinggi di kalangan 59 negara yang dikaji.

Beliau berkata, pada 2007 prestasi pelajar kita menjunam dan kemerosotan ini adalah tertinggi di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam TIMSS 2007. Kemerosotan itu sebahagian besarnya disebabkan kebanyakan pelajar sukar mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pada 1999 dan 2003, pelajar mengikuti mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Mereka mudah belajar kerana masing-masing cekap dalam bahasa Malaysia dan guru mereka juga lancar mengajarnya dalam bahasa Malaysia. Jadi prestasi mereka dalam Matematik dan Sains baik.
"Sudah banyak kajian di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah menunjukkan pentingnya bahasa ibunda atau bahasa keluarga (bahasa yang selalu diguna dalam keluarga) diguna untuk mengajar pelajar memahami konsep dan prosedur dalam Matematik dan Sains atau dalam mata pelajaran akademik lain.

"Penggunaan bahasa keluarga atau ibunda memudahkan pelajar berfikir dan memahami pelajaran. Kajian TIMSS menunjukkan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda (bahasa keluarga) dalam pembelajaran Matematik dan Sains mencapai prestasi lebih tinggi berbanding pelajar yang menggunakan bahasa kedua atau bukan bahasa keluarga," katanya mengulas langkah kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah untuk dilaksanakan dalam bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Dr Isahak berkata, di Malaysia jelas menunjukkan bagaimana bahasa Cina yang diguna di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains (ditambah dengan pengajaran istilah dalam bahasa Inggeris) memberi kesan positif dalam meningkatkan prestasi pelajarnya dalam UPSR pada 2008 dan menurun peratus yang gagal.

"Kita harus bertanya, apakah sebab sebahagian besar pelajar luar bandar rendah penguasaan bahasa Inggeris? Tentu ada sebabnya iaitu sebahagiannya kerana kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris untuk pelajar ini kurang sesuai," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Communicative English atau bahasa Inggeris komunikasi diguna untuk mengajar pelajar asing di United Kingdom (UK) dan AS yang dipelopori Widdowson pada 1970-an dijadikan asas dan pendekatan mengajar pelajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia bermula awal 1980-an.

"Usaha itu relevan sebagai pendekatan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa asing kepada pelajar asing di UK atau AS. Bahasa Inggeris komunikasi diguna pelajar asing dalam konteks masyarakat di kedua-dua negara yang menggunanya sebagai bahasa kehidupan seharian dalam pertuturan dan komunikasi.

"Pendekatan itu kurang sesuai untuk mengajar pelajar di sekolah rendah luar bandar di Malaysia kerana bahasa berkenaan tidak digunakan di luar bilik darjah. Masing-masing hanya menggunakan bahasa berkenaan selama kira-kira sejam sehari lima hari seminggu, dalam kelas saja," katanya.

Dr Isahak dalam kajian ilmiahnya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati, 83 peratus daripada murid di semua penempatan seluruh negara meluahkan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003.

Hasil kajian itu juga mendapati 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Guru mengambil inisiatif lebih menerangkan semula dalam bahasa Melayu dengan harapan muridnya yang lemah bahasa Inggeris memahami apa yang hendak disampaikan.

Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort, iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Ini diikuti pada Julai juga 2007 membabitkan seramai 636 dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan murid 1,703 murid Tahun Lima di 28 sekolah rendah.

Selain kajian UPSI menunjukkan kegagalan PPSMI meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik, pengkaji lain sebelum ini juga menunjukkan hasil sama.

Terdahulu sekumpulan penyelidik juga dari UPSI diketuai Zainuddin Bikum pada 2004 juga menunjukkan hasil sama.

Antara pengkaji lain yang mengenal pasti kesan negatif pelaksanaan PPSMI ialah Prof Madya Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003 dan Prof Juriah Long juga dari UKM menerusi dana penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr Isahak berkata, konteks dan fungsi pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (atau bahasa asing) di Malaysia tentulah berlainan berbanding proses pengajarannya di UK atau AS.

"Kita perlu mengguna pendekatan lebih sesuai dengan konteks 'budaya' di Malaysia. Tentu sekali ada pendekatan alternatif lain dan sudah pun terdapat pendekatan lain mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa asing dalam konteks budaya lain," katanya.

Beliau menyarankan supaya kementerian mengguna dan menambah bilangan guru tempatan dan kukuhkan kecekapan mereka, tanpa perlu mengimport guru dari luar negara seperti UK, Australia dan AS mengajar pelajar kita kerana kosnya berganda selain mereka akan balik semula ke negara asal.

Kajian menunjukkan pelajar berlainan kebolehan perlu jangka masa berlainan untuk menguasai kecekapan berbahasa, termasuk bahasa Inggeris. Lebihkan masa dan banyakkan latihan untuk pelajar kita belajar bahasa Inggeris terutama pelajar di luar bandar.

Pelajar kita sudah pun berjaya belajar secara intensif pelbagai bahasa asing - Jepun, Arab, Korea, Perancis, Jerman dan Russia - untuk belajar di peringkat tinggi dalam pelbagai bidang di IPT di luar negara.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Isnin, 13 Julai 2009

ETIKA BERTUTUR DALAM ISLAM


Oleh Mohd Shauki Abd Majid

DALAM Islam kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber kata-kata kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.
Kerana itu ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa: Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor sebab Allah tidak suka kepada kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor dari orang lain.
Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”
Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.
Mempersendakan
Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie melukiskan perwatakan Nabi Muhamad SAW sebagai karikatur dan mempersendakan baginda. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.
Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad telah lupa bahawa Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan bahawa: Seorang Mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.
Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.
Sebaliknya baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.
Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.
Rasulullah SAW adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.
Abu Hurairah berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhamad SAW agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “Saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”
Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan semoga Allah SWT menghinamu! Maka bersabdalah Rasulullah SAW yang bermaksud: Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.
Daripada Abu Darda r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Aku memohon kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.
Begitulah citra peribadi Rasulullah SAW, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.
Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau sikap lalai. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat. (Surah Al-Fatihah: 6-7)
Di dalam masyarakat Islam tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.
Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis pada hal belum dapat menutup kesalahannya maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.
Seorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang menyeret kepada perbuatan dosa.
Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejian itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.
Firman Allah yang bunyi: Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji. (Surah Al-Humazah:1)
Dalam ayat ini, Allah SWT mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.
Sesungguhnya Allah SWT itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.
Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor. (Surah An-Nahl: 25)
Dari ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya mencarut dan memaki hamun sesama muslim.
Ini kerana kerja-kerja mencarut adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah SWT daripada sifat yang buruk.

Sumber : http://www.utusan.com.my/