: : :PELANGI MALAM: : :

Jumaat, 5 Jun 2009

PUSARAN

( S.Othman Kelantan)


Sinopsis

Junid sangat akrab dengan Pusaran iaitu seekor anak lembu jantan peliharaan ayahnya. Namun, hubungan tersebut tidak disenangi oleh ayah Junid, Mohsin. Kata-kata Pak Cik Kar bahawa Pusaran kembar Junid menambahkan kebimbangan Mohsin lalu menjual Pusaran untuk dijadikan korban sempena hari Raya Haji/Korban. Apabila pulang dari sekolah, Junid mencari lembu kesayangannya yang hilang. Akhirnya, dia menemui Pusaran yang sudah diikat untuk disembelih. Junid meraung-raung supaya Pusaran dibebaskan. Mohsin tidak jadi menyembelih Pusaran.

Tema

Kasih sayang tidak mengenal status dan makhluk – Pusaran yang merupakan seekor anak lembu jantan amat disayangi oleh Junid.

Persoalan
1.Ibu bapa mementingkan pendidikan anak-anak
2.Masyarakat Islam mengadakan korban semasa Hari Raya Korban
3.Peranan bomoh mempengaruhi pemikiran masyarakat

Watak dan Perwatakan

a)Junid
1.Anak bongsu Mohsin dan Musalmah
2.Menghabiskan masa bersama-sama Pusaran
3.Amat sayang akan Pusaran
4.Demam dan meracau apabila berpisah dengan Pusaran

b) Pusaran
1.Anak lembu jantan
2.Terdapat pusaran pada dahi,kepala dan bawah perut
3.Menjadi tempat junid bermanja

c)Mohsin
1.Ayah Junid
2.Mempunyai 8 ekar tanah bendang dan 6 ekar dusun kelapa dan 20 ekor lembu
3.Menjual Pusaran tanpa berunding dengan Junid

Latar

a)Latar Tempat
1.Kawasan Kampung Gung Nibung
2.Sekolah tempat Junid belajar

b)Latar Masa
1.Waktu malam – perbincangan tentang Pusaran yang akan dikorbankan
2.Ketika Junid berusia 6 tahun hingga masuk darjah 1

c)Latar Masyarakat
1.Masyarakat kampung yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam
2.Masyarakat petani (pesawah)
3.Masyarakat yang mempercayai kata-kata bomoh

Nilai
1.Kasih sayang – Junid amat mengasihi Pusaran walaupun Pusaran hanya seekor anak lembu
2.Bertanggungjawab – Ibu bapa Junid mahu menyekolahkan Junid agar tidak lagi leka bersama Pusaran
3.Patuh kepada agama – masyarakat di kampung mengadakan korban sempena Hari Raya Korban

Pengajaran
1.Kita hendaklah mengasihi sesama makhluk termasuk haiwan
2.Kita patutlah berbincang bersama-sama sebelum membuat sebarang tindakan
3.Ibu bapa hendaklah memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak

VIRUS ZEL UNTUK ABAH

( Mawar Shafei)

Sinopsis

Zel seorang gadis yang berumur 21 tahun dibesarkan oleh ibunya apabila ibu dan bapanya bercerai. Dia diberikan sepenuh kasih sayang dan diberikan pendidikan yang sempurna. Ketika Zel berumur 10 tahun ibu dan bapanya berpisah kerana kedudukan bapanya tidak setaraf ibu Zel. Bapa Zel merasa rendah diri dan meninggalkan ibu Zel lalu bekahwin lain. Dalam perkahwinan kedua, bapa Zel dikurniakan tiga orang anak. Zel berasa marah dengan anak-anak bapanya. Zel bercadang memasukkan virus ke dalam program komputer bapanya. Win, kawan Zel memujuknya agar tidak meneruskan niatnya itu. Akhirnya, Zel mematikan suis komputer dan membatalkan niatnya itu.

Tema

Kekeluargaan dan kasih sayang sejati seorang anak walaupun mengalami kesan keretakan rumah tangga.

Persoalan

1.Kegigihan ibu tunggal meneruskan kehidupan
2.Perasaan rendah diri suami terhadap kejayaan isteri
3.Wanita berkejaya dan berjaya dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan

a)Zel
1.21 tahun
2.Bakal menuntut di UK
3.Pendendam
4.Penyayang
5.Sensitif
6.Keras hati

b)Mama
1.Berumur 45 tahun
2.Berjaya dalam kerjaya
3.Ibu tunggal
4.Tabah
5.Bertanggungjawab/Penyayang

c)Abah
1.Guru sekolah rendah
2.Berkahwin dengan Aunt Syarifah
3.Bersifat rendah diri
4.Tidak tegas

Latar
1.Latar Tempat
a.Rumah Zel
b.Gedung pakaian
c.Ruang legar di sebuah pusat beli-belah

2.Latar Masa
a.Era teknologi maklumat
b.Waktu malam ketika Zel dan Abang Awi membeli pakaian untuk abah

3.Latar Masyarakat
a.Masyarakat celik komputer/IT
b.Masyarakat yang mengalami keruntuhan rumah tangga
c.Masyarakat yang gigih serta tabah mengharungi cabaran hidup
d..Masyarakat yang mementingkan pendidikan tinggi

Nilai

1.Kasih sayang – Mama dengan Zel
2.Setiakawan – Win
3.Tabah/cekal – Mama sebagai ibu tunggal

Pengajaran
1.Kita seharusnya cekal serta tabah dalam menempuh cabaran hidup
2.Sebagai anak, kita mestilah menghormati ibu bapa
3.Kita hendaklah memupuk kasih sayang antara ahli keluarga
4.Sebagai sahabat kita mestilah menanam sifat setiakawan

Khamis, 4 Jun 2009

Berhati- hati memilih pemimpin


06.03.2008 by Dr. Danial Zainal Abidin Category Islam & Cemerlang

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”

Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin Untuk mindasuper.com

Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com

Makanan sihat untuk pelajar


PAOLA VILLATORO, 17, dari Sekolah Tinggi Downtown Magnet di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sedang menikmati makanan di kafeteria sekolah seperti piza rendah lemak dengan roti bijirin penuh yang agak enak rasanya.
"Sebahagian daripada makanan ini sedap juga rasanya," katanya.
Tetapi, pelajar sebuah sekolah persediaan Best Adams, Alfredo Segura tidak menyukainya.
"Rasanya seperti makanan di penjara," kata Segura, 16, ketika dia bersama beberapa pelajar lain menikmati snek di sebuah kedai makanan segera berhampiran sekolahnya.
Los Angeles Unified School District merupakan peneraju kepada kempen antimakanan rapu.
Cabarannya adalah untuk menukar amalan pemakanan tidak sihat yang telah dibentuk dan dipromosikan oleh gergasi-gergasi industri makanan segera sejak berdekad-dekad lamanya.
Jabatan Perkhidmatan Makanan di daerah itu telah menyingkirkan makanan bergoreng yang tinggi lemak dengan menambah lebih banyak makanan segar dan mengurangkan jumlah sodium dalam makanan di kafeteria sekolah.
Ia juga mengharamkan minuman soda yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, selain melupuskan mesin-mesin runcit di dalam kampus.
Namun, penguatkuasaannya tidak menyeluruh. Malah, rangkaian-rangkaian makanan segera dan kedai serbaguna sentiasa bersiap sedia menunggu para pelanggannya di luar pagar sekolah.
Walaupun dia menggemari beberapa makanan di sekolah, Villatoro ada menyertai rakan-rakannya untuk menikmati makan tengah hari di kedai makanan segera yang terletak berhadapan dengan sekolahnya, seminggu sekali.
Bilangan restoran makanan segera di AS berkembang pesat kepada 220,000 buah pada tahun 2001, berbanding hanya 30,000 buah sekitar tahun 1970.
Menurut sebuah badan yang memberi fokus kepada kesihatan awam, Trust for America's Health dan Yayasan Robert Wood Johnson, sejak tiga dekad lalu, perbelanjaan ke atas makanan ringan mencecah AS$110 bilion (RM385 bilion) daripada AS$6 bilion (RM21 bilion) sebelumnya.

