: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 29 Ogos 2009

Mutiara Kata : Perkara, perbuatan paling berat dipikul ummah di dunia


IMAM Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya: “ Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Masing-masing muridnya, menjawab: guru; teman, kaum kerabat, isteri atau suami. Imam Ghazali, berkata: ‘Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah mati. Sebab itu janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Masing-masing menjawab, bulan, bintang dan matahari. Imam Ghazali membenar semua jawapan itu lalu berkata: yang paling tepat ialah masa lalu. Dengan apapun kemudahan kita, manusia tidak boleh kembali kepada masa lalu. Sebab itu kita perlu menjaga dengan teliti hari ini, esok dan akan datang dengan perbuatan yang dituntut agama Islam.”

Menyoal lagi Imam Ghazali : “Apa yang paling besar di dunia ini?” Pelbagai jawapan yang munasabah diterima daripada anak muridnya dan ia membenarkannya, namun berkata, jawapan paling tepat ialah hawa nafsu (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”

Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Anak muridnya menjawab dan Imam Ghazali mengiyakan, namun berkata: “Perkara yang paling berat di dunia ialah memegang amanah (Surah Al-Azab : 72). Tumbuh-tumbuhan, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

Imam Ghazali bertanya: “Apakah perkara yang paling ringan di dunia ini?” Beliau menerima jawapan dan berkata: “Semua jawapan kamu itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.”

Imam Ghazali bertanya, “Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?” Murid-Murid dengan serentak menjawab: “Pedang”. Imam Ghazali membenarkan jawapan itu, namun berkata: “Paling tajam ialah lidah manusia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukakan perasaan orang lain.”

Pengurusan Ramadan Nabi SAW

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Kita disuruh menyegerakan berbuka apabila sudah tiba waktunya. - Gambar hiasan
________________________________________

AHLAN Wasahlan Ya Ramadan (Selamat Datang Ya Ramadan). Begitulah ucapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya bila menjelang bulan al-mubarak sebagai menghormati dan menyambut bulan mulia tersebut.
Sebelum menjalankan ibadat Ramadan, ada beberapa perkara yang perlu difahami, di antaranya ialah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang keempat.
Hukumnya adalah fardu (wajib) yang langsung dari perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183).
Dalam hadis dijelaskan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Islam itu dibangun di atas lima (dasar). Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya, menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan haji. (riwayat Muslim).
Dari ayat dan hadis di atas berpuasa Ramadan hukumnya wajib atas setiap Muslim dan Muslimat yang sihat akalnya, dan telah mukalaf, tidak dalam keadaan musafir dan sakit. Khususnya bagi wanita, tidak dalam keadaan haid dan nifas.
Allah SWT mensyariatkan berpuasa dan pelbagai ibadat Ramadan sebagai salah satu program yang harus dilalui setiap muslim dan mukmin dalam pembentukan karakter takwa mereka.
Sebaliknya ancaman keras bagi orang-orang beriman yang tidak melaksanakan ibadat puasa Ramadan.
Ia sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ikatan dan penegak agama Islam itu ada tiga. Siapa yang meninggalkan salah satu darinya, maka ia telah kafir, halal darahnya iaitu: syahadat, solat fardu, puasa Ramadan. (riwayat Abu Ya'la dan Dailami). Yang dimaksudkan kafir ialah hukumnya seperti murtad.
Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (faktor yang membolehkan berbuka) dari Allah, maka tidak akan tergantikan walaupun ia melaksanakan puasa sepanjang masa. (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).
Jenis-jenis puasa itu terbahagi dua, pertama puasa fardu (wajib), dan kedua puasa tathowwu' (puasa sunat).
Adapun puasa wajib terbahagi tiga, pertama puasa Ramadan, iaitu puasa yang dilaksanakan selama bulan Ramadan seperti dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 183.
Kedua, puasa kaffarat (puasa denda), iaitu puasa yang wajib dilakukan sebagai denda dari pelanggaran hukum seperti pelanggaran dalam ibadat haji, membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah dan sebagainya.
Ketiga, adalah puasa nazar, iaitu jika seseorang bernazar dengan berpuasa bagi perkara yang dinazarkannya seperti jika ia sembuh dari penyakit dan sebagainya maka ia bernazar untuk berpuasa. Puasa seperti ini disebut dengan puasa nazar dan wajib hukumnya.
Puasa tathowwu' (puasa sunat), adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia teruskan dengan enam hari di bulan Syawal, seakan dia berpuasa sepanjang masa (tahun). (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i)
Isnin dan Khamis
Puasa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji. Dalam hadis dijelaskan: Berpuasa hari Arafah (9 Zulhijah) menghapuskan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepasnya. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i).
Puasa hari Asyura (10 Muharam). Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) menghapus dosa dua tahun yang lalu dan yang akan datang. Dan puasa Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Tirmizi).
Berkaitan puasa Asyura, Rasulullah SAW menyarankan agar ditambah sehari sebelumnya agar tidak sama dengan Yahudi, kerana mereka juga berpuasa pada hari Asyura.
Puasa diperbanyak di bulan Syaaban. Dari Aisyah r.a dia berkata: Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya kecuali di bulan Ramadan sahaja, dan aku tidak melihat banyak berpuasa di bulan selain Ramadan kecuali di bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Baginda ditanya kenapa? Baginda menjawab : Sesungguhnya semua amal diangkat (ke langit) setiap hari Isnin dan Khamis. Maka Allah akan mengampunkan setiap Muslim atau setiap Mukmin kecuali dua orang yang sedang berbantah, maka Allah berkata : Tangguhkan keduanya." (riwayat Imam Ahmad).
Puasa tathowwu' (sunat) dibolehkan berbuka, khususnya jika ada penyebabnya seperti dijemput makan. Dari Abu Said al-Khudri r.a dia berkata: "Saya menyiapkan makanan untuk Rasulullah SAW, maka Baginda datang dengan beberapa sahabatnya. Ketika makanan dihidangkan salah seorang di antara mereka berkata: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Lalu Rasulullah berkata: Saudaramu telah menjemputmu dan telah bersusah payah untukmu. Kemudian Baginda bersabda: Berbukalah dan berpuasalah di hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu". (riwayat Baihaqi).
Setiap ibadat dalam Islam ada rukunnya agar ibadat itu dapat tegak dan berjalan dengan benar. Demikian juga dengan puasa Ramadan ada dua rukun.
Pertama, niat yang menentukan sah atau tidaknya ibadat seseorang seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW: Sesungguhnya (sahnya) setiap amalan itu bergantung adanya niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan memperoleh) sesuai apa yang diniatkannya. Siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia yang akan dia peroleh atau wanita yang akan dinikahinya, maka dia akan memperoleh apa yang diniatkannya. (riwayat Muslim).
Setiap amal ibadat, baik wajib mahupun yang sunat akan bernilai di mata Allah jika didasarkan dengan niat.
Niat kerana Allah
Niatnya harus hanya kerana Allah, tidak menyeleweng sedikitpun. Kemudian itu niat letaknya dalam hati yang diucapkan dengan lisan, termasuk niat berpuasa Ramadan mesti dilakukan dalam hati. Waktunya sebelum terbit fajar.
Juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sampai matahari tenggelam sebagaimana maksud dalam surah al-Baqarah: 187.
Yang berniat membatalkan puasanya di siang hari, dengan demikian membatalkan puasanya walaupun dia tidak makan atau minum.
Adapun yang membatalkan puasa dan mesti diqada dan kaffarat menurut jumhur ulama adalah berhubungan suami dan isteri dengan sengaja.
Kaffarat bagi yang berhubungan suami isteri ialah memerdekakan hamba. Jika tidak sanggup, berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu memberi makan fakir miskin sebanyak 60 orang, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiga tahap berpuasa.


