: : :PELANGI MALAM: : :

Isnin, 28 Februari 2011

KARANGAN

Menulis Karangan
  • Karangan yang ditulis mestilah berasaskan tema bahan rangsangan yang diberikan.
  • Bahan rangsangan boleh terdiri daripada gambar tunggal, gambar bersiri, iklan, graf, carta, poster dan sebagainya.
  • Karangan yang ditulis mesti mempunyai pengenalan atau pendahuluan. Bahagian ini amat penting kerana mencerminkan isi yang ditulis seterusnya.
  • Pendahuluan mesti membincangkan tema bahan rangsangan secara khusus dan mesti ditulis ringkas, padat serta ditulis dalam satu perenggan (anggaran 20 patah perkataan).
  • Pelajar perlu menyatakan 3 isi yang relevan dengan tema dan mesti diolah dengan baik.
  • Isi mesti berkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (anggaran 70 patah perkataan setiap satu isi).
  • Isi mesti disusun mengikut kepentingan dan disusun rapi.
  • Kesimpulan mestilah ditulis dalam satu perenggan (anggaran 20 patah perkataan). Ia mestilah ringkas, padat dan dapat merumus tema yang dibincangkan.

Ciri-ciri Karangan Yang Baik

  • Tema bahan rangsangan dihuraikan dengan baik dan jelas.
  • Isi yang ditulis mestilah berkaitan dengan tema dan sebaik-baiknya isi tersirat.
  • Perenggan mesti kemas dan sesuai.
  • Satu perenggan, satu isi dengan huraian isi serta contoh.
  • Perenggan dan isi mesti berkaitan dengan yang sebelumnya.
  • Susunan ayat mesti lengkap dan mudah difahami.
  • Penggunaan bahasa mesti dipelbagaikan.
  • Gunakan peribahasa, cogan kata atau ungkapan yang menarik.
  • Gunakan penanda wacana yang sesuai.
  • Isi diolah dengan baik untuk menunjukkan kematangan.
  • Mesti mengelakkan penggunaan bahasa pasar.
  • Tulisan mesti jelas dan mudah dibaca.

Kriteria Pembahagian Markah

  • Kefahaman dan kebolehan pelajar memahami tema bahan rangsangan yang diberikan sama ada relevan atau tidak.
  • Keupayaan pelajar mengemukakan sekurang-kurangnya 3 isi dan setiap isi haruslah disertakan dengan huraian lanjut dan contoh yang sesuai.
  • Setiap isi, fakta dan contoh yang dikemukakan harus juga sesuai dengan keadaan semasa dan mempunyai kematangan fikiran.
  • Aspek bahasa pelajar pula akan dinilai dari segi penulisan yang lancar dan kemas, tiada kesalahan tatabahasa yang berat, perenggan yang betul dan kemas, menggunakan tanda bacaan dan huruf besar yang tepat.

Aspek-aspek Yang Dinilai

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan.
  • Pengolahan isi, gaya bahasa, penyampaian isi dan kematangan isi dikembangkan.
  • Ejaan dan struktur ayat.
  • Isi yang ditulis sama ada yang tersurat atau tersirat.
  • Peribahasa, cogan kata atau ungkapan menarik yang digunakan.
  • Pendahuluan atau pengenalan.
  • Penutup atau kesimpulan karangan.
  • Tulisan yang jelas.
  • Pemerengganan.
  • Kesantunan bahasa.

Kelemahan Calon

  • Pengenalan tidak menarik.
  • Isi tidak menepati tema.
  • Isi tidak dihuraikan.
  • Huraian yang tidak bertepatan dengan isi pokok.
  • Perenggan tidak disusun dengan sempurna.
  • Banyak kesalahan ejaan.
  • Tulisan buruk sehingga sukar dibaca.
  • Bahasa yang berbelit-belit dan ayat terlalu panjang.
  • Penggunaan perbendaharaan kata yang terhad.
  • Isi yang diulang-ulang.
  • Hanya menghuraikan isi tersurat sahaja.
  • Kesalahan tatabahasa seperti sendi nama di, dari dan daripada.