Memandangkan golongan ibu bapa cenderung untuk mendapatkan makanan yang banyak dan murah, tabiat pemakanan orang dewasa serta kanak-kanak telah berubah, sekali gus membuatkan ukuran pinggang semakin besar.
Pada masa yang sama, sekolah-sekolah juga telah menggantikan kelas-kelas jasmani dan fizikal yang bertujuan untuk bersenam bagi memberi lebih banyak masa untuk pelajaran akademik.
Sejak tahun 1980-an, kadar obesiti dalam kalangan murid sekolah telah meningkat tiga kali ganda kepada 17 peratus. Pada kadar ini, wujud satu epidemik di AS, jelas seorang jurucakap dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika.
Para pakar bimbang terhadap kadar penyakit diabetes, penyakit jantung dan kondisi kronik lain yang mungkin dihidapi oleh kanak-kanak ini sewaktu membesar. Situasi ini turut memburukkan krisis kesihatan yang sedia wujud.
Mengikut perangkaan Jabatan Kesihatan Daerah Los Angeles, 23 peratus pelajar sekolah mengalami obesiti, sementara 19 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan pada tahun 2007.
Kerajaan Amerika membelanjakan kira-kira AS$11.7 bilion (RM41 bilion) setahun untuk menyediakan program makanan sekolah.
Seramai 30 juta pelajar menikmati makan tengah hari dan lebih daripada 10 juta lagi diberi makanan untuk sarapan. Tetapi, piawaian khasiat dan keperluan makanan tidak dikemaskini sejak 1995.
Ada negeri-negeri yang cuba melakukan sesuatu tanpa menunggu pelaksanaan kerajaan persekutuan. Sehingga Ogos tahun lalu, sebanyak 18 buah negeri telah menggunakan standard nutrisi makanan lebih ketat berbanding dengan apa yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.
Malangnya, kuasa penguatkuasaannya terhad dan mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas sesiapa yang melanggarnya, jelas pihak Trust for America's Health, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berusaha meningkatkan standard kesihatan komuniti.
Data terkini menunjukkan, kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak mungkin menurun. Beberapa pakar memberitahu program-program seperti makanan tengah hari yang lebih sihat di sekolah mula menunjukkan kesannya, tetapi masih ramai yang bersikap skeptikal.
Presiden Barack Obama mahu menambah dana program nutrisi kanak-kanak Amerika sebanyak AS$1 bilion (RM3.5 bilion) setahun bagi mengelakkan golongan ini lapar sewaktu kemelesetan ekonomi yang menyebabkan kadar pengangguran tertinggi dalam tempoh 25 tahun.
"Kami berharap program ini akan berjaya," kata Laura Benavidez, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Makanan untuk sekolah-sekolah di daerah Los Angeles yang mempunyai kira-kira 690,000 orang pelajar.
Bajet perkhidmatan makanan sebanyak AS$325 juta (RM1.13 bilion) tahun ini bukan sekadar merangkumi makanan, malah meliputi gaji kakitangan, faedah-faedah, kemudahan insurans dan kelengkapan alat tulis.
Pihak jabatan itu juga membelanjakan 70 sen untuk setiap hidangan, tidak termasuk susu yang berharga sekitar di antara 18 hingga 20 sen. Buat masa sekarang, pihak berkuasa daerah mengalami kerugian bagi setiap hidangan yang disediakannya.

Baru-baru ini, di sekolah Castelar Elementary yang terletak di Chinatown Los Angeles, para pelajarnya mengambil makanan di kaunter salad seperti oren, pisang dan kacang pis hijau. Hasilnya, tidak banyak makanan yang dibuang ke dalam tong sampah.
Namun, mesej berkaitan pemakanan sihat sering 'digagalkan' oleh acara-acara meraih dana yang dianjurkan sekolah. Di sana, mereka menjual makanan ringan untuk mendapatkan dana bagi pasukan sukan atau kelab-kelab akademik.
"Kami tidak boleh menghilangkan tabiat lama," kata Dennis Barrett yang bertanggungjawab memantau operasi perkhidmatan makanan di daerah tersebut.
Dalam pertarungan antara sayur-sayuran dan burger, burger mungkin sangat sukar untuk dikalahkan. – Reuters

Rujukan : Kosmo

KELUARGA TEGUH ASAS NEGARA UTUH


Ilmu kekeluargaan wajar diajar di sekolah

PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.
Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari ‘jahil ilmu’ sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.”
Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?

Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.
Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.

Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.’
Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.

Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.

Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.

Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

BELIA BERWAWASAN PENGGERAK KEMAJUAN


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.
Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?
Sumbangan belia terhadap kemajuan negara
Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam usaha pembangunan dan pengurusan belia.
Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan diri.
Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam membangun potensi diri dan orang lain.
Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya.
Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.
Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat.
Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok.
Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada landasan syariat.
Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.
Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.
Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti.
Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang.
Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.
Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah.
Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri.
Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan.
Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.
Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah.
Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.
Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.
Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.
Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik.
Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru.
Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup. Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses pembaratan harus diwaspadai.
Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami ketirisan.
Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah.
Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.
Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama.
Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan objektif yang berguna dan bermanfaat.
Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia.
Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.
Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara kehidupan pada zaman ini.
Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah.
Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.
Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia.
Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal.
Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri, malah juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.
Kesimpulan
Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.
Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.
Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU PENGURANGAN MATA PELAJARAN TERAS SPM


Jangan kurangkan subjek teras SPM

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat harus dikaji semula. Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.
Memang pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut. Tetapi ia akan menjejaskan jati diri pelajar sebagai seorang rakyat Malaysia.
Apakah yang akan berlaku sekiranya empat subjek teras tersebut nanti adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kerana dianggap lebih penting. Sudah tentu pelajar-pelajar yang tidak minat subjek Sejarah akan meminggirkan subjek tersebut.
Ada pelajar yang tidak akan mengambil subjek Pendidikan Islam dan Moral kerana diangap subjek yang tidak begitu penting sedangkan Pendidikan Islam, Moral dan Sejarah merupakan elemen penting membentuk modal insan yang berkaliber.
Dengan menghasilkan pelajar yang kurang pengetahuan agama dan nilai-nilai murni serta buta sejarah, apakah yang akan berlaku kepada masyarakat Malaysia pada masa hadapan? Akibat lemah pegangan agama dan buta sejarah, masyarakat Malaysia boleh terjerumus ke arah kehancuran peradaban yang akan menyaksikan masyarakat musnah ditelan pelbagai gejala tidak sihat.
NORHISYAM MOHAMAD
Sumber :http://www.utusan.com.my/

Budi Yang Tak Terbeli


(Khadijah Hashim)


Sinopsis

Murni ingin membawa ibunya, Jemah ke rumahnya di kota. Jemah berat hati tetapi akhirnya bersetuju. Semasa di kota, Murni tidak sempat melayan ibunya kerana sibuk bekerja. Konflik berlaku apabila Mak Jemah membersihkan rumput-rumput di hadapan rumah yang menimbulkan kemarahan menantunya, Jamal. Selain itu, Jemah juga telah menebang pokok ketapang yang ditanam oleh pihak berkuasa tempatan. Jemah kahirnya pulang ke kampung. Murni kemudiannya menerima surat dari kampung yang menyuruhnya pulang. Rupa-rupanya Jemah ingin menukar nama geran tanah yang baru dibelinya kepada nama Murni. Wang membeli tanah itu diperolehnya daripada sikap berjimat cermat yang diamalkan selama ini. Jamal yang bekerja sebagai perancang ekonomi berasa malu dan insaf.