Tiga tahap berpuasa. Di mana kedudukan puasa kita?
IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah.
Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama.

"Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu." (al-Baqarah:83)
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Didirikan Islam atas lima perkara - antaranya puasa Ramadan." (Riwayat Bukhari)
Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda.

Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.

Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat.

Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.

Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:
• Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.
• Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.
• Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar.

Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: "Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram." (al-Maidah:42)
• Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka.

Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.
• Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.

Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.
• Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

HATI ADALAH MENENTUKAN AMAL IBADAH LAHIRIAH


Menurut Kalam Hikmah Ibnu Ataillah Askandary yang ke 9 adalah seperti berikut:

"Berbagai jenis amal ibadah (yang dikerjakan) karena berbagai rupa segala sesuatu yang datang pada gerak hati."

Kalam yang pendek tetapi pengertian yang mendalam. Tafsirannya ialah:

1. "Al-'Amal" bermaksud :

"Gerak-gerik yang bertalian dengan tubuh jasmaniah (manusia). Misalnya, Puasa, Solat dll."

2. "Al-Ahwal" adalah jamak dari perkataan "Hal": "Gerak-gerik yang berhubung dengan hati" iaitu timbul perasaan dalam hatinya yang menyebabkan ia kasih dan sayang kepada fakir miskin, ini melahirkan ibadah mengeluarkan zakat, sedekah, membantu anak yatim, mengumpul dana sosial bagi membantu mangsa bencana alam, peperangan dan sebagainya. Jika dalam hatinya timbul perasaan bersalah dan berdosa, maka menonjollah dalam amal ibadahnya taubatnya kepada Allah dengan jalan memulangkan harta orang, meminta maaf kepada yang bersangkutan kesalahan lalu, minta ampun kepada Allah SWT, berzikir, membaca Al-Quran, bersalawat atas Nabi, mengerjakan perintah-perintah wajib yang lain, dan bertafakkur dalam pengertian "Ihsan" sebagai mana yang dianjurkan oleh Rasullulah SAW.

3. Sebagusnya dalam beramal menurut ilmu tasawuf, hendaklah di pimpin oleh seorang guru yang alim dalam ilmu Syari'at dan Hakikat, di samping juga guru itu mengetahui pula hal keadaan murid-muridnya dalam ilmunya dan amalnya. Apalagi tentang penyakit-penyakit hati yang terdapat pada seseorang murid. Dengan sebab itu maka si guru dapat memimpin seseorang murid melihat keadaannya dan penyakit-penyakitnya.

Andaikata apabila bermacam-macam perasaan datang sekali gus kepada hati si murid, misalnya ingin mengerjakan solat sunat sebanyak-banyaknya, dan membaca Quran sebanyak-banyaknya, tetapi kenyataannya apabila ia mengerjakan solat sedemikian banyaknya, maka menyebabkan dia merasa penat, dan solatnya menjadi kurang khusyuk, bacaan qurannya juga kurang sempurna.

Maka bagi si guru yang 'Arif tentang hal muridnya, ia akan menasihati agar lebih mengutamakan solat fardu, solat -solat fardu yang terdahulu yang mungkin pernah ditinggalkan.Jadi dengan minat yang mendalam untuk mengerjakan solat sebanyak yang mungkin harus didorong dan dituntun. Mudah -mudahan kealpaan di zaman silam di ampunkan oleh Allah. Jika kita tiada siapa yang menuntun atau memimpin

4. Imam Ghazali telah berpendapat tentang masalah hati yang berhubung dengan amal lahiriah dan ada 3 jenis ;

a) Hati yang penuh dengan taqwa, suci dari akhlak-akhlak yang tidak baik. Hati yang begini sentiasa bersinar pada akal dalam berfikir pada yang baik-baik dan menyebabkan terbuka sinar matahati, sehingga hati selalu melihat segala sesuatu yang baik-baik dan diridhai oleh Allah. Apabila hati telah suci dari segala penyakitnya, maka dekatlah hati kepada Allah, dengan mensyukuri nikmat-nikmatNYA. Sabar dan takut kepadaNYA, serta mengharapkan kasih sayangNYA, rindu dan tawakkal kepadaNYA. Ketika ini hati sentiasa merasa tenteram, tenang dan tidak kacau -bilau atau gelisah dengan persoalan- persoalan duniawi.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat 28-29, bermaksud:

"Orang-orang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerena mengingati Tuhan. Ingatlah, bahawa dengan mengingati Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama." (Ar- Ra'ad: ayat 28-29)

b) Hati yang penuh dengan gelora hawa nafsu dan penyakit hati di mana dengannya terbuka pintu hati untuk iblis dan syaitan tetapi tertutup untuk malaikat-malaikat Tuhan. Hati yang begini, kontak dengan akal. Maka akal pada waktu itu membantu hati untuk bagaimana terlaksana hawanya dan nafsunya. Maka lapanglah dada dalam memanjang hawa nafsu. Dhaiflah kekuatan iman, disebabkan asap yang gelap terhadap hati. Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 43-44, yang bermaksud:

"Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil kemauan nafsu nya menjadi Tuhannya? Engkaukah yang menjadi penjaganya? Apakah engkau mengira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau mengerti? Tidak! Mereka adalah sebagai binatang ternak, bahkan lebih tersesat lagi jalannya." (Al -Furqan : 43 -44)

Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa apa bila keadaan menjadikan nafsu sebagai tuhan, maka muncullah ke alam nyata perbuatan-perbuatan anggota yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama disebabkan menurut hawa nafsu yang telah mendalam di dalam hati.

c)Hati yang terumabng-ambing antara kebaikan dan kejahatan atau dengan kata lain antara malaikat dan syaitan. Hati ini akan sering merasa ragu disebabkan kadang-kadang timbul daya tarikan kepada kejahatan, tetapi pada waktu itu akan datang pula daya tarikan kebaikan. Firman Allah bermaksud : "Maka barang siapa yang hendak dipimpin oleh Allah, niscaya dibukakanNya hatinya untuk Islam, dan siapa yang hendak disesatkan oleh Allah, maka Allah akan menjadikan dada orang itu sesak dan sempit seperti orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuahnmu, jalan yang lurus. Sesungguhnya telah kami jelaskan keterang-keterangan kepada kaum yang mahu memperhatikan ." (Al-An'am : Ayat 125-126)
(Allah yang mengilhamkan ketakwaan)

Kesimpulan:
Apabila amalan lahiraiah yang kita amalkan terpelihara daripada hasad, khianat dan lain-lain maka adalah amal yang kita kerjakan itu adalah timbul dari kehendak hati yang diilhamkan oleh Allah SWT. Maka hendaklah ditetapkan hati untuk mengerjakan kebaikan itu. Untuk sampai kepada hakikat perasaan Tasawuf, di samping mentaati Allah dengan menjauhi larangan-larangNYa dan selalu minta ampun kepadaNYA, maka janganlah lupa berdoa : " Wahai tuhan yang membolak-balik segala hati makhlukNYA! tetapkan olehMu, ya Allah hatiku atas agamaMU."

Mudah-mudahan hati kita dipimpin oleh Allah sehingga segala amal ibadah lahiriah sejalan dengan hati, disebabkan Taufiq dan HidayahNYA. Amin...

KERENDAHAN HATI

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Peribadi yang rendah hati biasanya memandang bahawa orang lain memiliki keunikan dan keistimewaan, sehingga dia sentiasa membuat orang lain merasa penting. Kerana sesungguhnya setiap peribadi adalah istimewa. Setiap orang adalah unik dan berhak untuk dihargai. Manusia adalah peribadi yang harus diperlakukan khusus. Manusia adalah makhluk yang sangat sensitif. Jika kita meragukan hal ini, lihat diri kita sendiri dan perhatikan betapa mudahnya kita merasa disakiti atau tersinggung.

Jika apa yang kita pikirkan mengenai orang lain berubah, maka sikap dan tindakan mereka terhadap kita juga akan berubah. Kerana manusia sangat sensitif satu sama lain dalam banyak hal, kita biasanya sangat peka terhadap apa yang difikirkan oleh satu sama lainnya. Jika hubungan kita dengan isteri/suami, kekasih, teman, rakan kerja atau orang tua kita tidak sebagaimana kita harapkan, cubalah lihat lebih jauh ke dalam fikiran kita, apa yang sesungguhnya kita fikirkan saat ini tentang orang tersebut. Kita pasti memiliki hal-hal atau gambaran yang sangat negatif atau positif tentang seseorang.
Mendengar dan Menerima Kritik

Salah satu ciri kerendahan hati adalah dapat mendengar pendapat, saranan dan menerima kritik dari orang lain. Sering dikatakan bahawa Tuhan memberi kita dua telinga dan satu mulut, yang dimaksudkan agar kita lebih banyak mendengar daripada bercakap. Kadang-kadang hanya dengan mendengarkan saja kita dapat menguatkan orang lain yang sedang dilanda kesedihan atau kesulitan. Dengan hanya mendengar, kita dapat memecahkan sebagian besar masalah yang kita hadapi. Mendengar juga bererti membuka diri dan menerima, suatu sifat yang menggambarkan kerelaan untuk menerima kelebihan dan kekurangan orang lain mahupun diri kita sendiri.
Demikian halnya dengan kritik, harus sentiasa dipandang sebagai saranan untuk kita belajar dan berusaha. Kritik harus kita pandang sebagai sumber kita untuk mengembangkan diri, bukan untuk menunjukkan kita salah atau benar. Apapun bentuk dan cara penyampaian kritik harus sentiasa kita pandang positif dalam proses pembelajaran yang berlangsung terus menerus dalam hidup kita. Banyak sekali dari kita yang memandang kritik sebagai hal yang peribadi yang menunjukkan kelemahan dan kegagalan kita. Padahal sebaliknya kritik menunjukkan kemenangan dan kedewasaan kita dalam menghadapi setiap tentangan dan kesulitan.
Berani Mengakui Kesalahan dan Meminta Maaf

Salah satu ciri kerendahan hati adalah sentiasa berani mengakui kesalahan dan meminta maaf jika melakukan kesalahan atau menyinggung perasaan orang lain. Manusia rendah hati adalah manusia yang sangat peduli dengan perasaan orang lain. Bezakan dengan mereka yang sentiasa peduli dengan apa yang dikatakan orang lain. Orang seperti ini bukan rendah hati, tetapi rendah diri atau tidak memiliki rasa percaya diri, sehingga dia selalu khuatir dengan apa yang akan difikirkan atau dikatakan orang lain tentang dirinya.
Rela Memaafkan

Rela memaafkan merupakan ciri seseorang yang rendah hati. Bahkan dalam setiap agama dikatakan bahawa kita harus memaafkan kesalahan sesama kita, kerana Tuhan juga mengampuni dosa-dosa kita. Sifat ini tidak selalu kita temui dalam kehidupan seharian kita. Masih banyak dari kita yang tidak dapat memaafkan orang lain dan sentiasa hidup dalam dendam dan sakit hati. Rela memaafkan lebih ditujukan kepada kepentingan diri kita sendiri, untuk menghindarkan kita dari sakit penyakit dan tekanan dalam kehidupan kita.
Lemah Lembut dan Penuh Pengendalian Diri

Ciri yang jelas dari orang yang rendah hati adalah sikapnya yang lemah lembut (gentle) dan penuh pengendalian diri (self control). Dia tidak pernah membiarkan emosinya tidak terkendali dan lepas kontrol. Dia tidak menunjukkan kemarahan dengan sikap kasar, kata-kata yang tidak baik, atau melakukan tindakan fisik. Kemarahan dia tunjukkan dalam rangka mendidik orang lain. Kemarahan atau kekecewaan yang dirasakan sentiasa dapat dia kendalikan sepenuhnya, dalam erti bukan dilupakan, diacuhkan atau ditahan (supressed), tetapi dilepaskan dengan pasrah (released).

