: : :PELANGI MALAM: : :

Ahad, 5 Ogos 2012

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan yang hendak dilaksanakan mestilah ikhlas kemata-mata kerana Allah SWT. Allah SWT. tidak akan memandang sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana riyak atau untuk mendapat pujian daripada manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa beramal kerana riyak, Allah akan menolak amal itu pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Allah SWT berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu'." (Hadis Riwayat Muslim).

Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku" Selepas berkata begitu,tiba-tiba Abu Hurairah menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku di rumah ini,tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan.

Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan : "Bahawa pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan Allah SWT.

Allah SWT bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah Aku telah mengajarkanmu kitab yang telah Aku turunkan kepada rasul-Ku?"

Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.''

Allah SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?''

Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-Mu di malam hari dan siang hari''

Malaikat berkata kepadanya, "Engkau berdusta".

Allah SWT berfirman "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. Allah SWT berfirman, ''Engkau telah Aku beri rezeki sehingga berkeadaan cukup".

Orang itu menjawab, ''Benar wahai Tuhan''.

Allah SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'',

Dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.''

Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta".

Malaikat juga berkata begitu. Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''

Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah SWT.

Maka Allah SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?''

Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-Mu, maka aku berperang sehingga terbunuh.''

Maka Allah SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu."

Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.

"Kemudian Rasulullah SAW menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''"

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkah hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amalan yang kita lakukan jika tidak ikhlas kerana Allah SWT dan ada matlamat dan tujuan yang lain maka ianya tidak akan di terima oleh Allah SWT. Amalan tersebut akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan tidak ada nila di sisi Allah SWT.

Ada orang bertanya bagaimana hendak mengetahu sesuatu amalan itu ikhlas atau tidak?, sedangkan ikhlas itu terletak di hati. Tidak ada sesiapa pun mengetahuinya melainkan Allah SWT.

Memang benar ikhlas itu terletak di hati. Jika kita sendiri hendak mengesan amalan yang kita buat itu ikhlas atau pun tidak maka tandanya kita lebih suka rahsiakan daripada menceritakan kepada orang lain. Boleh di ceritakan dengan syarat ada keperluan sebagai pengajaran dan ikutan . Sedekah yang lebih baik adalah sedekah yang dilakukan secara sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain hinggakan tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanan.

Bila berdakwah dan berjihad dijalan Allah SWT tidak mengharapkan ganjaran atau pun pujian orang ramai. Di hina atau di puji tidak akan melemahkan semangat atau menjadi lebih semangat, kerana tidak ada balasan ganjaran yang lebih baik melainkan ganjaran daripada Allah SWT.

Setiap pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai satu aktiviti tersebut.


Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua pelajar. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu belajar atau pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab, permainan, unit beruniform, dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap sejak tingkatan satu lagi untuk menambah pengetahuan dan pengalaman kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semasa menyertai pasukan pengakap sekolah, banyak pengalaman telah saya lalui.

Pasukan pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan aktiviti utama dalam agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian, saya mempelajari teknik berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu. Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar, namun saya tetap dapat menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk mempelajari sesuatu ilmu.

Selain itu, saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan. Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu disediakan untuk mendirikan khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sewaktu mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan sahaja khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang utuh seperti isi dengan kuku dapat dibina.

Di samping itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan apabila pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan ini merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara membasuh luka, membalut luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya kecederaan. Saya amat yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya lebih kental dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita hidup.

Sementara itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu yang saya pelajari ini, persiapan untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbing yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Sepanjang menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman hidup yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya dapat mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan hanya dapat dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Kesimpulannya, pasukan pengakap merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya sertai. Saya yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri pengalaman sewaktu menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri Pelajaran untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai kriteria penting dalam penerimaan kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Panduan Menjawab SPM 1