Tema

Kegigihan menabung mendatangkan pulangan yang bermanfaat

Persoalan

1.Kasih ibu tiada batasan
2.Sikap menabung mendatangkan banyak faedah
3.Sikap hormat kepada ibu/bapa
4.Berbudi kepada tanah banyak faedahnya

Watak dan Perwatakan

Jemah
1.Ibu kepada Murni
2.Tinggal di kampung
3.Penyayang
4.Penyabar
5.Sanggup berkorban

Murni
1.Anak yang baik
2.Berhasrat membawa ibunya ke bandar
3.Taat kepada suami
4.Penyabar
5.Penyayang
6.Bersopan santun

Jamal
1.Menantu Jemah/suami Murni
2.Bekerja makan gaji di bandar
3.Meninggi diri
4.Biadap terhadap orang tua

Latar

1.Latar Tempat
i. Di kota tempat Murni dan Jamal tinggal
ii. Di kampung tempat tinggal Jemah

2.Larat Masa
i. Zaman moden – kebanyakan orang bekerja di bandar-bandar
ii. Waktu tengahari ketika Murni dan Jamal balik untuk makan tengahari di rumah

3.Latar Masyarakat
i. Masyarakat desa yang bertani dan memelihara ternakan ayam dan itik
ii. Masyarakat bandar yang makan gaji
iii.Masyarakat yang pandai berjimat cermat
iv. Masyarakat yang sibuk dan jarang bergaul dengan jiran tetangga

Nilai
i. Kasih sayang – Jemah amat menyayangi anaknya sehingga sanggup berkorban untuk
mereka
2. Berjimat cermat – Jemah bijak menabung
3. Hormat menghormati – Murni menghormati ibunya
4. Bersopan santun - Murni tidak meninggi suara kepada ibunya semasa bercakap
5. Taat – Murni taat kepada suaminya

4.Pengajaran
i. Anak-anak mestilah mengasihi dan sentiasa menjaga hati serta perasaan ibu bapa
ii. Kita hendaklah menghargai pengorbanan ibu dan bapa
iii. Setiap orang hendaklah bijak merancang masa depan msaing-masing dan tidak
berbelanja sesuka hati

Antologi: Anak Laut

Rabu, 3 Jun 2009

SYARAHAN


MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis. Yang Arif lagi bijaksana, panel penilai dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.

Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat”. Mengapakah saya memilih tajuk ini dan apakah yang ingin saya kupas daripada tajuk ini? Sebenarnya, beberapa hari yang lepas, saya baru selesai mengikuti jerayawara ke lima buah daerah di Johor untuk mengajar pelajar mengaplikaskan maklumat dalam karangan. Daerah terakhir yang saya kunjungi ialah daerah Pasir Gudang iaitu pada 3 Julai yang lalu. Di setiap daerah, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar, siapakah yang membaca surat khabar pada setiap hari? Tuan-tuan dan puan-puan tahu apakah jawapannya? Jawapannya amat mendukacitakan. Daripada lebih 100 orang peserta di setiap daerah, tidak sampai 10 orang yang membaca surat khabar pada setiap hari! Kalaupun ada yang membaca, mereka akan hanya membaca ruangan tertentu seperti ruangan sukan atau hiburan. Mereka juga tidak mengetahui nama-nama pemimpin negara apalagi isu semasa yang melanda negara. Inilah gambaran budaya membaca masyarakat kita yang sebenar. Oleh itu, tidak hairanlah jika, Perpustakaan Negara Malaysia mengumumkan bahawa purata membaca setiap rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Keadaan ini amat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya! Oleh sebab remaja hari ini merupakan pemimpin masa depan, maka usaha-usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan oleh semua pihak. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada hari ini saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk budaya membaca dalam masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah. Malahan, Kampung Buku di Langkawi yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia, bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Selain dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat, lending library atau circulating library ini dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha ini telah pelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu. Oleh itu, jelas bahawa pembinaan prasarana yang banyak dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pihak swasta juga perlu memainkan peranan untuk memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan penterjemahan buku-buku yang berkualiti dari negara, media massa turut memainkan peranan yang penting. United Kingdom, merupakan sebuah negara yang sememangnya berbudaya membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang terbina dalam sekelip mata. Pada tahun 2004, mereka telah mengadakan program BigRead yang merupakan satu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga usaha sama dengan beberapa buah kedai buku. Caranya mudah sahaja. TV UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku yang tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang sama, orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang tercetak BigRead di muka depannya. Cara ini umpama carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program tv realiti berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina ini? Jika semua pihak swasta menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping mendapat keuntungan, akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu memupuk budaya membaca. Inilah yang dikatakan situasi menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘When I have money, I buy books. If any is left, I buy food.’’. Apakah maknanya kata-kata itu, tuan-tuan dan puan-puan? Maknanya, Erasmus melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan makanan datang kemudian. Pada Erasmus dan juga sebilangan besar masyarakat negara maju yang lain, membaca itu amat penting buat santapan minda. Oleh itu, sebagai langkah yang ke-4, kita perlulah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku. Oleh itu, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah modalnya untuk kita menjadi negara yang maju dan kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058 sebagaimana yang disasarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhirnya, ialah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh dibacakan “bed time story” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah, belikan buku-buku cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka. Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang tentang bahan bacaan yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai buku dan ilmu seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia dengan tahap keilmuan yang tinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan.
Tahukah anda berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baru diterbitkan di seluruh dunia. Ini bermakna, pada setiap tahun, sekitar 1.5 juta judul baru menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun! Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya sahaja, anda memerlukan masa selama 15 tahun! Bermakna, setiap hari, begitu banyak ilmu yang ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin berkembang dari hari ke hari. Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi masyarakat seperti katak di bawah tempurung. Bertepatan dengan bulan Julai iaitu Bulan Membaca Negara, marilah sama-sama kita menyemai budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang ke-6 iaitu ”mewujudkan masyarakat yang maju dan progresif..” bukan fatamorgana semata-mata.
Sekian, terima kasih.