Artikel dari : halaqah.com

ADAB DAN AKHLAK HATI


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Disiplin dalam atau batin atau spritual ini terbahagi kepada 3 bahagian juga iaitu: Disiplin Hati, Disiplin Akal dan Disiplin Nafsu.
DISIPLIN HATI

Hati adalah tempat untuk rasa bertuhan, rasa kasih sayang, rasa pemurah, rasa takut, rasa gerun, rasa cemas dan ribuan lagi rasa.terlalu banyak rasa. Hati sangat sensitif, sangat seni dan di situ jugalah kita sebut "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Hatilah yang mencorakkan kehidupan manusia.

Rasulullah SAW ada menyebut, "Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati". Kalau seorang itu, lahirnya jahat maka jahatlah hatinya. Mengapa seorang itu jadi jahat, mestilah ada sebabnya.
Bagaimana nak mendisiplinkan hati?

Cara yang pertama ialah kita kenalah menajamkan Rasa Bertuhan. Apabila manusia ada rasa bertuhan, ia tidak mudah putus asa atau kecewa walaupun orang kafir, cuma lebih elok kalau dia beriman. Untuk ada rasa bertuhan kita mesti kenal Tuhan. Kalau kita tak kenal Tuhan tetapi lebih kenal kuman, batu, kayu katak dll, ini dah kira parah. Macam mana nak kenal dan percaya Tuhan? Kena belajarlah. Kita kena percaya Rukun Iman yang 6 tanpa dicelah oleh jahil, syak, zan dan waham. Orang yang digelar beriman ialah orang yang percaya dan yakin 100%.

Jahil maksudnya golongan tak tahu atau tak berilmu tentang hal-hal iman.

Syak pula golongan yang percaya dan yakin 50%, tak yakin 50%. Akhirat ini ada ke tidak? Kalau tak ada macam mana? Kita bahas ikut logik akal, bukankah elok kita buat baik di tengah manusia dan tak rugi juga sekiranya Akhirat itu tak ada. Kita mesti yakin Akhirat itu ada, dan kita juga selalu berdoa minta kebaikan untuk dunia dan akhirat. Kalau betul-betul Akhirat itu ada kita tak rugi sebab kita dah berbuat. Kita tak buat baik sebab kita rasa Akhirat itu tak ada, kemudian Akhirat itu betul-betul ada, kan kita dah rugi dan tak boleh balik ke dunia untuk buat baik lagi!

Zan pula golongan yang percaya 75%, tak yakin 25%.. dia percaya semua rukun Iman cuma dia tak yakin tentang qadak dan qadar, dia tak yakin tentang rezeki, takut masa depan yang susah, takut sakit hingga kena beli insuran dan sebagainya.

Waham pula golongan percaya 25%, tak yakin 75%. upacara nikah kahwin, kematian, naik haji, sembahyang sunat hari raya itu semua dia percaya. Tetapi dia berpendapat orang sembahyang ke tak sembahyang semua sama sahaja, tak sembahyang pun tak apa, entah Tuhan ada ke tidak!

Rukun Iman ada 6:
Percaya kepada Allah. kita kena belajar ilmu ketuhanan, ilmu rasa namanya.
Percaya adanya Malaikat, tentera-tentera Allah yang kita tak nampak tetapi ada. Musnah iman kita kalau kita tak percaya.
Percaya kpd Kitab-kitab Allah
Percaya kpd Nabi dan Rasul-Rasul dan menjadikan mereka idola dan suri tauladan kita. Kalau kita nak berjuang menegakkan kalimah Allah kenalah kita ikut mereka.
Percaya kpd hari Kiamat. Kalau tak adalah hari Kiamat seperti yang disebutkan Tuhan sudah tentu beruntunglah orang-orang yang buat jahat di dunia ini.
Percaya kpd Qadak dan qadar Allah.

Cara yg kedua untuk mendisiplinkan hati ialah menebalkan rasa kehambaan kita. Selagi kita tak kenal kita ini hamba Allah selagi itulah kita tak mempunyai disiplin hati. Kalau kita tak rasa yang kita ini hamba sudah tentulah kita ini rasa kita ini Tuhan. ini merbahaya. Untuk merasakan kita ini hamba kenalah selalu merintih kepada Allah, mengaku yang kita selalu buat silap. Walaupun kita tak buat silap, tetapi sebagai seorang hamba kita kena faham yang Allah suka mendengar hambanya merintih.

Sebagai manusia sememangnya kita tak lepas dengan sifat lalai dari mengingati Allah dan tak terlepas dari dosa maka cepat-cepatlah kita bertaubat dan minta ampun dari Allah. Sekiranya kita tak ada sifat hamba segala yang kita buat di dunia ini kita rasa yang kita yang punya, kita rasa kita yang memiliki. Seorang manusia yang sedar dirinya hamba, dia berasa tidak memiliki apa-apa pun tanpa keizinan Allah. kalau Allah tak jadikan dia manalah dia boleh hidup, oksigen
yang Allah beri secara percuma untuk bernafas pun kalau Allah tarik matilah kita.

Cara yang ketiga untuk mendisiplinkan hati ialah dengan menyucikan atau menghilangkan rasa cinta dunia. Dunia itu banyaklah, ada yang dapat, ada yang tak dapat dan ada yang terlepas. Cinta Allah itu adalah ibu segala kebaikan. Cinta dunia adalah ibu segala kejahatan.

Cara yang keempat pula ialah dengan memindahkan rasa bertuhan, rasa kehambaan ke dalam hati kita. Macam mana caranya? Katalah semasa kita sembahyang segala perbuatan yang kita lakukan adalah yang fizikal yang kena kita jaga disiplinnya juga, tetapi yang penting adalah apa yang kita rasa di dalam hati kita.