http://www.cemerlangbm.com/v2/images/stories/rajah001.jpg

Tips Karangan SPM

Cara- Cara buat karangan SPM

Untuk menulis karangan respon terbuka, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu yang dapat menarik perhatian pemeriksa. Lima strategi tersebut ialah :

i. memilih soalan yang tepat
ii. mengenal pasti kata kunci soalan
iii. menyediakan rangka karangan
iv. menulis karangan
v. menyemak karangan

MEMILIH SOALAN YANG TEPAT

Para pelajar perlu membaca kesemua soalan yang dikemukakan sambil menggarisi setiap kata kunci dalam soalan. Pilih soalan yang paling sesuai dengan pengetahuan anda untuk menjawabnya.


MENGENAL PASTI KATA KUNCI SOALAN

Para pelajar perlu memahami setiap kata kunci yang terdapat dalam soalan peperiksaan. Setiap soalan peperiksaan mempunyai tiga perkara utama yang perlu dikesan oleh pelajar. Tiga perkara itu ialah TEMA (T), SKOP (S) dan FORMAT (F). Baca dan garisi ayat yang mengandungi tiga kata kunci tersebut.

Contoh soalan:

Sejak akhir-akhir ini, program televisyen realiti telah mendapat tempat dalam hati masyarakat. Program seperti ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.

Bincangkan kesan buruk program tersebut dalam kalangan masyarakat.

TEMA / PERSOALAN YANG DIBINCANGKAN – program televisyen realiti
SKOP / KEHENDAK/FOKUS SOALAN – kesan buruk kepada masyarakat
FORMAT/ JENIS KARANGAN – perbincangan/pendapat

MERANGKA PENULISAN KARANGAN

Setelah mengenal pasti tema, skop, dan format pelajar perlu mula merangka untuk menulis karangan. Sama seperti manusia, karangan juga mempunyai anatomi yang terdiri daripada kepala, tubuh, dan kaki. Setiap bahagian perlu mempunyai lima perkara yang sekata.

PERENGGAN PENDAHULUAN:

Bahagian kepala karangan sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perenggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai LIMA PERKARA yang ditulis dalam satu perenggan:

i. Ayat Tema : merujuk kepada tema karangan
ii. Isu Semasa
iii. Huraian Isu
iv. Pendapat
v. Pendirian Penulis/ Ayat Arah : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti. (Isu semasa) Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. (Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Skop soalan)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

Selangkan sebaris untuk menulis perenggan berikutnya iaitu perenggan isi.

PERENGGAN ISI:

Bahagian tubuh karangan atau dikenali sebagai perenggan isi karangan mestilah dibina secara sekata bagi setiap perenggan. Penulisan isi karangan yang baik mesti mempunyai empat unsur atau perkara. Unsur-unsur tertsebut terdiri daripada:

i. Ayat Fokus : isi utama
ii. Ayat Huraian : 5W1H (MASB2D)
iii. Ayat Contoh : relevan dan terkini
iv. Ayat Simpul : kesimpulan perenggan

Ayat fokus mestilah dimulakan dengan pernyataan isi dan ditulis dalam satu ayat sahaja. Gunakan ayat penyata yang jelas dan berwibawa. Ini diikuti dengan ayat huraian daripada penyataan isi. Gunakan teknik penyoalan 5W1H. Jumlah ayat huraian tidak terhad tetapi bergantung pada kemampuan pelajar. Seterusnya, pelajar perlu mengemukakan contoh atau bukti bagi menyokong huraian di atas. Contoh / bukti yang diberikan mestilah relevan dan terkini. Gunakan sumber rujukan daripada majalah atau akhbar harian. Setiap isi karangan mesti diakhiri dengan ayat kesimpulan.

Perenggan isi mesti terdiri sekurang-kurangnya LIMA ISI yang ditulis dalam lima perenggan. Setiap perenggan mesti diselangkan dengan satu baris. Jangan dicampuradukkan beberapa isi dalam dalam satu perenggan.