Portal Pn Zanariah Abdol ( Guru Cemerlang Bahasa Melayu )

RUMUSAN

Mengambil isi-isi penting daripada petikan berdasarkan tajuk yang dinyatakan dalam soalan

Markah Untuk Rumusan [ 30 ]
1. ISI = 20 Markah
Pengenalan [ 2 markah ]
Isi Tersurat [ 4 hingga 12 markah ]
Isi Tersirat [ 4 hingga 12 markah ]
Kesimpulan [ 2 markah ]

2. BAHASA = 10 markah

Pengenalan
Pengenalan ialah pemahaman calon tentang keseluruhan petikan
Pengenalan berdasarkan isi tersurat sahaja
Pengenalan ditulis dalam satu ayat yang lengkap.
Pengenalan tidak boleh ditulis dengan menyalin arahan soalan
seratus peratus.
Pengenalan harus releven dengan petikan yang diberi.
Pengenalan yang berkesan akan mempengaruhi tanggapan pertama
pemeriksa.
Pengenalan ditulis seringkas yang dapat.
Pengenalan yang baik bersandarkan kepada keupayaan calon dalam
menguasai perkataan sama erti/ sinonim.
Pengenalan tidak boleh menyimpang/ sipi daripada arahan soalan.
Markah untuk pengenalan ialah dua campur satu iaitu tiga.

Kata Kunci Utama (Pengenalan Rumusan )
Sebab/ punca
Kesan/ akibat/ implikasi/ natijah
Langkah/ cara/ tindakan/ strategi/usaha
Faedah/ kelebihan/ manfaat
Peranan/ fungsi/ tanggungjawab
Kekangan/ halangan/ rintangan/batasan/masalah
Ciri-ciri/ sifat-sifat/ kriteria

Cara menulis pengenalan
Petikan memperkatakan......
Petikan menyentuh tentang...
Petikan berkaitan dengan ...
Petikan membincangkan...
Petikan mengenai...
Petikan menerangkan..
Petikan menghuraikan...
Petikan menyatakan....

ISI TERSURAT
Isi tersurat dinyatakan pada kata kunci pertama soalan rumusan.
Isi tersurat menjawab arahan soalan.
Isi tersurat diperoleh daripada petikan.
Isi tersurat tidak berselindung/ nyata/ jelas
Isi tersurat tidak memerlukan huraian
Isi tersurat tidak memerlukan contoh
Isi tersurat boleh digabungkan dengan isi tersurat lain
Isi tersurat dalam petikan antara 8-9 ( calon dikehendaki memilih 6 isi maksimum )

Isi Tersirat
Isi tersirat berdasarkan arahan soalan ( kata kunci kedua )
Isi tersirat tidak boleh dipetik daripada petikan
Isi tersirat merupakan idea baru
Isi tersirat mestilah dikupas dari sudut berbeza
Isi tersirat tidak memerlukan huraian dan contoh
Isi tersirat diperoleh melalui pembacaan meluas dan pengetahuan sedia ada
Isi tersirat tidak boleh digabungkan dengan isi tersurat
Kombinasi

Isi Tersurat & Isi Tersirat

Kesimpulan
Kesimpulan mengandungi 4 elemen iaitu:
•Pihak terlibat
•Kata penegasan
•Cadangan
• Rasional cadangan

Kesimpulan tidak boleh mengulang isi tersurat
Kesimpulannya,
•Semua pihak
•Perlu bekerjasama untuk menjaga terumbu karang sebagai khazanah negara
•Demi kepentingan alam dan generasi akan dating

Mengira Perkataan
Dikira 1 perkataan
Nama khas
Perkataan berulang
Kata sendi di dan ke
Tarikh
Angka sama ada ditulis dengan nombor atau perkataan
Gelaran.

JANGAN PUTUS ASA.


"Usrah Rasa Hati"...

Dalam menjalani kehidupan dunia sebagai manusia pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat manusia yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran.
Bahkan Allah s.w.t sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya; Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”al-Mukminun:115.
Dan dalam ayat yang lain Allah s.w.t menerangkan;
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.
Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Sabda Rasulullah sa.w;
إن من أشد الناس بلاء الأنبياء
Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang paling berat menerima ujian ialah para Nabi.
Daripada ayat dan hadis di atas, dapat difahami hakikat kehidupan dunia ini adalah sebagai ujian, ia bertujuan untuk menilai diri seseorang samada baik atau sebaliknya.
Apabila kita menyedari inilah hakikat kehidupan, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita menerima kegagalan atau tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan walaupan kita telah berusaha.
Pegangan aqidah menetapkan bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti tidak ada orang yang gagal didunia.
Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya.
Allah s.w.t melarang kita dari berputus asa. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:
يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya; Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.Yusuf:87.
Bahkan sehingga orang yang berdosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah s.w.t itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sugguh indah maknanya:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:39
Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.
Bagi mengelakkan perasaan kecewa dan putus asa atas kegagalan yang di alami:
Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.
Sesuatu yang penting dalam urusan kita ialah usaha yang kita lakukan, bukan hasil usaha kerana hanya Allah s.w.t yang menentukan hasil usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya kita tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t
Sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah.
Bersabar dan sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu.
Berfikiran positif, merasai setiap kegagalan ada hikmahnya disebaliknya.
Sekiranya doa yang kita mohon masih belum dimaqbulkan, sentiasa bersangka baik kepada Allah s.w.t dan sentiasa terus berdoa dan menghampirkan diri kepada Allah kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambanya.
Justeru, Jangan putus asa;
1. Kerana Allah sentiasa bersama dengan kita;
إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah besama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya.
2. Kerana Allah hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambanya serta gembira dengan hamba yang kembali kepadanya;
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya;Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
3. Kerana Allah sayang kepada hamba-hambaya yang kembali kepadanya;
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.
Sumber: Radio IKIM

KES RAGUT

Elak jenayah - Wanita perlu perkasakan diri
Oleh Normala Hamzah

Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas.

Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia.

Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.

Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa.

Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak.

Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi.

Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.

Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu.

Menurut Mahmood, jenayah itu kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita.

``Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam,'' katanya.

Menurutnya daripada sudut psikologi, wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.

Keselamatan

``Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan se-suatu apabila diserang,'' ujarnya.

Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.

``Contohnya apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu,'' nasihatnya.

Jelas Profesor Mahmood, wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang.

Ditanya sama ada wanita sendiri yang menjadi pendorong kepada peragut, Mahmood berkata semuanya bergantung kepada penampilan individu itu sendiri dan sejauh mana mereka membuat persiapan untuk menghadapi risiko sedemikian apabila berada di luar rumah.

Sehubungan itu, beliau turut bersetuju wanita mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya.

``Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka,'' tambahnya.

Mahmood turut menasihati wanita supaya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.

``Seelok-eloknya jangan membawa dokumen penting yang tidak diperlukan setiap hari di dalam beg tangan memadai dengan keperluan untuk hari itu. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat,'' tambahnya.

Menurut Mahmood, sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka.

``Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis,'' cadangnya.

Seperkara lagi kata Mahmood, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu.

``Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.

``Saya juga berharap undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya,'' jelas Mahmood.

Seminar

Ditanya sama ada perlu atau tidak diperbanyakkan seminar dan bengkel mencegah jenayah di kalangan wanita, Mahmood menjelaskan, apa yang ada sekarang sudah memadai, hanya perlu ditambah nilainya sahaja.

``Apa yang dimaksudkan dengan nilai adalah bengkel yang berunsurkan penampilan diri dan tata rias diisi juga dengan ceramah daripada pihak keselamatan (polis) atau mereka yang berkaitan perkara terbabit asalkan ia memberi manfaat,'' katanya.