Karangan Berpandu/Bergambar (Kertas 1)
Soalan karangan bahagian A merupakan soalan wajib yang harus dijawab oleh calon SPM. Markah yang diperuntukkan ialah sebanyak 30. Panjang karangan yang perlu ditulis oleh calon ialah antara 200 sehingga 250 patah perkataan. Walau bagaimanapun, karangan yang melebihi 250 patah perkataan bukan menjadi satu kesalahan. Namun harus diingat, masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini hanyalah 45 minit. Masa yang terhad ini perlu digunakan oleh calon untuk menulis karangan yang menarik, padat dan tepat.
Teknik Menjawab
Pertama sekali, calon perlu membaca dan memahami arahan soalan. Setelah itu, garis arahan khusus yang terdapat dalam soalan. Kemudian teliti tema yang terdapat dalam bahan rangsangan. Calon boleh menjawab soalan berdasarkan keseluruhan atau sebahagian gambar / bahan rangsangan asalkan karangan yang ditulis berkaitan dengan tema bahan rangsangan.
Jawapan yang baik dinilai berdasarkan kemampuan calon mengupas isi-isi tersirat dan bukan sekadar menghuraikan aspek luaran atau visual semata-mata. Apakah pula bentuk format yang digunakan? Ada juga calon yang keliru dalam menentukan format karangan. Sebenarnya, calon tidak dibenarkan menulis karangan berformat dalam bahagian ini. Sekiranya bahan rangsangan yang diberikan berbentuk petikan wawancara, maka calon tidak dibenarkan menulis karangan wawancara. Bentuk karangan yang betul ialah yang mengandungi pengenalan, isi dan kesimpulan. Berikut adalah contoh format karangan yang betul.
  • PENDAHULUAN - 3 / 4 AYAT = 35 P.P - A1 / A2 / A3
  • ISI 1 - 4 AYAT = 60 P.P A1 = Ayat Topik / Utama
  • ISI 2 - 4 AYAT = 60 P.P A2 = Huraian
  • ISI 3 - 4 AYAT = 60 P.P A3 = Contoh
A4 = Ulasan
  • PENUTUP - 3 AYAT = 35 P.P
JUMLAH PERKATAAN = 250 P.P
Selain itu, karangan yang cemerlang menepati ciri-ciri berikut:
  • Bahasa gramatis
  • Karangan menepati tema
  • Wacana lengkap.Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan gunakan ungkapan yang menarik. Contoh: slogan/peribahasa(syarat akhir selepas bahasa)
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang.


Cerpen Tempang

Tema
Sikap segelintir manusia yang suka menghina orang yang cacat.

Sinopsis

Hafizi seorang murid yang cacat. Dia tidak mampu bermain bola sepak dengan teman-temannya. Dia seorang yang pintar dalam pelajaran, menyebabkan Kamil selalu menghinanya.
Pada satu hari, Kamil menolak Hafizi sehinggakan dia tersungkur dilantai. Raja ingin membalas, tetapi ditegah oleh Hafizi. Sikap Mei Ling yang menegur Kamil menyebabkan Kamil tidak berpuas hati. Pertengkeran tersebut terhenti apabila Cikgu Lee masuk ke kelas.
Pada hari perkelahan, Kamil hampir lemas. Hafizi terjun ke dalam kolam dan menyelamatkan Kamil. Peristiwa tersebut menyebabkan Kamil insaf dan dia memohon maaf kepada Hafizi.

Nilai

Antara nilai murni ialah hemah tinggi, contohnya Hafizi tetap bersikap rendah diri walaupun daripada keluarga berada dan selalu dihina oleh Kamil.
Selain itu keberanian, contohnya Hafizi sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan Kamil daripada lemas.
Seterusnya baik hati, contohnya Raja selalu mendampingi dan memberi semangat kepada Hafizi.
Akhir sekali tanggungjawab, contohnya Cikgu Ridzuan dan Cikgu Lee bersama-sama muridnya ketika pergi berkelah.

Pengajaran

Pengajaran daripada cerpen ialah kita jangan suka menghina atas kekurangan orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Kamil yang selalu menghina Hafizi janganlah diikuti.
Selain itu kita perlu bersikap pemaaf, contohnya Hafizi memaafkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Kamil.
Seterusnya guru hendaklah selalu memberikan motivasi kepada anak-anak muridnya, contohnya Cikgu Lee menekankan kepada anak muridnya akan kepentingan berusaha jika ingin berjaya.
Akhir sekali kita perlu mengambil tindakan yang cepat, contohnya Hafizi cepat menyelamatkan Kamil daripada lemas.

ASAP
Maya Iza Azizan

Asap
mengapakah
bisamu
memedihkan mataku
menangis – tanpa dosa ?

Asap
mengapakah rongga-ronggamu
semakin lama semakin membesar
dan aku tenggelam lemas
tanpa airnya?

Asap
hanya satu jantungku ini
telah kau rampas
berjuta-juta yang lain
tua dan muda
tanpa belas.