Macam mana kita nak hubungkan hati kita dengan Tuhan sewaktu itu sebab Tuhan itu bukan berketul dan tak boleh juga kita bayangkan Tuhan itu hijau atau kuning. itu semua tak boleh. Maknanya hati sewaktu sembahyang kena berdisiplin iaitu sentiasa ingat Tuhan. Ingat Tuhan itu bermacam-macam bentuk pula. ada rasa takut, sayu, sedih, rindu, malu dan bermacam-macam rasa lagi. Rasa-rasa ini sentiasa berpindah-pindah dan berubah. Macam warna langit yang sentiasa bertukar warna. kejap biru, kejap hijau, kejap kuning. Jadi sentiasalah hati itu tidak terlalai dari mengingati Allah, itulah dikatakan disiplin. Ini memang susah nak dibuat.

Katalah kita nak masukkan rasa malu di hati kita, cuba kita bayangkan segala nikmat Tuhan dalam diri, nikmat Tuhan diluar diri kita. Dia bagi kita semua anggota yang bermacam-macam, kita tak payah bayar pun. Allah beri kita rumah, isteri dan anak-anak, kereta dan bermacam-macam lagi. cuba kita tanya ini semua siapa yang punya, siapa yang bagi? Malu tak kalau hari-hari ada orang yang beri kita $10 setiap hari tanpa kita buat apa-apa. sekali dua boleh lagi tetapi kalau lebih 10 kali tentu kita naik malu. Nikmat oksigen juga dah cukup untuk membuat kita rasa malu dengan Allah. Jadi dalam nak mendisiplinkan hati kenalah dalam bentuk rasa dan pada peringkat permulaan kenalah kita menghitung-hitung.

Macam mana pula kita nak masukkan rasa takut di dalam hati kita? Allah boleh matikan dan hidupkan kita, Dia juga boleh sakitkan kita, Allah boleh miskinkan kita, macam-macam Allah boleh buat.

Rasa cemas macam mana pula? Sembahyang yang kita buat, segala ibadah
yang kita buat banyak-banyak itu adakah betul semua itu Allah terima? Adakah Allah terima taubat kita? Dosa kita dengan Allah adakah sudah diampun? Sebagai hamba Allah yang beriman kita yakin dengan sifat Allah yang Maha Pengampun, maka kita kena yakin Allah akan ampunkan dosa-dosa kita tetapi kita juga yakin dengan sifat Qahhar dan Jabbar Tuhan yang membuat kita rasa cemas dengan hukuman Tuhan.

Inilah ada-adab atau disiplin atau seni-seni hati yang kita perlu perolehi.

Artikel dari http://halaqah.

Mazmumah Menghapus Bahagia Hati

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. (sapa nak dekat kalau asyik nak marah aje bawak2lah senyum.. tentu org tak takut nak dekat)

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam walaupun secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung. ( dendam kesumat)

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. (tak elok dengki mendengki)

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma)

Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yg diminum tetap tak habis juga. ( lagipun org tamak selalu rugi.. cam pantun zmn sekolah, dlm semak ada duri, ayam kuning buat sarang, org tamak selalu rugi, cam anjing ngan bayang-bayang)

Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan.. contohnya banyak kerja.. tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dgn apa yg kita ada(harta, ilmu amal dll)

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. dan biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah

Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya.

SUMBER: MUNALIZA

Zikrullah Dan Wirid Dalam Ilmu Tasawuf.

PENDAHULUAN

Salah satu aspek terpenting di dalam disiplin ilmu dan amalan tasawuf ialah amalan zikrullah dan wirid. Amalan ini sering menonjol di kalangan pengamal tareqat tasawuf. Zikir atau zikrullah merujuk kepada maksud mengingati Allah S.W.T. Di dalam amalan tareqat dan tasawuf zikrullah atau mengingat Allah S.W.T. itu dibantu dengan bermacam-macam ungkapan yang secara langsung atau tidak langsung membawa maksud mengingati Allah S.W.T.. Seperti dengan menyebut nama-nama Allah S.W.T., sifat-sifat-Nya, dan perbuatan-Nya.

Ahli tareqat dan tasawuf berkeyakinan bahawa seorang insan melalui amalan zikir akan menjadikan dirinya dapat merasakan lahir dan batinya dilihat oleh Allah S.W.T. dan segala urusan pekerjaannya diawasi oleh Allah S.W.T., perkataannya didengar oleh Allah S.W.T., manakala cita-cita dan niatnya pula tidak terlepas dari pengetahuan Allah S.W.T. Benarlah seperti apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Jibril yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi di dalam Sunannya tentang situasi ini, antara lain menyatakan:

ما الإحسان : الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك .
Bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Ihsan? Baginda bersabda: Ihsan itu ialah sesungguhnya engkau menyembah (mengabdi diri) kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Maka sesungguhnya jika engkau tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat kamu”

Di dalam amalan tareqat dan tasawuf, dengan amalan zikrullah seseorang akan mencapai makrifah kepada-Nya dan akan melahirkan dua sifat kepada pengamalnya; Pertama akan melahirkan sifat takwa manakala yang kedua akan melahirkan sifat mahabbah iaitu sifat cintakan kepada Allah S.W.T. Dengan sifat takwa seorang hamba akan menuruti segala perintah tuannya selaku Khalik, manakala sifat mahabbah pula akan melahirkan sifat cintakan kepada perbuatan yang disuruh oleh Allah S.W.T. selaku penciptanya.

Sumber: Dr.Othman Napiah

Sifat Pemaaf Bersih Hati,Tenangkan Jiwa

KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

INDAHNYA BERBAIK SANGKA

"Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara." Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6

Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.

Ruginya Berburuk Sangka

Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda :
"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. "HR. Bukhari

Larangan Berburuk Sangka

Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan.
Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

"Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku".

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

SUMBER : MUNALIZA

Ketinggian akhlak asas keteguhan iman

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t., sama sekali kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata.

Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Anbiyaa’ ayat 107 iaitu bermaksud : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " .

Bahkan keimanan kepada Baginda adalah termasuk dalam kesempurnaan rukun iman kita. Mengapa Rasulullah s.a.w dipilih oleh Allah s.w.t. untuk membawa misi kesejahteraan ini kepada semua umat di dunia ?

Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini . Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya :"akhlak Baginda adalah Al-Quran".Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud : "Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahaiyat. Dan ini adalah anugerah Allah s.w.t. ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Keistimewaan yang tiada taranya menjadikan Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul . Dan kita umat Islam turut menumpang keistimewaan Baginda, kerana Allah menjadikan umat Muhammad sebagai umat terbaik diantara umat Nabi dan Rasul terdahulu .

Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa, Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran . maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .

Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam . contohnya, Kesah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ, naik berang dan hendak memukul Badawi tadi . Bagaimanapun tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil . kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan ditempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya . kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu, merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda, lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .

Suasana masyarakat kita pada hari ini berhadapan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau idealogi yang tidak sehat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan, dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam liberal, dan lebih dasyat lagi pengaruh Black Metal, dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam .

Anasir-anasir yang tidak sehat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang Agama, meremehkan nasihat para ulama mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat . Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya . Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan sebagai asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam. Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah .

Ini semua menandakan Islam sedang diuji . Dan ia merupakan satu peringatan kepada kita . Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran Baginda s.a.w sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w khususnya sejarah kelahiran Baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan yang tidak secara langsung kepada masyarakat kita terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi cyber dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang .

Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w yang perlu dicontohi :

1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui .
2. Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak .
3. Baginda bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya .
4. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan Mereka .
5. Baginda sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan .
6. Baginda sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya .
7. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan .

Apakah yang sepatutnya kita lakukan sebagai rasa tanda kasih dan sayang kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang telah banyak berjasa kepada kita semua ? Selain mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mengamalkannya, kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati . Dan dalam masa yang sama, tanya diri kita, apakah roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w telah kita hayati dan perjuangkan? atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama? Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w .

Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang. Firman Allah di dalam Al Quran surah Al-Ahzab , ayat 21 yang bermaksud " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .

Ameen...

SUMBER : MUNALIZA

Jumaat, 28 Ogos 2009

Jumaat hari kebesaran umat Islam

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
JIKA orang Yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Muslimin.

Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat.

"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.

Kitab itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur.

"Dengan ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat.

"Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah.

"Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.

Nabi s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.

Diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat, maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya menjadi hari raya bagi mereka. Maka adalah umat ini menjadi manusia yang lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."

Melalui hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)

Al-Ghazali dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.

Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir)

Hadis berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan solat Jumaat. Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya dikira berdosa.

Malah, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)

Satu kisah diceritakan. "Datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas, menanyakan mengenai orang yang mati tidak menghadiri Jumaat dan solat Jumaat.

Lalu jawab Ibnu Abbas: "Dalam neraka."

Orang itu berulang kali menemui Ibnu Abbas selama sebulan lamanya, menanyakan yang demikian. Tetapi Ibnu Abbas tetap menjawab: "Dalam neraka."

Daripada hadis yang diriwayatkan Anas daripada Nabi s.a.w bahawa Nabi bersabda: "Datang kepadaku Jibril a.s dan pada tangannya sebuah cermin putih, seraya berkata: 'Inilah Jumaat, yang diwajibkan atas engkau oleh Tuhan engkau, untuk menjadi hari raya bagi engkau dan umat engkau sesudah engkau.'"

Lalu aku berkata: "Apakah yang ada untuk kami pada hari Jumaat itu?"

Jawab Jibril: "Engkau mempunyai waktu yang baik. Sesiapa berdoa padanya kebajikan, nescaya dianugerahkan dia oleh Allah atau dia tiada memperoleh bahagian, maka disimpankan oleh Allah bahagiannya yang lebih besar.

"Atau berlindung ia daripada kejahatan yang telah dituliskan kepadanya, nescaya dilindungi Allah yang lebih besar daripada kejahatan itu. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari pada kita. Kita bermohon kepada Allah pada hari akhirat, akan menjadi hari kelebihan."

Lalu aku bertanya: "Mengapa demikian?"

Maka jawab Jibril a.s: "Sesungguhnya Tuhan engkau Azzawajalla telah menjadikan dalam syurga sebuah lembah yang luas, dari kasturi putih. Maka apabila datang hari Jumaat, nescaya turunlah ia dari syurga yang tinggi di atas kerusinya.

Lalu jelaslah ia kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada wajahnya yang mulia." (Diriwayatkan as-Syafie dan at-Tabrani daripada Anas, isnad daif)

Dalam hadis lain dinyatakan: "Bahawa tiap-tiap hari Jumaat Allah Azzawajalla mempunyai enam ratus ribu orang yang dimerdekakan dari api neraka."

Pada hadis yang diriwayatkan Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila selamatlah hari Jumaat, nescaya selamatlah segala hari."

Bersabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Bahawa neraka jahim itu menggelegak pada tiap-tiap hari sebelum tergelincir matahari pada tengah hari di puncak langit. maka janganlah kamu mengerjakan solat pada saat itu, selain hari Jumaat. Maka hari Jumaat itu adalah solat seluruhnya dan neraka jahanam tiada menggelegak padanya."

Berkata Kaab: "Bahawa Allah Azzawajalla melebihkan

Makkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: "Selamat, hari yang baik."

Nabi bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya, nescaya dituliskan Allah pahala syahid dan dipeliharakan Allah daripada fitnah kubur."

Di dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.

Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Dengan ini tidak ragu lagi Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam.

Sumber: Harian Metro

Ramadhan Mendidik Jiwa


"Usrah Rasa Hati"...

Alhamdulillah kita berada di bulan yang penuh kerahmatan, keberkatan dan keampunan. Marilah kita mendidik hati dan jiwa dengan didikan khusus dari Allah swt di bulan Ramadhan.

Berbagai anugerah dan kelebihan diberikan kepada hamba-hamba beriman sebagai motivasi dan dorongan untuk melakukan taqarrub dan ibadah kepada Alllah swt di bulan Ramadhan. Haikikatnya segala amalan yang digalakkan dan dianjurkan dibulan Ramadhan samada amalan zahir atau amalan hati seperti memperbanyakkan membaca al-Quran, qiamullail, bersedeqah, bersifat sabar, tawaduk, membersihkan diri dan lain-lain adalah amalan yang sepatutnya menjadi amalan harian seorang salik (hamba yang melalui jalan menuju Allah swt).

Kerana itulah bulan ramadhan dikenali sebagai madrasah bulan melatih dan mendidik seseorang menjadi abid dan salik kepada Allah swt. Bulan Ramadan melatih fizikal seseorang agar lebih tahan dalam menghadapai kesusahan dan kepayahan dengan berpuasa, namun yang lebih penting puasa dapat mendidik hati dan jiwa agar lebih kuat, membersihkan hati dan jiwa dari sifat-sifat mazmumah yang merosakkan manusia.

Apa yang dididik oleh Ramadhan kepada hati dan jiwa ?