Mengenai sikap peragut, Mahmood berkata, biasanya peragut adalah mereka yang yang suka mencuri.

``Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa,'' jelas Mahmood.

Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri.

``Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang dipandu,'' ujar Mahmood.

Dalam apa juga keadaan, kata Mahmood, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati.

Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.

Sumber : ARKIB Utusan Malaysia : 22/06/2004

KOLEKSI SOALAN NOVEL

TAHUN 2001-2008 .

TAHUN 2001 (N)
4a.Pada pendapat anda, wajarkah pengarang mengakhiri cerita seperti yang terdapat dalam novel yang anda pelajar ?
4b.Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (J)
4a.Tulis sinopsis novel yang telah anda pelajari.
4b.Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda pelajari itu.

TAHUN 2002 (N)
4a.Jelaskan tema novel yang telah anda pelajari
4b.Huraikan latar masyarakat dalam novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2003 (J)
4a.Plot merupakan aspek penting dalam pembinaan sebuah novel. Berdasarkan novel yang
telah anda pelajari, jelaskan klimaks novel berkenaan dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kesudahan cerita.
4b.Huraikan empat latar tempat berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari.

TAHUN 2003 (N)
4a.Kegigihan merupakan salah satu persoalan yang terdapat dalam novel yang telah
anda pelajari. Buktikan pernyataan tersebut.
4b.Huraikan watak utama novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (J)
4a.Watak utama sesebuah novel sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran. Berdasarkan
novel yang telah anda pelajari, huraikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh watak tersebut.
4b.Huraikan empat pengajaran daripada novel yang telah anda pelajari

TAHUN 2004 (N)
4a.Huraikan tiga nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel yang anda kaji
4b.Konflik merupakan perkara yang menarik dalam sesebuah cerita. Berdasarkan novel
yang anda baca, jelaskan bagaimana watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi.

TAHUN 2005 (J)
4a.Watak sampingan turut memainkan peranan penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan
novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan satu daripada watak sampingan tersebut.
4b.Pengarang banyak memberikan teladan kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang dipaparkan dalam novelnya. Jelaskan tiga peristiwa yang dapat anda teladani berdasarkan novel yang anda pelajari.

TAHUN 2005 (N)
4a.Terdapat pelbagai peristiwa menarik yang dipaparkan dalam sesebuah novel. Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari. Mengapakah anda berpendapat demikian?
4b.Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu latar tempat dalam setiap novel itu.

TAHUN 2006 (J)
4a.Pertentangan antara watak banyak terdapat dalam sesebuah novel. Huraikan dua
peristiwa yang menunjukkan pertentangan antara watak dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b.Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan dua nilai kemasyarakatan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2006 (N)
4a.Huraikan pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda telah kaji.
4b.Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut.

TAHUN 2007 (J)
4a.Nilai setia kawan sering dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua nilai setia kawan dalam sebuah novel yang anda pelajari
4b.Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan tema dalam setiap novel itu.

TAHUN 2007 (N)
4a.Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah.
4b.Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan cara watak utama setiap novel menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya.

TAHUN 2008 (J)
4a.Pemilihan tajuk sesebuah novel dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.Buktikan pernyataan di atas berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji.
4b.Berdasarkan dua novel yang telah anda kaji, berikan tiga pengajaran yang terdapat
dalam setiap novel.

TAHUN 2008 (N)
4a.Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca
untuk meneruskan pembacaan.Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.
4b.Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari.

Selasa, 2 Jun 2009

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku
Pada setiap pilu dan rindu
Melayang dan mengerbang
Ke hayat gemilang…sejak itu
Tidak kukesal lagi
Goda dan duga
Di gerimis senja

Telahku pahatkan lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu
Datang dan menghilang
Ke hujung kenang.Sesudah itu
Tidak kukenal lagi
Hampa dan derita
di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi
Adalah titipan maya
Buku kukongsikan hati
Mengukir tadbir di ruang gemanya.

Dharmawijaya,
( Antologi Kerusi, DBP)


TEMA
Kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air…
Persoalan
•Kesanggupan menghadapi rintangan dan cabaran dalam perjuangan menuntut kemerdekaan
negara.
•Tanggungjawab masyarakat terhadap kemerdekaan dan kemajuan negara.
•Setiap perjuangan untuk menegakkan kedaulatan negara pasti menempuhi pelbagai
dugaan dan cabaran.
•Sanggup menyumbangkan tenaga dan masa demi kemajuan negara tercinta.

BENTUK SYAIR
•Terdiri daripada 3 rangkap dan mempunyai 4-7 baris dalam serangkap.
•Jumlah perkataan dalam sebaris ialah 3-5 patah perkataan dan 5-11 suku kata dalam
sebaris.
•Rima akhirnya adalah bebas.

UNSUR KEINDAHAN
•Sinkope= (contoh:ku)
•Epifora = (contoh:tidak kukesal lagi(R1;B1),tidak kukenal lagi.(R2;B5).)
•Anafora (pengulangan kata pada awal baris secara berturutan)= (contoh:Telah kurangkumkan rebah setiaku(R1;B1),Telah kupahatkan lelah umurku.
(R2;B1).

Pengajaran
•Setiap rakyat mestilah mencintai tanah airnya.
•Sanggup berkorban demi tanah air.
•Menumpahkan kesetiaan kepada negara tanpa berbelah bagi.
•Berganding bahu untuk mencapai kemerdekaan.

SABOR

TEMA
Tema yang dibawa adalah keagamaan, iaitu kekuatan iman dan ketakwaan kepada Allah.

PERSOALAN

1.Keburukan fitnah.
Fitnah berpunca daripada hati yang tidak pernah bersyukur dan menjadi punca kepada perbuatan-perbuatan keji. Jibor sanggup membunuh saudara sendiri akibat percaya kepada aduan dan fitnah isterinya tanpa menyiasat terlebih dahulu.

2.Kecurangan wanita.
Wanita yang solehah menjadi penyeri kepada sesebuah rumahtangga, tetapi kecurangan isteri akan menyebabkan keruntuhan rumahtangga yang dibina. Persoalan ini dilihat kepada perbuatan Siti Saidah terhadap suaminya, Jibor.

3. Kepura-puraan.
Persoalan ini dilihat kepada tindakan Siti Saidah yang berpura-pura baik di hadapan suaminya. Jibor juga berpura-pura memberi hadiah yang mahal kepada saudaranya, sedangkan dia mempunyai niat untuk membunuh Sabor.

4. Perancangan manusia tidak sama dengan ketentuan Allah.
Persoalan ini digambarkan melalui kegagalan rancangan Siti Saidah dan Jibor untuk membunuh Sabor dengan cara memancung kepalanya.

5. Kejujuran dan ketabahan mengatasi kebatilan.
Persoalan ini dilihat dalam diri Sabor yang sentiasa bersikap jujur dan tabah apabila berdepan dengan dugaan dan cubaan. Ketabahan dan kekuatannya menjaga iman telah berjaya menghindarinya daripada zina, manakala kejujurannya telah menyelamatkannya daripada maut.