Asap,
tidak dapat kurasai
dengan sentuhan
tetapi bahangmu cukup
memusnahkan segala
tanpa apinya.

SAJAK ASAP


[Penulis: Maya Iza Azizan]

MAKSUD Rangkap 1:
Penyajak mempersoalkan asap beracun yang menyakitkan matanya sehingga menyebabkan matanya berair tanpa sebab.

Rangkap 2:
Asap yang semakin luas tersebar menyebabkan penyajak mengalami masalah pernafasan.


Rangkap 3:
Asap telah meragut nyawa berjuta-juta manusia tanpa belas kasihan.

Rangkap 4:
Bahang asap mampu memusnahkan segala-galanya tanpa adanya api.


TEMA
 Kesan pencemaran udara kepada manusia.


PERSOALAN
• Masalah pencemaran udara yang semakin berleluasa.

• Pencemaran udara menjejaskan kesihatan manusia.

• Pencemaran udara menyebabkan kematian manusia.

• Pencemaran udara menyebabkan pemanasan global.


NADA - Marah

BENTUK
 • Bebas.
• Terdiri daripada 4 rangkap.
• Rangkap pertama mempunyai 5 baris, rangkap kedua 5 baris, rangkap ketiga dan rangkap keempat mempunyai 6 baris.
• Bilangan katanya 1-4 patah kata sebaris.
• Terdiri daripada 2-11 suku kata sebaris.
• Rima akhir bagi:
Rangkap pertama: abccd
Rangkap kedua : abcde
Rangkap ketiga : abcdec
Rangkap keempat: abcdee

GAYA BAHASA
• Asonansi
 Semakin lama semakin membesar (pengulangan vokal a)
-

• Aliterasi
 Hanya satu jantungku ini (pengulangan konsonan n)
-

• Personifikasi
 Hanya satu jantungku ini; telah kaurampas
-

• Inversi
 Hanya satu jantungku ini
-

• Sinkope
 Mu, kau, ku
-

• Repetisi
     Asap

• Retoris (luahan perasaan dalam bentuk soalan)
 Mengapakah
-
 Bisamu
-
 Memedihkan mataku
-
 Menangis – tanpa sebab?
-

• Paradoks:
 Dan aku tenggelam lemas
-
      tanpa airnya?

NILAI
• Mencintai alam sekitar
• Prihatin
• Bersyukur
* Kesedaran



PENGAJARAN
• Jangalah kita menghisap rokok kerana asap yang terhasil itu membahayakan kesihatan semua pihak.
• Kita haruslah sedar bahawa maut boleh datang dengan tiba-tiba hanya kerana asap.
• Kita janganlah melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan alam.



ANALISIS KOMSAS CERPEN
“KASUT KELOPAK JANTUNG”
Oleh: DR. GHAZALI LATEH

SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.

TEMA

Penghargaan seorang murid terhadap jasa guru yang ikhlas membantunya sewaktu murid itu miskin dengan menekankannya kepentingan memakai kasut.

PERSOALAN

1. Ketegasan guru di sekolah demi mendisiplinkan pelajar.
Buktiya, Cikgu Harun yang tegas menyebabkan Ahmad takut untuk merenung wajahnya tepat-tapat. Selain itu, Ahmad dimarahi Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakaian sukan.
2. Keprihatinan guru terhadap masalah murid.
Buktinya, Cikgu Harun yang prihatin akan kemiskinan keluarga Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah.
3. Keikhlasan murid membalas jasa guru.
Buktinya, walaupun Ahmad sudah besar dan berjawatan tinggi, namun dia tetapi mengingati jasa Cikgu Harun dengan menghadiahinya sepasang kasut pada setiap Hari Guru.
4. Kepentingan memakai kasut di sekolah.
Buktinya, Cikgu Harun tegas memastikan pelajar memakai kasut supaya muridnya tidak mengalami kecederaan kaki.
5. Penghargaan murid terhadap jasa guru.
Buktinya, setiap Hari Guru, Cikgu Harun akan menerima hadiah berupa kasut berjenama mahal daripada anak muridnya yang mengingati jasa gurunya itu walaupun sudah 30 tahun berlalu.



WATAK DAN PERWATAKAN
 
CIKGU HARUN
 
Cikgu Harun sudah bersara daripada pekerjaan guru. Beliau pernah mengajar di kawasan pedalaman 30 tahun yang lalu. Dia yang prihatin akan kebajikan murid telah menghadiahkan sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada Ahmad. Beliau yang pernah bertegas dengan anak muridnya itu mendapat balasan baik daripada anak muridnya yang menghadiahinya sepasang kasut berjenama mahal pada setiap sambutan Hari Guru.