1. Ramadhan mendidik hati dan jiwa bertaqwa kepada Allah (muttaqin).
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya; Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,


2. Ramadhan mendidik hati dan jiwa sentiasa bersabar.
يدع شهوته وطعامه من أجلي
Maksudnya; Ia meninggalkan nafsu syahwatnya dan makanannya kerana Aku.


3. Ramadahan mendidik hati dan jiwa rasa mahabbah sayang kepada Allah swt.

قلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


4. Ramadhan mendidik jiwa merasa tawaduk dan merendah diri, bersama-sama merasakan kesusahan golongan yang susah, kelaparan tidak cukup makanan.

5. Ramadhan mendidik jiwa sentiasa raja' dan mengharapkan kerahmatan, keredhaan dan keampunan Allah swt.

6. Ramadhan mendidik jiwa dan bersifat pemurah

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان
Maksudnya; Nabi adalah manusia yang palih pemurah dan lebih pemurah di bulan Ramadhan.


من فطَّر صائماً كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئاً
Maksudnya; Sesiapa yang memberikan makanan untuk berbuka orang yang puasa, ia akan memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, tidak kurang sedikitpun pahala orang yang berpuasa.

7. Ramadhan mendidik hati dan jiwa memaafkan kesalahan orang lain, tidak bersikap sombong dan takabbur.


Lafaz Tasbih Kaffarah

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ
أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Persiapan Hati Menyambut Ramadhan



"Usrah Rasa Hati"...

Alhamduilllah Ramadhan semakin hampir menemui kita. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, penganugerahan, keampunan dari Allah swt. Justeru beruntunglah mereka-mereka yang dapat menghayati dan menghidupkan bulan ramadhan dengan sebaik-baiknya.
Segala anugerah Allah dibulan Ramadhan hanya dapat dinikmati oleh mereka yang beramal dan menghayati bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Kesungguhan menghayati bulan Ramadhan bermula dari hati. Oleh itu hati mestilah bersedia terlebih dahulu untuk menyambut ketibaan ramadhan sebagai permulaan bermulanya kehidupan seorang hamba di bulan Ramadhan.
Hati seorang hamba yang inginkan kejayaan dan kemenangan dibulan Ramadhan hendaklah ada sifat dan perasaan berikut;


1. Gembira. Gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan dan anugerah yang disediakan.
وهو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة ، وآخره عتق من النار
Maksudnya; Bulan Ramadan ialah bulan di awalya kerahmatan Allah, dipertengahannya keampunan Allah dan akhiirnya pelepasan dari api neraka.
للصائم فرحتان : فرحة عند فطره ، وفرحة عند لقاء ربه
Maksudnya; Orang yang berpuasa mengecapi dua kegembiraan, gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu tuhannya.
إن للجنة بابا يقال له الريان يقال يوم القيامة: أين الصائمون فإذا دخلوا أغلق ذلك الباب"
Maksudnya; Sesungguhnya di Syurga ada pintu bernama Rayyan. Diseru pada hari qiamat, mana orang-orang yang berpuasa? Apabila mereka masuk, pintu tersebut ditutup.


2. Mengharap keampunan Allah kerana bulan Ramadhan adalah bulan keampunan
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudsudnya; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.


3. Sabar.
كل عمل ابن آدم يضاعف : الحسنة بعشر أمثالها ، إلى سبع مائة ضعف إلا الصوم , فإنه لي وأنا أجزي به , يدع شهوته وطعامه من أجلي "
Maksudnya; Setiap amalan manusia digandakan hingga sepuluh kali ganda, sehingga tujuh ratus kali ganda melainkan puasa, Allah berkata; ia untukKu dan Aku yang membalasnya kerana ia meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana Aku.


4. Tamak dan haloba dalam melakukan ibadah kerana pahala amalan berlipat ganda dan adanya malam lailatul qadar..
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Maksudnya; Carilah malam lailatul qadar di sepuluh yang akhir di bulan Ramadhan.


5. Pemurah dan Pemaaf..
كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان
Maksudnya; Nabi adalah manusia yang palih pemurah dan lebih pemurah di bulan Ramadhan.
من فطَّر صائماً كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئاً
Maksudnya; Sesiapa yang memberikan makanan untuk berbuka orang yang puasa, ia akan memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, tidak kurang sedikitpun pahala orang yang berpuasa.


6. Takut, takut tidak dapat meraih berbagai anugerah tuhan di bulan Ramadhan.
خاب وخسر من ادرك رمضان ولم يغفر له
Maksudnya; Rugilah orang yang berada di bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan dari Allah swt.

Nabi haramkan cabut bulu di muka untuk cantik

KAUM wanita amat mengambil berat mengenai kecantikan, terutamanya kecantikan wajah kerana wajah yang pertama dipandang orang apabila berjumpa.

Oleh itu, ramai di kalangan wanita sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mencantikkan wajah. Antara cara dianggap boleh mencantikkan wajah dan rupa paras ialah dengan membentuk bulu kening atau alis mata dengan mencabut dan mencukur sebahagian atau kesemuanya sekali.

Kemudian bulu kening akan dibentuk semula dengan alat solekan seperti celak dan pensil alis sehingga kelihatan lebih cantik dan menarik.Amalan itu bukanlah perkara baru dalam dunia persolekan wanita tetapi sudah diamalkan wanita di zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam dan berterusan hingga hari ini.

Malah dengan kebanjiran pelbagai jenis alat solek di pasaran serta kepakaran yang ada, bulu kening atau alis yang sesuai dengan raut wajah seseorang boleh dibentuk dengan mudah.Walau bagaimanapun, wanita hari ini perlu memastikan apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, termasuk bidang persolekan.Merujuk kepada teks syarak berkaitan persoalan ini, terdapat dua hadis yang menegur secara langsung perbuatan mencukur bulu kening.

Perkara ini membabitkan satu riwayat tabf berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, puteri Rasulullah saw.Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita.

Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya.Aisyah menjawab: "Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu."Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda:"Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik.

Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah."Mengenai hadis pertama, Imam Nawawi berpendapat bahawa jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa erti bahawa wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik.Namun demikian, beliau tidak boleh mencabut atau mencukur bulu-bulu di muka, termasuklah bulu kening untuk membentuk alis mata yang cantikMengenai hadis kedua pula, ulama menjelaskan pengertian al-Namisah.