Contoh:

(Ayat fokus) Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita. (Ayat huraian) Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (Ayat contoh) Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. (Ayat simpul) Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

PERENGGAN PENUTUP:

Sesebuah karangan perlu mempunyai “kaki” supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. Ayat Kesimpulan
Ii. Ayat Cadangan
Iii. Ayat Harapan
Iv. Ayat Penegasan

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum tentang keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincangkan. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(Ayat kesimpulan) Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. (Cadangan) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Hal ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton. (Harapan) Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. (Penegasan) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

MENULIS KARANGAN

i. Karangan yang ditulis mestilah mepunyai TUJUH perenggan yang terdiri
daripada Pendahuluan (1 perenggan), Isi (5 perenggan) dan Penutup (1 perenggan)
ii. Setiap perenggan terdiri daripada 12 baris yang sekata. Pastikan karangan berselang sebaris antara perenggan.
iii. Isi utama merupakan ayat pertama dalam karangan.
iv. Ayat huraian menggunakan teknik 5W1H (MASB2D)
v. Setiap isi perlu ada kesimpulan.
vi. Ungkapan menarik berupa peribahasa, cogan kata, kata-kata hikmat tokoh, pantun, dan seumpamanya mesti diselitkan dalam setiap perenggan.
vii. Gunakan kosa kata yang luas seperti anjakan paradigma, kedangkalan ilmu dan seumpamanya.
viii. Susun isi mengikut kepentingan, contohnya diri – keluarga – negara –global.
ix. Setiap ayat yang ditulis mestilah mempunyai subjek dan predikat dengan jelas. Ayat mesti betul.
x. Kertas karangan mesti bersih, kemas dan mudah dibaca.

MENYEMAK / MENGEDIT KARANGAN

Setelah menulis karangan, pelajar perlu menyemak karangan yang telah siap. Pastikan ejaan, tanda baca, penanda wacana dan struktur ayat telah ditulis dengan betul. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan pemotongan markah.

Karangan Peribahasa

" Genggam bara api biar sampai jadi abu "

Peribahasa ‘Genggam bara api biar sampai jadi abu’ bermaksud membuat sesuatu perkara harus bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa tersebut boleh dikaitkan dengan suatu peristiwa yang dialami oleh Cikgu Hanit. Beliau telah dilahirkan di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor pada tahun 1937. Semasa usianya lapan tahun, bapanya telah meninggal dunia dan seterusnya beliau dibesarkan oleh ibunya bersama-sama dengan lima orang adik-beradik yang lain.

Sejak itu, beliau mulai mengerti kesusahan hidup yang terpaksa dipikul bersama abangnya. Beliau bersama abangnya mengerjakan kebun peninggalan arwah ayahandanya. Niatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terkandas disebabkan masalah kewangan yang ditanggung oleh keluarganya. Akhimya, dia mengambil keputusan untuk memohon menjadi guru. Ketika itu gaji permulaannya adalah RM50 sahaja. Wang sebanyak RM50 digunakan untuk membantu meringankan beban tanggungan ibunya. Sewaktu berusia 19 tahun, beliau telah bertemu jodoh dan akhimya berkahwin dengan seorang guru bemama Arbibah Abu Bakar. Mereka telah dikumiakan seramai 12 orang anak, tujuh orang lelaki, dan lima orang perempuan.

Apabila mengenangkan nasibnya yang tidak berupaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, beliau menanamkan cita-cita untuk memastikan setiap anak-anaknya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Beliau cukup prihatin dengan keperluan keluarganya dan sanggup bersusah payah demi menjamin kebahagiaan mereka sekeluarga. Cikgu Abu Hanit ini gigih berusaha untuk menambah pendapatan keluarga seperti menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang diperoleh di kebunnya yang seluas seekar di Serendah, Selangor. Selain itu, beliau sering membawa anak-anaknya menjala ikan di sungai bagi menambah sumber makanan seharian. Beliau turut membela ayam dan itik di sekitar rumahnya. Isterinya pula rajin menyediakan kuih-muih untuk jualan. Setiap pagi, sebelum pergi ke sekolah, kuih-muih ini akan dihantar oleh anak-anaknya di gerai-gerai makan.