AHMAD
 
Ahmad merupakan seorang murid miskin yang tinggal di hujung kampung, kawasan pedalaman. Dia terpaksa mengambil upah memetik cili hanya untuk mengumpulkan wang demi membeli kasut sekolah lantaran ibunya yang tua dan uzur. Ahmad tidak pernah ponteng sekolah malah sentiasa mengikut arahan gurunya, Cikgu Harun. Walaupun Cikgu Harun mengarahkannya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang, dia tetap menurut perintah tersebut. Ahmad akhirnya menjadi seorang yang berjawatan tinggi di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar masih mengingati jasa gurunya dengan menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut pada Hari Guru.

IBU AHMAD
Ibu Ahmad seorang wanita separuh umur yang sudah uzur. Dia tinggal bersama anaknya, Ahmad di sebuah pondok usang di hujung kampung. Walaupun miskin harta, ibu Ahmad amat menghormati tetamu kerana menjemput Cikgu Harun masuk ke rumah sementara menunggu Ahmad pulang ke rumah. Ibu Ahmad tidak bekerja lagi kerana sudah uzur. Oleh sebab itu, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili demi menampung perbelanjaan keluarga di samping membeli kasut sekolah.

PLOT
PERMULAAN
1. Pada 16 Mei, Hari Guru, Cikgu Harun menerima sebungkus hadiah yang tidak dipos.
2. Cikgu Harus tahu benar pengirim hadiah itu dan bertanya kepada diri sendiri sama akan hadiah itu dihantar dengan ikhlas atau sindir atau kedua-duanya.

PERKEMBANGAN

1. Cikgu Harun mengingati peristiwa yang telah berlaku 30 tahun yang lalu apabila menerima bungkusan hadiah daripada salah seorang anak muridnya.
2. Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah.
3. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.
4. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

PERUMITAN
 
1. Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu.
2. Kawan Ahmad menyampaikan khabar bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.
3. Cikgu Harun tersentuh dan berasa menyesal atas tindakannya mendenda Ahmad.
4. Cikgu Harun mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad dan mendapati ibunya sudah uzur dan Ahmad bekerja sebagai pemetik cili untuk menampung kehidupan keluarga.

PUNCAK

1. Ahmad memberitahu punca sebenar dia tidak ke sekolah, yakni tidak mampu membeli kasut sekolah sebagaimana yang diarahkan oleh Cikgu Harun.
2. Cikgu Harun membuat keputusan untuk membelikannya sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang pakaian sekolah baharu serta mengarahkan Ahmad supaya kembali ke sekolah.
3. Ahmad hanya mampu mengucapkan terima kasih atas bantuan Cikgu Harun.

PELERAIAN
1. Cikgu Harun sudah bersara tetapi jasanya tetap dikenang oleh Ahmad.
2. Ahmad menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut berjenama pada setiap Hari Guru.
3. Cikgu Harun sedar bahawa hadiah itu diberikan oleh Ahmad dengan hati yang ikhlas sebagaimana ditulis dalam surat yang disertai bersama bungkusan kasut itu. Amad sudah berjaya menjawat jawatan tinggi.

TEKNIK PLOT
 
1. Dialog – pertuturan antara watak yang dapat menghidupkan cerita.
Bukti: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.

2. Monolog – watak bercakap sendiri tanpa didengar atau disedari oleh sesiapa.
Bukti: “Jauh juga rumah Ahmad,” bisik hati kecil Cikgu Harun.

3. Monolog dalaman – kata-kata seseorang watak di dalam hati yang tidak diketahui oleh sesiapa.
Bukti: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah. Jika tidak ada murid, dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Harun mula disapa penyesalan yang bukan sedikit ketika itu.

4. Kejutan – peristiwa yang tidak disangka-sangka oleh pembaca.
Bukti: Ahmad terkejut dengan kehadiran Cikgu Harun di rumahnya dan Cikgu Harun terkejut melihat Ahmad masih memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang yang didenda oleh Cikgu Harun.