PLOT

1.Peringkat pengenalan
Pembaca diperkenalkan kepada latar tempat dan watak-watak yang menghidupkan cerita ini. Plot dimulakan dengan kedatangan Sabor ke rumah Jibor dan diperkenalkan kepada Siti Saidah. Kehadirannya dilayan baik oleh Siti Saidah yang menaruh hati kepadanya. Siti Saidah bukanlah seorang isteri yang baik, kerana dalam masa yang sama beliau menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya. Setelah 20 hari Sabor di rumah mereka, Siti Saidah merancang untuk menggoda Sabor.

2.Peringkat perkembangan
Peringkat ini bermula apabila Siti Saidah masuk ke bilik tidur Sabor. Dia memujuk rayu Sabor supaya melaksanakan kehendak hatinya. Sabor yang hampir tergoda tersedar apabila teringat akan pesan gurunya, Raja Damsyik supaya tidak mendekati zina. Klimaks cerita ini ialah fitnah Siti Saidah terhadap Sabor sehingga mendorong Jibor merancang untuk membunuh Sabor ketika sedang bersolat di masjid.

3.Peringkat peleraian
Peleraian cerita berkesudahan dengan yang jahat akan menerima padah daripada kejahatan yang dilakukannya. Percubaan orang upahan Jibor untuk membunuh Sabor tidak berjaya, tetapi saudagar permata, iaitu kekasih Siti Saidah pula yang terbunuh. Segala kecurangan dan ketidakjujuran Siti Saidah terbongkar dan kejujuran Sabor terbukti akhirnya.

TEKNIK PLOT

1.Teknik pemerian.
•Pemerian latar masa dan aksi watak.
Pada malam itu Siti Saidah pun sangat keluh kesah, tiadalah boleh tidur daripada sangat berahinya akan Sabor.(halaman 26)
•Pemerian suasana dan tempat.
…Maka apabila malam, Siti Saidah pun menyuruh orang menghiasi tempat Sabor tidur di atas geta gading bertatahkan ratna mutu manikam itu.(halaman 26)
•Pemerian perwatakan watak.
…Siti Saidah itu ada bermukah dengan semata-mata, tiada siapa mengetahui peri perbuatannya Siti Saidah itu bermukah dengan jauhari, siang dan malam tiada berkeputusan perbuatannya itu.(halaman 26)

2.Teknik imbas kembali.
Raja Damsyik berpesan dan menegah seseorang itu daripada bermalam di rumah orang tua yang beristeri muda. Raja Damsyik juga berpesan agar seseorang itu tidak melakukan sesuatu yang keji yang eloknya ditangguh dahulu sebelum melakukannya. Jika dilakukan pekerjaan yang keji, nescaya orang itu akan dimasukkan ke neraka.(halaman 28)

3.Teknik dialog.
Perbualan antara Sabor dengan Siti Saidah. Sabor memarahi Siti Saidah yang dianggapnya gatal dan sikapnya itu dilaknat Allah. Siti Saidah memarahi Sabor dan mengugut hendak membunuh Sabor.(halaman 27-28)

WATAK DAN PERWATAKAN

1.Sabor
•Saudara kepada Jibor.
•Mempunyai ilmu dan pegangan agama yang teguh.
•Belajar agama daripada Raja Damsyik.
Perwatakan:-
•Kuat beribadah kepada Allah.
…Maka didengar oleh Sabor orang bang. Maka Sabor pun mengambil air sembahyang subuh. Apabila sudah tamat sembahyang itu, maka ia pun minta doa kepada Allah…(halaman 29)
•Bersyukur dan takut akan kemurkaan Allah.
Sabor mengucapkan kesyukuran kepada Allah kerana diselamatkan daripada terjerumus ke dalam perangkap godaan Siti Saidah. Dia sentiasa mengingati pesanan dalam ayat-ayat Al-Quran supaya menjauhi perbuatan keji.
•Jujur dan tabah.
Dia seorang yang jujur dan tidak mengambil kesempatan atas kebaikan saudaranya. Sabor juga tabah menahan dugaan dan kuat mempertahankan imannya ketika digoda oleh Siti Saidah.
•Berani mempertahankan kebenaran.
Ketika Siti Saidah mengugut untuk membunuhnya, Sabor tetap berani mempertahankan kebenarannya, walaupun diancam bahaya. Dia menyerahkan keselamatan dirinya kepada Allah.

2. Siti Saidah
•Seorang perempuan muda yang berkahwin dengan lelaki tua.
•Isteri kepada Jibor, iaitu saudara Sabor.
Perwatakan:-
•Curang kepada suami.
Siti Saidah merupakan seorang isteri yang curang. Dia menyimpan seorang kekasih dan cuba menggoda Sabor untuk memenuhi kehendak hatinya.
•Bersikap pura-pura.
Sikapnya amat berbeza apabila berdepan dengan suaminya. Dia berpura-pura menjadi isteri yang setia di hadapan Jibor, tetapi berlaku tidak jujur di belakang suaminya itu.
•Pendendam.
Penolakan Sabor terhadap kemahuannya, menyebabkan dia menyimpan dendam untuk membunuh Sabor. Dia menyebar fitnah terhadap Sabor kepada suaminya sehingga menyebabkan Jibor merancang membunuh Sabor.

3. Jibor.
•Saudara kepada Sabor.
•Kaya.
•Beristeri muda.
Perwatakan:-
•Baik hati.
Sifat ini dilihat kepada tindakannya membawa Sabor untuk tinggal di rumahnya.
•Bertindak terburu-buru.
Jibor tidak menyiasat terlebih dahulu akan kebenaran aduan Siti Saidah mengenai Sabor. Dia bertindak terburu-buru semasa merancang untuk membunuh Sabor setelah mendengar aduan tersebut.
•Percaya kepada isteri.
Jibor menaruh kepercayaan penuh kepada isterinya. Dia langsung tidak menyimpan
perasaan curiga terhadap perlakuan isterinya.

4. Watak sampingan.
Watak Jauhari dan Raja Damsyik dalam cerita ini merupakan watak sampingan. Raja
Damsyik muncul dalam imbas kembali Sabor, sementara watak jauhari muncul pada
akhir cerita, setelah dibunuh oleh orang upahan Jibor.

LATAR

1.Latar tempat

•Rumah Jibor
Peristiwa dan perlakuan sumbang Siti Saidah yang cuba menggoda Sabor berlaku di
rumah Jibor iaitu di bilik tidur Sabor.

•Masjid
Latar tempat ini menjadi tempat berlakunya peristiwa pembunuhan jauhari iaitu
saudagar permata yang menjadi mangsa pancung orang upahan Jibor yang disangkanya
Sabor.

2. Latar masa
Latar masa cerita ini ialah latar zaman silam yang tidak khusus. Tempoh masa
adalah melebihi 20 hari Sabor tinggal di rumah Jibor. Perhatikan pernyataan
berikut:-
•Suatu malam selepas 20 hari Sabor di rumah Jibor, Siti Saidah masuk ke bilik
Sabor.
•Waktu subuh; Sabor bersembahyang memohon perlindungan Allah.
•Waktu maghrib; peristiwa pembunuhan jauhari di masjid.

3. Latar masyarakat
•Masyarakat yang telah menerima Islam sepenuhnya.
•Masyarakat yang berlatarkan permasalahan keluarga yang timbul daripada perbuatan
isteri yang kurang di kalangan golongan yang kaya.