Ibn al-Athir berpendapat ia bermaksud wanita-wanita yang mencabut bulu-bulu yang terdapat pada kawasan muka dengan tidak menggunakan alat pencabut.Ibn Hajar pula berpendapat, ia bermaksud wanita yang mencabut bulu-bulu di muka dengan alat pencabut.Abu Daud pula berpendapat, ia bermaksud wanita yang mencabut bulu-bulu kening atau mencukurnya dengan pisau pencukur sehingga kelihatan halus.

Keterangan di atas menunjukkan perkataan al-Namisah merangkumi semua pengertian iaitu mencabut bulu-bulu di muka untuk kelihatan cantik dan berseri.Majoriti fuqaha berpendapat, mencabut atau mencukur bulu kening sehingga kelihatan halus adalah diharamkan sama ada kepada lelaki atau wanita kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah sebagaimana dijelaskan dalam hadis kedua.

Namun demikian, bagi wanita yang mempunyai terlalu panjang atau terlalu lebat sehingga kelihatan jelik, bolehlah mencabutnya sekadar membolehkan kelihatan halus kerana ia tidak dianggap mengubah ciptaan Allah.Kesimpulannya , berhias untuk suami adalah diharuskan tetapi membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya sehingga menjadi alis yang cantik adalah tidak dibenarkan. Menghilangkan sebarang tanda yang menjelekkan pandangan di badan, termasuk muka seperti jerawat, jeragat dan bintik hitam, adalah dibenarkan sama ada wanita bersuami atau tidak.

Dalam keghairahan wanita mencantikkan wajah untuk menambat hati suami atau sebagainya, jangan sampai terkeluar daripada sempadan yang digariskan oleh syarak kerana kecantikan bercanggah dengan syarak akan menggadaikan diri sendiri

Faktor Mengikis Sifat Sabar


Beberapa faktor yang boleh mengilang dan mengikis sifat sabar pada diri seseorang ialah seperti berikut;

1.Sikap isti'jal, ingin cepat gopoh. Biasanya tindakan ingin cepat gopoh di sebut sebagai tidak sabar. Allah swt menjadikan manusia dengan salah satu sifat manusia ialah suka cepat. Firman Allah swt; al-Anbia':37.
2.
خُلِقَ الْإِنْسَانُ مِنْ عَجَلٍ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ
Maksudnya; Manusia Telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. kelak akan Aku perIihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.

Kerana itulah orang beriman perlu mujahadah untuk melawan sifat isti'jal dan bersabar dalam menunggu hasil sesuatu usaha sebagai para rasul sentiasa sabar dalam usaha dakwah walaupun tidak ramai yang menyambut dakwah yang disampaikan.

Firman Allah swt; al-Ahqaf:35
فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ

Maksudnya; Maka Bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul Telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka

Sabda Rasulullah s.a.w;

التأني من الله و العجلة من الشيطان

Maksudnya; Berhati-hati itu daripada Allah dan tergesa-gesa itu daripada syaitan.

Sabda Rasulullah s.a.w;
العجلة من الشيطان إلا في خمسة فإنها سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم : إطعام الضيف وتجهيز الميت وتزويج البكر وقضاء الدين .
Maksudnya; Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan kecuali dalam lima perkara, iaitu mengawinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan mayat, melayani tetamu dan bertaubat daripada dosa".

2. Marah.


Apabila seseorang marah maka hilang sifat sabar dalam dirinya. Apabila seseorang marah maka di akan melakukan perbuatan yang diluar dari batas-batas kesabaran. Kerana itulah apabila kita dapat menahan dari sifat marah, kita menjadi orang yang sabar.

Firman Allah swt;
فَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تَكُنْ كَصَاحِبِ الْحُوتِ إِذْ نَادَى وَهُوَ مَكْظُومٌ

Maksudnya; Maka Bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika ia berdoa sedang ia dalam keadaan marah (kepada kaumnya) (al-Qalam:48)

3. Putus Asa.


Apabila kita berputus asa bererti kita tidak sabar atas ujian yang menimpa. Kerana itulah haram bagi orang beriman berputus asa. Orang yang putus asa tidak sabar atas apa yang berlaku lalu menyalahkan orang lain dan tidak redha dengan ketetapan Allah swt.
Firman Allah swt;
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Maksudnya; Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. ( Ali-Imran:139)

9 Sebab Hati Tidak Bahagia


a) Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.

b) Pendendam
Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

c) Hasad dengki
Amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

d) Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

e) Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi). Ingat! Yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

f) Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

g) Ego
Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Pasal semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi atau rendah tahap keegoan tersebut.

h) Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak, takabbur dengan apar yang kita ada.

i) Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan

Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain lainnya, tetapi ialah MAZMUMMAH. Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak bahagia.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya.

Peringatan Diri


1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan - Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.
2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatandalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dsbnya dalam dirinya.
4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
5. ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.
7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akandi kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.
8. Sesiapa yang berniat mandi(untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.
9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.
10. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya-Tirmizi
11. Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, dia makan dan sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.
12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makandengan 3 jari(ibu jari telunjuk & tengah)-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan
13. Menurut Sayyid Ahmad dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi
14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh
15. Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat. Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.
16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah
17. Nabi SAW sering menghadap kekanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum
18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan beselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu
19. Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman
20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, ALLAH akan menghindarkannya drp sebarang bencana
21. Nabi sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung
22. Setelah bersolat Nabi memohon ampun ( astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari
23. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah
24. Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan - Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah
25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA
26. Tika Nabi tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas,Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) - Bukhari
27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH
28. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur
29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan
30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihatNabi berbaring di masjid dgn satu kakinya atas kaki yang lain (krn bimbang terdedah aurat) - Bukhari
31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW
32. Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) - Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh
33. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari
34. Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun (astagfirullahalaziim) tiga kali - Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari
35. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) - bukhari
36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang
37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya dimulut (kerana dibimbangi terpercik) - Abu Dawud
38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya
39. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadakusebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Abu Naim
40. Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadith: nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya - Bukhari
41. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya
42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya - Muttafaq Alaih
43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah ( yang diusung), maka berdirilah (sbg tanda penghormatan) - Muttafaq Alaih
44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain
45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketikaberoleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH - Abu dawud
46. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya
47. Beri salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi (apabila mendatangi rumah sahabat) beri salam hingga 3 kali - Bukhari. Jika salamnya tak berjawab, beliau beredar
48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah seban yak 10 kali setiap selesai solat Maghrib
49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami
50. Para ulamak berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, di ikuti dengan usaha yang berterusan.

Sumber: mrzoab