5. Saspens – peristiwa yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pembaca
Bukti: Besok, tempat duduk Ahmad kosong. Cikgu Harun sedar bahawa Ahmad tidak datang. Selama ini, Ahmad tidak pernah ponteng sekolah. Dia rajin ke sekolah walaupun terpaksa berjalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Ahmad tidak datang. Hari selepasnya pun begitu. Kini, seminggu sudah Ahmad tidak hadir. Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia cuba mendapatkan maklumat daripada murid-murid yang lain.

6. Pemerian – gambaran suasana atau keadaan oleh penulis.
Bukti: Sebaik sahaja sampai si sebuah rumah, tidak ada penghuni dilihat oleh Cikgu Harun dalam rumah yang layak disebut pondok itu. Cikgu Harun memandang sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah Ahmad seperti yang diberitahu oleh anak-anak muridnya yang lain.

7. Imbas kembali – teknik watak mengingati peristiwa yang sudah berlaku.
Bukti: Cikgu Harun mengingati peristiwa yang sudah berlaku lebih 30 tahun, kejadian beliau mendenda anak muridnya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang

LATAR TEMPAT
1. Rumah Cikgu Harun di bandar
Bukti: Cikgu Harun menerima bungkusan kasut baharu di rumahnya.

2. Kawasan pedalaman
Bukti: Cikgu Harun pernah bekerja sebagai guru di kawasan pedalaman lebih tiga puluh tahun yang lalu.

3. Bilik darjah
Bukti: Cikgu Harun pernah menegur Ahmad kerana tidak berkasut ke sekolah. Selain itu, Cikgu Harun juga bertanya kepada pelajar-pelajarnya tentang sebab Ahmad tidak hadir ke sekolah.
4. Padang sekolah
Bukti: Di kawasan padang, murid-murid melakukan aktiviti sukan dan bersenam kecuali Ahmad. Di situlah juga Ahmad didenda memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.

5. Rumah Ahmad
Bukti: Cikgu Harun pergi ke rumah Ahmad untuk menjenguknya dan mengenal pasti sebab dia tidak hadir ke sekolah.

6. Kebun sayur
Bukti: Ahmad bekerja sebagai pemetik cili di kebun sayur untuk menampung perbelanjaan keluarga.

7. Pekan
Bukti: Cikgu Harun pergi ke pekan untuk membeli sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang uniform sekolah baharu kepada Ahmad supaya dia dapat ke sekolah semula.

LATAR MASA
1. Zaman moden
Bukti: Cikgu Harun sudah bersara dan tinggal di bandar pada zaman moden ini. Selain itu, Ahmad sudah menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.

2. 30 tahun yang lalu
Bukti: Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

3. Tempoh seminggu
Bukti: Selepas didenda oleh Cikgu Harun, Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu dan kawannya memberitahu Cikgu Harun bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.

4. Waktu pagi tiga minggu selepas sekolah dibuka
Bukti: Ahmad dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah dan tidak membawa pakaian sukan untuk aktiviti pendidikan jasmani di padang.

5. Suatu petang selepas seminggu Ahmad tidak hadir ke sekolah.
Bukti: Cikgu harun pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab dia mahu berhenti sekolah.

6. 16 Mei
Bukti: Cikgu Harun mendapat hadiah berjenama mahal daripada muridnya setiap sambutan Hari Guru.

7. Selepas sekolah tamat / tengah hari
Bukti: Ahmad yang malu selepas didenda memakai kasut kelopak jantung telah lari ke rumah.

LATAR MASYARAKAT
 
1. Masyarakat guru
Bukti: Cikgu Harun yang sudah bersara mengingati peritiwa yang berlaku lebih 30 tahun yang lalu.

2. Masyarakat pelajar
Bukti: Ahmad merupakan pelajar sekolah yang belajar dalam tahun tiga di kawasan pedalaman. Dia pernah dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut ke sekolah dan tidak membawa pakaian sukan.
3. Masyarakat miskin
Bukti: Ahmad dan ibunya tinggal di sebuah pondok kecil kerana hidup dalam kesederhaan. Lagipun, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili dalam usia yang muda.

4. Masyarakat yang mengenang jasa guru
Bukti: Ahmad seorang murid yang amat mengenang jasa Cikgu Harun. Setiap kali sambutan Hari Guru, dia akan menghantar bungkusan berisi kasut berjenama mahal untuk dihadiahkan kepada Cikgu Harun. Hal ini membuktikan bahawa dia amat menghargai jasa gurunya walaupun sudah berjaya dalam kehidupan.