Kehidupannya yang susah menyebabkan beliau berazarn untuk mengubah nasib anak-anaknya. Beliau telah memberikan pelajaran yang sempurna kepada anaknya. Baginya anak-anak adalah arnanah Tuhan. Tanggungjawab ibu bapa ialah menyempurnakan kehidupan anak-anak. Beliau seorang yang lembut tetapi tegas semasa mendidik anak-anak. Semuanya dididik dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Anak-anaknya dididik supaya mempunyai jadual waktu sendiri. Ada masa untuk belajar, masa membuat kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran, berjemaah, mengaji, dan bermain. Mereka tahu tanggungjawab masing-masing dan semua ahli keluarga mesti patuh dengan peraturan dan hormat kepada orang yang lebih tua. Beliau menyediakan sebatang rotan untuk menakut-nakutkan anaknya agar tidak leka dengan tanggungjawab sebagai seorang anak. Sekiranya mereka membuat kesalahan di sekolah, beliau akan mengizinkan anak-anak untuk dirotan oleh guru. Beliau berpegang kepada prinsip ‘boleh merotan, tetapi jangan sarnpai mencederakan’.

Cabaran yang paling utarna ialah kekurangan wang bagi membayar yuran pengajian dan belanja persekolahan. Banyak keperluan seperti buku tarnbahan yang diminta oleh anaknya tidak dapat disediakan. Mereka hanya menggunakan buku-buku abang atau kakak mereka sebagai rujukan. Kejayaan anak-anaknya yang tua sebenarnya banyak memberi dorongan kepada anak-anaknya yang lain. Beliau bukan setakat berjaya membentuk anak-anaknya sehingga berjaya dalarn kerjaya masing- masing malahan beliau turut memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Sebagai contoh, dia berjaya membangunkan Kampung Tok Pinang, Serendah.

Setelah mengharungi cabaran dalarn kehidupan, beliau kini boleh tersenyum bangga melihat anak-anaknya membesar dan telah berjaya dalam pelbagai bidang. Kejayaan anak-anaknya sebenarnya adalah berkat ketabahan, ketekunan, dan pengorbanan yang diberikan selarna ini. Semua anaknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Sekarang mereka berjaya dalam bidang masing-masing di seluruh negara, sarna ada di sektor awarn mahupun di sektor swasta. Anak perempuan sulungnya berusia 46 tahun bekerja sebagai seorang guru dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Malaya, manakala yang bongsu baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan. Dua orang lagi anak perempuannya juga sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Amerika dan England.

Sekarang dia boleh mengutip buah dan hasilnya. Rumah besar yang didiarni kini adalah basil titik peluhnya dan sumbangan anak-anak. Semua anaknya berperibadi mulia dan tabu membalas jasa orang tua. Kini beliau sudah bersara dan tidak perlu lagi memerah keringat, namun masa lapangnya digunakan untuk berkebun di tanah seluas tiga setengah ekar.

Pemilihan Cikgu Abu Hanit sebagai ‘Tokoh Bapa Cemerlang’ merupakan kejayaan besar yang dicapainya dalarn mendidik anak-anak. Anak-anaknya kini berjaya menjawat jawatan sebagai peguam, pendakwa raya, ahli perniagaan, pengurus estet, eksekutif bank, dan ahli perniagaan. Dengan itu, pengorbanan beliau menjadi contoh kepada ibu bapa yang lain agar dapat mengetahui rahsia di sebalik kejayaan beliau mendidik anak-anak. Sesungguhnya ‘Anugerah Bapa Cemerlang’ dapat dianggap sebagai dorongan kepada seluruh ibu bapa untuk mengasuh anak-anak mereka menjadi warga yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, dan negara. Oleh itu, kejayaan beliau bersesuaian dengan peribahasa ‘genggam bara api, biar sampai jadi abu’

Ahad, 27 Februari 2011

PANDUAN PENULISAN

KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?
Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.

PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :

1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.

PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.

1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan

PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.

AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.