GAYA BAHASA

1.Penggunaan diksi
•geta, ratna mutu manikam, peri
•Perkataan asing, iaitu bahasa Arab banyak digunakan:-
-kadam(halaman 27)
-Astaghfirullah(halaman 27)
-Subhanahu Wataala(halaman 27)
-jambiah(halaman 29)

2. Penggunan ayat.
Binaan ayat-ayat panjang dan menerima pengaruh bahasa Arab.
“Dan jangan kamu berbuat zina, bahawasanya zina itu terlebih keji lagi jahat
pekerjaannya.”(halaman 27)

3. Simile
-Apa sebabnya maka demikian ini lakumu, seperti orang gila tiada sedarkan
dirimu?”(hlm. 27)

4. Paradoks (penentangan kalimat)
-rendah gunung tinggi harapan.(halaman 27)

5. Sarkasme(bahasa kiasan kasar)
-Hai syaitan Iblis!(halaman 27)
-engkau ini gatal rela sangat, perempuan celaka yang kena la’natullah
(halaman 27)

6. Repitisme
…Demikian itulah datang kepada engkau barang suatu pekerjaan yang hendak
dikerjakan, jangan dikerjakan hingga sampai ketiga kali, maka engkau kerjakan,
dan jika engkau kerjakan..(halaman 28)

NILAI DAN PENGAJARAN
•Bersifat jujur dan setia
Sifat ini perlu ada dalam setiap individu. Dalam hubungan suami isteri, ia amat
penting bagi mengelakkan perbuatan curang. Siti Saidah tidak memiliki sifat ini,
sebab itu ia berlaku curang kepada suaminya.

•Bersyukur
Nilai ini ada dalam diri Sabor. Dia bersyukur kepada Allah kerana terlepas
daripada godaan Siti Saidah.

•Ketakwaan dan berani
Sifat ini dapat diteladani daripada tindakan dan perwatakan Sabor yang sentiasa
bertakwa kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman manusia.

•Berbuat baik dan hindari kejahatan
Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, begitu juga dengan kejahatan.
Inilah yang berlaku kepada Sabor yang tidak bersalah dan akhirnya Jauhari yang
keji mati dibunuh.

JIKALAU ULAR MENYUSUR AKAR TIADA HILANG BISANYA

Apabila kita merujuk Kamus Istimewa Peribahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka kita akan dapati terdapat tiga peribahasa yang terhasil daripada entri kata ular menyusur akar iaitu "jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya","tiada hilang bisa ular dek menyusur akar" dan "ular menyusur akar".Ketiga-tiga peribahasa ini membawa maksud tiada hilang martabat seorang yang mulia atau berpangkat sekiranya merendahkan diri dalam hubungannya dengan orang ramai.

Ular biasanya tidak suka menyusur atau menjalar di akar kerana agak sukar baginya untuk bergerak. Sekiranya terdapat ular yang menyusur akar, bererti ular tersebut melakukan sesuatu keganjilan bagi tabiat ular. Walau bagaimanapun, andai hal tersebut dilakukannya, tindakan tersebut tidak sedikitpun menghilangkan bisanya.

Peribahasa ini membayangkan keluhuran budi seseorang jika ia mengamalkan apa yang tersirat di sebalik maksud peribahasa ini. Sebagai contoh, apabila seorang yang sudah berpangkat atau berdarjat atau menjadi orang besar merendahkan diri dengan bercampur dengan orang ramai, baik dalam makan minum, duduk bersembang atau memakai pakaian berjenama biasa sebagaimana dipakai oleh orang kebanyakan, darjat atau pangkatnya tidak akan terjejas, malah ia akan lebih dihormati kerana sikapnya yang merendah diri, tidak besar diri dan tidak sombong itu.

Perintah agar manusia tidak berlagak sombong amat jelas dinyatakan dalam al-Qur'an menerusi firman-Nya yang bermaksud:


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai".
Al-Quran ( Surah Luqman : 18 & 19)
Oleh yang demikian, pemimpin di semua peringkat terutama pemimpin politik sewajarnya mengamalkan falsafah peribahasa ini sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang ramai. Hal ini kerana, sikap meninggi diri, sombong, dan takbur adalah sikap-sikap tercela baik dari segi adat mahupun agama. Sifat-sifat mulia dan berbudi, sewajarnya dijadikan amalan bagi setiap mereka yang menjadi pemimpin masyarakat dalam semua bidang. Mereka yang bersikap sedemikian dianggap orang-orang yang berhemah tinggi, berpekerti mulia dan berbudi luhur.

Tenas Effendy dalam bukunya "Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu" mengkategorikan pemimpin yang mengamalkan sikap "ular menyusur akar" ini sebagai pemimpin agung, yang besarnya tidak membawa sombong, mulianya tidak meminta sanjung. Beliau seterusnya mengungkapkan ciri pemimpin agung ini sebagaimana ungkapan berikut:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Negeri dijaga rakyat dilindung
Kasihnya panjang sayang bersambung

Kepada yang miskin tiada sombong
Kepada yang kaya tiada menyanjung

Dijadikan pemimpin sejahtera kampung
Bersama rakyatnya sekain tudung

Dijadikan tua membawa tuah
Hidup rukun rezeki melempah

Dijadikan induk membawa berkah
Wibawanya besar tuah bertambah
Umatnya tidak mengenal susah.

Sumber: Cikgu Taufiq

“Menatap Wajahnya”


(Siti Hajar Mohd.Zaki)
Sinopsis

Muliati ingin bertemu dengan guru kesayangannya, iaitu Cikgu Balkis setelah lama berpisah. Cikgu Balkis enggan dan memberikan alasan bahawa suaminya melarang mereka meneruskan perhubungan. Muliati bertambah dukacita. Muliati menganggap ada sesuatu yang tidak kena sehingga menyebabkan Cikgu Balkis bertindak sedemikian. Sewaktu zaman persekolahannya dahulu, Muliati yang cacat dan yatim piatu sering dibantu dan diberikan perhatian oleh Cikgu Balkis. Ketika Muliati memperoleh ijazah di sebuah universiti, dia menerima sekeping poskad daripada Cikgu Balkis yang mengucapkan tahniah sekali gus mengatakan bahawa beliau akan menjalani pembedahan di London kerana menghidap penyakit ganjil.

Tema

Pengorbanan ikhlas seorang guru terhadap pelajarnya – Cikgu Balkis membantu Muliati sehingga berjaya memperoleh ijazah.

Persoalan

-Kegigihan mencapai cita-cita untuk berjaya
-Sikap tidak mahu berterus terang kadang kala disalah anggap oleh orang lain
-Kecacatan tidak menghalang seseorang untuk mengecapi kejayaan

Watak dan Perwatakan

•Muliati
-Anak yatim piatu
-Tinggal bersama nenek
-Seorang yang cacat
-Mengenang budi guru
-Penyayang

•Cikgu Balkis
-Guru Muliati/ibu angkat Muliati
-Menghidap penyakit ganjil
-Penyayang/prihatin
-Suka menasihati
-Bersimpati

Latar

•Latar Tempat
-Rumah nenek Mualiti
-Kampus universiti
-Sebuah sekolah menengah

•Latar Masa
-4 tahun bermula sejak Muliati masuk ke universiti hingga berjaya menggenggam ijazah
Majlis Konvokesyen Muliati

•Latar Masyarakat
-Masyarakat yang mementingkan pendidikan tinggi
-Masyarakat yang prihatin dan penyayang
-Masyarakat kampus/pelajar universiti

Nilai

•Kasih sayang – nenek Muliati amat sayang akan cucunya, Muliati dan memberikan
sepenuh perhatian kepadanya
•Kegigihan – Muliati yang cacat tetap gigih berusaha untuk berjaya
•Kesabaran – Muliati sabar serta tabah menerima takdir Tuhan dan tidak menurut
perasaan sedihnya
•Belas kasihan – Riani, rakan Muliati sangat kasihan melihat keadaan Muliati .