5. Masyarakat yang tabah menghadapi kemiskinan
Bukti: keluarga Ahmad tabah menghadapi kemiskinan hidup. Dia dan ibunya tinggal di sebuah pondok di hujung kampung.

GAYA BAHASA

1. Paradoks – gabungan antara unsur positif dan negatif dalam satu ayat.
Bukti: Atau sindiran dan keikhlasan yang telah bergumpal menjadi satu.

2. Penggunaan ayat yang ringkas dan pendek.
Bukti: Soalan itu bukan yang pertama.
Waktu rehat Ahmad tidak keluar.
Dia tidak bercakap banyak.
Dia telah pun menduga.

3. Simile – unsur perbandingan secara langsung oleh penulis.
Bukti: -Suara anak kecil itu tidak mahu keluar bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoraknya.
-Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.
-Ahmad memandang kosong ke wajah Cikgu Harun seperti mahu meminta sesuatu.
-Selepas sebelah, sebelah lagi dipasangkan seperti memakai kasut sekolah.
-Kadang-kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul.
-Ahmad berjalan macam lembu sakit kaki.
-Terasa ketika itu kasutnya macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang usang. Malah Ahmad terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung.

4. Peribahasa – ungkapan menarik yang digunakan oleh pengarang
Buktinya: berkaki ayam, budak hingusan, lurus bendul, angkat muka, berkecil hati, dan separuh umur.

5. Personifikasi – penggunaan unsur kemanusiaan dalam unsur bukan manusia.
Bukti: Rasa bersalah mula mengerang perasaannya.

6. Sinkof – penggunaan singkatan kata
Buktinya: tak, dah, nak, ni

7. Repitasi – pengulangan kata.
Bukti: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah.

8. Gaya bahasa dialog
Bukti: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.

NILAI MURNI DAN PENGAJARAN

1. Nilai murni à Menghormati orang yang lebih tua
Pengajaran : Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua dan yang lebih berpengalaman daripada kita.
Bukti: Ahmad amat menghormati Cikgu Harun dan tidak pernah mengingkari arahannya.

2. Nilai murni -Keinsafan
Pengajaran : Kita mestilah sedar akan kesilapan yang kita lakukan supaya tidak mengulanginya.
Bukti: Cikgu Harun sedar bahawa dendanya agak keterlaluan dan dia tersentuh dengan keputusan Ahmad yang mahu berhenti sekolah kerana tidak mampu membeli kasut sekolah.

3. Nilai muri -Keikhlasan
Pengajaran : Kita mestilah ikhlas semasa memberikan hadiah kepada seseorang.
Bukti: Cikgu Harun tahu bahawa anak muridnya, Ahmad ikhlas memberikannya hadiah berupa sepasang kasut berjenama demi menghargai jasa gurunya.

4. Nilai muri -Ketabahan
Pengajaran :Kita mestilah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri.
Bukti: Ahmad dan ibunya tabah menghadapi kemiskinan dan dia sanggup mengambil keputusan untuk berhenti sekolah demi bekerja memetik cili untuk menampung perbelanjaan keluarga.

5. Nilai muri -Kesabaran
Pengajaran : Kita mestilah sabar menghadapi segala masalah dalam kehidupan.
Bukti: Cikgu Harun sabar menghadapi masalah anak muridnya, Ahmad yang tidak membawa kasut dan pakaian sukan.

6. Nilai muri -Kegigihan
Pengajaran : Kita mestilah gigih belajar supaya menjadi manusia yang berjaya.
Bukti: Ahmad gigih belajar tidak pernah ponteng sekolah walaupun miskin sehingga berjaya menjadi seorang pengurus besar syarikat kasut berjenama.

7. Nilai muri -Bertanggungjawab
Pengajaran :Kita mestilah memikul tugasan yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.
Bukti: Cikgu Harun seorang guru yang bertanggungjawab kerana dia memastikan semua anak muridnya memakai pakaian sekolah yang sesuai untuk menjalankan aktiviti bersenam di padang.

8. Nilai muri -Kesungguhan
Pengajaran : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh demi mengubah kehidupan keluarga yang miskin.
Bukti: Ahmad belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjawat jawatan tinggi dalam sebuah syarikat kasut berjenama.

9. Nilai muri -Baik hati
Pengajaran : Kita mestilah menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukannya mengikut kemampuan kita demi mengurangkan beban mereka.
Bukti: Cikgu Harun membelikan Ahmad sepasang kasut sekolah dan sepasang uniform sekolah.