(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.

(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.

(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.

AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.

PERENGGAN ISI :

1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.

2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.

3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :

1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.

4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.

Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?

Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:

1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.

PERENGGAN PENUTUP :

Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.

JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:

1. Ayat kesimpulan umum
2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup

Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

Ayat pendapat : Kesan peperangan.
Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

Ayat cadangan : Kesan peperangan.
Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

Ayat komen : Ulasan cerpen.
Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

Ayat penilaian : Kesan peperangan.
Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Ayat Penutup: Kesan peperangan
Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.

Rujukan:
1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus & Dr Ghazali Lateh, Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.

Formula Menulis Karangan : Kaedah Ghazali

Pendahuluan
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
H = Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan

Isi

T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa
F = Frasa 1
F = Frasa 2
P = Penegasan

Kesimpulan

R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.

Semua perkara di atas diaplikasikan dalam karangan-karangan contoh sebelum ini.

Kelebihan penggunaan formula dalam aktiviti mengarang.

1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan. (Biasanya 450 perkataan ke atas)
2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.
3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.
4. Perenggan yang seimbang dan sekata.
5. Komponen karangan lengkap - ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.

Novel Kembara Amira

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Amira

Amira ialah seorang pelajar dan berkawan baik dengan Jacinta. Ibunya ialah Profesor Zaidah, iaitu pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Semasa cuti sekolah yang panjang, Amira dan Jacinta pergi ke kawasan emaknya yang sedang menjalankan kerja lapangan iaitu mencari gali artifak di Desa Karpus. Dia seorang anak tunggal yang berani dan tabah menghadapi rintangan dan dugaan. Sebagai contohnya, dia berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menggerakkan usaha menyelamatkan Malique yang hilang. Amira tabah menghadapi dugaan walaupun mengalami peristiwa pahit iaitu dia hampir mati lemas akbiat tergelincir dan dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Amira juga suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Amira menggerakkan usaha untuk menolong Malique dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mengesannya. Selain itu, dia bersahabat baik dengan Jacinta yang berketurunan Tionghua.

Amira menghormati orang yang lebih tua daripadanya terutamanya ibunya, Pak Lias dan Dr. Zawawi. Sebagai contohnya, dia mengucapkan salam kepada ibunya pada suatu pagi selepas Jacinta ditemui dalam keadaan pengsan. Selain itu, dia merupakan seorang pelajar yang pintar untuk membuat keputusan. Sebagai contohnya, Amira diminta oleh ibunya untuk membuat keputusan tentang Tau dengan Malique dan Ipah. Dia kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin. Amira seorang yang prihatin, contohnya dia prihatin akan Jacinta yang baru sedar daripada pengsan dengan menyuapkan kawannya sup.

Walau bagaimanapun, dia seorang yang nakal, contohnya kadang-kadang dia berbuat sesuatu tindakan yang tidak dijangka oleh ibu dan ayahnya. Namun begitu, dia seorang anak yang baik, contohnya dia tidak cerewet dan tidak pernah merungut dalam sebarang hal. Selain itu, Amira juga seorang yang penyayang, buktinya dia memicit bahu ibunya yang cedera perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang. Amira taat akan agama iaitu dia dengan segera mengqada solat Subuh yang tidak dapat ditunaikan semasa di dalam kereta api. Amira seorang yang bertanggungjawab, contohnya dia rasa bersalah dan tidak berhenti menangis kerana dia yang menyebabkan Jacinta hilang. Dia cuma berhenti menangis apabila Jacinta berjaya ditemui oleh Tau.


Watak Sampingan

Jacinta

Jacinta ialah seorang pelajar yang berbangsa Cina yang berkulit putih dan gebu serta menjadi kawan baik Amira. Ibunya sudah meninggal dunia, dan ayahnya sekarang berkahwin dengan seorang perempuan lain. Dia tidak suka akan ibu tiri yang baru dikahwini oleh ayahnya itu. Dia mengikut Amira pergi ke tapak kerja lapangan atau tapak cari gali artifak tinggalan manusia pada zaman silam yang sedang dijalankan oleh ibu Amira dengan pelajar-pelajarnya tahun akhirnya. Dia telah beberapa kali mengikut Amira dalam melakukan kerja-kerja dalam bidang arkeologi. Jacinta diselamatkan dan diusung oleh Tau ke Desa Karpus. Dia dalam keadaan pengsan ketika dijumpai oleh Tau di celah banir pokok balak yang besar. Jacinta menyukai Dr. Zawawi iaitu pensyarah muda dan pembantu Profesor Zaidah.