Pengajaran

•Walaupun menghadapi banyak kekurangan tetapi kita mestilah gigih dan tidak mudah
berputus asa
•Kita perlu mengingati jasa dan budi orang lain terhadap kita
•Kita hendaklah memberikan pertolongan kepada golongan yang kurang bernasib baik
•Kita perlu berusaha gigih sekiranya ingin berjaya


Antalogi KOMSAS Anak Laut

BUDAYA MEMBACA TREND NEGARA MAJU

Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

LAUTAN pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini. Dengan jumlah hampir 10 peratus daripada penduduk Malaysia, ia membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cintakan buku.

Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.

Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.

Bagaimanapun usaha berterusan perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.

Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ia merupakan satu kejayaan kepada negara.

Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) turut meningkatkan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia.

Ia merupakan perkembangan memberangsangkan berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini. Pada 2005, profil pembaca mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca. Iaitu sekadar dua buah buku sahaja setahun.

Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar. Tiga peratus membaca majalah dan buku manakala 1.6 peratus yang lain membaca komik.

Perkara ini jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan. Berbanding rakyat negara maju, mereka lebih gemar membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku. Ia termasuk generasi muda yang seawal sekolah rendah lagi.

Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini.

Ini kerana menurut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional. Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.

Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaan tradisional seperti buku dan lain-lain. Ia termasuk kerancakan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara ini.

Usaha ini perlu digiatkan walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma begitu meluas serta mudah diakses di internet.

Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi sehingga 99 peratus.

Lazimnya semakin negara menempah kemajuan, rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.

Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.

Utusan Malaysia: 21 April 2009.

Ilmu keibubapaan


- Ke arah memantapkan institusi keluarga
Utusan Malaysia
6 Februari 2003
ms 07
Keluarga
Oleh Roslah Othman
Institusi keluarga yang kukuh amat penting dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang stabil serta harmoni.
Sesuai dengan kedudukan rumah tangga sebagai institusi pendidikan pertama, ibu bapa merupakan individu yang berperanan penting dalam pembentukan peribadi anak-anak.
Ia termasuklah hubungan mesra yang ditunjukkan oleh suami isteri yang turut mempengaruhi kesempurnaan pembesaran anak-anak.
Justeru, kemuliaan institusi keluarga dan perkahwinan yang menjadi nilai masyarakat perlu dihargai dan dipertahankan.
Menurut Pengarah Bahagian Sumber Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Zahari Mat, berdasarkan laporan kes-kes keluarga di LPPKN sepanjang Januari hingga Mei tahun lalu, lebih 20 daripada 60 kes yang diadukan pada sesi kaunseling ialah kes berkaitan kerenggangan hubungan suami isteri.
``Ini termasuklah hubungan suami isteri tidak intim lagi, anak sebagai beban, hubungan seks tidak lagi menyeronokkan dan perbezaan pendapat,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga Untuk Orang Awam 2003, di ibu negara baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah LPPKN, Khoo Swee Kheng.
Beliau berkata, institusi keluarga mengalami transisi perubahan dari segi struktur, nilai dan cara hidup berkeluarga akibat kesan kemajuan negara.
Bagaimanapun kata Zahari, ini tidak bermakna sistem nilai murni melibatkan institusi keluarga dan perkahwinan harus dikorbankan.
``Tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan jenayah turut berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga dan nilai-nilai kekeluargaan.
``Apabila sesebuah negara mencapai kemajuan, mangsa pertama ialah keluarga kerana pada kebiasaannya suami isteri bekerja dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama anak-anak,'' ujarnya.
Situasi ini menjadikan hubungan kekeluargaan kurang baik dan anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan didikan secukupnya.
Ibu bapa menurut beliau, seharusnya berusaha meluangkan sedikit masa dengan anak-anak walaupun tidak mempunyai banyak kesempatan bersama mereka.
``Dengan itu kita masih dapat menyemai budaya baik ke jiwa mereka.Anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang dan didikan secukupnya akan rosak kerana mereka tidak faham makna dan disiplin kekeluargaan.
Disiplin
``Sebab itu kita lihat banyak masalah sosial seperti ponteng, keganasan di sekolah, tidak belajar dan penyalahgunaan dadah serta jenayah berlaku dalam masyarakat hari ini,'' katanya lagi.
Zahari berkata, nilai-nilai murni dan disiplin yang dipupuk daripada institusi tersebut sekali gus dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah sosial yang melanda masyarakat.
Menerangkan mengenai kursus yang bakal berlangsung, Zahari berkata, LPPKN dari semasa ke semasa sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat khususnya pelaksanaan program pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan.
Sepanjang tahun ini sebanyak 10 siri kursus pembangunan keluarga untuk orang awam akan diadakan.
Program itu menekankan aspek-aspek kesihatan keluarga, kemahiran berkomunikasi, memahami kerenah anak kecil dan remaja dan membincangkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa.
``Usaha LPPKN menganjurkan program yang dilancarkan hari ini bertujuan menggalakkan anggota masyarakat mengutamakan keluarga masing-masing,'' katanya.
Konsep keluarga yang luas melibatkan saudara-mara yang lain perlu diberi perhatian dan dihidupkan semula dalam masyarakat.
Ini kerana, menurut Zahari, ia merupakan kerangka asas sesebuah masyarakat dan mampu menjadi benteng menangkis pelbagai gejala sosial.
Sementara itu para peserta yang ditemui menyifatkan kursus yang diikuti dapat memberi pengetahuan mengenai bagaimana membina sebuah rumah tangga yang aman dan bahagia.
Bagi mereka, mengerti akan tanggungjawab masing-masing sama ada sebagai suami atau isteri akan lebih memperkukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang dibina.
Bagi Letchumi Krisna, 27, ia juga mendedahkan dirinya kepada kemahiran berkomunikasi dengan pasangan bagi mewujudkan rumah tangga yang bahagia.
``Saya menganggap ilmu yang diperoleh adalah satu kelebihan kepada kami yang bakal mendirikan rumah tangga pada 27 Februari ini,'' katanya yang turut ditemani bakal suaminya, Jayakumar Veerappan,31.
Seorang peserta, Zidaini Putra Yazit, 25, berkata, walaupun beliau tidak mempunyai perancangan untuk berumahtangga pada waktu yang terdekat ini, kursus yang diikuti dapat menambahkan pengetahuannya.
``Sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi pengetahuan dengan pasangan yang bakal berkahwin nanti,'' ujarnya.
Bagi Lai Wai Ken, 28, kursus berkenaan memberi peluang kepadanya mengetahui lebih mendalam mengenai tanggungjawabnya nanti sebagai seorang isteri apabila berumah tangga.
Lai yang turut ditemani tunangnya, Hong Peir Soon, 34, berkata, sekurang-kurangnya ilmu yang diperoleh akan dijadikan asas dalam mewujudkan rumahtangga aman dan bahagia
________________________________________