Jacinta seorang yang tabah tetapi sentiasa tidak sabar, dan dia cepat merajuk apabila keluarganya menjadi topik perbualan. Dia suka menolong orang, contohnya dia bersama-sama dengan Amira, Itai, Pak Lias, Roslan, dan beberapa orang lagi dalam gerakan mencari Malique yang hilang. Dia sanggup membahayakan dirinya sendiri dalam usaha untuk menolong Amira yang dihanyutkan oleh air sungai yang deras.

Jacinta seorang yang bijak berkata-kata dan pandai berhujah, contohnya dia berhujah dengan O’Hara semasa mereka mencari Malique. Dia mengambil berat akan kebajikan rakannya, contohnya dia membawakan Amira makanan ke khemahnya pada suatu malam. Jacinta juga tidak pernah menyinggung perasaan sahabatnya, Amira walaupun mereka berlainan agama.


Itai

Itai ialah anak Tau tetapi menjadi anak angkat kepada Ludin yang berketurunan suku Orang Asli Semai yang tinggal di kampung di sebelah anak bukit. Sebenarnya Itai ialah adik Malique dan emak mereka ialah Ipah atau Jennifer. Dia seorang anak muda yang hebat, pintar, berani dan memiliki keistimewaan seperti boleh mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin. Itai berkemahiran untuk menangkap ikan dengan tangan iaitu tanpa menggunakan alat menangkap ikan. Itai akan dilantik sebagai ketua kampung yang memahami alam di hutan itu, iaitu menggantikan ayah angkatnya Ludin yang sedang memegang jawatan ketua kampung itu. Itai juga merupakan pelajar yang pintar dan menjadi harapan sekolahnya. Itai berkawan dengan Amira dan Jacinta selepas peristiwa dia menyelamatkan Amira daripada mati lemas.

Itai suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Itai membantu Amira untuk mencari Malique yang hilang. Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka. Itai seorang yang murah hati, iaitu dia dan Amira sanggup meredah hutan untuk mengambil ketulan emas di sungai untuk dihadiahkan kepada Jacinta. Dia seperti hilang semangat selepas terlihat makhluk yang berbulu ketika bersama-sama dengan Amira di dalam hutan dan seterusnya dia disergah oleh Tau pada masa itu.


Profesor Zaidah

Beliau seorang profesor dan pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Beliau kuat bekerja, contohnya Amira mengatakan memang tabiat ibunya suka memulakan kerja sejak awal pagi iaitu ketika orang lain masih tidur. Amira juga hairan dengan ibunya yang memiliki tenaga yang kuat untuk bekerja. Beliau merupakan ibu yang penyayang, contohnya walaupun sibuk dia masih ada masa untuk Amira, lebih-lebih lagi dia sedar akan kesalahannya yang mementingkan kerjanya selepas Amira . Beliau seorang yang penyabar, contohnya dia masih bersabar dan tidak memarahi Amira kerana kesilapannya yang menyebabkan Jacinta cedera.

Profesor Zaidah seorang ketua yang prihatin, contohnya dia mengambil berat kebajikan keluarga Pak Lias dan bertanyakan perbelanjaan keluarganya sebelum dia meninggalkan mereka untuk bekerja di Bukit Mat Raya. Beliau pakar dalam bidang arkeologi, contohnya dia mengatakan bahawa setiap lapisan tanah yang berlainan warna mewakili satu tempoh masa yang kita sendiri tidak pasti, mungkin ratusan atau ribuan tahun. Beliau berpengalaman selama lebih kurang dua puluh lima tahun dalam bidang itu.